Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di www.wadah.org.my/).
Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.
Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at
“Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر).”
Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at.
“Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.”
Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.
“Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah.
Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.
“Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.
Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.
“Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah).
Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.
“Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) - Al-Nur:11” “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - Al-Nur:19”.
Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato’ Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato’ Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.
Abdul Halim Ismail
Setiausaha Agung WADAH.
23 Muharram 1433
19 Disember 2011
Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/sudut-dakwah/7129-pendirian-wadah-mengenai-isu-qazaf