Rabu, 19 Ogos 2009

REFORMASI DAN DIALOG PENDEMOKRASIAN DI DUNIA ISLAM¬– CABARAN BARU KEPADA PENTADBIRAN OBAMA

Perkembangan yang amat menarik di Timur Tengah sejak Obama mengambil-alih kepimpinan Amerika Syarikat adalah arus kebangkitan yang mendesak kearah hak-hak ‘kebebasan bersuara’ dan ‘pendemokrasian’ yang melanda rantau itu. Tuntutan ini di pelupori oleh pertubuhan-pertubuhan Islam serta parti-parti politik liberal yang kembali menuntut hak mereka secara terbuka untuk bersama-sama terlibat secara bebas dan adil dalam proses demokrasi dan pilihanraya. Di Mesir, Syria, Arab Saudi serta Tunisia perhimpunan serta demonstrasi di jalan-jalan raya telah diadakan bagi mendesak pemerintah agar mengembalikan hak demokrasi serta kebebasan di negara masing-masing.

Amerika Syarikat pula yang merupakan kuasa terunggul yang menentukan percaturan di Timur Tengah dan dunia Islam di dalam reaksinya seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada perubahan pendemokrasian di rantau ini. Mereka secara terbuka telah menggesa agar di berikan hak serta kebebasan di dalam amalan serta proses demokrasi. Reaksi ini merupakan suatu ‘policy shift’ yang baru di dalam penilaian Washington terhadap demokrasi dan kebebasan di dunia Islam dan Timur Tengah terutamanya yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan serta gerakan Islam.

Malahan beberapa siri pertemuan dan dialog di antara pembuat polisi di Washington dengan pimpinan gerakan Islam yang di anggap ‘radikal dan ekstrimis’ di Timur Tengah dan negara-negara Islam telah di adakan. Perubahan polisi ini adalah akibat dari saranan beberapa ‘think thank’ yang berpengaruh di Washington agar kerajaan Amerika Syarikat ‘listen and talk’ (mendengar dan berbincang) dengan pemimpin-pemimpin gerakan Islam di Timur Tengah serta negara-negara Islam.

US Commissionon International Religious Freedom (USCIRF), sebuah think-thank yang menasihatkan Presiden Obama, Kongress serta Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai hak dan kebebasan agama telah mengatur pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan Ikhwan Muslimun di Mesir. Malahan Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menggariskan satu memo agar diadakan dialog dan perbioncangan secara berterusan dengan pemimpin pergerakan Ikhwan Muslimun. Mereka juga telah menganjurkan seminar US-Islamic World Forum di Doha, Qatar bagi membincangkan proses pendemokrasian di negara-negara Islam.

Perkembangan ini amat menarik kerana Ikhwan Muslimun adalah pergerakan yang ‘diharamkan’ sejak berpuluh-puluh tahun di kebanyakan negara di Timur Tengah. Malahan kebanyakan pimpinan tertinggi pertubuhan ini di penjara dan puluhan ribu pengikutnya di kenakan pelbagai tindakan oleh pemerintah. Mereka tidak dibenarkan langsung untuk terlibat dalam apa jua bentuk aktiviti bersifat politik yang dianggap boleh mengancam pemerintah.

Lebih menarik lagi apabila pegawai-pegawai tinggi Washington di seminar US-Islamic World Forum di Doha turut menegaskan bahawa mereka bersedia ‘menerima’ penglibatan kumpulan-kumpulan Islam yang sebelum ini di labelkan sebagai ‘terroris dan pengganas’ seperti Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan di dalam proses pendemokrasian tetapi pertubuhan ini mesti memahami ‘the rules of the game’. Malah Peter Singer dari Brookings Institute yang berpengkalan di Washington turut menyarankan agar Hamas serta Hizbullah meninggalkan perjuangan bersenjata mereka dan terlibat terus dalam proses demokrasi yang sedang berjalan di negara masing-masing.

Selain dari itu, European Union (EU) juga telah membuat ‘perubahan polisi’ apabila mereka membuat keputusan agar di buka ‘pintu dailog’ dengan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam di Timur Tengah bagi menggalakkan lagi transisi kearah pendemokrasian. EU melihat bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam di sana perlu di berikan ruang untuk sama-sama terlibat didalam proses pendemokrasian serta di berikan hak untuk bergerak bebas.

Persoalannya apakah ‘new policy shift’ Amerika Syarikat serta EU kearah pendemokrasian di Timur Tengah dan dunia Islam ini sudah mula merobah sikap serta prejudis mereka terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam untuk turut sama terlibat didalan proses demokrasi?

Yang pastinya sejak sekian lama pertubuhan serta gerakan Islam yang dilihat dari kacamata Washington sinonim dengan ‘fundamentalis’, ‘radikal’, ‘militan’, ‘fanatik’ atau ‘ekstrimis’. Yang digambarkan adalah sekelompok Muslim yang berjambang serta menunjukkan sifat-sifat ‘bengis’ dan ‘ganas’. Lebih parah lagi apabila polisi Washington pasca September 11 melihat pertubuhan Islam sebagai mempunyai kaitan rapat dengan ancaman ‘Global terrorism’ .


Namun terlalu banyak persoalan yang perlu di jawab oleh pembuat polisi di Washington. Apakah mereka telah bersedia untuk merubah polisi luarnya di Timur Tengah serta negara-negara Islam yang selama ini bersifat ‘hostile’ dan ‘dangerous’? Profesor Bahram Fozooni, seorang pakar perhubungan Antarabangsa dari University of California menyatakan bahawa ada empat faktor utama yang mendorong polisi ‘double standard’ ini;

Pertamanya pengaruh rejim Zionis Israel yang begitu kuat keatas Kongres Amerika Syarikat. Mereka percaya bahawa kebangkitan Islam yang di pelopori oleh pertubuhan-pertubuhan Islam adalah amat bahaya kepada ‘keamanan’ di rantau tersebut. Masadepan serta survival rejim Zionis Israel perlu di pertahankan bagi menghadapi kebangkitan ini.

Keduanya, negara Arab yang dianggap ‘sederhana’ adalah merupakan sekutu rapat Washington. Kebimbangan mereka terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam lebih besar bahayanya dari rejim Zionis itu sendiri dan dengan alasan ‘ancaman terroris’ inilah Amerika Syarikat membina kekuatan ‘ketenteraan’ mereka di sana.

Ketiganya selepas kehancuran Soviet Union, Amerika Syarikat terus mencari alternatif kepada musuh lama mereka. Yang pasti kebangkitan Islam serta gerakannya menjadi musuh utama selepas kejatuhan Soviet ini. Peluru-peluru berpandu nuklar yang dahulunya ditujukan kepada Soviet sekarang ini telah berpindah kepada ancaman baru di Iran dan Syria serta Sudan.

Dan keempat, pihak risikan Amerika seperti CIA dan FBI terus menerus meletakkan bahawa pertubuhan serta gerakan Islam adalah amat bahaya kepada masadepan Amerika dalam arena politik antarabangsa. Cadangan-cadangan yang di berikan untuk menghadapi pertubuhan-pertubuhan Islam adalahg bersifat “menghapuskan terroris dan pengganas”.

Persoalannya apakah Washington telah bersedia menerima kenyataan bahawa konflik yang berlaku di bumi Palestin, Afghanistan dan Iraq dengan jelas menunjukkan sikap ‘berat sebelah’ polisinya ‘untuk mempertahankan pencabulan undang-undang antarabangsa’? Bagi saya 4 persoalan pokok ini semestinya di jawab oleh kepimpinan Obama dan sekutunya;

1. Apakah Washington sudah bersedia ‘menghukum’ negara Zionis Israel yang mencabul hak asasi serta membunuh ribuan rakyat Palestin yang tidak berdosa?

2. Atau apakah Washington sudah bersedia melonggarkan hegemoni serta penguasaan mereka terhadap negara-negara umat Islam?

3. Bagimana pula pemimpin-pemimpin negara Islam yang menggunakan ‘ancaman pengganas agama’ pasca Septembar 11 bagi menyekat sebarang bentuk kebebasan serta pendemokrasian dari berlaku terutamanya terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam?

4. Apakah ‘kuasa’ pemerintah yang di dokong oleh Washington ini sudah boleh di ganti dengan pihak lain terutamanya dari pertubuhan Islam melalui proses demokrasi?


Namun yang jelas Washington mesti menerima hakikat bahawa mereka mesti mengikis segala sifat prejudis, chuvanis, serta kekalutan terhadap Islam serta penganutnya. Pertubuhan-pertubuhan Islam di serata dunia sedia ‘berdialog’ dan ‘bertukar-tukar fikiran’ dengan mana-mana pihak termasuk penggubal polisi ‘Rumah Putih’ di Washington. Sebagai permulaan Washington mesti melihat gerakan serta pertubuhan Islam sebagai sebahagian dari unsur-unsur positif dan pengukuhan ke arah pendemokrasian di Timur Tengah serta negara-negara Islam seluruhnya..