Popular Posts

Khamis, 14 Mac 2013

WAHAI BANGSAKU...!




Adakah permusuhan antara PAS dan UMNO telah ditakdirkan…?

Apabila seorang imam membaca doa `qunut nazilah’ kebetulan pula beliau adalah ahli PAS siapakah sebenarnya yang terbayang dihatinya sebagai musuh sedangkan makmumnya ada juga ahli UMNO. Sekiranya imam tersebut ahli UMNO dan membaca `qunut nazilah’ siapakah pula yang terbayang dihatinya sebagai musuh.

Begitu juga setiap kali takbir hari raya siapakah yang dimaksudkan dalam ucapan takbir tersebut.? Siapa sebenarnya yang menjadi musuh? Bagaimana pula hubungan PAS dan DAP, UMNO dan MCA apakah mereka bersaudara dan bukan musuh sejak azali?

Bagaimana pula Yahudi dan bani Israel, Amerika dan Russia, China dan Jepun apakah Allah redha dengan mereka, dunia dan akhirat??


Soalan-soalan saya tadi hanyalah sekadar soalan dan orang politik akan jawab mengikut neraca perjuangan melalui politik dan orang yang tidak terlibat dengan politik akan menjawab mengikut neraca mereka.

Sebenarnya apakah impian hidup Bangsa Melayu?, apakah yang menghantui pemikiran mereka setiap detik? Apakah topik perbualan mereka setiap saat?

Lupakan juga soalan-soalan ini.

Mari kita melihat dunia luar bagaimana rakyat-rakyat mereka mengejar impian hidup di dunia.


Berikut adalah 5 nama daripada 40 nama orang yang berjaya menjadi billionair sebelum usia 40.

Sebelum ini saya membaca artikel dalam majalah yang sama menceritakan trend popular di barat ialah impian menjadi jutawan sebelum menjadi graduan !!


Apakah pula trend impian pelajar-pejara Melayu di IPT Malaysia?


1. Mark Zuckerberg berusia 27 tahun, CEO dan pengasas Facebook kekayaannya bernilai USD50 billion. Impiannya tahun 2011 hanya akan makan binatang yang dibunuhnya sendiri.

2. Larry Page, 35, CEO dan pengasas google. Kemunculan facebook menjadikan beliau perlu membuat keputusan pantas dan dengan menggerakkan google sebagai tapak iklan telah melonjakkan keuntungan tahunan USD17 billion.

3. Greg Jensen, 37 Co-CEO Bridgewater Associates. Syarikatnya sedang menguruskan asset bernilai USD125 billion. Dalam keadaan pesaing kerugian syarikatnya berjaya menaikkan dana mereka sehingga 25%, kejayaannya kerana beliau berpegang kepada prinsip: Firmanya mesti memliki “budaya kerja yang luarbiasa” katanya itulah kunci kejayaan firmanya.


4. Jack Dorsey, 34 pengasas Twitter dan Square. Beliau menerima bayaran melebihi USD1 billion. Semasa kecil Impiannya ingin menjadi jurutera keretapi atau pelayar sebab beliau ingin mengembara ke seluruh dunia. Sekarang impiannya menjadi kenyataan.


5. Kevin Plank, 39, pengasas dan CEO, Under Water. Selapas 15 tahun memulakan perniagaan keuntungan syarikat melebihi 1 billion mark.


Sebenarnya ramai lagi billionair daripada Bangsa Barat dan adakah ia satu takdir Allah bahawa kekayaan dunia ini milik mereka sebaliknya bukan milik Bangsa Melayu. Atau apa yang mereka miliki hari ini adalah pemberian Allah berasaskan pilihan mereka dan usaha mereka .


Apa yang pasti mereka menyerahkan isu politik kepada orang lain dan hanya fokus pada impian sendiri.


Bagaimanakah rupanya pimpinan dan pelajar IPT Malaysia bukankah mereka yang yang popular ialah yang pandai berpolitik dan akan marah jika tidak dibenarkan berpolitik.. Apakah berpolitik satu-satunya cara hidup paling glamour?


Lihatlah Bangsa Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang berjiran dengan kita apakah isu politik menjadi isu utama?. Kini jenama Samsung dan LG sudah mula mengatasi blackberry dan Korea Selatan tidak memiliki hasil bumi sekaya Malaysia tetapi mereka memiliki rakyat yang tinggi semangat patriotismanya sebagaimana juga Jepun.


Di mana Bangsa Melayu sekarang? Bagaimana keadaan Bangsa Melayu 15 tahun akan datang, 30 tahun akan datang atau 50 tahun akan datang adakah sama atau lebih teruk? Adakah perbalahan politik merupakan ubat yang mujarab kepada kemunduran ini dan satu-satunya jalan untuk membina Ummah yang hebat?


Apakah semuanya berpunca daripada politik dan apakah hanya politik satu-satunya wadah penyelesaiannya? Apakah Allah mentakdirkan kita Bangsa Melayu hanya suka berfikir, bercakap dan berpolimik dalam isu-isu politik?


Kenapa Barat berjaya melahirkan bangsa-bangsa yang hebat di dunia? Kenapa Bangsa kita yang juga mempelajari ilmu-ilmu yang di ajar di Barat tidak sehebat mereka? Apakah orang Jepun dan Korea berjaya membangunkan Negara mereka dengan Bahasa Barat? Bagaimana pula rakyat Jerman dan Perancis, apakah Bahasa yang digunakan?


Pada pendapat saya wujud kesalahan besar dalam budaya pemikiran, budaya hidup, tabiat kerja, neraca keutamaan yang menjadi tempurung dan memerangkapkan pemikiran semua pimpinan Bangsa Melayu yang perlu diperbetulkan. Generasi hari ini adalah pimpinan masa akan datang, maka apakah formula yang perlu dilakukan, apakah impian yang perlu ditanam, apakah tindakan drastik yang perlu dilakukan, apakah budaya kerja luarbiasa yang mesti dibiasakan.


Zioniskah dengan sengaja mencipta tempurung itu supaya semua dunia Islam terperangkap di dalam kerangka pemikiran ciptaan mereka.? Atau umat Islam yang tidak mahu berubah dan berfikir diluar kotak?

Apakah semua orang Melayu perlu menumpukan pemikiran untuk menjadi ahli politik dan penyanyi? Hanya kerana kebanyakan ahli politik dan penyanyi kaya raya?

Berfikirlah di luar kotak!

Bagaimana Kevin Plank berjaya mengubah syarikat Uder Armour daripada mengharapkan tuah menjadi perniagaan bernilai Billion USD? Suatu hari tersebar dalam Twitter bahawa syarikat Nike yang berjaya membuat jualan bernialai USD21 billion hendak membeli Under Armour ( pengeluar jenama `Polo’) tetapi dengan tegas dalam ucapannya diperhimpunan syarikatnya beliau berkata beliau tidak akan menjualkannya.

Plank memulakan “Under Armour” daripada rumah neneknya; berbekalkan pengalaman sebagai pemain bolasepak, terdedah dengan disiplin hidup dalam akademi ketenteraan beliau memulakan impian hidupnya dengan menjual pakaian sukan daripada polyster. Plank mula kerjayanya membentuk pasukan kerja, membuat networking dan menghubungi semula rakan-rakan kolej, rakan-rakan sepasukannya semasa di kolej, kembali ke kolejnya unuk menjual produknya dan kini menjadi individu ditempat 12 tertinggi terkaya dalam usia bawah 40an. Bagaimana jika beliau menjualkan syarikatnya dulu..? Itulah cara fikir orang yang berjaya !!

Rahsianya ialah impian, teamwork, networking dan kerja keras.


Itulah sunnah kehidupan untuk semua manusia. Apakah Bangsa Melayu memiliki impian? mampu bekerja secara berpasukan? Sentiasa membina jaringa hidup yang baik dan bekerja kuat?


Umat ini tidak akan berubah sehingga mereka mengubah kelemahan dalam jiwa mereka. Kalau sepakat pun dipandang negatif, mampukah mereka bekerja dalam satu pasukan…??


Wallahu`alam


Jagalah Hati

Wassalam

Sabtu, 9 Mac 2013

DAKWAH ITU INDAH...



Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang bapa  dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kampungnya itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika si bapa dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia”

Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”. 

“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”, kata si anak.

“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”

“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”

Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”

Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi ayah?”

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”

“Terima kasih Ayah” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terpencil di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja si anak di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50-an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?”

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu” dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu”

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.

“Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.

“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”

“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.

“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar”.

“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi”.

“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Robb yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka”

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah airmata itu menitis. Airmata itu anugerah ALLAH kepada makhluk-Nya yang penyayang.

Sungguh mulia sifat si anak, berapa ramai yang telah kita ajak untuk menuju ke jalan Allah...?

Tercapaikah maksud kita diciptakan Allah ke muka bumi ini...?

Wallahu`alam
Jagalah Hati....


Wassalam

Rabu, 6 Mac 2013

KEBIASAAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN...





Pertama sekali saya mengucapkan syukur kepada yang Maha Pencipta, Allah swt di atas rahmat serta kasih sayang-Nya. Kedua, buat Junjungan Besar, Rasulullah saw, saya masih belajar untuk menyintaimu lebih dari hari-hari kelmarin.


Terima kasih buat keluarga saya yang sentiasa disisi setiap masa. Sedih atau gembira kita bersama. Suka dan duka kita harunginya. Mana mungkin saya lupa walaupun ada ketika kita masing-masing terluka. Adatlah menjadi pantai dan laut, ada waktu berombak juga.


Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sentiasa menceriakan hari-hari saya, berkongsi suka duka. Saya menghargai tiap detik kita bersama. Kenangan-kenangan yang dicipta kadangkala sukar untuk dilupakan. Kuntuman senyuman hadir disaat memori indah muncul semula.


Terima kasih buat anak-anak didik yang sehingga hari ini masih mengajar saya menjadi guru yang lebih baik daripada semalam. Mempercayai saya dengan sepenuh hati lebih daripada kalian percayakan diri kalian. Saya masih belajar untuk menjadi pendidik yang baik. Bimbinglah saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya sayang anda semua. Dalam jaga saya, dalam tidur dan dalam doa saya. Dan saya mahukan perasaan ini berpaksi hanya pada keikhlasan. Keikhlasan hanya kerana Allah. Namun, saya mohon maaf jika ia masih belum sempurna. Saya hanya manusia biasa. Banyak khilaf dan dosa. Mohon doakan saya agar saya menjadi hamba yang sebenar-benar hamba…


Ucapan di atas bukan kerana saya menang anugerah. Saya hanya ingin sampaikan rasa bahagia dan syukur saya kerana dikurniakan insan-insan hebat dikeliling saya. Ada waktu-waktu tertentu, saya sangat rindukan anda semua. Ada saat-saat tertentu, saya ingin lafazkan sayang saya namun tidak terluah. Pada Allah, saya sandarkan. Dia lebih mengetahui.


Entry ini untuk siapa? Untuk mereka?


Tidak. Tidak ramai antara mereka tahu blog saya. Kalau ada yang baca entry saya, terima kasih. Kalau ada yang ambil pengajaran, alhamdulillah. Kalau ada sekadar tengok-tengok,tidak apa-apa.


Saya tidak menulis untuk memberi peringatan pada para pembaca dan pelawat dengan sengaja. Saya menulis untuk memberi peringatan pada diri saya sendiri. Namun, jika ada yang membaca, saya sangat mensyukurinya. Saya suka membaca entry lama tulisan saya sendiri. Adakala, saat membaca saya terasa bahawa pemikiran saya salah, maka saya cuba betulkan. Kadangkala, ada rasa sedih sebab diri sendiri tulis, tetapi diri sendiri pun tidak buat. Bila baca, maka sedarlah diri bahawa saya kena berusaha lebih gigih untuk perbaiki diri.


Bagi yang telah berjaya, alhamdulillah, mudahan dapat kekal atau terus meningkat.


Saya bukan penulis yang hebat. Saya menulis berdasarkan sedikit ilmu yang dipinjamkan-Nya. Bahasa yang saya nukilkan yang agak-agak sedap dan boleh diterima pakai. Maka, jika ada tersilap dari sudut pandangan, fakta mahu pun bahasa, mohon ditegur. Insya Allah, saya menerimanya. 


Entry hari ini sebenarnya tentang apa…?


Kebiasaan yang semakin dilupakan…


Semalam, sewaktu yang memandu pulang  sampai di persimpangan lampu isyarat, lampu merah bertukar hijau. Saya melafazkan alhamdulillah. Ting! Terus dapat idea. Idea untuk dijana sepanjang pemanduan saya.


Saya mengucapkan alhamdulillah kerana selalunya bila saya tiba disimpang, saya terpaksa berhenti kerana lampu merah. Namun, hari ini, sesuatu yang luar biasa berlaku. Ianya hijau. HIJAU! Bukanlah luar biasa sangat, tetapi bagi saya, ia satu kurniaan yang saya perlu syukuri.


Saya adalah salah seorang antara manusia-manusia itu. Manusia yang bersyukur hanya disaat berlaku perkara yang diluar kebiasaan kita atau perkara-perkara yang kita anggap istimewa dalam hidup kita. Alhamdulillah, dapat keputusan cemerlang. Alhamdulillah, dapat naik pangkat. Alhamdulillah, dapat beli telefon bimbit baru dan macam-macam lagi. Salah? Tidak. Tidak salah. Malah, sangat perlu dicontohi. Bukan semua orang tahu mensyukuri nikmat yang diberi.


Namun, kita selalu lupa bersyukur pada kebiasaan kita. Rutin harian yang kita lalui. Setiap pagi, saat kita menyarungkan pakaian, kita lupa mengucapkan syukur. Kenapa?
Kerana hari-hari pun pakai baju pergi kerja. Tetapi kita lupa bahawa kita tidak pakai baju compang-camping. Kita pakai baju yang cantik. Ada yang pakai baju berjenama.


“Alhamdulillah, hari ini ada pakaian sempurna yang aku boleh pakai. Masih cantik walau dah lama. Ada orang lain hidup susah, pakaiannya compang camping. Terima kasih ya Allah.” 


Indahnya syukur,kan…?


Setiap pagi juga, kita pandu kereta. Tak kisahlah kereta jenama apa. kita lupa mengucapkan syukur. Kenapa? Dah memang biasa naik kereta pergi kerja. Apa nak dihairankan? Biasalah tu. Tapi kita lupa, ada insan yang hanya bermotosikal dan paginya lencun dibasahi hujan. Ada insan yang berjalan kaki sejauh mata memandang. Ada pula yang terpaksa menunggu bas penuh resah, bimbang kalau terlambat sampai ke destinasi.


“Alhamdulillah, hari ini ke tempat kerja dengan kereta sendiri dan ia dalam berkeadaan baik. Mudahan Allah selamatkan perjalanan ke tempat kerja. Terima kasih ya Allah.” 


Indahnya syukur,kan…?


Dah sampai tempat kerja. Ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja yang menyakitkan hati. Macam itulah hari-hari kerja. Situasi yang sama. Tidak berubah. Kerja siap juga walau dalam keadaan tidak berapa ikhlas. Kenapa? Sebab dah kerja kita, kan? Tetapi kita lupa, ada insan yang bertungkus lumus di luar sana mencari sesuap nasi untuk keluarga. Ada yang berkali-kali temuduga namun masih belum ada rezeki. 


“Alhamdulillah, hari ini masih berpeluang bekerja. Ya Allah, lindungi dan peliharalah hatiku daripada segala sifat-sifat buruk. Ikhlaskan aku bekerja kerana Mu ya Allah”. 


Indahnya syukur,kan…?


Insya Allah, waktu makan, ramai yang baca doa makan. Ramai yang bersyukur dengan nikmat yang diberi. Bila kenyang, tidak lupa sebut alhamdulillah. Kan? Kan? Mudahan kita semua kekal melakukannya. Paling penting ingatlah mereka yang tidak punya sebarang makanan walau hanya untuk mengalas perut.


Kebiasaan yang selalu dilupakan. Saya kira banyaknya nikmat Allah yang tidak terhitung dan andainya setiap kali kita menikmatinya dengan didahulukan dengan ucapan syukur, alhamdulillah dan terima kasih Allah, pasti dalam sehari beribu-ribu zikrullah kita lafazkan pada Allah. Zikrullah yang lebih bermakna kerana kita menghayatinya dengan sebenar-benar erti.Insya Allah.



Saya yakin bukan mudah melakukannya kerana ia rutin harian. Dan rutin harian perlukan masa untuk diubah dan diolah kembali. Ibarat seseorang yang dah biasa berjaga dimalam hari dan tidur diwaktu pagi, maka perlukan masa untuk mengubah jam biologinya.


Tapi, tidak mustahilkan?Insya Allah.


Kita mulakan malam ini. 


Alhamdulillah, terima kasih Allah yang memberikan saya peluang dan ilham menulis kali ini…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada rasa dahaga dan segelas air bersih…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada rasa mengantuk yang menasihatkan saya untuk tidur…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada sebuah katil dan sekeping tilam empuk yang memberikan lena tanpa gangguan…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada nikmat Islam…


Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana mengutuskan seorang Rasul Junjungan, Muhammad saw…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada ajaran Al-Quran dan Sunnah yang menjadi panduan…


Alhamdulillah, terima kasih Allah pada nikmat CINTA sebenar cinta…


Alhamdulillah…


Alhamdulillah…


Alhamdulillah…


Jika dihitung, tinta akan kehabisan dakwatnya…


Komputer riba pula akan kehabisan baterinya…


Manusia…? 


Manusia tidak akan kehilangan apa-apa, malah akan sentiasa ditambah nikmatnya.



Wallahu`alam




Jagalah Hati…



Wassalam