rose roses

Jumaat, 25 November 2011

SIAPALAH KITA?

Assalamuaalaikumwarahmatullahiwabarakatuh kepada semua pengikut setia blog Rose Roses,
Hati ini tersentuh apabila membaca satu artikel di ruang Halaqah majalah Anis  Disember 2011, maka Ros kongsikan bersama artikel tersebut buat tatapan rakan-rakan blog sekalian. Sempena kita semua akan menyambut kedatangan Awal Muharam tak lama lagi dan tahun baru 2012 nanti, eloklah segala persoalan ini kita fikir-fikirkan.
     Bulan Disember ialah bulan penutup takwim Masihi. Bulan ini akan melabuhkan tirainya menandakan berakhirnya dua belas bulan dalam tahun  2011 Masihi. Waktu yang tidak mengenal noktahnya terus berlalu : ada ketikanya singgah sebentar di terminal ceria bermandikan cahaya, ada detiknya pula berdepan taufan menggila menggugat jiwa, ada masanya berbuai-buaian santai di taman sakinah memupuk mesra.
     Jika setiap malam , sebelum beristirehat dan menyerahkan diri  kepada Allah S.W.T, kita bermusahabah diri - meneliti apa yang dilakukan sepanjang hari itu, maka dengan munculnya Disember, eloklah kita memperuntukan sedikit ruang untuk menjejaki kembali apa yang kita lakukan sepanjang tahun 2011 ini.
     Tak kira siapa diri kita, apa jawatan kita, berapa umur kita, jenis jantina kita, marilah kita sama-sama memeriksa diri sendiri. Sudahkah mata, telinga, lidah, perut, alat kelamin, tangan dan kaki menjalankan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya dan meninggalkan perbuatan yang ditegah Allah S.W.T dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Aduhai mata......

     Wahai mata, adakah kau terpelihara daripada memandang dedahan aurat bukan mahram? Mata , adakah pernah kau melihat seseorang Muslim dengan pandangan yang hina ? Kita perlu ingat kembali peristiwa-peristiwa yang dilalui segala anggota badan kita, walaupun insiden itu sebesar zarah sekalipun.
     Sudahkah kita menggunakan mata untuk menatap ciptaan Allah SWT langsung mendapat iktibar akan kekuasaan Maha Pencipta dan mensyukuri nikmat daripada Yang Maha Pemurah , Yang Maha Penyayang?
     Berpeluangkah mata kurniaan Allah  SWT ini menatap kalimah Allah setiap hari, menghayati sunah Rasulullah setiap waktu terluang, membaca dan menimba ilmu daripada buku-buku ilmu pengetahuan lalu maklumat itu menyuntik keinsafan pada diri yang tidak pernah bebas daripada pancaroba?
     Dalam kesempatan ini, cuba kita lihat koleksi bahan bacaan yang kita kumpul selama 2011 berlalu.  Berapa banyakkah buku agama yang kita beli berbanding dengan majalah hiburan dan buku hayalan yang kita susun berlapis-lapis dalama almari?  Adakah pilihan membeli bahan bacaan kita didominasi oleh hal-hal santai duniawi yang melalaikan? Masya-Allah, betapa kita alpa dan mengabaikan santapan untuk jiwa dan persiapan untuk kita bawa bersama dalam perjalanan terakhir kita menuju ke terminal yang akan menghisabkan segala tindak tanduk kita kelak.
   
Berbahagialah lidah.....

     Kita beralih kepada anggota lidah pula.  Allah al-Wahhab mencipta lidah untuk kita manfaatkan , terutamanya untuk zikrullah; biar lidah kita basah kerana setiap ketika lidah itu melafazkan Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahailallah, Allahu Akbar. Berbahagialah lidah kerana kita menggunakannya untuk menegur teman yang rambutnya masih terdedah walaupun dia bertudung kepala.  Berbahagialah lidah kerana kita menggunakannya untuk mengejutkan sahabat dari lenanya 'bercuti' solat. Berbahagialah lidah kerana kita sering menyebarkan ucapan 'Salam' kepada mereka yang ditemui, sama ada dia di kenali atau tidak dikenali.
     Betapa beruntungnya lidah kerana kita dapat mengawalnya daripada memanjang-manjangkan cerita tentang keaiban orang lain. Betapa gembiranya lidah kerana tidak terbabit dengan lafaz katayang boleh menyinggung perasaan orang lain.  Berapa beruntungnya lidah kerana kita dapat memeliharanya daripada terjebak dalam jenayah seperti mencela, mencaci, menghina dan membohong.

Bergembiralah perut.....

     Bagaimana dengan perut pula?  Ketika melalui Ramadhan yang lepas,sudah kita bimbing perut menerima makanan yang halal, walaupun makanan yang halal itu sedikit cuma.  Kita sudah dapat mengawal nafsu daripada memilih makanan yang syubhah iaitu makanan atau minuman yang diragui taraf halalnya.  Kita sudah pastikan yang makanan yang masuk ke dalam perut adalah dari sumber yang halal - bukan dari duit menang berjudi, atau duit dari penipuan bisnes.
     Bergembiralah perut kerana kita sudah dapat mengawal nafsu makan.  Kita tidak lagi gelojoh dan mudah terpesona dengan hidangan beraneka rupa, dan kita tidak makan lebih daripada yang sepatutnya.  Kita tidak menghadiri rumah terbuka dengan menghimpun makanan menggunung tingginya di pinggan dan meninggalkan sisa dan baki yang masih membukit, lalu makanan bersisa itu pula dibuang ke tong sampah.  Jika berkelakuan demikian rupa ternyata kita sudah termasuk kelompok  syaitan  yang suka membazir! Nauzubillah!
     Setiap kali kita menyenduk nasi ke pinggan, menyenduk lauk-pauk ke pinggan makan, kita teringat kepada mereka (di dalam negeri dan di luar negeri) yang berkurangan makanan, yang tidak punya bahan makanan berzat, yang tidak berupaya menyuap makanan kepada barisan anak-anak yang kelaparan.  Kita lebih rela makan ala kadar, dan wang yang lebih itu dimasukkan ke dalam tabung derma untuk m,ereka yang kurang bernasib baik dan amat memerlukan bantuan.

Bagaimana Dengan Anggota Lain?

     Berterusan kita memeriksa diri yang bersabit dengan anggota lain pada anggota badan kita.  Sudahkah kita bebas darapada melakukan jenayah yang bersabit dengan telinga, tangan, kaki dan alat kelamin kita ?
     Bersedialah kita berhadapan dengan bentuk jenayah daripada yang sekecil-kecilnya yang mudah terlepas pandang kepada yang sebesar-besarnya yang tidak dapat disorokkan.  Apabila bermuhasabah diri, kita berdepan dengan siapa diri kita sebenarnya.
     Sudahkah kita menjalankan amanah yang kita galas sejak awal tahun ? Sudahkah kita menerima pelanggan di kaunter dengan senyuman dan pelanggan itu dilayan segala kehendaknya.  Segala kesukaran pelanggan sudah kita bantu atasi supaya pelanggan pulang ke rumah dengan hati yang bernyanyi riang.
     Sebagai ketua di jabatan, sudahkan kita melaksanakan keadilan kepada anggota subordinat kita?  Pegawai yang patuh menjalankan tugas sudah kita beri kata-kata pujian yang selayaknya.  Kakitangan yang menyempurnakan tugasan dengan baik sudah kita beri penghargaan seadanya.  Sebagai ketua di pejabat, kita bersedia mendengar pendapat perkerja bawahan, menimbang usul dengan saksama adilnya.  Kita menaikkan pangkat kepada mereka yang sepatutnya dinaikkan pangkat.  Keputusan yang kita ambil tidak dilakukan atas desakan kroni atau dicirikan prejudis jantina.
     Proses muraqabah atau meneliti diri ini adalah langkah memelihara hubungan kita dengan Allah SWT, "Sesungguhnya Allah itu pengawas kamu"(An-Nisaa:1). Kita yang sentiasa peka akan hubungan kita dengan Allah SWT akan selalu menghisab diri - memeriksa dan menambah bekalan yang bakal kita bawa ke akhirat kelak. Eloklah kita teliti diri kita sebelum kita diperiksa di depan Allah.
     Mana-mana sektor yang berkurangan, elok kita perlengkapkan.  Mana-mana amalan yang goyah, elok kita perteguhkan.  Mana-mana amalan yang goyah, elok kita perteguhkan.  Mana-mana langkah yang tergelincir, elok kita pasakkan tujuannya hanya kepada Allah SWT.
    Semoga tahun Masihi 2012 memberi kita banyak peluang menabur bakti dan jasa di atas landasan yang  diredhai Allah. Amin!

     Ros berharap perkongsian artikel ini dapat dijadikan muhasabah diri bagi diri ini dan rakan-rakan sekalian..........