Popular Posts

Ahad, 28 Ogos 2011

RINTIHAN DOA DARI SEORANG IBU...




Ya Allah,


Engkau mengetahui hati-hati ini


telah ditemukan atas kudrat dan iradat Mu


saling mengasihi untuk mematuhi perintah Mu,


bersatu kerana takdir Mu,


hati-hati ini yang tunduk mendokong syariat Mu,



maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya…


Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini


pada jalan Mu yang sebenar,


Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani Mu


yang tidak kunjung malap,


Lapangkanlah hati-hati ini dengan


limpahan iman dan keyakinan


dan keindahan tawakkal kepada Mu,


Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan


makrifat (pengetahuan sebenar) tentang Mu,


Jika Engkau mentakdirkan mati,


maka jemputlah kami kehadirat Mu,


dalam redha, rahmat dan kasih sayang Mu


Engkaulah sebaik-baik sandaran


dan sebaik-baik penolong,




Ya Allah,


Perkenankanlah permintaan ini...

Rintihan dalam doa...






Jagalah Hati...

Wassalam

DOA BUAT ANAK-ANAK KU...



Ya Robb
Jika malam datang
Nyalakan bintang-bintang
Agar anak ku tidak tersesat dalam gelap
Dan kembali menemui petunjuk arah
Menuju jalan Mu


Ya Robb
Jika siang menjelang
Bakar keberanian di dadanya
Agar anak ku teguh menghadapi dunia
Dan bertahan menghadapi ujiannya


Ya Robb
Jika purnama sempurna
Susupi dalam jiwa pancaran pesonanya
Agar ia mengenali keindahan
Dan menghadapi hidup ini dengan senyuman


Ya Robb
Saat fajar menyingsing
Bangunkan lelapnya ya Robb
Agar hatinya segar
Dan bersemangat menatap kehidupan




Ya Robb
Jika hujan turun
Basahi amarahnya dengan air arasy Mu
Agar ia selalu tunduk dan tawaduk
Dalam menerima segala takdir Mu


Ya Robb
Jadikan lautan sebagai wadah besar ku
Agar mampu menampung samudera kasihku
Pada anak-anak ku


Ya Robb
Jadikan bukit dan gunung tiang- tiang yang kukuh
Agar mampu menopang selangit cinta ku
Pada anak-anak ku


Ya Robb
Jadikan kebaikan mereka semua
Sebagai tapak rumah kami
Di syurga Mu...




Jagalah Hati...

Wassalam.

Sabtu, 27 Ogos 2011

RAMADHAN TELAH MENINGGALKAN KITA...




Ramadhan telah meninggalkan kita. Syawal menjelang menandakan hari raya.Kehidupan biasa bermula semula. Ramadhan hadapan belum tentu kita bertemu.

Dihari raya ini perbaikilah diri sendiri.Layakkah hari ini kita berhari raya.Hari Raya hanya untuk orang-orang bertakwa. Selain mereka tidak layak merayakannya

Renung kembali segala amalan kita di bulan Ramadhan. Adakah meningkat dari Ramadhan sebelumnya? 

Bertambah baikkah kita dari masa ke semasa, sesuai dengan meningkatnya umur kita?


Renung pula kehadapan bagaimana nasib kita?Apakah kita mati di dalam husnul khotimah? Kerana nafsu selalu mendorong kejahatan. Dan juga syaitan yang sentiasa melalaikan.

Ingatlah hari raya bukan untuk bersukaria.Ia hari bersyukur menggembirakan yang tidak berpunya. Memberi bantuan pada mereka yang tidak berada. Maaf bermaafan sesama kita.

Bertimbang rasa kita sesama manusia.Bersimpatilah dengan mereka yang susah. Berkasih sayang itu sangat diperintahkan. Bahkan itu sesuai dengan fitrah manusia

Di hari raya ini. Marilah kita mengingat kembali apakah ibadah kita sebulan yang lepas sudah sempurna? Marilah kita menginsafi akan diri sendiri.Apakah amalan kita yang telah dibuat diterima?

Di pagi raya ini. Marilah kita bertaubat kerana kekurangan amalan di sepanjang Ramadhan.Juga kerana dosa-dosa yang dilakukan.Moga-moga dosa-dosa itu diampunkan oleh Allah

Di hari raya ini. Marilah kita menginsafi diri bahawa ada manusia yang tidak dapat bergembira kerana kemiskinan dan hidup dilanda kesusahan.Marilah kita membantu dan marilah kita menolongnya

Di hari raya ini marilah ziarah ibubapa, sanak saudara, sahabat handai dan juga guru. Bermaafan kita sesama kita. Agar dosa sesama kita selesai di dunia.

Di hari raya ini janganlah kita berfoya-foya kerana ia boleh melalaikan hati dengan kemungkaran. Kelalaian boleh mendatangkan dosa dan juga kesusahan. Dosa-dosa itu merosakkan kebaikan yang telah kita lakukan...

Wallahu`alam

Jagalah Hati…

Wassalam.

Khamis, 25 Ogos 2011

MANA YANG LEBIH BAHAGIA...?



Mencintai dan dicintai

Mana yang lebih bahagia ya?
Mencintai…atau dicintai?


Mencintai sesuatu yang sesuatu itu juga mencintai kita… tentulah seronok, kan?

Tapi, bagaimana pula kalau kita mencintai sesuatu yang sesuatu itu tidak mencintai kita?

Dan bagaimana pula kalau kita dicintai sesuatu yang tidak kita cintai?

Pasti ramai yang pernah merasa indah serta bahagianya mencintai dan sekaligus dicintai oleh yang kita cintai. Saat itu, serasa dunia ini kita yang punya. Saat itu, pahit rasa manis, yang masam dan busuk jadi wangi. Masa pula,  jadi pantas, malah terlalu cemburu bila kita bersama yang dicintai dan mencintai kita. Malam jadi panjang sangat, seolah tidak sabar menanti mentari terbit untuk meneruskan hari-hari bahagia bersama yang dicintai dan mencintai kita. Saat tu juga, sedar atau tidak,  perasan atau tidak… kita pasti akan melebihkan yang dicintai itu dari segala-galanya. Bahkan kadang-kadang, tika ini…yang dosa boleh jadi gula-gula, yang haram bukan apa-apa, yang syubhat lagi tidak ternampak di mata. Ilahi pun… mungkin macam tidak ada. Paling kurang, kita berdoa juga…tapi berdoa agar umur kita panjang untuk terus bahagia bersama yang kita cintai dan mencintai kita itu.


Dalam masa yang sama, pasti ramai yang pernah merasai bagaimana pedihnya… bila kita mencintai sesuatu yangg sesuatu itu tidak mencintai kita. Bila jadi begini, kadangkala terkeluar rasa tidak puas hati kita pada Allah. “Kenapa kita tidak boleh rasa bahagia seperti orang lain? Kenapa kita tak dapat memiliki apa yang kita cintai seperti orang lain?” dan banyak lagi. Tapi tidak kurang juga yang terus membiarkan perasaan cinta itu subur dalam hati. Biar pedih, biar terluka…kita rela. Kita tetap sanggup berkorban apa jua untuk kebaikan dan kebahagiaan yang kita cintai itu. Kerana yang penting orang yang kita cintai itu bahagia dengan hidupnya. Dan kerana kita juga sedar, yang dinamakan cinta sejati itu tidak semestinya bersatu.


Tidak kurang juga yang pernah merasai betapa keliru serta bingungnya apabila diri kita dicintai oleh sesuatu yang tidak kita cintai. Mungkin juga sedikit rasa tertekan, serba salah, bersalah, atau mungkin juga rasa benci. Tertekan, mungkin kerana yang mencintai kita itu mendesak kita untuk mencintainya, atau mungkin juga tertekan kerana kita tidak dapat mencintai yang mencintai kita itu kerana kita sudah mencintai yang lain.


Kita dilanda rasa serba salah dan bersalah kerana kita tidak mampu membalas segala pengorbanan serta kebaikan yang telah diberikan oleh yang mencintai kita itu kepada kita.


Atau mungkin juga rasa benci kerana kita tidak suka padanya. Atau benci kerana ia menimbulkan masalah pada kita. Apabila yang mencintai kita dan kita pun mencintainya tahu yang kita dicintai oleh yang lain.


Tiba-tiba rasa macam pening pula. Rasa berbelit-belit…

…..sebenarnya, apa yang saya ingin sampaikan ialah… dalam situasi mana pun seperti di atas kita berada, kita sebenarnya selalu melupakan sesuatu yang setia mencintai kita, sejak sebelum kita ada di dunia ini lagi. Yang setia mencintai kita dengan memenuhi segala kehendak serta keperluan kita walaupun ada masanya kita tidak pernah mahu memandang pada-Nya. Yang selalu siap memenuhi permintaan kita. Yang selalu ada disaat-saat kita susah, sedih, bingung…walaupun bila kita gembira,suka,senang…kita yang meminggirkan-Nya. Yang selalu sudi memaafkan segala kesalahan kita pada-Nya. Yang selalu rela melupakan segala kekurangan kita.


Saya pasti, saudara semuslim tahu siapa yang dimaksudkan itu. Dialah ALLAH. Robb kita. KHALIQ yang menciptakan kita. Yang selalu mencintai kita sebagai hamba-Nya. Dia selalu menanti-nanti bila kita akan menoleh pada-Nya, menghargai kewujudan dan kemurahan-Nya pada kita dan mengalihkan cinta kita kepada-Nya yang teratas dan terutama.


Semoga kita selalu sedar hakikat cinta dan mencintai. Moga-moga kelak, kita tidak menjadi sebahagian dari mereka yang rugi, lantas memohon agar dihantarkan semula ke dunia sekali lagi setelah mati. Kerana, sesungguhnya itu tidak akan sekali-kali terjadi...

Wallahu`alam

Jagalah Hati…

Wassalam.

Rabu, 24 Ogos 2011

MUHASABAH DI HUJUNG RAMADHAN...




Kualiti amal kita kepada Allah swt tidak diukur melalui jumlah, kuantiti, berat atau ringannya sesuatu ibadah. Akan tetapi, diukur oleh hati yang ikhlas.


Keikhlasan itu hanya muncul dari hati yang zuhud, hati yang tidak dipenuhi oleh hasrat, kecuali hanya kepada Allah. Kerana itu, walaupun berapa kecil, sedikit, dan barangkali lekeh sekalipun, jika amalan itu muncul dari hati yang zuhud, nilainya besar dan banyak di sisi Allah.


Sebaliknya, jika amalan itu dihitung dengan kuantiti, walaupun dilakukan oleh ribuan orang, tapi keikhlasan dan kezuhudan tidak tertanam dalam hatinya, sebanyak apa pun amalan tersebut, ia tetap dinilai kecil.


"Dua rakaat dari seorang alim yang zahid itu lebih dicintai oleh Allah daripada ibadah orang yang beribadah, tapi penuh cita-cita duniawi," terang Nabi Muhammad saw sebagaimana diriwayatkan melalui Ibnu Mas'ud ra.


Dengan demikian, ukuran kualiti amal kita terletak dari keikhlasan dan kezuhudan meraih redha Allah dan syurga-Nya. Ramadhan sebenarnya datang untuk meletakkan pemahaman kita di atas pelantar ini. Kita berpuasa lalu berbuka. Kita tegakkan yang wajib, bahkan ditambah dengan yang sunat, tangan kita terbuka dan membentangkan sedekah, yang semua itu harus dipandu dengan penuh keikhlasan dan kezuhudan sehingga akan mudah sampai pada terminal redha dan syurga-Nya.


Kini, secara perlahan, Ramadhan yang agung akan meninggalkan kita. Tinggal menghitung hari, kita akan menyelesaikan ibadah puasa dan setelah itu Aidilfitri.


Lantas muncul pertanyaan, apa yang telah kita dapat selama bulan penuh rahmat dan ampunan ini...?


Adakah ada sesuatu yang baru dapat kita petik dari hikmah puasa yang bakal kita terapkan dalam kehidupan kita setelah Ramadhan…?


Adakah puasa kita kali ini tidak jauh berbeza dengan puasa-puasa sebelumnya…?


Berbagai pertanyaan itu patut kita sampaikan dalam rangka merenungkan kembali apa yang telah kita lakukan selama menjalankan ibadah Ramadhan. Ramai yang mengatakan, kecenderungan kita lebih banyak melaksanakan ibadah puasa sebagai ritual rutin kerana bulan Ramadhan akan selalu ditemui setiap tahun. Ramai juga orang berpuasa kerana memang waktunya berpuasa. Kita berpuasa kerana kebanyakan orang berpuasa. Ertinya, puasa kita tidak lebih hanya kerana mengikuti tradisi…


Tentu kita semua tidak mahu dituduh berpuasa kerana mengikuti tradisi. Bagaimanapun, ada juga yang mengemukakan alasan bahawa kita berpuasa kerana benar-benar mahu mengikut ajaran agama. Ada yang ingin kejar kesucian diri dan kemenangan. Ada yang ingin kita menjadi manusia ikhlas, zuhud, dan istiqamah dalam merangkai ketakwaan.


Dalam takwa, ada keseriusan dan ketaatan. Bererti Ramadhan menempa kita untuk menjadi manusia yang serius dalam ketaatan kepada-Nya. Dengan demikian, kesucian diri itu akan kita perolehi dan kemenangan pun insya Allah kita raihkan, iaitu kembali kepada kesucian dan meraih kemenangan di hari yang fitri…


Wallahu`alam



Jagalah Hati…


Wassalam.

Selasa, 23 Ogos 2011

BERITA DARI ALAM SATU LAGI...



Setelah segala urusan dunia selesai, mayat akan dikebumikan dan setelah setelah selesai dikebumikan, maka rohnya akan dikembalikan ke jasadnya untuk MENJAWAB SOALAN dari malaikat.


Diriwayatkan dari Abdullah bin Salam ra, sebelum malaikat Munkar dan Nakir masuk, ada seorang malaikat lain masuk dahulu yang mukanya bersinar bagai matahari, namanya Roman.


Dia masuk kepada mayat dan berkata: "Tulislah apa yang kamu perbuat dari kebaikan dan keburukan semasa hidup di dunia dahulu." Mayat menjawab: "Dengan apa aku menulis? Mana penaku, mana dakwatku dan kertasku?" Sahut malaikat Roman: "LUDAHmu sebagai DAKWAT, JARImu sebagai PENA." Mayat bertanya: "Di atas apa aku menulis?" Sabda Rasulullah saw: "Maka malaikat itu memotong tali kapan dan dicarikkan kain kapan dan diberikan kepada mayat dan katanya: inilah bukumu dan tulislah sekarang".


Maka MAYAT itu MENULIS apa yang telah dilakukan semasa hidupnya dengan KEBAIKAN. Maka bila sampai pula untuk menulis kejahatan, mayat itu merasa malu untuk menulisnya. Kata malaikat: "Wahai orang salah, sekarang ENGKAU merasa MALU untuk MENULIS KESALAHAN yang kamu lakukan dahulu. Kenapa kamu tidak malu terhadap Allah yang menciptakan akan kamu waktu kamu melakukan kesalahan dahulu, hingga kamu merasa malu kepada aku?"


Maka malaikat itu mengangkat tongkat hendak memukulnya. Lalu berkata si hamba tadi: "Angkatlah saya dan saya akan menulisnya." Diapun menulis semua sekali kejahatan hingga habis, lalu malaikat itu memerintahkan supaya dia melipat catitannya itu dan memberinya cop mohor. Tanya si mayat: "Dengan apa cop?" Jawab malaikat: "Kamu COP dengan KUKUmu itu." Lalu diberikan cop kuku dan DIKALUNG di lehernya HINGGA ke hari KIAMAT.


Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 13 bermaksud: "Dan tiap-tiap manusia itu kami telah tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetap kalong) pada lehernya dan kami keluarkan baginya pada hari qiamat sebuah kitab yang dijumpai dalam keadaan terbuka."


Lalu masuklah dua malaikat, Munkar dan Nakir. Jika yang mati ahli maksiat, maka pada hari Kiamat di waktu Allah memerintahkan untuk membaca kitabnya sendiri, maka dia pun membaca sehingga habislah kebaikan yang dilakukan. Tetapi bila sampai kepada keburukan dia pun berhenti. Maka firman Allah: "Mengapa kamu tidak baca?" Maka jawab si hamba: "Aku malu kepada Mu ya Allah." Firman Allah lagi: "Mengapa kamu tidak malu di dunia dahulu? Mengapa sekarang baru malu?" Akhirnya hamba tadi merasa sungguh menyesal tetapi sesalan yang tidak berguna lagi.


Kemudian datang firman Allah lagi dalam surah Al-Haqqah ayat 30 dan 31 bermaksud: "Peganglah dia dan belenggulah dia, belenggu tangan ke lehernya. Kemudian masukkan dia ke dalam api neraka yang bernyala-nyala"


Wallahu`alam.






Jagalah Hati...


Wassalam.

Ahad, 21 Ogos 2011

NASIHAT UNTUK ANAK KU...



Anak ku…
Mari ke mari
Ku beritahu padamu
Tentang makna sebuah perjalanan


Tahukah kau anak ku
Perjalanan adalah pelajaran
Kau akan mendapat ia dalam hidupmu
Jika kau salah,
Kau akan belajar erti kesungguhan
Jika kau jatuh
Kau akan belajar makna kewaspadaan
Jika kau kalah,
Kau akan belajar hakikat batas diri


Anak ku
Tidak perlu kau takut melangkah
Jangan kau takut salah
Usah peduli lenguh kakimu
Usah risau kotor bajumu
Kerana angin akan mengajarkanmu
Bagaimana menghaluskan hati yang garang
Kerana siang akan mengajarkanmu
Apa sesungguhnya erti kehidupan


Anak ku
Jangan kau ragu memilih
Tumbuhkan keyakinamu yang ada
Jangan terlalu berharap bantuan orang lain
Cubalah berjalan sendiri
Kerana bintang akan memandumu
Melintas cakerawala dunia
Menggapai semua mimpimu


Anakku
Jangan kau takut dengan gelap
Jangan kau hindari malam pekat
Kerana gelap akan mengajarkanmu kewaspadaan
Kerana malam akan menghantarmu pada fajar terang
Disanalah kau akan dapatkan pelajaran
Bahawa selalu ada harapan
Selalu ada kemenangan


Anakku
Jangan kau terganggu dengan kata-kata orang pada dirimu
Maafkan semua kesalahan mereka
Jangan sediakan tempat di hatimu
Segala bibit dendam tumbuh berkembang
Itu akan menjadi virus yang mematikan hati
Sebaliknya, Jangan kau segan meminta maaf
Meski egomu kadang berkata dan merasa benar
Kerana memaafkan adalah kemuliaan
Dan meminta maaf adalah kekuatan


Anak ku
Teruslah berusaha
Jangan berhenti berdoa
Jangan kau putus asa
Setelah itu berpasrahlah
Dan biarkan takdir-Nya sendiri berbicara


Anak ku
Bawalah hatiku bersertamu
Ada oasis cinta di dalamnya
Teguklah sepuasmu
Kau akan rasakan
Semangat yang tidak pernah padam
Tenaga yang tidak pernah habis
Untuk terus belajar
Sepanjang langkah nafas
Sepanjang hayat
Dalam cinta...



Jagalah Hati...

Wassalam