Saturday, November 21, 2009

Bersyukurlah

Di bumi bertuah ini, jarang kedengaran anak-anak kurus melidi dan mati kelaparan. Kebanyakan anak-anak akan menhabiskan 12 tahun melalui sistem pembelajaran yang membolehkan mereka menguasai 3M. Amat jarang kedengaran anak-anak yang terpaksa menjadi buruh paksa, apalagi tidak diberikan peluang mempelajari ilmu dunia dan akhirat.

Di bumi yang bertuah ini, sesiapa sahaja dapat mengaut sebanyak mana harta kekayaan yang ada, selagi mereka berakal dan berkerja keras ke arah mencapainya. Mereka yang malas dan sentiasa mencari alasan di atas ketidak-upayaan mereka menjana pendapatan yang berpatutan adalah mereka yang sentiasa tidak puas dengan apa yang mereka ada.

Di bumi yang bertuah ini, jarang kedengaran umat Islam bersyukur dengan limpah kurnia dari Ilahi, dan membantu sesama saudara seislam mahu pun bukan Islam. Para ulama bagaikan bercakaran di antara satu sama lain, seolah-oleh, kaum puak mereka sahaja yang benar. Banyak yang mengarah kepada perbezaan pendapat, dan jarang yang bersatu di atas kesamaan ibadat.

Di bumi yang bertuah ini, malapetaka seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi hampir tiada walau pun dikelilingi oleh lingkaran api Pasifik. Negara jiran seperti Indonesia dan Philipina seolah-olah menelan segala bencana yang kemungkinan terarah kepada bumi yang bertuah ini.

Di bumi yang bertuah ini, makanan melimpah ruah, sehinggakan menjadi pesta tatkala umat Islam menyambut Ramadhan, sehingga melupai tujuan asal berpuasa. Azan masih kedengaran di corong-corong masjid dan surau, menandakan masih ada yang patuh dan mengikuti seruan azan. Sesiapa sahaja bebas untuk melaksanakan tuntutan agama.

Di bumi yang bertuah ini, yang sentiasa dilimpahi rahmatNya, seharuslah kita banyak bersyukur ke atas segala nikmat yang diberikan kepada kita dalam pelbagai bentuk. Jarang kelihatan mereka yang tidak berumah menghuni kawasan kosong di bawah jambatan, atau rumah tinggal kosong kerana tiada pekerjaan.

Sesungguhnya, ini merupakan catatan terakhir kalam xdakakai dan sebagai hambaNya, menjalankan tugas dan tanggung-jawab keimanan untuk menegur ulil amri, samada secara selemah-lemah iman, dengan tidak menyukai di hati atas perbuatan yang tidak baik para ulil-amri, atau pun menegur dengan perkataan mahu pun perbuatan.

Sesungguhnya, hambaMu ini telah menjalankan tugasnya, dan hambaMu ini telah berlepas tanggung-jawab ke atas tuntutan keimanan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan untuk kebaikan bumi yang bertuah ini.

Sesungguhnya, segala yang baik itu daripada Allah s.w.t. dan segala kelemahan dan keburukan adalah daripada sifat hambaMu yang tidak berdaya ini. Kiranya berhadapan akan ku diarashMu ya Allah suatu masa nanti, semoga apa yang telah hambaMu ini lakukan menjadi pelindung sekiranya hambaMu ini di tanya, "Apakah yang telah kau buat untuk menasihat dan memberi teguran kepada ulil-amri yang tidak benar?".

Sesungguhnya, mati itu adalah pasti untuk semua. Di akhir kalam, inginku memohon ampun dan maaf ke atas segala kekurangan atau teguran yang keterlaluan, yang ku lakukan, hanya sebagai menyahut seruan Ilahi di dalam menegakkan yang haq. Wassalam.

Monday, November 16, 2009

Anwar Hipokrit dari Laman YouTube



Di petik daripada laman YouTube.

Sesungguhnya, Allah maha pengampun ke atas kealpaan dan kesilapan setiap manusia, selagi dia bermohon kepadaNYA. Mereka yang menyesali dan berubah ke arah kebaikan, sesungguhnya akan menerima rahmah dari Yang Maha Esa. Maka atas dasar tersebut, kita disarankan berlapang dada dan menerima seseorang yang beriltizam untuk berubah.

Monday, November 9, 2009

Macam Mana Nak Ajar Islam Dekat Anak

Jabatan Agama Islam Malaysia telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri agar memastikan sesiapa sahaja yang hendak menyampaikan ajaran Islam hendaklah bertauliah, walau pun menyampaikannya di dalam kawasan persendirian. Hasil daripada arahan ini, bekas mufti Perlis, telah di tangkap ketika menyampaikan ceramah agama di rumah persendirian.

Bekas mufti berkenaan di dakwa tidak mempunyai kelayakan yang berkenaan untuk menyampaikan syiar Islam kepada khalayak persendirian, apatah lagi khalayak umum. Sejak bila Rasulullah mengeluarkan sijil untuk menyampaikan dakwah Islamiah.

Adakah menjadi kesalahan juga bagi guru-guru yang tidak bertauliah menyampaikan ajaran Islam di sekolah-sekolah di Malaysia. Bagaimana pula seorang bapa yang hendak melentur anaknya dengan acuan Islam, sekiranya berdakwah tanpa kelayakan tidak dibenarkan.

Memandangkan penyebaran ajaran Islam begitu telah dirumitkan, adalah lebih baik kita mula mempelajari agama yang lain, seperti kristian, yahudi, budha atau confucius. Mengajar ajaran-ajaran ini tidak termaktub di dalam arahan JAIM, maka, lebih mudahlah untuk penyebaran ajaran-ajaran berkenaan berkembang di Malaysia.

Belum ada lagi arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak, yang memerlukan kelayakan yang di iktiraf, sekiranya seseorang itu hendak menyampaikan ajaran-ajaran lain, selain ajaran Islam. Maka, Islam akan terpelihara di bawah panji 1Malaysia, kerana kesuciannya terjaga oleh mereka-mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja, dalam maksud kata, mereka yang di iktiraf oleh JAIM sahaja.

Sunday, November 8, 2009

Protong Saga

Di Terengganu, negeri yang kaya dengan minyak, kereta Proton di sebut Protong. Kalau di buang "r", bunyi Potong. Potong Saga; lebih kurang membawa maksud, buangkanlah karenah dan birokrasi yang lepas-lepas (Saga-bukan yang bermakna buah).

Proton menjadi perdebatan di blog Tun Mahathir, dengan pelbagai-bagai isu diketengahkan; daripada tahap kualiti kenderaan berkenaan, sehinggalah kepada perkhidmatan lepas jualan. Tuntas, Proton masih perlu dikemas-kinikan, baik dari segi rekaan, mahu pun dari segi pentadbiran.

Sebagai sebuah kenderaan nasional, Proton dapat dimaafkan pada permulaan ianya beroperasi, kerana tahap awal kemasukan ke industri kereta, sudah tentu ia akan berhadapan dengan pelbagai kerumitan dan permasalahan. Namun, ianya tidak harus dibiarkan sedemikian untuk sekian lama. Penambah-baikan perlu dari masa ke semasa, sehinggalah Proton dapat berdiri dengan sendirinya selepas tahun 2015, bilamana, "tongkat" yang diberikan kepada Proton di tarik balik.

Pada masa ini, kualiti dan tahap pengurusan Proton sewajibnya mencapai tahap pengeluar kenderaan utama dunia, seperti Toyota, Honda, Kia dan seangkatan dengannya. Sekiranya tahap tersebut masih tidak tercapai, janganlah kita tangisi apabila Proton terpaksa di jual kepada pihak asing untuk memastikan nama Proton masih menjalar di jalanraya.

Pelajari iktibar Rover yang diambil-alih oleh German, kehilangan permata Britain ini ditangisi oleh rakyatnya, tapi, kuasa ekonomi melebihi rasa emosi yang tidak mempunyai sebarang nilai di dalam pasaran bebas.

Saturday, November 7, 2009

Menyenyeh Tak Tentu Fasal

Penyakit "menyeyeh" bak kata orang utara, adalah keadaan di mana seseorang itu merengek-rengek berkehendakkan sesuatu, atau cuba menyampaikan sesuatu berita secara kebudak-budakkan untuk meraih simpati khalayak umum. Selalunya, pemberitaan yang disampaikan adalah berkenaan keaiban atau keburukan orang lain untuk kepentingan dirinya atau kelompoknya.

Cara pemberitahuan tersebut pula lebih kepada menelanjangkan kebrobokan orang lain, di samping, mengharapkan empati kepada tuan badan pencerita. Namun, sekiranya pencerita lebih banyak menceritakan kepada khalayak umum betapa pencerita memaafkan segala apa yang telah berlaku kepadanya, tanpa merendahkan martabat pesaing atau musuh peribadinya, dan juga apa yang telah di buat demi kebaikan khalayak umum, beliau akan di pandang lebih tinggi lagi oleh masyarakat.

Ambil contoh idola kita, Nabi Muhammad s.a.w., yang sangat menjaga adab mulut serta perbuatan baginda, walau pun berdepan dengan musuh baginda. Baginda lebih banyak bermuhasabah diri, walau pun maklum status kemaksuman baginda; dengan banyak bertaubat dan memohon ampun ke atas kesalahan baginda dan umat baginda, sekurang-kurangnya 70 kali sehari.

Sebagai seorang yang mengaku sebagai umat Islam, hendaklah kita sebanyak mungkin, memperbaiki diri kita sendiri, sebelum menunjuk kesalahan orang lain, kerana, satu jari menuding kepada orang lain, tiga lagi menuding kepada kita!