Saturday, May 23, 2020

Tulahan : Ke sana ke sini , apa pilihan Muhyiddin?


Assalam,
Tarikh 18 Mei telah berlalu, sidang Dewan Rakyat hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong. Notis baru sidang akan dikeluarkan, mungkin berlaku bulan Julai ini. Mungkin juga akan berlaku bulan Oktober bersekali dengan pembentangan belanjawan
Sidang disingkatkan menggunakan alasan Covid 19, sedangkan di pihak pembangkang mendakwa TS Muhyiddin takut berhadapan dengan usul undi tidak percaya. Namun ,dilihat dari kedudukan kerusi anggota parlimen kerajaan melebihi  anggota parlimen pembangkang. Benarkah TS Muhyiddin tidak berani?
Sebelum Langkah Sheraton
Melihat ke belakang , berlakunya kejatuhan kerajaan PH bukanlah secara kebetulan tapi melalui perancangan sejak awal kerajaan PH ditubuhkan. Wataknya adalah Tun, TS Muhyiddin dan Azmin. Ada yang menafikan penglibatan Tun dan menyatakan bahawa Tun dikhianati.
Benar Tun dikhianati tapi sebelum dikhianati , apakah yang dilakukan oleh Tun dengan kuasa Perdana Menteri yang beliau perolehi. Rakyat boleh menyaksikan sendiri perlantikan Menteri-Menteri yang sebenarnya tidak sepatutnya berada di posisi itu.

Saturday, April 25, 2020

Tulahan : PPBM dalam dilema, Umno dan Pas ke arah mana


Assalam,

Perikatan Nasional (PN) Dijangka Akan Berpecah Sebaik Saja Menteri ...

Timbalan Presiden Umno menyatakan dengan jelas bahawa Umno tidak menyertai Perikatan Nasional kerana Perikatan Nasional bukan satu entiti politik yang berdaftar. Maksudnya, Perikatan Nasional adalah satu entiti poltik yang cukup rapuh dan bila-bila sahaja akan pecah.

Umno nampaknya lebih selesa mengikat kerjasama politik dengan Pas dalam Maufakat Nasional dalam masa yang sama mempunyai kerjasama politik dengan Mca, Mic dan PBRS dalam Barisan Nasional.

Timbalan Presiden Umno ini juga menegaskan, Umno tidak mempunyai apa-apa perjanjian dengan PPBM dan GPS. Justeru, lihatlah betapa tidak kukuhnya , Perikatan Nasional yang diketuai TS Muhyiddin sekarang.

Walaupun TS Muhyiddin cuba menampakkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang kukuh. Namun, banyak tindakan sejak bermula ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional menunjukkan TS Muhyiddin cukup tertekan untuk mempertahankan kerajaan ini.

Terbaru , TS Muhyiddin membahagikan-bahagikan GLC kepada Ahli Parlimen parti-parti dalam Perikatan Nasional yang tidak mendapat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri bagi mengelakkan beliau tidak mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi.

Umno memang tidak dalam dilema kerana Umno memang tidak terikat dengan Perikatan Nasional . Apabila berlaku PRU 15, Umno hanya akan bersama Pas dan BN dalam menentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

Saturday, April 11, 2020

Tulahan : Kerana Perikatan Nasional, Umno dan Pas kehilangan undi Melayu


Assalam,
Tahun pertama 'ujian' buat Perikatan Nasional bertahan, kata ...

Penulis akan membuat sedikit analisa sokongan pengundi Melayu kepada PH , Umno dan Pas selepas kejatuhan kerajaan PH. Sebelum PRU 14, banyak analisa yang penulis buat menetapi jangkaan yang dibuat berdasarkan suasana yang berlaku pada masa berkenaan .

Semasa pemerintahan PH, serangan terhadap PH menggunakan sentimen kaum dan agama sangat berjaya digunakan pembangkang pada masa itu. Mengapa berjaya? Kerana sememangnya , pembangkang terutama Umno dan Pas mewakili majoriti pengundi Melayu. Manakala PH memenangi PRU 14 berbekal undi Melayu sekitar 30 peratus sahaja

Justeru itu, adakah benar PH tidak mendapat sokongan orang Melayu semasa memerintah? Bukan hanya semasa memerintah , sebelum memerintah pun sokongan Melayu  kepada PH adalah sekitar 30 peratus sahaja.

Pada PRU 14, PH mendapat hanya 15 ke 25 peratus undi Melayu di kawasan luar bandar. Manakala undi Melayu PH di kawasan bandar adalah 25 hingga 35 peratus sahaja. Kemenangan PH pada PRU 14 adalah disebabkan sokongan pengundi Cina adalah 85 peratus dan sokongan pengundi India sebanyak 70 peratus.

Oleh kerana itu, PH memenangi banyak kerusi majoriti Cina dan kerusi campuran. PH telah memenangi sebanyak 113 kerusi berbanding BN sebanyak 79 kerusi selebihnya dimenangi PAS, Warisan dan Bebas. PH membentuk kerajaan dengan sokongan Warisan.

Saturday, January 11, 2020

Kisah Rahmah : Nabi dan jenazah seorang Yahudi

Image result for nabi dan jenazah yahudi


Hadis tersebut adalah sahih, muttafaq alaih. Lafaznya seperti berikut:


Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi SAW dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?”.
Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961).
– Hadis ini menunjukkan digalakkan berdiri apabila ada jenazah melintasi kita, samada jenazah itu Muslim ataupun kafir. Cuma ada pendapat ulama yang mengatakan ia mansukh.
– Illah berdiri ketika jenazah bukan Islam melintasi, ialah seperti berikut:
a) kerana ia satu jiwa yang diciptakan Allah (sebagaimana di dalam hadis di atas)
b) kerana merasai kegerunan terhadap kematian. Dalilnya: Jabir bin Abdillah melaporkan: Kami dilintasi oleh satu jenazah, lalu Rasulullah SAW berdiri, dan kami berdiri bersamanya. Aku berkata: “Wahai Rasulallah, Ia hanyalah jenazah Yahudi”. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya bagi kematian itu ada kegerunan. Maka apabila kamu melihat jenazah, berdirilah”. Direkod oleh Ahmad (no: 1992) Dinilai Sahih oleh Ibn Hibban (no: 3050)

Sunday, December 29, 2019

Tulahan : Melaksanakan Islam dengan kuasa bukan slogan


Image may contain: text


Salam,

Lagi dua hari masuk tahun 2020, penulis ambil masa untuk menulis berkaitan perjuangan. Baru habis program Tanweer , kehadirannya baik walaupun sekarang musim ambil padi.

Kehadiran yang ramai menambah semangat kepada penulis kerana yang hadir selalunya yang aktif,. Bila ramai ahli yang aktif, bermakna parti akan semakin kuat. Dulu penulis yang anjur program Liqa’ parti lama, kehadirannya kurang sedangkan cawangan dah banyak.

Penulis tertarik ucapan SU Kawasan semasa sesi soal jawab yang penulis akan kongsi di sini. Katanya, parti lama hanya bermegah dengan slogan Islam tapi tidak melaksanakannya. Yang ada hanya fitnah yang ditabur ahli parti lama terhadap kerajaan baru. Sedangkan parti baru tidak bermegah dengan  slogan Islam tetapi melaksanakan Islam dalam pemerintahan.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allâh melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allâh Azza wa Jalla memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat........(HR. Muslim)

Minggu ini juga baru selesai program back to school. Dulu semasa parti lama dan semasa parti baru belum menjadi kerajaan, jumlah pelajar menerima kelengkapan sekolah paling tinggi 200 orang sahaja. Bila dah memerintah, lebih 2000 pelajar terima manfaat. Bukankah dengan kuasa kita ada telah melapangkan kesusahan 2000 ibu bapa kurang mampu . 

Kisah Rahmah : Seorang pelacur dan seekor anjing

anjing kehausan
Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w bersabda:
غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِىٍّ يَلْهَثُ ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا ، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا ، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
  1. Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Terasa betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya sekalipun untuk seorang pendosa yang dipandang hina oleh manusia.  Betapa luasnya peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNYA. Lantas dengan keampunan itu seorang pendosa itu akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih sehingga kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.
  1. Malangnya, rahmat Tuhan itu selalu kelihatan suram dan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan wakil rasmi yang memberi kata putus bagi pihak Tuhan dan Nabi s.a.w. Mereka itu sebenarnya tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w. Mereka menggambarkan Allah itu penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan, kasihan dan hanya tahu menghukum dan melaknat hamba-hambaNYA yang berdosa. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah keseimbangan yang terkandung dalam firman Allah:
۞نَبِّئۡ عِبَادِيٓ أَنِّيٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ ٱلۡعَذَابُ ٱلۡأَلِيمُ 
(maksudnya) “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50).

Wednesday, June 5, 2019

Tulahan : Baru setahun berkerajaan baru


Salam,

Image result for program kebajikan malaysia baru

Setahun sudah berkerajaan baru, Aidilfitri hari ini baru ada masa untuk menulis. Walaupun sudah berubah posisi kerja, namun hidup berulang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan penulis.

Kali ini berulang dari rumah ke pusat kerajaan dan berulang dari rumah ke Kawasan. Seminggu sekali bertugas di pusat kerajaan , selebihnya balik ke Kawasan. Sibuknya lebih dari dulu, kerana banyak masa terbuang dalam perjalanan.

Sehingga Ramadan tahun ini, penulis hanya sekali dapat berterawih di surau kampung. Pun begitu, penulis tidak risau dengan aktiviti surau kerana dua kawan kampung penulis sudah boleh diharap mengelola aktiviti surau.

Penulis sempat pergi rumah ke rumah di kampung menyampaikan sumbangan Ramadan. Pertama kali , setiap rumah di kampung menerima sumbangan Ramadan. Walaupun nilai bantuan kecil tapi semua dapat merasa. Tak pernah berlaku semasa kerajaan dulu. Dulu bantuan diberi lebih bertumpu kepada penyokong Ubn .

Penulis guna NGO anak kampung yang penulis tubuh bersama kawan-kawan kampung penyokong parti baru untuk mohon dana beri sumbangan kepada orang kampung. Hujung tahun lalu, semua pelajar sekolah rendah di kampung menerima sumbangan pakaian sekolah lengkap. Semua diberi termasuk anak orang kuat Ubn.

Penulis telah usahakan Surau kampung untuk mempunyai akaun bank sendiri bagi membolehkan dan memudahkan sumbangan disalur. Pertama kali juga Surau kampung terima sumbangan kerajaan baru untuk aktiviti mengimarah surau.

Sebarkan Dakwah Dengan Kelembutan




Berdakwah merupakan tanggungjawab setiap muslim. Tugas untuk menyebarkan dakwah itu tergalas di bahu setiap muslim.
Tak perlu menjadi manusia sesempurna kejadian untuk dijadikan syarat untuk berdakwah. Kerana kita manusia yang sifatnya takkan pernah sempurna. Kita semua ada kekurangan masing-masing.
“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)
Tidak kira apa pun pekerjaan seseorang muslim itu, tugasnya untuk berdakwah tidak boleh ditinggalkan.
Setiap muslim wajib untuk menyampaikan dakwah sesuai dengan kemampuannya. Dakwah adalah jalan hidup yang akan sentiasa mewarnai setiap apa yang kita lakukan setiap hari.
“Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” (Surah Yusuf: 108)

Saturday, June 2, 2018

Tulahan : Menang berstrategi, kalah dicemar akhlak


Salam,
Image result for parti amanah parit buntar

Sudah lama tak menulis, penulis cadang nak menulis sebelum pru 14 tapi tak sempat. Bila ada kesempatan ini, penulis dapatlah menulis sikit tentang perjuangan bersama parti baru.

Sebelum pru 14, parti baru kawasan penulis terus bergerak melaksanakan program. Penambahan ahli baru dan cawangan terus berjalan tapi agak perlahan kerana banyak tumpuan kepada pilihanraya.

Program kebajikan parti baru sama macam parti lama berjalan lancar malah lebih banyak sumbangan kebajikan disampaikan kepada yang memerlukan. Program seumpama cakna rakyat ajuran parti lama turut dapat dijalankan parti baru dengan nama lain iaitu mini karnival harapan.

Setahun sejak tulisan terakhir , tumpuan lebih banyak kepada gerak kerja pilihanraya. Zahir Nampak macam parti baru tak banyak program politik . Dalam masa setahun , program politik terbuka yang dibuat hanya tiga ceramah besar sahaja, ceramah kelompok langsung tiada.

Benarkah tiada program politik ? Inilah yang membezakan parti baru dengan parti lama. Dunia politik sekarang sudah banyak berubah. Pengundi berumur 55 tahun ke atas semakin kurang. Pengundi di bawah umur 55 tahun semakin bertambah.

Justeru, kempen paling berkesan adalh kepada kumpulan umur 55 tahun ke bawah. Pengundi kumpulan umur ini rata-ratanya mempunyai handphone yang boleh akses internet walaupun tinggal di kampung-kampung. Majoritinya mempunyai facebook dan Whats Apps . Selama setahun, kempen melalui media sosial ditumpukan kepada kumpulan umur ini setiap hari.

Balasan untuk orang yang memutuskan Silaturahim


Allah S.W.T mengutuk dan melaknat bagi orang yang memutuskan silaturrahim serta tidak akan dimasukkan ke dalam syurga, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W maksudnya : 

Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : "Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Al-Imam Muslim) 

Silaturahim adalah kunci terbukanya rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Dengan terhubungnya silaturahim, maka ukhuwah Islamiyah akan terjalin dengan baik di antara sesama muslim. 

Rasulullah S.A.W. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim) 

Sunday, April 30, 2017

Tulahan : AMANAH , PPBM " Kerana logo kalah pilihanraya"

Salam,


Invoke Malaysia telah selesai menjalankan kaji selidik "Vote Transfer" & Kecenderungan Pengundi Terkini . Dapatan kajian telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Pandan YB Rafizi Ramli.

Seperti biasa kajian ini telah dikritik oleh pemimpin Pas yang tidak dapat menerima hasil kajian. Ada pemimpin Pas yang mendakwa kajian Invoke tak boleh dipercayai, sebaliknya mendabik dada kononnya Pas ada kajian dalaman yang tidak boleh didedahkan.

Dakwa pemimpin Pas itu, Pas ada tiga pusat kajian dan kajian yang Pas lakukan adalah dari rumah ke rumah oleh petugas tanpa gaji hanya mengharap pahala
Bagi yang pernah aktif dalam parti ini pastinya tersenyum membaca kenyataan pemimpin Pas ini. 

Mereka tahu selama dalam parti ini, setiap kali hampir pilihanraya, parti ini akan memanggil NGO-NGO yang membuat kajian seperti Ilham Centre untuk membentang hasil kajian untuk Pas gunakan mengatur strategi.

Jika betul ada kajian oleh tiga pusat kajian Pas , sila bentangkan. Tak perlu hendak mendabik dada jika sebenarnya, Pas tiada kajian pun hendak dibentangkan.

Pemimpin Pas ini juga mendakwa kajian yang dijalankan adalah kajian akar umbi, rumah ke rumah. Mungkin pemimpin Pas ini nak bagi tahu cula yang biasa dilakukan oleh orang-orang Pas atau oleh Ketua 10.

Tak perlulah hendak bermegah-megah dengan culaan ini. Bagi yang tak pernah berada dalam Pas bolehlah nak gebang tapi bagi yang pernah berada dalam Pas , minta maaflah.

Culaan ini hanya berkesan jika petugas Pas benar-benar bersungguh-sungguh melaksanakan culaan ini bukan sekadar mengisi kertas culaan tanpa turun ke medan.

Hanya di kawasan-kawasan yang akar umbi Pas bergerak , culaan ini berhasil diperoleh. Namun, kebanyakan kawasan Pas tidak mempunyai petugas yang benar-benar mampu melaksanakan culaan ini.

Tambahan pula sekarang, orang Pas yang ramai hanya hebat melaungkan ucapan istiqamah , bila diajak buat kerja parti jawapannya ‘isteridirumah

Akhirnya, yang berlaku adalah culaan rambang atau yang paling teruk berlaku ialah cula ayam. Apa dia cula ayam? Cula ayam ialah pengundi yang menerima anak ayam yang Pas sumbang dikira undi bulan.

Bukan Pas sahaja yang melakukan cula , semua parti melakukannya. Umno pun buat kerja cula mengggunakan KEMAS, JASA , JKKK dan sebangainya. Jadi, tak perlulah pemimpin Pas ini menyamakan kerja-kerja cula ini dengan kajian.

Sempurnanya taubat Maiz bin Malik



Maiz bin Malik merupakan seorang lelaki daripada puak Aslam yang bertubuh rendah dan tegap. Dia seorang anak yatim di bawah jagaan Hazzal. 

Pada suatu hari, Maiz bin Malik melakukan zina dengan seorang gadis yang tinggal di persekitaran tempat tinggalnya. 

Lalu, Hazzal menyuruhnya, "Pergi laporkan apa yang engkau lakukan kepada Rasulullah SAW. Semoga Baginda dapat memohon kemaafan buatmu."

Maiz bin Malik pergi bertemu dengan Rasulullah di dalam masjid dan berkata, "Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan zina, sucikanlah diri ini." Rasulullah menjawab, "Kasihannya kamu! Pulanglah, minta ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya."

Belum jauh Maiz bin Malik pergi, dia kembali kepada Rasulullah dan merayu sekali lagi, namun Rasulullah tetap mengarahkan perkara yang sama terhadapnya. 

Monday, March 20, 2017

Tulahan : Kekal berjuang, terus berdakwah tidak menghukum

Salam,
Hari ini dah masuk pertengahan Mac, penulis cuti ada masa nak menulis tentang dakwah di kampung dan perjuangan bersama parti baru.
Sudah hampir tiga tahun penulis berdakwah ajak orang kampung solat, ajak orang kampung solat jamaah di surau. Dalam tempoh itu, ada ketika ramai yang ke surau, ada ketika kurang, paling ramai pun berjamaah di surau hanya 12 orang pada waktu Isyak.
Ada yang kekal solat lima waktu dan kekal solat jamaah di surau, ada yang tidak boleh capai lima waktu tapi masih datang berjamaah di surau. Ada yang kerap datang ke surau kemudian tidak datang dalam tempoh yang lama.
Namun , bila masuk tahun 2017, ada seorang kawan penulis anak arwah imam tua balik duduk di kampung. Kawan ini datang solat di surau dan bagi beberapai dea kepada penulis untuk menarik orang kampung ke surau.
Penulis sokong dan terima idea dia. Walaupun kemampuan agamanya kurang tetapi dia rajin melaksanakan idea ini. Usaha ini dibantu pula dengan seorang kawan yang juga balik duduk di kampung. Kawan ini pula tinggal hampir dengan surau. Jadi surau ini pasti akan sentiasa berjamaah walaupun penulis tiada kerana dia boleh jadi imam jika tiada yang boleh jadi imam.
Akhirnya, usaha kami bertiga ini menampakkan kejayaan yang amat ketara. Orang kampung dan anak muda kampung ramai yang datang ke surau. Jamaah waktu Subuh kadang-kadang capai lebih 12 orang. Paling ramai pada waktu Isyak , jamaah kadang-kadang capai hampIr 30 orang sehingga tak cukup satu saf . Dah jadi macam sembahyang tarawih bulan Ramadhan.
Penulis tetap meneruskan mengajar setiap hari selepas Maghrib dan penulis ulang semula mengajar bab solat kerana yang mendengar sudah ramai. Banyak ilmu yang mereka belajar tentang solat , tentang masbuk , tentang kesalahan solat, tentang solat jamaah, solat-solat sunat. Paling akhir ada kematian di kampung. Sudah ramai yang boleh dan berani solat jenazah.

Sunday, March 19, 2017

Wasiat Rasulullah kepada Abu Zar Al Ghifari

Abu Zar Al Ghifari adalah seorang sahabat Rasulullah yang terdekat dan amat mesra dengan beliau. Ia menyebut Rasulullah lain dari sahabat yang lain, menyebut beliau dengan sebutan "Khalili" (sahabatku yang akrab). Abu Zar menonjol dalam keikhlasannya berjuang, dan ia sangat cinta dan sayang kepada kaum fakir miskin, dan kerana itu ia sering disebut sebagai bapa kaum fakir miskin.


Sikap Abu Zar dalam menyampaikan dakwahnya dengan peringatan-peringatan di masa hidupnya. Beliau tetap bicara di depan umum sesuai dengan fungsinya sebagai ulama, yakni menyatakan kebenaran di mana saja. tidak mengira masa dan terhadap siapa sahaja tanpa mengenal ruang dan waktu, tanpa terpengaruh dengan kondisi dan situasi.

Dan sebagai salah seorang dari Sahabat Rasulullah saw, dengan keberanian dan kejujurannya yang menonjol, Abu Zar berkata kepada para penguasa waktu itu. 

"Sekiranya kamu meletakkan pedang terhunus di leherku untuk mencegah aku dari mengucapkan kata-kata yang pernah aku terima dari Nabi Muhammad saw. Nescaya aku akan terus juga berbicara, walaupun leherku akan putus."

Kalau kita mengikuti bagaimana caranya Rasulullah membina Abu Zar sehingga ia merupakan kader pelapis perjuangan dan sahabat kesayangan Rasulullah berani dan matang, tentulah kita tidak akan merasa hairan bila kita melihat sikap, akhlak dan keberanian Abu Zar.

Pada suatu ketika yang lapang, Rasulullah mengajak Abu Zar berjalan-jalan keluar kota dengan mengenderai unta. Abu Zar membonceng di belakang Rasulullah saw. Di waktu saat yang tenang dan harmoni itulah Rasulullah saw menyampaikan wasiat-wasiat atau beberapan pesanan beliau sambil membina Abu Zar secara khusus itu.

Rasulullah saw membinanya supaya hidup sederhana, yakni di kala keduanya berada di dekat gunung Uhud yang terkenal dalam sejarah Islam itu. Nabi Muhammad saw berkata kepadanya:

"Andaikata gunung Uhud itu menjadi emas dan meminta supaya aku memilikinya, pasti aku menolaknya."

Dan dengarlah selanjutnya keterangan Abu Zar sendiri tentang pesan Rasulullah saw kepadanya. Di antaranya Rasulullah saw telah memerintahkan kepadaku 7 perkara iaitu:-
  1. Ia memerintahkan aku untuk mencintai dan mendekati kaum fakir miskin;
  2. Ia memerintahkan aku untuk memandang kepada orang yang dibawah aku (dalam urusan dunia) dan tidak memandang kepada orang yang diatasku.
  3. Ia memerintahkan aku menghubungkan tali kasih-sayang sekalipun aku telah membelakanginya.
  4. Ia memerintahkan aku untuk tidak meminta sesuatu apapun kepada seseorang.
  5. Ia memerintahkan aku untuk tidak menaruh takut dalam berjuang pada jalan Allah terhadap reaksi celaan kaum reaksioner.
  6. Ia memerintahkan aku untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit.
  7. Dan ia memerintahkan aku supaya banyak mengucapkan kalimah "La haula wala quawata illa billah."  Kerana semua itu adalah simpanan yang terletak di bawah arasy.
Demikianlah antara lain pesanan Rasulullah sebelum beliau meninggal dunia, untuk membina para sahabatnya agar berjiwa besar, memiliki iman yang murni, sebersih-bersih tauhid dan keberanian moral yang tinggi dalam melanjutkan dakwah dan jihad beliau.

Abul Aswad Adduali berkata: "Ketika saya tiba di Arrabdzah (tempat pengasingan Abu Zar), maka saya pergi ke tempat Abu Zar (Jundub Bin Junadah), ra. maka ia berkata kepadaku, pada suatu hari saya bertemu dengan Nabi Muhammad saw di Masjid sendirian, tidak ada seorang pun selain Rasulullah maka saya berkata:

"Nasihatilah aku suatu wasiat, semoga Allah menjadikan manfaat bagiku." Jawab Nabi Muhammad, "baiklah dan semoga kau tetap mulia."

"Hai Abu Zar, sesungguhnya kau dari keluargaku, dan aku akan berwasiat kepadamu, maka ingat-ingatlah, kerana wasiat ini menghimpun segala kebaikan dan pelaksanaannya. Apabila kau jaga dan kau perhatikan nescaya kau akan mendapat dua bahagian pahala yang besar."

Cara Beribadah
Hai Abu Zar, sembahlah Allah seolah-olah engkau melihat kepada-Nya. Maka bila nyata engkau tidak melihat Allah, maka yakinlah bahawa Allah melihat engkau.

Sunday, January 1, 2017

Tulahan : Setahun bersama parti baru

Salam,


Hari ini dah masuk 1 Januari 2017, usia sudah semakin bertambah. Semalam baru selesai proses lebih 50 ahli baru parti baru untuk bulan Disember. Sama macam parti lama, penulis urus kemasukan ahli baru dan penubuhan cawangan untuk parti baru.

Berbeza dulu ahli sudah sedia ada, kini kena usaha cari ahli baru untuk tubuh cawangan. Semasa dalam parti lama penulis usaha tubuh dari 30 cawangan sedia ada kepada 54 cawangan dalam masa 7 tahun.

Tak tahulah kini status cawangan-cawangan dalam parti lama. Berjumpa juga dengan beberapa orang ajk cawangan parti lama. Mereka ok ja bersembang walaupun tahu penulis dah masuk parti baru. Mereka bagi tahu masalah cawangan, masalah tiada yang ambil tahu macam yang dibuat penulis dulu.

Penulis bagi tahu, mereka tidak boleh harap semua orang macam penulis. Penulis minta mereka  usaha sendiri jangan terlalu bergantung kepada kawasan. Dalam ramai-ramai yang jumpa hanya ada sorang yang macam nak marah, angkat tangan kepada dia pun buat tak nampak. Penulis tak kisah pun, biarlah dekat dia kerana tanggungjawab penulis dah selesai.

Mungkin selama dia dalam parti lama tak pernah dengar hukum memutuskan silaturahim. Rugilah berjuang dalam parti berjuang agama tapi disaluti dosa besar memutuskan silaturahim. Tidak boleh salah dekat dia sebab ada pemimpin besar mengajar akhlak buruk itu

Muawiyah, insan terpalit fitnah

 
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

" Islam itu ibarat sebuah kota yang dipagari tembok yang memiliki satu pintu. Fitnah tidak akan menimpa Islam selagi pintu itu masih tertutup, dan aku khuatir apabila pintu itu terbuka, fitnah akan menimpa Islam."

Umar Ibnu al-Khattab bertanyakan apakah pintu itu? Namun baginda tidak menjawab. Kemudiannya beliau menemui Ali Ibnu Abi Thalib bagi bertanyakan soalan yang sama. Ali Ibnu Abi Thalib kemudiannya menjawab: " Wahai Umar, engkaulah pintu itu! Terbukanya pintu itu adalah apabila engkau wafat."

Ternyata hadis baginda Rasulullah S.A.W benar-benar terjadi. Selepas Khalifah Umar Ibnu al-Khattab syahid, umat Islam dilanda keresahan dalam mencari pengganti sehinggalah Uthman Ibnu Affan dibai'ah sebagai khalifah seterusnya.

Kemuncak fitnah berlaku pada enam tahun terakhir pemerintahan Khalifah Uthman sehingga membawa kepada pembunuhan beliau. Fitnah ini seterusnya menggelapkan sisi sejarah peribadi dua tokoh Bani Umayyah iaitu khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan dan Khalifah Yazid Bin Muawiyah.

Wednesday, December 14, 2016

Tulahan : Agihan kerusi di Perak, DAP perlu berkorban

Salam,


Politik perkauman yang dimainkan oleh Umno di Perak sangat memberi kesan kepada majoriti pengundi Melayu terutama selepas kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menang pada tahun 2008. Kebencian kepada DAP begitu ketara ditiupkan walaupun penjelasan deni penjelasan diberikan oleh pemimpin PR dan sekarang PH.

Kesannya dapat dilihat pada PRU 13 , dimana undi Melayu kepada PR menurun dan parti pembangkang lain selain DAP tidak berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU 12. Akhirnya, PR gagal membentuk kerajaan hanya kerana kekurangan 3 kerusi daripada BN.

Terkini, sudah disebarkan di kampung-kampung oleh jurukempen Umno bahawa DAP akan terus menguasai pemerintahan walaupun PH+BERSATU menang kerana DAP mempunyai 18 kerusi lebih daripada parti pembangkang lain.

Walaupun Menteri Besar yang dilantik bukan dari DAP, tapi kerajaan yang dibentuk dikuasai DAP yang mempunyai 18 kerusi DUN. Propaganda ‘Boneka DAP’ akan terus dikemundangkan oleh Umno/BN dalam PRU 14 ini jika keadaan kedudukan kerusi yang dimiliki masih kekal.

Propaganda jahat UmnoBN ini perlu dimatikan sebelum PRU 14 ini . Agihan kerusi PH+BERSATU yang seimbang antara keempat-empat parti ini di Perak. Purata kerusi yang seimbang iaitu 15 kerusi untuk setiap parti daripada 59 kerusi perlu dilaksanakan.

Pengagihan kerusi ini memerlukan pengorbanan DAP menyerahkan 3 kerusi yang dimenanginya. Juga memerlukan pengorbanan AMANAH yang mengantikan posisi Pas. AMANAH juga perlu berkorban dengan menyerahkan 2 kerusi yang dimenangi Pas pada PRU 13 serta 3 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti di bawah 1100 undi.

AMANAH perlu menyerahkan 5 kerusi tersebut iaitu Gunung Semanggol, Selinsing, Selama (619), Kubu Gajah (1085) dan Lubuk Merbau (53) kepada BERSATU dan PKR. Manakala DAP perlu menyerahkan 3 kerusi yang mempunyai jumlah pengundi Melayu+India lebih 35% kepada AMANAH.

Kisah ahli maksiat mendapat pengampunan dari Allah

 
Dari Ibnu Masud Rasulullah SAW bersabda : “Seorang yang hina yang mengharapkan rahmat Allah lebih dekat kepada Allah daripada Seorang Ahli Ibadah yang putus asa (dari rahmat Allah)”

   Dikisahkan dari Zaid bin Aslam dari Umar, ada seorang lelaki dari ummat-ummat terdahulu yang sangat bersungguh-sungguh dalam ibadah untuk dirinya sendiri tetapi lelaki tersebut pernah membuat seseorang menjadi putus asa terhadap rahmat Allah kemudian lelaki ini meninggal dunia.

   Lelaki ini kemudian bertanya kepada Allah : Wahai Tuhanku,apa yang aku dapatkan disampingmu???”, Allah menjawabnya : “Bagimu adalah Neraka”. Merasa tak percaya kemudian lelaki ini bertanya kembali: “Wahai Tuhanku, Bagaimana dengan ibadahku dan kesungguhanku???”. Allah menjawab : “Sesungguhnya kamu telah membuat manusia menjadi putus asa terhadap rahmatku ketika di dunia, maka Aku sekarang akan membuatmu putus asa dari rahmatKu”.

   Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, dari Nabi Muhammad SAW :Ada seorang lelaki yang tidak pernah berbuat baik sama sekali kecuali dengan membaca Syahadat. Ketika kematian datang kepadanya dia berpesan kepada keluarganya: “Ketika aku mati nanti maka bakarlah aku dengan api sampai tinggal berupa debu kemudian taburkan ke lautan bersama dengan angin” keluarganya pun menjalankan wasiat itu.

Tuesday, December 6, 2016

Tulahan : Pembahagian kerusi Pakatan Harapan di Kedah, cadangan untuk PRU 14

Salam,

PRU 14 semakin hampir, ramai meramalkan akan berlaku pada tahun 2017 . Maksudnya sudah terlalu hampir, namun pakatan pembangkang masih caca merba disebabkan terlalu berharap kepada Pas.

PKR dan Bersatu masih mengharapkan Pas menyertai pakatan pembangkang untuk menghadapi BN dan mengelakkan pertandingan 3 penjuru. Pas pula semakin sombong dan angkuh untuk menghadapi PRU 14 secara bersendirian.

BN pula walaupun sudah lemah masih boleh bernyawa setelah rancangan memecah pembangkang melalui Pas menampakkan hasil lumayan. Sampai hari ini, tiada keputusan mutlak mengenai kedudukan pembangkang yang bakal wujud untuk menghadapi BN.

Pandangan penulis , Bersatu perlu memberi keyakinan kepada rakyat dengan menyertai Pakatan Harapan . Penyertaan Bersatu dalam Pakatan Harapan akan mengukuhkan pakatan pembangkang walaupun tanpa Pas.

Penentuan satu logo, manifesto dan pembahagian kerusi perlu diselesaikan diantara semua parti dalam Pakatan Harapan. Biarkanlah Pas bersendirian kerana pertandingan sebenar dalam PRU 14 adalah antara Pakatan Harapan dan BN.

Penulis akan memberi cadangan agihan kerusi parti-parti dalam Pakatan Harapan untuk beberapa buah negeri. Cadangan ini dibuat hasil tinjauan kekuatan parti-parti dalam Pakatan Harapan serta rujukan parti bertanding semasa PRU 13.

Monday, November 28, 2016

Dari musuh kepada kekasih yang mendapat redha Allah


Dari ‘Aisyah rah., dia berkata, bahawa Rasulullah saw. bersabda : “Orang yang dermawan dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dari neraka. Sedangkan orang yang kedekut jauh dari Allah, jauh dari makhluk, jauh dari syurga dan dekat dengan neraka. Dan orang bodoh yang dermawan lebih dicintai oleh Allah daripada orang ‘alim (berilmu) yang kedekut.


Nabi saw. bersabda : “as-Sakha’u (dermawan) adalah nama pohon di dalam syurga yang batang-batangnya menjulur hingga sampai di dunia dan barangsiapa yang mengambil batang darinya, maka ia akan dituntun menuju syurga. Sedangkan al-Bukhlu (kedekut) adalah nama pohon di dalam neraka yang batang-batangnya menjulur hingga sampai di dunia dan barangsiapa yang mengambil batang darinya, maka ia akan dituntun menuju neraka.

Berkenaan dengan penjelasan dua hadis di atas, ada sebuah kisah tentang penyembah api yang bernama Bahram al-Majusi yang mendapatkan salam dari Nabi saw. dan mendapat redha dari Allah swt. Bahram al-Majusi sendiri tinggal di kota Baghdad, Irak. Berikut ini adalah kisah tentang Bahram al-Majusi (penyembah api) yang dijamin masuk syurga oleh Nabi saw. :

Abdullah bin Mubarak berkata : Pada suatu waktu, aku sedang melaksanakan ibadah haji di kota suci Mekkah. Kerana keletihan menunaikan ibadah di Masjidil Haram, lalu aku pun tertidur di Hijir Ismail. Tak disangka, aku bermimpi melihat Nabi saw. lalu memerintahkan kepadaku ‘Pulanglah ke Baghdad dan masuklah di kota ini dan carilah Bahram al-Majusi. Sampaikan salamku kepadanya dan katakanlah kepadanya, ‘Sesungguhnya Allah swt. redha kepadamu’.

Kemudian, aku terbangun lalu mengucap, ‘La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘adhim, ini mimpi dari setan’, gumamku dalam hati. Lalu aku berwudhu, solat dan tawaf di Ka’bah. Dengan kehendak Allah, aku tertidur kembali kerana keletihan dan bermimpi seperti mimpi yang pertama tadi sehingga tiga kali.

Monday, October 17, 2016

Tulahan : Biarkan Pas yang angkuh. PH+Bersatu boleh menang 3 penjuru

Salam,

Image result for lambang Pakatan Harapan dan pbpm

Semakin hampir Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14), semakin banyak analisis tentang PRU 14 yang dibuat. Politik Malaysia semakin bercelaru sama ada di pihak BN dan parti-parti pembangkang.

BN terutama Umno berhadapan krisis yang bertambah parah hari demi hari, ditambah pula dengan penubuhan Parti Bersatu dan Parti Warisan Sabah yang diusahakan Dato’ Shafie Afdal.

Bagaimanapun , perpecahan Umno gagal dimanfaatkan pembangkang yang masih berharap membentuk kesepakatan bertanding 2 penjuru namun tetap gagal. Umno dan BN yang sepatutnya boleh dikalahkan masih bernafas berikutan kegagalan parti-parti pembangkang membentuk gabungan yang kukuh.

Pas masih dengan sikap sombong untuk bersendirian dan membentuk pakatan baru yang diketuai parti berkenaan. Penubuhan Bersatu yang diharap dapat menyatukan pembangkang juga gagal memujuk Pas.

Semakin dipujuk , semakin kuat lagak Pas seolah-olah parti berkenaan sangat diperlukan dalam politik Malaysia. Parti-parti pembangkang juga terlalu mengharapkan Pas sehingga parti berkenaan semakin besar kepala.

Ramai pemerhati politik berpandangan dan Pas sendiri sering menyindir PKR mengharapkan Pas kerana parti berkenaan menghadapi masalah kurang petugas akar umbi . Mustahil , PKR yang sudah 15 tahun bertapak di Malaysia, sudahpun memerintah sebuah negeri masih mengharapkan bantuan petugas Pas untuk menghadapi pilihanraya. Adakah PKR tidak menumpukan kepada pembentukan akar umbi yang kuat selepas PRU 13?

Bersatu pula memerlukan Pas kerana pengalaman Pas yang sudah lama di persada politik negara. Berdasarkan sambutan hebat yang diterima dari parti Bersatu di seluruh negara, parti ini dijangka tidak menghadapi masalah dengan petugas akar umbi.

Berbeza dengan parti Amanah, pada peringkat awal penubuhannya, parti ini sangat mengharapkan Pas menyertai gabungan pembangkang bagi mengelak pertandingan 3 penjuru. Namun , apabila sudah setahun ditubuhkan harapan Amanah kepada Pas semakin mengurang berikutan penambahan kekuatan parti berkenaan termasuk di peringkat akar umbi.

Penulis mengambil contoh kawasan penulis, pada peringkat awal pimpinan Amanah kawasan hanya mahu bertanding parlimen sahaja , satu kerusi DUN lagi mahu diserahkan kepada Pas sahaja. Namun, apabila sudah ramai ahli kawasan, sudah banyak cawangan ditubuhkan . Pimpinan Amanah kawasan bukan sahaja mahu bertanding parlimen malah kerusi DUN termasuk kerusi DUN milik PKR jika PKR setuju menyerahkan kepada Amanah.

Saturday, October 15, 2016

Tulahan : Angahnya dalam kenangan

Salam,

Image result for kubur

Pada minggu pertama Hari Raya Haji , seorang yang penulis kenal rapat telah pergi buat selama-lamanya. Pemergian Angah begitu mengejutkan kerana tidak dengar dia sakit , tiba-tiba sahaja ada sahabat harummanis whatsApps bagi tahu Angah dah tiada kerana serangan jantung.

Sedih bila tahu Angah dah tiada, macam tak percaya. Kebetulan penulis ada di rumah mertua di Pantai Timur. Tidak dapatlah penulis nak balik , hanya bacaan Al-Fatihah dan doa yang dapat penulis sedekahkan kepada arwah.

Penulis rapat dengan Angah kerana sama-sama buat kerja cari dana lujnah kebajikan , sama-sama cari dana markas. Angah tidak sama macam orang lain, tak banyak cakap tapi kerja jalan. Panggil je mesyuarat, orang lain bagi macam-macam alasan tak datang tapi Angah pasti datang. Sebab itu penulis senang bekerja dengannya.

Kali terakhir penulis jumpa Angah semasa ceramah pelancaran parti baru di kawasan penulis . Walaupun Angah Ajk parti lama,  Angah datang untuk mendengar ceramah berkenaan. Angah pernah bagi tahu penulis yang dia tidak setuju dengan sikap sesetengah pimpinan melabel mereka yang menyertai baru.

Sunday, September 11, 2016

Tulahan : Al-Fatihah buat ayah

Salam,

Image result for al fatihah

Esok umat Islam menyambut Aidil Adha. Aidil Adha tahun ini , pertama kali penulis dan keluarga beraya tanpa ayah bersama di dunia ini. Terasa sedih bila teringatkan ayah. Sudah dua minggu ayah pergi buat selama-lamanya.

Jumaat hari itu, hari terakhir ayah membuka mulut dan matanya. Selepas solat subuh solat terakhir ayah, keluar dari bilik ayah rebah di sofa. Penulis terus pergi kepadanya bertanya, ayah tidak menjawab  sudah tidak mampu bergerak . Penulis papah dan angkatnya letak atas katil, ayah terus tidak membuka mulut dan mata.

Sampai hari ini, penulis rasa bersalah kerana tidak tahu bahawa ayah diserang stroke . Penulis telefon kakak suruh datang tengok ayah kerana ayah tak mahu bercakap dan buka mata , penulis nak pergi kerja. Penulis telefon abang bagi tahu keadaan ayah.

Dalam kepala penulis pada masa itu, ayah mungkin sedang tidur sebab keadaannya macam tidur dengan mulut dan matanya tertutup. Tidak terlintas bahawa ayah kena stroke, tak teringat langsung bahawa ayah pernah kena minor stroke tujuh tahun lepas.

Penulis masih rasa bersalah kerana penulis pentingkan kerja sehingga tinggalkan ayah dengan emak dalam keadaan begitu sehingga kakak datang. 

Bila penulis telefon kakak tanya keadaan ayah, kakak bagi tahu ayah masih tidak buka mulut dan mata. Kakak bagi tahu abang penulis agak ayah kena stroke dan dia dalam perjalanan dari tempat kerja untuk bawa ayah ke hospital.

Bermain pertanyaan di kepala , kenapa penulis tak bawa ayah terus ke hospital? Kenapa penulis masih nak pergi kerja ?. Bila teringat bahawa itu semua ketentuan Allah, penulis redha. Allah dah tentukan abang penulis yang bawa ayah ke hospital.

Selama seminggu ayah di hospital , doktor pun dah maklum keadaan bahawa ayah tidak ada harapan untuk disembuhkan. Kami adik beradik bergilir menjaga ayah di hospital sehinggalah ayah menghembus nafas yang terakhir.

Masa itu, penulis baru selesai solat Isyak di surau hospital. Bila penulis sampai, abang bagi tahu keadaan ayah semakin tenat. Penulis terus suruh abang ajar ayah mengucap, jangan tinggal. Penulis bagi tahu nurse keadaan ayah . Penulis dan abang berterusan ajar ayah mengucap , penulis ambil HP telefon abang bagi tahu emak dan adik beradik lain supaya segera ke hospital.

Habis telefon, terus bersama abang ajar ayah mengucap. Kali ini hidung penulis yang tersentuh di muka ayah terasa lembut, tak sama ketika penulis menciumnya semasa ayah sedang sakit. Pada masa itulah, ayah menghembus nafasnya yang terakhir. Doktor datang periksa ayah dan sahkan ayah sudah tiada lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...