Pendahuluan
Imam Ahmad bin Hanbal merupakan imam yang
terakhir daripada rangkaian fuqaha pengasas empat mazhab yang masyhur. Beliau
lahir lebih lewat daripada ketiga tiga rakannya iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki,
dan Imam Syafie. Ketika kelahiran beliau, mazhab mazhab lain sudah pun tersebar ke
pelusuk dunia. Hasil usaha dan kegigihan beliau, beliau berjaya menyebarkan
mazhabnya sendiri kepada seluruh masyarakat dunia khususnya masyarakat di tanah
Arab.
Namun begitu, bukanlah niat Imam Ahmad bin Hanbal untuk melawan atau
mengalahkan mazhab mazhab lain yang sedia ada,
tetapi kerana keyakinan beliau bahawa ijtihad nya lebih tepat dan lebih
hampir kepada apa yang dikehendaki oleh Allah dan rasul, maka beliau berusaha
menyebarkan pendirian beliau itu. Selain daripada pengasas mazhab Hanbali,
beliau juga berperanan sebagai imam Darul Salam, mufti di Iraq, dan juga ahli
hadis yang zuhud, soleh serta sabar dalam menghadapi pelbagai dugaan.
Ahmad bin Hanbal hidup dalam zaman
pemerintahan bani Abbasiyah. Pada ketika ini, pengaruh Parsi masih berleluasa
dan perebutan kuasa sering terjadi. Dan pada masa itu juga lah golongan
Muktazilah giat memperkembangkan ideologi mereka yang aneh. Maka dengan sebab
itu, perkembangan ilmu islam berlaku dengan begitu pesat sekali. Dan pada
ketika inilah Imam Ahmad bin Hanbal giat mempelajari ilmu hadis. Beliau sanggup
mengembara ke seluruh pelosok negeri di timur, barat, utara, dan selatan negeri
semenanjung bumi Arab demi untuk mendalami ilmu agama terutamanya untuk
mendapatkan hadis hadis nabi yang sahih yang tersebar di serata tanah Arab.
Berkat dari kesungguhannya itu,
diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal telah menghafal berjuta juta hadis
sepanjang hidupnya. Ini menunjukkan betapa bersungguhnya beliau dalam mencari
kebenaran dengan daya usahanya sendiri. Bahkan dengan keilmuan beliau juga,
mazhab Hanbali telah diletakkan sebaris dengan mazhab-mazhab masyhur yang lain
seperti mazhab Syafie, Maliki, dan Hanafi. Beliau juga dianggap sebagai seorang
mujaddid, setaraf dengan Imam Syafie dan Nasa’i
Kelahiran Dan Keturunan Imam Ahmad Bin Hanbal
Nama penuh beliau adalah Abu Abdullah
Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Habban
bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Mazin bin Syaiban bin Zahal bin
Tha’labah bin Akasyah bin Sha’ab bin Ali bin Bakar bin Wail bin Qasyid bin
Hanab bin Aqsi bin Da’mi bin Jadilah bin Asad bin Rabiah bin Nizar bin Ma’ad
bin Adnan.. Keturunan Imam Ahmad bertemu dengan keturunan Rasulullah s.a.w pada
Mazin bin Ma’ad bin Adnan.
Beliau dilahirkan di Baghdad setelah ibu
bapanya berpindah dari Kota Murwa. Tarikh kelahiran beliau ialah pada 20 Rabiul
Awal tahun 164 Hijrah bersamaan dengan tahun 780 Masihi. Pada ketika itu, Imam
Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi telah pun meninggal dunia kira kira 14
tahun yang lalu. Imam Malik pada ketika itu berusia 71 tahun manakala Imam
Syafie baru berusia 14 tahun.
Imam
Ahmad lebih dikenali dengan nama datuknya, Hanbal, kerana datuknya adalah
seorang gabenor yang amat masyhur di Khurasan ketika pemerintahan kerajaan Bani
Umayyah. Manakala ayah kandung Imam Ahmad iaitu Muhammad pula adalah adalah seorang
tentera Bani Hasyim. Beliau meninggal dunia pada usia yang masih muda iaitu 30
tahun. Oleh itu, Imam Ahmad dipelihara oleh ibunya yang bernama Safiyyah binti
Maimunah binti Abdul Malik bin Sawadah bin Hindun Assyaibani. Kedua ibu dan
bapanya merupakan arab asli dari suku Syaiban. Kebanyakan suku Syaiban menetap
di Basrah. Oleh sebab itulah, Imam Ahmad juga digelar Al-Basri.
Oleh kerana beliau dibesarkan oleh ibunya
sahaja, Imam Ahmad sangat memuliakan dan
menghormati ibunya. Pernah suatu ketika, beliau diserang demam panas ketika
dalam perjalanan menuju ke Kufah untuk menuntut ilmu. Lalu beliau pulang dengan
segera ke Baghdad untuk memohon maaf dan meminta izin daripada ibunya.
Menurutnya, beliau terlupa untuk meminta izin daripada ibunya ketika keluar.
Demikianlah peribadi Imam Ahmad, beliau percaya bahawa restu daripada seorang
ibu itu amatlah penting sebelum melakukan apa apa pekerjaan.
Kehidupan dan Pendidikan Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal dibesarkan dalam
keadaan yang serba kekurangan. Beliau telah kehilangan seorang ayah sejak kecil
lagi. Ayahnya hanya meninggalkan sebuah
rumah kecil dan sebidang tanah. Oleh itu beliau terpaksa melakukan pelbagai
jenis pekerjaan untuk menyara dirinya dan membeli peralatan untuk menuntut
ilmu. Di antara pekerjaan yang pernah dilakukan oleh Imam Ahmad adalah seperti
tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain serta membawa barang-barang.
Beliau amat mementingkan usaha sendiri serta rezeki yang halal.
Diceritakan bahawa, ketika dalam
perjalanan menuju ke Yaman untuk menuntut ilmu, beliau terpaksa mengambil upah
mengangkut barang barang bersama hamba hamba suruhan. Dengan sedikit wang yang
diperoleh itulah beliau berjaya sampai ke Yaman tanpa menerima sebarang
pertolongan daripada orang lain. Imam Ahmad juga dikenali sebagai seorang yang
zuhud. Beliau sanggup berada di dalam kesempitan wang demi untuk memberi sepenuh
tumpuan dalam mencari ilmu.
Perjalanan Dalam Menuntut Ilmu
Kota Baghdad, iaitu tempat kelahiran dan
tempat tinggalnya Imam Ahmad sememangnya sebuah kota yang agung. Ianya muncul
sebagai sebuah kota ilmu pengetahuan dan kota tamadun yang termaju di dunia,
mengalahkan negara-negara Eropah pada ketika itu. Pemerintahan Khalifah Harun
Ar-Rasyid di bawah kerajaan Bani Abbasiyah telah menjadikan kota Baghdad
semakin meningkat maju dan makmur terutamanya di dalam medan pembangunan
infrastruktur dan kemajuan ilmu pengetahuan. Kitab-kitab terkenal yang dikarang
oleh bangsa-bangsa yang telah maju seperti Yunani, India, Parsi dan Mesir telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh pakar-pakar penterjemah.
Dengan perkembangan ilmu yang berlaku
ini, Imam Ahmad tidak melepaskan peluang untuk mendalami ilmu agama. Bermula
pada umur 14 tahun, Imam Ahmad mula mempelajari ilmu nahu dan juga ilmu
mengarang. Pada masa yang sama juga, beliau mula menghafal Al-Quran. Setelah
mahir di dalam ilmu bahasa dan menghafal keseluruhan Al-Quran, beliau mula menghadiri
majlis-majlis para ulama di sekitar kota Baghdad.
Pada awal pengajiannya, Imam Ahmad beliau
menuntut ilmu daripada Imam Abu Yusuf, seorang ulama’ yang hebat daripada aliran
ahli akal. Setelah seketika, beliau berpindah dan belajar pula dengan Imam
Husyaim bin Basyir Al-Wasiti, ulama’ dari aliran ahli hadis. Beliau menumpukan
pengajiannya dengan Imam Husyaim. Imam Ahmad lebih terpengaruh kepada aliran
ahli hadis berbanding dengan ahli akal. Pada tahun 179 H, iaitu ketika masih
berumur 15 tahun, beliau sudah mula mengumpul hadis sedikit demi sedikit.
Setelah umurnya melonjak kepada 16 tahun, beliau mula menghadiri majlis-majlis
ilmu para ulama’ hadis di sekitar kota Baghdad. Beliau menghafal hadis-hadis
yang diperolehnya serta mencatat semua hadis terseut di dalam buku catatannya.
Imam Ahmad merupakan seorang yang sangat
mencintai ilmu. Di samping ilmu hadis, beliau juga menuntut ilmu-ilmu seperti
qiraat, ilmu nahu dan sorof, ilmu balaghah, ilmu fikah, ilmu tasawuf, ilmu
sirah nabi dan para sahabat, ilmu ijma’ para sahabat dan tabi’in dan
bermacam-macam ilmu lagi. Kesemua ilmu-ilmu ini dipelajari Imam Ahmad daripada
ulama’-ulama’ di kawasan Iraq bermula dari tahun 179 H sehinggalah tahun 183 H.
Setelah kematian gurunya, iaitu Imam
Husyaim bin Busyair al-Wasiti, Imam Ahmad memutuskan untuk menuntut ilmu di
luar kota Baghdad pula. Beliau bercita-cita untuk mengumpulkan sebanyak mungkin
hadis-hadis baginda S.A.W daripada ulama’-ulama’ muktabar di luar sana. Tempat
pertama yang ditujui oleh Imam Ahmad ialah Kufah. Beliau berada di sana selama
3 tahun iaitu sehingga tahun 186 H. Selepas itu, beliau berhijrah pula ke kota
Basrah dan menetap di sana selama setahun. Ketika umurnya mencecah 23 tahun,
Imam Ahmad menuju pula ke kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Disinilah
beliau bertemu dengan Imam Syafie. Ketika itu Imam Syafie mengajar di Masjidil
Haram.
Imam Ahmad mengembara ke seluruh tanah
arab dalam jangka masa 21 tahun, iaitu bermula dari 183 H, sehinggalah tahun
201 H, iaitu setelah beliau berusia 40 tahun. Banyak lagi tempat yang telah
dikunjungi oleh Imam Ahmad untuk menimba ilmu seperti Madinah, Yaman, Farsi dan
lain-lain. Kesemua destinasi ini menjadi tempat tujuan Imam Ahmad demi untuk
mengumpul hadis-hadis Nabi S.A.W yang banyak tersebar di serata dunia.
Guru-Guru Imam Ahmad
Dengan menjadikan kaedah pengembaraan
sebagai salah satu cara untuk menimba ilmu, tidak dapat dinafikan lagi, Imam
Ahmad berguru dengan ramai ulama’-ulama’ yang terkemuka. Daripada kota Baghdad
sehinggalah ke seluruh tanah arab beliau mengembara demi minatnya untut
mendalami dalam bidang agama.
Di antara guru Imam Ahmad yang masyhur ialah
Imam Abu Yusuf. Imam Abu Yusuf merupakan salah seorang daripada murid Imam
Hanafi. Beliau merupakan seorang yang ahli di dalam bidang fikah dan hadis.
Seterusnya, Imam Ahmad berguru dengan
Imam Husyaim bin Basyir. Imam Husyaim merupakan seorang seorang ulama’ dari generasi
tabi’ tabi’in yang sangat berpengaruh di Kota Baghdad. Beliau juga merupakan
ulama’ hadis seperti Imam Abu Yusuf. Ramai orang meriwayatkan hadis dari beliau
oleh sebab ketokohannya dan ingatannya yang sangat hebat. Imam Ahmad sempat
berguru dengan beliau selama 4 tahun dan meriwayatkan lebih dari tiga ribu
hadis daripadanya. Ini ialah tempoh paling lama Imam Ahmad berguru dengan
seseorang ulama’.
Imam Syafie merupakan salah seorang guru
Imam Ahmad yang masyhur. Beliau bertemu dengan Imam Syafie ketika musim haji
pada tahun 187 H, di mana Imam Syafie menyampaikan kuliah-kuliahnya di Masjidil
Haram. Pada ketika itu umur Imam Ahmad berusia 23 tahun. Kali kedua Imam Ahmad
bertemu dengan Imam Syafie adalah ketika Imam Syafie berkunjung ke Baghdad
untuk menyampaikan ilmu di sana.
Imam Ahmad pernah bercita-cita untuk
menuntut ilmu daripada Imam Malik, namun tidak kesampaian kerana Imam Malik
telah meninggal dunia sebelum Imam Ahmad mula menuntut ilmu. Sebagai gantinya,
beliau menuntut ilmu hadis di Makkah daripada salah seorang tokoh besar dalam
bidang ini iaitu Imam Sufyan bin Uyainah.
Selain daripada tokoh-tokoh yang telah
disebutkan, Imam Ahmad juga menuntut ilmu daripada Imam Umair bin Abdullah,
Imam Abdur Rahman bin Mahdi, Imam Abu Bakar ‘Iyasi, Imam Ismail bin Aliyyah,
Imam Hammad bin Khalid, Imam Mansur bin Salamah, Imam Waqi’ bin Jarrah, Imam
Musa bin Tariq, Imam Yazid bin Harun, Imam Abudul Razzaq bin Humman, Imam Yahya
bin Qattan, Imam Abdullah bin Nuwaimir, Imam Muhammad bin Adi, Imam Muhammad
bin Yazid, Imam Abu Usamah, Imam Yahya bin Salim, Imam Yahya bin Zaidah, Imam
Mu’tamar bin Imam Sulaiman, Imam Abdul Rahman bin Mahdi, Imam Basyar bin
Al-Fadhal, Imam Muzaffar bin Mudrik, Imam Uthman bin Umar, Imam Wallid bin
Sulaiman, Imam Abi Masyar Al-Dimasyqi, Imam Ibnul Yaman, Imam Ruh bin Ubaidah,
Imam Mu’awiyah Al-Aziz, Imam Muhammad bin Bakar, dan Imam Abu daud Al-Sajalisi.
Daripada Seorang Murid Menjadi Seorang Imam
Setelah mempelajari pelbagai ilmu
daripada ramai ulama’-ulama’ yang terkemuka, Imam Ahmad mula menyampaikan ilmu
pada umur 40 tahun. Beliau mula mengajar di Masjid Jami’ yang terletak di kota
Baghdad. Maka berduyun-duyunlah orang ramai datang ke majlis ilmu beliau untuk
mempelajari ilmu hadis dan fikah mengikut mazhab Hanbali. Majlis pengajian
beliau dibahagikan kepada dua; umum dan khusus.
Majlis ilmu umumi diadakan selepas asar di masjid yang dihadiri oleh
ramai para penuntut ilmu. Manakala pengajian khusus diadakan di rumahnya
sendiri.
Kebanyakan murid-muridnya datang kepada
beliau untuk tujuan menuntut ilmu, ada yang meminta nasihat darinya, ada juga
yang hendak mempelajari adab dan akhlak beliau, bahkan ada juga yang hadir
untuk mengambil berkat sahaja. Imam Ahmad merupakan seorang yang tegas. Beliau
tidak pernah bergurau senda kerana beliau kurang gemar akan perkara itu.
Murid-Murid Imam Ahmad
Oleh sebab ketokohan dan keilmuan yang
ada pada Imam Ahmad, maka ramailah para pencinta ilmu datang dan menuntut ilmu
daripadanya. Ada di antara murid-murid Imam Ahmad yang akhirnya menjadi
tokoh-tokoh Islam yang terkenal juga. Di antara murid-murid Imam Ahmad ialah;
Yahya bin Adam, Abdul Rahman bin Mahdi, Yazid bin Harun, Ali bin Al-Madini,
Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Abu Zar’ah, Ar-Razi, Ibrahim
Al-Harbi, Abu Bakar Ahmad bin Hani’, Al-Atram, Muhammad bin Ishaq Al-Saghani,
Abu Hatim Al-Razi, Ahmad bin Al-Huwari, Musa bin Harun, Hanbal bin Ishaq, Usman
bin Said, Al-Darami, Hujaj bin Al-Syair, Abdul Malik bin Abdul Hamid
Al-Maimuni, Bakyi bin Makhlid Al-Andalusi, Ya’kub bin Syaibah dan ramai lagi.
Anaknya, Salih dan Abdullah juga menurut jejak langkah ayahnya dalam menguasai
bidang hadis.
Ramai murid-muridnya menuntut ilmu fikah
daripadanya serta membantu mengembang dan menyebarkan mazhab Hanbali keseluruh
pelosok dunia. Jasa-jasa mereka cukup besar di dalam membantu mazhab Imam Ahmad
bin Hanbal berdiri sebaris dengan mazhab-mazhab yang terdahulu.
Sumber-Sumber Asas Mazhab Hanbali
Terdapat 6 sumber asas yang digunakan
oleh Imam Ahmad di dalam mengistinbat hukum di dalam mazhabnya iaitu :
1. Al-Quran
2. Hadis Sahih dan Hadis Hasan
3. Fatwa para sahabat yang disepakati
4. Fatwa para sahabat yang tidak disepakati,
di mana beliau memilih yang hampir kepada kehendak Al-Quran dan Sunah mengikut
pemahaman beliau
5. Hadis Mursal dan Hadis Da’if
6. Qias
Kitab-Kitab Karangan Imam Ahmad
Karya Imam Ahmad yang paling masyhur
ialah Kitab Al-Musnad. Kitab ini merupakan himpunan hadis-hadis Rasulullah
sejumlah 40000 hadis. Imam Ahmad juga turut menghasilkan karya-karya lain
seperti Kitab Tafsir Al-Quran, Kitab Nasikh wa Mansuh, Kitab Al-Muqaddam wal
Muakhar fil Quran, Kitab Jawabatul Quran, Kitab al-Tarikh, Kitab Al-Manasikhul
Kabir, Kitab Al-Manasikus Saghir, Kitab at-Taatur Rasul, Kitab Al-Zuhd, Kitab
Al-Masa’il, Kitab Al-Fadhil, Kitab Al-Faraidh, Kitab Al-Manasik, Kitab Al-Iman.
Kitab Al-Asyribah, Kitab Al-Ra’du alal Jahmiyyah, Kitab Al-Ilal, Kitab
Al-Wara’I, Kitab Al-Salah, dan banyak lagi kitab-kitab lain
.
Karya Agung : Kitab Al-Musnad
Kitab Al-Musnad merupakan kitab hadis
yang paling besar yang telah dikarang oleh Imam Ahmad. Beliau mula mengarang
kitab ini setelah beliau mengembara ke seluruh pelosok negara arab. Beliau
telah berjaya mengumpulkan sejumlah hadis, iaitu kira-kira lebih dari sejuta
hadis sepanjang pengembaraannya itu.
Selepas melakukan proses penyaringan oleh
beliau sendiri, hanya 40000 buah hadis sahaja yang dimasukkan ke dalam kitabnya
itu daripada 750000 buah hadis yang telah dihafalnya. Di dalam 40000 buah hadis
yang dimasukkan, terdapat kira-kira 10000 hadis yang berulang-ulang. Kitab
inilah yang menjadi sumber rujukan Imam Ahmad di dalam membina hukum di dalam
mazhab yang diasaskan beliau, iaitu mazhab Hanbali.
Cara Imam Ahmad menyusun hadis-hadis di
dalam kitab ini ialah dengan mengikut nama-nama para sahabat bermula daripada
hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Bakar, kemudian diikuti pula dengan
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar, Uthman dan Ali. Hadis-hadis
ini turut disusun mengikut bab. Akhirnya, siaplah kitabnya yang sehingga
berpuluh-puluh jilid tebalnya.
Ketegasan Imam Ahmad Berhadapan Pemimpin
Pada zaman Imam Ahmad, terdapat satu
permasalahan yang sangat kerap dibincangkan, iaitu apakah Al-Quran itu bersifat
dengan sifat ‘Hadis’ (baharu) ataupun ia bersifat ‘Qadim’. Pemerintah pada
ketika itu yang berfahaman Muktazilah mendakwa bahawa Al-Quran itu bersifat ‘Hadis’.
Semua ulama’ pada ketika itu
diperintahkan supaya bersetuju dengan fahaman mereka itu. Namun, Imam Ahmad
tetap bertegas dengan pendapatnya bahawa Al-Quran itu bersifat dengan sifat
‘Qadim’ kerana ia merupakan kalam Allah S.W.T. Dan Kalam Allah itu merupakan
salah satu dari sifatNya yang ‘Qadim’ kerana zat Allah serta sifat-sifatNya
telah ada sejak azali lagi.
Oleh sebab ketegasannya itu, Imam Ahmad
telah ditangkap, diikat tangannya dan dibawa ke hadapan pemerintah pada ketika
itu iaitu Khalifah Al-Mu’tasim. Ternyata Imam Ahmad merupakan seorang yang
berani dan tegas. Beliau tetap dengan pendiriannya walaupun disoal di hadapan
pemerintah pada ketika itu. Dengan sebab itu, Imam ahmad dipukul dengan kuat
sehingga jatuh pengsan. Lalu beliau disumbat ke dalam penjara selama 2 tahun
setengah. Ketika di dalam penjara, beliau disiksa supaya mengubah pendiriannya
di dalam hal sifat Al-Quran itu tadi.
Beliau tetap berdegil. Akhirnya, beliau dibebaskan ketika pemerintahan
Khalifah Al-Watiq.
Khalifah Al-Watiq tidak melakukan
sebarang penyeksaan, tetapi beliau memerintahkan supaya Imam Ahmad dipulaukan
sehingga tidak dapat berhubung dengan masyarakat. Hukuman ini berlarutan
sehinggalah Khalifah Al-Watiq meninggal dunia.
Khalifah yang seterusnya, iaitu Khalifah
Al-Mutawakkil tidak menganut fahaman Muktazilah. Beliau memberhentikan segala
hukuman dan penyeksaan terhadap Imam Ahmad. Imam Ahmad dibenarkan untuk
mengajar seperti dahulu. Bahkan Khalifah Al-Mutawakkil menawarkan hadiah-hadiah
yang lumayan sebagai menghargai Imam Ahmad, namun Imam ahmad menolaknya kerana
sifat zuhud beliau itu.
Begitulah kisah penderitaan Imam Ahmad
demi mempertahankan hal ehwal agama khususnya tentang perkara aqidah.
Berkeperibadian Mulia
Imam Ahmad merupakan seorang yang amat
suka kepada kebersihan. Beliau gemar memakai pakaian putih. Wajah beliau selalu
manis apabila bertemu dengan orang. Beliau juga seorang yang peramah dan sangat
lemah lembut.
Sebagai seorang yang arif dalam hal-hal
agama, beliau amat menjaga dirinya daripada melakukan perkara-perkara maksiat.
Ini dapat dilihat ketika mana beliau berjalan, beliau akan menundukkan sedikit
kepala. Imam Ahmad juga merupakan seorang yang pendiam, tidak banyak
berkata-kata. Beliau gemar menyendiri dan menjauhkan diri daripada
tempat-tempat yang melalaikan. Satu perbuatan yang paling tidak digemari oleh
Imam Ahmad ialah bergurau senda. Beliau juga benci melihat orang bergurau. Oleh
itu, para pelajarnya akan bergurau senda sekiranya berada di samping Imam
Ahmad.
Imam Ahmad seorang yang sangat merendah
diri, beliau tidak suka jika ada orang berjalan di belakangnya, sebaliknya,
beliau akan berhenti dan mengajak orang itu berjalan bersama-samanya. Beliau
juga tidak suka duduk di hadapan ketika di dalam majlis majlis keramaian.
Beliau suka bergaul dengan orang-orang yang susah. Beliau akan makan dan minum
bersama-sama fakir miskin, anak-anak yatim. Beliau tidak suka hidup di dalam
kemewahan.
Imam Ahmad dan Keluarganya
Imam Ahmad telah mengahwini seorang hamba
yang bernama Husan. Beliau mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W yang
mengahwini hamba yang bernama Mariam Al-Qibtiyyah. Dengan perkahwinan tersebut,
beliau dikurniakan beberapa orang anak iaitu Said, Muhammad Al-Hasan, Zainab,
Fatimah dan dua orang kembar; Hasan dan Husain yang meninggal beberapa hari
selepas dilahirkan.
Beliau juga mengahwini Al-Abasah Binti
Al-Fadhl. Imam Ahmad dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak
perempuan. Anak lelakinya, Salih pernah menjadi seorang haki di Asbahan. Beliau
jugalah yang menulis riwayat hidup ayahnya. Seorang lagi anaknya ialah
Abdullah. Abdullah pernah menjadi pimpinan majlis ilmu hadis.
Kewafatan Imam Ahmad
Pada awal bulan Rabiul Awal tahun 240 H,
beliau diserang demam panas sehingga tidak mampu berjalan. Ketika hampir
ajalnya, beliau masih dengan ketegasan beliau. Beliau mengarahkan supaya
anak-anaknya tidak memasak kepadanya kerana anak-anaknya pernah mengambil harta
daripada pemerintah.
Saat hampir bertemu ajal, Imam Ahmad
mewasiatkan kepada keluarga dan sanak saudaranya supaya tetap menyembah Allah
S.W.T, memujiNya, dan hendaklah selalu memberi nasihat sesama kaum Muslimin.
Imam Ahmad meninggal dunia pada hari
Jumaat, 12 Rabiul Awal tahun 241 H. Puluhan ribu rakyat menghantar mayat beliau
ke tempat pengkebumian beliau di Baghdad. Semoga Allah mengurniakan kepada Imam
Ahmad ganjaran yang besar di sana kelak kerana pengorbanan yang dilakukan
olehnya untuk agama Islam.
Rujukan
1.
Dr. Ahmad Asy-Syurbasi, Biografi Imam-Imam
Mazhab, Penerbitan Mutiara, Jakarta, 1979.
2.
Tarikuddin bin Haji Hassan, Siri 4 Imam Mazhab
: Imam Ahmad bin Hanbal, Perniagaan
Jahabersa, 2004.