Tuesday, April 14, 2015

Perbahasan penuh YB Radzi bin Zainon dalam Persidangan Kedua Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Yang Ketiga Belas, Perak Darul Ridzuan

Perbahasan penuh YB Radzi bin Zainon dalam Persidangan Kedua Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Yang Ketiga Belas, Perak Darul Ridzuan


Assalamualaikum wbth. Salam sejahtera.terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Timbalan Yang Dipertua kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk membahas titah perasmian yang telah dizahirkan pada hari semalam oleh Tuanku Yang Amat Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Begitu juga terima kasih kepada pihak kerajaan dan seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat Pihak Pembangkang dan juga para pegawai kerajaan yang telah dapat sama-sama memenuhi Dewan yang mulia ini untuk sama-sama mengikuti persidangan bagi memberikan kebaikan pada rakyat terutamanya rakyat negeri Perak.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kita bertindak sambil belajar,
Jika terkhilaf harap dimaafkan.

Bagi memulakan perbahasan saya pada hari yang mulia ini, saya ingin mengambil sebahagian daripada apa yang telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku yang menyentuh aspek hubungan antara manusia sebagai makhluk terbaik yang diciptakan Allah yang juga bertindak sebagai khalifah untuk memakmurkan muka bumi ini dan hubungannya dengan alam yang telah Allah jadikan untuk kita sama-sama diami dan menikmati keseluruhan daripada kurniaan Illahi ini. Benarlah apa yang disebutkan oleh Allah dalam maksud Surah Al-Qamar ayat 54 di mana Allah telah menyatakan, Allah telah menyusun muka bumi ini secara seimbang dan teratur untuk kebaikan dan kepentingan manusia secara keseluruhannya. Di mana ayat pini telah membawa maksud “Sesungguhnya Kami menciptakan sesuatu menurut qada.” Dan begitu jugalah yang disebutkan di dalam ayat-ayat yang lain di dalam Surah Al-Mulk, Surah Yassin ayat 40 dan Surah Ali Imran ayat 150 bagaimana dekatnya antara kita sebagai manusia dengan alam yang dijadikan Allah SWT.

Dato’ Timbalan Yang Dipertua,
Kalau kita melihat ala mini semakin hari semakin musnah dan saya ingin membaca sedikit petikan daripada model pembangunan yang berkaitan juga dengan alam kerana muka bumi ini pada asalnya memang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan, dengan hutan-hutan, dengan belukar dan sebagainya dan juga untuk pembangunan, untuk keperluan untuk hidup dan Kami menciptakannya pula makhluk-makhluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki.

Dato’ Timbalan Yang Dipertua
Disebutkan pula dalam soal pembangunan dan hubung kait dengan alam yang kita mahu kekalkan kelestarian ini. Disebutkan oleh tokoh ilmuan Ibnu Qaldun, negara yang mendekati masa kehancurannya, saya ulangi sekali lagi, negara yang mendekati masa kehancurannya ditandai dengan berkurangnya lapangan pekerjaan, dengan terjadinya krisis ekonomi, rendahnya akhlak rakyat yang terdapat dalam masyarakat sehingga keruntuhan akhlak terang-terangan dan berlakunya perbualan, perbuatan tercela bertebaran di mana-mana. Sementara petunjuk daripada sunnah Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “ Bukanlah yang dinamakan kaya itu dengan banyaknya harta atau banyaknya kemewahan dunia, namun yang namanya kaya adalah hati yang selalu merasa cukup dengan apa yang diperolehi.” Sebab itu dalam konteks ini Baginda Tuanku cuba menekankan beberapa konsep yang mengambil kira isyarat daripada Al-Quran mengenai status manusia sebagai khalifah di muka bumi dan tujuan manusia dilahirkan dan diamanahkan untuk menguruskan dunia mengikut kehendak Allah SWT. Secara dasar tassawur pembangunan yang dijadikan asas model pembangunan untuk mewujudkan sebuah negeri yang baik ataupun sebuah negara yang baik, yang pertama sekali harus berpaksikan ketauhidan Tuhan iaitu Al-Tauhid ataupun keesaan Allah. Yang kedua, menterjemahkan pengertian ketaatan Al-Abdiah atau ketaatan diri beribadah kepada Allah SWT. Yang ketiga, menegaskan status insane sebagai khalifah iaitu khalifah di muka bumi dan yang keempat, memelihara amanah untuk mengurus ataupun sumber-sumber alam.

Kemudian, perkara yang berikutnya, di mana menjadi tujuan, tujuan pembangunan kepada peradaban dan tamadun manusia ini kita melihat model yang terbaik adalah model pembangunan yang berfalsafahkan yang ditekankan oleh Al-Quran, Sunnah Rasullullah SAW dan model ini disifatkan model yang menekankan konsep keseimbangan, pemerataan ataupun kesamarataan dan kesaksamaan. Keseimbangan pembangunan yang mengutamakan semua bentuk dan tahap keseimbangan antara rohani dan jasmani, antara pembangunan akal dan mengukuhkan kepatuhan tentang wahyu Illahi, antara pembangunan fizikal dan keharmonian alam, antara kehendak semasa dan keperluan generasi masa depan, antara kepentingan individu dan kepentingan kolektif, antara memajukan bandar dan mengekalkan desa, antara tradisi yang murni dan perubahan yang terkini dan kemudahan konsep pemerataan ataupun kesamarataan iaitu pembangunan yang menekankan pengagihan dan kemudian konsep pemarataan ataupun kesamarataan manfaat kepada rakyat terbanyak. Tidak membenarkan wujudnya manipulasi pemasaran sehingga memangsakan rakyat. Sementara ketaksamaan iaitu memberikan penghargaan kepada peluang meningkatkan kepada kebolehan dan potensi. Potensi diri merentasi bangsa bertujuan menggilap kemahiran semua rakyat, peluang dibuka, ruang disediakan dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak mengikut piawaian ekonomi yang tinggi agar tidak terpinggir dan tidak terlantar. Kalau kita berkehendak kepada negeri yang baik, negara yang baik ataupun Daullah Toyyibah maka tujuan terakhir adalah untuk kita menghasilkan hasanah di dunia dan hasanah di akhirat. Sebab itu dalam doa yang dibacakan oleh setiap muslim, kita memohon dan merayu kepada Allah agar memberikan hasanah kebaikan di dunia dan juga hasanah kebaikan di akhirat. Soalnya ukuran hasanah yang dimaksudkan adalah diukur bukan dengan indicator yang dirangka oleh agensi antarabangsa mahupun ukuran nasional semata-mata akan tetapi ia adalah ikuran yang mengutamakan kesejahteraan insan.

Pertama, menjaga kualiti hidup yang berasaskan keperluan asas yang asasi yang mencukupi untuk rakyat. Yang kedua, kemudahan asas disediakan untuk memastikan kehidupan rakyat berjalan dengan lancer. Ketiga, kemudahan menuntut ilmu disediakan dengan luas dan industri komersial baru semata-mata tetapi sebagai keperluan asas. Yang keempat, keperluan perumahan yang telah dibincangkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, tadi yang mencukupi untuk semua peringkat rakyat. Yang kelima, keperluan asas untuk mendapat bekalan air bersih serta bekalan tenaga elektrik yang cukup termasuk di kawasan orang asli yang disebut tadi. Yang keenam, kemudahan sara hidup untuk hidup berdikari untuk golongan kurang upaya dan rakyat jelata yang tidak layak bergantung kepada pemerintah semata-mata. Ketujuh, tahap keutuhan dan kestabilan institusi keluarga dan keselamatan social. Kelapan, tahap kesihatan mental dan pengurangan hidup stress dalam proses pembangunan negara. Kesembilan, tahap pangkalan identiti dan budaya dimaksudkan sebagai bukan peragaan kosmetik untuk pelancongan tetapi budaya yang hidup diamalkan berasaskan tradisi dan pegangan hidup terutamanya hidup Islami. Kesepuluh, tahap pembenterasan amalan rasuah dan salah guna kuasa dan yang terakhir, tahap institusi masjid yang menjadi pusat pembangunan ummah berfungsi secara dinamik membina masyarakat Khairul Ummah. Inilah model yang ditekankan yang dapat saya huraikan sebentar tadi.

Dalam hal ini, kita melihat bagaimana persekitaran yang diingini yang saya sebutkan di awal-awal tadi dan sebentar tadi ia dicemari dan hari ini di dalam laporan Berita Harian pada muka surat 3 berkaitan isu pembalakan haram. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mengambil tindakan hasil kerjasama semua pihak di mana hari ini dilaporkan 600 pekerja Jabatan Hutan ditukarkan di mana siasatan masih diperingkat awal yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Begitu juga yang berkaitan dengan alam sekitar ini ataupun alam tabii ini, saya mendapat maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar sendiri di mana walaupun saya telah mencadangkan agar diwujudkan indeks pencemaran alam sekitar dalam sesi yang lepas sebagai satu indicator satu tahap pencemaran di mana-mana terutama dalam negeri Perak tetapi walaupun ianya belum wujud tetapi saya mengharapkan agar Jabatan Alam Sekitar mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan sesegera yang mungkin. Ini berdasarkan maklumat yang dibekalkan kepada saya oleh Jabatan Alam Sekitar berkaitan dengan pencemaran alam yang berlaku dalam negeri Perak daripada tahun 2005 hingga Oktober 2014. Purata kita lihat hamper setiap tahun lebih daripada 500 kes telah dicatatkan aduan-aduan berkaitan pencemaran alam. Dan kita lihat akta yang membentengi daripada pelaku-pelaku yang mencemarkan ini yang digunakan adalah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atau pun AKAS 1974. Dan Alhamdulilah banyak di antara agensi-agensi kerajaan yang telah bertindak dan memberikan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan kelestarian alam sekitar di mana tempat kita hidup, tempat yang kita huni dapat kita kekalkan. Insya Allah sehingga bila-bila. Namun satu perkara yang perlu saya sebutkan dalam Dewan yang mulia ini daripada kajian antarabangsa khususnya merujuk kepada negara-negara yang telah banyak melakukan kerosakan alam sekitar disebutkan bahawa seandainya krisis alam ini tidak diuruskan dengan baik, krisis penebangan hutan tidak diuruskan dengan baik maka seandainya berlaku World War Three atau pun peperangan dunia ketiga maka krisis air menjadi krisis utama untuk menjadi peperangan yang ketiga yang dijanka berlaku pada tahun 2060. Ini menunjukkan kita bahawa alam yang kita diami ini, hutan Allah jadikan ini, gunung-ganang, bukit-bukau, lautan alam memberikan khidmat yang kepada umat manusia. Saya ingin pergi kepada cadangan-cadangan yang membina kea rah meningkatkan lagi penglibatan bumiputra di dalam sector IKS yang telah dititahkan oleh Baginda Tuanku dalam perkara 13 semasa ucapan Tuanku semalam.

Saya mencadangkan beberapa perkara dilakukan untuk meningkatkan memperkukuhkan penglibatan bumiputra ataupun industri kecil dan sederhana ini. Yang pertama sekali saya mencadangkan agar kerajaan negeri Perak dapat memastikan anak-anak syarikat di bawah naungan ataupun subsidari GLC kerajaan negeri Perak yang rata-rata tidak bergerak begitu aktif dapat dapat diaktifkan semula mengikut hala tuju dan matlamat syarikat yang diwujudkan masing-masing. Yang kedua, kita dapat menukar pendapatan konsep Ali Baba yang telah lama diperkenalkan kerana akhir sekali yang kaya-raya Baba, bukan Ali kerana kebanyakan Ali menjadi sleeping partner. Rakan kongsi yang tidur semata-mata. Kalau boleh kita gerakkan keduanya dengan konsep mentor menti agar perkara ini dapat dibnagunkan serentak. Bukan Baba sahaja yang berjaya, kaya dan maju, tetapi Ali juga dapat bersama-sama semaju dengan Baba. Yang ketiga, kita mohon kepada pihak-pihak yang diberikan amanah Yayasan Permohonan Ekonomi Islam, Dewan Perniagaan Melayu Negeri Perak, Dewan Perindustrian Melayu Perak yang baru diwujudkan agar dapat unit-unit khas dan mengasuh anak-anak bumiputra semenjak dari awal agar ini dapat memberikan input-input yang awal, inpu-input yang penting kepada mereka seawal daripada tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sampailah ke peringkat yang tertinggi. Dan mereka ini jika sebenarnya dididik daripada awal Insya Allah aka nada niat untuk menjadi usahawan suatu hari nanti dan saya mengambil contoh bagaimana wawasan dan pendekatan masyarakat Cina. Kalau sekiranya datuknya bekerja menjual gerai di tepi jalan maka datuk akan pesan kepada anak. Anak aku kena buka restoran, anak pula pesan kepada anaknya lagi ataupun cucu kepada datuknya ini, kamu kena buka kilang menjual air ataupun mengeluarkan air. Maknanya wawasannya daripada awal sekurang-kurangnya tiga generasi sebelum itu dan inilah harus dilakukan oleh kelompok-kelompok bumiputra yang ingin berjaya dalam bidang perniagaan. Sebab itu kalau kita mengambil contoh pendekatan dan ajaran hadith SAW dalam bidang solat misalnya untuk memahirkan anak-anak kita bersolat dan bersembahyang maka Nabi menekankan ajarlah anak kamu bersolat ketika umur 7 tahun, tak boleh pukul dan tak boleh rotan lagi, ajarlah dulu, asuh dulu dan sehingga umur mereka 10 tahun barulah mula didisiplinkan mereka itu.

Yang saya sebutkan tadi merupakan penglibatan langsung atau secara tidak langsung kerajaan negeri Perak melalui anak-anak syarikat kerajaan ataupun GLC dalm proses pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri adalah satu yang wajar. Akhir sekali, sedikit isu rakyat yang saya nak sentuh, yang pertama saya mohon kerajaan negeri untuk melanjutkan mengusahakan menurap jalan yang menghubungkan Pekan Kota Bharu ke Batu Gajah melalui Kampung Redang Sawa dan Kampung Pisang perlu diturap hanyan beberapa kilometer sahaja lagi. Ianya pernah disebutkan di dalam Utusan Malaysia, Sabtu 4 Mei 2013 dalam kempen pilihanraya YB Tualang Sekah.


Yang kedua, isu pembangunan tinggal, yang pertama status blok Kompleks Silveritage Galeria Medan Gopeng apa masalah yang berlaku sehingga terbiak sejak sekian lama dan menjadi tanda Tanya masyarakat. Apa kesudahan kompleks Silveritage Galeria ini ? Yang kedua, pasar awam Seri Rapat di DUN Sungai Rapat yang tidak digunapakai yang menjadi projek gajah putih dipercayai pembangunan hasil inisiatif swasta yang kini menjadi kawasan ‘blackspot’ sarang penagih tempat longgokkan sampah secara haram. Mohon kepada pihak berkuasa menyelesaikan. Ketiga, saya mencadangkan agar segi tiga emas Bandar Meru Raya, Station 18 dan RTC Gopeng di mana khususnya Bandar Station 18 diwujudkan Balai Polis serta klinik atau pun pusat kesihatan yang dibekalkan doctor sepenuh masa dan pejabat Pos yang tetap. Akhir sekali, isu-isu setinggan yang masih tergantung yang tidak diselesaikan di Pejabat Daerah terutamanya di Pejabat Daerah Batu Gajah contohnya di Ara Payung ada 6 kes, di Kampung Seri Jaya yang melibatkan bengkel-bengkel bumiputra di sana, pampasan kepada 3 ke 4 orang lagi setinggan di Kampung Seri Jaya. Saya mohon kerjasama Pejabat Daerah agar dapat membantu warga negeri Perak ini. 

Monday, April 13, 2015

Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Kampar Kali ke 27

Ahad 12 April 2015 - YB Radzi bin Zainon telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Kampar Kali ke 27 di Markaz Tarbiah PAS Kawasan Kampar, Malim Nawar, Perak. 


Friday, April 10, 2015

Ziarah pesakit di HRPB

Khamis 9 April 2015 - Setelah selesai tugas di Pusat Khidmat Masyarakat Desa Aman, YB Radzi Zainon telah menziarahi saudara Maruan bin Saingon di Hospital Raja Permaisuri Bainun yang telah menjalani pembedahan akibat jatuh. YB Radzi meluangkan masa kira-kira 30 minit di hospital berkenaan sebelum meneruskan tugas di Pusat Khidmat Masyarakat Medan Gopeng.

Tuesday, April 7, 2015

Petikan kenyataan media YB Radzi Zainon dari HarakahDaily : Perang dunia ketiga kerana krisis air ?

Ipoh : Kajian di peringkat antarabangsa menjangkakan krisis perebutan air adalah menjadi pencetus kepada peperangan dunia ketiga.

ADUN Sg Rapat, YB Radzi Zainon berkata, peperangan tersebut dijangka berlaku pada tahun 2060 khususnya merujuk kepada negara-negara yang telah melakukan banyak kerosakan alam sekitar termasuklah penebangan hutan dan sebagainya.

" Kajian antarabangsa khususnya negara-negara yang mengalami krisis alam adalah menjadi punca kepada berlakunya peperangan dunia ketiga yang dijangkakan akan berlaku pada tahun 2060. Oleh yang demikian, kita perlu berusaha memastikan alam sekitar di negara khususnya di negeri ini dapat dikawal dan dijaga dengan baik," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Negeri Perak semalam.

YB Radzi menjelaskan, kerisauan ini menunjukkan bahawa alam yang dikurniakan Allah ini merupakan alam yang memberikan khidmat kepada manusia.

Sebagai usaha mengatasi gejala pencemaran alam, beliau telah membangkitkan cadangan mewujudkan Indeks Pencemaran Alam Sekitar dalam persidangan sebelum ini. Namun katanya, maklumat yang diperolehi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)  mendapati ia masih belum diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Perak dibawah pemerintahan Menteri Besar Dato' Dr. Zambry Abd. Kadir.

" Walaupun ia belum diwujudkan saya mengharapkan agar Jabatan Alam Sekitar mengambil langkah yang proaktif untuk mewujudkannya sesegera yang mungkin. Indeks tersebut sangat penting sebagai indikator terhadap tahap pencemaran yang berlaku di mana-mana terutama di negeri ini, " jelasnya lagi.

Beliau menyatakan, berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh JAS kepadanya berkaitan pencemaran alam yang berlaku di dalam negeri Perak daripada tahun 2005 hingga bulan Oktober 2014, purata mendapati hampir setiap tahun lebih daripada 500 kes telah dicatatkan.

Tambahnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 sedikit sebanyak telah menjadi benteng kepada kelestarian alam daripada pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab.

" Saya melahirkan rasa syukur apabila masih ada agensi-agensi kerajaan yang telah bertindak memberi kerjasama kepada JAS bagi memastikan kelestarian alam sekitar tempat hidup dan dihuni oleh manusia dapat dikekalkan, " katanya lagi. - HARAKAHDAILY 3/4/2015 

Monday, April 6, 2015

Salam takziah buat keluarga Dato' Seri Anwar Ibrahim

YB Radzi bin Zainon merakamkan salam takziah buat keluarga Dato' Seri Anwar Ibrahim di atas pemergian ayahanda tercinta Almarhum Datuk Ibrahim Abdul Rahman. Almarhum menghembuskan nafas terakhir jam 1.45 pagi dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sg Ramal, Kajang, Selangor. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.


Salam Takziah kepada mangsa nahas helikopter

YB Radzi bin Zainon menzahirkan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas helikopter terhempas di Semenyih Sabtu lalu. Antaranya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Datuk Azlin Alias, Datuk Robert Tan, Kapten Clifford William Fournier, Razakan B Seran dan Aidana Baizieva. Walaupun YB Radzi Zainon tidak mengenali secara dekat mereka semua, tetapi YB Radzi Zainon merasakan pemergian mereka semua terutamanya Tan Sri Jamaluddin Jarjis satu kehilangan besar buat negara. Al-Fatihah....

Dari kanan : Datuk Azlin Alias dan Tan Sri Jamaluddin Jarjis bergambar bersama beberapa jam sebelum nahas