PARANG PUTING
Parang ialah sejenis alat yang digunakan oleh para petani dan
orang-orang kampung untuk membantu mereka bekerja.
Setiap alat yang bernama sudah tentu mempunyai rupa atau
bentuknya yang tersendiri yang berbeza antara satu sama lain.
Parang Puting tanpa hulu
Parang diperbuat daripada besi dan berhulu, sesuai dengan
peranannya untuk mengerat atau memotong benda-benda keras seperti batang-batang
kayu.
Parang juga digunaka untuk mengopek atau mengoyak kulit
kelapa dengan mudah dengan hujung matanya yang tajam, tapi pendek.
Bentuknya melengkong di bahagian bawah atau bahagian matanya,
diberi hulu yang diperbuat dari kayu sebagai pemegangnya.
Di negeri Kelantan, parang ada beberapa jenis selain daripada
parang yang digunakan untuk alat-alat biasa oleh para petani, antaranya parang
calung, yang bentuknya cantik dan menggerunkan kerana digunakan sebagai
senjata, dengan matanya yang tipis dan tajam kerana itu tidak sesuai untuk
digunakan sebagai alat pertanian.
Parang biasa yang digunakan oleh orang-orang kampung itu akan
menjadi lebih istimewa bila hulu atau batangnya yang diperbuat dari besi
yang bersambung dengan mata parang dan
diselimut dengan kayu itu patah tanpa diusahakan untuk mematahkannya.
Parang yang patah hulu besinya itu tidak lagi dipanggil
parang semata, tapi parang puting iaitu barang tanpa hulu.
Pada masa dulu orang-orang kampung mencari dan berebut-rebut
untuk mendapat parang puting yang jarang berlaku walaupun parang itu telah tua
usianya, kerana yang biasa musnah ialah matanya menjadi sumbing, atau tumpul
kehausan dan bukan ulu besinya yang
patah.
Mereka suka menyimpannya di di mana-mana bahagian rumah kerana
mempunyai kepercayaan yang tersendiri.
Kami rasa generasi kini boleh melanjutkan tradisi tua itu
dengan menyimpannya secara yang lebih cantik dan baik, antaranya dengan meletakkannya
dalam sesuatu bekas yang khas, seperti berupa sebuah kotak, kemudian
digantungkan di mana-mana bahagian dinding rumah, dan ini sudah tentu akan
kelihatan lebih menarik sebagai sebahagian daripada bahan antik, setelah parang
itu dicuci bersih dan dihilangkan karat-karat yang membalutnya.
Dalam hal ini, kami sedia melepaskan parang ini kiranya ada
persetujuan bersama dengan sesiapa atau mana-mana pihak yang ingin memilikinya.
Sekian.
Lorong Masjid
al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
Parit,
Pasir Tumboh, Kota
Bharu, Kelantan.