Tanjong Malim, 15 Okt – Seorang bekas pelajar UPSI yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sesi 2007/08, saudari Khasyatul Rodziah Ilias dilaporkan terpilih sebagai penerima
Anugerah Nadi Negara Wanita UMNO 2009 sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Beliau antara 11 penerima anugerah yang dipilih di kalangan graduan muda. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang akademik selain bertujuan membajai bakat kepimpinan sebagai persediaan melahirkan golongan pemimpin bagi melestarikan Malaysia.
Dalam kenyataan berkenaan anugerah yang diterimanya Khasyatul dipetik sebagai berkata anugerah yang diberi kepadanya akan menjadi pendorong untuk beliau terus bergiat aktif dan menjadi pendidik yang berkualiti.
Mengulas tentang perkara tersebut, Ketua Penerangan Pro Kebajikan UPSI mendakwa anugerah yang diterima Khasyatul yang juga merupakan mantan ahli MPP membuktikan beliau sudah mula aktif dalam politik khususnya parti UMNO sejak dalam pengajian di UPSI.
“Ini jelas, mereka sering dakwa ada pelajar terlibat dengan politik luar, dan saya nak sahkan perkara tersebut sekarang, merekalah yang terlibat dengan politik luar, parti UMNO tapi yang menghairankan pihak yang berkaitan buat nampak tak nampak saja perkara tersebut”,ulasnya.
Tambahnya lagi,”kenyataan beliau juga sudah membuktikan beliau terlibat dengan politik sejak dalam pengajian apabila beliau berkata ‘akan terus bergiat aktif’, maknanya sebelum ni pun dah aktif”.
Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menggesa pihak universiti berlaku lebih adil dalam memantau pergerakan pelajar dalam menyertai aktiviti parti politik di luar.
“Saya nak pesan kepada pihak yang bertanggungjawab, jangan bersikap ‘double standard’ dalam memantau perkara ini, bila parti UMNO kamu diam, bila ada aktiviti UMNO dan BN dalam kampus kamu diam, sebelum ini bukan main bersungguh-sungguh nak berlaku adil, tak mahu ada politik dalam kampus, tapi bila UMNO kamu senyap. Adil ke ini?,”katanya.
Terdahulu, Khasyatul Rodziah dilaporkan antara graduan yang gagal mendapat penempatan pada sesi kali ini.