THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

follower (teman setia membina Ilham)

Sabtu, 11 Disember 2010

Sayonara si Kufur ! & U're Most Welcome My Dear Syukur.

~syukur itu kekuatan dan syukur itu penguat ketabahan~

assalamualaikum wbt, salam 1432 hijrah.

salam hujung minggu buat semua warga dunia,
"satu kata bertulis cinta telah merasukiku tak wujud tak tersentuh...hanya kurasa! dan jika wujudnya menjelma pada sebentuk hati... bukankah itu amanah dr yang kuasa ?...."

Mungkin tidak ramai yang ambil peduli sangat mengenai perubahan tahun hijrah ini kerana sejak dari lahir lagi kita telah di’doktrin’ untuk mengikut perkiraan peredaran matahari sebagai kalendar tahunan kita. Betul bukan? Bagi yang masih ‘belum sempat’ untuk ambil peduli mengenai perubahan kalendar hijrah ini, tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam, dan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan-bulan tertentu mengikut kalendar Islam ini, mari kita ambil peluang untuk sama2 perbaiki diri.

Post kali ini bukanlah ingin bercerita tentang sejarah hijrah Baginda Rasulullah S.A.W, bukan juga ingin bercerita tentang azam apa pula yang akan kita laung-laungkan untuk tahun baru nanti, cuma ingin meminta 5-10 minit dari para pembaca, untuk kita sama-sama muhasabah balik diri kita mengenai siapakah kita? andai kita di tengah2 antara kaum yg bersyukur dan kaum yang kufur, pernahkah kita terfikir di pihak mana kita sebenarnya.


Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan ‘Alhamdulillah’. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan ‘Alhamdulillah’ itu hanyalah untuk mempermain- mainkan atau mempersendakan Allah sahaja.

Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Di samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.


Namun, menurut Imam Ghazali : untuk memanifestasikan syukur itu melalui 3 peringkat (cara) yang perlu dilakukan,

1)
diucapkan oleh lidah
2)
ditasdikkan (membenarkan) dalam hati
3)
dilaksanakan dalam perbuatan (amal)

Firman Allah;

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ } : إبراهيم 7

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Kedua-duanya dimiliki oleh manusia, adakala dia bersyukur dan ada kala dia kufur. Bila bersyukur, segala anugerah digunakan pada tempatnya dan bila kufur, sudah tidak tahu siapa yang memberinya dan untuk apa dimilikinya.

Syukur seringkali disalahfahami. Syukur dikira cukup disebut di mulut “Syukur Alhamdulillah atas apa dan apa……”

Syukur sama erti dengan terima kasih, dalam bahasa arab di sebut syukran. Syukur dimelayukan dan semua orang faham ertinya. Bila disebut syukur, akan terbayangkan anugerah Allah dan bila di sebut terima kasih otak terus menerjah kepada pemberian manusia.

Tetapi syukur yang sebenarnya adalah : Menggunakan sesuatu pemberian pada tempat yang betul. Kasut dipakai di kaki bukan di tangan, syukurlah tu….baju kurung dipakai oleh perempuan bukan lelaki, syukurlah tu….

Ayuh lihat lebih jauh, tangan dianugerah oleh Yang Maha Pemurah untuk digunakan pada tempat yang betul dan baik, itulah syukur. Jika diguna untuk mencuri, itulah kufur. Mata untuk melihat kebesaran, bila melihat perkara maksiat, kufur lagi…Tidak menutup aurat juga dikira kufur.

persoalannya....SIAPA SI KUFUR ITU ???

Kufur pula sinonim dengan orang kafir. Kufur adalah perbuatan dan kafir pula pelaku kufur itu. Kufur juga disebut juhud (bunyi hampir sama dengan jahat, boleh jadi jahat datang dari perkataan ni, wallhua’lam) Asal juhud, jahad. Sebut saja kafir terbayang si penyembah tokong dan selainnya. Kafir=musyrik. Kafir lawannya muslim.

Firman Allah mengenai orang2 kufur;
“Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)

Orang islam tak buat kufur ke? Orang islam ada yang buat kufur, namanya kufur nikmat. Tidak guna anugerah Allah pada tempatnya. Orang kafir, kufur mereka lebih besar yakni menyengutukan Allah atau menyamakan Allah dengan patung sembahan mereka. Dosa syirik pada Allah ni adalah yang paling besar, kekal dalam neraka selama-lamanya. Nauzubillah…


وإذ قال لقمان لابنه وهو يعظه يا بني لا تشرك بالله ..إن الشرك لظلم عظيم : 13 سورة لقمان

Ertinya: Dan (Ingatlah) ketika Luqman Berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”

cuba kita renungkan sejenak
proses hidup manusia dgn teliti, kita akan dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat kerana segalanya adalah rahmat yang pastinya ada hikmah tersembunyi. Justeru itu sama2 lah kita berusaha untuk menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dan rahmat yang Allah berikan. Moga kita semua menjadi 'si syukur ' yang sentiasa mengingati Tuannya bukan "si kufur' yang sentiasa merengek dengan perintah dan ketentuan Tuannya. fikir2kan.


p/s : "duhai taulan... segala yg datangnya dr DIA adalah yang terbaik, maka segalanya adalah nikmat dan rahmat walaupun hanya sekecil hama. Syukur itu satu yang tidak diterjemahkan dalam struktur fizikal tetapi ia tetap ada, satu yang kita tak mampu nak tangkap tapi kita rasainya dengan taqwa. satu anugerah tak terbali dan satu amanah untuk dilaksanakan dalam diri seorang hamba. Lantas... bersyukurlah ".

Allahu a'lam.