Teman-teman

Monday, June 25, 2012

Apa Hal Aku Ni

Bila terlalu kerap bekerja sehingga tidak menentu waktunya maka datang penyakit lama aku iaitu malas mengupdate blog. Aku hanya buka dan membaca komen di facebook. Kadang-kadang disitulah aku mencoretkan kisah pendekku. Hari ni alhamdulillah aku mempunyai kerehatan sedikit namun begitu aku masih bekrja pada shif petang. Awal lagi aku sudah membeli sardin, cili merah dan bawang besar. Niat di hati nak makan sandwich waktu pagi. Nak kuruskan badan katakan. Sesudah isteriku pergi kegerai, aku bangun dan terus kedapur. Memang perut amat terasa lapar sebab semalam aku tidak menjamah makanan. Hanya minum secawan nescafe saja. Selepas subuh perut sudah berbunyi dan memberontak. Aku selongkar di serata tempat mencari sardin. Cili merah dan bawang besar ada. Pening kepala memikirkan di mana aku meletak sardin. Tak kan tikus nak bawa lari sardin aku.

 Akhirnya barulah otak aku terbuka sedikit. Rupanya semalam aku sendiri yang menyuruh isteriku masak sambal tumis sardin yang aku beli. Belum sempat aku keluar mencari sardin, aku menerima panggilan talipon dari pihak hospital. " selamat pagi encik Ariff. Jangan lupa hari ini encik Ariff ada appointment dengan doktor ". Ya Allah macam mana aku boleh lupa ni. Nasib baik ler hospital swasta. Kalau hospital besar lantak kamu ler nak jumpa ke tak nak. Kebetulan aku belum menjamah apa- apa makanan lagi jadi mudah bagiku untuk mengambil ujian darah yang aku terpaksa berpuasa. Setelah bersiap aku terus ke hospital dan ke farmasi untuk mengambil ujian darah. Staff seorang cina melihat aku terus dia bercakap cina. Dia bertanya adakah ini merupakan kali pertama. Aku hanya berkata follow up sambil menghulurkan kertas kepadanya.

Ternganga mulutnya sambil melihat muka aku " I,m sorry encik Ariff. I thought you are chinese ". Aku hanya tersenyum sebab aku sudah agak. Kalau aku ke pasar gerenti peniaga cina akan memberitahu aku harga dalam bahasa cina. Nasib baik aku pun terror la sikit bahasa cina ni. Setelah darah di ambil aku dibenarkan pulang. Aku memberi kertas kepada jururawat bertugas. " You keluar makan dulu. Dalam tempuh sejam you datang balik ". Kata jururawat. Itu yang baiknya hospital swasta. Dalam tempuh sejam kita sudah boleh mendapat result. Kalau hospital kerajan alamat 2 atau 3 hari menunggu. Nak buat macam mana kalau rakyat yang berpendapatan kecil terpaksa menerima semua ini. Kalau aku tidak bekerja dengan sektor korporat sudah pastinya aku juga terpaksa menggunakan khidmat hospital kerajaan. Itu yang aku amat bersyukur sekali dengan rezeki aku.

Sementara menunggu result aku ke kantin hospital untuk makan. Memang berkeroncong perut aku di buatnya. Ramai pula orang di kantin sehingga terpaksa beratur. Tak apa wak saber. Di depan aku ada dua orang wanita. Tiba giliran mereka " Beri saya mee goreng sama itu sosej ". Dalam loghat Indonesia. Pekerja terus mengambil dan memberi makanan yang di pesan kepada wanita tersebut. Tiba pula giliran aku. " Bapak mahu makan apa pak " . Tanya pelayan. Aku hampir tertawa bila pekerja itu menjangkakan yang aku ini warga Indonesia. " Bagi saya mee goreng campur koay teow ". Tercengang pemuda tersebut. " Bapak pandai ya bercakap Malaysia ". Aku sekeh kan budak ni. Ingat aku rakyat Indon ka. " Awat yang saya tak pandai. Memang saya orang Penang ".

Tersipu- sipu malu pemuda itu. " Maaf le encik...muka encik macam Indon sikit ".Sambil menghulurkan makanan kepadaku. Aku mengambil dan terus kemeja. Tak kuasa aku melayan perasaan ketika perut lapar. Selesai makan aku terus ke atas untuk berjumpa doktor. Tak lama menunggu akhirnya nama aku di panggil nurse. Berdebar-debar menanti apa kata doktor. " Morning Ariff. Your result today amat bagus. Berat badan semakin menurun and that,s a good news ". Syukur alhamdulillah. Nikmat mendapat kesihatan yang baik itu datang dari Allah. Kalau kita lupa akan Allah maka Allah pun akan lupa kepada kita. Aku terus kerumah ibu mertuaku. Nak mencari buah bacang dan nak buat sambal bacang untuk makan dengan nasi. Alhamdulillah ada rezeki. Balik terus kedapur dan buat sambal bacang sambil menanti isteriku pulang dari berniaga..

Tuesday, June 19, 2012

Faraid Harta

Sudah 3 tahun isteriku pergi. Wang yang di simpan di dalam akuan Tabung Haji dan Bank Islam masih belum aku keluarkan. Pernah aku ke Bank Islam untuk mengetahui cara-cara nak mengeluarkan simpanan arwah isteriku. Belum sempat lagi isteriku membuat kad ATM. Kata bank perlu ada surat nikah, surat mati dan surat izin pengkebumian jenazah. Yang memberatkan aku ialah terpaksa ke Amanah Raya untuk tujuan faraid. Itu kata pegawai bank. Aku ke Tabung Haji pula utk urusan pengeluaran. Malang sekali akaun isteriku tidak ada penama. Aku di arahkan ke pejabat agama. Terus aku kesana. Di berinya borang sebanyak 5 keping untuk aku mengisi. Kata pegawai wang itu hendaklah di bahagikan juga kepada adik beradik arwah. Aku berkata yang kesemua duit yang berada di dalam akaun arwah isteriku adalah hasil potongan bulanan gajiku. Akhirnya pegawai agama berkata yang wang itu hendaklah di bahagikan antara aku dan kedua- dua anakku. Pulang kerumah aku terus mengisi borang tersebut. Memang memeningkan kepala untuk mengisi borang tersebut. Akhirnya aku senyap sehingga sekarang. Esok aku dan anakku akan sekali lagi ke pejabat agama untuk menyelesaikan pengeluaran wang isteriku yang kini berjumlah sebanyak RM6000. Banyak tu. Boleh aku upah haji untuknya. Aku memohon kepada Allah agar permudahkan segala urusanku. Nasihatku kepada pembaca yang mempunyai akaun Tabung Haji, senaraikanlah penama anda dengan secepat mungkin. Jangan jadi seperti aku yang menyangkakan bahawa umur yang masih muda tidak akan mati. Aku sekali- kali tidak menyangka akan berlaku perkara ini ke atas diriku. Berdosanya aku terhadap Allah.

Monday, June 18, 2012

10 Post Paling Ramai View

Aku melihat kembali hasil-hasil tulisanku bermula aku berblogging pada tahun 2008. Banyak tulisan aku masih lagi di baca sehingga ke hari ini. Di sini aku sertakan 10 pos yang terbanyak di baca. Bukan nak menunjuk tapi untuk motivate diriku agar meneruskan penulisan sebab ramai yang membaca walaupun tidak meninggalkan komen. Itu tak kisah ler.


Kisah Berakhirnya Sebuah Kehidupan. Aku coretkah setelah 2 hari isteriku bertemu penciptanya. Ketika inilah airmataku tidak henti mengalir sambil menaip. Kisah ini merupakan sejarah hitam dalam hidupku. Ia mengisahkan bagimana isteri tercinta meninggal dunia akibat tangan-tangan durjana. Paparan sebanyak 2770. Ceritanya boleh baca di sini


Sajak Kasih Sayang Ibu Bapa. Pos ini merupakan sajak yang aku cipta khas untuk ibu bapa. Ramai yang menghantar email kepadaku untuk menggunakan sajak ini untuk di baca semasa persembahan. Paparan sebanyak 2343. Sajaknya di sini


Bela Burung Puyuh Pula. Entah kenapa pos ini menduduki carta ketiga. Ia mengisahkan aku membela burung puyuh . Paparan sebanyak 1706. Kisahnya di sini


Bela Tapi Beli. Carta ke-4 ialah kisah dimana ketika aku membela burung puyuh tapi dalam jangka waktu yang sama aku juga turut membeli burung puyuh. Entah kenapa ia menarik minat pembaca untuk membaca kisah ini dan kisahnya di sini. Paparan sebanyak 1467


Terima lagi Jemputan. Carta ke - 5 ialah kisah pada tahun 2009 ketika umat islam menyambut Aidil Fitri. Dalam kisah ini aku pelbagaikan cerita dan ini mungkin menarik minat pembaca. Paparan sebanyak 914. Kisahnya di sini


Apple Cider Vineger. Carta ke - 6 merupakan kisah Apple cider. Ketika itu aku mengalami sakit lutut dan mendapat pandangan dari rakan-rakan agar mencuba ini. Paparan sebanyak 903. Ceritanya di sini


Inilah Bijih Besi. Carta ke - 7 ialah kisah bijh besi. Semasa aku dan anak-anak di bawa berjumpa bomoh santau oleh seorang rakan setelah kematian isteriku, aku di tanya oleh bomoh di mana boleh mendapat bijih besi. Sebenarnya ia begitu senang di dapati sebelah tempat kerjaku. Paparan sebanyak 776. Ceritanya di sini


Hari Ibu, Patutkah Ibu Di Cerca. Carta ke - 8 mengisahkan ibu yang di marahi akibat dikatakan mencampuri urusan anak-anaknya. Pos ini juga merupakan pos yang di penuhi dengan spam. Sudah berpuluh komen atas pos ini telah aku delete. Entah kenapa. Paparan sebanyak 649. Kisahnya di sini


Catatan Umrah - 04. Carta ke - 9 mengisahkan aku mengerjakan umrah. Kisah ini amat bererti bagiku. Aku mengerjakan umrah pada tahun 2009 setelah berkahwin kali kedua. Paparan sebanyak 615. Kisahnya di sini


Roti Canai Segera. Carta ke - 10 mengisahkan isteriku yang berniaga roti canai. Setiap hari dia akan menguli tepung untuk membuat roti canai sendiri. Sebab itu ramai customer yang suka makan roti canainya. Tak sama macam  penjual yang lain. Paparan sebanyak 574. Kisahnya di sini

Terima Kasih Anak-Anakku


 Terima kasih kepada kedua-dua anakku yang bersusah payah untuk merayakan hari bapa. Pagi-pagi lagi  anak gadisku ke pasar membeli bekalan. Katanya nak masak nasi beriani. Sebut saja nasi beriani aku terkenangkan nasi beriani arwah isteriku. Kini anak gadisku mewarisi kepakaran emaknya.


 Aku hanya datang pada sebelah petang sebab selepas zohor aku dan isteri menghadiri kenduri perkahwinan. Di Pulau Pinang keadaan jerebu masih lagi tebal. Kereta pula tidak di benarkan memasuki dalam kawasan dewan. Penuh dengan kereta berlegar-legar mencari tempat kosong termasuk aku. Bila dah dapat terpaksa berjalan ke dewan. Masuk kedalam dewan keadaan amat sesak. Aku dan isteri berlegar-legar mencari tempat sambil membawa pinggan nasi. Memang tak selesa rasanya.


 Habis saja makan memang tak boleh duduk lama kerana terpaksa memberi laluan kepada orang lain yang turut berlegar-legar mencari tempat. Tuan rumah senyum saja sambil mengalu-ngalukan kedatangan tetamu tanpa mengetahui tempat sudah menjadi sesak. Kepala aku sudah mula berdenyut. Isteriku mula risau bila aku menyebut kepala berdenyut sebab semenjak kami berkahwin aku belum bersungut kepala terasa berdenyut.


Akhirnya selepas solat zohor aku terpaksa melelapkan mata sebentar. Aku hantar sms kepada anakku mengatakan yang aku akan datang selepas solat asar. Jam 4 petang aku tersedar. Terus aku bersiap dan pulang kerumahku. Kedua-dua anakku sedang menanti. Sungguh kemas hidangan yang terletak di atas meja. Aku menjamah sedikit nasi beriani walaupun perutku masih lagi kekenyangan. Memang sedap nasi beriani yang di masak anak gadisku. Memang rasanya tak tumpah macam arwah emaknya.


Selesai menjamu selera barulah kek di keluarkan untuk aku memotongnya. Bila ia di lakukan di rumahku sendiri aku dapat merasakan seperti arwah Siti Aishah turut bersama kami. Terbayang senyuman manisnya bila mengucap selamat hari bapa kepadaku. Cukuplah anak-anakku menjadi pengganti menyuap kek ke mulutku.


Ayah ucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua anak ayah kerana bersusah payah menyediakan semua. Ayah berdoa kepada Allah agar kedua-dua anak ayah akan bahagia dunia dan akhirat. Al Fatihah untuk emak...

Sunday, June 17, 2012

Selamat Hari Ayah

Kepada semua kaum muslimin yang bergelar ayah, aku mengucapkan selamat hari ayah kepada kalian semua. Semoga kita menjadi seorang ayah yang dapat membawa keluarga kita dengan senang menyeberangi titian Siratul Mustaqim. Aku menerima menerima ucapan selamat hari bapa dari kedua-dua anakku. Aku terima ucapan ini dengan hati yang tenang dan pilu. Pilu sebab mengenangkan mereka sudah tiada emak di sisi mereka dan ayah pula berjauhan dengan mereka.

Padaku, aku bukanlah seorang suami dan ayah yang hebat walaupun ramai di kalangan masyarakat yang menjadikan aku sebagai contoh untuk menjadi seorang suami dan ayah. Padaku kalau aku seorang suami yang hebat sudah tentu aku dapat mengubati isteriku tatkala di timpa ujian walaupun aku tahu bahawa kita tidak boleh melawan takdir. Ini semua telah tercatat yang isteriku bukanlah milikku selama-lamanya. Dia milik Allah.

Sebagai seorang manusia aku telah andaikan yang aku telah gagal untuk membantu isteriku dan sikap menyalahkan diriku tidak dapat aku kikis. Kini hatiku di penuhi dengan dendam pada mereka yang memisahkan kebahgiaan kami sekeluarga. Hanya iman yang masih kekal membuatkan aku tidak meneruskan niat burukku. Kalau tidak aku sama seperti iblis-iblis itu. Hanya kepada Allah aku merayu setiap kali solat agar Allah memberi ketenangan kepadaku. Suatu yang pasti ialah kini aku begitu mudah untuk berdoa di sepertiga malam.

Aku juga gagal menjadi seorang ayah yang baik. Tatkala anak-anakku kehilangan ibu mereka, aku pula berjauhan dengan mereka. Aku lakukan ini semua agar aku dapat meneruskan kehidupan di samping isteriku kini yang begitu baik. Aku juga tidak sanggup melukakan hati isteriku dan dalam jangka masa yang sama aku tetap merindui anak-anakku walaupun aku tahu mereka telah pun dididik agar dapat berdikari cuma naluri seorang ayah yang merindui anakknya.

Kepada kedua anakku,ayah doakan agar anak ayah di pelihara Allah. Ayah sentiasa merindui anak-anak ayah. Insyallah suatu hari nanti pasti keluarga kita akan bersatu kembali. Jangan lupa andaikata ayah juga tiada di sisi, doakan kami semoga ruh kami aman bertemu penciptanya. Siti Zinnirah Ariff Budiman dan Hermawan Ariff Budiman, kamu merupakan anak-anak yang baik dan terbaik di mata ayah. Maafkan ayah kerana tidak dapat memberi kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak ayah. Akhir kata ayah doakan semoga anak-anak ayah berjaya di dunia dan juga akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin...

Saturday, June 16, 2012

Musim Buah Di Kampong


 Di Penang sudah tiba musim buah. Paling seronok ialah musim buah di kampong terutama sekali kampong ibu mertuaku. Hari-hari pasti ada saja buah yang di bawa pulang. Tinggi sungguh pokok ini. Kalau yang berani boleh naik terus. Kalau tak ada yang berani ambil dari bawah ajer la. Pernah dulu aku naik di atas pokok. Masa nak turun jenuh berlegar-legar tak tahu macam mana nak turun. Akhirnya terpaksa menyuruh anakku mencari tangga. Masa sudah berlalu rupanya. Kalau dulu aku boleh berada di hujung dahan. Kini aku hanya memerhati dari bawah saja.


 Pasti di setiap negeri masing-masing ada nama pada buah ini. Ada yang memanggilnya buah setoi. Di Penang kami menyebut buah setiak ( Idghamnya lain sikit ). Buah ni kalau di tumbuk cili macam sambal belacan lalu di campur kicap dan gula..fuh...rasa-rasanya tak makan nasi ler.


 Tapi awas ya. Dicelah-celah ranting kalau tak nampak ini. Naya karang. Pasti muscle akan timbul merata. Masa kecil-kecil dulu aku pernah lastik sarang tebuan ni dengan kulit kerang. Maka tebuan akan meninggalkan sarangnya akibat bau busuk kerang. Nakal tak aku....


 Cili padi ni kalau makan pasti berpeluh. Macam mana dia boleh tumbuh di celah-celah pokok pisang. Time aku mencari jantung pisang terjumpa la pokok ini. Bela bagi subur. Insyaallah akan berputik bunga lagi.


Penang menyebutnya buah macang atau buah bacang. Hampir setiap hari kalau aku ke rumah ibu mertuaku buah ini pasti di bawa pulang. Aku tumbuk dan campur dengan sambal belacan. Fuhh..tak ada yang lain pun tak apa. Dengan sambal macang pun sudah berselera. Pembaca pernah rasa tak sambal macang. Cuba citer...cuba citer

Wednesday, June 13, 2012

Sakit Bang

Kami selamat sampai di Pulau Pinang jam 7 petang. Nasib baik aku dan anak bergilir-gilir memandu kereta. Jadi ada la kerehatan sikit. Bila berada di rumah memang aku tak boleh duduk diam. Terus aku pacu motosikal keluar. Sekejap ke pekan pun jadilah. Badan terasa terlalu letih. Selepas solat isyak kami tidur. Aku membuka mataku. Aku berada di dalam istana. Aku di kelilingi oleh mereka yang berada bersama-sama dengan raja.

Bengis sungguh wajah raja. Laksamana hanya memerhati aku sambil berpeluk tubuh.
" Bawa dia kemari ". Teriak raja kepada pengawal. Pengawal mengheret aku kepada raja. Raja terus mengeluarkan kerisnya. Adakah ini keris taming sari. Bisik hati kecilku.
" Kamu telah melihat beta dan yang lain ". Kata raja. Aku hanya diam menantikan apa saja. Aku sudah bersedia dari segala-galanya.
" Kamu akan di hukum bunuh oleh beta sendiri ". Kata raja yang terus menikam aku. Aku mengelak dan menolak tangannya. Tiba-tiba dia terus menikam dan sekali lagi aku menolak. Marah sungguh raja bila aku dapat mengelak. Apa yang di hairankan. Aku sudah khatam tentang ilmu keris di alam persilatanku. Cara menempis, mengelak dan menyerang. Setakat raja seorang aku boleh makan.

Raja terus membaca jampi mentera pada kerisnya lalu terus menikam aku. Aku terus juga mengelak dan menangkap tangannya. Seperti ada getah pada tanganku yang membuatkan tangan raja tidak dapat dilepaskannya. Raja terus menarik tangannya. Lagi kuat raja menarik lagi kuat aku genggam tangannya. Akhirnya raja mengalah.
" Bang sakit bang..lepas la ". Kata raja yang membuatkan aku kehairanan.Mengapa suara raja bertukar menjadi suara seorang wanita. Aku terus menggenggam kuat tangan raja untuk memastikan suaranya.
" Adoh bang sakitnya.... ". Pelepap...Aku merasai tangan hinggap di pipiku. Tapi ini bukan tangan raja. Tangan raja masih lagi aku genggam. Jadi tangan siapa ini.

Setelah berkali-kali aku di tampar akhirnya aku buka mataku. Rupanya isteriku yang menampar pipiku
" Ni mesti mimpi orang istana mai serang ". Kata isteriku. Tahu pula dia.
" Pasai apa tangan Nah ". Tanya aku bila melihat isteriku mengurut tangannya.
" Abang la pulas tangan Nah ". Mencuka saja wajahnya.
" Abang minta maaf la. Abang tak sengaja ". Sambil aku mengambil minyak dan mengurut tangannya. Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Tertawa isteriku bila mendengar kisah mimpiku. Alhamdulillah dia tidak menyimpan perasaan di hati.
" Alang-alang dah terjaga jom kita solat ". Aku mengajak isteriku solat bersama dan selepas itu menyambung kembali tidur kami sebelum masuk waktu subuh...Dasyat juga mimpiku..Aku merupakan raja segala mimpi...

Tuesday, June 12, 2012

Jalan-Jalan Di Melaka


 Semasa menghadiri hari keluarga, aku berkesempatan naik jongkang jongkit. Agak lama semenjak meninggalkan alam kanak-kanak. Aku mengajak isteriku tapi malu katanya.
" Baik-baik bang. Patah nanti. Ini bukan untuk kanak-kanak dewasa ". Gurau isteriku. Akhirnya aku mengajak adik ipar yang satu kepala denganku. Kaum keluarga yang lain tertawa melihat bapa budak bermain. Isteriku tersipu-sipu malu bila keluarga yang lain memberi perhatian.



 Aku dan isteri juga berkesempatan melawat muzium kapal selam yang terletak di Pantai Klebang. Anak tiriku kini tinggal di Melaka jadi senang sedikit bagi kami untuk mencari tempat-tempat yang menarik. Besar juga kapal selam ni. Inilah pertama kalinya aku melihat kapal selam dari jarak dekat. Nak masuk kena bayar sebanyak RM1. Tidak ramai yang tahu akan tempat ini sebab dia agak terpencil dan tiada penunjuk arah.



Bila tiba waktu zohor, kami berlegar-legar mencari masjid. Akhirnya kami berjumpa penunjuk arah ke Masjid Selat Melaka. Bila memasuki perkarangan masjid kami begitu kagum melihat akan keindahan masjid ini. Ia mengadap laut. Ramai yang datang untuk menziarahi masjid dan mengambil gambar. Seelok-eloknya ambillah wuduk dan sembahyang 2 rakaat. Insyaallah di akhirat nanti masjid ini akan menjadi saksi yang kita telah bersolat di sini.



Kami terus ke Bandar Hilir Melaka. Kelihatan begitu sesak dengan manusia yang ingin melihat hasil peninggalan sejarah Melaka. Aku amat berminat untuk melihat pemandangan dengan menaiki menara Taming Sari. Kalau hari biasa tiketnya berharga RM38. Di musim cuti sekolah tiketnya dikurangkan kepada RM20 namun terpaksa menunggu lama. Terlalu ramai yang berbaris hendak menaikinya jadi aku terpaksa melupakan niatku. Aku hanya mengambil dari jauh replika kapal Flor De La Mar ketika berada di atas bukit St Paul. Kapal yang di guna oleh Alfonso De Albuquerque untuk menyerang Melaka pada tahun 1511. Dulu semasa di alam persekolahan terpaksa menghafal sejarah ini.


Kami singgah pula melihat Bukit St Paul. Lenguh juga lutut kami menaiki tangga ke bukit ini. Kami tidak masuk kedalam. Apa yang ada sangat dalam gereja peninggalan Portugis. Kami terus menuruni anak tangga menuju ke Kota A Famosa. Kami memasuki dalam kota. Seorang lelaki india sedang melorek lukisan. Hasil seni tangannya begitu istimewa. Aku begitu kagum dengan lukisannya
" Mawan..cantik sungguh lukisan ni ". Aku berkata kepada anak lelakiku.
" Cantik saje buat ape bang. Orang tak nak beli. Bukannya mahal. Cuma RM10 ". Kata lelaki tersebut. Mungkin merasa sedikit tekanan hasil kerjanya tidak di beli orang. Kami berpandangan dan akhirnya kami terus keluar dari kota tersebut.




Destinasi seterusnya ialah ke Muzium Melaka. Awal-awal lagi aku sudah beritahu isteriku pasti ada sesuatu di dalam muzium tersebut.
" Abang kalau nampak apa-apa diam sudah. Janganlah cakap kuat-kuat ". Tegur isteriku. Untuk memasuki muzium terpaksa membayar tol. Harga tiket seorang RM5. Setelah membayar kami terus memasuki perkarangan muzium. Dari jauh aku sudah melhat kelibat seseorang dengan pakaian di raja berwarna kuning.
" Nah ada seorang duduk depan pintu. Dia pakai baju warna kuning ". Aku beritahu isteriku
"Ish ish abang. Buat tak tau sudah ". Kata isteriku. Kami memasuki dalam muzium. Aku dah dapat detect. Jantung aku bergerak begitu kencang sekali. Banyaknya makhluk berjalan mundar mandir kesana dan kesini.
" Nah lelaki yang pakai baju kuning tu pergi kearah situ la ". Sambil tanganku menuding kearah raja yang sedang bersidang.
" Abang ni. Nah dah pesankan. Kalau nampak diam sudah ". Tegur isteriku. Aku terus mengambil ipad lalu menghala kearah patung-patung yang sedang bersidang.
" Assalamulaikum semua ". Aku bergurau. Entah kenapa kesemua patung tersebut terus berpaling kearah aku. Maka aku pun berpeluh. Isteriku terkejut melihat tangan aku terketar-ketar dan peluh meleleh dengan begitu banyak sekali.
" Nah depa dok perhati kita. Depa tau abang nampak ". Aku berkata dengan nada ketar.

" Kan Nah dah pesan abang jangan buka mulut kalau nampak sesuatu. Abang diam sudah ". Sambil mengheret tangan aku keluar. Di ambilnya tuala kecil lalu mengelap peluh aku. Lega bila aku duduk di bawah aircon.


Aku memanggil anak lelaki untuk mengambil gambar di sebelah patung pahlawan.
" Mawan tolong ambil gambar bersama kawan ayah ". Kataku kepada anakku sambil memegang bahu patong tersebut.
" Minta maaf..nak tumpang bergambar ". Kataku perlahan kepada patung tersebut. Aku terus diam tanpa memberitahu sesiapa. Kena kunci mulut. Kalau la aku dapat masuk ke bilik persalinan alangkah baiknya. Tetapi ia tidak dibenarkan sesiapa memasukinya. Apa yang ada di dalam. Kami keluar dari muzium dan menuju ke kereta. Terpandang pula muzium kubur.
" Jom kita masuk dalam ". Aku mengajak isteri dan anak-anak. Isteriku memandang muka aku. Aku tahu apa yang di maksudkanya.
" Tak ada apa di dalam. Semua keluar pergi muzium ". Isteriku tertawa mendengar kata-kataku. Aku pun expect something yang akan aku temui namun kosong saja. Hanya terdapat replika kubur orang asli. kristian, asli, cina, India, Yahudi dan akhirnya kami keluar. Boring berlegar-legar di dalam. Rasa rugi dengan bayaran tiket untuk masuk.



Perut sudah terasa lapar. Kami terus ke Pantai Klebang untuk mencari nasi. Dalam perjalanan kesana kami singgah di tepi jalan untuk membeli belacan dan tempoyak. Memang tak sah kalau ke Melaka tidak membawa pulang kedua-dua ini. Seronok juga melihat cara mereka promosi belacan. Kelihatan belacan bergantungan bewarna merah. Ingatkan itu betul-betul belacan. Rupanya ianya adalah kotak dan di letakkan didalam plastik bewarna merah. Patutlah mereka boleh biarkan semalaman bergantungan. Sempat juga isteriku membeli petai. Sedap ni kalau di buat sambal tumis petai campur udang. Fuh...terbaik. Isteriku membeli 10 botol cincaluk dan banyak juga belacan. Sudah mestinya jiran dan sanak saudara tidak di lupakan.




Setelah selesai memborong kami ke gerai makanan.
" Sila sila. Masuk dalam bang...ada banyak lauk ". Kata penjual. Kami hanya tersenyum
" Mari bang...kakak..pilih pilih nak makan boleh..nak bungkus pun boleh ". Erm...best juga melihat masakan di gerai ini. Wow ikan talapia bakar. Ikan keli bakar. Terus jatuh hati dan kami makan di sini. Melihat cincaluk aku sudah mula tergoda. Terus aku ambil tapi bila rasa..fuh kenapa terlalu masin ni. Tak kanlah orang Melaka tak pandai buat cincaluk ataupun mereka makan begini.

Cara yang arwah ayahku ajar ialah cincaluknya sedikit. Perah limau kasturi dan di tambah cili padi dan bawang merah. Rasanya tidaklah masin. Ini memang terlalu masin.
" Abang buat cincaluk lagi sedap ". Puji isteriku. Pandainya dia memuji aku.
" Tak apa... balik nanti abang buat cincaluk ". Itulah aku. Pantang di puji sikit. Perut dah kenyang dan kami pun terus pulang ke Pulau Pinang. Alhamdulillah rasa seronok dapat berjalan ke Melaka. Insyaallah di lain masa ke tempat lain pula.Janji ada ongkosnya....




Sunday, June 10, 2012

Kesempatan Yang Ada

Sudah banyak hari aku terpaksa standby. keluar pagi dan pulang di waktu malam. Badan menjadi terlalu letih sehinggakan nak update blog terus menjadi malas. Aku sekadar singgah di blog untuk sementara saja. Hari Ini ( Ahad ) aku berkesempatan untuk rehat. Agak lama tidak keluar berjalan-jalan dengan kedua-dua anakku.


Aku menalipon anak lelaki mengajak mereka berjalan-jalan. namun masing-masing tidak kemana yang hendak di tuju. Akhirnya anak lelaki membuat suggetion untuk ke pesta flora dimana hari ini merupakan hari terakhir. Aku sebab lama tak shoot gambar. Jam 3 petang kami kesana. Sudah ramai yang berada di sana. Alhamdulillah dapat juga parking



Anak gadisku begitu teruja melihat bunga yang cantik. Aku terus mengeluarkan kamera lalu snap sana dan sini sehingga aku tidak sedar yang aku telah mengambil sebanyak 100 gambar bunga saja. Ini merupakan sebahagian saja. Kata anak gadisku macam dia nak beli kesemua bunga orkid. hari terakhir pula ada offer. Akhirnya di beli 2 pasu bunga orkid untuk di hadiahkan kepada emak saudaranya.


Ketika sibuk mengambil gambar, aku mendapat panggilan talipon. Alamak kena standby pula. Jam 7 petang aku harus masuk kerja. jam di tangan baru pukul 5 petang. Masih sempat snap gambar. Masyaallah memang cantik bunga yang di jual. di suatu bahagian lain pula di adakan pertandingan bunga dan bongsai. Ada bongsai yang mencecah ribuan ringgit.



Setelah anak gadisku mendapat apa yang di idamnya, kami pulang untuk menghantar bunga kerumah ibuku. Betapa gembiranya kakak aku yang begitu meminati akan bunga. sebenarnya arwah ayahku merupakan peminat orkid dan ianya turun kepada kakak aku. Alhamdulillah ada ler juga pewarisnya.



Alhamdulillah walaupun dapat bersama dengan anakku seketika ianya cukup bermakna. inilah merupakan kesempatang yang perlu di ambil. Di hari yang lain aku bersama dengan isteriku. Kini biarlah aku bersama kedua-dua anakku. lebih baik begini. Syukur Ya Allah






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...