Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: January 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PASCA PRK TENANG (2) - APA KATA PIMPINAN

26 Safar 1432 H | 31 Januari 2011


"PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini. 

Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia
."

“Apa yang perlu diambil perhatian ialah perlunya diperkukuhkan kekuatan parti di semua lokaliti. PAS dan seluruh parti komponen seharusnya mempunyai kekuatan asas yang kukuh di setiap peti undi. 

Kegagalan kita membina kekuatan asas akan menyukarkan kita menghadapi sebarang bentuk pilihanraya. Di Dun Tenang, kita harus akui kelemahan PAS sama ada di peringkat cawangan atau pun keahlian."


"Pemimpin  Umno yang hipokrit dan lidah bercabang, bercakap dengan orang bukan Islam mereka memberi tahu PAS hendak tegakkan negara Islam, berhadapan dengan orang Islam mereka mengatakan PAS sudah buang negara Islam kerana takut kepada DAP.

Semua penyokong Pakatan Rakyat bertungkus lumus  seolah-olah mereka yang bertanding. Pertolongan yang datang dengan ikhlas tanpa bantuan dan upah, malahan ada di kalangan mereka yang mengeluarkan wang poket sendiri untuk melancarkan jentera pilihanraya."


"PRK adalah lebih sukar bagi kita berbanding PRU kerana dalam PRK seluruh kekuatan BN serta agensi kerajaan termasuk TV dan Radio ditumpukan di satu kerusi yang ditandingi.

Bermacam-macam janji serta projek ditaburkan dan oleh itu BN boleh mendapat lebih ramai dari golongan atas pagar.

Tetapi kita mempunyai kekuatan yang lebih dari apa yang dianggarkan oleh mereka apabila mampu menidakkan majoriti yang mereka sasarkan."

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA - PRESIDEN PAS

26 Safar 1432 H | 31 Januari 2011

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen,  Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan. 

Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan. 


Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.


PASCA PRK TENANG - FELDA, KAMPUNG TRADISIONAL BUKAN KUBU BN

26 Safar 1432 H | 31 Januari 2011

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru seluruh jentera parti PAS untuk menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu Barisan Nasional.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ianya termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di pilihan raya kecil Dun Tenang."

"Apa yang penting ahli-ahli PAS mesti berperanan dan bergerak secara aktif dalam seluruh aktiviti masyarakat di dalam Felda di samping mempertingkatkan kekuatan cawangan-cawangan PAS di Felda. Bahkan keahlian baru di kalangan anak-anak ahli PAS mesti diusahakan. Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam."
Tuan Ibrahim juga mengesyorkan bahawa aktiviti pengajian agama di masjid dan markaz di sekitar kawasan Felda perlu digerakkan agar semangat yang ada selari dengan ilmu pengetahuan.
“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi. - Harakahdaily

NYAMUK GM - APA YANG PERLU ANDA TAHU?

25 Safar 1432 H | 30 Januari 2011

Isu pelepasan nyamuk GM di Bentong, Pahang menjadi satu kebimbangan apabila dilepaskan tanpa makluman rasmi khususnya kepada penduduk setempat. Ianya dinatijahkan apabila pelbagai rungutan masyarakat setempat diterima oleh PAS Pahang dan turut mendapat liputan media antarabangsa. Kita juga seharusnya perlu tahu mengapa pelepasan nyamuk GM ini menjadi isu nasional. 
Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris menunjukkan risalah nyamuk GM

Berdasarkan daripada penyelidikan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) , dirumuskan 10 perkara mengenai isu nyamuk GM:
  1. Ubah suai genetik boleh memberikan kesan yang tidak dijangka - masih banyak persoalan berkaitan keselamatan nyamuk GM belum terjawab
  2. Kurang pengetahuan dan pengalaman tentang nyamuk GM, dan kebimbangan saintis mengenai kesan terhadap kesihatan dan alam sekitar
  3. Ujikaji akan diulang beberapa kali, dan sebilangan besar nyamuk GM akan dilepaskan lagi
  4. Tiada jaminan hanya nyamuk jantan GM dilepaskan - pemilihan nyamuk secara manual dan kemungkinan berlaku penyebaran nyamuk betina tetap ada
  5. Sesetengah larva GM yang 'diprogramkan untuk mati' akan hidup - anak yang dihasilkan apabila nyamuk jantan GM mengawan dengan nyamuk betina liar mempunyai peratusan 3-4% hidup!
  6. Berjuta nyamuk GM akan dilepaskan secara berterusan sebagai strategi kawalan denggi di Malaysia
  7. Teknologi GM dimiliki oleh Oxitec Limited, UK yang memegang paten global teknologi ini - syarikat ini mengalami kerugian kewangan, dan dibimbangi mereka akan membuat keuntungan daripada nyamuk GM
  8. JIka nyamuk GM berkurangan sekalipun, kemungkinan spesies nyamuk lain, Aedes albopictus yang boleh menyebarkan denggi dan chikungunya, akan meningkat
  9. Malaysia negara kedua di dunia diuji selepas Kepulauan Cayman - masih tiada keputusan ujian di sana, dan perbezaan alam sekitar di sana tidak memungkinkan perbandingan dapat dilakukan
  10. Penduduk setempat mempunyai hak menolak ujikaji ini - tanpa persetujuan penduduk, ujikaji ini tidak boleh dilakukan

SEKAT PROTES - MESIR TUTUP TALIAN INTERNET & TELEFON

24 Safar 1432 H | 29 Januari 2011

KAHERAH - Pemerintah Mesir semalam memutuskan talian telefon bimbit dan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan sebagai percubaan untuk menyekat beribu-ribu aktivis daripada menyertai protes antipemerintah yang diadakan selepas solat Jumaat. Ketiadaan perkhidmatan Internet menghalang akses ke laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi alat komunikasi utama para penganjur protes.
Mohamed Elbaradei
Bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei dan Persaudaraan Muslim turut menyertai protes tersebut - "Ini adalah waktu kritikal dalam hidup rakyat Mesir. Keinginan untuk berubah mesti dihormati. Rejim tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas peserta demonstrasi," kata Elbaradei yang lantang mengkritik Hosni dan menyatakan kesediaannya untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta berbuat demikian.
Polis Mesir mengalami kesukaran untuk berdepan dengan penunjuk perasaan yang telah bertempur selama tiga hari. Mereka menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas memerintah selama 30 tahun. Demonstrasi ini mendapat ilham daripada Revolusi Jasmin yang berlaku di Tunisia baru-baru ini sehingga mengakibatkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan.

Para aktivis menyebarkan SMS bagi menuntut hak untuk hidup dengan penuh kebebasan dan bermaruah. Hosni dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi. Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$2 (RM6.11) sehari. Negara itu mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah, kadar pengangguran tinggi telah menyebabkan penduduk gagal memperoleh keperluan hidup yang sempurna. - Agensi - Kosmo

PELEPASAN NYAMUK AEDES GM - PAS PAHANG TUNTUT PENJELASAN

22 Safar 1432 H | 27 Januari 2011



Rakyat dikejutkan dengan berita pelepasan nyamuk Aedes Aegypti jantan bebas kuman jenis OX513A yang diubah suai secara genetik (GM) di kawasan Bentong, Pahang sebagaimana yang didedahkan melalui akhbar harian baru-baru ini. Lebih mengejutkan berita tersebut dikeluarkan setelah pihak kementerian selesai melakukan pelepasan   pada 21 Disember 2010.

Walaupun dinyatakan bahawa nyamuk tersebut dilepaskan di kawasan tiada penduduk, namun ia bukan alasan untuk pihak kementerian melakukannya tanpa memberikan gambaran yang jelas terutamanya kepada penduduk di sekitar Bentong.

Isu nyamuk GM Aedes telah menimbulkan kebimbangan dan kritikan masyarakat antarabangsa. Sepatutnya rakyat mesti dimaklumkan 
terhadap implikasi pelepasan tersebut, dan kebimbangan yang disuarakan oleh CAP dan Sahabat Alam perlu mendapat perhatian, khususnya daripada pihak kementerian yang mesti bertangungjawab sepenuhnya. 

Sehubungan dengan itu, PAS Pahang akan memohon penjelasan lanjut berhubung tindakan tersebut, kerana kami menerima pelbagai rungutan penduduk yang melahirkan kebimbangan dengan fenomena ini. InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan menghantar surat rasmi kepada pihak berkenaan agar satu penjelasan dapat diberikan 
khususnya  kepada penduduk di sekitar Bentong.

UMNO/BN FOBIA ISU NEGARA ISLAM

18 Safar 1432 H | 23 Januari 2011

“Dia (calon PAS, Normala Sudirman) tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini. 
Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS."  - Chua Soi Lek


“Sejak daripada dahulu pun PAS tidak pernah mengatakan mereka nak pinda perlembagaan mereka... Itu (membentuk negara Islam) masih ada. Jadi baik juga MCA mengingatkan pada masyarakat Cina.” - Muhyiddin Yassin




 "PAS ingin menubuhkan negara Islam dan berkeinginankan hukum-hakam yang memotong tangan kepada mereka yang mencuri." 





“PAS tegaskan bahawa bentuk negara yang dikehendaki oleh rakyat ialah sebuah negara yang bebas dari budaya rasuah, salah guna kuasa, memaksa akta yang menindas rakyat, bebanan hidup rakyat yang semakin meningkat manakala di waktu yang sama pemimpin Umno hidup mewah melampau dan rakyat terpaksa membayar kos yang bukan kos sebenar.


Model negara yang ingin PAS perjuangan sudah dapat dilihat daripada pemerintahan PAS di Kelantan untuk lebih 20 tahun. 
Tiada rakyat yang tersisih dalam arus perancangan dan pembangunan. Kita tidak isytihar atau tukar Kelantan ke Darul Islam, ia kekal Darul Naim. 

Kita bawa dasar membangun bersama Islam. Islam yg membawa rahmah, bukan menyusahkan rakyat, bukan merosakkan akhlak rakyat, atau menggalakkan budaya negatif.


Isu negara Islam segaja dilontar bagi mengalih perhatian rakyat dari menilai tawaran 100-hari Pakatan Rakyat. Umno BN bukan sahaja gagal menyahut cabaran debat, sebaliknya menimbulkan isu remeh temeh soal bersalam, soal sarung tangan yang dipakai calon. 
Ini bukti UMNO  BN ketandusan modal bagi menghadapi PAS dan Pakatan Rakyat." - Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Naib Presiden PAS. - Harakahdaily

ISU APCO PEMBUKA TIRAI DI TENANG

18 Safar 1432 H | 23 Januari 2011

Felda Tenang digegarkan dengan pendedahan bukti hubungan kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional dengan APCO Worldwide bersabit isu 1 Malaysia. 

Menerusi salinan dokumen perjanjian Malaysia-APCO Worldwide, Anwar menyatakan penglibatan Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad sebagai saksi perjanjian tandatangan pegawai kerajaan Malaysia dengan syarikat perunding Israel itu. 
Justeru menurut beliau, penafian berterusan syarikat yang berpengkalan di Washington dan Tel Aviv oleh Perdana Menteri Najib Razak selama ini merupakan pembohongan semata-mata.

"Ada tak perjanjian? Ada. Pertama saya ada, kerajaan Israel dan Apco yang mereka kata tiada dan menteri-menteri kita nafi. Tahun 1991. Kerajaan Israel dan Apco, ini perjanjian. Kedua 2009, perjanjian kerajaan Datuk Seri Najib dengan Apco. 


"Tandantangan bukan setakat wakil kerajaan, saksinya Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib, ini dia. No kad pengenalan pun ada, 620707015781," kata beliau di hadapan ratusan masyarakat felda yang hadir ke Markas PAS Felda Tenang malam tadi. -tvselangor

'THE NEXT PM' - ADAKAH TEORI R.A.H.M.A.N AKAN BERULANG?

17 Safar 1432 H | 22 Januari 2011

"Tidak Mustahil Rosmah Jadi PM" - A Kadir Jasin

Adalah tidak mustahil Rosmah Mansor atau mana-mana wanita selebriti bertanding pilihan raya dan, jika dikehendaki oleh majoriti pembesar parti mereka, dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Saya rasa pembangkang pun akan pening kepala kalau Rosmah bertanding. Hubungan beliau yang akrab dengan bintang-bintang Bollywood, boleh digunakan untuk menarik puluhan ribu hadirin ke ceramah-ceramah pilihan rayanya.


Yang perlu hanya membawa bintang-bintang filem Bollywood dalam kempen beliau. Selain itu, beliau juga seorang penyanyi yang bagus yang tentunya boleh memikat hati pengundi Melayu yang rata-rata gilakan Bollywood dan sukakan hiburan.


Kalau negara Islam yang lebih besar dan konservatif seperti Pakistan dan Bangladesh boleh menerima Perdana Menteri dan Presiden wanita, pastinya Malaysia yang lebih progresif tidak akan menolak kepemimpinan wanita.


Hatta Pas pun sedang hebat mempromosikan penyertaan wanita dalam hierarkinya manakala PKR sudah pun dipimpin oleh wanita.

Artikel penuh di sini

ELAUN KAFA PERLU DIBAYAR SEWAJARNYA

16 Safar 1432 H | 21 Januari 2011






SEKPRPHG/04/01(01-2011)
19 Januari 2011

Tingkat 1, No. 3, Jln Datuk Bahaman 4
Pusat Komersial Temerloh
28000 Temer loh, Pahang
Tel : 09-2965143, Faks : 09-296 6143
E-mel : bppnphg@gmail.com

Pakatan Rakyat Negeri Pahang bersimpati dengan nasib guru-guru KAFA yang kini terpaksa memberikan khidmat lebih masa dengan bayaran elaun yang tidak setimpal. Ini kerana pada sesi persekolahan 2011, mereka telah diarahkan bekerja 60 jam sebulan (3 jam sehari / 5 hari seminggu) berbanding 24 jam sebulan (2 jam sehari / 3 hari seminggu) pada sesi tahun sebelumnya. Arahan tersebut terkandung di dalam surat pekeliling Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) yang dikeluarkan pada 3 Disember 2010.

Surat daripada JAIP
Menurut surat tersebut, penambahan masa bertugas itu sejajar dengan kenaikan elaun guru KAFA yang diluluskan kerajaan sebanyak RM800.00 sebulan berbanding RM500.00 sebulan sebelum ini.

Kenaikan ini sekilas pandang dilihat banyak tetapi apabila diagihkan kepada jumlah waktu bekerja ia merupakan suatu penindasan kepada guru KAFA. Ketika elaun bulanan mereka RM500.00 sebulan, kadar upah mereka ialah RM20.83 sejam berbanding ketika elaun mereka RM800.00 sebulan, kadar upah mereka merosot sehingga RM13.33 sejam sedangkan bebanan kerja mereka bertambah lebih 100%.

Sehubungan itu mengambil kira bebanan tugas yang bertambah di samping himpitan kos sara hidup yang meningkat mendadak akibat kenaikan harga minyak sekarang ini, Pakatan Rakyat Negeri Pahang menggesa pihak kerajaan mengkaji semula kadar elaun tersebut dan membuat pembayaran elaun guru KAFA sekurang-kurangnya pada kadar asal RM20.83 sejam. Ini bermakna guru KAFA sepatutnya menerima bayaran elaun RM1249.80 sebulan!

TETAP DEBAT!!!

15 Safar 1432 H | 20 Januari 2011

Anwaribrahimblog

"Saya memandang serius laporan Agensi Berita Nasional (Bernama) bahawa saya tidak mahu berbahas secara terbuka dengan Dato’ Sri Najib Razak. Laporan tersebut kononnya memetik kenyataan saya di Alor Setar seusai Majlis Wacana Maqosid Syariah di Insaniah Alor Setar petang tadi.
Saya tegaskan di sini, saya sedikit pun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa YAB Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya.
Saya berharap pihak Bernama agar menarik balik serta membetulkan laporan bertarikh 19hb Januari 2011 yang berjudul - “SAYA TIDAK AJAK PERDANA MENTERI BERDEBAT, HANYA BERBINCANG” – ANWAR.
ANWAR IBRAHIM

BUKU JINGGA - BENARKAH MALAYSIA AKAN BANKRAP?

14 Safar 1432 H | 19 Januari 2011
Harakahdaily

Dalam laporan berita Utusan Malaysia bertarikh 13 Jan 2011, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin berkata bahawa Program 100 Hari Pakatan Rakyat akan hanya menghancurkan ekonomi negara kerana tidak menyumbang sebarang kebaikan terhadap pertumbuhan ekonomi. Kritikan beliau berasaskan kepada:
  1. Program 100 hari bersifat agihan dan tiada pencambahan ekonomi
  2. Subsidi diberikan besar-besaran sehingga menyebabkan hutang yang besar
  3. Menyerahkan urusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta
Bagi menjawab kritikan tersebut, Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) telah membuat kajian dan merumuskan ianya songsang dan tidak berasas sama sekali.

Program 100 Hari bersifat agihan, tiada percambahan ekonomi?

  • Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama.
  • Dasar-dasar pertumbuhan ekonomi yang lebih luas disebut dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menyentuh ekonomi berprestasi tinggi, berkemahiran tinggi, ekonomi telus, desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri, tenaga kerja dan lain-lain.
  • Kurang adil jika program 100 hari didakwa bersifat agihan dan tidak mengutamakan perkembangan ekonomi kerana ianya hanya 'berusia' 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat

BLOGGERS - ELAK 'POSTING' YANG MERUGIKAN

12 Safar 1432 H | 17 Januari 2011

“Kita kena ingat bahawa kita menentang dasar bukannya peribadi. Jadi adalah lebih baik dalam tulisan masing-msing kita fokuskan kepada dasar dan tawaran PR daripada lebih menumpukan serangan kepada individu. Umpamanya kita perluaskan la gi tawaran ‘100 hari’ Pakatan supaya lebih menyeluruh perbincangan rakyat.

“Serangan peribadi kepada individu tertentu tanpa usul periksa kebenarannya boleh menjerumuskan kepada fitnah, tuduhan qazaf dan kekeliruan sehingga berpanjangan walaupun akhirnya cuba diperbetulkan,” tegasnya.
 


Sebagai contoh pertemuan Mursyidul Am PAS dengan Yang Di Pertuan Agung dan Perdana Menteri di Istana Negara baru-baru ini. Seorang blogger telah menulis seorang pemimpin PAS yang lain turut bersama walhal pemimpin berkenaan tidak pergi. Setelah terbukti blogger tersebut bersalah, beliau memohon maaf dalam blognya namun tulisannya yang tidak benar dipetik oleh blogger-blogger lain sebelum itu telah pun tersebar.


“Berhati-hati dalam menyampai dan memanjangkan maklumat supaya berita yang tersebar tidak menjadi fitnah berpanjangan.
 Jangan hanya mahu menjadi kita orang pertama tahu, kita lupa bahawa tulisan yang baik akan mendapat ganjaran pahala dan begitulah sebaliknya.” 

[Sinopsis ucapan perasmian di Himpunan Dunia Media Baru, Temerloh - 15/01/2011]

ISLAM TIDAK IKTIRAF KETUANAN BANGSA

8 Safar 1432 H | 13 Januari 2011

Misi terpenting kedatangan Islam ialah untuk menghapuskan kepatuhan dan ketuanan berasaskan bangsa dan warna kulit dan menggantikan dengan ketuanan berasaskan keimanan dan ketaqwaan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz NIk Mat berkata perkara ini perlu difahami oleh semua pihak sama ada mereka dari kalangan umat Islam mahupun dari kalangan bukan Islam.


"Dalam konsep kepimpinan, baginda Nabi s.a.w mengajar supaya mereka yang dipimpin wajib patuh kepada pemimpin walaupun pemimpin itu seorang hamba berkulit hitam," kata beliau ketika berucap di majlis perhimpunan bulanan penjawat awam di Kota Darulnaim pagi ini.


Dalam masyarakat Arab jahiliyyah kata beliau, bangsa kulit hitam yang berasal dari Habsyah (Afrika) amat dipandang hina kerana mereka adalah golongan hamba abdi yang tiada sebarang hak malah boleh di jual beli.


"Rasulullah s.a.w. sengaja menggunakan kiasan ini untuk menunjukkan Islam membawa misi pembebasan fikiran yang dibawa oleh Islam supaya pengagungan bangsa dihapuskan. M
ana-mana pihak yang terus berbincang berkenaan ketuanan bangsa segera menghentikan amalan buruk itu kerana ia bukan sekadar bertentangan dengan konsep hak asasi manusia malah sesuatu yang bercanggah dengan Islam."

"Di akhirat kita semua akan hanya terbahagi tiga iaitu mereka yang beriman, orang munafik dan golongan kuffar. T
idak akan ada soalan tentang bangsa, warna kulit, dan keturunan di akhirat nanti melainkan tiga kumpulan ini sahaja."

"Mereka yang meninggalkan aqidah yang jadi simpulan pegangan kaum mukminin dengan memilih nasionalis dan ideologi ciptaan manusia lain akan menerima padah di akhirat di samping mereka akan menjadi permainan pihak lain di dunia ini," tegasnya lagi.

JANJI PEMBANGUNAN BN - ANTARA REALITI DAN FANTASI

7 Safar 1432 H | 12 Januari 2011
SHAH ALAM 12 JAN : Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat membidas Umno-Barisan Nasional(BN) yang terus-menerus memainkan isu pembangunan sedangkan apa yang dijanjikan di negeri itu tidak dilangsaikan sehingga kini. Menurut beliau, politik menjanjikan pembangunan semata-mata ini ialah warisan politik jahiliyyah yang mirip kepada politik yang dibawa oleh kaum musyrikin Quraisy sewaktu menentang Nabi Muhammad SAW.

"Suka saya tegaskan, Umno-BN tidak perlu menawan Kelantan jika benar ingin membawa pembangunan. 
Kita membuka pintu 25 jam sehari untuk kerajaan pusat pimpinan Umno-BN untuk melaksanakan pembangunan di Kelantan. Hari ini, jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu sedang dilebarkan dan prosesnya sedang rancak berjalan. Ini projek kerajaan Pusat dan proses tender pun diuruskan oleh kerajaan Pusat. Sekalipun khabar angin kuat bertiup menyatakan kontraktor asalnya telah lari, Alhamdulillah jambatan tersebut tidak dibawa lari. Hari ini saksikanlah projeknya sedang berjalan lancar tanpa sedikitpun gangguan dari kerajaan negeri," ujar beliau.

KRISIS PERLEMBAGAAN 1993 - SATU KUPASAN

3 Safar 1432 H | 8 Januari 2011

Ikuti kajian ringkas rentetan peristiwa sehingga pindaan dalam Perlembagaan diluluskan di Parlimen pada 9 Mac 2003 bertujuan menghapuskan kekebalan dan keistimewaan raja-raja Melayu dan kerabat. Kebanyakan sumber rujukan adalah berita/rencana/lidah pengarang dalam akhbar arus perdana - Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia, Berita Harian dan News Straits Times terbitan dari Disember 1992 hingga Mac 1993, dan beberapa sumber rujukan yang lain


PINDAAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA 1993

TAZKIRAH SUBUH : FADHILAT BERJEMAAH

30 Muharram 1432 H | 5 Januari 2011

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w amat menyukai melakukan secara berjemaah dalam tiga perkara, iaitu:
  1. Solat - di samping ganjaran pahala 27 kali ganda berbanding solat berseorangan, solat berjemaah juga sebagai lambang kesepaduan ummah, di mana masing-masing saling menampung antara satu sama lain. Ada ketikanya kita tidak khusyuk, tetapi jemaah lain dalam keadaan khusyuk. Di akhirat nanti, Allah akan mengira solat kita juga secara jemaah, dan kita akan tergolong dalam golongan orang yang khusyuk. Di samping itu juga, terlalu sukar untuk syaitan mengganggu ketika solat berjemaah. Untuk itu perlu kita pastikan saf dalam keadaan lurus, dan sebolehnya serapat yang mungkin (bahu bertemu bahu).
  2. Musafir/berjalan - Nabi Muhammad s.a.w akan memastikan setiap perjalanan yang dilalui baginda akan bersama para sahabat. Antara kebaikannya adalah boleh menjamin solat dilakukan secara berjemaah, mengelakkan fitnah dan gangguan syaitan, dan boleh membantu antara satu sama lain ketika dalam kesusahan
  3. Makan - apabila makan secara beramai-ramai ini akan mendatangkan keberkatan daripada Allah s.w.t. Mungkin makanan yang dihidangkan itu pada zahirnya sedikit, tetapi dengan keberkatan yang Allah berikan ianya mencukupi. Islam juga mengajar agar tidak berlebih-lebih ketika makan - makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Dengan makan berjemaah ini akan mendisiplinkan diri kita untuk mengambilnya sekadar yang kita perlukan, bukan mengikut nafsu
Begitulah, betapa indahnya ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Setiap apa yang diperkatakan baginda itu mempunyai kebaikan yang kadang kala umat Islam tidak mempraktikkannya, tetapi diamalkan oleh orang bukan Islam. Mudah-mudahan kita dapat beramal, memperbaiki segala kekurangan yang ada dengan masa yang semakin singkat untuk kita, dan sebar-sebarkanlah untuk kebaikan kita semua.

Wallahua'lam...

KENYATAAN MEDIA TGNA - PERTEMUAN DENGAN YDP AGONG

29 Muharram 1432 H | 4 Januari 2011

"Ekoran beberapa kenyataan yang mengelirukan berkaitan pertemuan saya dengan KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini, saya suka menjelaskan seperti mana berikut :

Sewaktu saya berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya telah dikunjungi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama beberapa orang pemimpin termasuk Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, yakni istana baginda di Kuala Lumpur. Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut.

Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang  tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

Terima kasih. Wassalam."

SEMUA AHLI ADALAH AGEN PENERANGAN PAS

26 Muharram 1432 H | 1 Januari 2011

Semua petugas PAS diminta melakukan kerja secara bersistem dan berfokus agar objektif besar yang dihasrat parti untuk melakukan perubahan pada pilihanraya umum akan datang dapat dicapai. Mereka perlu melaksanakan tanggung-jawab sebagai agen penerangan parti bagi memastikan rakyat memperolehi maklumat tentang pelbagai isu. 

Negara diwarnai dengan bermacam-macam isu yang perlu diketahui oleh semua rakyat. Dan kerajaan UMNO-BN kini mengambil langkah yang 'baik' apabila menggunakan segenap media di bawah jajahan takluknya untuk memanipulasi isu-isu tersebut agar kelihatan kerajaan tidak bersalah, dan Pakatan Rakyat lah dalangnya.


MELAYU JUGA WAJIB MENUTUP AURAT

26 Muharram 1432 H | 1 Januari 2011

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu juga mesti menutup aurat di dalam kawasan surau atau masjid. Beliau menyatakan demikian ekoran isu yang ditimbulkan media mutakhir ini berhubung senamrobik yang dilakukan masyarakat bukan Melayu di kawasan berkenaan.

“Usahkan di dalam kawasan masjid, di dalam masjid pun tidak apa, termasuklah juga pembelajaran dan persoalan perlantikan ketua negara dan ketua perang serta urusan sakit demam. Semuanya dilaksanakan dalam masjid seperti yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.


“Namun dari segi aurat, mestilah dijaga. Usahkan orang Cina, orang Melayu sendiri mesti menutup aurat. Tinggal lagi hendaklah ditegur orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna itu,” katanya kepada media pada kuliah mingguan di sini, hari ini.