Teman-teman

Tuesday, November 29, 2016

Putih Lawan Hitam

Inilah kali pertama aku paparkan wajah cucuku yang bernama Nur Alisha Safiya di blog. Selalunya aku hanya bercerita kisahnya di FB. Cucuku baru berusia 3 tahun lebih. Jam 12 tengahari kami keluar hendak ke Queensbay. Saja berjalan-jalan membawa cucu. Sebelum masuk kereta, aku memang suka bergambar dengan cucuku. Ketika seronok bergambar datang jiranku seorang wanita cina. Orangnya baik. Kami panggilnya dengan panggilan aunty saja
" Mau pigi mana ni lawa-lawa ". Sapa jiranku. Aku menyuruh cucuku bersalaman dengan aunty. Nur Alisha terus salam dan cium tangan aunty.
" Manyak pandai dia. Bagus ini budak mau cium tangan saya ". Katanya
" Kami mau jalan-jalan Queenbay ". Jawab aku ringkas
" Adik mau beli apa ". Tanya aunty dekat cucuku
" Nak beli menan ". Kata Nur Alisha
" Waa....seronok dia jalan-jalan. Dia manyak putih. Tengok dia punya emak pun putih ". Kata aunty


" Dia punya nenek pun putih. Itu pasai dia pun putih ". Kata aunty
" Saya punya cucu ikut saya la. Saya pun putih ". Aku melihat aunty membuat mulut seperti tidak bersetuju
" Saya tarak putih ka aunty ". Tanya aku
" Lu hitam....Mana putih. Lu punya bini silap pilih lu ambik hitam ". Aku dan isteri tertawa dan aku sedikit pun tidak berkecil hati terhadap jiranku
" Aunty walaupun saya hitam tapi hati saya manyak baik ooo. Itu yang penting ". Kataku pada aunty dengan nada bergurau
" Butoi...butoi. Yang penting hati mau baik. Putih kalau manyak jahat mau bikin apa ". Kata aunty sambil terus berjalan pulang.

Sunday, November 27, 2016

Surat Dari Pembaca

Aku menerima email dari seorang pembaca. Katanya dia merupakan pembaca setia setiap penulisanku. Dalam emailnya dia berkata aku kerap bercerita tentang isteriku dan kataku tempatnya adalah di syurga. Soalan yang ditanya ialah bagaimana aku yakin yang isteriku berada di syurga. Susah juga aku nak jawab sebab melibatkan benda ghaib iaitu benda yang kita sendiri tidak nampak. Cuma kita sebagai seorang muslim beriman dan yakini bahawa syurga dan neraka memang ujud.

Tentang soalan yang di tanya kepadaku kenapa aku confident yang isteriku kini berada di syurga. Ini berdasarkan satu hadis sahih yang aku pelajari yang di riwayat oleh Ahmad
" Jika seorang wanita menjaga solat 5 waktu, juga berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dari perbuatan zina dan taat pada suaminya, maka dikatakan kepada wanita tersebut, Masuklah ke syurga melalui pintu mana yang engkau suka ". Keempat ciri ini ada pada isteriku.

Aku masih ingat 3 bulan sebelum isteriku meninggal. Dia tiada tenaga untuk solat berdiri tapi itu bukan alasanya untuk tidak solat. Dia akan solat duduk. Pernah terjadi sesudah dia memberi salam dia akan jatuh sebab tidak sedarkan diri. Nasib lah arah mana yang dia jatuh tetapi hari itu dia jatuh arah tiang batu. Maka berdarah la dahinya. Bila dia sedar dia bertanya mengapa terasa sakit didahinya. Aku katakan padanya selepas memberi salam terus dia jatuh. Sikit pun dia tidak pernah merungut.
" Abang...Nanti lain kali bila Siti solat boleh ka abang tolong jaga ". Pesan isteriku dan aku mengiakan.

Bermula hari itu bila isteriku solat kami akan menjaganya kedua anak2ku berada di sebelah ibunya manakala aku berada di belakang. Setiap kali memberi salam dia terus akan jatuh pengsan dan kami dapat menyambutnya. Bila terjaga kami cerita padanya. Tersenyum isteriku sambil mengucap terima kasih. Makin lama keadaan fizikal isteriku makin kritikal. Dia tidak dapat berjalan ketandas untuk mengambil wuduk. Aku menggunakan kaedah spray yang aku guna sewaktu program ziarah pesakit di Hospital Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Ia memudahkan pesakit yang tak dapat mengambil wuduk. Keadah itu aku gunakan sehinggalah dia koma. Sebab itu aku yakini berdasarkan hadis nabi saw. Yang lain aku hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah.

Kepada pasangan yang sudah kahwin atau belum kahwin. Kadang-kadang kamu hantar gambar dan mengatakan kamu mempunyai pasangan yang sweet sebab menghargai kamu. Syukur dan tahniah. Itu memang tidak aku nafikan. Kalau kamu nak lebih sweet kamu harus mempelajari kaedah ketika pasangan kamu sakit. Bagaimana nak bantu dia mengambil wuduk. Ketika pasanganmu bermasalah atau sakit dan kamu mainkan peranan kamu itu baru dikatakan sweet. Ketika kamu diuji dan kamu lalui ujian itu dengan redho dan tenang...Itu barulah dikatakan sweet.

Tuesday, November 22, 2016

Nilai Seorang Isteri

Sebelum menghabiskan tugas jam 12 malam, rakanku seorang india berkata........
" Ariff Esok kalau saya tak masuk pukul 8 pagi, you boleh tolong call sama saya ka. Saya punya wife 2 hari balik kampung sebab dia punya emak sakit. Saya kena kunci jam 2 hp. Cuma takut tarak sedar saja ". Aku tersenyum dan mengiakan permintaannya. Terfikir juga dihati ini isteri tidak ada selama 2 hari suami sudah merasa resah dan gelisah. Bila suami tak ada 2 hari adakah isteri juga berperasaan begitu.

Keesokkan harinya aku melihat jam didinding pukul 8.15 pagi. Terus aku mengambil hp untuk menalipon rakanku seperti yang telah dipesannya. Tiba-tiba pintu terbuka dan masuk rakanku sambil memberi ucapan good morning kepadaku.
" Ariff...You tau ka semalam saya sudah set alarm di 2 hp dan 1 alarm clock. Saya takut tarak sedar. Jam 7.30 pagi saya punya wife talipon sama saya tanya sudah bangun ka belum ". Tertawa dia gelihati cerita kisah alarmnya.

Mungkin semalam aku ketawa kelucuan bila mengenangkan kisah rakanku itu tapi bila aku fikirkan kembali, dia dan aku tidak jauh bezanya. Aku masih ingat ketika bersama arwah Siti Aishah, semua kerja diuruskan olehnya. Dari A hinggalah Z. Dia tidak benarkan aku membuat tugas itu. Katanya itu merupakan tugasnya sebagai seorang isteri. Bila isteriku sibuk atau tidak sihat barulah aku masuk kedapur membuat kerja. Bila dia tiada disisku, hidup aku mula tersiksa. Aku begitu sunyi. Aku terlalu rindukan bunyi periuk belanga didapur yang sudah sepi. Aku rindukan bunyi radio yang aku hadiahkan untuknya bagi membolehkan dia mengikut kelas tajwid di radio. Masih terngiang suaranya mengikut alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Aku pernah berdoa kepada Allah yang aku terlalu sunyi. Terlalu rindukan isteriku. Jika sehari tidak melihat wajahnya hati aku pasti resah. Aku gelisah bila melihat dia menangis. Adakah disebabkan perbuatan aku. Kalau sehari aku sudah gelisah inikan pula dia pergi buat selama-lamnya dari hidup aku. Aku terlalu banyak bergantung pada isteriku. kalau aku sakit dia yang tolong jagakan. Bila aku masuk hospital dia sanggup berjalan kaki sejauh 2 KM ke hospital. Bila sampai saja bajunya basah dengan peluh. Dia akan mandi dan menyalin pakaian di hospital. Akhirnya dia tertidur di sofa akibat keletihan. Baginya biarlah aku merasa tenang bila dia berada dihadapanku. Isteriku sudah mengerti perasaanku.

Hebatnya kuasa wanita yang bergelar isteri. Gelisahnya suami bila mereka tiada disisi. Moga Allah merahmati kamu semua duhai isteri. Jasamu amat tinggi sebab itu syurga adalah layak buat dirimu. Berbalik kepada kisah rakanku. Masuk hari kedua dia datang ketempat kerja dengan penuh senyuman
" Hari ini saya punya wife balik. Tak boleh tahan ooo 2 hari dia tak ada. Selalu kalau saya kerja pagi dia akan masak untuk saya. Saya tak payah beli. 2 hari dia tak ada saya kena beli sendiri. Buat air sendiri..haha....". Ketawa dengan dirinya sendiri. Aku terdiam dan terus mengelamun........

Saturday, November 12, 2016

Madrasah Al Mashoor

Setelah tamat alam persekolahan rendahku di Sekolah Inggeris Bayan Lepas ( BLPS ), aku menyambung sekolah menengahku di Sekolah Menengah Sungai Ara. Ramai juga di kalangan rakan-rakanku yang ke sekolah Menengah Sungai Ara dan ada yang mendapat tawaran ke sekolah yang lebih baik. Tahun 1977 aku menduduki peperiksaan LCE namun setelah mendapat result aku didapati gagal dalam ujiam matematik dan sekali gus aku telah gagal dalam peperiksaan LCE. Aku harus mengulang kembali memasuki tingkatan 3 untuk meneruskan ke tingkatan 4. Aku harus lulus pula peperiksaan dari LCE ke SRP. Agak pening juga sejak dari tingkatan 1 hingga 3 aku belajar dalam bahasa inggeris. Bila gagal aku terpaksa masuk semula ke tingkatan 3 yang telah ditukar ke bahasa Malaysia. Aku harus lulus SRP untuk ke tingkatan 4. Perasaan malu pada kawan-kawan yang berjaya melangkah ke tingkatan 4 cukup menebal. Akhirnya aku membuat keputusan. Aku nak tukar sekolah tapi apa lasan yang harus aku beri pada ayahku. Akhirnya aku tekad untuk berhadapan dengan ayahku.


" Ayah....Budiman nak tukar sekolah ". Terkejut ayahku dengan permintaanku
" Sebab apa Budiman nak tukar sekolah. Sekolah sekarang ni tak bagus ka ". Tanya ayahku
" Budiman malu dekat kawan-kawan yang berjaya ke tingkatan 4 ". Ayahku terdiam mendengar penjelasanku
" Ayah nak marah pun benda dah berlalu. Budiman boleh ambil pengajaran tapi Budiman nak p sekolah mana ". Tanya ayahku
" Budiman nak masuk sekolah Al Mashoor ". Kataku ringkas dan aku lihat ayahku terkejut
" Tu sekolah swasta dan budak jahat. Ayah dengaq sekolah tu banyak gangter ". Ayahku sedikit gusar dengan permintaanku namun aku masih bertegas nak kesitu walaupun aku sendiri juga tahu akan status sekolah Al Mashoor tapi entah kenapa aku memilih sekolah itu meneruskan pelajaranku.

Akhirnya ayahku mengalah dan berjumpa gurubesar untuk urusan pertukaran. Pada tahun 1978 aku melangkah ke sekolah baruku untuk meneruskan pengajianku dalam tingkatan 3 di sekolah yang bernama Madrasah Al Mashoor yang terletak di Lebuh Tek soon. Ia bersebelahan dengan kedai tuak cina. Aku di minta berjumpa dengan gurubesar yang bernama Ustaz Badjenid. Kami bersalaman dengan Ustaz Badjenik
" Saya kagum dengan encik Zainal. Encik Zainal pun sendiri tahu akan sekolah ini. Banyak yang berkata sekolah ini adalah sekolah anak-anak nakal. Memang saya tak nafikan tapi kami insyaallah akan berusaha mendidik pelajar ". Panjang lebar penerangan dari gurubesar Madrasah yang bersaiz kecil tubuh badannya
" Budiman...Jangan kamu hampakan harapan ayah kamu ". Aku hanya diamkan diri sementara ayahku bersalaman dengan gurubesar sebelum meneruskan ke tempat kerja.

Aku dibawa gurubesar untuk memasuki kelas. Terbongkok-bongkok dia berjalan
" Kelas yang kamu nak masuk ni masalah sikit. Harap kamu dapat kawal perasaan ". Belum masuk aku dah kecut perut mendengar penerangan gurubesar. Tiba-tiba datang penyesalan kenapa aku memilih sekolah ini. Ketika aku memasuki kelas seluruh anak mata memandang aku. ada yang seperti nak makan aku pun ada. Aku terpaksa menahan gentarku. Aku diarah berdiri di hadapan untuk memperkenalkan diri
" Alaa....Macam mana budak cina boleh masuk sekolah ni ". Kata salah seorang pelajar. Kemudian bangun pula seorang pelajar
" Lu jangan cari pasai sini. Lu mau belajar, belajar elok-elok ". Katanya. Aku dah mula kecut perut
" Sudah...sudah. Kita bagi dia perkenalkan diri dulu  ". Kata guru yang mengajar
" Assalamualaikum....Nama saya Ariff Budiman ". Aku perkenalkan diri
" Laa....Melayu rupanya. Ingatkan cina ". Kata pelajar lain. Aku meneruskan sesi perkenalkan diri hingga selesai
" Cikgu. Nama Ariff Budiman tak best. Kita tukar nama boleh ka ". Kata salah seorang pelajar diikuti gelak ketawa dari pelajar lain.

" Ok...ok...Kita tukar nama Ariff Budiman ke Ariff Batman. Setuju ka ". Pelajar yang lain terus bertepuk tangan tanda setuju dan suka. Aku pula terpaksa menerima nama baruku
" Ok Ariff Batman. Boleh duduk sebelah Rod Stewart di belakang ". Aku tercari-cari siapa yang bernama Ros Stewart
" Ni Batman. Rod Stewart tu yang rambut perang ". Terus aku ke meja belakang dan bersalaman tapi Rod Stewart buat macam tak nampak aku. Tak endah dan terus melayani perasaannya. Bila guru keluar sebentar aku dihampiri pelajar lain. Mereka menghulur salam kepadaku
" Batman...tadi tu yang riuh jangan ambik hati. Depa saja buat ghamai tapi semua baik. Ada juga yang kepala angin tapi hang buat tak tau dah la. Rod Stewart tu pendiam. Dia frust bila awek tinggai dia. Terus dia hisap dadah untuk hilang frust dia. Tu yang mamak depan. Kepala angin. Tak boleh tegoq langsung. Boleh bergaduh. Kami buat tak tau saja dekat dia ". Aku sedikit lega bila mereka dapat menerima aku.

Bila pulang kerumah ayah bertanya keadaaan disekolah baru. Aku kata setakat ni memang best. Ayahku berpesan agar aku tidak terjebak dengan aktiviti yang kurang sihat. Hari kedua aku di sekolah seperti biasa kami berkumpul. Di jemput seorang pelajar untuk membaca doa. Setelah selesai doa gurubesar Ustaz Badjenik memberi ucapan nasihat. Nasihatnya agar pelajar dapat meneumpukan pelajaran dan berdoa moga Allah pelihara kami semua
" Batman....Hang tau yang baca doa tadi tu sapa ". Kata seorang rakan kelasku. Aku hanya geleng kepala
" Nama dia Redzuan Abdullah. Abang-abang dia bekas pemain bolasepak negara. Namat Abdullah, Sharuddin Abdullah ". Aku begitu kagum dengan nama-nama ini. Mereka telah mengharumkan Malaysia dalam bolasepak di persada antarabangsa. Tak sangka aku dapat berjumpa adik mereka.

Selesai perhimpunan kami diarah masuk ke kelas masing-masing. Aku melihat seorang guru yang berjambang dan dikenali dengan nama Ustaz Bukhari. Dia di tugaskan mengajar bahasa arab. Dia terus menulis di papan hitam bahasa arab dan kemudian menyebut
" Saya nak kamu sebut ayat ini. Aina tataal lamu yang bermaksud di mana kamu bersekolah ". Aku sudah mula meminati bahasa arab
" Kamu harus menjawab...Tataal lamu fi madrasah mashoor.....bermaksud saya bersekolah di sekolah al mashoor ". Kami menyebutnya beramai-ramai
" Ya Ariff...Aina tataal lamu ". Terus usaz Bukhari bertanya aku
" Tataal lamu fi madrasah mahoor ". Jawab aku dengan lancar dan ustaz amat berpuas hati.

Sudah beberapa bulan aku berada di Madrasah Mashoor. Hati aku amat sebati dengan sekolah ini. Rakan-rakan yang di gembar gemburkan dengan budak jahat rupanya baik bila kita mengenali mereka secara baik. Lama kelamaan aku dapat mengenali rakanku yang bernama Rod Stewart. Setelah mendengar ceritanya tentang putus cinta aku merasa kasihan. Begitu dasyat penangan putus cinta sehingga membawa kepada penagihan najis dadah
" Ariff Batman. Nanti time rehat kita ada projek. Jom ikut kami ". Kata salah seorang rakanku. Bila waktu rehat aku terus mengikut rakan-rakanku memasuki sebuah lorong dibelakan kedai tuak.
" Hang tau dak. Lorong ni tempat penagih dadah injek dadah di tangan depa. Time depa khayal kita ambik tempurung kita ketuk kepala. Depa bukan kenai kita. Depa dok khayal ". Kata rakanku. Bila aku mendapat isyarat terus kami masuk ke lorong. Rakan-rakanku yang lain mengambil tempurung lalu memukul kepala seorang penagih dadah. Kesia aku tengok seorang penagih yang meleleh darahnya di kepala tetapi tidak dapat membuka matanya akibat terlalu khayal. Rakan-rakanku yang lain tertawa melihat penagih dada. Cepat-ceoat aku keluar dari lorong tersebut. Aku tidak mahu terlibat dengan masalah ini.

Esoknya gurubesar memarahi kami semasa perhimpunan setelah mendapat aduan dari penagih dadah
" Hangpa ni mai nak belajaq atau nak pukoi orang. Biaq pi dekat depa nak hisap benda tu. Yang hangpa dok pi kacau buat apa ". Kami semua diam bila ustaz Badjenid memarahi kami
" Hangpa sepatutnya menjadi contoh. Sekolah ni adalah sekolah agama. Kena tunjuk akhlak yang baik tapi kebanyakkan pelajar disini nak tunjuk samseng. kamu memalukan ibu bapa kamu ". Terdiam kami semua apabila dimarah gurubesar
" Hangpa tau tak. Tak lama lagi madrasah ni tak ujud lagi. Ia akan dirobohkan dan kerajaan akan mengambil alih sekolah ni dan membina sekolah yang baru ". Sebak ustaz Badjenik bila berbicara tentang sekolah yang telah sekian lama berdiri akan dirobohkan atas nama pembanggunan.

Akhirnya tiba peperiksaan SRP. Aku menghadapinya dengan tenang walaupun ia telah ditukar ke bahasa Malaysia. Begitu gembiranya aku bila mendapat keputusan. Aku mendapat keputusan yang cemerlang lebih-lebih lagi dalam matematik. Ayahku juga turut gembira dengan pencapaian aku. Semasa perhimpunan gurubesar telah membuat pengumuman yang membuatkan kami begitu sedih. Madrasah Al Mashoor akan di robohkan dan kami harus berpindah sementara di Sekolah Abdullah Munshi untuk ke tingkatan 4.
" Saya mendoakan agar kamu semua berjaya walaupun berada di sekolah lain. Insyaallah suatu hari Madrasah Al Mashoor akan menjadi kenangan dan kamu semua merupakan abang-abang kepada pelajar baru dan di sekolah baru yang lebih cantik dari madrasah ini. Ketika itulah baru timbul rasa sebak di hati kami. Walaupun aku begitu singkat di sekolah ini tapi aku dapat merasai perjuangan rakan-rakan sebelum kami.

1979 kami telah diarahkan berpindah ke Sekolah Abdullah Munsyi dan Madrasah Al Mashoor dirobohkan untuk pembinaan KOMTAR yang sekarang berdiri megah di tengah bandaraya Pulau Pinang. Aku pasti tidak akan melupakan jasa-jasa guru yang mengajar aku semasa berada di Madrasah Al Mashoor walaupun ketika itu mereka merupakan guru sementara. Kini masih ada lagi guru yang masih lagi hidup dan kadang-kadang aku bertemu mereka dan sudah pasti aku menegur dan bersalaman dengan mereka. Mereka yang telah mendewasakan kami walaupun kadang-kadang mereka diejek kerana menjadi guru sementara ketika itu tapi berkat kesabaran kami kini telah menjadi manusia. Untuk adik-adik yang berada di Sekolah Menengah Agama Al Mashoor kini janganlah kamu lupa nama sekolah Al Mashoor telah lama wujud semenjak kamu belum dilahirkan lagi. Carilah nilai sejarahnya kerana tanpa mereka Al Mashoor tidak segagah hari ini.

Bekas pelajar Madrasah Al Mashoor
Lebuh Tek Soon
1978 - 1979
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...