Aku rasa lebih berkat jika aku mulai catatanku dengan berbismillah...
Bismillahhirahmanirahim...
Tahun nie genap 7 tahun aku menjadi seorang pendidik di sini… dan selama ini jugalah aku menimba pelbagai pengalaman pahit dan manis menjadi pensyarah. Setiap tahun pengalaman aku berhadapan dengan pelbagai karenah student sedikit sebanyak telah mematangkan aku. Ada kalanya aku rasa enjoy sangat dengan diaorang dan ada kalanya aku rasa terlalu stress dan tension dengan sikap mereka. Mungkin itulah penangan yang terpaksa aku tempuhi apabila berhadapan dengan student2 yang tengah meningkat dewasa nie…banyak ragamnya :)
Namun, Aku lihat majoriti student2 aku hari nie, semakin lama semakin merosot dari segi disiplin, sikap dan akhlak mereka terhadap pensyarah. Kadangkala sampaikan pensyarah nie makan hati dengan sikap mereka sehinggakan menitiskan air mata.
Wahai pelajar-pelajar ku sekalian…
Sedarlah kamu sebelum terlambat. Jika apa yang kamu pelajari itu tidak mendapat keberkatan dari pensyarah-pensyarah kamu...apakah akan berkat segala ilmu yang kamu pelajari itu? Tepuk dada tanyalah akal kamu.
Aku cuma memberi pesan, sebelum terlambat, ubahlah sikap kamu dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa pensyarah-pensyarah kamu. Lagi pun kamu telah berada di semester akhir. Jadi sebelum kamu menamatkan pengajian kamu apalah salahnya kamu memberikan kerjasama yang terbaik kepada kami dari segi komitmen kamu terhadap pelajaran dan sikap kamu ketika berada di dalam kelas.
Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di kolej pula pensyarah umpama ibu bapa kepada kamu. Jadi, sebagai pelajar, kamu boleh menunjukkan kasih sayang kamu kepada pensyarah dengan menghormati kami.
Wahai pelajar-pelajar ku sekalian…
Sekiranya ada pensyarah yang mempunyai rasa tidak enak pada pelajarnya, akan menyebabkan pelajaran ilmu itu akan terganggu. Mungkin sahaja kamu berjaya dengan baik dan cemerlang setiap kali exam, tetapi kamu ada kemungkinan membawa ilmu yang tidak barakah. Pelbagai perkara boleh terjadi. Paling kurang, di akhirat nanti kamu akan dipersoalkan oleh Allah SWT akan adab kamu terhadap pensyarah-pensyarah kamu. Jika balasan itu dibalas di dunia lagi, kemungkinan kamu susah untuk mendapat pekerjaan atau kehidupan kamu menjadi sukar.
Pensyarah juga adalah manusia. Kami juga punya silap. Tetapi kamu sebagai anak murid perlu berlapang dada menerima seadanya. Hal ini kerana, pensyarah memberikan manfaat kepada kamu dengan memberikan ilmu pengetahuan yang sangat berguna kepada kamu untuk dimanfaatkan setelah kamu tamat belajar kelak.
Sejahat-jahat pensyarah, selagi mana kami menumpahkan ilmu, maka adalah perlu untuk kamu menghormatinya. Jika hendak menegur bukan tidak boleh, tetapi tetap perlu ada adabnya.
Setinggi mana pun kamu capai pada usia dewasa kamu, ingatlah betapa ada pensyarah yang selama ini mendidik kamu. Betapa genius pun akal kamu, ingatlah ada pensyarah yang membimbing kamu.
Saya tidak nampak ruang dan sebab, untuk seorang murid mendabik dada kepada pensyarahnya dengan menjawab dan membalas setiap soalan yang diajukan oleh pensyarahnya dengan rasa sombong dan bongkak. Jika perasaan tinggi diri terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain.
Pensyarah tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati kami dengan mengucapkan terima kasih dan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa. Pelajar juga mesti duduk dalam keadaan beradab apabila belajar di dalam kelas dengan memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian kepada pelajaran dan tidak membuat bising serta tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menyentuh hati pensyarah.
Inilah sikap yang mesti ada pada setiap diri pelajar agar mereka benar-benar belajar dengan baik disamping mendapat keberkatan hasil keredhaan pensyarah.
Untuk renungan kamu wahai pelajar-pelajarku sekalian :
Diriwayatkan dari Imam At-Tabrani dalam kitabnya Al-Kabir, Muawiyah RA telah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Wahai manusia, sesungguhnya ilmu itu hanya mampu diperolehi dengan belajar. Dan kefahaman itu akan didapati dengan memperdalaminya. Dan barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT, maka akan diberikannya kefahaman pada agama. Sesungguhnya yang takut kepada Allah adalah mereka yang berilmu” Riwayat Tabrani.
Dengan itu, maka adalah perlu kamu menundukkan diri kamu menghormati pensyarah atau guru yang telah berjaya mendidik kamu. Sesungguhnya, tanpa jasa mereka berpenat lelah melayan kerenah kamu, mendidik mengasuh ilmu di dalam pemikiran kamu, maka sesungguhnya kamu tidak punya apa-apa.
Hari ini, kamu memandang pensyarah bagaimana?
Apakah masih ada rasa hormat kamu pada kami?
Jawapan itu hanya kamu sahaja yang tahu...