June 30, 2009

Pro Kebajikan : Kajian kekurangan pelajar lelaki akan dibuat

Tanjong Malim, 30 Jun – Kekurangan pelajar lelaki yang mengambil kursus pendidikan menjadi perhatian Majlis Tertinggi Pro Kebajikan dalam satu kenyataannya hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Pro Kebajikan sependapat dengan Naib Canselor UPSI bahawa kekurangan pelajar lelaki dalam bidang ini harus dipandang serius kerana boleh memberi kesan kepada sistem pendidikan negara yang memerlukan kaum lelaki.

Berikutan itu, Pro Kebajikan mengambil langkah untuk membuat satu kajian berkenaan perkara ini memandangkan peratusan yang begitu ketara antara lelaki dan perempuan di UPSI.

Ketua Biro Kajian dan Penyelidikan Pro Kebajikan selepas membentangkan statistik pengambilan pelajar baru sesi ini kepada Majlis Tertinggi Pro Kebajikan malam tadi memberi pandangan kekurangan pelajar lelaki pada kali berkemungkinan kurangnya permohonan daripada kaum itu untuk melanjutkan pelajaran mereka ke UPSI dan kajian mengenainya harus dibuat.

“Dalam pemerhatian kami, kami berpendapat kekurangan ini bukan kerana kelayakan tetapi kerana kurangnya permohonan daripada kaum lelaki untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini dan puncanya harus kita selidiki”,ulasnya.

“Oleh itu, InsyaAllah kita akan membuat satu kajian berkenaan perkara ini dan hasilnya akan kita sampaikan kepada pihak berkaitan untuk diambil tindakan”,katanya lagi.

Pengambilan pelajar baru Ahad lalu mencatatkan hanya 25% pelajar lelaki ditawarkan ke UPSI daripada sejumlah 2414 pelajar.

Pengambilan baru : 75% perempuan, 91% melayu

Tanjong Malim, 30 Jun – Pengambilan pelajar baru pada tahun ini mencatatkan peratusan yang tidak seimbang antara kaum lelaki dan perempuan apabila 75% atau 1825 daripada 2414 pelajar yang terpilih masuk ke UPSI adalah terdiri daripada kaum hawa berbanding 589 lelaki dan sebanyak 91% pengambilan kali ini terdiri daripada pelajar melayu.

Bagi komposisi mengikut kaum pula seramai 2192 pelajar adalah terdiri daripada kaum Melayu, 147 Cina dan 75 India dan lain-lain.

Program yang paling banyak menerima pelajar baru pada sesi ini adalah program Pengajian Malaysia dengan Pendidikan iaitu seramai 311 pelajar manakala yang paling sedikit adalah program Pendidikan Muzik, 16 pelajar dan Bahasa Arab dengan Pendidikan seramai 17 pelajar.

Bagi program Kesusasteraan Melayu dan Sains Sukan, tidak ada pelajar daripada kaum Cina dan hanya seorang pelajar India bagi program –program tersebut manakala bagi program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni tidak ada pelajar daripada kaum India yang dicatatkan.

Program Bimbingan dan kaunseling mencatatkan seorang sahaja pelajar daripada kaum Cina dan India daripada keseluruhan 44 orang pelajar dantidak ada pelajar Melayu yang mengambil program Bahasa Cina dengan Pendidikan. Walau bagaimanapun, terdapat seorang pelajar India/lain-lain yang mengambil program tersebut.

Terdapat beberapa program yang hanya terdiri daripada pelajar Melayu sahaja iaitu program Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam, Sains (Matematik) dengan Pendidikan dan Bahasa Arab dengan Pendidikan.

Terdahulu, bilangan pelajar perempuan yang melebihi pelajar lelaki dengan peratusan yang begitu ketara perbezaannya di samping kekurangan kaum bukan bumiputera di bidang ini disuarakan Naib Canselor UPSI Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob dalam satu kenyataan yang mendapat perhatian kementerian berkaitan.

June 29, 2009

Armadi jawab aduan ‘KAKAK KECEWA”

Tanjong Malim, 29 Jun – Aduan “KAKAK KECEWA” yang disiarkan akhbar Berita Harian di ruangan surat & e-mel hari ini mendapat pelbagai reaksi di kalangan warga UPSI.

Menjawab kepada aduan tersebut, Ahli Jawatankuasa yang bertanggungjawab , saudara Armadi bin Derus menjelaskan tiada siapa yang bersalah dalam hal ini.

Beliau yang menjelaskan perkara tersebut kepada wakil Pro Kebajikan mendakwa aduan “KAKAK KECEWA” hanya kerana tidak faham keadaan sebenar dalam proses kerja mengambil pelajar Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, perkhidmatan mengambil pelajar Sabah dan Sarawak di LCCT adalah sebanyak tiga kali perjalanan dan mengikut seperti apa yang dirancang.

Katanya lagi, pihak pengangkutan tidak dapat menyediakan perkhidmatan tersebut pada setiap jam dan kebiasaannya pelajar akan menunggu trip yang seterusnya untuk ke UPSI mengikut masa-masa yang ditetapkan.

“Pihak pengangkutan mengikut ketetapan yang kita buat berdasarkan bilangan pelajar yang mendaftar di UPSI iaitu 3 trip untuk mengambil mereka ke UPSI untuk mendaftar”,jelasnya.

Tambahya lagi,”kita tak dapat nak sediakan perkhidmatan ini setiap jam tetapi sekiranya mereka terlepas trip yang pertama ketika sampai di LCCT, mereka boleh menaiki bas pada trip yang seterusnya dan ini sudah semestinya menuntut sedikit kesabaran”.

Beliau yang juga merupakan Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) walau bagaimanapun menyatakan bahawa aduan “KAKAK KECEWA” berkemungkinan berpunca kerana tidak mendapat maklumat perjalanan bas yang disediakan UPSI untuk mengambil pelajar Sabah dan Sarawak.

Akmal, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP yang turut mengulas tentang perkara ini menganggap aduan tersebut adalah disebabkan salah faham apabila “KAKAK KECEWA” berkemungkinan menerima rungutan daripada adiknya dan tidak pula bertanya kepada pihak yang sepatutnya.

“Ini perkara biasa pada saya yang menunjukkan kerisauan seorang kakak kepada adiknya tetapi tidak pula menduga sehingga diadu kepada pihak akhbar yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pihak universiti”,ulasnya.

“Saya percaya pihak universiti akan membuat penjelasan berkenaan perkara ini dan apa yang lebih penting ialah semua pelajar baru Sabah dan Sarawak, dan yang dari seluruh pelusuk negeri selamat sampai ke UPSI untuk mendaftar, tidak ada yang tertinggal di LCCT”tambahnya lagi.

Pro Kebajikan tegur banner guna BI

Tanjong Malim, 29 Jun – Pro Kebajikan hari ini membuat teguran berikutan terpampang beberapa banner ucapan Selamat Datang menggunakan Bahasa Inggeris pada hari pendaftaran semalam.

Banner tersebut yang diletakkan di kawasan pendaftaran di kolej kediaman disifatkan Pro Kebajikan sebagai kurang sesuai.

Ketua Penerangan Pro Kebajikan ketika ditemui mengatakan UPSI sebagai sebuah universiti yang terkenal dalam melahirkan pejuang bahasa, seharusnya menyedari perkara ini meskipun nampak remeh bagi sesetengah pihak.

“UPSI sememangnya terkenal dengan barisan pejuang bahasa yang ada di dalamnya namun seringkali memandang remeh dengan penggunaan bahasa dalam perkara-perkara sebegini”,ulasnya.

“Apakah sudah tidak ada perkataan yang sama maksud dengan perktaan “WELCOME” dalam kamus Bahasa Melayu”,tambahnya lagi.

Banner yang tertulis ‘WELCOME TO UPSI’ tersebut dilaporkan dikeluarkan oleh pihak universiti sebagai tanda menyambut semua pelajar baru yang mendaftar di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar semua banner atau ucapan yang ingin dipampang selepas ini mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu.

“Kita bukan menentang penggunaan Bahasa Inggeris tetapi kita mahu melihat Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam masayarakat UPSI”,jelasnya.

Hari pendaftaran semalam dilaporkan berjalan lancar meskipun mengalami kesesakan di jalan utama Tanjong Malim – Kuala Lumpur di simpang masuk Taman Bahtera.

Pendaftaran : UPSI tak sedia bas mencukupi

Tanjong Malim, 29 Jun – Seorang kakak pelajar baru yang berasal dari Kota Kinabalu Sabah membuat aduan bas yang disediakan oleh pihak UPSI tidak mencukupi melalui ruangan surat & emel Berita Harian hari ini.

Penulis yang menggunakan nama samaran ‘KAKAK KECEWA’mendakwa UPSI gagal memberikan perkhidmatan terbaik kerana tidak dapat menyediakan bas yang mencukupi bagi mengangkut pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak di LCCT pada Sabtu lalu.

Penulis melahirkan rasa kecewa apabila adiknya dan sebilangan pelajar dari Sabah dan Sarawak terkandas di LCCT akibat masalah tersebut.

June 28, 2009

Sekitar perjalanan pendaftaran pelajar baru

Tanjung Malim, 28 Jun – Perjalanan proses pendaftaran pelajar baru ambilan Julai sesi 2009/10 yang bermula jam 9.00 pagi tadi dilaporkan berjalan lancar.

Sedikit kesesakan berlaku di kaunter Pusat Kesihatan yang turut membekalkan penutup mulut sebagai langkah berjaga-jaga jangkitan H1N1.

Sehingga jam 10.00 pagi tadi sekitar 30 % daripada keseluruhan bilangan pelajar hadir untuk mendaftar.

10.30 a.m. – Cuaca baik dan pendaftaran untuk sesi kedua bermula. Laluan keluar masuk kenderaan dari simpang ke Taman bahtera hingga susur keluar tol Tanjong Malim dilaporkan sesak.
11.00 a.m. – Perjalanan pendaftaran berjalan dengan baik. Banyak ibu bapa yang sepatutnya mendaftarkan anak mereka di Kolej Zaaba tersalah masuk ke Kolej Harun Aminurrashid kerana keliru dengan papan tanda yang menunjukkan Kolej Kediaman UPSI di jalan utama Kuala Lumpur –Tanjong Malim. Pendaftaran di Kolej Zaaba turut dilaporkan berjalan lancar.
11.15 a.m. – Kenderaan susur keluar dari Tol Tanjong Malim bertambah. Kesesakan lalu lintas dilaporkan bertambah teruk menuju ke Kolej Harun Aminurrashid, Taman Bahtera.
11.50 a.m. – Proses pendaftaran mengalami sedikit kesesakan. Dilaporkan terdapat pelajar yang berdaftar tidak mengikut sesi yang ditetapkan.
12.30 p.m. – Pendaftaran pelajar untuk sesi ke-3 bermula. Dilaporkan ramai ibu bapa mengeluh mencari tempat letak kereta yang penuh sejak jam 11.00 pagi tadi.
2.15 p.m. – kesesakan berlaku di beberapa kaunter. Antara kaunter yang didapati sesak, di bahagian akademik, kaunter semakan nama mendaftar dan kaunter pengesahan sijil. Kesesakan juga berlaku di kedai fotostat di KHAR.
3.00 p.m. – Proses pendaftaran masih lagi berjalan dengan sesi ke-3 30 minit yang lalu. Kesesakan masih lagi berlaku. Ramai ibu bapa masih belum keluar dari kawasan pendaftaran menyebabkan kenderaan yang baru sampai tidak mendapat tempat meletak kenderaan.
3.30 p.m. – Hujan mulai turun di Tanjong Malim. Ibu bapa yang mendaftar anak mereka di KHAR dilaporkan masih ramai berada di sini bagi memastikan kelengkapan anak-anak mereka cukup sebelum pulang ke kampung masing-masing.
3.50 p.m. – Hujan semakin lebat. Ibu bapa berteduh di bawah kanopi dan foyer-foyer KHAR. Lif dilaporkan sering mengalami kerosakan akibat membawa muatan berlebihan.
4.05 p.m. – Hujan sudah mula berhenti. Pendaftaran berjalan seperti biasa. Sehingga kini, hampir 75% pelajar yang mendaftar adalah perempuan.
5.00 p.m. – Bilangan ibu bapa sudah beransur kurang. Kebanyakan kaunter-kaunter sudah mula lengang. Suasana di Kolej Zaaba dilaporkan berjalan baik dan semua dalam keadaan terkawal. Kesesakan lalu lintas sudah mula reda. Kebanyakan ibu bapa juga sudah mula bertolak ke kampung masing-masing.
5.15 p.m. – Peniaga-peniaga di gerai-gerai jualan sudah mula mengemas gerai mereka. Peniaga di sini mampu tersenyum lebar apabila jualan mereka dilaporkan luar biasa pada hari ini. Keadaan di KHAR juga dilaporkan semakin reda. Kebanyakan pelajar juga berada di bilik masing-masing bagi persiapan sebelum program MSK yang dijadual bermula malam ini.
5.30 p.m. – Suasana dingin di sekitar Tanjong Malim. Kaunter-kaunter sudah mula ‘tutup kedai’. Masih terdapat beberapa pelajar mengambil peluang berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga sebelum mereka pulang ke halaman masing-masing.
5.40 p.m. – Keadaan di KUO juga dilaporkan semakin reda. Ibu bapa sempat mengambil kesempatan meninjau sekitar Taman Bahtera sebelum pulang. Baju korporat SMS seperti perwakilan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) seloroh sekumpulan bapa pelajar yang mendaftar di sini sebelum berangkat pulang.
6.00 p.m. – Semua kaunter sudah ditutup kecuali kaunter kolej (KHAR) yang bersiap sedia untuk menerima kehadiran beberapa lagi pelajar dari Sabah dan Sarawak malam ini.

June 27, 2009

Persiapan terakhir menjelang hari pendaftaran esok

Tanjong Malim, 27 Jun – Semua persiapan menjelang hari pendaftaran pelajar baru ambilan Julai sesi 2009/10 esok dilaporkan lancar.

Sehingga jam 9.00 malam tadi, dilaporkan semua persiapan hampir 85% siap. Beberapa pegawai HEP juga dilihat membuat pemantauan dan penyeliaan terakhir sebelum menjelang esok.

Menurut Akmal, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, kesemua kerja-kerja berjalan lancar dan mengikut seperti apa yang dirancang.

“Satakat ini semuanya berjalan dengan baik dan saya kira kita berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi hari pendaftaran esok dengan bantuan daripada pegawai-pegawai universiti”,ulasnya ketika menemui beberapa mahasiswa di sini.

Laluan masuk ke tempat-tempat pendaftaran diberi perhatian apabila dijangkakan lebih seribu kenderaan akan keluar masuk ke kawasan pendaftaran.

Untuk rekod, seramai 2414 pelajar akan mendaftar esok.

Ibu bapa mula banjiri Tanjong Malim

Tanjong Malim, 27 Jun – Bilangan ibu bapa yang sudah sampai di Tanjong Malim mula bertambah sejak tengah hari tadi bagi mendaftarkan anak-anak mereka ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sesi Julai 2009/10.

Kebanyakan mereka yang telah sampai pada hari ini berasal daripada negeri pantai timur dan juga utara semenanjung.

Tinjauan UPSIkini mendapati ramai ibu bapa yang mencari tempat sewa sama ada bilik hotel atau pun rumah bagi membolehkan mereka bermalam sebelum hari pendaftaran esok.

Kolej Harun Aminurrashid dan Kolej Ungku Omar antara kolej yang menyediakan perkhidmatan tersebut dan semua rumah yang disewakan dilaporkan penuh sehingga petang tadi.

Berikutan itu, terdapat ibu bapa yang mengeluh apabila tidak mendapat tempat sewa apabila semua bilik-bilik hotel dan rumah sewa di KHAR dan KUO penuh. Kebanyakan mereka adalah daripada keluarga kampong yang tidak mendapat maklumat di mana mereka boleh menyewa sebelum datang ke datang Tanjong Malim.

Dianggarkan lebih ramai ibu bapa yang akan tiba malam ini berdasarkan bilangan pelajar yang akan mendaftar esok seramai 2414 pelajar.

Pendaftaran esok dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi hingga jam 1.00 tengah hari.

Pro Kebajikan sifatkan debat ‘Kerajaan Perpaduan’ buang masa

Tanjong Malim, 27 Jun – Pandangan pelbagai pihak di kalangan mahasiswa dan beberapa NGO berkenaan debat intelektual yang ingin dibuat antara Presiden GAMIS, Dzul Khairi Mohd Noor dan Mior Isfandy Mior Azizan disifatkan Pro Kebajikan sebagai ‘buang masa’.

Kenyataan tersebut dibuat setelah mendapati kedua-dua pihak berbeza pandangan dalam isu tersebut sejak dibangkitkan oleh beberapa pimpinan parti politik sebelum ini.

Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan, pemimpin mahasiswa kini terlalu terikut-ikut dengan rentak politik di luar dan tidak membawa satu idea asli yang boleh memberi kesan kepada negara.

“Kita sebagai mahasiswa sering terikut-ikut dengan rentak di luar tetapi jarang sekali menonjolkan idea asli yang memberi impak kepada negara”, ulasnya.

Tambahnya lagi ”masih banyak perkara yang lebih penting yang harus dibincangkan daripada membincangkan perkara tersebut yang saya kira tidak akan memberi apa-apa kesan selepas itu.”

Beliau turut menyentuh idea penubuhan Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang dilihat hanya sibuk diperkatakan semasa Pilihan Raya Umum yang lalu namun akhirnya tidak tahu apa kesudahannya.

“Lihat apa kesudahan idea menubuhkan Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang hanya kecoh diperkatakan semasa pilihan raya dan tidak pula didebatkan perkara tersebut di kalangan pemimpin mahasiswa selepas itu”.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pemimpin mahasiswa mempunyai kesungguhan dalam memperjuangkan sesuatu perkara dengan disertai oleh tindakan yang konsisten.

Terdahulu, Dzul Khairi menolak untuk berdebat bersama Mior Isfandy berkaitan ‘Kerajaan Perpaduan’ dan meminta agar tumpuan diberikan kepada isu Selatan Thai dan PPSMI.

June 26, 2009

SMU sudah tiada hala tuju, wajar dimansuh

Tanjong Malim, 26 Jun – Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) yang sebelum ini aktif dalam Minggu Suaikenal semakin kabur hala tujunya apabila tugas tersebut kini dilaksanakan oleh Sakretariat Minggu Suaikenal yang dianggotai oleh beberapa mahasiswa daripada persatuan dan kelab termasuk SMU.

Berikutan itu, timbul cakap-cakap mengatakan SMU sudah hilang hala tuju dan wajar untuk dimansuhkan kerana penubuhannya sebelum ini adalah bagi membantu pengendalian MSK dan proksi merekrut calon aspirasi (kini dikenali pro kualiti) menjelang pilihan raya kampus.

Sejak sesi pengambilan sebelum ini, SMU tidak lagi diberi mandat penuh untuk membantu pengendalian MSK dan tugas tersebut diserahkan kepada Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK).

Pada sesi kali ini sekali lagi SMU tidak diberi mandat penuh dan membawa sedikit perubahan dalam tugas membantu pengendalian MSK kepercayaan diberikan kepada Sakretariat Minggu Suaikenal (SMS) yang dikelolakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Melihat kepada perkembangan ini, rata-rata pemimpin mahasiswa di peringkat persatuan dan sebahagian wakil MPP melihat hala tuju dan peranan SMU sudah tiada dan wajar untuk dimansuhkan.

Seorang mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Din, memberi pandangan bahawa SMU sudah tidak mempunyai hala tuju dan skop yang jelas dalam berpersatuan seperti persatuan-persatuan yang lain. Beliau yang turut memegang jawatan penting dalam sebuah persatuan di sini tidak menolak pandangan yang mengatakan SMU hanya sebagai proksi kepada Pro Kualiti.

“Saya berpendapat SMU sekarang memang sudah hilang hala tujunya dan pandangan untuk dimansuhkan SMU ini juga saya rasakan wajar”,ulasnya.

Beliau turut menambah,”lebih baik rasanya kalau tugas membantu pengendalian MSK ini dibuka kepada semua ahli persatuan-persatuan yang ada di UPSI dan tidak perlu untuk menubuhkan satu kelab lain semata-mata untuk MSK”.

Pro Kebajikan yang diminta memberi pandangan tentang isu ini enggan memberikan sebarang komen buat waktu ini.

SMU mula ditubuhkan semasa Prof. Abdullah Hadi memegang kerusi TNC HEP selepas MPP beberapa sesi sebelumnya dikuasai oleh wakil bukan Pro Aspirasi.

Semua suspek selamat, tiada jangkitan selsema babi

Tanjong Malim, 26 Jun – Kesemua peserta termasuk pegawai pengiring yang terlibat dalam satu lawatan ke Jogjakarta dan kemudiannya mengadu mengalami simptom-simptom dijangkiti selsema babi disahkan bebas daripada jangkitan tersebut.

Keputusan dikeluarkan oleh pihak Hospital Slim River semalam dan mendapati kesemua suspek negative dalam ujian darah bagi mengesahkan sama ada dijangkiti ataupun tidak.

Pihak hospital juga menjelaskan simptom-simptom yang dialami semua suspek merupakan sakit biasa akibat perubahan cuaca dan tidak mempunyai kaitan dengan selsema babi.

Mengulas tentang keputusan ini, saudara Zulhelmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP UPSI, dipetik sebagai berkata keputusan tersebut sudah semestinya melegakan ramai pihak.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak hospital yang bertungkus lumus membantu bagi meleraikan kebimbangan sebelum ini.

“Kami bersyukur dengan keputusan yang melegakan ramai pihak ini dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak hospital yang bertungkus lumus membantu”katanya.

Ujarnya lagi”justeru kami berharap agar semua mahasiswa sama-sama berdoa agar kita dijauhkan daripada penyakit tersebut bukan sahaja semasa kita diuji begini”.

Terdahulu, upsikini melaporkan seramai 8 orang disyaki dijangkiti selsema babi selepas mengalami simptom-simptom penyakit tersebut.

Pro Kebajikan gesa pihak universiti batalkan program ke luar negara

Tanjong Malim 26 Jun – Pro Kebajikan menggesa pihak universiti segera menarik balik kebenaran ke luar negara terhadap mana-mana program yang tidak mempunyai keperluan yang mendesak.

Kenyataan itu dibuat setelah mendapat maklumat berkenaan kes yang berlaku di Kolej Harun Aminurrashid, KHAR apabila 8 daripada peserta lawatan ke Jogjakarta tempoh hari menerima rawatan pemeriksaan kerana disyaki dijangkiti selsema babi.

Pro Kebajikan yang diwakili Ketua Penerangannya melahirkan rasa bimbang terhadap perkembangan tersebut dan menyeru seluruh mahasiswa mendoakan agar kesemua individu terbabit bebas dari wabak tersebut.

“Kita bersimpati dengan apa yang berlaku, namun dalam keadaan begini kita sama-samalah berdoa ke hadrat Ilahi agar mereka ini selamat dari virus tersebut dan dijauhi daripada penyakit yang semakin menular di negara kita sekarang ini”katanya.

“Oleh yang demikian kita menggesa pihak universiti mengambil iktibar daripada kes ini meskipun masih belum diketahui sama ada positif atau sebaliknya, agar segera membatalkan semua program ke luar negara yang tidak penting bagi mengurangkan risiko penyebaran virus ini ke dalam negara”tegasnya lagi.

Setakat ini sebanyak 91 kes disahkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan di samping membawa kepada penutupan sebanyak 4 buah sekolah.

June 25, 2009

Keputusan pemeriksaan dijangka keluar esok

Tanjong Malim, 25 Jun – Keputusan ujian darah terhadap kesemua mahasiswa yang disyaki dijangkiti selsema babi (H1N1) akan diperoleh esok atau selewat-lewatnya lusa.

Sehingga kini semua 8 mahasiswa yang menjalani pemeriksaan dan ujian darah oleh pihak Hospital Slim River dibenarkan pulang dan dikuarantin sehingga laporan rasmi dikeluarkan.

Terdahulu Upsikini melaporkan 2 mahasiswa disyaki berjangkit namun sumber mengatakan jumlah sebenar yang dibuat pemeriksaan ialah 8 orang kerana mereka dikatakan mengalami demam-demam, sakit tekak dan sakit kepala setelah pulang dari satu lawatan ke Jogjakarta tempoh hari.

Sekiranya keputusan ujian darah tersebut mendapati salah seorang daripada mereka positif dijangkiti selsema babi, seluruh penghuni yang tinggal di Kolej harun Aminurrashid akan dikuarantin selama 7 hari dan jika sebaliknya, mereka akan dibenarkan keluar rumah dan menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Berita ini turut membimbangkan pihak pengurusan universiti kerana tidak sampai seminggu dari sekarang pendaftaran pengambilan pelajar baru akan dijalankan di Kolej Harun Aminurrashid, KHAR iaitu 28 Jun bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan 2 Julai bagi pelajar Diploma Pendidikan Lepasan ijazah (DPLI).

H1N1: Dua mahasiswa UPSI disyaki berjangkit

kemaskini 6.30 p.m. Tanjong Malim, 25 Jun – Penularan selsema A di negara ini semakin membimbangkan dan terbaru dua orang mahasiswa UPSI dikuarantin tengah hari tadi. Mahasiswa terbabit dilaporkan mengalami simtom-simtom dijangkiti selsema A selepas pulang daripada satu program lawatan ke Jogjakarta, Indonesia.

Pagi tadi, kedua-dua mahasiswa terbabit dibawa ke hospital berhampiran untuk menjalani rawatan dan dikuarantin sementara waktu di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bagi menunggu keputusan hospital sama ada mereka benar-benar dijangkiti selsema A.

Mereka sebelum ini dilaporkan menyertai satu lawatan ke Jogjakarta bersama lebih 20 rakan yang lain dan pulang ke tanah air petang semalam. Walau bagaimanapun suspek mengadu berasa kurang sihat kepada rakan mereka.
Sehingga jam 6.00 petang tadi, upsikini dilaporkan kesemua peserta yang mengikuti lawatan ke Jogjakarta tempoh hari yang terdiri daripada Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid, KHAR, termasuk pegawai pengiring tidak dibenarkan keluar rumah sehingga keputusan pemeriksaan daripada hospital diperolehi.
Ini merupakan langkah awal yang diambil bagi mengelak jangkitan tersebar sekiranya kes ini didapati positif.

Berita ini dikatakan tersebar luas apabila rata-rata yang datang berurusan ke KHAR menanyakan tentang kes ini dan penjelasan rasmi masih belum dikeluarkan oleh pihak universiti.

Exco Kabajikan dan Kemasyarakatan, saudara Zulhelmi ketika ditanya tentang perkembangan ini menjelaskan agar semua pihak tidak membuat andaian awal sehingga laporan rasmi daripada pihak hospital dikeluarkan.

“Setakat ini belum ada apa-apa laporan rasmi dikeluarkan dan saya berharap semua pihak tidak begitu panik namun langkah berjaga-jaga perlu diambil”,ulasnya.

Upsikini juga dalam tinjauan ke KHAR mendapati beberapa mahasiswa dan staf yang bertugas di sana memakai topeng sebagai langkah berjaga-jaga.

Pro Kebajikan tidak akan dedah struktur organisasi

Tanjong Malim, 25 Jun – Pro Kebajikan menegaskan bahawa mereka tidak akan mendedahkan identiti dan struktur organisasi Pro Kebajikan kepada umum buat masa ini. Dalam kenyataan tersebut, Pro Kebajikan mengatakan ada beberapa faktor yang mendrong kepada ketetapan itu dibuat.

Antara faktor utama yang dilihat menjadi alasan pendedahan tersebut tidak dibuat adalah faktor keselamatan. Selain itu mereka juga bimbang pendedahan tersebut akan memberi maklumat kepada pihak musuh untuk menyerang dan memberi tekanan kepada Pro Kebajikan. Pro Kebajikan juga menegaskan belum tiba masanya untuk pendedahan itu dibuat kerana rata-rata mahasiswa UPSI belum matang dalam berpolitik.

Kenyataan itu dibuat selepas mendapati ramai pihak yang ingin mengetahui individu yang bertanggungjawab menggerakkan Pro Kebajikan yang semakin mendapat perhatian mahasiswa bukan sahaja di UPSI malah di IPT lain.

Namun, Pro Kebajikan tidak menolak kemungkinan pendedahan tersebut dibuat sekiranya Majlis Tertinggi Pro Kebajikan membuat keputusan sebaliknya pada masa akan datang.

Pro Kebajikan mula disebut-sebut di kalangan mahasiswa apabila masuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus tahun lalu dan menang 8 kerusi termasuk 3 kerusi daripada 5 kerusi Umum.

Tidak hadir mesyuarat bukan justifikasi tidak buat kerja

Tanjong Malim, 25 Jun – Tohmahan yang dilemparkan kepada Pro Kebajikan kononnya tidak menjalankan tugas semasa minggu gerak kerja Sakretariat Minggu Suaikenal (SMS) dijawab dalam satu sidang media tertutup bersama pimpinan Pro Kebajikan selepas mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan malam tadi.

Dalam sidang media tersebut, Ketua Penerangan Pro Kebajikan menjelaskan ketiadaan dalam mesyuarat bukan menjadi justifikasi bahawa Pro Kebajikan tidak mengambil bahagian dalam MSK kali ini.

Beliau turut menempelak beberapa pihak yang hanya menjadikan mesyuarat sebagai ukuran kerja seseorang sedangkan tidak melihat kerja sebenar yang patut dilaksanakan.

Menjawab beberapa persoalan yang dilontarkan, Pro Kebajikan menyatakan meskipun ada beberapa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh semua wakil Pro Kebajikan namun Pro Kebajikan turut menghantar wakil dan menyampaikan maklumat tersebut kepada semua ahli yang lain.

“Kami ingin menegaskan bahawa Pro Kebajikan tidak meletakkan justifikasi buat kerja hanya dengan hadir mesyuarat”jelasnya ringkas.

Tambahnya lagi,”Pro Kebajikan sentiasa menjunjung amanah semua pengundi yang memberikan undi mereka kepada kami dan tetap berpegang kepada prinsip menjaga kebajikan mahasiswa seluruhnya termasuk pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar nanti”.

Terdahulu Pro Kebajikan memberi jaminan walaupun ada wakilnya yang sedang berpraktikal pada semester ini namun mereka tetap akan bersama menjalankan tugas sedaya yang mungkin semasa MSK nanti.

Pro Kebajikan sebaliknya mempersoalkan mengapa Setiausaha Agung MPP, Mohd Razik Khalid diberi pelepasan daripada memegang sebarang tugas dalam MSK kali ini atas alasan sedang berpraktikal sedangkan ahli Pro Kebajikan tetap diberikan tugas walaupun sedang berpraktikal.

“Kita nak tanya kepada mereka mengapa Razik diberi pelepasan dan tidak ada namanya dalam senarai tugas MSK dengan alasan sedang berpraktikal sedangkan kita juga di pihak Pro Kebajikan mempunyai wakil yang sedang berpraktikal namun tetap bersedia menggalas tugas yang diberikan”soalnya.

Di akhir sidang tersebut, Pro Kebajikan bertekad akan memperkukuhkan gerak kerja pada semester akan datang bagi memastikan semua perancangan berjalan sebaik mungkin.

MSK kali ini dilihat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya apabila disertai wakil Pro Kebajikan dan penukaran nama AJK pelaksana MSK daripada Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) kepada Sakretariat Minggu Suaikenal (SMS).

June 24, 2009

Takziah buat keluarga Wan Siti Farihan

Tanjong Malim, 24 Jun – Kematian seorang siswi sarjana Sains Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, Wan Siti Farihan Mohamed Hassan yang dilaporkan terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat empat mendapat perhatian seluruh mahasiswa di sini.

Berita Harian hari ini melaporkan mayat Wan Siti Farihan, 23, yang lengkap berpakaian kemeja T kuning dan berkain batik ditemui oleh seorang tukang sapu di depan pintu laluan utama kolej itu, dalam keadaan mengiring dan muka lebam serta mulut berdarah, kira-kira jam 7 pagi.

Kematian siswi tersebut dikatakan akibat dikejar satu lembaga namun masih belum dapat disahkan maklumat tersebut apabila tiada saksi atau bukti yang menyokong dakwaan terbabit menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood.

Beberapa hari sebelum kejadian tersebut mangsa dikatakan sering menghadiri kelas pengajian agama, mengaji, berzikir dan melakukan solat sunat

Zulhilmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, ketika mengulas tentang kejadian terbabit dipetik sebagai berkata kejadian seperti itu berkemungkinan satu kemalangan yang tidak diduga dan beliau mewakili mahasiswa UPSI di sini mengucapkan takziah kepada keluarga Wan Siti Farihan atas pemergiannya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan kepada mahasiswa agar tidak terlalu mempercayai dengan khabar yang mengatakan kematiannya berpunca daripada satu lembaga yang boleh menyebabkan kita terdorong kepada perkara-perkara khurafat.

Pro Kebajikan melalui wakilnya Nur Aqilah Hanis turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar semua mahasiswa mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

“Saya serta seluruh kepimpinan Pro Kebajikan UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar allahyarahamah ditempatkan bersama orang-orang mukmin dan kita semua yang masih diberi kesempatan untuk hidup harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku”jelasnya.

Di akhir kenyataannya, beliau turut mengajak mahasiswa agar sentiasa beringat bahawa kematian tidak mengenal usia dan boleh sahaja berlaku ketika usia masih muda.

June 23, 2009

Ramai ingin tahu siapa di sebalik Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 23 Jun – Kelantangan Pro Kebajikan menyuarakan pendapat dan saranan dalam beberapa isu sebelum ini menimbulkan tanda tanya di kalangan mahasiswa di sini siapa di sebalik nama Pro Kebajikan itu.

Dalam satu tinjauan rambang yang turut melibatkan mahasiswa IPTA lain selain UPSI, ramai di kalangan mereka tertanya-tanya siapa yang berperanan menggerakkan kumpulan ini.

Upsikini yang mendapatkan penjelasan daripada beberapa pihak mendapati ramai yang mengenali Pro Kebajikan semasa Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lalu apabila 8 wakilnya menang beberapa kerusi termasuk kerusi Umum.

Namun sejak kemenangan tersebut, Pro Kebajikan dikatakan bergerak seperti satu kumpulan yang begitu efektif dalam menyampaikan pandangan dan kritikan terutamanya berkaitan kepimpinan mahasiswa.

Seorang mahasiswa, Hamid, 21 tahun, turut melahirkan rasa ingin tahu siapa di sebalik wajah Pro Kebajikan meskipun mengetahui wakil-wakil yang berada di barisan MPP sekarang.

“Saya juga mengikuti perkembangan Pro Kebajikan melalui blog-blog dan khabar di kalangan rakan lain tetapi masih merasakan seperti ada individu yang berperanan di sebalik nama Pro Kebajikan itu”katanya.

Beberapa persoalan juga ditimbulkan di kalangan mahasiswa IPTA lain yang menyampaikan rasa ingin tahu mereka melalui e-mel yang diterima Upsikini.

Nama Pro Kebajikan mula menjadi sebutan ramai apabila terdapat persamaan dalam slogan wakil-wakil yang bertanding dalam PRK lepas dengan tema “Kebajikan”.

June 22, 2009

MSK bukan medan berkempen – Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 22 Jun – Pro Kebajikan hari ini mengeluarkan kenyataan agar semua pihak yang terlibat dalam Minggu Suai Kenal (MSK) tidak menjadikan MSK sebagai medan untuk berkempen.

Dalam satu kenyataan rasmi 2 muka surat itu, Pro Kebajikan menyeru kepada semua yang terlibat dalam MSK membetulkan niat dan mengisi ruang MSK untuk memberi kesedaran kepada pelajar baru bahawa mereka bakal bergelar guru satu hari nanti.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menyarankan kepada pihak yang bertanggungjawab memastikan MSK bebas daripada aktiviti kempen dengan menggunakan slogan-slogan tertentu dalam aktiviti yang dijalankan.

Kenyataan itu dikatakan dibuat setelah mendapati beberapa pihak menggunakan MSK sebagai medan berkempen menonjolkan pihak-pihak tertentu termasuklah tema MSK kali ini.

Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti kempen semasa MSK oleh pihak-pihak yang mencari ruang menonjolkan diri dan memulakan kempen awal menjelang PRK akan datang.

“Saya percaya akan berlaku aktiviti kempen seperti mana sebelum-sebelum ini di mana pihak yang sudah bercadang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus akan datang mula membuat kempen awal kepada pelajar-pelajar baru”ulasnya.

Tambahnya lagi”bagi memastikan MSK kali ini bebas daripada ektiviti kempen, Pro Kebajikan menyeru kepada semua pihak termasuklah kepada pegawai-pegawai yang terdiri daripada pentadbir universiti melihat MSK adalah sebagai ruang memberi kesedaran kepada pelajar baru dan bukan medan berkempen”.

MSK sesi ini bakal berlangsung untuk dua pengambilan iaitu 28 Jun hingga 2 Julai bagi pelajar baru Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan 2 Julai hingga 4 Julai bagi pelajar Diploma Pendidikan Lepasa Ijazah (DPLI).

June 20, 2009

MSK Tidak Banyak Berubah

Tanjong Malim 19 Jun 2009 - Bengkel MSK hampis tamat, para sekretariat akan melakukan aktiviti 'outdoor' selepas 4 hari mendengar taklimat demi taklimat di Dewan KUO. Tahniah buat sekretariat yang benar-benar tabah mengharungi taklimat tersebut.

Wartawan upsikini cuba mendapat respon dari sebahagian peserta tentang input yang diperoleh sepanjang bengkel ini. Sebahagiannya mempertikaikan beberapa perkara yang dirasakan tidak sesuai dan berlebih-lebihan.

Menurut salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai S, beliau agak terkilan kerana terlalu banyak aktiviti nyanyian dan hiburan sepanjang bengkel ini.

"Pada mulanya saya menyangka ia hanyalah untuk slot ice breaking, tak sangka pula ianya berlaku sepanjang program. Pihak penganjur perlu juga memasukkan nilai-nilai kerohanian dalam program ini. Sebaiknya wajibkan semua peserta solat berjamaah, adakan sedikit tazkirah dari mana-mana ustaz. Kadang-kadang hati saya berat untuk melakukan aktiviti yang diminta".

"Ada seorang pegawai yang datang berperangai pelik. tak sangka dia adalah pegawai, aneh sekali kelakuannya. Kadang-kadang melebihi budak-budak. tak sangka ada pegawai HEP begini..." Kata peserta lain.

Sebagaimana yang kita semua ketahui, kebanyakan fesi dan ketua unit adalah dari kalangan SMU yang telah terbiasa dengan nilai-nilai hiburan yang telah menjadi budaya dikalangan mereka. Maka tidak hairanlah jika di dalam bengkel ini budaya itu dibawa masuk dan diterapkan dikalangan sekretariat yang lain. Agak sukar untuk kita melihat perubahan dalam MSK kali ini.

Wira Yang Tak Didendang

Tanjong Malim 20 Jun 2009 - "Siapa yang tidak kenal Hanif? Dia seorang yang bersubgguh-sungguh dalam berkerja" kata salah seorang fesi MSK.

Mohd Hanif Azwan Bin Ab Rahman yang lebih mesra dengan panggilan Hanif, salah seorang AJK yang tidak asing lagi di kalangan sekretariat MSK kali ini. Walaupun beliau tidak pernah menonjol ke hadapan, namun tak siapa tahu sebenarnya Hanif sangat disayangi oleh rakan-rakan dalam MPP.

"Kalau ada bintang, dah beribu bintang aku bagi kat Hanif" kata Hairie, YDP MPP merangkap pengarah MSK.

"Masa kat kemboja, dialah buah hati aku" Kata Cik Shariza, pegawai HEP merangkap penasihat MPP. Beliau yang masih bujang turut mengakui Hanif adalah seorang yang lurus dan sentiasa bertanya "apa lagi yang perlu saya buat?" membuatkan semua orang suka padanya.

Saudara Akmal Madzir (http://ibnumadzir.blogspot.com) ketika dihubungi pula memberi komen "Saya mengenali Hanif sejak di matriks lagi. Kami selalu berjemaah di surau dan bermain badminton bersama. Tika bersama, kita terasa senang hati walau dilanda seribu masalah. Gelak tawanya, lawaknya dan sikap ambil berat beliau begitu menyentuh hati". Beliau turut bersetuju bahawa hanif adalah anak kelantan yang disenangi oleh semua pihak.

Hanif adalah seorang yang sentiasa belajar dari persekitarannya. Bakat beliau telah dikesan oleh Presiden Persatuan Pengguna sesi lalu, Saudara Wan Nasron Wan Mohd Nasir lalu memberi kepercayaan kepada Hanif untuk menjadi Pengarah Program Berbuka Puasa Persatuan Pengguna. Diatas prestasinya yang cemerlang, Hanif terus diberi kepercayaan untuk mwnjadi Pengarah Program Hari Keluarga Pengguna selain diberi amanah menjadi Exco Kebajikan Persatuan Pengguna. Dengan pengalaman yang ada, Persatuan Pengguna UPSI terpaksa melepaskan Hanif apabila beliau menyatakan hasrat ingin menyertai pilihanraya kampus (prk) pada sesi yang lalu (syarat prk, setiap calon perlu melepaskan jawatan sebelum penamaan calon). Akhirnya saudara Hanif telah bertanding dii Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan telah mendapat kepercayaan mahasiswa dengan undi tertinggi sebanyak 1389 undi.

Saudara Hanif juga adalah seorang penulis yang profilik. Tulisan beliau sering terpapar di laman web Mahasiswakini.com dan yang terbaru dalam majalah Milenia Muslim Jun 2009. Mahasiswa yang memberi undi kepada Hanif merasa puas hati dengan prestasi beliau dan percaya Hanif adalah salah satu pimpinan pelajar yang perlu dicontohi kejujuran dan kesungguhannya dalam bekerja.

Mahasiswa boleh berinteraksi dengan saudara Hanif melalui bolgnya http://mohabar08.blogspot.com/, selamat maju jaya untuk Hanif!

June 16, 2009

GERAK KERJA MSK BERMULA

Tanjong Malim 16 Jun 2009 - Sekretariat yang terpilih terlibat dalam MSK telah melaporkan diri pada hari ini. Mereka akan terlibat dalam "Bengkel Gerak Kerja Sekretariat MSK" selama seminggu sehingga 21 Jun 2009. Selepas itu mereka akan bergerak kerja selama seminggu dan seterusnya menyambut pelajar baru pada 28 Jun 2009. Upsikini difahamkan MSK kali ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu Ijazah Sarjana Muda Pertama (DPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

Sebagaimana yang telah dilaporkan sebelum ini, ternyata MSK kali ini benar-benar melibatkan 'orang luar' dalam merangka dasar sekretariat. Saudara Hairi telah 'menjemput' SMU-SMU secara rasmi, malah mantan SMU yang telah tamat praktikum dilihat turut serta dalam taklimat bengkel malam ini. Dibimbangi "masalah sosial" yang telah berlaku dalam MSK lepas akan terus membarah dalam MSK kali ini.

"Nampaknya, perubahan yang sering diungkapkan Hairi hanya untuk menyedapkan hati kami sahaja" kata salah seorang ahli MPP. Beliau terkilan kerana tugas yang sepatutnya di berikan kepada ahli MPP diambil alih oleh SMU. "Kami dipaksa menjadi peserta seperti sekretariat lain. Jika benar MPP yang menguruskan MSK kali ini, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Tak sangka 'double standard' ini terus berlaku dari awal pembentukan kabinet MPP sehingga hari ini".

Saudara Zulhilmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP ketika dihubungi berkata "Pihak kami telah membangkitkan aduan pelajar tentang MSK sebelum ini. Kami telah memohon agar dikhususkan waktu solat untuk pelajar baru dan dimansuhkan hiburan melampau seperti MSK lalu. Encik Muzammil sendiri pun mencadangkan agar diadakan tazkirah selepas solat".

Upsikini akan tetap meneruskan tugasnya melaporkan perkembangan terkini pelajar UPSI ke seluruh dunia khususnya buat tatapan rakan-rakan dari kampus lain di seluruh negara dan seterusnya melakukan 'check and balance' kepada aktiviti tersebut. Beberapa orang wartawan upsikini yang turut terpilih menyertai sekretariat MSK kali ini akan melaporkan gerak kerja mereka dari semasa ke semasa.