1:05 PM
Sebelum Ini..
1:05 PMSaya tak sedar, pejam celik rupanya dah Hari Raya Haji. Hati rasa sayu sangat, jantung berdebar debar, minda asyik teringat dekat peristiwa ...
*
Isnin, 15 November '10. - Dua hari sebelum Hari Raya Haji. Aku sedang tidur di ruang tamu, tiba tiba terbangun dengar suara ibu dan ayah dan dua abangku yang sedang tak tentu arah bercakap tentang sesuatu. Aku bangun dan meluru ke bilik ibu dalam keadaan mamai - ibu sedang menangis, ayah sedang bercakap di telefon. Aku keliru, soalan pertama yang terpacul "Kenapa ni?". Ayah pun menjawab "Abang Ammar accident, packing cepat kalau nak ikut. Kita nak pergi KL sekarang." Aku pun berlari ke bilik terus mandi dan solat Subuh dan bawa sebanyak mungkin baju yang boleh aku bawa. Aku menghantar pesanan kepada Tyah dan Izzul supaya mereka tolong maklumkan dekat cikgu yang aku tidak pergi ke sekolah kerana abang accident. Dengan doa bahawa abang kesayangan aku selamat, kami sekeluarga pun bertolak ke Kuala Lumpur.
Ayah berhentikan kereta di sebuah restoran yang sangat dikenali di bandar ini supaya kami boleh bersarapan dahulu sementara menunggu pakcik dan makcik aku yang mahu turut serta melawat abangku. Ibu tak mahu makan sebaliknya menangis di dalam kereta, aku diminta ikut ke dalam restoran bersama Ayah, Abang Amir dan adikku, Azri. Selera makan tiada kerana perut mogok, hati tidak senang memikirkan keadaan abangku.
Setelah kembali ke jalan raya untuk menuju ke destinasi, ayah menerima satu panggilan. Kedengaran serius, aku mula tertanya tanya dan hati masih tidak menentu. "Apa yang terjadi? Siapa tu? Ya Allah, lindungi lah abang aku."
Ayah meletak phone dan ibu terus menangis teresak esak,
"Dia dah tak ada....."
Ayat tu seolah olah menghentikan nafas aku buat sementara dan air mata aku pun mengalir ibarat air sungai yang mengalir. Lidah kelu, mulut bisu, mata cuma mampu mengalirkan titisan, minda masih sedang memainkan ayat ayah sebentar tadi berulang ulang. Aku seperti tak percaya kata kata itu dan aku berdoa dan berharap sangat supaya sesiapa yang menelefon ayah tadi tersalah cakap. Aku mengambil phone aku dan mendail nombor abangku tetapi hampa kerana peti suara yang menjawab. "Kenapa tak angkat? Angkat lah, tolong lah angkat."
Aku pun menghantar sms,
"Abang Ammar, datang lah balik. Kakak rindu Abang Ammar, jangan tinggal kakak..."
Hampa, tersangat lah hampa.
Sesampainya kami di hospital, aku berlari keluar kereta ke bilik mayat. Kelihatan saudara saudara aku yang tinggal berdekatan sudah terpacul di situ dan kawan kawan arwah abang, dan Kak Meera. Aku berlari ke bilik mayat, hati takut sangat nak tengok mayat arwah. Dalam hati "Tolong jangan, tolong bukan." Abang sulungku buka kain putih yang menyelimuti jasad arwah abangku dan menangis. Aku melihat dan terasa seperti tiada kekuatan untuk berdiri. Aku menangis sekuat hati sehingga tiada ruang untuk bernafas dan makcik aku datang memelukku sambil menangis dan berkata "Jangan menangis macam tu, tak baik. Allah tak suka."
Setelah itu, kami pun pergi ke surau berdekatan untuk memandikan dan mengafankan jasad arwah abang untuk dibawa pulang ke Kuantan. Setelah arwah dikafankan, kami diizinkan untuk mencium arwah kali terakhir. Aku duduk di situ dan hanya mampu menangis tidak sanggup. Ustaz di tepi membisikkan sesuatu kepada abang sulungku dan abangku memegang kepalaku sambil melafazkan kalimah Allah. Hati rasa sedikit tenang dan aku pun mencium dahi arwah abang buat kali terakhir. Malam itu di kampung aku di Beserah, aku melihat ayahku menangis memeluk nenekku. Alhamdulillah, tiada halangan pada hari itu. Arwah abang aku selamat dikebumikan.
Peristiwa itu berlaku pada dua hari sebelum Hari Raya Haji. Arwah berjanji nak balik rumah. Terkilan tidak dapat berjumpa dengan arwah abang. Terkilan sangat. Life is not the same without him. Ya saya masih menangis. Terima kasih kerana membaca, terima kasih kerana menangis, terima kasih kerana mendengar.
Happy Eidul Adha
In memory... Al-Fatihah.