Monday, August 04, 2014

Antara Yang Tertulis #1

Sesungguhnya dunia tidak pernah berhenti berputar. Waktu berlalu. Yang dikatakan evolusi juga mengambil tempat. Di dalam setiap proses ini, manusia semakin jauh. Semakin jauh dari kasih-sayang, semakin jauh dari rasa hormat-menghormati, jauh dari diri sebenar diri, jauh dari tuhan.

Jauh dari tuhan. Bukanlah sesuatu yang ramai fikirkan. Namun kita patut tahu, bahawasanya hidup ini kena bertuhan, patut bertuhan, WAJIB bertuhan. Tanpa tuhan apalah erti hidup ini?

Tidakkah terdetik di fikiran kita mengapa adanya dunia ini? Alam ini? Seluruh galaksi ini? Tubuh yang bernafas dan bergerak ini? Penglihatan ini? Fikiran ini? Keghairahan ini? Kemarahan ini? Rasa ini?

Apakah tujuan kita dijadikan? Siapakah yang menciptakan? Jika ini tiada di dalam fikiran kita, ternyata kita bukanlah manusia yang mengambil peduli akan sebab juga alasan di sebalik kewujudannya di bumi ini. Dalam kata lain, itulah fikiran yang merugikan.

Ketahuilah, sesungguhnya tuhan itu berinteraksi dengan kita. Melalui akal. Lantas orang yang selalu menggunakan akalnya atas sebab tuhan adalah orang yang dirahmati.

Bumi berantakan. Manusia berperangan. Bukti kejadian ini adalah kerana tiada fikiran-fikiran yang disebutkan tadi. Fikiran yang bertuhan adalah fikiran yang berpanduan. Dan panduan tuhan bukanlah yang bukan-bukan. Bukanlah yang membawa kehancuran, kemusnahan wai'ma kemaslahatan.

Sesungguhnya yang mendatangkan kehancuran adalah dari nafsu serakah dan kehendak kita sendiri.
Kehendak manusia yang tidak tahu menundukkan amarahnya, serakahnya, kerana tidak kenal akan dirinya, kerana tidak tahu sejarah kewujudannya, dan apa tujuannya di atas bumi ini.

Sejujur dan seikhlasnya, tanyakan kepada diri kita sendiri. Apakah kita manusia yang bijak? Manusia yang bijak mengawal amarah, syahwat dan fikirannya? Jika tidak, bermaksud kita jualah sebahagian yang menyumbang kepada kerosakan di bumi ini. Jika hal-hal ini adalah fikiran kita, mengapa tidak kita kongsikan atau sampaikan pada yang lain? Apakah kita manusia yang bijak yang hanya memikirkan dirinya sendiri dan tidak mempedulikan kebajikan manusia lain? Di manakah kasih-sayang dan kemanusiaan kita?

Tuhan yang menjadikan kita dengan zatNya, di atas kekayaan sifatNya yang maha pengasih, penyayang lagi mengasihani. Memberikan kita hanya 1 amanah. Untuk mentauhidkanNya, mengesakanNya, dan mengakui bahawasanya tuhan itu satu. Buktinya? Melalui wahyu-wahyuNya yang telah diutus kepada nabi-nabiNya(manusia-manusia terpilih). Wakil manusia yang membawa kisah akan kewujudan tuhan dan kebesaranNya, kisah seluruh alam cakerawala ini, kisah permulaan, semasa dan sesudah hidup ini.Dalam kata lain, ia adalah bukti dan panduan.

Kita semua yakini bahawasanya Adam adalah manusia pertama yang dijadikan. Itu adalah pengetahuan sejarah, asal-usul kita. Jelas dan nyata pengetahuan kita ini bersumberkan kitab-kitab yang telah diutuskan tuhan. Kitab yang membawa cerita kewujudan kita. Sekiranya kita menolak atau tidak mengetahui perkara ini, maka kita adalah orang yang rugi. Tiada sumber nyata lain yang mampu membuktikan kewujudan kita. Teori evolusi Darwin? Tanyakan diri kita. Mahukah kita bernenek-moyangkan beruk, monyet, chimpanzee dan seluruh keluarganya? Pastinya tidak.

Maka setelah kita sedari bahawa kitab-kitab itu adalah jawapan kepada permulaan dan persoalan hidup ini, apakah kita benar-benar mengetahui keseluruhan ceritanya? Jika ya, maka kita adalah orang-orang yang bertanggungjawab kepada kewujudannya sendiri. Itulah orang-orang yang di dalam rahmat tuhan, kerana tuhan telah memberi hidayahnya.

Semoga kita menjadi manusia yang tahu kisah hidupnya dan hubungannya dengan tuhan serta tidak jauh dari tuhan.


Allah jua yang Maha Mengtahui.

Sunday, October 02, 2011

Malam Yang Menjemput Rahsia

Malam ni bukan malam yang biasa. Malam ni, adalah malam yang di luar kebiasaan, namun bukanlah luarbiasa. Malam ni adalah malam yang mengundang pelbagai buah fikiran. Aku seorang ahli fikir malam ni.

Aku berfikir tentang falsafah & ahli falsafah. Kalau mengikut Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka, kata 'falsafah' tu berasal dari kata lama Yunani yang berbunyi 'pilosofos'.

'Pilos' membawa maksud 'penggemar' & 'sofos' adalah 'rahsia'. Kalau diterjemah ke bahasa ibunda, 'penggemar rahsia'. Titik soalnya, apakah 'rahsia' yang digemari itu? Bagaimana sesuatu yang rahsia mampu jadi suatu kegemaran pada satu-satu individu?

Dari Socrates menurun ke Plato dan seterusnya Aristotle kalau tak silap perkiraanku. Kesemua di atas adalah ahli failasuf yang sangat tersohor. Masyhur dengan buah fikiran yang tinggi & mendalam. Dahsyat & ironik bukan?. Tinggi & dalam.

Paradox.

Yang bermain di fikiran aku, apakah yang bermain di fikiran mereka?. Apakah nilai yang mengangkat nama-nama tersebut sebegitu tinggi?. Apakah piawai atau 'standard' yang menentukan buah fikir mereka adalah satu kebenaran?

Bagaimana Socrates mendapat persetujuan Plato akan kebenaran fikirannya?. Mungkin apa yang terilham buat Socrates juga terilham buat Plato? Ya! Mungkin.

'Mungkin', kerana aku punya teori. Teori yang berasaskan bahawasanya kedua failasuf ini memikirkan 'sesuatu' yang sama.

'Sesuatu' itu adalah Tuhan. Allah.

Allah adalah rahsia. Yang tak terlihat, tak tersentuh, tak terkecap, tak berupa. Sungguh begitu, manusia tak dapat mengelak dari sifat ingin mengenaliNya. Menggemari 'idea' untuk mengenaliNya. 'Idea' yang di zaman Rasulullah, dikenali sebagai 'ilmu'.

Ilmu mengenal Tuhan.

Sayangnya, di zaman kedua failasuf ini masih belum wujud syariat Islam. Lantaran, buah fikir keduanya hanya mampu termasuk dalam kategori 'falsafah'. Kerana belum wujud Al-Quran yang menyatakan kebesaranNya. Belum termanifestasi tentang zat, sifat & asma'Nya. Hanya zat mutlak atau mujarrad.

Andaikan yang sebaliknya, pasti mereka adalah di kalangan ulama' yang hebat. Yang menyebarkan syiar Islam dengan kebijaksanaan.

Apa pun tulisan aku malam ini, adalah teori yang tergantung pada ilmu pengetahuanku yang mentah.

Suka aku petik kata-kata Socrates, "I know that I know nothing" atau terjemahnya, "Aku tahu bahawa tiada apa yang ku ketahui". Kerana hakikatnya, yang mengetahui, adalah Allah S.W.T.

Maka malam ni, sahihlah aku juga seorang 'penggemar rahsia'.

Sejahteralah ke atas kita.


Friday, November 05, 2010

Jalanraya ke Masjid

Aku nak bercakap pasal etika hari ni. Bukanlah sebab aku ni beretika sangat, akan tetapi aku rasa terpanggil untuk bersuara jugalah. Pentingnya etika ni, membantu dan membangunkan lagi kelancaran sistem. Tak kisahlah sistem pemerintahan, sistem pentadbiran, jalanraya, dan sistem rumahtangga.

Inilah kesedaran sivik. Aku perhati, ramai di kalangan kita yang ambil mudah tentang perkara ni. Antara contoh paling mudah, bila traffic jam di jalanraya.Bayangkan kalau semua orang berpusu nak guna emergency lane tu, tak kira la berapa lane pun yang pihak tol sediakan, takkan cukup punya.

Alang-alang jalan dah sibuk, dah sesak, kau ikut jelah bontot kereta depan, macam mana kau nak cepat pun, tak laju mananya boleh pergi, ini tidak, kau bagi signal kiri, kau masuk emergency lane. Kena pulak jalan depan makin kecil, menyempit, kan dah makin sesak jadinya jalan tu? - tak boleh fikir ke? common sense je ni.

Jadi, kita yang sentiasa mahu jadi orang beriman ni, yang sentiasa teriak "dirikan solat" ni, wajiblah beretika. Apalah maknanya menjaga solat, hubungan dengan Allah, kalau hubungan sesama manusia diketepikan. Aku bukanlah wara' atau alim ulama'. Tapi serba sikit aku tahu jugalah pasal habluminallah dan habluminannas. Makanya, sistem jalan raya tu dah ada, kita patuhilah, bukan cuma fikir kesenangan sendiri bila orang lain juga bayar cukai jalan dan bayar tol.

Susut banyak dah nilai-nilai harmoni dalam diri manusia zaman sekarang ni. Makin tinggi umur, makin nampak semua ni, sampaikan aku pun sedar, ada masanya aku juga terbawa-bawa perangai buruk 'kurang sabar' waktu memandu. Ya Rabb...kau cantikkanlah akhlak kami manusia sejagat.

Lagi satu perkara, pasal sembahyang jemaah - baik di masjid atau di surau. Aku selalu perhati keadaan ni, bukan nak kata aku ni kerap ke masjid atau kaki masjid. Tapi bila ada peluang tu, aku pergi dan perhati jugalah.

Kadang-kadang aku kesian dengan budak-budak yang belum akil baligh, dalam umur 9 ke 13 tahun. Dia orang ni punya bagus, semangat nak sembahyang, datanglah awal nak berjemaah, walhal belum masuk waktu pun, contohnya lagi 30 minit nak masuk maghrib, dah ada dia orang datang siap baju melayu, kain pelikat dengan kopiah lagi.

Aku suka tu, semangat tu aku suka, time budak dulu, aku pun tak macam tu. OK sorry, terlari topik sikit. Ha...budak-budak ni semua dah standby nak jemaah, berderet dengan member-member dekat saf kedua nak solat. Cantik je lepas azan, dah ramai sikit, datanglah pulak pakcik-pakcik. Selamba je masuk, pergi ke budak-budak tu, suruh dia orang semua ke belakang. Alasan, "kat depan ni patut orang tua je, budak-budak sembahyang kat belakang je".

Pada pendapat aku, masa dia orang muda rebung ni la kita patut encourage buat benda-benda baik macam ni. Sembahyang di saf depan, rajin berjemaah dan bla bla bla lah. Aku pasti, budak-budak tu sakit hati, penat je datang awal. Last-last kena duduk saf belakang, dah la belakang, kat belah luar pulak tu, atas marmar tu sembahyang, sakit kepala lutut. Hehehe...betul. Serius.

Lagi kerap aku nampak kes ni, time solat Jumaat. Kadang-kadang datang dah mula khutbah, dah separuh khutbah pun, tapi selamba masuk nak berhimpit kat celah-celah orang. Ye lah, sembahyang kat dalam ada aircond, sejuk, sedap. Malaysia ni panas kan? Kau dah tahu nak sedap apasal tak datang awal? Disiplinlah sikit.

Pahala besar nak, sejuk aircond nak, sembahyang belakang imam nak, tapi datang awal tak nak. Lecehlah kau ni Pandir. Kau susahkan orang dah tu. Tadi orang tu masa sembahyang sunat, dia boleh duduk tahiyat akhir sempurna, bila kau masuk lambat, mencelah, tak pasal-pasal brader tu terperosok tepi dinding tu ha, kesian aku tengok. Tak boleh macam tu, kita kena fikir juga pasal kebajikan orang, kau datang lambat, sembahyang luarlah, panas sikitlah. Tapi itulah trade-offnya pun. Kan?

Jadi kalian, kita tanamkanlah sikap bertimbang rasa, kesedaran sivik, etika dan juga hormat-menghormati. Kita patut menanamkan sikap ini, supaya generasi penyambung kita, anak-anak kita, juga ada sikap begini. InshAllah, negara lebih aman, pentadbiran lebih mudah sekiranya majoriti kita beretika dan berkesedaran sivik. Jangan ilmu pengetahuan tinggi menggunung, sampai oversea belajarnya, tapi ilmu budi pekerti tak ada. Poorah!


Segulung ijazah dari menara gading tertinggi sekalipun, tak bererti kemanusiaan telah dimiliki.
Budi pekerti, timbang-rasa dan akhlak terpuji, bermula dari rumah, dari orang tua, dari didikan, dari kita. Maka sematkan dalam diri, untuk menjadi orang yang baik, anak yang baik, abang/kakak yang baik, suami/isteri yang baik, ibubapa yang baik, dan jadilah diri yang sebenar diri.

Friday, January 22, 2010

Walam Yakullahu Kufuan Ahad

Aku menonton youtube baru² ini. Al-Jazeera 101 East. Berkenaan 'ALLAH'.

Dunia pun makin libang-libu. Orang hari ni bebas nak bagi pandangan tentang agama anutan masing². Bebas untuk mengatakan itu & ini wa'ima hukum syara', hukum syar'ie tak habis dipelajarinya. Yang lebih sedih bila yang bercakap, perkara fardhunya masih rongak. Aku melihat diri sendiri. Aku malu.

Benar. Biarlah kumpulan Ulama' yang menguruskan hal² fatwa. Sudah pasti mereka yang lebih mendalami ilmu Fiqh lebih mengetahui hukum-hakam. Biarkan yang lebih bijaksana, menguruskan perkara yang lebih mereka fahami.

Bagi yang hanya sekadar melaksanakan mengikut apa yang ada dalam PAFA sekolah menengah, patut turutilah apa yang dikeluarkan oleh fatwa. Aku percaya yang dilantik & dinobat sebagai orang yang bertanggungjawab mengepalai kumpulan fatwa itu pun sentiasa cuba membawa yang terbaik untuk umat Islam.

Perkara ini mungkin tak kelihatan buruk bila dipandang atau dinilai oleh hanya diri kita sendiri. Tapi bila ia dah jadi satu liputan media, dah jadi bahan tontonan negara, dunia. Ia adalah seperti membuka satu keaiban sendiri.

Orang² Islam dijemput berdebat tentang toleransi & keterbukaan masing² dalam agama, sedang yang menemubual juga adalah seorang Islam yang tidak mempraktikkan "Islam itu Addin". Sungguh menimbulkan konflik.

Bukan aku nak katakan aku ini practitioner yang sempurna, tapi kita wajib menghormati agama sungguhpun bukan penganut yang baik.

Islam tidak ditempah-siap mengikut kesesuaian individu. Islam adalah untuk semua. One-size fits all. Tiada toleransi dalam mahu beragama. Kau percaya pada aturan dan hukum, kau ikut, kau tak setuju, kau bukan boleh ubah suka² hati

Benar! Soal percaya, soal Iman adalah peribadi. Adalah masing². Adalah sendiri.

Tapi jika Islam itu hanya untuk diri sendiri, maka banyaklah wajah Islam. Ada wajah seksi pun Islam, ada wajah yang punyai nur pun Islam juga, ada wajah Arab yang Islam, ada wajah Jawa yang juga Islam, mugkin juga wajah kekasih. Maka adakah wajah Islam mengikut penganutnya?

Berwajah²? Bermuka²?

Tidak!

Islam sentiasa punya asbab, punya asas, punya teras, punya dasar, punya falsafah, punya prinsip, punya dalil naqli & aqli, punya logik, punya penjelasan. Dan semuanya adalah oleh Allah. Bukan dari fikiran yang tercetus oleh si bukan².

Maka tertulisnya semua fakta di atas tadi. Rancangan agama, atau isu agama wajar ditanya dan juga dijawab oleh orang² pakar agama. Bukan sekadar penganut biasa. Bukan juga sekadar peminat hal² agama. Sewajarnya dibangkitkan oleh alim & dijawab oleh alim. Dan dikongsi pada masyarakat.

Penutup penulisan aku kali ini. Ini adalah pandangan aku sebagai orang Islam, sebagai manusia.

Aku tak marah agama lain ingin menggunakan 'Allah' untuk merujuk kepada tuhan mereka. Kerana aku punya kepercayaan dan alasan.

Kerana sebagai seorang Islam aku telah berjanji:

"La Ilaha Illallah"

"Tiada tuhan selain Allah"

Setiap apa pun yang orang lain percaya dia sembah, aku tetap percaya itu adalah Allah. Sebab kalau mereka percaya apa yang mereka sembah adalah tuhan, maka aku wajib percaya yang disembah itu adalah Allah. Kerana Allah itulah tuhan. Yang esa. Satu. Tunggal. Jadi tak ada unsur lain yang mampu mereka sembah kalau bukan Allah.

Mereka tahu tuhan itu Allah. Cuma mereka belum kenal. Belum diperkenalkan.

Awal agama adalah mengenal Allah. Mengenal tuhan. Setiap agama pasti kenal Allah. Kerana Allah memang tuhan. Cuma Islam yang mengetahui fakta itu. Kerana cuma Islam memperkenalkan Allah. Bercerita tentang Allah, menghurai sifat Allah. Jadi kita tahu tuhan itu Allah.

Agama yang lain mungkin cuma memperkenalkan penganutnya, wakil kepada Allah. Bukan Allah. Aku tak mahu diskriminasi, kerana aku mengangkat semangat kemanusiaan. Tapi penjelasan adalah penjelasan. Yang keruh kita jernihkan. Yang jauh kita dekatkan. Yang dekat kita kenal-kenalkan. Yang kenal, kita mesra-mesrakan.

Kita iktiqad pada diri sebagai orang Islam, Allah hanya Allah. Tiada Allah Islam, Allah Yahudi wa'ima Allah Kristian. Kalau Kristian memanggil tuhan mereka Allah, memang benarlah tuhan mereka Allah. Kita tahu tuhan mereka tetap Allah. Kita tahu & yakin. Cuma mereka belum tahu & mungkin saja belum yakin. Wallahua'lam.