Saturday, June 26, 2010

Mengambil Berat atau Menyibuk?

Mengambil Berat atau Menyibuk?
www.iluvislam.com
Dihantar Oleh: aamuizzam
Editor: mawaryangtinggi




"Ya Allah, aku bukan mahu menyibuk hal orang, tapi aku mengambil  berat. Tapi, aku yang sakit hati kerana aku ini dikatakannya 'menjaga tepi kain orang'." Kalau dirasakan patut saya diperkatakan begitu, terpulang.


Suatu hari, apabila kita mahu mengambil berat, orang itu menyakiti hati kita. Kita mengambil berat tentang hidupnya, bukan rahsia hidupnya (walaupun sesekali kita ambil tahu, dengan maaf). Ikutlah kebaikan mata hati. Mungkin ada sesuatu yang kita tidak harus tahu, tidak perlu. Mungkin ada sesuatu yang harus kita tahu, teruskan menyelami lantas bertindak mengikut kemampuan. Akan tetapi, kita yang mengambil berat hal-hal yang biasa (seperti persekolahan, keadaan kesihatan, pekerjaan) yang dipedulikan oleh masyarakat dikira sebagai penyibuk. Ini tidak masuk akal.


Orang selalu bertanya kepada saya, jarang pula saya katakan mereka penyibuk, melainkan hal-hal yang tidak sepatutnya (seperti keaiban dan maruah).


Suatu perkara perlu kita ambil perhatian dengan semurni pertimbangan. Kita digolongkan sebagai manusia yang tidak beriman jika kita bersikap tidak mempedulikan dan prihatin terhadap keluarga, sahabat, rukun tetangga dan masyarakat. Amalan keprihatinan dan mengambil berat adalah sebahagian aktiviti amar makruf dan nahi munkar serta berupaya menyelamatkan nyawa, akhlak dan emosi manusia.


"Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya."
(Hadis Riwayat Muslim)


"Sesungguhnya Mukminin itu bersaudara. Maka, damaikanlah antara dua saudara kamu, dan bertaqwalah kepada Allah, semoga kalian dirahmati."
(Surah Al-Hujurat, ayat 10)


Amalan 'menjaga tepi kain orang' mampu meningkatkan persaudaraan. Amalan ini memberi peluang kepada manusia untuk mengenali siapa saudara Islam itu dan masalah hidup mereka. Usaha kita membina semangat kemasyarakatan tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri tidak prihatin dengan insan lain. Oleh yang demikian, umat Islam diseru untuk untuk sama-sama memikul rasa keprihatinan. Barulah wujud semangat persaudaraan.


Bagi umat Islam yang diambil peduli, berterima kasihlah mengikut kemampuan, zahir mahupun batin. Orang yang ikhlas dalam keprihatinan tidak akan meminta terima kasih dan mengharapkan balasan kerana keikhlasannya. Mereka tahu bahawa segala jasa dan budi dibalas sebagai pahala oleh Allah SWT. Akan tetapi, rasa terima kasih adalah sebahagian daripada budi bahasa rakyat Malaysia yang telah lama diterapkan.


"Sesungguhnya segala pemberian ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan usaha amalan kamu diterima dan dihargai oleh Allah."
(Surah Al-Insaan, ayat 22)

Bukankah balasan untuk kebaikan itu tidak lain tidak bukan hanyalah kebaikan?


Jadi, kalau perkara biasa di ambil prihatin terhadap orang itu sebenarnya sungguh baik daripada kita membiarkan orang itu susah atau sedih kerana sesuatu kesukaran. Bukanlah kita menyibuk dasar-dasar kehidupan yang amat mendalam (walaupun ada untuk sesekali). Setakat pertanyaan apa khabar, sakit apa, bagaimana dengan pelajaran dan tindakan kita (yang sekurang-kurangnya berdoa, mengucapkan kata-kata semangat, harapan; kalau kita membantu, itu lebih baik) itu apakah ia suatu kesalahan hanya kerana prihatin atau dalam erti kata lain 'menjaga tepi kain orang'?






Tuesday, June 22, 2010

Nota Cinta

Nota Cinta
Dihantar oleh: mushroom16
Editor: fazly_90

"Hari ni, saya menang pertandingan pidato di sekolah. Esok, saya ada lagi pertandingan bahas. Lusa pula, ada persidangan di UIA. Awak jaga diri sementara saya takde ye? Bukan saya tak nak mesej, tapi saya sibuk. Jangan tinggal solat."

Hafiz membaca mesej itu dengan perasaan berbunga. Wardah, gadis yang memang disayanginya dari dulu lagi. Wardah, bagi Hafiz memang sesuai dengan namanya. Wardah memang sekuntum mawar nan indah. Harum mewangi. Sukar didekati dan indah di hati.
Namun Hafiz tidak pernah bertemu Wardah. Sekadar mendengar suaranya yang lunak dan bisa menggugat hati. Bukan dia tidak berkeinginan untuk bertemu, namun tempat tinggal mereka sangat jauh. Mereka berkenalan melalui seorang kawan pada dua tahun lepas.
Wardah tersenyum. Selama 2 tahun perkenalan mereka, Hafiz menjadi permata hatinya. Wardah memang seorang wanita solehah. Namun perkenalannya dengan Hafiz menjadi titik tolak perubahannya. Dia lupa makna zina hati yang dia laungkan pada tazkirah di sekolah. Dia lupa pesan ustazah agar jangan bercinta pada usia muda, tambahan lagi untuknya yang masih bersekolah. Apatah lagi dia akan menduduki peperiksaan besar SPM pada tahun itu.

“Wa, aku tengok kau dah lain. Kau dah pandai layan lelaki kan? Aku tahu kau sukakan Hafiz tapi ingatlah Wa, cinta sejati hanya pada Allah,”  Ujar Fiza, sahabat Wardah pada suatu hari.

“Fiza, aku kan masih solat? Lagipun kami berpesan-pesan ke arah kebaikan. Seperti yang dianjurkan Islam,”  Balas Wardah,  agak teruji.

“Aku rasa kau dah salah konsep, Wa. Dah habis ke perempuan kat sekolah ni? Ramai lagi aku tengok yang tudung ‘pakai buka’, berkepit dengan jantan sana sini, kau tak nak berpesan-pesan ke arah kebaikan untuk tu ke Wa? La taqrabuzzina, janganlah kau mendekati zina.  Wa!”

“Aku harap kau janganlah masuk campur. Soal zina, tak perlu kau ingatkan aku. Aku dah cukup faham maksud itu. Kami tak pernah bertemu. Macam mana kami berzina?”

“Kau dulu pernah beri tazkirah soal zina hati. Takkan lupa? Bila hati saling mengingati, aku tengok kau dah lalai! Lagipun, Allah larang kita mendekati zina, bukan melakukan zina. Kau belum terlewat untuk bertaubat. Lupakanlah Wa, apa tak cukupkah Allah sebagai kekasih kau? Dia yang menemani kau siang malam, Yang Maha Mendengar setiap luahan hati?”

Wardah terdiam. Namun baginya ungkapan Fiza hanya mencurah air ke daun keladi. Dia ingin Hafiz menjadi miliknya!




Hafiz menikmati makan malamnya dengan lahap. Hari ini kepenatan menjeratnya kerana terlalu sibuk dengan tugas kepimpinan di sekolahnya. Namun, Hafiz bersyukur diberi peluang sebegitu. Dia tidak mengeluh dengan tugasan seperti itu. Baginya, segala-galanya adalah tanggungjawab yang diamanahkan. Dan tugasnya adalah sebagai pelaksana.  

Mungkin hari-hari Hafiz tidak seindah ini jika Wardah tidak menemani hidupnya. Walaupun Hafiz menyedari hakikat bahawa mereka menghampiri zina, Hafiz sentiasa terpukau dengan janji manis Wardah bahawa mereka hanya berkawan. Namun perasaannya sukar ditepis sama sekali. Dia manusia biasa yang tidak mampu menafikan perasaan cinta yang mula bertunas dalam hati.

Telefon ghafiz bedering.

Pantas Hafiz menggapai telefon bimbit di meja. Panggilan dari Wardah
“Hafiz?”
“Ya, saya,”
“Awak sayang saya?”
“Emm, kenapa awak tanya?”
“Saya tanya sebab nak awak jawab,”
“Wardah, awak perempuan terbaik yang saya kenal. Tak mungkin tiada perasaan cinta saya terhadap awak,”
“Awak cintakan saya?”
“Ya, saya cintakan awak,”
Dan malam itu menjadi saksi antara dua jiwa itu. Sesungguhnya begitulah syaitan merasuki kita, secara terang-terangan ia bukanlah cinta yang hina, namun menjebakkan dua insan itu ke alam yang melalaikan.

“Aku nampak semalam kau keluar dengan Ina?” soal Hafiz curiga. Perbuatan sahabatnya, Aiman, menggugat ketenangan dan kewibawaannya sebagai seorang sahabat karib.

“Jadi?” Aiman seolah-olah mencabar Hafiz.

“Aku tak suka. Perkara tu Allah larang,”

“Hafiz, Hafiz! Mentahnya pemikiran kau. Macam mana pula soal hubungan kau dengan Wardah? Kau ingat aku tak tahu? Habis, yang kau bercinta dengan dia tu? Ada Allah suruh?”

“Aiman, kami bercinta cara Islam. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada engkau!”

“Ahh, bercinta secara Islam. Kenapa ramai yang kabur dengan persoalan itu? Bukankah itu tipu daya syaitan. Walaupun aku dengan Ina, aku dan dia tidak hipokrit macam kau! Ketua pengawas apa kau ni? Sebelum kau kata baju orang lain kotor, tengok baju sendiri, itu nasihat aku!” kata Aiman berang sambil berlalu pergi.

Hafiz tertunduk di situ, di sebuah taman berhampiran rumahnya. Dia menundukkan kepalanya. Perlahan-lahan, dia berjalan pulang. Dalam perjalanannya, dia bermuhasabah. Ya Allah, dosakah aku? Aku marah apabila sahabatku menghampiri zina namun aku juga begitu! Aku ke surau namun aku juga menghampiri lembah syaitan. Manusia apakah aku?

Malam itu Hafiz bertahajud. Bermunasabah dan merenungi segala dosa-dosanya. Bagaimana suara Wardah yang mencairkan hatinya, dan bagaimana dia asyik melayari alam percintaan dengan Wardah. Dia senang begitu, bermunajat sendirian dan mengadu pada Allah. Biasanya pada malam-malam begitu masanya dihabiskan dengan menelefon Wardah hingga lewat pagi. Namun malam itu dia selesa menutup telefonnya dan menyerah pada Allah. Malam itu juga dia harus membuat keputusan.

“Eeesh! Mana Hafiz ni! Biasanya dia telefon aku, ni, mesej pun takde! Telefon pulak off! Dia ada perempuan lain ke?” rungut wardah sendirian. Hatinya gelisah. Walaupun jam menunjukkan pukul empat pagi, namun dia setia menunggu Hafiz. Dia mahu tunjukkan pada Hafiz bahawa dia gadis yang sabar, mungkin, Hafiz mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia menerima mesej daripada Hafiz.

“Wa, jangan tipu saya lagi! Cukup sampai di sini hubungan kita!”

Wardah terkesima. Dia buntu, apa yang Hafiz maksudkan? Perlahan-lahan, dia membalas mesej itu.
“Apa maksud awak? Awak tak sayang saya?”

“Sudahlah Wa. Pergilah dari hidup saya. Saya tak perlukan perempuan macam awak lagi!”
Wardah mula menitiskan air mata apabila mesejnya tidak dibalas. Dia beberapa kali menelefon Hafiz tetapi tidak berjawab. Kali ini dia pasti, Hafiz akan meninggalkannya tanpa sebab!

3 bulan berlalu dengan perit. Wardah sedaya upaya melupakan Hafiz. Setiap hari Wardah memeriksa peti emelnya sejak Hafiz memadam telefonnya. Hafiz pasti akan meninggalkan sesuatu! Hafiz bukan sejahat lelaki lain. Wardah tahu itu semua.


Hinggalah pada suatu hari, Wardah memperoleh berita yang dinanti-nantikan. Terketar-ketar jarinya tatkala membuka emel yang bertajuk ‘Nota Cinta’ itu…


Subject:
Nota Cinta
From:
“Hafiz Haikal”
To:

Assalamualaikum...
Kehadapan Wardah, mawar yang dirahmati Allah

Mungkin semasa awak membuka emel ini perasan awak sangat jelik, benci, kecewa dan banyak lagi terhadap saya.Saya faham itu semua, tapi apa saya harus buat, ini saya lakukan semua untuk mencari redha Allah.  Saya pun tak tahu nak mula dari mana, tapi saya harap awak faham apa yang saya tulis.

Sebenarnya mesej yang saya hantar pada pagi itu memang dirancang.  Mesej itu sengaja saya reka untuk saya jauhkan perasaan cinta saya kepada awak.  Mungkin awak terkejut dengan sikap saya, tapi ada makna di sebalik semua tu.

Sebab utama saya hantar mesej macam tu sebab nak biar awak benci kat saya dan menjauhkan diri dari saya. Kenapa saya nak jauhkan diri dari awk?..  Selama kita menzahirkn rasa cinta dan sayang semenjak tu la hati saya rasa lain.  Untuk pengetahuan awak bila saya lafaz sayang dan cinta kepada awak dan awak pula membalasnya saya terasa jiwa saya jauh dari Allah, nafsu syahwat saya naik, rasa ke arah maksiat tu ada walaupun kita tak pernah bersua.  Agak remeh kan kalau orang lain baca, tapi untuk saya yang mempunyai iman yg rendah macam2 boleh jadi kat saya. Mungkin awak sebagai wanita tak rasa keadaan begitu tapi saya seorang lelaki memang menyebabkan saya lemah.  Saya takut akan Allah, kekadang saya nasihatkan kawan saya jangan buat benda 2 tapi saya buat jugak.  Orang pandang saya selalu pakai songkok kat sekolah macam alim, pergi masjid tapi buat benda tu, tak ke saya ni munafik?

Saya sedar apa yang saya buat mendukacitakan hati awk.  Hati mana yang boleh terima difitnah begitu. Tapi bila saya buat begitu saya juga rasa berdosa sebab memfitnah wanita yang solehah. tapi apa kan daya desakan hati. 

Awak memang wanita hebat,  setiap kali awak menceritakan kejayaan awak memang saya cemburu. Kekadang saya fikir kenapa saya tak boleh jadi macam awak. Tapi saya tetap bersyukur dapat kawan dengan awak.  Serius saya katakan awak sahajalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya, yang lain cuma kawan biasa, jarang saya berhubung dengan mereka. 

Untuk terakhir sekali, perasaan cinta dalam diri saya terhadap awak memang tertanam dalam hati saya, sebab awak cinta pertama saya.  Saya tak pernah bercinta.  Masalah yang saya hadapi sekarang mcm saya katakan di atas tu la. Walaupun agak remeh tapi saya pandang serius terhadap benda ni.  Sebab Allah tak redhai sebuah hubungan selain daripada pernikahan.  Saya harap dengan penjelasan saya awak akan faham lebih-lebih lagi awak belajar dlm aliran agama.  Sekiranya kita ada jodoh tak kan ke mana.  Itu janji Allah.


Wassalam..
Ikhlas dari hamba yg mencari redha Allah:
HAFIZ HAIKAL






Malam itu Wardah bersujud, pada Allah dia serahkan diri…  Hari-hari dilaluinya dengan redha, tanpa rasa dendam sedikitpun terhadap Hafiz.  Nota cinta Hafiz telah mengubah hidupnya. Hinggalah Wardah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaannya dan Berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti al-Azhar, Mesir.

Wardah merenung jauh ke Tasik Titiwangsa yang damai itu. Dilihatnya pasangan-pasangan muda berpegangan tangan tanpa segan-silu. Dia bermuhasabah dalam hati.  Andai satu ketika dulu dia hanyut dibuai cinta dengan Hafiz, pasti gelaran doktor pakar mustahil disandangnya.  Sejenak dia memikirkan kata-kata Umminya semalam…

“Wa, bila nak menikah?  Ummi teringin nak bermenantu,”

Soalan Ummi itu menggegar tangkai hati Wardah.  Kenangan yang cuba diluputkannya bertahun-tahun dahulu kembali mengusik. Jauh di sudut hati, Wardah masih mengharapkan Hafiz yang entah ke mana itu. Dengan menarik nafas panjang, Wardah menyahut,

“Sesiapa sahaja yang Ummi carikan, dialah jodoh Wardah,”

Wardah merenung cincin perkahwinan di jarinya. Cantik! Sekali pandang Wardah tahu, suaminya pasti dari kalangan orang berada.  Hatinya masih berdebar-debar.  Sejak akad nikah tadi, dia masih belum melihat wajah suaminya. Walaupun Hafiz berada dalam hatinya, dia redha. Biarlah, pilihan Ummi pasti yang terbaik buatnya. Wardah memejam mata rapat-rapat, ditahan air matanya dari menitis. Dia ingin menjadi bintang timur buat suaminya. Biarlah dia seorang…

“Wardah Alia binti Syukri, sesungguhnya cinta itu lebih indah melalui sebuah ikatan mulia bernama perkahwinan…”  Bisik suaminya, suara yang mendamaikan hatinya.

Wardah membuka matanya, dan menatap wajah penaung jiwanya kini… Hafiz Haikal…



Sunday, June 20, 2010

majlis ihtifal iqkl sesi 2010





Bacaan Alquran Pembuka Majlis
oleh : Adik Rashid Ridha dan Adik Naim Mubin.
* bacaan bertarannum dan hafazan qiraat warsy






Para Hafiz bersama Guru Pembimbing
 Dari kiri : Andi Aiman, Syimir, Usman Solihin, Ust Amir Adili, Fathi, Tasnim dan Alman Salwi
* Pelajar banat - Haziqah dan Izdihar.





Nasyid Bertenaga dari Kumpulan Shoutul Huffaz
Bimbingan Dari Ust Khaliz dan Ust Qusyairi

gerhana bulan

Gerhana Bulan


Tarikh : Malam 14 Rejab 1431 H bersamaan 26 Jun 2010 M

Detik-detik Gergana Bulan :

Bulan telah melalui 50 % kadar gerhana pada jam : 7.45 malam
Bulan telah melalui 40 % kadar gerhana pada jam : 8.00 malam
Bulan telah melalui 30 % kadar gerhana pada jam : 8.15 malam
Bulan telah melalui 20 % kadar gerhana pada jam : 8.30 malam
Bulan telah keluar dari bayang gelap bumi pada jam : 8.50 malam dengan ketinggian bulan 30 darjah.

Berdasarkan perkiraan yang dibuat di Baitul Hilal, Bandar Pontian

طول البلد (garis bujur) : 103 darjah 23 minit (timur)
عرض البلد (garis melintang) : 1 darjah 29 minit (utara)

GERHANA BULAN

Baginda Nabi SAW bersabda :

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ءآيـَـتـاَنِ مِنْ ءآيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَ إِنـــَّـهُـمـاَ لاَ يَنــْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنَ الـنـــَّاسِ فَإِذا رَأَيْتـــُمْ مِنــْهَا شَيْـئاً فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتــَّى يُكْشــَفَ مَا بِكُمْ - رواه مـسـلـم عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الأَنـــْصَارِيِّ

Ertinya : Bahawasanya matahari dan bulan itu kedua-duanya menjadi tanda-tanda kekuasaan Allah swt. Allah swt memberi peringatan kepada hamba-hambanya dengan perubahan matahari dan bulan. Sesunggahnya gerhana matahari dan bulan itu tidak berlaku di sebabkan oleh kematian seseorang dari kalangan kamu, maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), sembahyanglah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula pada penglihatan kamu.

AMARAN DARI ALLAH SWT

Gerhana bulan merupakan amaran dari Allah SWT kepada seluruh manusia agar patuh dan setia di atas segala titah perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.

Gerhana Bulan adalah suatu perubahan yang menakjubkan kepada seluruh umat manusia kerana secara tiba-tiba bulan kehilangan cahayanya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qiamah ayat 7-9 :

Ertinya :Apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahaya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama (matahari dan bulan menjadi gerhana)

PERALIHAN CUACA

Imam Zakaria bin Muhammad bin Mahmud al-Qazawaini berkata di dalam kitab:
عجائب المخلوقات والحيوانات وغرائب الموجودات : فَـإِذاَ كـاَنَ الْـقَـمَـرُ قَـرِيْـبـاً مِـنْـهُ عِـنْـدَ اْلاِسْـتِـقْـبـاَلِ تـتـوَسُّـطُ اْلاَرْضُ بَـيْــنـهُ وَ بَـيْـنَ الـشَّـمْـسِ فَـيَـقَـعُ فِـى ظِـلِّ اْلاَرْضِ وَ يَـبْــقَـى سَـواَدُهُ اْلاَصْـلِـىُّ فَـيُـرَى مُـنـخَـسِـفـاً

Ertinya : Maka apabila bulan berada hampir dengan bumi ketika bulan berada pada kedudukan ”اِسْتِقْباَل“ (bulan penuh purnama) yang mana bumi berada ditengah-tengah di antara bulan dan matahari. Maka bulan berada di dalam bayang bumi dan kekallah hitam bulan yang asal dan dilihat bulan itu dalam keadaan hilang warna cahayanya iaitu berlaku gerhana.

Ahli Falak Islam zaman silam berpendapat :

Apabila setiap dua (2) jisim yang berdekatan antara satu sama lain, berlaku tarik menarik di antara satu sama lain, samada kuat atau lemah tarikan tersebut. Oleh kerana ketika berlakunya gerhana bulan, bulan berada hampir dengan bumi, maka berlakunya tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Hal ini juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman serta benda-benda hidup di dunia".

Amalan sunat ketika berlakunya Gerhana :

Di antara amalan sunat yang dituntut melakukannya ketika berlakunya gerhana matahari atau bulan adalah :

Solat sunat gerhana (matahari / bulan) 
- Mendengar dua khutbah
 
- Bertaubat dari segala dosa besar dan kecil
 
- Bersedekah
 
- Berdoa dan beristighfar


Berdoa : Semoga selepas berlakunya gerhana bulan, aliran angin, air, perubahan cuaca, dan peralihan musim akan menjadi lebih baik.

Baginda Nabi saw bersabda :

لوحبس الله تعالى الريح ثلاثا لأنتن ما بين السماء والأرض - أخرجه عبد الله بن أحمد بن حنبا في زوائد الزهد

Ertinya : Jikalau Allah swt menahan pergerakan angin selama 3 hari, nescaya berbau busuklah di antara langit dan bumi.

Cara Menunaikan Solat Gerhana (matahari / bulan)

1. Dua rakaat dengan empat kali rukuk

Tertib rakaat pertama :

Niat solat sunat gerhana 
- Membaca surah al-Fatihah
 
- Rukuk
 
- Bangun semula berdiri membaca surah al-Fatihah
 
- Rukuk
 - Iktidal 
- Sujud
 
- Duduk antara dua sujud

- Sujud

(maka sempurnalah rakaat pertama dan teruskan dengan rakaat kedua seperti rakaat pertama)


Tambahan : Nota ini disediakan oleh Tuan Guru al-Fadhil Ustaz Hj Hanafiah bin Abd Razak. (Ketua Unit Falak Syarie, Jabatan Mufti Johor)

Ayahku

Ayahku
www.iluvislam.com
Oleh: sarimulya
Editor: rabiatul_adawiyah
 


Di saat kebimbangan hadir

Persimpangan wujud
Kegoncangan emosi timbul
Kegigihan ku mulai memudar
Ketabahan ku menipis
Kepercayaan ku dikhianati

Engkau hadir dalam putih hatiku

Kata-katamu lembut menyentuh nuraniku
Parasmu terlintas dalam sejuk fikiranku
Kagumku padamu mengingatkanku
Bahawa 
"jangan berhenti di sini nak!"
Jalan masih panjang, perjuangan masih belum dimulai

Tidakkah kau ingin nak untuk mencuba
Menggapai sejuta mimpimu
Selagi 
kesempatan masih ada
Dan kau pun kuat untuk menghadapinya
"Tidakkah engkau ingin untuk mencuba anakku?"
Itu katamu padaku
Dorongan dan motivasimu
Membuatku boleh bertahan dengan segala yang ada
Doamu membuatku selalu kuat menghadapinyaUsahamu
Membuatku berfikir bahawa aku boleh dan mampu untuk melakukannya
Kata-katamu selalu terngiang di telingaku
Membuatku tegar dan tegas dalam menyikapi kehidupan.

Kerana Aku Anak Ibu

Kerana Aku Anak Ibu
www.iLuvislam.com
Oleh: Yukizara Affendi
 
Editor: niahani



Masih ku ingat, 
Masa kecilku....

Ibu jaga aku, 
Walau terpaksa bersengkang mata. 
Ibu pimpin aku,  
Walau kerap kali aku terjatuh.
Ibu sediakan makan untukku,  
Walau makanan tak semahal mana. 
Ibu ajar aku 123,abc,alif ba ta,  '
Walau dia belajar tak setinggi mana.
Ibu siapkan semua keperluan sekolah,  
Walau hanya ala kadar cuma. 
Ibu bagi duit buat belanja,  
Walau 20sen sehari saja. 
Ibu beli baju raya,  
Walau dia tiada apa. 
Ibu buat apa saja, 
Demi aku pengarang jantungnya.

Kini aku,  
di menara gading, 
Berusaha sebaiknya, 
Demi kasihku pada ibu, 
Akanku balas dengan ilmu di dada,  
Akan kubuktikan padamu, 
Pengorbananmu tidak sia-sia,  
Cukuplah engkau merana keranaku, 
Cukuplah segala pengorbananmu demiku,  
Cukup sudah kau menitiskan air mata kesedihan, 
Kesedihan kerana tidak berharta membesarkanku,  
Tapi aku kagum denganmu ibu, 
Kerana kasihmu aku berdiri di sini,  
Di tempat kebanggaanmu, 

Bersabarlah ibu,  
Segenggam kejayaan bakal milikku, 
Kerana aku anak ibu. 
 

Saturday, June 19, 2010

Kasut & Syukur

Kasut & Syukur
www.iLuvislam.com
ibnBakr
editor : everjihad



“Eh, mana kasut aku ni..! Hmm.. siapalah yang curi...?”. 

Ngomel aku di dalam hati setelah selesai menunaikan solat di masjid. Setelah mencari di sudut-sudut lain sekitar masjid aku terjumpa kasut ku.
“Alhamdulillah..” (sambil masih mengomel di dalam hati 'siapalah yang guna kasut aku ni..').

Ada beberapa perkara yang ingin saya lontarkan pandangan dalam realiti kehidupan yang berlaku di atas. Pertama, manusia memang selalu tidak puas hati. Dan yang kedua manusia tidak letakkan kesyukuran itu seratus peratus pada Allah.

Bukankah setiap yang berlaku itu dalam pengetahuan Allah, hatta pergerakan sehelai daun yang jatuh di dalam hutan tropika yang tidak pernah dimasuki manusia pun dalam kawalan dan pengetahuan Allah. Setiap sudut ‘yaw, pitch, roll’ jatuhnya daun itu dalam perancangan Allah. Begitu juga dengan hilangnya kasut kita itu.


“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan.
Segala Yang ghaib, tiada sesiapa Yang mengetahuiNya melainkan Dia lah sahaja;
dan ia mengetahui apa Yang ada di darat dan di laut;
dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya,
dan tidak gugur sebutir bijipun Dalam kegelapan bumi dan tidak gugur Yang basah dan Yang kering, melainkan (Semuanya) ada tertulis di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang terang nyata” 

(al-An'am : 59)


Ia adalah ujian, setiap yang berlaku adalah ujian dari Allah. Bagaimana kita berhadapan dengan ujian ini bergantung pada keimanan kita.

Pernahkah kita bersyukur setiap kali kasut kita ada apabila kita selesai solat? Jarang bukan..kita bersyukur apabila hak kita yang hilang dikembalikan semula (itupun dengan ngomelan..). Jika hak kita tidak dikembalikan, bagaimana? Tapi kita lupa untuk bersyukur setiap detik ketika mana Allah menjaga hak kita... “Alhamdulillah kasut aku masih ada..”.

Begitu juga dengan semuanya yang kita ada, kerana ia semua hanyalah pinjaman daripada Allah.



“..Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri..” (Luqman: 12)






Bersyukurlah selagi kita berpijak di daerahNya.
~

Saturday, June 5, 2010

Terjemah dari Du`a Untuk Gaza ( Syeikh al-Mishary Rashid al-Afasy )







Dari Anas RA "Sesungguhnya Nabi SAW berqunut selama sebulan semenjak para penghafaz al-Quran telah terbunuh, maka tidak pernah aku melihat baginda begitu sedih dengan kesedihan sekuat itu "
[ Hadith Riwayat al-Bukhari : Jilid 5 : 1300 ]



Cukuplah Allah bagi kami dan dialah sebaik baik tempat untuk berserah..

Cukuplah Allah bagi kami dan dialah sebaik baik tempat untuk berserah..

Wahai Tuhan yg memiliki Kemuliaan dan Kehebatan ..

Wahai Tuhan yg memiliki Kemuliaan dan Kehebatan ..

Wahai Allah , selamatkan Muslimin di Gaza..

Wahai Allah , selamatkan Muslimin di Gaza..

Wahai Allah jadikan bagi mereka pembantu dan penolong..



Ya Allah, Ya tuhan kami ..

Hebatnya perlindungan Mu dan agungnya pujian terhadap Mu ..

Sucinya nama nama Mu ..





Ya Allah ..

Tidak ada yang boleh menolak perintah Mu..

Tidak ada yang boleh menghancurkan tentera Mu..

Maha Suci Engkau dan segala pujian bagi Mu..

Wahai Tuhan .. hancurkan yahudi yang zalim ..

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab ..

Yang menggerakkan awan ..

Yang memporak perandakan persekutuan musuh ..

Hancurkan mereka dan huru harakan mereka .



Ya Allah ..Tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kekuasaan Engkau 

Mereka adalah pembunuh para Rasul dan Nabi Mu

Mereka telah menzalimi orang orang yang tidak berdosa

Ya Allah bebaskanlah kaum muslimin di Gaza





Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan dan Kehebatan ..

Ya Allah bebaskan tawanan mereka ..

Sembuhkanlah orang yg sakit dikalangan mereka ..

Angkatlah kesusahan mereka .

Ya Allah , tukarkanlah ketakutan mereka dengan keamanan.





Wahai Tuhan yang memiliki Kemuliaan dan Kehebatan ..

Ya Allah, muliakanlah Islam dan kaum muslimin ..

Dan hinakanlah syirik dan orang orang musyrikin ..

Dan hancurkanlah musuh musuh agama ..

Dan lindungilah benteng benteng Islam ..

Dan satukan suara orang Islam diatas kebenaran .





Wahai Tuhan sekelian alam ..

Wahai Tuhan bantulah orang orang Islam yang lemah di setiap tempat..

Ya Allah , perbaikilah keadaan orang2 Islam di Pakistan , Iraq dan setiap tempat ..

Ya Allah , satukan hati hati orang Islam diantara mereka ..

Dan berikanlah hidayah kepada mereka kejalan yang selamat ..

Dan keluarkanlah mereka dari kegelapan kepada cahaya ..

Wahai Tuhan ...Yang memiliki Kemuliaan , Kehebatan dan Keagungan ..





*Terjemah dari Du`a Untuk Gaza ( Syeikh al-Mishary Rashid al-Afasy )