KOTA KINABALU: Walaupun terpaksa menghabiskan sebahagian besar usianya di Sabah berbanding di daerah asalnya di Tawi-Tawi Filipina, namun Daliat Tabun tidak pernah menyesali keadaan itu.
Warga Filpina ini pertama kali menjejakkan kaki di Sabah 30 tahun lepas kerana melarikan daripada perang saudara di Mindanao dan akhirnya dia jatuh cinta dengan bumi yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu ini.
Kini, Daliat Tabun, 57, bukan pelawat asing biasa, tetapi merupakan “orang asing istimewa” kerana memiliki dokumen IMM13 yang membenarkannya tinggal di negeri itu.
Dokumen IMM13 merujuk kepada pas khas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pelarian tulen Filipina akibat perang bagi membolehkan mereka tinggal di Sabah.
Kini, Daliat menunggu untuk diberi status penduduk tetap (PR) setelah tinggal di Sabah hampir tiga dekad lepas. “Saya berasa bertuah kerana diberi keistimewaan memiliki dokumen IMM13. Ini adalah impian saya dan ribuan pelarian Filipina di Sabah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kem penempatan semula pelarian di Telipok, kira-kira 20km dari sini.
Kem Penempatan Semula Telipok dan tiga kem lain di Sabah — di Kinarut, Tawau dan Sandakan — dibuka oleh Peja-bat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) bagi menempatkan mereka yang melarikan diri daripada peperangan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pem-bebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada awal 1970-an.
Selepas beberapa dekad meninggalkan kampung halamannya, kini, Daliat tidak lagi berkeinginan untuk kembali menetap di daerah asal-usul nenek moyangnya walaupun diberi peluang berbuat demikian.
“Siapa yang mahu pulang semula ke Tawi-Tawi? Kami tak punya apa-apa lagi di Tawi-Tawi. Yang tinggal hanyalah kenangan manis semasa zaman muda di Tawi-Tawi,” kata ibu kepada tujuh anak ini yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka impian dari Tawi-Tawi, yang hanya dikenali sebagai Husin. Anaknya Najir, 24, yang duduk bersebelahan ibunya mencelah: “Saya bukan orang Filipina tuan…saya orang Sabah bah, saya lahir sini”.
Najir, pelajar yang tercicir dari sekolah dan menjadi peminat setia penyanyi popular Malaysia Datuk Siti Nurhaliza, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sekadar membantu mengendalikan kedai runcit milik keluarganya di kem penempatan semula itu.
Daliat berkata semua anaknya, yang berumur antara 14 dan 32 tahun, dilahirkan dan dibesarkan di Sabah. “Semua anak kami dilahirkan di Malaysia, tapi mereka juga memegang dokumen IMM13 dan nasib kami hanya bergantung pada ihsan Jabatan Imigresen kerana kami perlu memperbaharuinya setiap tahun dengan bayaran RM90 setiap satu.
“Inilah nasib kami sebagai pelarian. Tapi, apa yang merisau-kan kami sekarang ialah operasi besar-besaran bagi mengusir pendatang asing tanpa izin, termasuk yang datang dari Filipina,” katanya.
Walaupun operasi besar-besaran itu disasarkan terhadap pendatang asing tanpa izin, tetapi rakyat Filipina yang mempunyai dokumen IMM13 juga bimbang tentang masa depan mereka. “Hari ini, kami bertuah kerajaan Malaysia mahu mengusir pendatang asing. Esok mungkin lain pula ceritanya…kami tak tahu apa tindakan kerajaan seterusnya. Sebenarnya, masa depan kami tergantung di awang-awangan,” katanya.
Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata operasi penghantaran pulang antara 100,000 dan 150,000 pendatang asing di Sabah akan bermula Ogos ini dan urusan itu akan dilaksanakan terlebih dulu di kawasan pantai barat sebelum menuju ke pantai timur.
Kebimbangan Daliat timbul berdasarkan kenyataan bahawa pemberian dokumen IMM13 hanyalah sebagai langkah sementara, terutama bagi pelarian perang yang berasal dari selatan Filipina, dan mereka akan kembali ke negara asal apabila keadaan di sana kembali seperti sediakala.
Masalah yang dihadapi keluarga Daliat ini hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai masalah lain yang dihadapi ribuan pelarian Filipina yang tinggal di kem penempatan semula di seluruh Sabah. Beribu-ribu pemegang dokumen IMM13 ini sentiasa mendoakan agar nasib mereka menjadi semakin baik pada masa akan datang.
Kini, penduduk tempatan dan pemimpin negeri cuba membayangkan bagaimana-kah nanti nasib pelarian itu menjelang 2020, apabila Malaysia mencapai status negara maju.
Ahli politik, termasuk pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memerintah Sabah serta parti pembangkang, menyuarakan keprihatinan mereka tentang perkara itu dan ada juga dalam kalangan mereka mengambil kesempatan daripada isu berkaitan pendatang tanpa izin dan dokumen IMM13 bagi mengkritik kerajaan pusat dengan berkata “tidak wujud istilah pelarian tetap kerana keadaan di Selatan Filipina kini sudah kembali seperti sedia kala.” Ahli-ahli politik ini berharap kerajaan pusat, khususnya Jabatan Imigresen, akan menyelesaikan semua anamoli berkaitan kedudukan pemegang IMM13 di Sabah.
Malah, terdapat cadangan agar dipertimbangkan kemungkinan memberi taraf penduduk tetap (PR) kepada kumpulan pelarian ini. Contohnya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz mengumumkan pada 26 Jun tahun lepas tentang rancangan kerajaan pusat untuk memberi status PR kepada 10,000 hingga 15,000 pelarian di Sabah.
Bagaimanapun, rancangan itu ditolak mentah-mentah oleh kerajaan Sabah dengan berkata pandangan kerajaan negeri dan penduduk tempatan perlu diambil kira terlebih dulu sebelum sebarang keputusan tentang isu itu dibuat.
Pada 28 Mei lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata menurut anggaran, kini terdapat 440,000 orang asing di Sabah dan daripada jumlah itu, 230,000 adalah orang asing yang bekerja secara sah, 130,000 pendatang asing tanpa izin, manakala selebihnya adalah pelarian dari Filipina. Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin dan keperluan mempunyai pelan strategik yang jelas, terutama yang melibatkan masa depan pelarian Filipina di Sabah.
Penganalisis politik Clarence Sinsua berkata kerajan sepatutnya menetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pemegang IMM13 dan membuat keputusan tentang langkah terbaik yang perlu diambil bagi mengatasi sepenuhnya masalah berkaitan kumpulan ini.