Jumlah Pengunjung Setakat Ini

Memaparkan catatan dengan label SOHO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SOHO. Papar semua catatan

Selasa, 16 Januari 2018

Ruang SOHO 2018

Assalamualaikum,

Selalunya awal tahun memang semangat atau azam tahun baru masih berkobar-kobar lagi. Alhamdulillah, tahun ni blog kembali aktif macam dulu. Syukur Allah bagi kesedaran supaya cepat-cepat "move on" dan jangan fikir masalah orang lain selain dari majukan diri kita sendiri. Apabila blog aktif, rezeki pun tak putus-putus masuk. Syukur, blog merupakan salah satu sumber rezeki aku juga :)

Setiap tahun ruang SOHO (small office home office) aku berubah. Maklumlah, nak bekerja ikut kesesuaian tempat dan lokasi. Tahun ni masih memilih dalam bilik tidur (sebelum berpantang bolehlah, nanti lepas ni kena turun bawah pula) dan selepas 4 daripada 6 anak ke sekolah, aku punyai ME TIME selama 4 jam, jadi 1 jam telah ditetapkan untuk mengemaskini blog.


Syukuri apa yang ada. Walaupun ruang SOHO mengadap kipas penghawa dingin (ko hade?) tapi yang penting idea untuk menulis tak pernah putus. Mungkin kadang-kadang hanya ulang cerita dari aktiviti di facebook, tapi tak mengapalah, sekurang-kurangnya blog boleh simpan seribu kenangan.
 
Tahun ini moga aktiviti jualan aku lebih terurus dan kewangan lebih kukuh. Ikutkan pengalaman yang lepas, memang hujung tahun semuanya ke laut dalam. Hu hu hu Tahun ini walaupun takde simpanan tapi seboleh-bolehnya aku mahu gembirakan insan yang banyak berjasa buat diri aku iaitu mak ayah dan en suami. Jom kita usaha lebih lagi, ada banyak cara untuk zahirkan kebahagiaan dan kasih sayang buat mereka.
 
Oklah, semalam terjumpa gambar inspirasi hijau di ruang SOHO. Sumber dari fanpage : Recommmend.my


Kawan aku cakap kalau pasu jatuh atas kepala susah juga >___<


Cantik pokok hiasan fig ni, memang dalam plan nak beli buat hiasan letak dalam rumah juga, tapi nak beli yang pokok hiasan lah, kalau hak hidup masih tak mampu nak jaga

 
Yang ni simple sahaja tapi menarik
 

Sebenarnya ada pelbagai cara untuk hias ruang SOHO kita, bergantung kepada budget dan kreativti masing-masing. Macam aku memang sejenis kedekut dan pemalas (kot) jadi memang hias seminimum mungkin. Yang penting biar kerja jalan dan dokumen disimpan di tempat sewajarnya.

Oklah, nak keluar pos barang. Insya Allah ada masa boleh menulis lagi. Bye!

Isnin, 25 Januari 2016

Ilham SOHO 2016


Assalamualaikum,

Masih lagi berkisar tentang dekorasi rumah tapi kali ini nak tayang gambar ruang pejabat kecil di rumah pula (SOHO : small office home office). Setiap tahun pasti akan berubah wajah sebab aku ni cepat bosan dan suka tambah barang sikit-sikit. Maklumlah nak beli sedebuk tak mampu. Jadinya kita pakai dulu mana ada dan bila ada rezeki kita ubahsuai ikut sedap mata memandang :)

Memandangkan aku ni walaupun sudah tidak bekerja tetapi masih lagi memerlukan ruang "pejabat" sendiri untuk merekod segala urusniaga dan bayaran bil bulanan. Bukan apa, senang nak buat rekod bayaran dan simpan dalam satu tempat. Nanti kalau ada apa-apa senang nak cari ;)

Tapi ada masa malas bersepah-sepah juga SOHO aku ni. Kalau awal tahun macam ni biasalah, masih lagi segar dan azam tahun baru pun masih kuat lagi, tunggu lama sikit. He he he Mesti lemau balik ni :P

Oklah, bagi mereka yang bekerja dari rumah, sudah tentunya ruang SOHO sangat penting kerana di sini adalah tempat untuk ber ME TIME tanpa diganggu (sila masuk bilik, kunci pintu dan buka penghawa dingin ya) dan di sini juga tempat kita berkarya tanpa gangguan anak-anak. Kalau tak mampu nak kunci pintu maka boleh buat kerja di waktu anak-anak sudah tidur tapi hati pun mahu kental lah sedikit. Kena buat-buat tidur untuk tidurkan anak-anak dan bukannya anak-anak tidurkan kita pula ya :P

Lagi satu kena bertegas dengan anak-anak dan nyatakan peraturan yang mereka tak boleh sentuh peralatan kerja kita. Aku memang tak bagi anak-anak main komputer ni sebab nanti mulalah mereka download game ataupun tengok Youtube sampai habis data internet. Sudahlah mama mereka ni mahu meroyan jika internet lembab macam siput babu. He he he Biasalah, kalau kerja menggunakan internet memang kena bertegas (dalam erti kata lain "bekeng") dengan anak-anak. Kalaus ekali kita ajarkan, berkali-kali mereka akan meminta untuk menggunakan komputer atau smart phone kita ni.

Jangan jadi macam budak comel kat bawah ni ya, salah mama sebab biarkan dia panjat meja SOHO. Ingatkan nak buat apa, rupa-rupanya nak "tinjau" kawasan T_____T"




Nasib baik lepas tu raji baca buku :)


Oklah, hingga bertemu lagi. Sejak dua menjak ni memang sibuk dengan urusan menghantar dan mengambil anak-anak. Dengan keadaan yang dah sarat ni memang terasa sangat "kepancitannya" tambah-tambah kalau kena keluar ambil stok barang parti dan keluar ke pejabat pos. Memang tak boleh lah nak mengadap blog sangat. Hu hu hu

Apa-apa pun syukur dengan rezeki yang Allah beri. Walaupun penat tapi sekurang-kurangnya dapat menguruskan anak-anak dengan sendiri, dapat pula cari duit poket sikit-sikit buat bayar kereta Axia ku ini. Walaupun tak kaya tapi hati bahagia :)

Bye!

Khamis, 12 Mac 2015

Tips Bina SOHO Idaman

Assalamualaikum,

Lama tak menyohor SOHO aku ya. Sebenarnya sejak bekerja dari rumah, SOHO aku sudah banyak kali berubah lokasi sekejap di dalam bilik anak-anak, sekejap di bawah tangga sekejap di meja makan dan sekarang berada di dalam bilik tidur pula. Kenapa? Sebab lepas buat kerja kalau rasa nak sambung membuta tu elok sangatlah. He he Taklah, gurau aje, mana boleh banyak tidur jika mahu diri yang produktif kan?

Ok, aku nak kongsikan apa yang aku baca di dalam buku "Buat Duit Dengan Freelance Blogging" tulisan saudara Aqif Azizan yang mencadangkan setiap freelance blogger harus bermula dengan memiliki sebuah SOHO kerana ianya dapat meningkatkan produktiviti seorang penulis. Perkara asas yang wajib ada adalah sebuah komputer, jaringan internet dan sebuah bilik atau sudut yang dijadikan sebagai ruang SOHO. Di sini, kita akan berkarya seperti menulis dan melakukan segala kerja yang bakal menjana pendapatan hanya dari rumah kita sahaja tanpa perlu bersusah-susah ke pejabat.

Selain itu, jika kewangan mengizinkan benda lain yang boleh ditambah adalah dengan membeli headphone (jika suka buat kerja sambil mendengar muzik bolehlah tapi bagi aku tak perlu sebab suara anak-anak menangis adalah terapi yang sangat bagus bagi aku), papan visi yang memuatkan gambar-gambar impian kita agar kita sentiasa berusaha untuk mencapai impian tersebut, meja, buku-buku dan perpustakaan mini. Selain itu, aku rasa harus juga mempunyai peralatan seperti mesin pencetak, fail-fail yang tersusun demi memudahkan kerja.


Perkara pertama yang aku beli untuk membina sebuah SOHO adalah meja dan kerusi yang mengikut budget yang ada. Masa itu beli di Ikea dan sangat penting untuk memilih kerusi yang selesa supaya kita tidak akan merasa sakit belakang semasa melakukan kerja. Selepas itu, sedikit demi sedikit aku tambah keperluan seperti memasang rak pasang sendiri (DIY) yang dibeli di Ikea, menambah fail-fail mengikut kategori kerja, membeli buku-buku rujukan dan menjadikan sebuah mini perpustakaan di sebelah meja kerja aku.


Alhamdulillah, sekarang sudah banyak buku-buku bacaan yang terkumpul dan terima kasih juga buat teman-teman yang menghadiahkan buku-buku untuk aku. Sejak dah menginjak usia ni *uhuk*uhuk* rasa macam satu kerugian pula jika tidak banyak membaca. Eh! bukan baca laman gosip atau laman facebook ya :P

Oklah, semoga semua surirumah yang mahu berada di rumah akan mempunyai ruang SOHO mereka sendiri. Aku ada sentuh juga mengenai ruang SOHO di dalam e-buku sulung aku iaitu "SURIRUMAH JUGA BOLEH BERBISNES" di mana sangat penting untuk mempunyai SOHO supaya kita tidak akan diganggu oleh anak-anak. Jika mahu beli e-buku ini boleh hubungi aku melalui :
E-mel : zailamohamad@gmail.com
Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

atau isi terus borang pesanan di sini : BORANG TEMPAHAN.

Oklah, sehingga bertemu lagi. Boleh baca laman ini juga www.zailamohamad.com di mana aku berkongsi mengenai bagaimana untuk bekerja di rumah secara online mahupun offline. Bye!

Jumaat, 9 Januari 2015

Kemas Ruang SOHO

Assalamualaikum,

Rentetan semalam kemas ruang SOHO, terus bersemangat nak menghiasnya. Tapi buat ala kadar aje lah sambil-sambil masuk laman Ikea intai-intai dekorasi kat situ. Bila klik je di bahagian "work station" mata terus terpandangkan gambar di bawah ini :


Terus ahkak semangat terus cetak guna printer yang dibeli tahun lepas. Bayangkan "rajinnya" aku, selama ini ada printer tapi tak pernah guna T_______T" (sayangkan dakwat takut habis kot bila guna tu) HAHAHA

Terus cari "printable labels" dan cetak siap-siap. Amboi angin rajin apakah yang meresap dalam jiwa aku ni. Angin rajin sempena tahun baru 2015 kot. Alhamdulillah, berkat duit hasil bekerja dari rumah (berniaga lah senang cerita) hidup aku dah makin terurus sikit. Kalau dulu, dapat duit habis tak tahu buat apa tapi sekarang ni adalah nampak hasilnya. Kalau dulu tak ada rekod ke apa tapi sekarang sudah makin terurus dah. Belajar dari kesilapan dan cuba perbaiki kelemahan yang ada.


Siapa boleh tafsirkan singkatan di atas? Siap ada fail untuk ABDR tuuuuuuu tapi belum fikir lagi nak letak apa. Yang pasti fail-fail semua aku rembat Haziq punya, sebab itu ada nama dia. HAHA Ini langkah penjimatan namanya :P

Lepas tu siap google gambar-gambar hiasan dan cetak untuk diletakkan di vision board aku (wah gah namanya tapi sebenarnya takde apa pun). Aku suka gambar sofa di bawah ini sebab itu aku cetak dan letak dalam frame. Nampak tak tompok air tu. Biasalah, guna kertas biasa kan. Ini namanya langkah penjimatan. Tak payah nak keluarkan modal yang besar. Frame ini pun recycle aje;)


Kalau diizinkan Allah nak beli sofa macam dalam gambar ni. Sebab tu aku letak gambar ini di ruang SOHO aku, mana tahu ada rezeki kan. Kalau hari-hari tengok, biar tambah semangat sket nak buat kerja tu :P

Oklah, nanti kalau rajin aku kongsikan lagi gambar ruang SOHO aku. Ada orang kata SOHO aku lebih kemas dari dapur. Hermm, memang pun sebab dapur tu hari-hari guna jadi tak de masa (alasan) nak kemas ;P Kalau SOHO tak kemas nanti tak naik semangat pula nak bekerja. HAHA

Bye! Selamat berhujung minggu dan selamat bersekolah bagi anak-anak yang dah masuk sekolah!

Rabu, 10 Disember 2014

Ruang SOHO Terkini

Assalamualaikum,

Lama sudah mahu kongsikan gambar terkini SOHO di rumahku ini. Cewah! Hari tu en suami baru berpeluang menambah rak DIY yang dibeli di Ikea berbulan-bulan yang lepas. Maklumlah, en suami kan sokmo sibuk, jadinya baru-baru ni ada masa terluang terus dia pasangkan rak tu. Itupun berpeluh-peluh ketiak sebab tukang pasang amatur sangat. HAHA Nasib baik dah belajar banyak dari pengalaman yang lepas-lepas, jadi mudahlah sikit nak pasang tu guna gadget kesayangan en suami tu.

Hasilnya, dapatlah ruangan SOHO terkini inspirasi suri. Cewah!


Tapi sekarang ini tempat letak dokumen yang besi tu aku dah alihkan letak meja kecil di bawah tu. Walaupun atas meja dah kosong tapi masih bersepah-sepah dengan kertas dan buku. Malas nak kemas sebabnya kalau kemas mesti mood nak bekerja hilang *alasan*


Rak buku yang masih sedikit koleksi buku-bukunya. Nampak sangat yang kami ni bukanlah pencinta buku. HAHA Tapi azam baru dan tahun-tahun sebelumnya memang nak jadi pencinta ilmu. Takpe, sikit-sikit kita kumpulkan koleksi buku. Ada antara buku-buku yang dibeli dan ada juga yang dihadiahkan oleh teman-teman. Terima kasih buat semua, lepas ni kalau harijadi saya sila hadiahkan buku ya :)

Oh pada yang bertanya selamat ke letak mesin pencetak (printer) kat atas rak itu? Insya Allah, jika diizinkan Allah selamatlah kan. Bukan apa, mama nya stress sangat bila printer tu ada di bawah, mulalah askar-askar cilik yang sentiasa berhubung sel-sel otaknya memasukkan benda-benda kecil dalam feeder printer tu. Tempoh hari masa en suami mahu print tempahan hotelnya, tengok-tengok ada pemadam lah, broochlah, tag nama Haziqlah. Patutlah printer selalu tersekat-sekat. Alahai anak~


Fail kertas tu beli di Ikea pada harga RM4.99 untuk 5 keping (rasanyalah sebab tak ingat dah). Bolehlah asing-asingkan dokumen ikut bisnes yang aku buat. Cewah! Ala-ala 5S gittewww


Tengoklah keadaan meja SOHOku, memang habis diconteng oleh askar-askar kecil ni. Pantang dapat chop (stamp) habis diorang pi chop meja, dinding dan langsir. Mak jemah redho jelah sebab anak-anak mak jemah memang kreatif;)

Alhamdulillah, makin lama makin kemas dan tersusun ruang SOHO ini. Bukan sahaja aku juga selesa buat kerja tapi en suami juga menumpang sama. Di sini, segala impian aku paparkan di ruangan "vision board" sebagai pemangkin semangat untuk terus berniaga mencari sesuap nasi buat diri dan keluarga. Haritu ada yang komen ruang SOHO aku lebih kemas berbanding dapur sendiri, iya. Memang benar sebab kat dapur tu tak pernah nak kemas sebab selalu aje guna. HAHA Boleh terima tak alasan ni?

Sebenarnya inilah "passion" aku. Kalau dulu sebelum berhenti kerja memang tak pernah terfikir yang akan mempunyai ruang SOHO sendiri. Maklumlah, apa yang ada dalam fikiran hanya bangun pagi nak pergi kerja dan hujung minggu nak spend masa dengan anak-anak sahaja. Tapi cukup-cukup berbeza apabila aku bekerja dari rumah di mana pentingnya ada ruang SOHO sendiri untuk fokus bekerja. Kalau dulu lepas ada pelanggan beli dapat duit pun terus habis je entah ke mana tapi sekarang ini sudah lain. Sudah ada sistem untuk merekodkan (ala buat sendiri aje guna Google Sheets) dan yang penting sudah ada rekod resit-resit yang dikeluarkan. Alhamdulillah, berbaloi juga pengalaman kerja dulu. Adalah boleh aplikasikan sikit-sikit dalam bisnesku ini.

Sebenarnya nak cerita banyak lagi tapi macam takde idea nak tulis apa. Pada yang baca blog ini dan ikuti blog ini, terima kasih diucapkan dan kalau ada soalan jangan malu jangan segan boleh hantar kepada emailku di zailamohamad@gmail.com

Sekian. Bye!

Jumaat, 12 September 2014

Dekorasi Bersama Ikea

Assalamualaikum,

Lamanya tak update blog :) Maklumlah semenjak sudah bergelar ibu kepada 5 orang anak ni, makin sibuklah pula rutin harian aku!

Ahad yang lepas aku ke Ikea. Masya Allah, ramainya orang kat situ. Rasa menyesal pun ada pergi waktu cuti dan kami sampai di sana pun agak lewat tengahari juga. Mula-mula pergi beli stok jualan kemudian pergi makan dulu kemudian baru ke Ikea. Sampai sana pun terus bergegas nak solat. Pening kepala bila manusia ramai dan anak-anak pun meragam.


Masa ni sedang menyusukan si Aaliyah. Bilik menyusu di Ikea ni kecil aje jadinya terpaksa bergiilir-gilir untuk menggunakannya. Nasib baik tempat menyusu tu dia letakkan langsir, jadinya ibu lain yang mahu menukar lampin anaknya bolehlah meneruskan kerja tanpa mengganggu ibu yang menyusukan anak.

Kalau ke Ikea tak sahlah kalau tak beli sesuatu kan. Adik ipar aku selalu bertanya apa yang menariknya Ikea ni? Bagi aku, tempatnya biasa-bias sahaja tapi Ikea ni cukup praktikal bagi mereka yang mempunyai masalah ruang dalam kediaman. Macam kami ni, sekarang suka beli rak pasang sendiri dan pasang dalam bilik sebab tak tahan anak-anak suka mengangkut barang kami. Dah puas dah sorokkan tapi mereka main juga, jadi solusinya adalah dengan meletakkan barang tersebut lebih tinggi dari mereka :)


Beli penyidai pintu ni untuk sangkut koleksi beg yang tak seberapa. Ada orang cakap kalau sangkut macam ni akan merosakkan handle beg jadi untuk elakkan dari rosak kita masukkan dulu dalam dust beg :)


Gambar selingan : aktiviti anak-anak. Husna memang suka melukis, Ashraf pula tak suka pakai baju dan Azzam si tukang sapu!


Tujuan utama aku ke sana adalah untuk beli rak ini. Harga dalam RM119 sahaja. Bukan apa, dapurku kan comel aje jadi perlukan rak untuk susun segala barangan yang ada. Maaflah rumah aku ada barang-barang plastik macam ni aje :P


Ini pula wajah terbaru SOHO aku. Dah beli rak pasang siap tapi kena tunggu en suami pasangkan cuti nanti. Nanti kat situ nak letak fail-fail dan peralatan printer.


Meja SOHO yang bersepah :)

Akhir kata, singgah baca blog baru aku di sini : www.zailamohamad.com untuk mengetahui tips dan panduan untuk menjana pendapatan dengan hanya berada di rumah sahaja :)

Bye! Selamat bercuti buat semua kanak-kanak riang. Kami nak balik ke kampung! Yeay :)

Isnin, 7 April 2014

Diari Suri Bekerja Dari Rumah : Wajah Baru SOHO


Assalamualaikum,

Gambar SOHO aku ni memang sudah tayang di facebook, tayang di blog Zailamohamad lagi dan kini ulang tayang lagi dalam blog ini juga. Khas buat mereka yang sedang mencari ilham untuk wujudkan ruang SOHO di rumah masing-masing.

Tapi aku nak kongsikan pengalaman aku membeli laptop baru ni. Manalah tahu, ada yang nak beli juga kan:)
Seperti yang telah aku bagitahu dalam entri-entri yang lepas, laptop lama aku telah pun kembali mengadap Ilahi selepas seminggu aku bercuti. Agaknya merajuk dengan aku sebab tak bawa dia balik bercuti sekali terus dia mengkojolkan diri tak sedar-sedar. Alhamdulillah, 5 tahun juga memberikan khidmat pada aku dan memang aku berpuas hati sangatlah dengan jenama Toshiba tu. Tapi, nak buat macamana jodoh antara kami terputus di akhir bulan Mac 2014;(

Sabtu lepas kami ke Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk aktiviti mencari laptop baru. Dalam masa yang sama mahu mencari sebuah printer juga. Alasan kami ke sini adalah kerana ianya berdekatan dengan rumah, jadi jika berlaku apa-apa kerosakan, en suami boleh datang terus ke kedai mereka untuk urusan pertanyaan atau pembaikian. Laptop Toshiba kami dulu dibeli di Plaza Low Yatt, punyalah jauh pergi kan? Tapi masa tu anak baru 2 orang aje, senang nak berangkut. Sekarang ni, anak dah 4 orang lepas tu faktor usia pon dah bertambah, hihihi redha ajelah pergi ke tempat "orang-orang lewat usia" shopping! Hahaha Jangan marah ya:P

Sampai-sampai aje kami terus menuju ke tingkat 3, sebelah lif terus berjumpa dengan sebuah kedai komputer. En suami terus masuk dan bertanyakan harga. Kali ini malas nak survey banyak-banyak kedai, nanti pening pula. Kebetulan kedai ini menawarkan harga yang dalam lingkungan budget aku, jadi kami terus bersetuju untuk membeli laptop jenama ASUS pada harga RM1249.00 lengkap dengan perisian Microsoft Windows 8 Pro 64 bit yang asli. Ikutkan hati berkenan dengan jenama HP warna merah tapi memandangkan laptop itu hanya berskrin kecil, aku redha memilih jenama ASUS warna putih.

Kalau membeli barangan komputer ni, memang kena pergi dengan en suami. Maklumlah aku ni dah lama tak mengikuti perkembangan teknologi komputer. Jadi bila jurujual tu bercerita aku hanya mendengar sambil mengelamun sahaja. HAHAHA Boleh pula berkenan dekat laptop HP hanya sebab ianya berwarna merah:) Tapi asib baiklah en suami ada dan menerangkan kebaikan ASUS ni jadi ambo hanya menurut perintah sahaja.

Kebetulan printer baru yang aku beli ini juga berwarna putih. Oooh ahkak suka lah sebab matching-matching gituuu. Ok, printer yang aku beli ni harganya RM209; jenama HP dan boleh melakukan 3 fungsi iaitu print, scan dan juga copy. Anak-anaklah yang paling teruja bila melihat aku print nota ebook malam tadi. Tiba-tiba Haziq rajin nak tolong mama angkut kertas A4 semalam :)


Biasalah barang baru semua nak kerumun tengok ;)

Alhamdulillah, syukur sangat-sangat bila dah dapat laptop dan printer. Antara gadget yang sangat penting bila bekerja di rumah. Hari tu, aku jual laptop Toshiba aku pada kedai yang menerima & membaiki peralatan komputer pada harga RM50.00 (sebenarnya budak jurujual tempat kami beli laptop baru ni yang tolong jualkan). Duit yang dapat aku beli power bank pada harga RM59.00 pula. Hihihi Sempat lagi tu!

Terima kasih en suami yang menyumbangkan sebahagian besar modal untuk membeli laptop dan printer ni. Eh ada juga duit aku sendiri. Yang pasti, aku gembira kerana sepanjang berniaga ada juga hasil yang dapat aku beli hasil dari mengumpulkan duit untung bersih bisnes itu. Selepas ini, kena usaha lebih kuat untuk merealisasikan segala impian yang lain pula.

Jadi, SOHO aku sudah berubah wajah, diharapkan semangat kerja aku pun akan bertambah-tambah selari dengan penggunaan gadget baru. Hihihi Bagi mereka yang mahu memulakan langkah pertama bekerja dari rumah, bolehlah hubungi aku melalui :

Email :zailamohamad@yahoo.com
Facebook : Zaila Mohamad
No Telefon : 012-3228651

Sehingga bertemu kembali. Jangan lupa singgah baca blog rasmi aku di ZailaMohamad.blogspot.com .

Isnin, 30 September 2013

Diari Suri Bekerja Di Rumah : Ilham SOHO Buat Suri Yang Bekerja Di Rumah

Assalamualaikum,

Ramai yang bertanyakan macamana mahu bina sebuah bilik untuk dijadikan ruangan pejabat di rumah (SOHO : Small Office Home Office). Ada yang memberikan alasan rumah yang kecil tiada bilik yang sesuai dan ada juga yang menyatakan rasa kecewa sebab tiada kelengkapan yang sesuai.

Jangan salah faham dengan entri ini : Ilham SOHO Dari Ikea kerana setiap orang keperluan dan kehendaknya berbeza. Di sini aku kongsikan beberapa tips untuk wujudkan ruang SOHO yang fleksibel untuk diri kita & anak-anak juga.

1) Penuhi yang asas dahulu : sebagai suri yang bekerja di rumah sudah tentulah kita memerlukan sebuah komputer peribadi dan talian internet. Bagi mereka yang ada kemudahan wifi di rumah lagi senang, SOHO boleh berubah-ubah ikut masa dan kehendak. Kalau mahu memasak, bawa sahaja ke dapur. Sambil goreng ikan boleh chat bersama pelanggan ataupun kemaskini status fanpage;)

2) Bilik Tidur : Tidak kisahlah bilik anak-anak mahupun bilik sendiri, senang sekiranya ada ruangan SOHO di situ kerana? Apabila anak-anak tidur, kita boleh bangun semula menyiapkan tugasan. Setiap masa kita bersama anak-anak, melihat mereka bermain dan tidur tapi dalam masa yang sama melakukan tugasan kita juga.

3) Ruang Selamat : Kalau ada anak-anak kecil pastikan ada hamparan permaidani mahupun tikar yang lembut di sekitar SOHO kita. Biarkan anak-anak bermain sambil kita melakukan kerja.

4) Peralatan Tambahan : Apabila bisnes sudah maju atau memerlukan kita untuk merekod segala urusan jual beli, bolehlah melabur sedikit dengan menyediakan ruangan yang lebih selesa dan praktikal. Contohnya menambahkan kabinet untuk simpanan fail-fail, menambahkan peralatan elekrtik seperti mesin faks, mesin pencetak mahupun sesuatu yang berkaitan dengan kerja kita.

5) Beri Ganjaran : Penting juga memberikan ganjaran untuk diri sendiri sekiranya berjaya melakukan sesuatu. Sebagai motivasi agar lebih bersemangat untuk berusaha. Antaranya bolehlah membelikan perabut idaman hati mahupun buku-buku motivasi sebagai pemangkin semangat suri untuk bekerja lebih kuat lagi.

Jom lihat beberapa ilham dekorasi SOHO yang sesuai dipraktikkan sekiranya mampu :-








Ini pula keadaan di dalam bilik SOHOku, anak-anak bebas bermain di dalam bilik tapi siapa yang bising atau buat sepah haaa kenalah nanti dengan mama nya..hihi Selalunya Haziq & Husna ditugaskan menjaga si kecil supaya tidak memakan atau mengutip barangan di atas lantai. Alhamdulillah, bak kata orang tua-tua nak seribu daya tak nak seribu alasan.

Jadi mulakan langkah dengan mewujudkan pejabat kecil di rumah yang fleksibel dengan anak-anak dan waktu bekerja kita. Aku memilih bilik tidur sebab kalau penat mata boleh baring terus..Hihihi Kalau di dapur pula senang bawa handset sahaja. Sambil-sambil masak sambil jawab pertanyaan pelanggan. Cewah!

Hingga bertemu lagi dengan perkongsian yang lain.

Jom beriklan di sini :   SOHO Directory
Baca terma iklan di sini : http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/iklankan-produk-servis-di-rangkaian.html

Jom beli buku agama & motivasi di sini : Kedai Buku Online Anda
Jom beli makanan sunnah & kelengkapan solat di sini : Gedung Sunnah Online 
Jom beli kelengkapan parti harijadi pada harga borong di sini : MKS Party Solution
Jom jalan-jalan cari makan di sini : JJCM Keluarga Zaila
Jom sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah di sini : Akademi Bekerja Di Rumah

Untuk yang berminat mendaftar belajar kelas asas blog & fanpage, hubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : zaila mohamad

Sabtu, 28 September 2013

Diari Suri Bekerja Di Rumah : Lakukan Apa Yang Kita Suka


Assalamualaikum,

Pagi yang tenang, Alhamdulillah kami semua bersarapankan bihun goreng dan teh susu. Semestinya menu kegemaran anak-anak. Abang Haziq makan sampai bertambah. Inilah kebahagiaan seorang ibu apabila melihat anak-anak makan dengan berselera.

Hari ini mahu berehat dahulu di waktu pagi. Insya Allah dalam petang mahu keluar membeli barangan untuk pelanggan dari Pulau Pinang. Iya, pelanggan yang pernah membeli barangan belon untuk temasya sukan sekolahnya. Tahun ini menerima tempahan 100 keping belon animasi pelbagai watak kartun. Alhamdulillah walaupun hanya dilakukan hanya pada hujung minggu tetapi pelanggan faham. Mereka selalunya menempah sebulan awal lagi. Kalau kita berikan servis yang terbaik, Insya Allah senang untuk berurusan. Pengalaman yang lepas banyak mengajar aku dalam berurusniaga dengan pelanggan. Selalunya kalau ambil tempahan minit terakhir pasti akan berlaku sedikit kekecohan seperti barangan lambat sampai, barangan rosak dan macam-macam lagi. Selalunya memang aku akan bertanggungjawab dengan memulangkan semula duit pelanggan tetapi bukan selalu semua perkara kita yang bersalah. Jadi untuk selamat baik jelaskan siap-siap kita hanya mengambil tempahan sebulan dari tarikh sahaja :)

Baik, begitu juga caranya bagi surirumah yang tidak ada kenderaan untuk keluar menghantar barang. Asal ada minat untuk berniaga, ada sahaja caranya. Kalau dulu aku berniaga secara online & offline, selalu juga keluar mencari barangan di hujung minggu. Iya waktu anak masih dua, segalanya senang sahaja. Alhamdulillah dikurniakan suami yang memang cukup memberikan sokongan. Tapi sekarang bila sudah beranak empat, masa memang terhad. Waktu hujung minggu sangat terhad kerana mahu menyiapkan segala tugasan rumah yang perlu diselesaikan supaya hari bekerja tidak kelam-kabut. Jadinya aku memilih untuk berniaga secara dropship. Cukup mudah, cukup senang! Tidak memerlukan barangan dan kenderaan untuk keluar dari rumah. Hanya luangkan masa di hadapan komputer dan lakukan promosi. Ada rezeki bolehlah bersih dalam RM10-RM50 sehari. Bergantung kepada usaha juga ya:)

Jadi tiada sebabnya untuk sentiasa hidup dalam mencipta alasan. Tiada gunanya juga sekadar tahu mengeluh duit tak cukup keperluan tak dipenuhi, tertekan dengan kos hidup sekarang ini. Bantulah diri sendiri dengan cuba ubah diri sendiri. Carilah kawan-kawan yang sentiasa memberikan sokongan dan nasihat yang berguna. Ikutilah perkembangan sifu-sifu pemasaran internet yang sudah banyak berjaya. Iya, mereka berjaya kerana mereka juga telah melalui fasa-fasa untuk berubah. Bukan setakat duduk termenung mengenangkan nasib diri. Bagi mereka yang mahu belajar kelas asas blog & fanpage, carilah guru untuk menuntut ilmu, boleh daftar dengan aku sekarang juga:)

Setakat ini sahaja, Insya Allah akan banyak lagi perkongsian menarik akan menyusul.

Jom beriklan di sini :   SOHO Directory
Baca terma iklan di sini : http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/iklankan-produk-servis-di-rangkaian.html

Jom beli buku agama & motivasi di sini : Kedai Buku Online Anda
Jom beli makanan sunnah & kelengkapan solat di sini : Gedung Sunnah Online 
Jom beli kelengkapan parti harijadi pada harga borong di sini : MKS Party Solution
Jom jalan-jalan cari makan di sini : JJCM Keluarga Zaila
Jom sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah di sini : Akademi Bekerja Di Rumah

Untuk yang berminat mendaftar belajar kelas asas blog & fanpage, hubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : zaila mohamad

Ahad, 15 September 2013

Promosi Fabrik Cotton Dari Jepun & Tempah Beg Cantik

*Segmen tajaan selama 24 jam*

Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu dan selamat menyambut hari Malaysia :) Alangkah bertuahnya hidup di bumi Malaysia kan? aman damai, makanan pun banyak!

Kali ini aku ingin memperkenalkan protege terbaru aku yang baru sahaja mendaftarkan diri di dalam kelas asas blog & fanpage (perniagaan) iaitu Pn. Noriati Saud, suri kepada 4 orang hero dan kini sedang menetap nun jauh di bumi sakura iaitu Jepun. Walaupun jauh beribu batu tetapi ianya bukanlah halangan untuk Pn Noriati mengikuti kelas yang aku ajarkan kerana kelas ini adalah 100% dalam talian. Tidak perlu bertentang mata, hanya kecanggihan teknologi yang menjadi medium untuk kami berhubung.

Alhamdulillah, berkat kesungguhan Pn Noriati untuk belajar, dalam masa beberapa hari sahaja sudah berjaya menyiapkan hampir kesemua tugasan yang diberikan. Syabas buat Pn Noriati. Beliau sendiri pun bukan calang-calang suri, suri yang menyandang ijazah di dalam Sains Komputer dan juga merupakan bekas pensyarah matrikulasi. Berkorban kerjaya demi keluarga dan kini Pn Noriati ingin melangkah setapak ke hadapan lagi dengan menjalankan perniagaan online menjual pelbagai fabrik yang didatangkan khas dari bumi Jepun. Selain itu, Pn Noriati juga gemar menjahit dan memasak. Jemput singgah baca blog beliau di sini


kerana ada banyak resepi dan juga pengalaman beliau menjadi suri di negara orang. Bukan mudah untuk hidup di negara yang majoritinya bukan Islam. Tapi aku rasa dari satu segi sudah tentu rakyat Jepun adalah lebih bertamadun dari rakyat Malaysia kan? Mungkin kerana faktor sejarah sendiri dan kemajuan teknologi di sana yang tidak setanding negara ini. Mungkin juga kerana kebangkitan selepas Perang Dunia Kedua yang menjadikan mereka lebih bertamadun dan berdisiplin dalam melakukan kerja harian. Cewah! Pandai-pandai pula aku bagi teori ya? Kalau nak tahu, kenalah ikuti pengalaman Pn. Noriati sekeluarga di Jepun ini.

Jemput singgah like fanpage From Japan With Love. Di sini aku kongsikan beberapa gambar koleksi kain cotton yang sangat cantik asli dari bumi Jepun. Bolehlah singgah cuci mata dan tempah andai ada yang berkenan. Bukan setakat menjual kain sahaja tetapi Pn Noriati juga ada mengambil tempahan untuk menjahit beg untuk kegunaan harian.









Selamat mencuci mata dan selamat membeli belah! Dapatkannya sebelum terlambat:)

Jom beriklan di sini :   SOHO Directory
Baca terma iklan di sini : http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/iklankan-produk-servis-di-rangkaian.html

Jom beli buku agama & motivasi di sini : Kedai Buku Online Anda
Jom beli makanan sunnah & kelengkapan solat di sini : Gedung Sunnah Online 
Jom beli kelengkapan parti harijadi pada harga borong di sini : MKS Party Solution
Jom sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah di sini : Akademi Bekerja Di Rumah

Untuk yang berminat mendaftar belajar kelas asas blog & fanpage, hubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : zaila mohamad

Khamis, 12 September 2013

Diari WAHM SAHM SOHO : Rancang Masa Depan Sang Suri Dari Sekarang


Assalamualaikum,

Alhamdulillah hari yang hebat bermula dari malam hari lagi. Teringat pesan sifu Masayu Ahmad (pengasas Akademi Bekerja Di Rumah) yang selalu berpesan supaya tanamkan di dalam minda separa sedar kita untuk berusaha dapatkan lebih income untuk esoknya. Alhamdulillah syukur ya Allah, pagi tadi mendaftar masuk lagi seorang pelajar untuk kelas asas blog & fanpage kelolaan aku:)

Ramai masih bertanya-tanya apakah jenis bisnes yang aku lakukan dari rumah memandangkan keadaan aku yang tidak boleh keluar ke mana-mana sesuka hati. Bukan en suami tidak mengizinkan tapi keadaan Azzam & Ashraf yang masih kecil memang tidak bagi peluang langsung untuk aku meneruskan perniagaan online yang aku jalankan dahulu. Tapi tidak mengapa kerana sekarang ini aku sudah ada bidang kerja baru iaitu menjadi guru online. Ternyata bidang kerja baru ini memenuhi kriteria aku yang sukakan bekerja di rumah. En suami cakap aku sudah menemui "passion" aku dalam bekerja =P

Sejak mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga anak sepenuh masa, memang tak dinafikan aku selalu juga terfikir untuk mencari pendapatan sampingan. Maklumlah dahulu semasa bekerja memang aku jenis yang suka berbelanja dan sudah biasa pegang duit, jadi bila tidak ada pendapatan tetap ni rasa macam agak tertekan juga. Mana nak bayar hutang PTPTN, mana nak bagi belanja mak ayah di kampung, mana nak belanja untuk diri sendiri dan juga anak-anak.

Alhamdulillah Allah permudahkan segala urusanku, bermula dengan dunia blog aku mengenali Pn. Masayu Ahmad yang kemudian mengajak aku menjadi ahli dropship produk makanan sunnah dan juga buku online. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, terus aku berkata ya kerana memikirkan keadaan yang menyenangkan jika menjadi ahli dropship; tidak perlu keluar rumah menghantar barang cuma sekadar membuat iklan dan promosi sahaja. Tapi bekerja sendiri juga memang ada pasang surutnya kerana kadang-kadang aku cepat hilang fokus, lepas itu tidak pandai menguruskan masa & juga wang yang masuk. Memang awal-awal tu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Baki akaun dalam bank tidak bersisa kerana perangai diri aku yang boros juga. Maklumlah bila ada duit mulalah gatal tangan nak membeli online=P

Tapi sampai satu masa aku sedar juga yang sebagai surirumah juga aku sendiri harus rancang kewangan masa depan aku khas untuk kesenangan diri & juga keluarga. Alhamdulillah berkat melihat usaha Pn Masayu yang begitu bijak mengatur jadual dan perniagaannya, sedikit demi sedikit aku juga mengikut trek yang telah disediakan oleh Pn. Masayu. Berbekalkan juga kepercayaan dari en suami yang memang memberi sokongan penuh kepada aku untuk terus bekerja di rumah. Kini rasanya aku akan terus berusaha dari sekarang untuk menambah baik ekonomi diri sendiri dan juga keluarga.

Kalau dulu semasa bekerja sudah tahu setiap bulan akan masuk berapa ke dalam bank tapi kini semua rezeki Allah yang tentukan. Jadinya kalau usaha lebih Insya Allah ada rezeki yang masuk. Yang penting hubungan dengan pemberi rezeki jangan diabaikan. Mudahnya menjemput rezeki andai kita tahu caranya. Yang penting sebagai suri yang bekerja dari rumah jangan lupa untuk sentiasa bersedekah dan membayar zakat. Zakat adalah satu perkara yang aku tahu hanya selepas bekerja dari rumah. Kalau sebelum ini semua mengharapkan en suami yang bayarkan tapi rupa-rupanya ada banyak cabang zakat yang harus ditunaikan. Bagi mereka yang bekerja dari rumah, ingat! Jangan lupa tunaikan zakat perniagaan setiapkali mendapat sesuatu keuntungan yang besar. Zaman teknologi serba mudah, google sahaja cara perkiraan zakat (hihi padahal diri sendiri hanya bertanyakan sifu & kawan-kawan sahaja) dan boleh buat bayaran melalui Maybank2u. Mudah kan? Tiada alasan untuk tidak menjemput rezeki lagi :)

Oklah, sedikit iklan. Bagi mereka yang berminat untuk membuat pelaburan di dalam unit pelaburan Public Mutual, boleh singgah baca blog protege aku Pn. Rogayah Musa iaitu di blog (Info Kewangan & Kesihatan) supaya boleh merancang kewangan di masa hadapan nanti. Alhamdulillah berbekalkan sedikit hasil penat bekerja dari rumah, aku kini memang cukup sayang untuk membelanjakan duit hasil titik peluh sendiri untuk memenuhi hawa nafsu diri (apa lagi kalau bukan shopping online). Insya Allah, azam aku adalah untuk memastikan hutang PTPTN aku akan habis bayar di usia masih muda lagi dan ingin berbakti kepada orang tua di kampung juga. Moga Allah permudahkan dan perkenankan niat aku sang suri yang bekerja dari rumah ini :)

Teringat kala berada di rumah Abang Lan di Bera pagi Ahad yang lepas di mana ibu angkat Abang Lan sekeluarga datang bertandang. Seronok orang tua tu bercerita tentang anaknya yang telah berumahtangga dan ada yang bongsu masih bujang trang tang tang. Kata nenek (panggilan kepada ibu angkat Abang Lan) "Kali ini nak cari menantu nak tapis sedikit, tak nak dah jadi macam menantu si polan yang tak bagi isterinya bekerja". Aku hanya mendengar dari jauh, nak tergelak pon ada. Lumrah orang tua yang kebanyakannya berfikir kalau jadi surirumah tiada pendapatan hanya berharap duit belas ihsan dari sang suami sahaja. Masakan tidak nenek berkata begitu kan? Tapi hormatkan nenek aku hanya tersenyum sahaja! Ingin juga menjawab "Eloklah nenek, laki dia tak bagi kerja sebab sayangkan bini, dia suruh bekerja dari rumahlah tu" Hihi Kalau aku jawab macam tu mesti nenek tergamam agaknya! =P

Oklah, sekadar borak-borak kosong, cerita di atas tiada kaitan dengan kisah hidup sesiapa ya:)

Salam kasih sayang buat semua.

Jom beriklan di sini :   SOHO Directory
Baca terma iklan di sini : http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/iklankan-produk-servis-di-rangkaian.html

Jom beli buku agama & motivasi di sini : Kedai Buku Online Anda
Jom beli makanan sunnah & kelengkapan solat di sini : Gedung Sunnah Online
Jom beli kelengkapan parti harijadi pada harga borong di sini : MKS Party Solution
Jom sertai kami di Akademi Bekerja Di Rumah di sini : Akademi Bekerja Di Rumah

Untuk yang berminat mendaftar belajar kelas asas blog & fanpage, hubungi melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : zaila mohamad

Selasa, 3 September 2013

Diari WAHM SAHM SOHO : Minyak Naik, Apa Peranan Surirumah Kepada Keluarga


Gambar hiasan : senda gurau pagi Selasa :) 

Assalamualaikum,

Pasti ramai yang sudah tahu bahawa berkuat kuasa hari ini harga minyak petrol RON95 telah pun dinaikkan sebanyak 20 sen. Syukur dua puluh sen kalau naik empat puluh sen atau seringgit macamana? Selalulah berfikiran positif macam ni ya :P

Kalau harga minyak tak naik pun, harga barang-barang lain dah lama naik, lepas ni diharapnya semoga kerajaan kita janganlah duduk goyang kaki sahaja, silalah bekerja menjejak harga-harga barangan di pasaraya supaya kita rakyat-rakyat ini tidak akan rasa kesan kenaikan daripada harga minyak tu. Sekarang ini pun sudah terasa kalau ke pasaraya bawa RM50 dapat dua tiga ketul barangan sahaja. Bagi yang beranak ramai macam aku ni lagilah kena kuat iman, kena tahan nafsu untuk membeli..huhu

Di sini aku senaraikan beberapa langkah yang boleh diambil oleh surirumah di luar sana sebagai langkah untuk menangani masalah kenaikan harga minyak : 

1) Membuat senarai barangan dapur : 

terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menambahkan satu lagi bidang kerja surirumah iaitu sekarang menjadi tukang semak harga barang. Iyalah, kenalah bijak menguruskan barang dapur supaya tiada pembaziran yang akan berlaku. Kalau dulu selalu beli sayur hijau banyak-banyak kemudian kering dalam peti (aku lah tu) jadinya selepas ini kena cari cara supaya sayur akan kekal segar walaupun sudah seminggu di dalam peti. Takpun beli sayuran yang memang jenis tahan lama seperti labu, terung, kobis, lobak merah dan cendawan. Sayuran hijau pula boleh beli cuma kena pastikan dimasak terus atau bekukan di dalam freezer supaya tahan lama.

2) Berjimat cermat

Masih ingat lagi dengan entri ini (Peranan Seorang Surirumah Dalam Keluarga) di mana aku telah mengambil langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan bil elektrik rumah ini. Alhamdulillah, ianya berjaya diturunkan sebanyak RM40. Memang kita sebagai surirumah kena sentiasa waspada dan didik anak-anak supaya tutup kipas dan lampu setiapkali tidak mahu menggunakannya. Memanglah kita tidak boleh menurunkan bil elektrik kepada yang asal dahulu (dalam RM100+) tapi sekurang-kurangnya ada perubahan dan duit yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan yang lain seperti susu anak mahupun barangan dapur yang lain.


gambar : sekarang ni bilik kerja aku (SOHO) sebelah tingkap jadinya kalau petang buka sahaja tingkap angin sepoi-sepoi masuk dalam bilik..nyaman sungguh! Tambahan pula selepas hujan, dengan pemandangan hijau memang menyejukkan mata memandang:)

3) Perbaiki ekonomi keluarga dengan berniaga

Memang tak dinafikan lagi berniaga memang salah satu cara untuk menambahkan wang poket belanja keluarga. Pengalaman aku sendiri yang sekarang ini sudah fokus dalam berniaga, pendapatan ribuan ringgit memang bukan satu lagi angan-angan, yang penting usaha kenalah seiring dengan cita-cita. Niat juga kena betul, jangan niat untuk kaya raya semata-mata tetapi biatlah untuk ubah nasib keluarga & anak-anak kemudian bantulah mereka yang tidak berkemampuan. Alhamdulillah, aku sendiri sejak tidak bekerja baru sedar akan kuasa sedekah betapa ianya mampu membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Jadi, jangan takut untuk bersedekah, niatkan dalam hati nak berbisnes untuk bantu orang lain. Insya Allah, rezeki kita tidak akan pernah putus. Buat surirumah yang lain, ayuh bangkit dari zon selesa, gerakkan sedikit kaki tangan supaya sentiasa sibuk mencari peluang untuk membantu surirumah yang lain. Betapa ramai yang hidup susah gara-gara duit belanja rumah tak pernah cukup, dapat pula suami yang malas bekerja, sungguh mencabar kan? Tapi ini semua boleh diubah, yang penting usaha & niat yang berterusan:)

Iklan sekejap : Kelas asas blog & fanpage yang aku kendalikan masih lagi mengambil pelajar baru. Alhamdulillah dengan sambutan yang menggalakkan, bukan setakat para suri yang mendaftar tetapi juga mendapat perhatian dari golongan profesional yang lain seperti jurutera, pensyarah, pekerja swasta & juga kerajaan, semuanya dengan matlamat untuk membina tapak jualan online dan mencari pendapatan sampingan. Bagi mereka yang tidak mempunyai produk, jangan risau kerana kami (Akademi Bekerja Di Rumah) menyediakan produk seperti makanan sunnah, pakej-pakej buku, produk digital dan juga sekarang ini dengan adanya protege di bawah aku yang menjual pelbagai produk seperti tudung, pakaian kanak-kanak, produk makanan dan banyak lagi. Peluang menjadi ejen dropship memang sentiasa terbuka luas. 

Berminat untuk menyertainya, sila :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms / whats app : 012-3228651
Facebook : Zaila Mohamad

4) Membuat simpanan sendiri

Sebagai surirumah sudah tentulah kita juga harus mempunyai wang simpanan mahupun apa jua simpanan dalam bentuk barang kemas, saham mahupun insuran sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi apa jua cabaran mahupun dugaan hidup yang bakal melanda. Sebolehnya cuba disiplinkan diri menabung dan simpan duit itu di tempat yang selamat. Alhamdulillah berkat duit berniaga aku mampu untuk membeli pejabat idaman hati (SOHO) boleh baca entri ini (http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/diari-wahm-sahm-soho-ilham-soho-dari.html) , boleh membuat pelaburan dengan Public Mutual dan Insya Allah dari masa ke semasa akan difikirkan lagi. Kalau dulu masa bekerja asyik fikir nak beli barangan sahaja (handbag, baju, barang kemas dan lain-lain..biasalah perempuan kan banyak nafsu) tapi kini sejak tak ada sumber pendapatan yang tetap, memang aku sentiasa berwaspada agar tidak terlalu boros dalam berbelanja:) Alhamdulillah bermula dari bulan ini sudah mampu membayar bil broadband sebanyak RM98 sebulan, Insya Allah lepas ni cuba untuk langsaikan hutang PTPTN secepat yang mungkin. Moga Alla permudahkan segala urusanku

5) Jaga hubungan dengan pemberi rezeki

Memang inilah akar tunjang atas segala apa yang kita buat. Sejak bekerja sendiri, memang terasa sangat-sangat yang kita ini sebenarnya terlalu bergantung kepada si DIA (Allah SWT) si pemberi rezeki. Kalaulah hubungan denganNYA rapuh, manakan mungkin kita akan mendapat nikmat rezeki. Lagi satu kenalah bersyukur, walaupun hanya dapat jualan sebanyak RM10 sahaja (biasanya dapat RM100 tapi kadang-kadang ada juga dapat RM10) jadi kena sentiasa bersyukur, jangan ingat nak banyak sahaja tapi bila dapat yang sedikit dicemuh pula:P Setiapkali dapat duit, pastikan simpan untuk diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan, zaman IT sekarang nak derma cukup senang, bila ternampak kawan-kawan share dalam facebook tu silalah bantu, transfer sahaja ke dalam akaun Maybank melalui internet banking, kalau shopping online pandai sudah pastinya dema online lagilah pandai :))

Oklah, aku rasa itu sahaja antara langkah-langkah yang boleh di ambil. Insya Allah kalau ada kelapangan dan masa aku akan merapu lagi. Buat masa sekarang nak makan nasi dahulu..hihi


gambar : mana tak cekak pinggang en suamiku, setiapkali isi minyak penuh tangki cecah RM100..hihihi botak kepala lutut tapi Alhamdulillah nasib baik en suami ada bini rajin bekerja..kuikuikui

Maaf pada yang terasa, sekiranya cara yang aku sarankan itu salah, apa kata bagi cadangan supaya kita masing-masing dapat membantu menaikkan taraf kewangan keluarga masing-masing. Jazakallukhairan.

Salam kasih sayang buat semua. Jom nikmati kesan kenaikan harga minyak dengan minda yang positif:)

Khamis, 22 Ogos 2013

Diari WAHM SAHM SOHO : Ilham SOHO Dari Ikea


Assalamualaikum,

Seperti dijanjikan, di sini aku kongsikan gambar SOHO terbaru aku. Apa itu SOHO? Small Office Home Office iaitu lebih kurang pejabat bagi mereka yang bekerja dari rumah.

Alhamdulillah terima kasih buat en suami yang tolong pasangkan meja ni. Berpeluh-peluh jugalah nak pasang dari satu-satu menjadi sebuah meja. Ambil masa dalam 2 jam setengah juga tau..HAHA Kalau kerusi tu sekejapan sahaja sebab tak banyak benda yang nak kena pasang!

Sekadar perkongsian bagi mereka yang sedang mencari & ingin memiliki SOHO sendiri, semua barangan ini aku beli di Ikae *aku kan pencinta barangan Ikea #walaupunbarangIkeatakderlahelokmana*

Untuk meja aku beli yang ini :


Mula-mula nak ambil yang warna hitam tapi tersalah ambil hijau+putih..bukan sebab PAS yaaaa:P

Kerusi pula en suami suruh ambil yang selesa sedikit
http://www.ikea.com/my/en/catalog/products/70196598/

Lampu & bunga tu pun dari Ikea tapi dah lama beli..Buat hiasan semata-mata..

Alhamdulillah, berjaya juga aku beli meja & kerusi hasil dari duit sendiri. Ingat nanti nak tambah sikit-sikit tempat letak fail & board supaya senang untuk simpan segala maklumat dan buku-buku.

Oklah, kelas asas blog & fanpage semakin rancak menerima keahlian baru. Untuk pertanyaan, hubungi aku melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : Zaila Mohamad

Ruangan iklan juga sudah dibuka, baca di sini http://zailabinimdae.blogspot.com/2013/08/iklankan-produk-servis-di-rangkaian.html untuk keterangan lanjut.

Bye! Nantikan entri pengalaman aku menjalankan perniagaan kerepek di bulan Ramadhan yang lepas. Sekadar berkongsikan pengalaman supaya nanti kawan-kawan di luar sana boleh ambil pengalaman aku sebagai rujukan, pahit manis menjadi seorang peniaga kecil-kecilan ini :P

Iklan Dibawakan Oleh Nuffnang

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About this blog

Segala isi kandungan di dalam blog ini adalah luahan hati tuan empunya blog sahaja, tiada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahupun yang sudah tiada di muka bumi ini..Bahasa yang digunakan adalah sedikit rojak kerana tuan empunya blog hanya mampu mendapat Credit 4 untuk Bahasa Melayu & Credit 3 untuk Bahasa Inggeris pada SPM tahun 1999. Jadi, bimbingan ibubapa adalah diperlukan bagi menafsirkan bahasa rojak yang digunakan;)

Segala bahan, gambar & segala kandungan blog ini adalah kepunyaan peribadi tuan empunya blog (melainkan dinyatakan sumbernya) untuk tatapan generasi akan datang tuan empunya blog nanti. Setiap bahan, gambar & segala kandungan yang ingin diguna pakai, haruslah memberi kredit kepada Zailabinimdae's blog atau diletakkan link blog ini.

Di bawah AKTA 588, AKTA Komunikasi & Multimedia 1998, seseorang individu boleh didakwa sekiranya anda berniat untuk menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau mana-mana nombor atau alamat elektronik. Jadi, hormatilah coretan rasa tuan empunya blog agar kita semua dirahmati & berada di bawah lindungan ALLAH selalu^_^