Salam dan Salam Sejahtera..
Pagi tadi saya membaca akhbar
online sambil minum teh o panas dan makan beberapa keping biskut. Maklumlah hidup sebagai orang bujang tiada siapa yang menyediakan sarapan pagi.
Saya terbaca berita mengenai gelombang kedua banjir di Terengganu apabila beberapa air sungai utama di Terengganu sudah mula naik.
Saya teringat pada penghujung tahun 2006 negeri Johor mengalami banjir besar dan ramai penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir. Hanya dalam tempoh seminggu banjir surut dan kering, banjir gelombang kedua kembali semula. Ada rumah yang hanya kelihatan bumbung sahaja. Masa itulah jelas kelihatan betapa sedihnya apabila sudah selesai mengemas dan membersihkan rumah tetapi banjir kembali semula dalam tempoh masa yang singkat.
Semasa banjir pertama yang melanda Johor, saya tidak berpindah kerana rumah yang saya duduki berada di kawasan yang agak tinggi. Hanya di kawasana sekeliling sahaja yang banjir. Tetapi saya tidak mampu keluar ke mana-mana kerana terkepung dek air banjir.
Hampir keseluruhan orang kampung berpindah ke pusat pemindahan. Hanya beberapa penduduk sahaja yang tidak berpndah termasuklah saya. Nenek saya tidak mahu berpindah kerana rumah tidak terkena banjir, begitu juga jiran saya. Orang tua memang susah nak tinggalkan rumah mereka.
Ketika banjir itulah saya duduk berdua bersama dengan nenek di rumah. Hujan turun tanpa henti. Air banjir tidak surut-surut. Keluarga saya sudah berpindah kerana mempunyai urusan dan tanggungjawab. Saya tetap tidak mahu berpindah kerana selesa berada di rumah. Alhamdulillah, bekalan air dan elektrik tidak terputus.
Saya teringat, hampir setiap petang saya akan membuat air teh o panas dan makan biskut tawar. Perkara ini berlaku hampir setiap hari. Minum air teh o panas dengan biskut tawar bersama-sama dengan nenek saya.
Sebelum banjir besar melanda Johor, nenek saya meminta emak saya membeli beberapa kampit beras, telur, gula, garam dan beberapa barang makanan lain. Sebagai persediaan menghadapi banjir. Rupanya nenek saya memang tidak mahu berpindah.
Hari Raya Aidiladha juga di sambut dalam suasana banjir. Saya menyambut Hari Raya hanya di rumah. Kelihatan nenek saya agak sedih mengenang banjir yang tidak surut-surut dan hujan turun tanpa henti. Tiada saudara-mara datang bertandang ke rumah semasa Hari Raya Haji masa itu. Maklumlah banjir.
Alhamdulillah, kerana Hari Raya Aidiladha pada tahun 2007 tidak berlaku banjir seperti mana pada Hari Raya Aidiladha tahun 2006.
Seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha tahun 2007, sepupu saya (anak kakak emak saya) meninggal dunia di Cheras. Mak long saya yang berada di Kluang datang ke kampung untuk membawa nenek saya ke Cheras. Nenek saya pada waktu itu kelihatan amat sedih kerana kehilangan cucu perempuan.
Selepas balik daripada Cheras, nenek saya terus ke Kluang kerana cucu mak long saya akan bertunang pada minggu hadapannya dan tidak balik terus ke kampung.
Pada 22 Disember 2007, saya seperti biasa pergi ke gelanggang Futsal di Kampung Parit Tengah melihat rakan-rakan bermain. Maklumlah malam minggu. Lazimnya selepas mereka habis bermain, kami akan pergi melepak di warung. Tetapi malam itu saya rasa semangat untuk keluar minum-minum bersama rakan-rakan hilang, jadi saya terus balik ke rumah dan tidur.
Ketika sedang tidur tiba-tiba adik saya mengejutkan saya dan dia menanggis. Kenapa adik saya menanggis??? Kata-kata adik saya membuatkan saya terdiam seketika dan tidak tahu hendak membuat apa-apa ;
"Angah!!! Bangun...Atok mak meninggal.."
Nenek saya meninggal. Meninggal pada waktu tengah malam. 23 Disember 2007. Seminggu selepas cucunya meninggal pada hari sabtu, waktu tengah hari.
Nenek saya yang berumur lebih 86 tahun itu tidak mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung atau sebagainya. Hanya darah tinggi sahaja. Sesak nafas merupakan punca pemergiannya.
Nenek tidak sempat melihat cicitnya bertunang pada hari Ahad. Tetapi sempat untuk melihat persiapan dilakukan.
Saya kerap kali meninggikan suara terhadap nenek saya. Ini adalah kelakuan yang biadab. Saya tahu itu memang biadab. Tetapi saya terpaksa kerana arwah nenek mempunyai masalah pendengaran sedikit.
Dalam keadaan biadab itu pun saya masih sentiasa berada dengannya semasa banjir besar melanda Johor. Saya menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan sebagainya. Bayangkanlah cucu lelaki buat kesemuanya itu.
Sehingga hari ini saya sentiasa teringat arwah nenek. Terus terang saya mengaku di sini, setiap kali saya makan biskut tawar dan minum air teh o panas mata terasa pedih dan ..........
Pesanan arwah nenek pada saya ialah belajar rajin-rajin sampai universiti ikut macam cucu-cucu dia yang lain. Ikut macam anak lelaki dia yang sekarang pegawai jabatan kerajaan.
Saya cuba tunaikan impian dan harapan arwah nenek.
Barulah saya tahu mengapa arwah nenek minta rumah di cat baru, minta supaya mak cik saya membuatkan nasi beriani untuk menjamu anak cucunya pada Aidilfitri walaupun hajat itu tidak dipenuhi.
Barulah kami teringat kata-kata arwah nenek yang seakan-akan merayu kepada mak cik saya supaya tolong buatkan makanan untuk di jamu kepada kumpulan Yasin pada hari Jumaat. Kata-kata ini yang segar dalam ingatan saya,
"Tolonglah buatkan aku, aku nak jamu orang Yasinan, nanti aku bayarlah, tolonglah lepas ni aku tak buat Yasinan lagi..."Sebenarnya, banyak lagi yang saya hendak catatkan di sini tetapi maaflah kerana saya tidak mampu ...........
Maaf jika kisah ini membosankan anda semua..
Kini hanya tinggal kenangan..