Teman-teman

Wednesday, April 29, 2009

Aku Menulis Bukan Untuk Popular

Maaf entri aku kali ini merupakan yang terakhir sehingga aku benar-benar tenang. Itu akan memakan masa. Sebenarnya aku menulis bukan kerana nama. Aku menceritakan segala apa yang terjadi terhadap diriku bukan untuk menagih simpati. Bukan untuk tujuan supaya aku menjadi popular diantara bloggers semua. Aku menulis sebab untuk menghilang stress yang aku alami seorang diri. Siapa pun tidak tahu dan tak akan mengerti apa sebenarnya terjadi kepada kami. Biar Allah saja yang mengetahuinya.

Kalau orang lain mengatakan mereka sayang akan Siti Aishah, aku lebih sayangkannya. Aku tahu apa yang berlaku terhadap kami cuma aku tak terdaya melawan dugaan Allah. Jangan samakan orang lain dengan aku. Masing-masing ada cara masing untuk menghilangkan stress. Cara aku dengan menulis di Warna Nostalgia. Aku tidak menulis benda-benda yang kotor lagi menjijikkan. Kalau ada yang terasa malu dengan tulisan aku anggap saja aku orang asing dalam hidup mereka.

Maafkan aku selama ini tulisanku menyusahkan para pembaca. Biarlah aku begini. Apa yang terjadi kepadaku biarlah aku sendiri yang menanggungnya. Sakit demam, kemalangan jalanraya biarlah aku sendiri yang merasainya. Aku berjanji tidak akan menyusahkan kalian lagi.

Selamat Tinggal Semua. Jumpa lagi entah kapan......

Boleh Terlelap

Kelmarin aku pulang dari kerja setelah menghabiskan tugas malamku. Dalam hati aku berkata kemana aku nak tuju. Pulang kerumah tak ada orang. Aku mengambil keputusan ronda di pasar. Banyak juga ikan yang dijual. Aku hanya memerhati ikan terubuk yang menjadi kesukaanku. Dulu kalau arwah isteri aku ada, aku akan call dia dulu dan cakap aku nak beli ikan terubuk. Isteriku berkata," Abang teringin nak makan apa beli la nanti Siti masak ".

Aku memegang talipon bimbitku lalu mencari nama isteriku. Aku call tapi yang menjawab berkata," The number you have dial is not in service ". Aku sedikit sayu. Entah mengapa aku terlalu merinduinya. Walaupun sudah 4 bulan isteriku meninggal namun wajahnya amat sukar untuk aku padamkan. Mengapa orang boleh berkata aku sudah melupakan isteriku. Aku termenung seketika. Kemana lagi harus ku tuju.

Akhirnya aku mengambil keputusan singgah di pusara isteriku. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Aku mengambil surat khabar lama yang terdapat disebelah pusara isteriku. Aku mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terasa tenang sekali seolah-olahnya Siti Aishah berada didepanku. Lama-kelamaan keadaan di persekitaran kubur menjadi gelap gulita. Aku tak tahu apa seterusnya terjadi. Aku telah ditepuk oleh seseorang, " Budiman, hang boleh tidur disini. Aku dok peghati dari jauh, Budiman dok baca ka dok tidur ". Aku hanya tersenyum saja.

Nasib baik kawanku yang bertugas sebagai pembersih tanah perkuburan bukan jenis yang suka membawa mulut. Kalau tidak mesti riuh satu taman yang aku tertidur di kubur. Terasa begitu lama aku disitu dan jam ditangan menunjuk pukul 11 pagi. Agak lama juga aku tertidur. Itupun secara duduk. Aku pulang dengan perut terasa teramat lapar namun aku tak ada selera nak makan. Biarlah aku pulang kerumah dan sambung semula tidurku. Bangun nanti aku akan kadha sekali makan pagi terus dibawa ke petang.

Baru nak terlelap talipon berbunyi," Assalamualaikum Budiman. Hang nak pergi menjala ka. Udang banyak ni". Aku ni bukan boleh mendengar perkataan jala. Memang favourite aku. Dulu kalau aku runsing, aku akan ajak isteri pergi menjala. Dia mengikut saja asal aku tenang. Kali ini aku mengalah sebab badan terasa bagai nak demam. Aku perlu berehat.

Selepas solat asar aku mengambil jala agar petang ini rezeki udang ada untukku. Aku terlalu gembira nak kesana walaupun kali ini aku keseorangan. Tiba di pantai lain pula yang jadi. Air surut la. Last sekali aku hanya makan mee rebus yang dijual di pantai. Rupanya tak ada rezeki buatku.

Monday, April 27, 2009

Program Lawatan Hospital

Ahad - 26 April 2009 Alhamdulillah hari ini Allah telah memberiku kelapangan untuk mengikuti program ziarah hospital yang begitu lama aku tinggalkan. Ia telah dianjurkan oleh satu badan kebajikan ( NGO ) yang bergelar Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ( JIM ). Program ini sungguh murni dan ia banyak membantu merawat hati ini. Ia juga mengajar aku erti hidup yang sebenar.


















Adik-adik yang bakal bergelar doktor turut ikut serta


Hari ini kami masuk ke wad sakit jantung. Kami memberi penerangan tentang betapa pentingnya menjaga solat walaupun ketika sakit. Sakit tidak bermakna cuti dari solat cuma ia amat mudah. Pamplet telah diedarkan agar pesakit faham betapa pentingnya menjaga solat. Kami akan akhiri dengan mendoakan kepada pesakit agar cepat sembuh.

Aku masih ingat kali pertama aku dan arwah isteri terlibat dalam program ini. Grup kami telah menziarah seorang pemuda india yang patah kaki akibat kemalangan jalanraya. Lagi 3 hari akan menyambut Deepavali. Keluarganya tidak seorang pun datang menjenguknya. Setelah kata-kata peransang diberi kami meminta izin darinya untuk berdoa. Aku pun berdoa agar tuhan berikan kesihatan yang baik kepada pemuda ini agar ia dapat bersama dengan keluarga menyambut Deepavali. Menangis tersedu-sedu pemuda ini. Tak tahulah kenapa dia menangis. Tapi aku dapat merasakan sesuatu yang terlalu manis dalam hati ini. Terasa tenang sekali. Begitu juga dengan isteriku.

















Diantara sukarelawan lelaki yang konsisten dengan program ini.


Adik-adik dari bakal doktor mengatakan bahawa mereka cuma diajar cara-cara bagaimana nak kendalikan pesakit. Inilah kali pertama mereka mendapat ilmu yang berguna iaitu tentang betapa pentingnya seorang doktor mengetahui bagaimana untuk mengajar pesakit yang beragama islam solat ketika sakit. Mereka berjanji kelak bila mendapat gelaran ini kebajikan pesakit terutamanya bab solat tidak akan dilupakan.

Insyaallah pada bulan hadapan kami akan melawat wad kanak-kanak bersama hadiah yang di sponsur oleh orang ramai. Aku berjanji pada diriku sendiri andaikata hari itu aku tak bekerja insyaallah aku akan turut serta menyertai satu program yang betul-betul telah mendidik hati aku agar mensyukuri diatas segala nikmat dan dugaan yang Allah berikan. Walaupun ia bukanlah satu program yang menjanjikan kemewahan tapi ia sungguh mulia disisi Allah.















Sunday, April 26, 2009

Anugerah Perkhidmatan Setia TNB

















Pendaftaran Peserta dan pasangan masing-masing

















Majlis Makan malam
















Anugerah Perkhidmata Setia selama 25 Tahun

Pada 25 April 2009 aku dan warga TNB telah di anugerahkan Perkhidmatan Setia setelah bertugas dengan badan korporat selama 25 tahun. Setiap warga TNB dibenarkan membawa pasangan yang merupakan orang yang berada dibelakang tabir si suami iaitu seorang wanita yang bergelar isteri. Aku hanya mampu membawa anak lelakiku menggantikan ibunya.

Ramai juga kawan-kawan bertanya padaku dimana isteri untuk dikenalkan dengan isteri mereka. Lidah aku kelu untuk mengeluarkan perkataan meninggal sebab bila aku menyebut akan perkataan itu akan disusuli dengan soalan sakit apa. Aku hanya mampu berkata berada dirumah. Ada juga yang tahu akan cerita aku lalu dibisikkan kepada isteri mereka. Apalagi sekejap-sekejap mereka akan menoleh kearahku. Aku tahu mereka simpati akan nasib yang menerima keluargaku.

Tepat jam 2.30 petang majlis bermula dengan nyanyian lagu negaraku dan lagu korporat TNB. Terasa bangga aku bertugas dengan badan korporat ini. Ucapan Pengerusi TNB Datuk Sri Leo Moggie amat menyentuh perasaanku. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasangan yang bergelar isteri kerana sanggup bersabar bila suami tak pulang kerumah akibat kesibukan. Aku hanya mampu mengalir airmata mengenangkan pengorbanan arwah isteriku.

Ketika aku sampai dirumah jam 3 pagi isteriku masih berada diruang tamu menanti aku walaupun dalam keadaan mengantuk. namun sayangnya kepada suami isteriku telah menghilang rasa mengantuknya demi menanti kepulangan suami tercinta. Masa itu aku merasa sungguh tenang sekali dengan pengorbanannya.

Aku amat terharu kerana diasat ini isteriku tidak dapat bersama menyaksikan aku berada diatas pentas mengambil anugerah. Aku melihat isteri rakan-rakanku yang lain begitu berbangga melihat akan suami mereka diatas pentas dengan anugerah masing-masing. Kataku kepada anakku," Alangkah indahnya kalau emak ada bersama. Tentu emak berbangga melihat ayah diatas".

Aku pernah berkata kepada isteriku yang satu masa kelak dia akan menemaniku untuk menerima anugerah ini. Dia begitu seronok mendengar dan bertanya bila. Kataku tahun 2009. Kami hanya mampu merancang dan Allah telah merancang lain untuk kami. Kini aku hanya mampu mengenangkan saat indah ketika aku pulang dari kerja jauh malam pasti isteriku akan menyambutku. Kini bila kau pulang yang pastinya pintu akan aku buka sendiri. Air akan aku bancuh sendiri dan sakit badanku dirasai seorang diri. Semoga Allah tempat isteri bersama orang-orang solehah.


























Bersama rakan setugas menerima anugerah

Friday, April 24, 2009

Apakah Tujuan Perkahwinan

Selepas solat subuh aku telah dikejutkan dengan pasangan suami isteri yang bergaduh. Si isteri menangis kesakitan apabila sisuami telah menumbuk mukanya. Hancur luluh hatiku mendengar rintihan siisteri. Siisteri hanya meminta sisuami membantunya menjaga anak manakala siisteri dengan urusan anak-anak yang lain. Namun sisuami dengan sikap panas barannya telah meletakkan tugas menjaga anak-anak ialah siisteri.

Aku hanya mampu mendengar rintihan siisteri. Sedih melihat dia diperlakukan begini. Selama aku hidup bersama arwah isteri selama 23 tahun tidak pernah sekali pun aku mengherdik malah memukulnya. Aku sanjung tinggi anugerah yang Allah berikan kepadaku. Memang bagi perempuan selepas bersalin perubahan badannya amat ketara. Adakah itu alasan pasangannya untuk membenci.

Jiran-jiran yang lain menyuruh aku menyabarkan mereka tapi aku tak mahu sebab pernah terjadi selepas disabar oleh jiran sisuami terus menjatuhkan talak terhadap isterinya. Aku takut perkara itu akan berulang kembali namun dalam masa yang sama aku sedih akan nasib yang menimpa wanita itu.

Bagiku perkahwinan adalah amanah yang perlu dipikul. Suami isteri yang tidak ada pendidikan agama dan tidak pula mahu mencarinya akan terkial-kial mencari arah yang dituju. Bagi mereka dapat berjalan bersama-sama itu dikatakan bahgia. Bagi aku kalau hendak lebih bahagia bawalah isteri dan anak-anak ke program agama seperti kuliah, ceramah. Insyaallah perkahwinan ini akan mendapat keberkatan dari Allah. Itulah aku lakukan selama 23 tahun aku bersama isteri. Akan aku bawa bersama anak-anak tak kira siang atau malam ke program ceramah dan hasilnya Allah berikan kepada kami satu anugerah iaitu nikmat kasih sayang yang sehingga kini tidak dapat aku padamkam. Fikir fikirkanlah

Thursday, April 23, 2009

Salah Kah Aku

Genap 4 bulan sudah Siti Aishah meninggalkan kami semua. Keadaan rumahku, lansir, cadar dan kesemuanya masih lagi tidak bertukar dari semenjak arwah isteriku masih ada lagi. Aku terasa amat janggal bila berada dirumahku sendiri. Aku hanya mampu melihat dan merindui setiap barangan milik Siti Aishah. Namun aku terpaksa juga berdepan dengan kenyataan yang Siti Aishah tidak akan kembali lagi. Aku harus meneruskan penghidupan baru bersama anak-anak.

Namun tidak lama lagi hati ini akan menjad milik orang lain. Aku sedikit gusar andaikata aku terlalu mengharapkan agar wanita yang akan muncul dalam hidupku persis Siti Aishah. Agak keterlaluan pengharapan aku ini. Setiap insan yang dilahirkan didunia mempunyai perwatakan yang berbeza. Aku akui itu. Tapi semakin aku cuba kikis sedikit demi sedikit memoriku bersama Siti Aishah semakin rancak peti memoriku memutarkan kembali nostalgia ini. Semalam aku bermimpi saat indah kami sekeluarga bergurau senda gelak ketawa bersama Siti Aishah. Masih segar diingatan ketawa Aishah.

Kini aku menghitung hari akan saat itu dan aku berdoa kepada Allah agar wanita yang akan menjadi suri hatiku memahami keadaanku dan aku juga perlu memahami keadaannya. Jika dia dapat menerima aku ini bermakna dia sudah bersedia mencorak penghidupan barunya sedangkan aku masih lagi terkial-kial merindui orang yang telah pergi dan tak akan kembali lagi.

Aku akan cuba memulakan kehidupan baruku. Aku aku simpan segala kenangan indah memoriku bersama Siti Aishah walaupun dalam masa yang sama aku amat merinduinya. Aku juga sedar bahawa temanku juga telah pun memulakan penghidupan barunya dengan menyimpan segala kenangan indahnya sewaktu bersama arwah suaminya. Aku dan dia dalam situasi yang sama namun teman baruku ini lebih jauh berpengalaman dan cekal dari aku. Aku masih tercari-cari erti kehidupan yang sebenar. PadaMu Allah aku memohon agar berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan kehidupan baruku ini dan semoga kau berkatilah kami...

Wednesday, April 22, 2009

Macam Selebriti

" Tahniah Pakcik Budiman sebab nak kahwin ". Terkejut aku dengan ucapan dari seorang kanak-kanak berusia 12 tahun. Dia adalah anak didikku dalam nasyid. Memang seronok mengajar kanak-kanak. Mereka cukup disiplin walaupun beberapa hari belajar. " Pakcik Budiman, bacalah sajak untuk kami. pakcik Budiman pandai baca sajak ". Teringat aku sewaktu pertandingan nasyid dan sajak. Seorang anak gadis tingkatan 1 berminat untuk membaca sajak tetapi tidak ada idea nak tulis. Aku kasihan padanya lalu aku pun menulis sebuah sajak dan kebetulan ibunya baru saja meninggal dunia akibat perbuatan sihir juga. Sajak itu berkisahkan kisahnya kehilangan insan tersayang.

Sewaktu aku mengajar cara deklamasi sajak aku membacanya seolah-olahnya itu berlaku terhadap diriku. Aku perlu masukkan diriku dalam suasana anak gadis ini barulah dapat feel. Menangis isteriku dan kanak-kanak yang lain mendengar aku mendeklamasikan sajak sambil diiringi muzik dari Kitaro yang bertajuk Kasih Sayang Kepada Ibubapa. Aku sendiri tidak sedar airmataku juga mengalir ketika itu. Ibu anak gadis ini telah disihir kerana perniagaannya berkembang pesat. Aku amat sedih dengan kaum kita yang beragama islam. Pantang melihat orang lain berjaya pasti dia mencari jalan menghalangnya.

Kini setelah semuanya berakhir aku terfikir sendirian rupanya sajak yang aku cipta sendiri untuk anak gadis itu mendeklamasikan adalah untukku juga." Bolehlah pakcik baca sajak ". Terkejut aku bila aku ditarik oleh anak kecil ini." Pakcik kalau baca sajak nanti pakcik pula yang akan menangis ".Ketawa kanak-kanak bila aku berkata demikian. Beberapa orang wanita lain turut tersenyum melihat aku melayan kanak-kanak.
" Betoi ka pakcik nak kahwin ". Tergamam aku dengan soalan cepu emas ini.Hai takkan sampai kanak-kanak pun heboh. Dalam taman aku dah heboh. Berita ini melayang ketaman lain pula. " Tak pa la adik, jodoh, maut ditangan tuhan ". " Ye ye pakcik nak kahwin ". Ya Allah macam itu pula jadinya.

Aku hanya mampu melihat kembali bait-bait sajak yang aku karang. Bagaimana aku boleh tulis begitu. Persis seperti apa yang berlaku terhadapku. Arwah isteriku berkata sajak ini sungguh touching baginya. Setiap kali dia membacanya pasti menangis. Aku tidak sanggup melihat sajak ini. Aku simpan agar ia tidak hilang. Baru-baru ini aku berjumpa dengan anak gadis itu dan aku bertanya akan keadaan ayahnya. " Ayah dah kahwin lain ". Aku hanya terdiam seribu bahasa sebab aku persis ayahnya yang pernah mengalami tekanan perasaan akibat isteri tercinta meninggal akibat perbuatan sihir.

Pada mereka yang sering mempunyai hasad dengki. Kikiskan ia dari sanubari anda. Ambillah iktibar dari kisah-kisah terdahulu. Seseorang itu telah berjaya menghalang kejayaan orang lain namun dalam masa yang sama orang lain pula yang menanggung azab derita. Insaflah.......

Tuesday, April 21, 2009

Ayah Dan Ibu

Kakak, adik semalam ayah bermimpi ayah melayang diudara dan dengan tidak semena-mena ayah telah berada di kampong halaman kita yang lama. Ayah hanya mampu melihat emak sedang menjaga kakak dan adik. Ayah memanggil akan emak dan emak hanya melihat ayah tanpa berkata-kata apa. Emak sedang menyuapkan nasi kepada kakak dan adik.

Ayah hanya mampu melihat dan sedih sebab tidak dapat menghampiri emak. Ingin sekali ayah nak menyentuh tangan emak. Ingin sekali ayah nak berbual dengan emak. Terlalu ingin ayah bergurau dengan emak. Lidah ayah kelu ketika itu. Emak kelihatan begitu bercahaya. Ayah menjerit memanggil akan emak. Emak begitu asyik sekali melayani kakak dan adik. Tiba-tiba ayah gagahi juga menjerit nama emak. Rupanya ayah menjerit seorang diri didalam bilik. Nasib baik semalam hujan begitu lebat maka jeritan ayah tidak didengari.

Sedih hati ayah kerana tidak dapat berbual dengan emak. Terkenang ayah, emak pernah mengasuh anak-anak saudara seperti Kak An, Kak Timah, Kak Asma, Miqdad, Omar dan Sakinah. Kakak dan Sakinah amat rapat tetapi Sakinah seorang budak yang suka mengusik kakak. kakak akan menjerit dan ketika itulah Sakinah menggeletar lutut lalu memanggil nama, "Abah abah". Kakak dan Sakinah pernah menjentik telinga Miqdad. Miqdad marah sebab jentik telinganya. Lalu emak menegur. Kata emak, " Bila Miqdad besar dia akan menjadi Dr seperti ayahnya". Benar kini Miqdad sedang mengambil jurusan kedoktoran dan bakal bergelar Dr Miqdad.

Banyak sungguh kenangan kita semasa di kampong. Kepada anak saudaraku belajarlah bersungguh agar satu hari nanti kamu pasti berjaya. Kamu semua dah besar sekarang dan telah menjadi bloggers. Hormatilah kedua ibu bapa. Selalulah bertanya khabar. Kakak, adik walaupun emak sudah tiada, ini tidak bermakna kakak dan adik tidak boleh berbakti. Kirimkanlah doa kepada emak kerana doa dari anak-anak yang soleh pasti diterima. Emak sedang menanti doa dari kakak dan adik. Insyaallah kita akan bertemu emak diakhirat kelak. Terimalah lagu Ayah dan Ibu nyanyian Inteam. Semoga kita semua beroleh kebaikan didunia dan juga akhirat.


Sunday, April 19, 2009

Aku Telah Di Usik

Pagi tadi pihak surau telah mengadakan sesi gotong royong bagi menyambut kedatangan seorang ulama terkenal Dato Abu Hassan Din ke surau kami pada 25 Apr 2009 jam 3 petang. Agak lama juga kami tidak melakukan gotong royong. Agak ramai juga yang hadir walaupun cuaca diluar agak gelap dan kemudian hujan turun mencurah-curah.

Masa ini semua orang berkumpul sambil menjamah kuih muih dan nasi lemak. Berita aku akan berkahwin lain tersebar dengan begitu cepat sekali. Mak angkat aku berkata semalam beliau telah pergi membeli nasi tomato di pasar malam dan dapat lihat wanita itu. Besok Isnin AJK surau dan kawan-kawan Siti Aishah telah bersepakat untuk pergi makan pagi di Astaka tempat wanita itu menjual Pizza. Mereka juga mengajak aku bersama namun esok aku balik kerja lewat sikit. Kata mereka, " Kami ada dan Budiman jangan risau boleh ikut sekali."

Ramai yang datang mengucapkan tahniah dan tak kurang juga yang mengusik aku tak beri aku buat kerja. Elok la tu aku baru balik kerja malam. Yang paling dasyat mengusik ialah golongan wanita. Namun aku tidak marah sebab mereka semua merupakan orang yang banyak memberi sumbangan kepada pihak surau. Aku juga dapat menangkap bila ada juga wanita yang masih merasa kesunyian dengan tiada Aishah. Selalunya bila ada gotong royong mereka akan mengusik aku dan Aishah hanya tersenyum melihat aku telah diusik.

Paling aku tidak sangka ialah ramai juga gang Aishah yang kenal akan wanita ini. Kata mereka wanita ini amat sesuai dengan aku. Alhamdulillah mudah-mudahan begitulah. Siap dah mereka booking untuk buat kenduri disurau. Seorang wanita berkata kepada aku, " Tak pa Budiman dekat hang kami bagi special sikit. Hangpa boleh bersanding dalam stor sebab spesis tua ". Bergema gelak ketawa dari golongan wanita lain. Teruk aku pagi tadi kena belasah usikan mereka. Aku pun tak marah sebab aku tahu mereka cuma mahu menghiburkan hati aku. Seorang wanita pula berkata, " Janganlah lepas kahwin tak dengar azan dah".

Seorang kawan rapat Aishah memberi pesanan kepada aku agar berhati-hati sebab mereka yang mendendami kami akan bertindak lagi sekali sebab tindakan pertama mereka menjangkakan aku akan terus terkubur namun masih lagi meneruskan hidup. Aku berkata yang aku telah bersiap sedia. Jatuh kali pertama bukan bermakna akan jatuh lagi kali kedua. Namun lari dari masalah tidak akan menyelesaikannya. Aku akan terus berjuang walaupun aku sendiri yang akan terkorban. Satu perkara yang pasti ialah kematian bukan mereka yang menentukan tetapi Allah dan aku amat meyakini bahawa Allah tidak akan mensia-siakan doa orang yang teraniaya.

Friday, April 17, 2009

Syukur Ya Allah

Syukur Ya Allah doaku telah Allah makbul. Adakah itu makna mimpiku yang aku alami selama ini Ya Allah. Alhamdulillah engkau yang menentukan segalanya............!!!!!!!

Thursday, April 16, 2009

Macam-macam cerita la

















Hari ini aku bertugas lagi di Parit Buntar. Siap aku bawa kamera mana la tahu kalau ada pemandangan yang menarik. Sambil memandu kereta aku mengelamun tentang mimpiku baru-baru ini. Aku dan anak-anak sedang melalui sebatang anak sungai. Tenang sungguh airnya. Tiba-tiba airnya berkocak kuat. Maka timbul ikan dengan begitu banyak sekali. Betul-betul didepan aku seekor ikan besar seolah-olah merelakan aku menangkapnya tapi aku tidak berminat. Aku terpandang akan seekor ikan yang kecil tapi cantik. Aku berkata kepada kedua-dua anakku, " Kita ambil saja ikan ini untuk dibela ". Anak lelakiku tidak berkata apa-apa terus menangkap ikan itu. Akhirnya aku terkejut dengan laungan azan subuh.

Sedang aku berada didalam lamunan entah bila aku tidak sedar aku telah melalui satu kawasan yang penuh ditanam dengan pokok buah naga ( Dragon Fruit ). Lantas aku menekan brek dan terus aku menangkap gambar. Anak lelaki aku berkata, " Ayah ni pantang nampak pelik sikit nak tangkap gambar saja. Tapi best juga no ayah masuk dalam blog". Itu dia jiwa bloggers katakan. Pantang sikit mesti ingat blog.

Aku memang suka buah ni sebab pakar-pakar mengatakan buah naga kaya dengan potasium, ferum, protein, serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan lain yang diimport. Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah. Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.

Secara keseluruhan, setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu mengurangkan metabolisma badan dan menjaga kesihatan jantung; serat (mengawal kanser usus, kencing manis dan diet); karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan menghalang penyakit); kalsium (menguatkan tulang) dan fosferos (pertumbuhan tisu badan).

Buah naga juga mengandungi zat besi untuk menambah darah; vitamin B1 (mengawal kepanasan badan); vitamin B2 (menambah selera); vitamin B3 (menurunkan kadar kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan, kehalusan kulit serta mencegah jerawat). Itulah yang aku baca.

Dalam aku rancak-rancak menangkap gambar pokok buah naga, tiba-tiba talipon berdering, " Ariff hang p ka majlis anugerah pada 24 April ni". Aku mengiakan saja. " Hang duduk dengan sapa ". " Aku duduk sorang diri la sebab dah tak ada isteri ". " Hang mau ka aku bagi sorang perempuan untuk teman hang ". Menyirap darah aku bila mendengar akan kata-kata rakanku ini. Dia cuba bandingkan aku dengan dia. Dah la pencen masih bergelumang dengan maksiat. Katanya hidup hanya sekali.

Aku tak marah tapi aku cakap secara tenang agar dia dapat menangkapnya. " Cuba hang bayangkan ketika hang sedang melakukan maksiat, tiba-tiba Allah rentap nyawa hang. Apa hang nak buat. Hang tak sempat nak bertaubat. Tak sempat mengucap. Bayangkan apa hang nak jawab bila malaikat Mungkar dan Nakir bertanya didalam kubur seorang diri". Terdiam dia tak terkata apa. Aku terus serang dia dengan baik. " Allah berkata sesudah kita mati semuanya kita tinggalkan kecuali 3. Pertama amal soleh kita. Kedua sedekah jariah kita dan ketiga doa dari anak-anak yang soleh".

" Kita ini dalam katogari menghampiri kubur. Insaflah sebelum terlambat ". Tiba-tiba terdengar nada putus. Mungkin dia off handset dia. Sekurang-kurangnya aku telah sampai kepadanya walaupun satu ayat. Aku beristighfar panjang dengan nasib kawan aku ni walaupun dah berumur 56 tahun masih lagi bergelumang dengan maksiat. Kasian anak isteri dirumah mungkin tak tahu menahu kelakuan siayah diluar. Ya Allah kau tetapkanlah imanku agar tidak tergolong dalam mereka yang melakukan perkara maksiat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tuesday, April 14, 2009

Maafkanlah Aku

Pertama sekali aku mohon maaf dari pembaca semua kerana entri kali ini mendapat reaksi pembaca yang banyak menghantar SMS dan talipon. Rakan sekerjaku menaliponku mengatakan bahawa isterinya menangis tersedu-sedu membaca entriku kali ini. Ada juga rakan baikku talipon sebak bila membaca entriku. Mereka merupakan pengikut setiaku walaupun tak pernah memberi komen.

Sebenarnya aku sendiri tidak sedar jari jemariku menaip mengikut alunan hatiku. Itulah gelora yang aku hadapi sekarang ini. Ramai orang ditamanku mengatakan bahawa aku nampak gembira sekarang dan dalam masa yang sama hatiku begitu pilu dengan keadaan aku. Aku sedih mellihat kedua-dua anakku yang terpaksa menempuh dugaan ini. Si kakak berada di Sungai Petani manakala adik terkial-kial tak tahu kemana bila aku bekerja. Dulu dengan emaklah tempat mereka bergurau-senda.

Kini kami bertiga terpaksa membiasakan diri dengan keadaan yang berkurangan. Bila hatiku merasa rindu akan isteri, aku akan membaca Al-Quran dan akhirnya air mataku jatuh berderai membasahi Al-Quran. Ya Allah apa yang harus aku lakukan. Aku memang tidak dapat melupakan segala kenangan manis. Aku tidak pernah menyesal mempunyai isteri yang bernama Siti Aishah. Memang namanya seindah akhlaknya.

Kadang-kadang aku bercakap seolah-olahnya Aishah berada dihadapanku, " Siti tengoklah rumah kita berselerak. Abang tak tau nak buat macam mana". Memang kedaan rumahku kini macam kapal yang pecah dipukul taufan. Hari ini aku teringin nak masak nasi sendiri. Buka saja periuk labah-labah dah buat sarangnya. Aku hanya mampu membuat nasi goreng namun seleraku hilang sebab aku makan keseorangan.

Timbullah dihati kecilku. Perlukah aku mencari seorang isteri. Tapi belum apa lagi dah hebuh cerita aku merisik khabar. Banyak yang negatif tentang aku kini. Aku di cop gatal dan terlalu awal bagiku. Aku terima kesemua kata-kata ini dengan hati yang terbuka. Tak semuanya 100% mengikut kehendakku. Demi Allah kalau Aishah ada tentu semua perkara ini tidak terjadi. Aku amat mencintainya.

Aku masih ingat 2 minggu sebelum Aishah meninggal. Sujud yang akhirnya terlalu lama sekali. Aku hanya memerhatikan saja sujudnya. Dalam hati aku berkata bahawa isteriku tidak pernah sujud begini lama. Selepas memberi salam dan berdoa dia menangis teresak-esak. Aku menghampiri dan bertanya apa yang tidak kena dengan diriku. Sambil menangis dia berkata,
" Kalau Siti mati bagaimana hidup abang nanti". Terkejut aku dengan kata-kata ini yang umpama halilintar. Aku memeluknya dan menenangkannya. Kataku," Kalau Siti tak ada hidup abang akan merana. Abang tak akan dapat isteri yang sebaik Siti ". Dan malam itu kami berdua menangis dan aku dapat merasai petanda bahawa aku akan kehilangannya dengan keadaan sakitnya.

Entah kenapa bila aku nak ketempat kerja dia meminta supaya aku mencium pipinya. Katanya ciuman ini akan menambahkan ingatan manis kami. Aku akur dan aku gembira sekali memberi ciuman ini. Ketika dia sakit dan tak dapat bangun aku yang akan terus ketempat dia baring lalu mencium pipinya sebelum ketempat kerja. Dan kini memang benar akan kata-katanya ciuman ini benar-benar membawa ingatan yang tak mampu aku padamkan.

Walaupun kami berkahwin, kami umpama pasangan yang sedang bercinta. Cuba bayangkan 2 hari aku bekerja dan tak balik kerumah, dia akan menaliponku mengatakan akan kerinduannya terhadapku. Sewaktu perjalanan pulang kerumah aku begitu gembira sekali akan bertemu dengan isteriku. Terasa kami berpisah begitu lama sekali. Kini kami berpisah selama-lamanya. Aku betul-betul merindui ciumannya, senyumannya, tangisnya dan yang pasti aku merindui masakannya.

Aku tertawa sendirian bila mengingati cerita rakan sekerjaku kepada isterinya. Katanya kepada isterinya aku mungkin beristeri lain. Marah isterinya mendengar berita ini. " Itulah orang lelaki bini baru mati dah nak kahwin lain. Ingat bang kalau saya mati abang kahwin lain, tengah bersanding saya akan bangun dari kubur mai cekik abang ". Katanya sekarang ni dia selalu berdoa moga Allah panjangkan usia isterinya supaya dia tidak berkahwin lain takut dicekik isteri. Memang melucukan gurauan ini.

Ya Allah andaikata diakhirat kelak aku diberi pilihan untuk memilih wanita istimewa, aku akan memilih Siti Aishah Ya Allah dan andaikata didunia ini aku dipertemukan jodoh kembali, kau temukan aku dengan seorang wanita yang solehah yang mempunyai perwatakan seperti Siti Aishah. Aku mohon Ya Allah agar kau makbulkanlah doaku ini.

Monday, April 13, 2009

Untuk anak-anakku




Sengaja ayah paparkan video clip ini agar ketegangan yang ayah rasai akan berkurangan. Emak adalah insan yang istimewa dalam hidup ayah. Emak banyak bekorban demi kebahgiaan kita semua. Kelahiran kakak melalui pembedahan. Begitu gembiranya hati emak tatkala kakak dilahir walaupun pada hakikatnya emak begitu sakit sekali. Ayah tak sanggup melihat emak kesakitan lalu setiap hari ayah sendiri akan mencuci luka emak. Kata Dr emak bertuah mendapat seorang suami yang penyayang. Kakak dibesarkan oleh emak dengan penuh kasih sayang. Setiap kali ayah pulang kerumah terasa seronok bermain dengan kakak ketika itu. Kemana saja ayah pergi, pasti ayah membawa emak dan emak akan memegang kakak sambil membonceng motosikal. Bila hujan lebat kita bertiga basah kuyub dan akhirnya kakak demam. Terpaksa emak menjaga kakak siang dan malam agar demam berkurangan.

Dua tahun kemudian adik pula dilahirkan juga melalui pembedahan. Sedih ayah melihat emak menanggung kesakitan. Ini bermakna sudah dua kali luka ditempat yang sama. Namun tidak nampak wajah kekesalan dihati emak. Seronok emak dengan 2 cahaya mata ini. Kakak dan adik emak besarkan bagaikan menatang minyak yang penuh. Walaupun emak berpelajaran tetapi akibat kemiskinan emak terpaksa melupakan niat itu. Emak akan menjual kuih demi menambah pencarian keluarga ketika itu.

Ayah pernah bertanya kepada emak adakah emak menyesal berkahwin dengan ayah. Kata emak semua itu telah Allah tetapkan dan emak bahagia sekali. Emak telah menyinari keluarga sebelah ayah. Kehadiran emak membawa rahmat kepada keluarga ayah. Emak disayangi oleh seisi keluarga sebelah ayah. Masa itu ayah berasa syukur sekali Allah mempertemukan emak dan ayah.

Selang beberapa tahun kemudian emak mengandung lagi. Risau hati ayah sebab Dr memberitahu bahawa kelahiran yang ketiga ini juga adalah melalui pembedahan. Sampai masanya adik Ashraf dilahirkan. Emak begitu gembira sekali. Entah mengapa adik terpaksa ditahan dirumah sakit akibat kekuningan. Emak dibenarkan pulang. Setiap hari ayah akan pergi menziarahi adik dihospital. Suatu malam ketika ayah sedang berlatih nasyid pihak hospital menalipon ayah sebab keadaan adik tenat. Ayah bergegas ke hospital bersama emak.

Sesampainya kami disana Dr memberitahu kami bahawa adik sudah tiada lagi setelah berada didunia selama 18 hari. Terkulai layu emak menerima berita ini. Terpaksa ayah tenangkan emak walaupun ayah sendiri begitu sayu dengan kematian adik.Emak begitu tertekan sekali ketika itu. Bila melihat kanak-kanak emak akan menangis sebab teringatkan adik. Ayah faham perasaan emak sebab 9 bulan emak membawa adik kemana saja.

Semua itu berlalu begitu sahaja sehinggalah kakak dan adik berjaya didalam pelajaran. Namun kejayaan ini tidak dapat dikecapi oleh emak. Memang menjadi harapan emak agar kakak dan adik berjaya. Namun takdir menentukan segalanya. Emak telah menyambut seruan ilahi buat selama-lamanya. Susah ayah menerima kenyataan ini. Namun ayah redho juga akan pemergian emak. Kini ayah terkapai seorang diri tanpa gurauan dari insan tersayang.

Ayah hanya mampu berdoa kepada Allah andaikata Allah mempertemukan jodoh ayah, biarlah dia seorang yang berakhlak dan mempunyai sifat-sifat seperti emak. Kini Allah telah membuka ruang itu sedikit demi sedikit. Kakak dan adik usah risau akan perkembangan ini. Kalau ini berlaku kakak dan adik tetap anak ayah yang terbaik. Ayah sayangkan kamu berdua. Kakak dan adik merupakan harta hasil dari perkongsian hidup emak dan ayah.

Berilah sedikit ruang untuk ayah agar dapat menghabiskan sisa-sisa hidup sebelum dijemput Allah. Entah berapa lama lagi ayah akan hidup. Kita pun tidak tahu. Namun hidup perlu diteruskan. Harapan ayah dan juga emak, teruskanlah perjuangan dalam menimba ilmu. Semoga kakak dan adik berjaya di dunia dan juga akhirat dan itulah harapan yang terbaik dari seorang insan yang bergelar ayah dan emak.

Sunday, April 12, 2009

Bengkel Pembinaan Blog



















Hari ini sepatutnya aku nak belajar tentang nak upgrade blog Warna Nostalgia. Akhirnya aku tiada pilihan terpaksa menjadi fasi dan mengajar bengkel pembinaan blog. Target permulaan ialah seramai 20 orang sahaja dan kehadiran sebanyak 19 orang.

Pertama para peserta telah difahamkan apa tujuan pembinaan blog oleh puan Azizah dari JIM Media Pulau Pinang. Banyak juga aku mendapat ilmu disamping menjadi tenaga pengajar dikalangan rakan-rakan. Kata peserta rupanya senang nak buat blog ya..

Peserta nampak enjoy juga sebab mula jam 9.20 pagi tidak terasa masa dah tamat jam 1 tengahari. Maklumlah pertama kali dapat buat blog sendiri. Kata mereka selalu dok membaca blog kawan-kawan dan kini telah mempunyai blog sendiri. Jam 1 tengahari pun masih seronok walaupun dah tamat. Akhir sekali penganjur menggunakan kuasa veto, komplek nak ditutup. Barulah beredar. Insyaallah ramai yang berminat nak sambung lagi bengkel ni. Penganjur bercadang nak adakan bengkel multimedia. Hari ini aku begitu gembira sekali. Entah kenapa. Sekurang-kurangnya aku dapat melupakan masalah aku buat seketika dengan berjumpa kawan-kawan.

Wednesday, April 08, 2009

Sembang-sembang kedai kopi

Hari ini aku tak masak. Bukan hari ini saja. Tiap-tiap hari aku tak masak. Jadi balik kerja aku singgah diwarung kedai kopi. Ada la jual nasi dan lauk pauk. Aku tak suka makan dikedai lalu aku bungkus saja. Sambil menanti minuman aku disiapkan, aku pun duduk sambil anak telinga memasang kalau ada terdengar cerita-cerita menarik. Maklumlah kedai kopi.

Masuk sorang pakcik, ' Ya Budiman tak masak ka hari ini". Aku hanya tersenyum simpul saja.
" Baru depa tau, kena 2 - 1 ". "Siapa kalah pakcik Arsenal ka Vilareal". Aku sengaja buat tak faham sebab aku tak suka dok sembang pasal politik. Cuma kesedaran tu aku adalah. " Hang ni apa ke jadahnya cakap pasal bola. Aku cakap pasal politik la. Bukit Gantang & Bukit Selambau. Baru padan muka depa. Allah tunjuk siapa yang benar ". Sengaja dia tinggikan suaranya supaya orang disekeliling yang menyokong pihak lain akan merah padam muka mereka.

Tauke kedai memang dipihak kerajaan. Merah padam muka dia dengan gelagat pak cik tu yang tak berakhlak. Tapi dah berniaga maka diam saja tauke tu mendengar celoteh pak cik.Bagi aku yang kalah tak bererti dia kalah. Mungkin ada tarbiah yang perlu difikirkan untuk di muhasabah diri. Yang menang jangan dibanggakan. Sebelum mendapat kuasa kita berjanji berbagai-bagai kemudahan. Bila dah dapat kuasa terus menjadi syaitan yang tidak mengenal halal dan haram. kemenangan adalah amanah yang perlu dipikulkan. Kalau setakat berbangga saja tunggulah perhitungan sebenar di akhirat.

Aku tak berapa nak layan pak cik ni. Cakap bab politik memang hebat. Tapi sampai ke hari ini tak pernah pun aku berjumpa dengannya berjemaah di masjid. Tak pa aku bersangka baik. Mungkin dia berjemaah disurau atau bersama keluarga. Kata seorang pak cik pula dekat aku.
"Politik sebenarnya telah memecah belahkan orang melayu". Aku bab politik ni aku tak pandai sangat. Jadi lebih baik aku diam. Bila siap semua aku pulang kerumah. rasa selesa makan seorang diri dirumah sambil mengadap komputer. Itu baru menang. Kalau kalah, aku tak tau macam mana maki hamun pak cik tu. Ketika aku pulang pak cik itu masih lagi dengan suara lantangnya mendabik dada dengan kemenangan PR kelmarin sambil menghembuskan asap rokok yang berjaya membunuh umat islam. Tahniah pak cik anda telah berjaya membunuh saudara anda di Palestin. Teruskan bercakap bab politik.

Tuesday, April 07, 2009

Mendamaikan Jiwa

















Kelmarin aku telah ditugaskan di Parit Buntar. Sampainya aku disana dan pabila melihatkan keindahan alam semula jadi ciptaan Allah ini hati aku merasa sungguh tenang. Tempat yang mendamaikan hati yang tidak dapat lagi aku merasainya di Pulau Pinang. Dulu tempatku beginilah rupanya. Bila balik dari sekolah aku akan berlari diatas batas sawah. Pernah satu ketika ayah menyuruh aku menjaga pokok padi agar tidak dimakan burung. Tapi aku telah memasang jaring agar burung akan terperangkap dan senang aku menangkapnya untuk dibuat gulai.

Jadi sengaja aku biarkan burung memakan padi. Dan bila burung dah banyak akan aku halaunya dan burung yang terkejut beruk akan berterbangan dan banyak yang tersangkut dijaring. Aku terus menangkapnya dan aku serahkan kepada Pak Long untuk disembelih. Selesai Pak Long sembelih aku beri kepada emak. Kataku, "Emak buat gulai bagi likat-likat( pure punya kari ) baru sedap". Emak terus menjawab, " Nanti bila hang dah besaq emak nak cari bini yang pandai buat gulai likat-likat". Bila aku dah beristeri, emak cerita padanya tentang kesukaanku dengan kari yang likat-likat. Tersenyum isteriku sebab dia dah tahu akan kesukaanku.

Atas nama pembanggunan, tiada lagi yang dapat aku banggakan kini. Hanya kenangan silam aku ceritakan kepada generasi terutama sekali anak-anakku bagaimana ayah belajar menajak tanah menggunakan kerbau. Kemudian baru datang teknologi mesin. Bangun saja dari tidur terasa mata begitu segar memandang kehijauan dan itulah salah satu caranya untuk menjaga mata. Terasa begitu singkat sekali waktu kerjaku di Parit Buntar. Minggu hadapan aku akan kesini lagi dan aku berhasrat akan menjejaki diatas batas-batas sawah ini.

Sunday, April 05, 2009

Kemana hala tujuku aku sendiri pun tak tahu

Badan aku amat keletihan setelah penat bekerja hampir 24 jam. Sewaktu pulang dari kerja, hujan turun dengan lebatnya. Aku gagahi juga membelah laluan jambatan menuju tempat teduhku. Baju basah kuyub walaupun aku memakai baju hujan. Dalam kesejukan aku merasai badanku kepanasan. Aku gagahi perlahan-lahan mendaki anak tangga menuju kerumahku. Yang pasti aku tahu bila aku membuka pintu rumah tidak ada siapa lagi yang akan menyambutku menghulurkan tuala supaya dapat aku mengeringkan badan yang basah.

Setiap kali bila hujan turun dengan lebatnya dia akan pasti menanti aku dididepan pintu. Bila melihat kelibat aku dia akan tersenyum tanda syukur aku selamat sampai. Suami mana pun kalau isteri layan sebegitu badan yang letih pun tak terasa. Selesai menunaikan solat asar aku mengambil selimut terus menyelimuti badanku yang panas. Sedar-sedar jam dah 7.30 petang. Bergegas aku mandi dan kesurau untuk solat Maghrib. Selesai solat aku terus ke giant untuk apa pun aku tak tahu. Sedar-sedar stering aku pusing ke arah giant.

Aku terus ketingkat atas untuk menjamu selera. Tempat yang selalu kami makan ialah chicken chop. Kini aku makan keseorangan. Agak ramai keluarga yang makan. Ada beberapa kawanku dari taman yang sama datang bersama keluarga mereka. Sekali-sekala mereka akan menjeling kearahku membuatkan aku rimas. Aku merasakan yang aku ini seperti penjenayah. Asyik-asyik mereka akan memerhati aku. Apa yang tidak kena dengan aku. Salah ka aku makan seorang diri.

Sedang enak aku mengelamun, aku ditepuk seseorang dari belakang. Oh si Shuid rupanya.
" Itulah ada bini makan sorang-sorang. Sebab tu tak lalu". Terdiam aku tanpa berkata apa-apa. Ya dia tidak tahu apa yang telah terjadi terhadap isteriku. Aku pun malas nak menceritakan. Dia berlalu pergi bersama isterinya. Inilah kali pertama aku makan seorang diri. Selalunya kami makan berdua atau dengan anak-anak. Kini setelah dia pergi aku hanya makan dengan anak-anak. Kadang-kadang kalau dia tidak masak sebab terlalu banyak jahitan, dia menyuruh aku makan saja diluar dan membeli untuknya. Tapi aku akan beli dan bawa balik kerumah dan kami akan makan bersama-sama. Terasa kekok kalau aku makan keseorangan.

Masa inilah hati aku terlalu sayu seolah-olah isteriku berada dihadapanku. Kami makan sambil berbincang dan isteriku akan mengambil peluang ini untuk menceritakan apa yang berlaku seharian dan aku menjadi pendengar yang prihatin. Kini siapa pula yang akan mendengar rintihan hatiku. Emakku??. Aku tak nak bebankan masalah aku kepada emak. Kesihatan emak pun tak berapa elok. Kakak, abang. Ahh..mereka pun mempunyai keluarga sendiri. Malas aku nak ganggu dengan masalah aku.

Nak mengadu kepada kawan-kawan. Mereka mudah saja, " Kahwin lain budiman habis cerita ". Perkataan kahwin memang mudah. Nak mencari yang benar-benar baik memerlukan masa. Bagaimana penerimaan anak-anakku. Aku tak boleh meminggirkan mereka. Mereka juga mempunyai perasaan. Nak mengadu kepada ibu mertua. Ibu mertua pula tidak boleh terlalu memikir sebab masalah jantung. Terpaksa aku pendamkan perasaan aku yang berkecamuk. Kalau ada orang bertanya aku lepaskan sedikit tension aku.

Aku tak sanggup nak menghabiskan makanan aku. Aku terus menuju kedalam kereta. Hujan turun dengan lebatnya. Inilah masanya aku melepaskan perasaanku, " Siti abang nak ikut Siti. Abang sunyi. Abang rindu. Kakak, adik apa yang perlu ayah buat. Ayah terlalu rindu dekat mak ". Dalam kereta seorang diri tempat aku melepaskan tangisanku. Biarlah aku seorang yang merasainya. Sekurang-kurangnya terasa lapang dadaku.

Aku terus memandu menuju kemasjid. Malam ini ada kuliah Ust Harun Din. Sambil mendengar Mutiara FM memainkan lagu Tunggu Sekejab nyanyian Jaclyn Victor aku terhibur sementara. Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dibelakang. Astaghfirullah Hal Azim aku bawa selaju 50km/j patutlah marah orang belakang. Memang aku tak boleh dengar lagu sentimental. Kalau aku menghantar anak ke Sungai Petani isteriku akan memasang lagu nasyid yang rancak. Memang dia tahu kalau pasang lagu sentimental maknanya kereta ini akan berjalan secara sentimental juga dan hasilnya berderet kereta dibelakang. Katanya, " Dah berapa tahun Siti kahwin dengan abang. Siti tau apa lagu kegemaran abang ". Betul aku akan burn semua lagu yang slow-slow. Relax bawa kereta. Tapi dia akan pasang lagu Rabbani yang rancak seperti pergi tak kembali. Memang lagu itu kegemarannya dan kini dia pergi tak kembali. Maaf entri kali ini untuk meluahkan perasaanku.

Friday, April 03, 2009

Program Amalku bermula



















Aku telah dihubungi oleh seorang lelaki yang meminta tolong mencukur rambut cucunya yang baru dilahirkan. Terdiam aku seketika sebab memang aku sudah tak berhajat nak berbuat demikian. Dengan pujuk rayu akhirnya aku mengalah juga. Tak sampai hati nak tolak harapan orang. Aku letak syarat iaitu mesti ada yang tolong pegang bayi sebab sebelum ini isteriku yang memegang bayi.

Sebelum ini aku memang tak pandai buat semua ini. Atas dasar inginkan perubahan aku mengambil risiko ini juga. Sebelum ini kalau tukang cukur rambut akan meletakkan syarat iaitu pulut kuning dan wang pengkeras sebanyak RM15. Aku mudah saja. Kalau dapat sediakan sebiji kurma, sepotong tebu dan sedikit air zam-zam untuk tahnik atau belah mulut. Selalunya kalau orang beri duit pada akau aku sedekahkan kembali sebab aku ni bukannya pandai sangat cuma menolong kalau tak ada orang.

Bila aku sampai dirumah itu waduh.. punyalah ramai wanita yang ingin melihat aku mencukur. Dalam ramai-ramai tu terselitlah mak angkat aku. Bila dia lihat saja muka aku terus sebak sebab teringat dekat Aisyah. memang aku tak nafikan yang mak angkat kami ni sayang sangat dekat kami. Dia buat macam anak-anak dia. Dia bagi kesemua ilmu masakan dekat isteri aku. Dekat orang dia tak bagi. Bagitau saja nak makan apa pasti isteri boleh buat sebab resipi dah ada. Bila time ada kenduri di surau dia akan lepas dekat isteri aku memasak. Katanya dia dah perturun ilmu. Tapi isteri aku ni dia bukan jenis suka menunjuk-nunjuk, dia akan tanya juga orang yang lebih tua darinya.

Entah mengapa aku terkeluar kalam depan mak angkat aku, " Makcik dulu Aisyah yang dok pegang budak. La ni tinggal saya sorang la. Kalau tak ada orang pegang saya tak boleh cukur ". Apalagi berderau airmata keluar terisak-isak. Kelam kabut juga orang ramai yang melihat. Ada juga yang menangis melihat situasi ini. Aku pun tidak menyangka situasi ini akan berlaku.

Akhirnya aku cepat-cepat habiskan kerjaku sebab aku ingin saja pulang kerumah. Selesai saja aku terus minta izin untuk pulang tanpa menjamah hidangan yang disediakan. Aku pun tidak sanggup melihat orang ramai yang juga menangis bila aku berkata demikian. Mak angkat aku masih lagi ditenteramkan oleh jiran-jiran yang hadir. Kata mak angkat aku sorang lagi.
" Janganlah menangis didepan Budiman. Tuan tubuh lagi sedih dok teringat dekat isterinya ". Aku pulang dengan perasaan yang berkecamuk dan bersyukur hajat orang dapat aku laksanakan.



Thursday, April 02, 2009

Umat islam Mudah Lupa Diri

Sudah lama aku tidak berjemaah di surau. Asyik pulang lewat malam. Jadi hari ini ditakdirkan aku pulang awal sikit jadi dapatlah aku berjemaah di surau. Kebetulan hari ini ada bacaan ayat quran di surau. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk sedekahkan bacaan ayat-ayat al-quran kepada mereka yang telah pergi mendahului aku.

Selepas solat isyak beberapa orang jemaah mendapatkan aku sambil berpelukan. Kata mereka terlalu rindu lama tak nampak aku. Sebak juga aku ketika itu. Masih ada yang sayang dengan aku. Yang paling ketara ialah seorang AJK yang satu ketika pernah meminta bantuan aku untuk mendoakan anaknya yang tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan. Menangis dia sebab lama tak jumpa aku. Dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada aku dan juga mereka yang mendoakan kebaikan untuk anaknya.

Sambil tersedu beliau berkata walaupun aku pun mempunyai masalah berat namun masih sempat mendoakan anaknya. Beliau mendoakan kebahgiaan untuk aku. Insyaallah. Seorang AJK pula datang menghampiri aku, " Bang Man tension la kutip duit surau dengan penduduk". Aku pun sudah merasainya bersama isteri. Lihat saja kami datang, cepat-cepat pendududk masuk kedalam rumah. Ceritanya lagi ada sebuah rumah sebiji macam cerita P. Ramlee. Bila diketuk anak yang keluar dan terus berkata, " Ayah suruh kata ayah tak ada di rumah ". Siayah malu terus keluar menghulurkan RM1.

Ada pula yang beri RM10 tapi berkata," Makcik nak bagi RM2 saja. Makcik nak balik RM8 ". Semangat dia meluahkan perasaan. " Bang ada sebiji rumah marah dekat saya sebab minta duit terlalu awal sangat sebab tak dapat gaji lagi tapi jumpa dipasar malam berbelanja sakan ". Bila jumpa tahu pula malu. Kalau aku nak dengar luahan hati dia memang alamat aku tak balik rumah. Kataku nak buat macam mana itu dah tugas kita. Semoga penat lelah kita insyaallah Allah akan ganti di akhirat kelak. Kemudian dia terus berkata sambil berlalu pergi, " Memang umat islam mudah lupa diri ".

Aku mengerti perasaannya. Malu, marah kecewa akan menyelinap masuk kedalam hati. Itulah yang kami rasa bila menerima tugasan ini. Menangis isteri aku bila ada penduduk yang perli kami. Kecewa aku bila ada yang berkata buat apa duit banyak-banyak. Tapi itu merupakan asam garam untuk menjadi pemimpin. Satu perkara yang kami dapat merasai hasil dari kerja amal yang kami lakukan ini ialah kemanisan bila beribadah. Terasa tenang bila bekerja demi Allah. Akhirnya bila isteri aku meninggal ramai yang memujinya sehingga sekarang. " Lihat Aisyah dia ikhlas bila buat kerja untuk surau dan penyudahnya amatlah baik. Muka tersenyum indah ". Lega aku mendengar tidak ada tohmahan buruk terhadap isteri aku. Malah ada yang melihat aku, mereka akan menangis sebab terkenangkan Aishah sebab selalu kami berdua. Terbayang aku akan wajah terakhir isteriku. Manis wajahnya menguntum senyuman seperti telah mendapat sesuatu. Itulah senyuman yang dilemparkan ketika aku memberi barangan yang dia suka dan senyuman itu akan aku simpan dihati buat selama-lamanya.

Aku juga sering berdoa agar penyudahku juga baik agar kami dapat bersama-sama selama-lamanya diakhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Ya Allah pertemukan kami didalam mimpi Ya Allah. Aku terlalu merinduinya. Entah kenapa...hu hu hu......Macam mana orang boleh berkata pada aku, " Budiman lupakan saja. Jangan diingatkan lagi orang yang telah pergi ". Entah entah entah

Wednesday, April 01, 2009

Wanita Tidak Lemah

Aku amat risau tentang perkembangan anak gadisku. Ketika dia mengambil peperiksaan, ibunya sedang tenat. Aku tak berani nak kacau dia. Akhirnya terpaksa juga aku beritahu tentang keadaan ibunya yang sebenar setelah Dr sendiri mengatakan yang isteriku mungkin tidak dapat diselamatkan. Dia sempat juga mengambil peperiksaan yang terakhir dan bergegas pulang. Tapi ibunya sudah tidak sedarkan diri lagi. Hanya linangan airmata sahaja memohon kemaafan dari ibunya yang koma.

Sebagai ayah aku berkata kita pasrah kepada Allah andaikata result yang diterima tidak memuaskan. Bersiap sedia menghadapi kenyataan. Semalam aku menghantarnya pulang ke Kolej di Sungai Petani dan pagi ini dia menalipon aku mengatakan yang dia telah lulus kesemua mata pelajaran yang diambil walaupun tidak mendapat pointer yang baik. Aku bersyukur kepada Allah kerana setiap kali selepas solat aku mendoakan agar kedua-dua anakku berjaya didunia dan diakhirat.

Tidak dinafikan yang anak gadisku persis ibunya. Tenang dalam menerima keadaan. Isteri aku walaupun sakit masih lagi boleh tersenyum. Aku yang jantan ni kalau sakit sikit riuh satu rumah. Yang tu masa ada isteri. Sekarang sakit duduk diam-diamla jawabnya. Aku masih ingat lagi semasa arwah adikku lemas didalam perigi. Aku ketika itu sedang mengambil peperiksaan LCE. Terus gagal. Kira anak aku ok lagi dari aku.

Mungkin kita melihat wanita itu lemah. Ya mungkin mereka lemah dari sudut kekuatan. Tetapi emosi, pemikiran mereka dapat mengalahkan lelaki. Aku pernah jadi bendahari. Memang memeningkan kepala. Tetapi isteri aku relax boleh selesaikan masalah walaupun tarafnya sebagai surirumah. Yang seronoknya orang puji aku.

Ni seorang lagi anak lelaki aku. Relax juga ikut ibunya. Baru-baru dia berkata pada aku dengan selamba saja, " Ayah, adik kena saman dengan JPJ sebab tak letak pelekat P. Boleh bagi RM150 nak pergi bayar saman ". Nasib baik la ibunya dah tak ada. Kalau tidak memang aku dah jentik telinga. Mau tak mau hilang juga duit RM150. Aku yang dengar berita ini macam nak tercabut kepala.

Siapa pun tak mengikut aku yang suka gabra bila menerima sesuatu berita. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Makan lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...