Friday, July 31, 2009

Pengurusan Masa




Pening....itu yang saya rasakan bilamana idea tidak juga kunjung tiba untuk menulis..sedangkan tiada artikel baru untuk sekian lama...kadangkala, rasa pelik dan "cemburu" pabila melihat rakan-rakan yang lain bertukar ganti artikel mereka...sungguh, saya bukanlah seorang yang kreatif dalam menulis.semasa di sekolah dahulu, saya hanya menanti rakan saya menyiapkan cerpennya untuk saya baca.saya gemar membaca, dari dulu dan berharap agar tabiat ini tidak berkurangan..


8 tahun sudah berlalu semenjak saya meninggalkan bangku persekolahan.Banyak kenangan yang saya kutip sepanjang perjalanan saya selama ini.Kekadang hati terdetik, apakah yang telah saya lakukan selama ini?Adakah setiap keputusan yang saya ambil merupakan perkara yang terbaik untuk diri saya? Adakah saya telah menggunakan masa saya dengan sebaik-baiknya?


Firman Allah, maksudnya:


" Demi masa,sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling menasihati tentang mentaati kebenaran dan sentiasa bersabar."


Surah Al- ashr (Ayat 1 hingga 3)


Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan akan pentingnya kita dalam mengurus masa agar tidak berada dalam kerugian. Persoalannya, adakah kita sudah melakukannya?
to be continued...


Ummu Aisyah
Gelang Patah, 1218 am
1 ogos 2009

Sunday, June 14, 2009

tutup Menutup...


" Cikgu, tak rimas ker pakai tudung labuh? "

" Cikgu, tak panas ker pakai sarung tangan ? "

Soalan- soalan di atas adalah antara pertanyaan yg diajukan kepada saya pertama kali menjejakkan kaki ke kelas saya mengajar. Mungkin bagi mereka pemandangan ini agak janggal, sementelah saya bukannya mengajar subjek Pendidikan Islam, tetapi Matematik .Mungkin pada pandangan mereka sarung tangan dan tudung labuh hanya layak dipakai oleh guru agama.

Pertanyaan mereka tidak saya jawab dengan segera. Lalu saya tanyakan kepada mereka.

" Kenapa pulak kamu bertudung ke sekolah ? "

" Sebab itu peraturan sekolah cikgu." Balas mereka pula.

" Ok, sekarang ni kamu bertudung sebab itu peraturan sekolah kan? . Kamu terikat dengan peraturan sekolah. Tapi siapa pula yang ciptakan kita? "

" Allah, Cikgu. " Balas mereka serentak.

" Haa, dan salah satu daripada perintah Allah adalah menutup aurat.Betul tak?Jadi itulah sebabnya kenapa saya menutup aurat."

Mereka terdiam, saya mengharapkan agar mereka memahami apa yang saya katakan sebentar tadi.


**************************************************************************************
Aurat wanita


Tidak banyak yang saya ingin ceritakan di sini. Cuma sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan- rakan sekalian tentang kepentingan menutup aurat.

Tambahan pula saya baru selesai membaca buku " Risalah Hijab " karya Syeikh Muhammad Bin Salleh Bin Uthaimin untuk kali kedua. Dan apa yang saya fahami dari bacaan buku tersebut, penulis menegaskan akan kepentingan Hijab kepada wanita muslim.Iaitu wanita muslim wajib menutup seluruh badannya termasuk muka.

Ini berdasarkan pandangan beliau terhadap ayat dari surah an-Nur yang bermaksud:

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka( daripada memandang yang haram) , dan memelihara kehormatan mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup (melabuhkan tudung mereka) ke belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak- anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara mara mereka, atau anak bagi saudara -saudara mereka yang lelaki, atau atau anak bagi saudara -saudara mereka yang perempuan, atau perempuan- perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkenginan terhadap perempuan, atau kanak-kanak yang masih tidak mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar mereka berjaya."


(An Nuur :31)

Menurut pandangan penulis buku tersebut, Allah telah memerintahkan perempuan muslim agar melindungi kemaluan mereka dan perintah ini ( melindungi kemaluan) tidak terhad kepada menutup kemaluan sahaja tetapi juga muka kerana dengan terdedahnye muka akan membawa kepada jelingan dan merenung kepada kecantikannya untuk mendapatkan keseronokan. Jadi, dengan menutup muka turut akan membawa perlindungan kepada perempuan tersebut secara keseluruhannya.

Dan menurut pengarang tersebut melalui ayat berikut:

"dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.."

merupakan perintah untuk menutup aurat termasuk muka kerana sedangkan menghentakkan kaki (berjalan dalam keadaan menunjukkan kecantikan) pun sudah dilarang, maka apakah yang dapat dikatakan tentang tidak menutup muka? Bukankah godaan melihat muka perempuan yang terdedah adalah lebih merbahaya berbanding mendengar bunyi gelang kaki dari seorang perempuan yang menutup seluruh badan termasuk mukanya?

*******************************************************************************************

Berbeza pula keadaannya ketika saya menghadiri Kelas Utaz Adlan B. Abdul Aziz pada 15 September 2008 yang lalu. Dimana beliau menerangkan bahawa ayat di atas tidak menyatakan akan kewajipan menutup seluruh muka terhadap perempuan muslim, memadai hanya menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Ini berdasarkan hadis Imam Bukhari rahmatullahu alaihi diriwayatkan daripada Jabir radiallahu anhu bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah menunaikan solat hari raya dan selepas itu menasihati orang ramai.Selepas itu baginda bangun dan berucap kepada kaum wanita dengan bersabda:

"Wahai perempuan, berikanlah sedekah kerana kebanyakan bahan bakar api neraka Jahannam adalah kaum wanita."

Kaum wanita (dari himpunan itu) yang pipi-pipi mereka kemerahan kerana angin panas Arab terus berdiri.

Maka terbukti di sini bahawa terdapat sebahagian kaum wanita yang tidak menutup muka kerana jika muka mereka tertutup, tiada seorang pun tahu bahawa pipi-pipi mereka kemerahan disebabkan panas matahari.

Alasan yang kedua ialah Imam Bukhari rahmatullahu alaihi meriwayatkan daripada Ibn Abbas radhiallahu anhu bahawa saudara Ibn Abbas radhiallahu anhu, Fadl radhiallahu anhu telah menunggang kuda di belakang Nabi S.A.W di atas binatang tunggangan yang sama di dalam Haji Wida'. Semasa berjalan, seorang perempuan dari kabilah Khath'am muncul n Fadl radhiallahu anhu melihat kepadanya dan ia mula melihat kepadanya.Nabi S.A.W pun mula memusingkan kepala Fadl ke arah lain. Hadis ini menunjukkan bahawa wajah wanita itu terbuka.


Dengan mengambilkira 2 hadis di atas,terdapat pandangan bahawa aurat wanita adalah meliputi seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Tetapi ini tidaklah bermaksud bahawa perempuan muslim dilarang untuk memakai niqab( menutup seluruh mukanya).Kerana andainya niqab diharamkan tentulah ia dinyatakan di dalam Al- quran dan hadis.


Dalam hal ini, kita harus lebih berhati-hati dalam mengkaji hadis agar kita dapat mengetahui berapa banyak hadis yang menghalang pembukaan wajah dibandingkan dengan yang membenarkan pembukaan muka.Dan saya yang masih lagi dalam proses mencari ini memohon kepada Allah agar terus diberi kesempatan dan peluang untuk menambahkan ilmu agar dapat dikongsi bersama.


Setakat ini coretan pertama saya. Mohon kemaafan andainya tulisan saya ini banyak kekurangannya.Wassalam.

Ummu Aisyah,Gelang Patah,1104 pm, Ahad