Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu
Showing posts with label cerpen upenyu. Show all posts
Showing posts with label cerpen upenyu. Show all posts

Tuesday, July 30, 2013

TANAH SUKU EKAR DI MINGGUAN WANITA

 
 


Tahun ini saya hanya menghantar satu karya ke media iaitu cerpen bertajuk "Tanah Suku Ekar" dan telah tersiar di Majalah Mingguan Wanita edisi bulan April 2013. Musin kemarau masih belum berlalu bagi saya walau pun telah menyiapkan bebarapa karya, namun masih terasa tiada kekuatan dalam karya-karya yang dihasilkan maka itu karya-karya ini saya peramkan dulu menunggu masa yang sesuai untuk dihantar ke media.
 
Berbalik kepada cerpen saya yang tersiar, cerpen saya ini adalah berkisar permasalahan merebut tanah pusaka oleh dua adik beradik hingga menimbulkan permusuhan dikalangan keluarga yang berlarutan hingga ke anak-anak keduanya.
 

Saturday, July 27, 2013

Wednesday, July 18, 2012

Bisik Angin Teluk Bidara di majalah Perempuan


Assalamualaikum.

Agak berbulan juga saya tak kemas kinikan blogs saya ini. Kesibukan sering sahaja menghalang untuk menurunkan caatatan di sini. Begitu juga sekarang ini saya agak kurang berkarya baik menghasilkan cerpen mahu pun puisi. Kedatangan Ramadhan diharapkan akan memarakkan daya saya untuk terus berkarya. Mungkin selepas ini saya dapat menghasilkan karya-kara yang berunsur islami, mudah-mudahan.

Berbalik kepada taju yang diata, cerpen saya ini telah tersiar di majalah Perempuan terbitan bulan Mei 2012. Llama juga nak menyempurnakan cerpen ini, kira-kira setahun juga lama saya pendamkan. Karya asal yang tersiar di blog saya ini berbeza daripada yang tersiar di majalah Perempuan. Bagusnya kalau karya yang diperam adalah kita dapat memberi lebih rasa kepada karya kita. banyak yang diolah semulla. Penantian setahun berbaloi dan saya berpuas hati dapat menyelesaikannya dengan lebih sempurna. Mungkin orang lain mengambil masa beberapa jam atau beberapa hari untuk menyiapkan sesebuah cerpen, namun saya sengaja memeram lebih lama sehingga terbit kepuasan dalam menghasilkannya. Karya ini saya hantar kepada editor penhujung bulan Mac dan terbit pada bulan Mei, rasa agak cepat juga disiarkan.

Sekarang ada bebeapa cerpen saya yang masih saya peramkan. Mudah-mudahan peraman ini akan memberi hasil yang lebih baik.

Terima kasih kepada pihak Editor majalah Perempuan yang telah sudi menyiarkan cerpen saya dalam majalah mereka.

Jumpa lagi.


BISIK ANGIN TELUK BIDARA
Karya : Upenyu
“Sudah bertahun Az hidup bersama abang, abang masih mahu meneruskan kerja di laut itu? Kerja yang tidak pernah memberi kita kesenangan!”
Mungkin sahaja kelakianku rasa tercabar. Hatiku tersentuh dan begitu terhiris dengan setiap patah kata yang terbit dari bibirnya. Lebih terasa pedih hirisannya dari tajam teritip yang mengores kaki telanjang di terumbu karang. Bahkan bisa kata-katanya lebih pantas menyelinap ke seluruh ruang jantungku dari bisa sengatan obor-obor di laut.
“Bukankah Az telah berjanji, berkahwin dengan abang, dan laut ini sekali!”
Aku hanyalah seorang lelaki yang mencintai segala-galanya tentang laut. Seluruh hidupku adalah tentang ikan, sotong, udang, ketam dan segala khazanah di dalamnya. Namun hasilnya hanyalah sebuah kehidupan yang terlalu sederhana. Tidak ada yang dapat kubanggakan selain semangat seorang lelaki yang tabah menghadapi cabaran.
Yang mampu aku berikan buat isteriku hanyalah cinta, kesetiaan dan sebuah teratak dari papan yang aku bina sendiri di atas tanah peninggalan arwah ayah tidak jauh dari laut. Teratak di atas tanah lembah yang sering kali digenangi air bila hujan turun di musim tengkujuh. Teratak inilah aku bina sebuah kehidupan sederhana yang tidak sekali pernah mengenali erti kemewahan. Hanya deruan ombak yang terdengar dari jauh dan riuh sang helang berdada merah yang melayang pergi dan pulang di antara bukit-bukit hijau di Teluk Bidara ke laut luas sahaja yang menjadi penghibur.
“Abang mahu anak-anak kita nanti akan menyambung warisan ini?”
Aku hanya diam dengan gelora rasa yang membadai di hati. Kutahan diri dari mengeluarkan kata-kata bernafas amarah. Masih kejap pesan arwah ayah, berdiam sewaktu marah adalah pendinding dari bisikan syaitan.

Thursday, February 2, 2012

"Di Sayap Kupu-Kupu Terbang" di Majalah Mingguan Wanita


Dah lama saya tak menghanatar karya saya ke Majalah Mingguan Wanita, jadinya pada 9 Januari, 2012 lalu saya kembali mencuba menghantar karya saya yang bertajuk "Di Sayap Kupu_Kupu Terbang" dan menjangkakan kalau tersiar pun mungkin dua tiga bulan lagi. Alhamdulillah, saya tak perlu tunggu lama, karya saya akhirnya tersiar agak awal pada keluaran bil 1472 3 - 9 Februari, 2012. Terima kasih kepada Editor majalah Mingguan Wanita.

Untuk yang berminat menghantar karya ke Majalah Mingguan Wanita, hantar sahaja ke Pengelola Cerpen Majalah Mingguan Wanita, netty@karangkraf.com.my.

Wednesday, December 14, 2011

Tentang Suluk Filiphine



Tahun ini saya sememangnya kerap ke Sabah atas urusan kerja. Kota Kinabalu seakan menjadi rumah nombor dua pulak. Alhamdulillah, bukan senang nak melihat negeri orang. Tak semua berpeluang untuk melihat negeri orang. Walau pun kerap ke sana ada satu hajat yang masih belum tercapai iaitu menemui Sifu saya, novelis Azmah Nordin yang sekrang menetap di Bongawan, Sabah.

Semasa di Kota Kinabalu baru ini, inilah kali pertama saya menjamu selera di gerai ikan bakar di pasar philiphine. Selama ini rakan-rakan saya di Kota Kinabalu tidak mengalakkan saya makan di sana kerana kawasan itu agak kotor dan dipenuhi dengan pendatang dari Filiphina dan Indonesia. Kata seorang sahabat penulisan dari Sabah, kawasan itu dipenuhi oleh tikus-tikus busuk. Benarkah begitu? Bukankah bagi penulis, warnan hitam memberi seribu cerita untuk dikarang. Maka ke situlah saya akhirnya, untuk melihat tikus-tikus yang dinyatakan.

Sememangnya benar dakwaan itu semua. Tapi saya tak peduli. Mungkin ada sesuatu yang boleh saya jadikan modal untuk mengarang cerpen saya yang baru. Maka terjumpa lah saya dengan "Suluk Filiphine."

Menikmati hidangan ikan bakar sambil di temani gadis suluk. Seperti biasa, saya mulalah bertanya dan bersembang. Banyak cerita yang tersembunyi tentang Suluk. Pulang ke bilik hotel saya menulis ini di wall Facebook saya,

Saya google tentang Suluk Filiphina di Sabah, terjumpa ini,"Saya adalah anak Suluk yang dikatakan PTI tersebut, untuk benteras Orang Suluk di Sabah tidak akan selesai sekiranya hanya menangkap dan menghalau keranan mereka akan datang semula.

Saya cadangkan buat pihak keselamatan Malaysia (KDN) agar menangkap kesemua orang Suluk di seluruh Sabah, masukkan kedalam kurungan, bunuh sahaja mereka dengan menembak atau meracun kesemuanya sampai habis. InsyaAllah, mereka tidak akan datang lagi ke negeri Sabah untuk meminta simpati."

Tiba-tiba, saya ingin jadi manusia."




Ya, kalau selama ini minda saya sering dipenuhi tentang hitamnya Suluk ini. Kali ini saya ingin melihat Suluk yang hitam ini dari sudut pandangan yang berbeza. Sekurang-kurangnya sebagai manusia. Jadi inilah yang sedang menanti untuk dicurahkan di skrin komputer. Kisah seorang Perawan Suluk. Insyaallah.


"Kabus Dari Seberang" tersiar di majalah Perempuan Disember 2011


Kalau tidak kerana Helmi memaklumkan kepada saya, saya mungkin belum mengetahui yang cerpen saya bertajuk "Kabus Dari Seberang" telah tersiar di keluaran terbaharu majalah Perempuan edisi Disember 2011. Wajah artis Yuna menghiasi muka hadapan majalah ini. Terima kasihh Helmi. Anak muda yang cukup berbakat dalam bidang penulisan ini mula menyapa saya lewat karya saya bertajuk "Bisik Angin Teluk Bidara." Anda boleh baca penulisa beliau di blog beliau di Tetamu istimewa


Alhamdullilah dengan tersiarnya cerpen saya, saya merasa amat bersyukur kerana setakat ini karya saya belum pernah ditolak oleh pihak Editor. Tentu juga saya tak pernah lupa pada sifu saya dalam dunia penulisan iaitu Novelis Azmah Nordin.


Tahun ini saya amat kurang berkarya oleh kerana kekangan tugas yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Adakala satu cerpen yang saya hasilkan memakan masa sebulan dua sehingga saya rasa ianya benar-benar mantap sebelum dihantar ke media. Insyaallah rasanya tahun 2012 yang akan menjelang akan memberibanyak ruang untuk saya terus berkarya. Insyaallah.

Wednesday, November 16, 2011

Cerpen : Bisik Angin Teluk Bidara (1)



“… Ini bisik rindu angin dari laut
tentang pantai ini
yang telah kau singkirkan tanpa rasa
seolah tiada luka
pada daun-daun bidara yang tercarik
dan puntung kayu api berserakan
kau biar terpadam sendiri...”
Mungkin sahaja kelakianku rasa tercabar. Hatiku tersentuh dan begitu menghiris dengan setiap patah kata-kata yang terbit dari bibirnya. Lebih terasa pedih hirisannya dari tajam teritip yang mengores kaki telanjang di terumbu karang. Bahkan bisa kata-katanya lebih pantas menyelinap ke jantungku dari bisa sengatan obor-obor di laut.

“Abang masih mahu meneruskan kerja di laut tu?”

“Bukankah Az telah berjanji, berkahwin dengan abang, dan laut ini sekali!”

Aku hanyalah seorang lelaki yang mencintai laut lebih dari segalanya. Namun hasilnya hanyalah sebuah kehidupan yang terlalu sederhana. Tidak ada yang dapat kubanggakan selain semangat seorang lelaki yang kukuh..

Yang mampu aku berikan buat isteriku hanyalah cinta suci dan sebuah teratak dari papan yang aku bina sendiri di atas tanah peninggalan arwah ayah tidak jauh dari laut. Teratak di atas tanah lembah yang sering kali digenangi air bila hujan turun di musim tengkujuh. Teratak inilah aku bina sebuah kehidupan sederhana yang tidak sekali pernah mengenali erti kemewahan. Hanya deruan ombak yang terdengar dari jauh dan riuh sang helang berdada merah yang melayang pergi dan pulang di langit pantai Teluk Bidara ke laut luas sahaja yang ada menjadi penghibur.

“Abang mahu anak-anak kita nanti akan menyambung warisan ini?”

Aku hanya diam dengan gelora rasa yang membadai di hati. Kutahan diri dari mengeluarkan kata-kata bernafas amarah.

“Setiap kali bila Az melihat mereka bermain di pantai, dengan badan berbau air laut, hati kecil Az cepat-cepat berdoa, biarlah dewasa nanti bukan lagi bermain bersama ombak, bukan lagi bermain bersama ikan, ketam, sotong dan udang di laut. Biar mereka tinggalkan pantai ini, pergi ke kota untuk kehidupan yang lebih sempurna!“

Sunday, August 7, 2011

Senyuman Terindah Dari Tuhan..



Petang Sabtu yang lalu, sebelum pulang ke rumah, saya singgah sebentar di sebuah medan selera untuk membeli juadah untuk berbuka puasa. Mungkin masih terlalu awal, suasana di situ lenggang sahaja.

Sedang mata saya melilau-lilau untuk memilih juadah, tidak semena-mena mata saya bertemu dengan mata seorang gadis kecil berkulit putih dengan rambut ikal, mungkin berumur dalam lingkungan usia 6 tahun yang sedang duduk di sebuah kerusi tidak jauh dari meja jualan. Kami bagaikan saling berpandangan, tiba-tiba gadis kecil itu memberikan senyuman kepada saya. Tidak tahu kenapa, saya tiba-tiba merasakan senyuman itu begitu istimewa, begitu indah dan begitu manis sekali. Senyuman yang terlahir dari keikhlasan.

Namun sempat saya menjeling pandang ke belakang, takut-takut senyuman itu bukan untuk saya tetapi orang di belakang. Tiada siapa di belakang saya, saya memandang kembali kepada gadis kecil itu, senyumannya masih tidak lekang. Saya lemparkan balik senyuman kepada gadis kecil itu.

Gadis kecil itu tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan perlahan menuju ke arah saya. Dia betul-betul berdiri di depan saya. Sambil matanya memandang saya, dia kemudian berkata dengan suara keanakkannya, “Pakcik, terima kasih bawa kawan saya pergi klinik!”

Saya terdiam sejenak sambil cuba memahami maksud gadis kecil ini. Ingatan saya kembali kepada apa yang berlaku sebulan yang lalu sewaktu sedang makan di medan selera ini. Seorang budak lelaki dalam usia 5 tahun terjatuh ke dalam longkang berhampiran. Tangisan kuat kanak-kanak lelaki itu kemudian diikuti oleh teriakan seorang perempuan indonesia yang berkerja sebagai pembantu gerai di situ mengejutkan semua orang. Baru saya perasan ada seorang budak perempuan yang turut sama bermain dengan budak lelaki itu sebelumnya.

Semua mata yang berada di situ memandang kepada ibu malang yang sedang mendukung budak lelaki tadi. Memang jelas nampak darah mengalir dari kepala budak lelaki berkenaan. Si Ibu semakin histeria, bila tangisan anaknya semakin kuat. Masing-masing yang berada di situ seperti terpaku dan hanya memandang. Tiada siapa yang menawarkan pertolongan. Isteri saya yang duduk disebelah saya, tiba-tiba memegang tangan saya, sambil meminta saya membantu ibu muda yang mulai panik itu bila darah terus mengalir dari celah jari-jarinya sedang memegang kepala anaknya.

Sunday, May 22, 2011

Cerpen saya "Kemaafan Ayah" tersiar di majalah Aniqah edisi Jun 2011




Salam.

Cerpen saya bertajuk "kemaafan Ayah" telah tersiar di majalah Aniqah edisi Jun 2011. Cerita berkenaan sikap seorang anak yang terhadap ayahnya yang menghidap AIDS. Cerita saya tersiar mungkin kerana bersesuai dengan Hari Ayah yang diraikan pada setiap Jun. Terima kasih kepada Editor majalah Aniqah.

Wednesday, May 18, 2011

Cerpen "Derai Di Mata Ibu" tersiar di majalah PEREMPUAN edisi Mei 2011



Salam,

Cerpen saya yang bertajuk "Derai Di Mata Ibu" yang saya hasilkan tahun lalu dibawah bimbangan Novelis Azmah Nordin (SEA Writer Award 2009) tersiar di majalah Perempuan. Cerpen yang saya simpan hampir setahun ini, akhirnya saya putuskan untuk dikirimkan ke majalah Perempuan pada penghujung Mac 2011, tak sangka pulak ia cepat terbit iaitu pada bulan Mei 2011. Terima kasih kepada pihak Editor majalah Perempuan yang sudi menyiar karya saya ini.

Wednesday, April 13, 2011

Cerpen : Bisik Angin Teluk Bidara

Karya: Upenyu


“… Ini bisik rindu angin dari laut
tentang pantai ini
yang telah kau singkirkan tanpa rasa
seolah tiada luka pada
daun-daun bidara yang tercarik
dan puntung kayu api berserakan
kau biar terpadam sendiri...”



Angin dari laut yang berhembus di Teluk Bidara ini adalah tentang kehidupanku. Di sinilah ianya bermula. Di sini aku dilahirkan dan dibesarkan. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main berlari mengejar ombak. Aku mengenali laut ini seperti aku mengenal diriku sendiri. Laut ini adalah tentang ikan-ikan, terumbu karang, badai ombak, burung-burung camar dan harapan. Juga, laut ini adalah tentang kehidupan dan kematian.

Dari laut ini aku belajar erti kehidupan, belajar untuk tidak cepat putus asa dalam mengharungi kehidupan yang begitu mencabar. Ombak dari gelombang laut yang bergelora ini untuk aku sangah dengan tenaga tulang empat kerat lelakiku. Laut yang aku warisi ini membuat aku percaya bahawa aku perlu menjadi lelaki yang kuat dan tabah demi rezeki yang mesti ku bawa pulang untuk keluarga.

Ah, laut, terlalu besar maknanya dalam hidupku. Sekian tahun bersamanya, aku tidak pernah sekali menyerah kalah. Setiap jengkal kedalamannya, setiap gelombang yang menghempas, segalanya adalah warna-warna dalam kehidupan. Tidak ada istilah takut pada gelombang. Pasrah pada keadaan, bersiap untuk terombang-ambing yang tak pasti di tengah lautan tak bertepi. Pasrah bukan bererti menyerah. Melainkan, berjuang semampu boleh sampai ke titik penghabisan dengan diiringi doa pada yang Esa.

Kata arwah ayah, “Kehidupan di laut itu keras, anakku. Tak ada kata main-main dalam setiap yang dikerjakan. Harus gigih, tabah dan pantang menyerah. Bergaul dengan laut, bererti tahu dan faham akan bahaya yang hadir bersamanya.”

Mungkin sahaja kelakianku rasa tercabar. Tersentuh dan begitu menghiris dengan kata-kata yang terbit dari bibirnya. Lebih terasa pedih hirisannya dari hirisan tajam kerikil di terumbu karang. Bahkan bisa kata-katanya lebih pantas menyelinap ke jantungku dari bisa sengatan obor-obor di laut. Namun itulah aku, membiar sahaja kepedihan itu terpendam segalanya dalam diam.

“Abang mahu meneruskan kerja di laut tu?”

“Kenapa? Kau dah bosan? Tak yakin dengan kehidupan ini?”

“Entah kemanakah pergi hilangnya cita-cita Ina selama ini. Sudah lama Ina ingin beralih arah. Berpaling ke kota mencari masa depan lebih sempurna, untuk kita, untuk anak-anak.”

“Bukahkah kau berjanji, berkahwin dengan abang, dan laut ini sekali!”

Aku hanyalah seorang lelaki yang mencintai laut lebih dari segalanya. Hasilnya sebuah kehidupan yang terlalu sederhana. Tidak ada yang dapat kubanggakan selain semangat seorang lelaki yang kukuh. Dadaku kekar membawa bersama semangat juang warisan ayah. Gelombang ditempuh. Badai dihadapi. Gelora direnangi. Tidak pernah ada wajah takut, tidak pernah ada bayang gusar. Tidak ada kerisauan untuk menghadapi hari esok. Kepercayaanku pada takdir Tuhan tidak pernah goyah.

Hadiah terbaikku buat isteri hanya sebuah teratak kecil, tidak jauh dari laut. Di atas tanah pasir yang sesekali didatangi air bila hujan lebat turun. Atau, kalau air pasang penuh. Deru ombak dari jauh selalu menghibur atau seekor dua camar laut melayang di waktu petang, menemani senja.

“Apakah anak-anak kita nanti akan menyambung warisan ini? Setiap kali Ina melihat mereka bermain di pantai, dengan badan berbau air laut, hati kecil Ina cepat-cepat berdoa, biarlah dewasa nanti bukan lagi bermain bersama ombak. Tinggalkan pantai ni, pergi ke kota untuk kehidupan yang lebih sempurna.“

Ada kata-kata yang ingin kulontarkan buatmu isteriku, tapi tak terkeluar. Kata-kata itu tersekat seumpama cebisan tulang ikan yang dimamah tersengkang di kerongkong dan dada ini.

“Abang, Ina sudah puas menelan bilah-bilah sengsara ini. Abang fikir, masih terhimpunkan lagi kesabaran di hati Ina?”


*****

“Mak!”

Rengek Haikal perlahan. Kupeluk Haikal, kuusap rambut dan cium pipinya. Matanya merah berair. Terasa hangat kepalanya. Sudah masuk hari yang keduanya, Haikal tidak sihat. Panas sekali badannya. Semalam sudah habis segelas air jampi Tok Hassan di minumnya. Namun demamnya masih belum kebah.

“Mak!”

Haikal merengek lagi. Anak kecilku ini yang baru berusia empat tahun segera aku pindahkan ke dalam buaian. Sambil menghayun buaian, aku menyanyikan lagu-lagu tentang laut, seperti yang ibunya sering lakukan untuk menidurkannya.

“Nani, buatkan adik bubur.”

Tak sempat habis menjemur ikan di pangkin, anak sulungku yang masih bersekolah di tahun enam ini bergegas masuk ke rumah dan terus ke dapur. Dijerangnya bubur nasi. Campur dua biji kentang potong kecil memanjang. Campur anak-anak bilis yang digoreng. Taburkan bawang goreng. Daun sup siap diracik halus dimasuk sekali. Bau menumis wangi hingga memenuhi ruang rumahku.

Kasihan Nani. Dalam kesibukkannya belajar untuk menduduki peperiksaan tahun ini, dialah yang kuharap-harap supaya membantu itu dan ini jika perlu. Sewaktu aku ke laut Nanilah yang akan menjaga adik-adiknya, menjaga rumah, menjemur ikan-ikan yang ku bawa pulang untuk dijadikan ikan masin. Anak lelakiku yang tengah pula tengah menakal sangat, tahunya hanya bermain dengan rakan-rakan, dan yang bongsu, dia sedang berjalan jatuh.

“Adik rindukan mak, ayah.”

Kulihat mata Nani basah. Segera air mata yang mengalir di pipinya disela dengan jemarinya. Aku tahu, Nani juga rindukan ibunya. Gadis seusia ini sudah mula memahami apa yang berlaku. Perasaan rindu itu disembunyikan disebalik air matanya yang mengalir.

“Ayah, mak tak mahu balik ke, ayah?”

Aku terguris dengan pertanyaan anak sulongku ini, tetap cepat-cepat kubiarkan berlalu. Entah tiba-tiba air mataku mengalir. Sudah puas aku bertahan. Cepat-cepat kukeringkan air mata, bukankah aku sudah berjanji untuk tahan dengan keadaan. Kenapa mata tidak mampu menyembunyikan.

“Ayah sakit?”

Anak sulungku meraba dahiku. Saling tidak tumpah persis ibunya yang akan memicit kepalaku bila aku pulang dari menjelajah laut. Aku gelengkan kepala. Mangkok bubur di tangan Nani kucapai. Mengaut sesudu bubur nasi lalu kutiup untuk menghilangkan panasnya. Bubur nasi sedikit suam terus disuapkan ke mulut adiknya.



Sambung..

Saturday, March 26, 2011

Cerpen : Di Sayap Kupu-Kupu Terbang..



Karya : Upenyu



Di dalam kehidupan ada masanya kita perlu membuat pilihan. Pilihan antara kebaikan dan keburukan, yang mana imbangannya tetap sama. Sememangnya kita tidak akan pernah tahu samada pilihan yang kita buat dalam menjalani kehidupan ini adalah tepat, sehinggalah kita sampai ke penghujung kehidupan itu sendiri.

“Hidup menawarkan banyak pilihan, Fathin.” Ujarku lembut sambil sedikit berpaling ke arah Fathin yang duduk di sebelahku.

Hujan malam yang turun agak lebat membasahi kota ini, memaksa aku memandu keretaku dengan perlahan dan berhati-hati. Sesekali terlihat kilat memancarkan cahayanya berserta dentuman guruh yang agak kuat. Fathin memeluk dirinya sendiri sambil merenung jauh ke arah kegelapan di luar kaca tingkap kereta.

Dia meluruskan kaki kehadapan dan kemudian mengeluarkan sekotak rokok dari beg tangannya. Sebatang rokok jenama terkenal terpacak di bibirnya. Tidak berlengah lalu menyalakannya. Disedutnya dalam-dalam kemudian dihembuskan kembali.

“Kamu merokok Kamal?” Soal Fathin sambil memandang ke arahku.

Aku menjawab soalan Fathin hanya dengan mengelengkan kepala. Asap rokok yang dihembus Fathin memenuhi ruang kereta. Mataku sedikit kepedihan. Cermin tingkap kereta kuturunkan sedikit. Rembisan air hujan segera menerjah masuk menampar mukaku.

Fathin menyedari aku kurang selesa dengan keadaan itu, lalu cermin tingkap kereta dibukanya sedikit, puntung rokok yang masih panjang itu dicampak keluar. Cermin tingkap kereta kembali ditutup.

“Tak bosankah dengan kehidupan seperti ini?” Ujarku berhati-hati mengucapkan kalimat tersebut.

Fathin hanya diam tidak menjawab pertanyaanku. Aku melirik semula ke arah Fathin. Dia terlihat sangat cantik. Paras wajahnya yang memukau seperti bulan yang bercahaya. Rambut hitamnya yang keperangan dipintal-pintal perlahan. Pakaiannya yang berwarna hitam mendedahkan sebahagian pehanya. Aroma perfume yang dipakainya menyucuk-nyucuk hidungku.

“Setiap orang, baik lelaki mahupun wanita, pasti pernah berfikir mengenai perkara ini.” Aku berusaha melontarkan pandanganku sebaik mungkin.

“Aku tak mampu menjawabnya, Kamal. Kamu tidak akan pernah tahu ukuran kebahagiaan bagi aku. Begitu juga sebaliknya. Kita berbeza dalam mentafsir erti kebahagiaan.” Jawab Fathin perlahan masih menumpukan pandangan ke arah luar kereta.

Sunday, February 20, 2011

Cerpen Kontot: Rajuk

Balai Berlepas, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, 18 Februari, 2011, 8.30 malam.



Bye

Salam bang, kenapa tak cakap nak balik malam ni, tidak boleh jumpa abang malam ni kat airport..

its okey, bye...


Tuesday, January 18, 2011

Cerpen : Kabus Dari Seberang



Kenangan indah di Medan masih segar di ingatanku. Namun senyuman Rinni adalah yang terindah dari segala keindahan yang ku temui di Medan. Manis senyumannya masih bermain-main di mataku, walapun pertemuan itu telah tiga tahun berlalu. Bahkan aku rasakan seolah-olah pertemuan itu bagaikan baru sehari berlalu.

“Rinni Sayundra.”

Gadis manis berkulit putih berkerudung biru yang duduk di hadapanku itu menghulurkan tangan memperkenalkan dirinya. Nama yang begitu sesuai dengan dirinya. Manis dan mempersonakan. Aku renung wajahnya. Dia tersenyum memperlihatkan barisan gigi yang putih menghiasi wajah manisnya. Senyumannya seindah mawar pagi yang sedang berkembang. Wajahnya yang putih itu kemerah-merahan dibakar oleh sinar matahari petang di tengah kehijauan air Danau Toba yang terbentang luas. Feri pelancong berukuran hampir lima puluh meter yang kami naiki perlahan-lahan meninggalkan Pulau Samosir yang dilawati tadi menuju balik ke Parapat.

"Razman.” Balasku sambil menyambut huluran salamnya.


Angin panas yang bertiup agak keras tapi nyaman sesekali menampar wajahku. Pandangan mataku yang sedari tadi menikmati indah gadis itu segera ku alihkan ke arah Pulau Samosir yang kian jauh ditinggalkan. Pulau yang berada di tengah-tengah Danau Toba yang konon terjelma hasil kutukan para dewa masih kaya dengan tinggalan tradisi kaum Batak.

Sengaja aku memilih duduk di bahagian atas bumbung feri yang telah tersedia beberapa baris kerusi agar dapat aku menikmati keindahan keseluruhan Danau Toba ini sepuas-puasnya. Hanya aku dan Rinni berdua yang ada di situ. Suasana ketika itu agak mendamaikan walau hembusan angin terasa sedikit panas.

Keindahan dan kedamaian Danau Toba tidak dapat kuungkap dengan kata-kata. Saat paling indah tentunya ketika menyaksikan sang matahari yang mula terbenam di celah pergunungan lalu membiaskan cahayanya ke dalam tasik sambil kawanan burung pula riuh dengan kicauan, membuatkan hati terasa begitu damai di Danau Toba.


“Horas! Dari tadi saya lihat bapak Razman sendirian. Jadi bisa diajak ngobrol ya!” Ujar Rinni memulakan bicara terlebih dahulu.

Angin kembali bertiup nakal. Rinni sedikit terbangun seraya memegang kerudung di kepalanya yang hampir terlepas diterbangkan angin. Terlihat rambut hitamnya yang separas bahu teralun-alun dibuai angin. Jari-jemarinya yang lentik bagaikan helaian daun serai itu segera memegang kemas kerudung birunya . Dia berpaling semula memandang kepadaku.

”Kenapa orang di sini menyebut perkataan Horas setiap kali bertemu?” Soalku meminta penjelasan dari Rinni.

”Horas itu sepertinya ucapan salam tiap kali bertemu. Jadi selepas ini kalau kamu ketemu sesiapa disini, sebutkan Horas, pasti kamu akan disapa mesra.” Jelas Rinni bersungguh.

Sesekali aku mencuri pandang ke wajah Rinni ketika dia memandang ke arah lain. Wajahnya tidak kelihatan seperti gadis-gadis Batak yang ku temui sejak tiba di Medan. Hidungnya sedikit mancung. Matanya galak dan bicaranya agak lembut. Dari apa yang aku tahu, gadis-gadis Batak perlakuan dan bicaranya selalunya agak sedikit kasar. Namun Rinni tidak demikian. Dia lebih mirip gadis dari kota besar seperti Jakarta.

“Kamu orang Medan, Rinni?” soalku.

‘’Enggak, aku dari Jakarta, datang ke mari untuk berlibur. Baru menamatkan pengajianku di Universitas Gajah Mada. Aku orang Sunda kelahiran Kota Hujan, Bogor.’’ Jawab Rinni dengan senyuman yang sememangnya tidak pernah lekang tersaji di wajahnya.

“Apa pekerjaan bapak. Bapak ini kelihatan ganteng sekali!’ Usik Rinni.

“Pegawai Polis.” Jawabku pendek.

“Bapak Polisi! Pangkatnya apa ya? Inspektor barangkali. Jadi datangnya berlibur atau sedang mencari maling yang merampok di Malaysia.” Rinni mengusik ku lagi sambil tertawa. Gemersik tawanya masih terngiang-ngiang di telingaku hingga kini.

“Panggil sahaja Razman, usah berbapak-bapak. Telah tiga hari saya di Kota Medan kerana menghadiri seminar kepolisian tentang jenayah perdagangan orang. Seminar itu tamat semalam. Jadi saya bercadang mahu menghabiskan cuti seminggu lagi di sini. Apatah lagi menurut ibu saya, arwah ayah berasal dari sini. Mencari susur galurku di sebelah ayah sudah tidak mungkin. Namun setidak-tidaknya saya telah kembali untuk memijak tanah kelahiran ayah.” Jawabku.

Mata nakalku menyurut sedikit demi sedikit tubuhnya, dari rambut ikalnya yang jatuh terhurai di dahi, sepasang matanya yang bundar, bibirnya yang semerah delima, turun ke leher jinjangnya dan ke arah dadanya yang bidang.

"Kenapa sih, pandang saya sebegitu sekali!” Rinni tiba-tiba bersuara sambil tapak tangan kanannya dilambai-lambai kemukaku.

Aku tersipu sendiri. Imiginasi nakalku tentang gadis itu terpadam. Lelaki tetap juga lelaki, gagal mengawal diri bila berhadap gadis secantik ini. Segera aku alihkan pandangan ke arah beberapa ekor burung yang sedang terbang bebas melintasi Danau Toba menuju ke arah Pulau Samosir.

‘’Bapak sendirian?”

“Ya.”

“Kalau begitu, jadi pacarku aja untuk satu minggu ini. Aku juga sendirian. Mahu enggak?” Pelawa Rinni.

Aku tidak segera menerima pelawaan Rinni. Deruan air Danau Toba yang menghempas dinding feri pelancong yang aku naiki ini kedengaran kuat. Cerita tentang gadis-gadis yang menawarkan diri dengan bayaran tertentu mula datang bermain di benakku. Apa mungin gadis ini salah seorang dirinya. Ah! Terlalu mudah aku menghukum.

“Kamu curiga tentang diri saya? Dalam fikiran kamu saya ini, perempuan yang menjual kehormatan. Begitu ya Inspektor Razman!” Ujar Rinni sinis.


Angin yang agak deras tiba-tiba berhembus. Kerudung biru yang dipakai Rinni terlepas dari kepalanya dan melayang terbang tepat ke mukaku. Ada haruman yang hadir bersama-sama kerudung biru itu. Kerudung biru itu segera ku hulurkan kembali kepada Rinni.

“Simpan saja kerudungku itu. Sebagai tanda persahabatan. Mungkin pada satu masa nanti ia akan bisa membalut lukamu.“


****


Masa beralih pantas tanpa sedar. Telah lama tidak apa-apa berita dari Rinni. Kalau dulu aku dan Rinni sering berhubungan, kini hubungan itu telah terhenti. Rinni tidak lagi dapat ku hubungi, malah panggilan dari Rinni juga tidak ku terima. Segalanya terhenti tiba-tiba. Aku merasakan satu kehilangan, pada senyuman yang sentiasa ada di wajahnya, juga pada lunak suaranya bila berbicara. Kerinduan itu tiba-tiba datang menerjah bagai halilintar di musim kemarau

“Kamu pernah jatuh cinta Razman?“ Pertanyaan Rinni sewaktu kami singgah di air terjun Sipiso-piso dalam perjalanan dari Parapat ke Berastagi.

Kami berdiri di tebing curam yang berpagar sambil memandang air terjun Sipiso-piso yang mengalir deras menerjah ke bumi., Jujuran berwarna putih di antara dataran subur yang ditanami tumbuh-tumbuhan dan deretan pergunungan di atasnya. Saat memandang ke kiri air terjun, akan menemukan panorama Danau Toba yang menawan, air danau yang tenang, yang sangat kontras dengan jujuran deras air terjun. Keindahaan ciptaan Tuhan yang begitu mengasyikan.

“Sekali, sewaktu menuntut di universiti. Aku dari keluarga miskin sedangkan dia dari keluarga orang berada. Tiba dipersimpang untuk memilih, aku ditinggalkan.” Jawabku sejujurnya.

“Pasti kamu benci pada kemiskinan. Aku juga terlahir dari sebuah keluarga miskin dan mahu segera keluar dari kemiskinan ini. Tidak pernah bercinta. Aku benci dengan kemiskinan ini. Aku punya cita-cita untuk merubah nasih keluargaku. Aku percaya, pendidikan tinggi mampu merubah nasib manusia. Tapi, bagaimana jika kemiskinan terus menghadang. Jangankan untuk biaya kuliah, buat makan saja susah. Kedua orang tua ku menjual satu-satunya tanah milik keluarga yang ada semata-mata untuk membiayai pengajianku, malah sampai sekarang masih lagi berhutang. “ Rinni mengeluh perlahan.

“Kemiskinan itu ujian dari Allah supaya kita bersabar dan istiqamah. Namun begitu kemiskinan juga bukan takdir Allah yang tak dapat diubah.” Balasku sambil merenung ke matanya yang mula kelihatan berkaca.

Aku dan Rinni kembali mendiamkan diri, mata kami merenung tajam deruan air terjun Sipiso-piso yang jatuh nun jauh ke dasar. Seolah melihat bahawa kehidupan itu tidak ubah bagai air terjun yang jatuh ke tanah tanpa henti. Rembisan air terjun Sipiso-piso yang ditiup angin menampar lembut ke muka kami. Kedinginan airnya begitu terasa.

Aku terbayang wajah arwah ayah. Masih ada parut di belakang badan aku kerana dirotan ayah bila mengetahui aku curi-curi bekerja di sebuah kedai runcit selepas waktu sekolah. Kata ayah, walaupun kami hidup susah, dia mahu aku belajar hingga berjaya dan merubah nasib keluarga. Sebagai abang yang sulung, ayah mahu aku menjadi contoh kepada sembilan orang adik-adikku. Sedihnya di hujung pengajianku di universiti, ayah kembali ke ramatullah tanpa sempat menikmati kejayaanku.

“Wanita menjadi mangsa syaitan yang bernama kemiskinan. Wanita miskin dan bodoh dari daerah pendalaman diajak bekerja di kota dengan gaji tinggi, tetapi akhirnya selepas itu dijadikan pelacur. Diheret ke lembah hina sebagai pelayan nafsu lelaki. Dijual dari satu lelaki ke satu lelaki yang lain seumpama barang dagangan. Tak ada perempuan yang mau jadi pelacur! Tiada wanita yang rela untuk bergelumang dalam lembah hina ini. Kau pasti lebih tahu Razman.” Dengus Rinni bagai tersimpan dendam yang tak pernah padam.

Membaca akhbar-akhbar di Medan, sering sahaja ku temui berita tentang eksploitasi ke atas kaum wanita yang berpunca dari sebab kemiskinan. Keluarga yang miskin mendorong anak-anak dan perempuan mereka dipaksa bekerja mencari pendapatan tambahan keluarga sebagai cara untuk bertahan dalam kehidupan. Sememang tiada wanita yang ingin hidup di dalam dunia hina ciptaan lelaki durjana. Kemiskinan telah menghumban wanita kelembahan kehinaan. Kemiskinan menghasilkan penjenayah. Malah manusia menindas sesama manusia kerana kemiskinan. Manusia yang hilang pertimbangan agama dan akal akan melakukan apa saja untuk keluar dari garis kemiskinan. Jenayah menawarkan jalan keluar yang segera.

“Kalaulah satu hari nanti, andai aku terjerumus masuk ke dalam lembah hina ini, adakah kau akan datang menyelamatkan aku Razman?” Soal Rinni sambil matanya tepat memandangkan ke mataku seolah meminta jawapan pasti dariku.

Aku tidak sempat menjawab soalan Rinni bila beberapa orang kanak-kanak tiba-tiba datang menghampiri kami sambil menawarkan barangan jualan. Aku membeli sehelai baju Ulos, baju tradisi lelaki-lelaki Batak sebagai kenangan bahawa aku pernah ada di sini.

“Kamu suka puisi Rinni?” Soalku.

“Puisi hanya menawarkan secawan mimpi-mimpi penuh dusta, jalan mudah untuk menjauhkan manusia dari kenyataan.” Jawab Rinni tegas.

Mata Rinni ku pandang tepat. Dalam kelembutan wajahnya, rupanya penuh dengan ketegasan yang sukar untuk dilembutkan. Mungkin sahaja kemiskinan itu mengajar manusia menjadi lebih tegas dengan kehidupan.

“Begitu sekali pandanganmu tentang puisi! Seorang penyair bisa berbicara tentang soal kemiskinan dengan begitu berkesan sekali. Kamu kenal WS Rendra, Rinni? Rendra berada pada posisi pembelaan terhadap kaum miskin melalui puisi-puisinya. Ya, tentu saja semua seniman mencintai orang miskin. Demikian juga Chairil Anwar, Taufiq Ismail, Sapardi Djoko Damono, Sutardji Calzoum Bachri, Goenawan Mohamad, dan sebahagian besar yang lain. Tapi tema puisi mereka bukan tentang orang miskin.” Balasku.

“Bagiku puisi tidak mungkin dapat mengenyangkan perut-perut manusia kelaparan malahan perut-perut mereka yang menghasilkan puisi itu sendiri. Yukk.. bas ke Berastagi sedang menanti kita!” Pantas Rinni mematikan persoalan tentang puisi.

Di dalam bas menuju ke Bandar Berastagi, aku hulurkan sekeping nota yang telah ku tuliskan puisi WS Rendra sambil meminta Rinni melagukannya. Rinni yang duduk di sebelahku perlahan-lahan melagukan puisi karya WS Renda bagaikan seorang ibu yang sedang menidurkan anak-anaknya.

“Dengan latar belakang gubug-gubug karton, aku terkenang akan wajahmu.Di atas debu kemiskinan,aku berdiri menghadapmu.Usaplah wajahku, Widuri. Mimpi remajaku gugur,di atas padang pengangguran..”.

“Kamukah Arjunaku yang akan datang membawaku pergi jauh dari sini, Razman?” Sayup-sayup aku terdengar bisik perlahan Rinni di telinga saat-saat aku cuba melelapkan mata.

Suara merdu Rinni meresap lembut masuk ke hatiku hingga membuat aku lupa tentang indahnya pokok pain yang banyak tumbuh meliar, tentang selekoh tajam dan curang dalam yang terbentang di kiri dan kanan di sepanjang perjalanan ke Berastagi.


* * * *


Perpisahan ini pastinya bukan bererti berakhir hubungan aku dan Rinni. Aku yakin kami akan bersua kembali. Hanya waktu yang akan menentukan. Lambaian tangan Rinni saat perpisahan itu seolah-olah menjemput aku untuk mengunjungi kembali ke sana. Air mata yang mengalir di tebing pipinya adalah harapan yang telah diberikan kepadaku. Hatiku tidak henti-hentikan membisikan bahawa aku akan kembali.

“Malaysiamu itu bagaimana Razman? Menurut mereka yang pernah bekerja di sana, wang mudah diperolehi asalkan sangguh bekerja keras. Aku ingin sekali ke negaramu, mencuba mencari rezeki dan menemuimu.“ Ungkapan Rinni sewaktu menghantarku pulang di lapangan terbang Polinia. Dinginnya suasana di balai berlepas lapangan terbang Polonia menambahkan lagi sayu di hatiku.

“Sebagaimana yang kau pernah dengar, begitulah adanya. Negaramu dan negaraku dari rumpun yang satu, berkongsi budaya dan bahasa yang sama.” Balasku.

Rinni, biarku ceritakan padamu tentang Kuala Lumpur. Kota ini ramah. Kota ini mudah menerima sesiapa sahaja yang ingin jadi penghuninya. Kita perlu tabah dan berani untuk menjadi penghuni kota ini.

Kota ini juga kejam. Di sini wang adalah segala. Mereka yang lemah imannya memilih cara terkutuk untuk mendapatkan kemewahan. Ataupun mungkin juga atas desakan hidup, manusia terpaksa melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup, tidak mengira halal haramnya.

Mungkin masa belum mengizinkan untuk bertemu denganmu buat waktu ini, Rinni. Kesibukanku sebagai seorang pegawai polis di kota yang sarat dengan kegiatan jenayah bagai benteng penahan asakan ombak rindu yang kuat membadai. Selat Melaka bagaikan pagar-pagar duri yang sering cemburu melihat aku yang tidak pernah jemu menatapi wajahmu yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

Aku pasti akan datang juga untuk melarikan dirimu dari kemiskinan yang kau hadapi itu. Rinni tunggulah kedatangan aku. Kita lewati kembali segala onak duri, tebing yang curam dan jurang yang dalam, seperti yang pernah kita sama-sama lalui di sepanjang jalan ke Berastagi tiga tahun yang lalu. Kita nikmati kembali hamparan pemandangan pokok-pokok pine yang begitu memukau. Suatu hari kelak, aku akan kembali ke sana.

Rinni. Malam ini aku dan orang bawa ku akan membuat operasi mencegah jenayah. Kami akan buat serbuan ke sebuah hotel di pinggir bandar Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi sarang pelacuran warga asing. Aku amat bersimpati dengan mereka, Rinni. Mereka ini perlu diselamatkan.

“Tuan.”

“Tuannn!”

``Ya, Sarjan!”

Aku sedikit tersentak. Wajah Rinni hilang. Aku berpaling memandang tepat ke wajah Sarjan Harun, orang bawahanku. Ada kerutan di dahinya. Misainya yang tebal bergerak-gerak. Dia mungkin kehairanan dengan sikapku malam ini. Matanya yang tajam kembali memandang tepat ke arah ruang lobi hotel di mana beberapa orang lelaki dan perempuan sedang berlegar-legar disitu.

“Arahkan semua anggota, kita serbu sekarang!.” Segera arahan ku keluarkan kepada Sarjan Harun. Aku memandang tepat ke wajah Sarjan Harun, kemudian berpaling ke arah anggota bawahanku yang lain yang telah bersedia menunggu arahanku untuk bertindak. Selepas memaklumkan kepada pengurus hotel berkenaan, kami mula memeriksa dari bilik ke bilik.

Aku, Sarjan Harun, Koperal Hussin dan Koperal Rohani berdiri di hadapan bilik yang terakhir yang tertera di pintunya nombor 1101. Sarjan Harun mengetuk pintu bilik bertalu-talu.Tiada jawapan yang diterima. Tanpa menunggu lama, Sarjan Harun segera membuka pintu bilik dengan kunci pendua. Kami menyerbu masuk, terlihat seorang lelaki sedang tergesa-gesa memakai pakaiannya. Sarjan Harun dengan bantuan Koperal Hussin menerkam ke arah lelaki tersebut dan berlaku sedikit pergelutan sebelum lelaki itu akhirnya berjaya digari. Sarjan Harun dan Konstabel Hussin segera membawa lelaki itu keluar.

Seorang perempuan berkulit putih pasangan lelaki itu masih berselimut di katil. Selimut putih menyeliputi tubuhnya dari kaki hingga ke paras bahu. Pastinya dia tidak berpakaian. Dia menekup muka dengan kedua-dua tangannya. Rambutnya panjang itu juga menutupi seraut wajahnya itu. Ada esakan perlahan yang terdengar.

“Koperal Rohani, suruh perempuan itu memakai pakaian, periksa butir diri dia, kemudian bawa ke lobi! Saya tunggu kamu dibawah.” Arahku kepada Koperal Rohani.

Aku segera menuju ke pintu bilik untuk segera keluar. Ada rasa simpati dan kasihan yang wujud dalam hatiku. Mereka ini adalah mangsa yang dieksplotasi oleh golongan yang ingin mencari kekayaan dengan cara yang salah. Diperdaya di negara mereka dan akhirnya terperangkap dan berakhir di bilik-bilik hotel sebagai pelacur.

“Razman…”

Satu suara yang pernah ku dengar tiba-tiba mencecah ke gegendang telingaku. Suara itu bagaikan halilintar yang melemahkan seluruh anggota ku. Satu suara yang selama ini sangat aku rindui. Aku bagaikan terpaku. Tanganku yang sedang memegang tombol pintu seolah tidak lagi bermaya untuk memulasnya.

Aku yang tadinya menuju ke pintu bilik itu untuk segera keluar, kini bagaikan terpaku. Suara yang datang mencecah ke gegendang telingaku melemahkan seluruh anggotaku. Aku ingin berpaling memandang seraut wajah pemilik suara itu, namun bagaikan ada sesuatu yang menghalang.

“Razman, kaukah itu? Razman, pandanglah aku!” Ada esak tangis yang turut hadir bersama suara itu. Esakan dan tangisan itu bagai sembilu tajam yang mencucuk-cucuk di hatiku. Seluruh tubuhku seakan lemah dan tak mampu untuk bergerak.

Aku rindukan suara itu, dan juga rindu pada senyuman yang sering menghiasi wajah pemilik suara itu. Kini suara yang ku rindui itu kudengari kembali setelah tiga tahun berlalu. Tapi mengapa di sini, di dunia kotor ini.

“Razman, pandanglah aku!”

“Benarkah ini?“ Hatiku berbisik. Seluruh anggota badanku terasa lemah. Jantungku berdegup kencang. Lututku seolah longgar dan tidak lagi mampu menampung diriku. Aku segera menarik nafas panjang dan cuba mengawal diriku, sambil memaksa diriku untuk tidak mempercayainya.
Tidak mungkin itu suara Rinni. Mana mungkin Rinni berada di dalam dunia yang serba kotor ini. Mana mungkin seorang gadis terpelajar lulusan universiti akhirnya menjadi pelacur. Tidak mungkin. Hatiku enggan menerima hakikat ini. Dia bukan gadis yang aku angankan untuk hidup bersamaku.


“Razman, jijikkah kau untuk memandangku, orang yang katamu amat kau rindui!”

Aku cuba berpaling memandangnya. Tapi tidak terdaya. Dihadapanku kini adalah hanyalah sekeping daun pintu yang kaku, bagaikan satu simbolik, memberi aku pilihan untuk terus beredar keluar atau terus berada di sini di dalam kepedihan ini.

“Razman, dengarlah aku. Aku tidak menginginkan ini semua. Aku bukan lagi Rinni, gadis lepasan universitas yang kau kenali di kota Medan. Aku kini adalah seorang perempuan kotor yang dipaksa menjual kehormatan oleh desakan kemiskinan. Kemiskinan yang mengheret aku ke lembah hina ini, Razman! Ini bukan pilihanku. Aku dijadikan barang gantian bagi menembus hutang kedua orang tuaku! Tidak pernah sekali pun aku ingin bertemu denganmu secara begini. Kau pasti mengerti Razman.” Rayu suara itu lagi.

Berat kakiku untuk melangkah. Apakah aku akan terus melangkah kehadapan meninggalkan segala mimpiku yang kini punah atau berundur kembali sebagai Sang Arjuna yang pernah diungkapnya suatu waktu dulu untuk membawanya keluar dari kepompong kemiskinan?

“Berbicaralah denganku Razman, aku rindu sekali mendengar suaramu. Aku rindu sekali menatap wajahmu.” Ada getaran dan esakan pada suara itu.

Aku juga sememangnya amat merinduinya, malah terlalu ingin sekali bertemu dengannya tapi bukan dalam keadaan begini. Tuhan!, ujian ini terlalu berat. Tiada yang dapat ku ungkap. Kaki ku turut berat untuk melangkah. Meninggalkannya pasti melukakan hatiku sendiri, tapi memilikinya juga akan lebih melukakan hatiku.

Mataku pejam rapat. Aku tarik nafas yang panjang. Aku mengambil keputusan melangkah pergi. Apa yang berlaku tidak memungkinkan aku dan Rinni akan bersama. Keputusan berat yang melukakan, tapi mungkin ini adalah jalan terbaik.

Tombol pintu ku pusing, pintu bilik yang diperbuat dari kayu nyatoh terkuak. Aku melangkah keluar. Pintu bilik kembali ke rapatkan. Melangkah perlahan meninggalkan Sita Dewiku. Melangkah keluar dengan segala luka di hati.

Sayup-sayup ku dengar Rinni memanggil namaku. Sejenak aku terpandang sehelai kerudung biru melayang menampar mukaku, masih hangat harumannya, haruman seorang gadis Sunda yang pernah mengungkapkan kata kepadaku, “Simpan saja kerudungku itu sebagai tanda persahabatan. Mungkin pada satu masa nanti ia akan bisa membalut lukamu.“



Nota Kaki
* Puisi WS Rendra yang berjudul “Sajak Joki Tobing untuk Widuri”.
* Gambar oleh Upenyu
* Model - Mala

Sunday, June 6, 2010

Bendang Sera : Nostalgia 22 tahun cinta berlalu


Kampung Bendang Sera hari ini 6/6/2010 jam 9.00 pagi
Baling. Hari ini 6 Jun, 2010, akhirnya saya kunjungi lagi pekan ini selepas 22 tahun berlalu. Begitu pantasnya masa bergerak, bagaikan sedetik mata berkelip. Bersama isteri dan anak-anak saya tiba disini untuk mmenghadiri majlis perkahwinan anak saudara dengan gadis Baling.

Pekan ini menjadi begitu sentimental kepada saya. 22 tahun dahulu cinta pertama saya berakhir disini. Tahun 1987, waktu itu saya berusia 21 tahun, baru saja menamatkan pengajian di ITM Shah Alam (sekarang UiTM). Tahun itu jugalah Malaysia dilanda kegawatan ekonomi. Peluang pekerjaan sukar sekali. Akhirnya selepas hampir 6 bulan menganggur, kakak saya mengajak saya berkerja di UM sebagai penjaga peperiksaan secara kontrak selama sebulan.

Di sini segalanya bermula, gadis yang saya maksudkan turut sama berkerja di sini selepas tamat peperiksaan STPM, waktu itu umurnya sekitar 19 tahun. Tak tahu kenapa, kami begitu rapat dan mesra. Setiap kali berjumpa ada saja yang ingin dibualkan. Peristiwa yang tak boleh saya lupakan, semasa menjaga pelajar-pelajar mengambil peperiksaan, sepatutnya kami yang menegur pelajar jangan membuat bising, sebaliknya kami yg ditegur pelajar kerana asyik bercerita di belakang. Apa yang kami bualkan entahlah, saya dah tak ingat lagi.

Pertengahan tempoh bekerja di UM, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pelancongan. Lalu meninggalkan pekerjaan di UM. Hari terakhir kontrak kerja di UM saya berjumpa beliau dan saling bertukar alamat. Dia memberi sekeping gambarnya sebgai kenangan (masih saya simpan sehingga kini). Akhir kontrak beliau dengan UM, dia pulang ke Baling. Dahulu komunikasi agak susah. Masing-masing tidak mempunyai telefon di rumah. Kami hanya berhubung melalui surat. Sebenarnya dia yang lebih kerap mengutus surat berbanding saya (ini yang saya kesalkan kemudian).

Masih saya ingat, pertemuan semula kami berlaku di Stesyen Bas Pudu Raya. Awal-awal lagi dia telah mengutus surat supaya menunggunya di Pudu Raya jam 5 petang kerana kakaknya akan datang mengambil jam 6 petang. Jadi kami ada satu jam untuk bersama.

Tepat jam 5 petang di sampai di Pudu Raya, kami duduk berbual di salah satu bangku panjang. Entah apa yang kami sembangkan hingga seorang gadis cina di sebelah kami tiba-tiba muntah. Muntahannya berserakan di atas lantai. Kami buat tak endah sambil terus bercerita, hinggakan bila tersedar, sudah tiada siapa lagi disekeliling bangku yang kami duduk. Sehinggalah ditegur oleh kakak beliau yang muncul dan bertanyakan, samada ada kami perasan bau muntah di situ. Benarlah kata orang, semasa bercinta semuanya wangi dan semuanya indah.

Selepas itu, kami tidak lagi bertemu, maklumlah masalah komunikasi dan kenderaan, dia tiada telefon sama seperti saya juga. Selepas itu kami berhubung hanya melalui surat. Antara Kuala Lumpur dan Baling.

Masa berlalu surat-surat si dia lebih banyak mengunjungi saya berbanding saya membalas suratnya. Dia sering berceritakan tentang kekecewaan hidup, gagal ke maktab perguruan dan keinginan untuk menjadi guru tadika sahaja. Kesilapan saya adalah tidak mampu memberikan kata-kata semangat kepada dia ketika dia memerlukan. Saya sendiri masih dalam keadaan terumbang ambing dengan pekerjaan saya sendiri. Seperkara lagi saya sebenarnya agak tidak suka menulis kerana pada saya tulisan saya amat buruk untuk dibaca. Itulah salah satu sebab saya jarang menulis kepada dia. Inilah penyesalan saya yang sebenar.

Dalam surat-suratnya, ada juga diceritakan tentang sekiranya kami berkahwin. Namun pada saya waktu, walau pun perasaan sayang terhadap dia telah menebal, realitinya dengan pendapatan sebanyak RM350, elaun dan komisen hanya sekitar RM900 sebulan, satu kerja gila kalau saya berkahwin dengannya. Jumlah itu tidak cukup untuk hidup di Kuala Lumpur

Pada Tahun Baru Cina 1988 akhirnya untuk pertama kali saya menjejakan kaki di Pekan Baling kerana menghadiri majlis perkahwinan kakaknya iaitu kak Zainab. Namun hasrat saya untuk menncurahkan perasaan meminta beliau bersabar sedikit tidak kesampaian kerana beliau agak sibuk dengan majlis yang sedang berlangsung.

Kampung Bendang Sera, hanya 1 kilometer dari Pekan Baling. Rumah Pak Abdullah (ayah beliau, pernah bertanding dalam piliharaya umum tahun 1969 mewakili parti kepala lembu tapi tewas) hanya beberapa meter dari jalan menuju ke Gerik iaitu di belakang beberapa buah rumah Cina. Ada sungai yang mengalir dihadapan rumahnya. Ada beberapa buah kedai Cina di sebelah jalanraya, sedang membakar colok besar (sempena perayaan tahun baru cina). Selepas deratan kedai cina itu hanya hutan sahaja. Jalanraya itu menuju ke Gerik daan Lebuhraya Timur Barat.

Sebelum pulang, saya menunggunya beberapa ketika di sebuah pangkin kayu di bawah sebatang pokok yang menghala semula ke Pekan Baling. Tak banyak yang kami bicarakan, kerana dia berjanji akan menyatakan segalanya dalam surat yang akan dikirimkan kemudian.

Hampir dua minggu selepas itu, surat darinya saya terima. Dia menyatakan perasaan kecewanya saya kerana selama beliau merasakan hanya dia seorang saja yang menaruh harapan kepada saya, sedangkan saya tidak. Dia menyatakan kesal kerana surat-suratnya jarang berbalas dan merasakan saya telah melupakan dia. Dan pada masa yang sama kawan kepada abangnya telah menyatakan hasrat untuk masuk meminang dan dia masih menimbangkannya.

Dalam surat balasan saya, saya menyatakan bahawa saya sememangnya sayangkan dia, dan minta dia bersabar sedikit kerana pekerjaan saya sendiri masih belum terjamin dan lagi pun kami masih muda. Tiada jawapan yang saya terima selama beberapa minggu selepas itu. Jiwa saya resah dan gelisah merasakan sesuatu akan berlaku. Saya seakan ingin segera terbang ke Baling, malangnya banyak benda yang menghalang (antara perkara yang saya kesalkan hingga saat ini), akhirnya keresahan saya terjawap, saya menerima kad jemputan perkahwinannya dengan kawan abangnya sendiri.

Dunia telah kiamat bagi saya, Saya menghantar surat meminta dia batalkan perkahwinan itu kerana saya sememang sayang kepada dia (apa lagi yang mampu saya lakukan waktu itu). Saya menelefon kakaknya, Kak Zainab bertanya apa yang berlaku, malangnya kakaknya sendiri pun terkejut apabila dimaklumkan adiknya akan berkahwin. Apa sebenarnya berlaku hingga kini saya tidak tahu.

Pastilah saya tidak menghadiri majlis perkahwinannya. Untuk apa kalau untuk melukakan hati sendiri. Selepas itu saya tidak mendengar lagi apa berita tentang dirinya.

Oktober 1988, akhirnya saya ditawarkan jawatan di jabatan kerajaan di Petaling Jaya. Kalaulah dia bersabar sedikit. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan.

Pantasnya masa, sedar tak sedar saya kembali semula ke Bendang Sera. Tanpa memaklumkan kepada isteri, saya ke Kg Bendang Sera semula. Memberhentikan kereta dihadapan sebuah kedai tayar yang pastinya di sinilah 22 tahun dahulu terdirinya deretan kedai-kedai cina yang sedang membakar colok, sambil memandangkan ke arah rumahnya. Hari ini saya melihat kembali 22 tahun dahulu seorang lelaki yang datang dengan segala rasa cinta, namun akhirnya kecewa.

Dia, apa yang ada di minda saya tentang dia adalah seorang gadis berkulit putih berusia 19 tahun, wajah seiras penyanyi 80 an Rahimah Rahim. Saya sayang kenangan ini, pastinya selepas 22 tahun dia bukan lagi sama seperti gadis yang saya kenali 22 tahun dahulu. Dia mungkin sedang berbahagia sekarang. Anak-anaknya sendiri pasti sudah dewasa, mungkin ada yang sedang melanjutkan pelajaran di IPT atau telah bekerja. Saya agak dia sekarang berusia dalam lingkungan 42 tahun. Apa yang ada dalam kotak memori saya adalah dia masih berusia 19 tahun. Bahagialah lelaki yang menjadi suaminya sekarang, memiliki gadis sebaik itu (seorang gadis yang terlalu amat saya ingin miliki waktu itu). Kalau dia masih mengingati saya, dia akan mengingati saya yang berusia 21 tahun, bukan saya sekarang yang telah banyak melalui perubahan fizikal.


Kalau dahulu keinginan memiliki gadis Baling tidak kesampaian, hari ini hasrat ini nampaknya diteruskan oleh anak saudara sendiri. Tak apa lah sekurang-kurang sillaturrahim dengan orang Baling masih tetap ada.


Begitulah cinta, segalanya begitu indah, cuma apabila kita tidak dapat memilikinya....


Upenyu
Sri Baling Inn
Baling, Kedah

Sunday, January 24, 2010

Cerpen - Antara Gerimis dan Pelangi


Aku kembali semula ke daerah ini, daerah di mana semua kenangan itu bermula dengan segala keindahan warna-warna pelangi dan kebasahan yang dingin sang gerimis.

”Sal akan nanti abang kembali semula ke sini.”

Betapa sahaja tiba-tiba aku kembali semula ke daerah ini setelah hampir tujuh tahun berlalu. Daerah yang pernah menghadiahkan aku cinta seindah pelangi. Sebuah cinta luhur, namun akhirnya aku tinggalkan demi memburu impian masa hadapan yang lebih aku utamakan dari cinta. Namun setelah impianku itu tercapai, ternyata tiada lagi cinta yang kumiliki.

Sesungguhnya daerah ini masih seperti dahulu, tidak pernah berubah. Masih lagi gerimis bagaikan sang kekasih paling setia menyambut kedatanganku semula ke sini. Aku rindu sekali untuk merasai kesejukan titis gerimis yang tak pernah mengenal musim. Titisannya tanpa segan membasahi diriku ini. Kebasahan yang pernah menghangatkan satu pertemuan.

Kejauhan dari tempat kelahiranku sendiri telah mengajar aku akan erti sebuah kehidupan. Kegagalan di alam persekolahan membawa rajukku jauh kembara hingga ke daerah ini. Aku tinggalkan kota Kuala Lumpur dan ibubapa serta adik-adikku untuk mencari kedamaian. Di sini, aku sambung kelangsungan hidup dengan bekerja di sebuah hotel mewah tepi pantai, cukup hanya sebagai seorang pelayan restoran. Walau hanya dengan pendapatan yang kecil, daerah ini tetap menjanji sebuah kehidupan yang sempurna.

Takdir akhirnya berbicara. Dalam melayari hidup sendirian di sini, tanpa sedar aku telah tersapa oleh cinta. Mengenali akan indahnya perasaan yang dinamakan cinta. Menikmati erti mencintai dan dicintai. Aku, anak kota yang jatuh cinta pada seorang gadis kampung anak seorang nelayan tua.


*****

Suatu waktu itu, kami berdua dipeluk kebasahan oleh renyai-renyai sang gerimis yang tiba-tiba turun ketika menyusuri pantai Teluk Bidara. Alunan deruan ombak laut yang menderu dan keriuhan sang camar yang berterbangan pulang, bagaikan menjadi saksi pada satu pertemuan yang menlahirkan cinta.

Seusai renyai gerimis, pelangi mendadak muncul terbentang indah dari puncak bukit hingga ke kaki langit nun di hujung laut luas. Kami berdiri dengan kaki digenangi oleh ombak pantai yang menghempas lembut sambil menatap tujuh warna-warni yang saling membentuk menjadi pelangi.

“Titisan gerimis yang turun dari langit itu adalah titisan air mata para bidadari yang menangis kerana cinta. Bidadari itu adalah puteri kayangan yang cantik jelita tiada taranya. Cantiknya seperti dirimu!’ Bisikku perlahan sambil merenung wajah lembutnya.

Dia hanya tersenyum. Manisnya senyuman itu, melebihi manis senyuman para bidadari kayangan. Pipinya kemerah-merahan mungkin malu kerana dipuji. Tudung warna biru gelap yang menutup kepalanya berkibar-kibar ditiup angin laut. Baju kurung biru yang dipakainya amat bersesuaian dengan warna kulitnya yang putih. Mana mungkin ada lelaki yang tidak jatuh cinta pada gadis semanis ini. Keayuan dan kejelitaannya memang sesuai sekali dengan tugasnya sebagai seorang Penyambut Tetamu di hotel tempat aku bekerja.

“Ahh... Abang bohong...’ Balas Salina lembut seraya mencubit lenganku geram.

Cubitan itu sememangnya sakit, tetapi sakit yang menyenangkan, bukankah cubitan itu adalah bahasa kasih yang tersendiri. Dari lirikkan matanya, aku tahu cubitan itu bukan bermaksud dia marah kepadaku.

Beberapa orang anak remaja kelihatan begitu tekun membina istana pasir di bibir pantai. Walau pun telah berulang kali istana yang mereka bina rosak dipukul ombak, masih mereka berusaha membina semula sebuah lagi istana yang baru.

“Dari titisan gerimis itulah terlahirnya pelangi. Pancaran sinar matahari mewujudkan satu garisan melengkong ke bumi dengan tujuh warna berbeza. Pelangi indah itu adalah lambang kebahagian para bidadari kayangan.” Sambungku lagi sambil memandang ke arah pelangi. Seketika itu juga kembali menatap wajah ayunya.

“Kayangan itu hanya wujud dalam cerita-cerita dongeng sahaja untuk bacaan sebelum tidur kanak-kanak. Bukan begitu?” Tanya Salina kembali sambil ketawa. Sebaris giginya yang putih terpamer di antara dua bibirnya.

“Kayangan itu adalah syurga. Abang ingin hidup bersamamu di sana!” Sambungku lagi bersungguh-sungguh.

Dia hanya diam. Belum ada kata-kata yang keluar dari bibirnya. Pelangi itu direnungnya kembali kali ini dengan lebih mendalam, kemudian matanya dipejamkan.

“Ya, Sal juga mengharapkan begitu. Malah Sal selalu berdoa untuk kita, supaya nanti kita dapat hidup bersama-sama di sana.” Balasnya sambil kembali membuka matanya.

“Titis gerimis iyang membasahi kita ini adalah lambang ujian yang datang menguji keteguhan cinta kita. Seusai germis itu nanti akan muncul pula pelangi. Pelangi itulah lambang kebahagiaan cinta kita, Sal.” Ujarku kembali menyakinkan setiap patah kata-kataku.

Salina tersenyum kembali sambil hanya matanya yang terus berbicara merenung tepat ke mataku. Ketulusan dan keihklasan yang jelas tersirat di matanya dapat kubaca.

”Bila masa itu tiba nanti, pelangi itu akan abang jadikan seutas rantai cinta dan akan abang kalungkan ke lehermu.” Bisik janjiku lembut ke telinga sang kekasih.

*****

Daerah ini benar-benar telah merangsangku untuk menyambung semula pelajaran yang terkandas beberapa tahun yang lalu. Aku kembali belajar secara sambilan untuk mengapai kembali impianku melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Dorongan dan kata-kata perangsang dari Salina benar-benar banyak membantuku. Akhirnya aku lulus dengn cemerlang dalam peperiksaanku.

Impianku untuk melangkah kaki ke menara gading akhinya menjadi kenyataan. Tawaran untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah di sebuah universiti di Kuala Lumpur aku sambut dengan penuh kesyukuran. Tidaklah sesia-sia pengorbanan dan usahaku selama ini.

Salina adalah orang paling gembira dengan kejayaanku, walaupun aku lihat air matanya menitis. Kejayaan ini juga bererti aku dan Salina akan berpisah buat satu jangka masa yang agak lama. Lima tahun terlalu lama untuk aku dan Salina.

Demi untuk mengapai impianku yang telah tertangguh sekian lama, aku pergi meninggalkan daerah ini dengan satu janji untuk kembali semula. Janji yang aku sendiri tidak pasti samada akan mampu aku tunaikan.

”Sal akan nanti abang kembali semula ke sini.”

Pengajianku di universiti memang benar mencabar. Tempoh yang aku lalui sukar. Banyak masa yang aku perlukan untuk mentelaah pelajaranku. Aktiviti-aktiviti di universiti juga menuntut tumpuan sepenuhnya. Mujurlah ibubapaku yang menetap di Kuala Lumpur banyak membantu.

Surat-surat berisikan puisi-puisi rindu dan kesetiaan dari Salina hampir saban minggu kuterima. Aku juga tidak pernah gagal membalas surat-suratnya. Selalu aku akan bercerita tentang kehidupan baru di universiti, tentang pelajaranku dan betapa aku sangat merindunya.

Setahun berlalu, tanpa aku sedari telah banyak merubah diriku. Kalau dahulu surat-surat dari Salina amat kunantikan dan merindui kehadirannya, tapi kini tidak lagi. Banyak surat-surat Salina tidak kubalas, malah tidak langsung kubaca.

Salina tidak lagi menjadi orang yang aku rindui. Segala kenangan indah bersamanya telah aku lupakan. Aku kini asyik dengan cinta baruku. Elina, gadis kota, rakan sepengajianku telah berjaya mengisi kesunyianku dan meragut cintaku dari Salina. Kesetiaan cinta Salina tidak lagi berharga bagiku.


*****

Dua tahun masa berlalu, Salina tiba-tiba muncul di tempat pengajianku. Kehadiran yang tidak aku sangka-sangkakan. Kebisuan yang panjang dariku, rupanya tidak pernah mematahkan kesetiaannya.

“Kenapa bang? Apa salah Sal?” Tanya Salina dengan nada suara mulai berisikan tangisan. Riak wajahnya penuh dengan kesedihan.

Kegelisahan menggayuti di dadaku. Ada perasaan bersalah yang datang meyelinap di hatiku. Aku tak segera menjawab. Diam untuk mencari-cari kata-kata terbaik untuk mengungkapkannya semula.

“Abang tak mahu Sal menunggu abang terlalu lama.” Ungkapku perlahan tanpa menceritakan bahawa aku sebenarnya telah mempunyai cinta yang lain.

“Kenapa saja abang tidak menyatakan ini sejak pertama kali Sal menyatakan cinta Sal pada abang. Setelah semua hal-hal menjadi begitu mendalam bersama saat-saat indah yang telah kita lalui bersama?” Salina mendesah kesal kemudian diikuti tangis Salina yang pecah tepat ketika gerimis turun membasahi bumi.

Aku menghela nafas. Kami saling berdiam. Tak ada kata-kata yang mampu terlahir. Aku sempat menoleh sekilas ke arahnya dan melihat titis-titis air mata mengalir deras melalui tebing pipinya.

“Sal ingin terus bersama abang, mencintai abang hingga ke akhir hayat. Selama manapun Sal akan setia menunggu abang!” Rayu Salina di balik derai tangis pilu.

Aku menggigit bibirku sendiri. Berusaha mencari kata-kata terbaik, kerana di saat yang sama jantungku turut berdetak kencang kerana setiap patah kata-kataku pasti akan menambahkan lagi luka hatinya.

“Ia tidak semudah itu. Abang tak mahu Sal menunggu abang terlalu lama. Abang tak mahu segalanya berakhir sia-sia untuk Sal. Percayalah Sal, sekiranya memang Tuhan menghendaki, dan takdir sudah menggariskan kita kelak akan tetap bersama, maka itulah yang akan terjadi.” kataku dengan lidah yang berat.

Salina berdiri terpaku selama beberapa saat, seolah tidak percaya, perpisahan ini terjadi begitu cepat dan begitu menyakitkan. Hubungan yang terjalin sejak empat tahun lalu berakhir sebegini rupa.

“Terima kasih untuk segala saat indah yang telah kita lalui bersama. Maafkan abang bila segalanya harus berakhir begini. Usah ada ruang dendam antara kita.” Kataku akhirnya memberi kata putus.

”Sal akan tetap menanti abang!”

*****

Sebulan yang lalu, secara tidak sengaja aku bertemu dengan seorang sahabat yang pernah sama berkerja di daerah itu, di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

”Aku berkursus dua minggu di sini.” Jawab Ilham bila kutanya mengapa dia berada di Kuala Lumpur.

”Baguslah. Kau dah banyak berubah sekarang. Lihat sahaja penampilan kau sekarang. Begitu bergaya sekali. Berkasut kulit, baju lengan panjang dan bertali leher, rambut tersisir rapi.” Balasku berjenaka.

”Salina masih setia menantimu. Dia berkirim salam. Seolah-olah dia dapat merasakan bahawa kita akan berjumpa di sini.” Ilham tiba-tiba mengalih tajuk perbincangan kami. Riak mukanya sedikit berubah.

Salina! Nama itu tiba-tiba saja mengegarkan jantungku. Ada rasa kepiluan yang datang menerjah ke hatiku. Nama yang satu waktu dulu telah lama aku buang jauh-jauh dari hatiku. Apakah masih ada rasa cinta di hatiku?

”Kenapa nama itu termasuk dalam perbualan kita. Aku sedang membina kehidupanku di sini. Antara kami sudah tiada apa-apa lagi!” Jawabku setelah agak lama membisu.

Wajah Salina datang menjelma di fikiranku. Senyum dan tawa terbayang di mataku. Betapa kejamnya aku kerana telah melukakan gadis sebaik itu.

”Kesetiaan Salina terhadapmu telah banyak melukakan hati lelaki-lelaki lain yang menagih cintanya. Untuk makluman kau, Dzani, aku adalah salah seorang daripada lelaki-lelaki itu.” Jawab Ilham.

Memang tidak aku nafikan. Waktu itu Salina menjadi kegilaan lelaki-lelaki di sana. Walaupun hanya seorang gadis kampung, dia seorang gadis yang sempurna. Aku adalah seorang lelaki yang bertuah. Salina menyerahkan cintanya kepadaku. Aku juga mencintai Salina. Malah kerana cinta Salina itu pernah menyebabkan berlaku pergeseran aku dengan beberapa lelaki di sana yang turut sama merebut cinta Salina.

“Telah tujuh tahun berlalu, dia sedang menderita kerana kesetiaannya pada cintanya sendiri. Salina menceritakan kisah pertemuan dia dengan kau di Kuala Lumpur hampir empat tahun yang lalu. Agaknya gadis-gadis cantik di Kuala Lumpur ini telah membuat kau terlupa tentang seorang gadis yang setia menantimu di sana!” Keluh Ilham sambil mengetap bibirnya.

Aku hanya mampu terdiam. Memang betapa kejamnya sikapku terhadap Salina. Bagaimanakah aku begitu tergamak memperlakukan sedemikian kepada gadis sebaik itu.

“Biarlah aku kongsikan sedikit cerita tentang Salina selepas pertemuan kamu berdua itu.” Ujar Ilham dengan nada suara yang tegas.

“Aku menjadi rapat dengan Salina sejak kau ke Kuala Lumpur. Aku tahu Salina bersedih yang amat sangat semenjak balik dari pertemuan kamu berdua tapi disembunyikannya. Sebulan selepas itu, dia kehilangan ayahnya. Bot nelayan ayahnya karam di laut dan mayat ayah tidak ditemui sehingga kini.” Sambung Ilham lagi sambil matanya memandang tepat ke mataku.

“Semenjak itu juga, ibunya bagaikan orang kehilangan akal. Setiap petang ibunya akan ke pantai menanti kepulangan ayahnya. Urusan keluarga terpaksa dipikul oleh Salina. Betapa berat tanggungan Salina menjaga enam orang adik-adiknya yang masih bersekolah.” Ujar Ilham lagi.

Dapat aku selami bebanan yang ditanggung Salina. Gajinya berkerja pasti tidak cukup menanggung keluarganya. Kalau dahulu tanggungan itu dikongsi bersama ayahya, kini Salina menanggungnya keseorangan.

“Enam bulan selepas itu, hotel tempat kerja kami ditutup. Aku, Salina dan rakan-rakan yang lain kehilangan pekerjaan. Penderitaan Salina bertambah. Mujurlah kami diberi sedikit pampasan. Dengan wang pampasan itu, Salina menjalankan perniagaan kecilan membuat dan menjual kerepok lekur. Dalam masa tiga tahun perniagaannya berkembang dengan jaya. Dari kedai kecil, keropoknya kini diedar di seluruh pantai timur. Dia sekarang adalah seorang usahawanita yang berjaya.“ Ujar Ilham dengan wajah yang tersenyum.

Aku merasa seolah-olah senyuman Ilham bagaikan mengejek diriku. Bagaikan ada satu kepuasan kepadanya bila menceritakan kejayaan Salina dalam perniagaan. Aku cuma mampu diam.

“Oh ya, hujung bulan hadapan aku akan berkahwin. Datanglah. Harap kau masih ingat jalan ke rumahku!” Ujar Ilham sambil bangun berjabat tanganku dan memohon untuk beredar.

Aku turut bangun meninggalkan meja makan menuju ke kaunter bayaran. Rayuan Salina beberapa tahun lalu tergiang-giang di telingaku.

”Sal akan nanti abang kembali semula ke sini.”

*****

Kini tujuh tahun telah kutinggalkan daerah ini. Tujuh tahun yang terhitung sejak aku memutuskan tali cinta, yang bagiku hanyalah satu hubungan yang sia-sia. Namun setelah aku memiliki apa yang aku impikan selama ini, sekeping ijazah, jawatan penting dalam syarikat, kereta mewah dan rumahku sendiri, aku masih terasa kekosongan.

Setelah usiaku sendiri telah melewati angka tiga puluhan, ketika aku telah cukup bersedia untuk satu perkahwinan, malangnya masih belum kutemui gadis sepertinya. Elina, gadis kota yang pernah kucintai sewaktu pengajianku dulu telah lama meninggalkan aku untuk berkahwin dengan seorang lelaki hartawan.

Kesunyian dan kesepian inilah yang menghasut aku kembali semula ke sini untuk mencari jika masih ada sisa-sisa cinta yang tertinggal disini. Jika masih ada, aku ingin segera cantumkan semula moga menjadi lembaran indah kehidupan yang baru.

Kerinduan yang telah lama terkubur, tiba-tiba datang kembali menghasut perasaan dan akalku. Masa lalu rupa-rupanya hendak menyeretku dan akan menyesatkanku ke dalam kehidupan yang bukan lagi milikku. Kenapa mesti kesepian dan kerinduan ini menyesatkan ku ke masa lalu?

Hari ini, gerimis yang turun tiba-tiba membuat aku begitu terasa ingin bertemu dengannya. Ingin sekali aku bertemu dengan seorang gadis yang pernah menyintaiku dengan sepenuh hatinya. Seorang gadis yang pernah bersemayam dalam hatiku ini.

Sengaja aku biarkan fikirku merayau-rayau menarik kembali cebisan-cebisan kenangan usang yang sebenarnya telah lama terlipat kejap di lubuk hatiku. Mengapakah aku perlu mengingatinya semula? Sedangkan selama ini telah kubisikan pada hatiku untuk tidak merinduinya lagi. Dahulu aku ingin sangat memiliki gadis ini. Dahulu aku ingin terus memegang erat-erat gadis ini selamanya dalam dakapanku.

”Kau masih menyintainya, dan ingat janji-janji yang telah dilafaskannya. Percayalah gadis itu masih setia menunggu janjimu. Dia di sana sedang menunggumu. Pergilah!” Kata-kata yang entah dari mana tiba-tiba muncul dibenakku.

“Ah...!” desahku pendek. Ada tompok-tompok kesalan datang menindih-nindih batinku. Kesal dengan keputusan terburu-buruku dahulu. Kesal dengan keegoanku lantas mengenepikan sebuah cinta luhur seorang perempuan yang mencintaiku sepenuh hatinya.

Aku tiba-tiba dihimpit keraguan. Kenangan masa lalu bukan bererti boleh kupakai untuk menyingkirkan realiti masa kini. Dulu dia adalah kekasihku, tetapi kini dia mungkin telah menjadi milik orang lain dalam satu kehidupan bahagia. Aku khuatir jika pertemuan itu hanya akan menyayat luka lama bahkan kembali melukai aku dan dia. Aku tidak ingin diriku terjebak dalam rindu yang sia-sia.

Matahari perlahan-lahan muncul dari celahan awan, setelah lama aku nantikan hujan reda. Cahaya matahari sedikit demi sedikit terbentang. Tingkap kereta sedikit kubuka untuk menghirup sisa-sisa aroma tanah basah daerah ini, sejuk dan dingin tapi menyegarkan. Keretaku terus kuhalakan ke suatu arah yang pernah kusinggahi dulu. Mungkin masih ada kebahagian di hujung sebuah kesetiaan menanti di situ.

* * * *

Segera aku hentikan Keretaku di hadapan sebuah rumah agam. Dahulu disinilah tertegaknya sebuah rumah kayu yang sering aku kunjungi untuk menghilangkan kerinduan seorang kekasih.

Aku tiba-tiba berada di antara keriuhan paluan kompang dan para tetamu di majlis perkahwinan nan meriah Dari kejauhan itu, aku melihat dia. Dia yang seumpama sang puteri yang bersanding di pelaminan indah menanti ketibaan sang putera. Baju pengantin berwarna biru yang dipakai membuatkan dia sungguh jelita.


Dalam keriuhan itu, aku bagaikan terasing jauh di dalam dunia sunyi dan tersendiri. Hanyut terawang-awang bagaikan tiada upaya menahan dunia yang tiba-tiba berputar menghumban aku jauh ke dalam lubuk kenangan silam yang telah lama aku lupakan.

Kesunyian kembali menjelma menghiris-hiris hatiku saat menyedari bahawa aku dan dia tak mungkin lagi kembali bersama, seperti dulu. Aku seolah masih lagi dapat merasakan aroma wangi rambutnya yang terhurai dihembus angin. Aku ingat, ketika itu, dia tersipu malu saat kukatakan bahawa jantungku bergetak deras setiap kali bersamanya.

“Cinta Sal hanya untuk abang. Sal akan tetap setia menanti abang.”

Bisikan luka itu datang lagi. Patah demi patah kata-kata yang pernah terucap dari bibirnya, satu persatu muncul bagaikan puluhan anak panah tajam yang menusuk-nusuk dadaku tanpa belas kasihan.

”Di hadapan itu adalah kenyataanmu. Lihat, dia sedang bahagia. Dia bahagia di pelamin indah itu. Senyum itu lahir dari tulus jiwanya. Dia bukan di situ untuk menantimu. Dia menanti sang puteranya, dan putera itu bukan kau. Kau lihat dan lihatlah sepuas mu.”

Suara itu bertalu-talu menghentak setiap ruang di hatiku. Suara itu terus mentertawa dan menghina diriku. Aku seakan ingin menjerit melepaskan segala kekesalan di hati.

”Dengar! Itu paluan kompang menandakan sang putera sudah tiba untuk memeterai cinta mereka. Perlu apa kau masih terus berdiri di sini. Pergilah kau dari sini. Ini pembalasan atas perbuatanmu melukai hati seorang insan yang terlalu amat menyintaimu."

“Ilham!“

Degupan jantungku bagaikan terhenti. Dari kejauhan itu aku melihat rombongan pengantin lelaki tiba membawa sang putera yang memang kukenali, Ilham. Segak dan tampan berdiri sebagai seorang lelaki yang menang dalam perjuangan merebut cinta seorang puteri yang tidak pernah aku hargai selama ini.

”Wahai hati, tenanglah. Izinkan aku menikmati dia buat kali terakhir. Walau cuma dari kejauhan. Dia tidak bersalah. Cuma kesetiaannya telah sampai ke penghujung. Gadis itu sudah lama terluka malah lebih parah dari luka hatiku ini’’ Rayu batinku agar luka tidak mengalirkan darah.

”Wajarkah kau berada di sini? Bagaimanakah kau masih tega berada di sini dengan rela menatap wajah insan yang pernah kau lukakan hatinya. Perempuan itu harus menikmati hidupnya sendiri dengan sepenuh kebahagiaan yang sedang dinikmatinya. Kau tidak berhak untuk merampas kebahagiaan itu”

Aku terhenyak oleh sebuah kesedaran. Ungkapan itu benar, tak mampu kutepis. Keharuan memuncak memenuhi seluruh ruang, seperti sajak-sajak pilu yang ditulisnya dengan derai airmata lalu dikirimkan kepadaku bersama lampiran sepotong harap, selewat angin malam yang berdesir lembut dari jendela kamarnya.

Renyai-renyai germis mencurah perlahan membasahi bumi. Titisannya mengalir deras seumpama air mata yang megalir di pipi dan di hatiku juga. Majlis perkahwinan itu segera aku tinggalkan. Pelangi lambang kebahagiaan cinta kami dulu tidak mungkin akan muncul lagi walaupun setelah usai gerimis. Aku hanya ingin segera melangkah pergi. Melangkah pergi meninggalkan cinta yang melukakan ini.

Matahari menghilang di balik gumpalan awam hitam. Sisa-sisa cahaya tipisnya menembusi cermin tingkap keretaku dan mengusap-usap pipi kasarku. Hangatnya sehangat jemari gadisku dahulunya selalu membelai pipiku sambil bercerita tentang pelangi, tapi pelangi itu bukan lagi untukku. Cuma hanya ada gerimis yang setia menghantar aku pulang ke kota.

Tuesday, January 5, 2010

"Surat Cinta Threasia" tersiar di Majalah Mingguan Wanita

Cerpen saya bertajuk "Surat Cinta Threasia" telah tersiar di Majalah Mingguan Wanita keluaran hari ini 6/01/2010. Terima kasih kepada Editor Majalah Mingguan Wanita kerana sudi menyiarkan karya saya. Terima kasih.

Friday, October 23, 2009

Surat Cinta Threasia



Kecantikan paras rupa tidak sentiasa menjanjikan kebahagian. Ramai yang menderita kerananya. Threasia juga begitu. Walaupun di wajahnya sentiasa kelihatan ceria, namun di hatinya penuh dengan kisah duka. Kegagalan dalam cinta seolah telah sebati dalam dirinya.

“Cintaku kalah pada bulan.”

Aku hanya diam membisu. Wajah Threasia kurenung. Rambutnya yang panjang hitam keperangan terbuai-buai ditiup angin Kundasang. Walau pun tidak begitu memahami ungkapannya, aku hanya mengganggukan kepala seolah-olah mengerti apa yang ingin diperkatakan.

”Kenapa tidak sahaja mencintai apa yang kita ada. Kedinginan ini mencengkam erat diri kita, malah lebih dekat dari bulan. Cintai sahaja kedinginan ini.” Balasku atas apa yang Threasia perkatakan.

Threasia memejamkan matanya bagaikan sedang menikmati kedinginan angin malam yang berhembus dingin. Puncak gunung Kinabalu masih terlihat walau samar-samar dalam kegelapan malam. Tiada wajah sang bulan kelihatan di langit Kundasang.

Aku dan Threasia seolah sudah kehilangan kata-kata. Kami hanya berdiam diri. Tiada siapa selain kami di luar bilik dewan hotel di atas puncak bukit ini. Sesekali terdengar deruan hembusan angin. Kedinginan begitu terasa mencengkam. Aku peluk diriku erat untuk menepiskan kedinginan yang datang menerpa.

“Kalau kegagalan itu penanda tahap kebodohan manusia, sayalah antara orang yang paling bodoh di dunia kerana sering gagal dalam cinta.” Ungkap Threasia lagi sambil matanya merenungku sayu seperti mengharapkan secebis simpati dariku.

Memang tidak dapat kusangkal gadis Kadazandusun ini memang cantik sekali. Kulitnya putih persis gadis-gadis Kadazandusun yang lain. Pipinya kemerahan-kemerahan bila melemparkan senyuman.

“Maaf Threasia, saya kurang arif tentang cinta. Saya tidak dapat menasihat kamu.” Jawabku.

Aku segera melangkah perlahan masuk semula ke dewan hotel. Threasia aku tinggalkan sendirian. Peserta-peserta kursus yang aku kendalikan sedang tekun melakukan tugasan yang ku beri tadi. Sebentar lagi sesi sebelah malam ini akan aku akhiri. Aku lihat Threasia masuk semula ke dalam dewan menyertai rakan-rakannya yang lain.

Threasia!


****

Mungkin takdir telah diperuntukan kepadaku untuk kembali semula ke pekan Kundasang ini walau kali ini cuma hanya untuk tiga minggu sahaja. Dulu aku telah bersumpah untuk tidak lagi menjejak kakiku di sini. Pekan kecil ini pernah mencatit kenangan pahit dalam diari kehidupanku. Dairi hitam penuh luka itu telah ku campak jauh ke lembah paling dalam di antara lereng-lereng bukit yang mengeliling gunung Kinabalu.

Aku sendiri kurang pasti kenapa kursus motivasi yang aku kendalikan ini mesti diadakan di pekan ini. Sedangkan banyak lagi kawasan menarik di Sabah yang boleh dipilih. Kenapa sahaja tidak di Keningau atau di Sandakan. Kenapa mesti pekan ini?.

Seramai lima puluh orang pemuda dan pemudi dari Sabah dan Sarawak dihimpunkan di sini dan diserahkan padaku untuk menjalani sesi motivasi. Senang sekali melihat wajah-wajah jernih anak-anak muda. Ada kelihatan cemas sedikit di wajah sesetengah mereka bila tiap kali aku berbicara suara aku agak lantang, apatah lagi wajah ku yang sedikit bengis dengan misai tebal yang menghiasi mukaku.

”Nama saya Yusuf bin Harun. Jangan takut, saya bukan dari golongan makhluk asing yang menjadikan manusia sebagai makanan harian.” Usikku sewaktu pertama kali memperkenalkan diriku kepada mereka. Barulah terlihat senyuman di wajah mereka.

Seorang gadis berkulit putih berbadan sederhana bangun memperkenalkan dirinya. Seorang gadis Kadazandusun yang berwatakan menarik. Seluruh mata tertumpu kepadanya.

“Namaku Threasia, Threasia Lorin. Panggil sahaja Threase. Bangsaku Kadazandusun. Usia 25 tahun. Aku dilahirkan di sini, di pekan Kundasang ini. Dan yang paling utama aku masih belum berpunya!” Threasia ketawa tersipu-sipu sambil mempamerkan lesung pipit di pipinya yang kemerah-merahan. Rakan-rakan peserta yang lain bersorak bila mendengar perkataan belum berpunya.

‘Tuan sendiri bagaimana, sudah berpunya? Maksud saya, tuan sudah beristeri dan berapa orang anak?” Satu soalan nakal terbit dari mulut Threasia. Matanya merenung tepat ke mataku. Aku terbaca ada renungan mengoda di matanya.

”Belum!” Jawabku ringkas.

”Ah! Mana mungkin seorang lelaki sekacak tuan ini masih belum dimiliki. Tuan ini memilih agaknya atau mungkin emmm.... tuan ini pernah dilukai oleh seorang perempuan lalu menolak cinta yang datang?” Threasia mengusik aku lagi sambil disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya yang lain.

Aku cuma tersenyum. Benar! Hakikatnya aku telah dilukai oleh insan sejenismu Threasia. Walaupun telah lama berlalu, luka yang hingga kini masih terasa ngilunya. Namun aku bukan seorang pendendam. Segalanya telah kumaafkan. Aku tidak pernah membenci insan yang bernama perempuan. Cuma perasaan untuk mencintai seolah-olah telah pupus dari hatiku.

”Aku ingin mengubati luka hati tuan. Itu pun kalau tuan izinkan!” Ucap Threasia agak kuat sambil matanya dikenyitkan. Serentak itu satu senyuman manis dilemparkan pada ku.

”Huhuuuuu..! Hohooooo....!” Sorakan dan gelak hilai ketawa peserta-peserta kursus kedengaran kuat.

Threasia!


****

”Dahulu saya hampir memeluk islam.” Threasia memulakan bicara dalam sesi ta’aruf. Air matanya tiba-tiba mengalir perlahan di pipinya. Matanya redup seolah-olah melihat kembali ke masa lalunya.

”Semasa saya di universiti, saya jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki melayu. Itulah cinta pertama saya. Saya berjanji pada diri saya, cinta itu adalah yang pertama dan terakhir. Lelaki itu berjanji untuk mengahwini saya sebaik tamat pengajian.” Sambung Threasia semula selepas terhenti sekejap untuk mengelap air mata yang mengalir di pipinya. Rakan-rakan kumpulannya yang lain hanya diam menunjukan simpati.

”Malangnya, selepas tamat pengajian, lelaki yang saya cintai itu bernikah dengan gadis lain yang telah menjadi tunangannya sejak sekian lama. Saya rasa tertipu. Saya merasa amat terseksa dan terluka. Hidup ini bagaikan tidak lagi bererti.” Threasia mula teresak-esak.

Suasana sekeliling senyap dan sunyi seolah bersimpati. Dua tiga orang rakan kumpulannya yang lain menepuk bahu Threasia memintanya bersabar. Mereka juga bagaikan tidak menyangka seorang gadis yang kelihatan lincah dan sentiasa ceria malah menjadi seorang perserta yang sentiasa memotivasikan rakannya lain memiliki sejarah luka dalam dirinya.

Aku berusaha mengumpulkan kata-kata nasihat untuk sekurang-kurangnya meringankan beban yang ditanggungnya tapi mulutku bagaikan terkunci rapat. Tiada kata-kata nasihat dan perangsang yang datang ke mindaku seperti selalu. Apakah kelukaan yang ditanggungnya turut meresap ke kalbuku. Simpati atau aku mula jatuh cinta?

Threasia merenungku seakan meminta aku berkata sesuatu. Renungannya menusuk kalbuku. Apakah renungan itu satu isyarat yang perlu aku fahami dan tafsirkan maksudnya.

”Semua manusia di dunia ini mempunyai takdirnya sendiri. Kegagalan dalam cinta hanyalah satu dari takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Pasti ada hikmah tersembunyi yang perlu kita cari. Tidak tuhan lakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Kegagalan dalam cinta mungkin bererti kita akan menemui satu cinta yang jauh lebih baik dari cinta yang terdahulu. Mungkin sahaja tuhan ingin memberikan yang terbaik selepas kita telah merasakan sesuatu yang kurang baik terlebih dahulu....” Aku memula bicara dengan suara yang lembut dengan harapan agar mudah diterima oleh peserta-peserta yang lain juga.

Benarkah kata-kata yang keluar dari mulutku ini? Jujurkah aku menyatakan ini sedangkan aku sendiri telah lama menutup pintu hatiku kepada cinta. Biar berapa kali cinta pernah cuba mengetuk pintu hatiku, sengaja aku biarkan ia berlalu tanpa jawab.

”Threasia, niat kamu untuk memeluk agama islam adalah suatu yang suci, tapi kamu masih tidak melakukannya. Andainya niat kamu memeluk islam hanya kerana cinta kamu kepada seorang lelaki, maka apabila lelaki itu hilang dari kamu, maka hilang juga cinta kamu kepada islam. Cintailah islam kerana Allah kerana Allah tidak akan pernah hilang dari hidupmu. Islam bukanlah agama ikutan. Ianya adalah kepercayaan dan keimanan dalam hati.” Tegasku kepada Theasia mudah-mudahan niatnya memeluk islam akan terlaksana juga.

Threasia tersenyum. Tiada lagi kulihat air mata mengalir di pipinya. Keayuannya terserlah. Aku berusaha menolak rasa yang seolah-olah sedang menyelinap ke hatiku yang lama terkunci. Senyuman Threasia seakan sedang membakar kebekuan yang telah lama memagari hatiku.

Sebaik menamatkan sesi ta’arof, Threasia datang menghampiriku dengan senyuman.

”Terima kasih tuan untuk ucapan itu. Saya mula melihat dunia ini bersinar seolah cinta sedang menjenguk ruang hati saya yang sedang kosong ini. Apakah saya sedang jatuh cinta? Saya sedang mentafsirkannya!” Ungkap Threasia perlahan sambil matanya merenung tepat ke mataku. Bagaikan ada bahasa kedua yang sedang berbicara di mata Threasia. Hatiku pun bagai mula menyambut bicara tanpa suara itu.

Threasia!


****

Pintu bilikku diketuk seseorang. Buku motivasi karya Steven Covey yang sedang kubaca, aku letakkan di meja kecil sebelah katil. Aku segera bergegas membuka pintu.

”Tuan, saya ingin berbicara sebentar dengan tuan.” Ungkap Alexander yang datang sendirian di bilik penginapanku.

Aku persilakan dia duduk. Aku lihat wajahnya sugul sahaja. Alaxendar juga salah seorang peserta kursus. Dia juga antara peserta yang paling rapat denganku. Sering berkongsi cerita tentang suka dukanya. Dahulu sewaktu permulaan kursus sikapnya terhadapku sedikit keras dan penuh perasangka. Setelah melalui beberapa hari bersama, sikapnya mula berubah. Perwatakannya berubah sedikit tenang dan lembut.

“Tuan, saya sebenarnya mencintai Threasia.” Pendek dan lembut sahaja Alexander menuturkan kata-kata.

”Maksud kamu, saya jadi penghalang kepada hubungan kamu. Begitu?” Soalku kembali.

Alaxendar menundukkan kepala. Angin dingin menyelinap masuk dari pintu berenda yang sengaja sedikit kubuka. Aku amat senang sekali menikmati dingin segar udara Kundasang ini.

”Maaf tuan. Saya lihat Threasia begitu gembira setiap kali bersama tuan. Seolah saya ini tidak pernah wujud. Dapat saya fahami ada harapan yang berbunga di hatinya. Saya begitu terseksa!” Keluh Alaxendar lagi. Matanya merenung jauh ke luar tingkap bilik. Merenung puncak gunung Kinabalu yang boleh dilihat dengan jelas dari bilikku ini. Lelaki gagah di depan ku ini tewas dengan cinta. Cinta telah merampas segala kekuatannya.

”Cinta adalah sesuatu yang datang dari hati. Ianya tidak boleh dipaksa-paksa. Kalau kamu benar-benar mencintainya, kamu harus berusaha memikat hatinya. Jadilah seorang pemburu yang tidak pernah putus asa.” Ujarku kepada Alaxendar.

”Saya telah melakukan segalanya. Cuma satu perkara sahaja yang belum. Memeluk islam. Threasia mahu saya memeluk islam terlebih dahulu. Selepas itu baru Threasia akan menerima cinta saya.” Jawab Alexandar.

”Kalau itu kehendak Threasia, kenapa kamu tidak peluk islam sahaja. Bukankah cinta itu perlukan pengorbanan. Tetapi kalau kamu ingin memeluk islam, belajarlah mencintai Allah terlebih dahulu sebelum kamu mencintai Threasia.” Jawabku memberi dorongan dan jalan keluar kepada Alexander.

”Saya akan fikirkan nasihat tuan!” Alexander tersenyum lalu bangun menjabat tanganku kemudian keluar meninggalkan aku sendirian.

Ya Allah! Bagaimana kini tatakala aku mula menyukai seseorang, ada sahaja halangan yang datang. Apakah Allah sedang mengujiku? Apakah sebenarnya yang telah tertulis di Arashy? Apakah Threasia bakal menjadi jodohku? Atau Threasia telah ditakdirkan menjadi milik orang lain.

Hatiku turut mula menyukai Threasia. Tapi aku pernah terluka di sini. Cukuplah kenangan pahit itu menjadi memori hitam yang tak ingin aku ulangi lagi. Telah lama aku berusaha memadamkan kenangan pahit itu. Kenangan pahit telah kubuang jauh.

Threasia!


****

Hujan lebat malam tadi menjadikan arus sungai Kiulu di Tamparuli mengalir begitu deras sekali. Beberapa batang pokok tumbang hanyut di bawah arus ke muara sungai. Deruan kuat arus Sungai Kiulu itu membangkitkan sedikit kebimbanganku samada perlu aktiviti berakit menggunakan bot getah menghilir Sungai Kiulu diteruskan kerana semua peserta tidak pernah melalui aktiviti ini. Namun tiada tanda-tanda ada di antara peserta yang ingn menarik diri dari menyertai aktiviti berakit ini.

Semua peserta yang lengkap dengan jaket keselamatan berada di dalam bot getah masing-masing dan bersedia untuk dilepaskan. Di dalam bot aku, jurupandu bot berada di hadapan sekali. Threasia duduk di hadapanku di sebelah kiri bot, sementara Alexandar dan seorang peserta yang lain duduk di sebelah kanan.

Sebaik isyarat bermula dilepaskan, bot-bot berserakan berlayar mengikut arus sungai. Kami berkayuh serentak. Beberapa kali bot yang kami naiki melambung dilambung arus deras sungai. Air sungai turut tidak henti-henti menerjah masuk kedalam bot. Batu-batu besar yang membentuk jeram menghadang membuat arus sungai menjadi begitu deras sekali, kami lalui dengan begitu susah payah. Terkadang sesekali bot kami tersangkut di celah batu-batu yang berserakan di sungai.

Saat bot kami melalui satu selekoh sungai, arus deras telah melambungkan bot kami begitu tinggi dan jatuh semula ke muka sungai dengan agak keras membuat kami semua terlambung. Threasia melambung tercampak keluar dari bot tapi sempat memaut lengan kiriku. Belum sempat keadaan menjadi pulih bot terlambung sekali lagi. Cengkaman tangan Threasia pada lenganku terlepas dan dia tercampak ke dalam sungai. Aku tak sempat menyambar tangan Threasia. Dia dihanyut arus deras. Lengan bajuku terkoyak kerana tarikkan keras Threasia. Jurupandu bot berusaha merapatkan bot dengan Threasia yang sedang terkapai-kapai dalam arus deras.

Alexandar yang sedari tadi terpaku tiba-tiba bangun terjun ke sungai. Dia berenang ke arah Threasia. Arus deras menyukarkan Alexander mendekati Threasia. Setelah beberapa kali gagal mencapai Threasia akhirnya satu tolakan arus deras membawa Alexander hampir kepada Threasia, segera tangan Threasia dicapai.

Jurupandu bot berjaya merapatkan bot itu kepada kedua-duanya sambil segera membaling pelampung penyelamat dan akhirnya menarik kedua-duanya ke dalam bot.

”Terima kasih, Alex!” Aku terdengar ungkapan terima kasih keluar dari mulut Threasia. Alexander membalas dengan senyuman. Rambut Threasia yang basah dibelai-belainya. Aku menyaksikan detik itu dengan sedikit rasa cemburu.

Threasia memandang kepadaku. Seolah ada rasa serbasalah bersarang di hatinya dengan tingkah Alexander membelainya. Aku cuma tersenyum. Sewaktu Alexander tidak memandangku, aku segera memberi isyarat dengan mulutku kepada Threasia bahawa Alexander cintakan kamu Threasia. Threasia hanya mengangguk.

Aku cuba membaca apa yang berlaku. Mungkin ini takdirku yang telah tuhan tetapkan. Bagaikan ada yang tersirap dengan peristiwa yang berlaku tadi. Seolah tuhan membuka hijab untuk melihat apakah yang akan berlaku pada antara aku dan Threasia.

Tuhan telah mengatur perjalanan hidup dengan baik sekali. Andai aku menerima Theasia bererti hanya seorang insan sahaja yang akan memeluk islam. Jika aku membiarkan Alexander memiliki Threasia, mungkin dengan izin Allah kedua-duanya akan mengambil islam sebagai jalan hidup.

Threasia!


****

Saat perpisahan telah tiba. Tiga minggu begitu pantas berlalu. Sebaik tamat majlis penutupan kursus, aku menghampiri peserta-peserta. Aku perhatikan satu-satu wajah mereka. Jelas terbayang kesedihan di wajah peserta-peserta kursus. Sambil bersalaman, aku ucapkan selamat tinggal dan moga jumpa lagi. Peserta-peserta lelaki memelukku erat sementara peserta-peseta wanita memberi tunduk hormat.

Sewaktu acara bersalam berakhir tidak kulihat Threasia berada di dalam kelompok peserta. Puas mataku melilau-lilau mencari di segenap sudut, Threasia masih tidak kelihatan. Ada kesayuan di hatiku di saat-saat akhir sebegini tidak dapat bertemu dengan Threasia. Sehingga bas yang membawa peserta bertolak pulang ke Kota Kinabalu, Threasia tidak juga kelihatan.

Aku segera memasukan bagku ke bonet teksi yang telah sedia menunggu untuk membawa ku ke lapangan terbang. Terasa sayu untuk meninggal tempat ini. Angin tiba-tiba bertiup deras membawa kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitamku. Jaket tebalku tidak mampu menghalang kedinginan yang tiba-tiba datang. Sekeliling kupandang menjadi kosong dan amat sepi. Puncak gunung Kinabalu tidak lagi kelihatan dilitupi oleh gerombolan awan putih.

Kesedihan menjalar di hatiku. Aku tiba-tiba jadi rindu untuk menatap wajah Threasia buat kali terakhir. Tuhan! izinkanlah aku menatap wajahnya buat kali terakhir. Tiada yang menjawab selain bunyi hembusan angin Kundasang yang kian menderu. Aku melangkah masuk ke kereta dan segera menutup pintu kereta biar hembusan dingin angin Kundasang tidak lagi memelukku.

Tok! Tok! Tok!

Cermin tingkap kereta sebelah aku diketuk. Aku berpaling. Threasia! Aku segera keluar dari teksi lalu ke satu sudut bersama Threasia.

”Puas saya mencari kamu tadi! Saya sangkakan kamu tak mahu berjumpa saya lagi.” Kataku meminta penjelasan.

Threasia hanya diam membisu. Tiada sepatah kata terucap dari bibirnya. Mata Threasia kulihat kemerahan bagaikan baru sahaja menangis.

”Maafkan saya, Threasia! Saya harus pulang ke Kuala Lumpur.” Aku pula bagaikan kehilangan kata-kata. Kulihat mata Threasia kembali bergenang. Air mata tiba-tiba kembali mengalir di pipinya.

Threasia mengangguk sambil mengesat air matanya Kami berdua terdiam. Deru angin Kundasang bagai mencengkam-cengkam dinginnya tanpa belas.

”Saya harus pergi sekarang, teksi telah lama menunggu untuk membawa saya pergi. Izinkan saya pergi sekarang!” Pintaku tidak lagi sanggup melihat air mata mengalir di pipi Threasia.

”Ini dari hati saya. Tuan bacalah dalam perjalanan pulang nanti.” Threasia menghulurkan sekeping kertas berwarna kuning yang siap terlipat empat kepadaku. Aku mengambilnya dan segera kumasukkan ke dalam kocek bajuku.

Aku melangkah perlahan masuk semula ke dalam teksi. Pintu teksi segera kututup dan kuberikan lambaian selamat tinggal buat Threasia. Dari dalam cermin sisi teksi itu, aku terlihat satu susuk tubuh yang kenali, Alexander!

Teksi yang membawa aku ke lapangan terbang Kota Kinabalu bergerak pantas meninggalkan pekan Kundasang. Hujan renyai-renyai di sepanjang jalan ke Kota Kinabalu menghalang aku dari menyaksikan keindahan di sekitar laluanku.

Surat dari kertas berwarna kuning yang diberikan Threasia tadi kubuka perlahan. Tulisannya berwarna hitam tertera cantik dan kemas. Aku menarik nafas panjang.

Salam Sejahtera,

Bagaimana harus saya mulakan kata-kata ketika hembusan dingin Kundasang memeluk diri ini erat. Anggap sahaja surat ini surat rayuan cinta Zulaikha yang mencintai Yusuf dengan sepenuh jiwanya. Lengan baju tuan telah terkoyak oleh jari jemariku, seperti koyaknya baju Yusuf oleh cengkaman cinta Zulaikha yang membuak-buak.

Sebulan yang lalu saya bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dengan peribadi yang amanah, mulia dan baik agamanya. Sebagaimana mimpi Zulaikha tentang Yusuf begitulah mimpi saya. Peliknya saya mula jatuh cinta padanya. Hari-hari berikutnya mimpi itu datang lagi, sehingga kecintaan dan kasih sayang saya kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu dan rawan.

Tuanlah pemuda yang hadir dalam mimpi saya itu. Mahukan tuan melakukan satu jihad untuk islam? Saya pasti tuan mampu melakukannya. Di mata saya tuan memiliki segala syaratnya. Bimbinglah saya mengenal Allah. Ambillah saya sebagai isteri tuan yang sah! Saya tidak malu menyatakan cinta saya pada tuan. Sebagaimana Zulaikha yang tidak malu menyatakan cintanya kepada Yusuf. Cintailah saya kerana Allah kerana saya juga menyintai tuan kerana Allah.”

Saya akan tunggu tuan di sini, di dalam kedinginan ini. Datanglah kalau rindu itu tiba-tiba datang menerjah ke hati tuan. Saya akan setia menunggu! – Zulaikha @ Threasia Lorin

Aku menutup semula surat Threasia. Ku lipat sebaik-baiknya dan kusimpan dikocek bajuku.

”Pak Cik, kita patah balik ke Kundasang!

Rentik hujan yang tadi turun dengan lebatnya kini telah berhenti. Sinar sang suria mulai menjenguk di balik gumpulan awan putih. Puncak gunung Kinabalu bagaikan tersenyum.

Zulaikha!

Image by unknown