6 Oct 2011

Siapa Kita Nak Banyak Soal?


Salam ‘alayk.

Melihat kepada suasana persekitaran yang semakin meruncing, diri ini terpanggil untuk mengisi kembali kekosongan di dalam blog ini. Bila persoalan Usul (teras/pokok/utama) dalam Aqidah Islamiyyah dijadikan bahan mainan dan sendaan, ia adalah satu perkara yang sangat menakutkan. Ia jadi menakutkan dan menggerunkan kerana apa yang terjadi sekarang ini sama seperti yang disabdakan Nabi Muhammad s.a.w. berdasarkan kepada hadith dari Amr bin al-Aash r.a. yang memberitakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


"Sesungguhnya Allah s.w.t tidaklah akan mencabut agama dengan mencabut terus ilmu itu daripada para hambaNya, akan tetapi Dia akan mencabut ilmu itu dengan mematikan para Ulama', sehingga apabila tiadalah tinggal lagi seorang alim, maka orang ramai pun menjadikan orang jahil sebagai pemimpin, maka mereka akan ditanyakan, lantas mereka akan berfatwa tanpa ilmu, lalu sesatlah mereka dan mereka menyesatkan."

HR: Al-Bukhari dan Muslim


Hadith berupa peringatan dari Nabi Muhammad s.a.w. ini semakin menjadi kenyataan bilamana timbulnya isu perlaksanaan hukum hudud. Gerun, kecut perut, sedih dan tak dapat digambarkan perasaan ini bilamana melihat keratan-keratan akhbar yang dihantar oleh sahabat seperjuangan berkenaan komen artis-artis kesayangan tanah air yang mengeluarkan kenyataan berkenaan perlaksaan hukum hudud di bumi Allah s.w.t Malaysia ini.

Persoalannya, siapakah mereka? Layakkah mereka menghuraikan hukum syariat sedangkan mereka bukan ahlinya? Sedangkan para Ulama’ akhirat telah berfatwa dan sepakat ia WAJIB dilaksanakan, tiba-tiba munculnya artis-artis yang menjadi ikutan umum mengatakan ia tidak WAJIB? Sungguh hebat mereka ini meminda kehendak Allah mengikut kehendak mereka. Hebat sungguh mereka mempersenda perintah TUAN kepada HAMBANYA! Tidakkah itu seolah-olah mereka mengisytiharkan PERANG terhadap ALLAH?

Melihat kepada situasi ini, saya bukanlah orang yang cukup ‘alim untuk mengulas tentang isu ini, namun berdasarkan kepada ayat-ayat Allah di dalam al-Quran, kita mampu berfikir dan lihat dimanakah kepentingan sesuatu perintah yang Allah s.w.t. turunkan kepada kita. Perbandingan yang mudah diantara dua ayat di dalam al-Quran tentang arahan Allah s.w.t.

Ayat perintah pertama dalam Surah al-Baqarah ayat 178:



“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih.”


Ayat perintah kedua dalam Surah al-Baqarah ayat 183:



“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”


Dua perbandingan dari ayat yang hampir sama matannya, sama perintahnya cuma ditukarkan perkataan “qishash” iaitu hukuman qisas kepada perkataan “siyam” iaitu perkataan puasa. Persoalan yang ingin dilontarkan dan supaya kita berfikir, kenapa kita menerima ayat perintah Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah ayat 183 tetapi kita menolak ayat Allah s.w.t dari surah yang sama iaitu Surah al-Baqarah ayat 178? Adakah ayat perintah supaya kita melaksanakan qisas itu tidak sepentingnya kita berpuasa?

Ibadah puasa kita terima, bahkan kita sambut ia dengan pelbagai acara seperti Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih Perdana dan lain-lain tetapi kenapa kita tolak hukum hudud yang Allah s.w.t perintahkan? Kenapa kita laksanakan puasa bertahun-tahun lamanya dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. hingga sekarang, tetapi bila datangnya perlaksaan hudud, kita katakan ia tidak sesuai dengan peredaran zaman? Sedangkan hudud juga dilaksanakan sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. sama seperti puasa.

Jika demikian, mengapa Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran dengan satu ayat perintah yang berserta amaran dalam Surah al-Baqarah ayat 208 yang berbunyi:



“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.”


Syariat mempunyai kedudukan yang tertinggi. Satu kedudukan yang tiada siapa layak untuk mempersoalkannya. Walau sebesar mana kedudukan, pangkat dan nama kita masih terikat dengan syariat. Namun sayangnya, ramai yang lupa dan tidak sedar bahawa kita hanyalah hamba Allah s.w.t. yang hina tetapi diangkat darjatnya dengan diberikan nilai taqwa.

Manusia kini, terlebih berani bahkan merasakan diri lebih bijak dan cerdik dari Allah s.w.t. sedangkan Dia yang mencipta kita. Realitinya, kita banyak buat sesuatu perkara tanpa merujuk dahulu kepada syariat. Bilamana syariat melarang atau mengharamkan, maka kita pinda kehendak syariat itu mengikut kehendak kita supaya perbuatan kita itu dihalalkan.

Contohnya orang yang membeli nombor ekor, dia akan membeli di kedai judi dan bilamana menang maka dia akan berkata “Islam kata judi ni haram, tapi aku ni miskin, dalam keadaan darurat pulak. Islam membenarkan apa sahaja perbuatan dalam keadaan darurat, jadi aku berjudi ni hukumnya harus”. Kita mungkin mampu ketawa dengan situasi ini, tetapi itulah realitinya. Percaya atau tidak, ia sudah terjadi dan dibuktikan. Tak percaya? Lihatlah di kedai-kedai judi nombor ekor, majoritinya Islam berbangsa Melayu!

Inilah realiti masyarakat kita kini, bilamana datangnya kebenaran, maka ramailah yang melatah dan melompat. Semuanya takut dan bimbang, sekiranya hukum Allah s.w.t ditegakkan di muka bumi ini, pastinya merekalah golongan pertama yang akan dihukum kerana dosa-dosa dan maksiat yang dilakukan. Sebab itulah, mereka yang memperjuangkan kebenaran ini dicaci dan dimaki oleh penentang-penentang ini. InsyaAllah yakinlah wahai para pejuang, walau manusia mencaci, walau manusia membenci Hari Esok Untuk Islam!

Syah Dharawi

27 Apr 2011

Muliakah Kita?

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”


Surah al-Hujuraat: 13


Salam ‘alayk.


Setelah sekian lama tidak menjengah ke blog sendiri, diri ini melihat kembali hasil-hasil penulisan yang telah dibuat. Bukan untuk melihat kehebatan dan kekuatan diri, tetapi untuk bermuhasabah. Sejauh manakah setiap perkara yang disebutkan itu dipraktikkan dan diamalkan. Bimbang kalau-kalau, ia hanya sekadar kata-kata kosong yang akan menjadi pukulan di akhirat nanti.


Bila mengimbau kembali, tujuan ditulis setiap artikel itu, diri ini terpanggil untuk memberikan sedikit perkongsian dengan berdasarkan kepada potongan ayat di atas supaya masing-masing bermuhasabah. Supaya masing-masing tidak merasakan diri hebat dan supaya masing-masing tahu kedudukan diri masing-masing dimana tahap imannya untuk menghina seseorang. Kerana tanpa kita sedari, boleh jadi kita melakukan sesuatu perbuatan yang menghina atau mencela orang lain sedangkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. lebih mulia dari diri kita.


Sebab itulah, intipati dari ayat ini telah menegaskan bahawa Allah s.w.t. tidak menilai seseorang itu berdasarkan rupa parasnya atau pun kemuliaan darjat dan pangkat yang dimilikinya tetapi taqwa itu menjadi penanda aras. Taqwa itulah yang menjadi penentu samaada kedudukan kita itu mulia atau hina di sisi Allah s.w.t. Boleh jadi, seorang hamba yang miskin tetapi tidak mengemis bahkan sentiasa tunduk dan sujud kepada Allah s.w.t. lebih tinggi nilai taqwanya berbanding orang kaya yang sombong dan tidak pernah sujud kepada Allah s.w.t.


Itulah yang membuatkan kadang-kadang, manusia itu merasakan dengan jawatan dan pangkat yang dimilikinya itu memberikan kemuliaan pada dirinya sehingga sanggup melayan orang yang lebih rendah kedudukannya seperti hamba atau golongan kuli. Satu situasi yang pernah terjadi. Seorang kerani yang pejabatnya lambat dibuka, kemudian pengawal yang bertugas membuka pejabat itu terlupa membuka suis lampu. Dengan rasa angkuh dan sombong, pengawal itu ditengking dan diherdik. SubhanaAllah, sombong dan angkuhnya manusia ini, apalah salahnya andai kita meminta pertolongan?


Apalah salahnya kalau kita bercakap dengan nada yang baik? Boleh jadi orang yang ditengking dan diherdik itu lebih mulia darjatnya di sisi Allah s.w.t. Niatnya untuk menunjukkan siapa berkuasa dan kebolehan memberi arahan itu secara tidak langsung, telah menjatuhkan maruah dirinya sendiri di hadapan rakan-rakannya yang lain. Rugikah kita kalau kita bersikap lemah lembut? Sedangkan dia lupa, bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda:


“Kamu masing-masing adalah pemimpin dan masing-masing kamu bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin, ia bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan ia bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan ia bertanggungjawab atas kepimpinannya”


(Hadith Muttafaq ‘alaih)


Dengan pangkat dan darjat yang dipinjamkan Allah s.w.t. itu, dirinya merasa megah dan bangga sehinggakan berani menghina orang lain. Ya betul, dia mempunyai kuasa dari darjat yang dimilikinya tapi dirinya lupa bahawa pangkat dan darjat yang dipinjamkan Allah s.w.t. itu akan dipersoal satu persatu dengan sangat terperinci di akhirat nanti. Bahkan tidak ada satu perkara pun yang akan terlepas dari dipersoalakan oleh Allah s.w.t.


Ingatlah, darjat, pangkat, keturunan dan kemuliaan itu hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t. Ia bukanlah hak milik mutlak kita, maka gunakanlah pinjaman Allah s.w.t. itu dengan bijak dan berhikmah. Wahai para dai’e, dalamilah dan cubalah memiliki hati dan jiwa seorang dai’e. Layanlah mereka di sekeliling kita ini sebagai mad’u dengan rasa hormat dan dengan penuh kasih sayang. Berikanlah mereka hak mereka sewajarnya. Jadilah dai’e yang bilamana dilontarkan dirinya dengan batu, dirinya akan membalas dengan buah yang ranum. Kerana dai’e sentiasa percaya bahawa, walau manusia membenci, walau manusia mencaci, Hari Esok Untuk Islam!


Syah Dharawi
 
Copyright (c) 2010 Hari Esok Untuk Islam. Design by WPThemes Expert
Themes By Buy My Themes And Cheap Conveyancing.