Friday, December 29, 2017

5 - 6 Disember 2017, What Happened?


Bismillahirahmanirrahim

Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menawan Gunung Kinabalu, yang merupakan impian saya sejak dulu. 5 - 6 Disember adalah tarikh keramat yang tidak akan saya lupakan. Alangkah indahnya ciptaan Allah swt, bila dipandang dari udara. Subhanallah...

Insya Allah, akan mendakinya lagi pada tahun 2019. Insya Allah, untuk kali yang kedua. Masa itu persiapan dan persediaan dari segi fizikal dan mental akan dilakukan sebaik mungkin.

Jumpa lagi Kinabalu...

# cuba teka di mana saya dalam gambar tu.
# gambar hak milik saya sendiri.


Wednesday, November 22, 2017

Tiba Masa



Bismillahirahmanirrahim

Tiba masa
kan ku pergi jauh
tanpa batas sempadan
antara dua dunia.

Tika nanti
tak usah merindu
pada kenangan kita
usah menangis
kesatlah air matamu
dan titiplah doa
agar aku tenang
di dunia sana.

Jangan menangis kasih
biarkan aku pergi
mengemis cinta Illahi
memeluk rahmat dari-Nya
bermimpilah agar
kau dan aku
bersua lagi di sana nanti.

Dunia ini teman
hanyalah khayalan
manisnya sedikit
pahitnya melimpah
datang ujian
tika sabar terbenam di jiwa
syurgalah ganjarannya.

Bila kasih menjadi taruhan
harumlah bunga 
di taman idaman
bunga bukan sekuntum
kumbang bukan seekor
kutiplah cinta dari-Nya
moga jiwa bersatu
dalam pintu redha Illahi.

Bila aku pergi teman
usah mengharap
kehadiranku di sisimu
kerna aku tak akan kembali lagi
waktu seakan terhenti
dan mimpi bukan lagi 
fantasi belaka.

S. Hana Ak
22 November 2017
Johor bahru

Saturday, November 4, 2017

Matahariku


Bismillahirahmanirrahim

Malam ini aku merenungi alam
bulan dan bintang membajai langit
tergantung mesra di bingkai angkasa.

Petang tadi aku menyapa
sebuah daerah kecil
yang selalu kulewati
menekuninya di setiap senja
tak terlihat matahari
di garis antara siang dan malam.

Ah, alangkah hampanya hati
melihat malam berlabuh
sedang mentari acapkali tidak terlihat
walau sekadar sinar
mahupun bahang yang memijar.

Aku selalu menerka
akukah yang lewat
atau
waktu itu yang begitu cepat.

Hari-hariku
tiada lagi kelihatan
senyum mentari di ufuk barat
dan aku bagaikan
seorang penunggu
yang setia pada kekasihnya.


S. Hana AK
11 April 2017
Johor Bahru



Tuesday, July 18, 2017

Madah Seorang Pujangga


Bismilahirahmanirrahim

 ~ Adakalanya peluang itu datang sekali, kadang-kadang dua tiga kali, seringkali datang berkali-kali. Maka ambillah tanpa was-was kerana ia akan berlalu seperti masa. Pantas dan tidak menunggu walau menoleh sekalipun. Bila tiba masa, ia akan berakhir dan tak akan kembali lagi, selama-lamanya. Selama-lamanya? Ya, selama-lamanya. Ketika itu segalanya tidak bermakna lagi bak kata " sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna." ~

# tiap perkara ada batasnya
# bila tiba waktunya
# ia akan berlalu seperti angin
# tak akan kembali lagi
# walau sebentar cuma

~ kalaulah aku bisa terbang seperti burung, akan ku jelajahi seluruh dunia mencari ketenangan dan pengalaman selain kalam Allah SWT yang berada di istana cinta.~

# Gambar bukan hak milik saya

Seuntai Kata untuk Dirasa 2


Bismillahirahmanirrahim

Ya Allah,
aku selalu cuba melihatnya di dada langit
moga wajahnya terpancar indah di balik awan
meski sekadar melihatnya dari bumi bertuah.

Ya Rabb,
puisi-puisi yang selalu kutulis sebagai kalam
adalah ritma rasa yang berada di sukma
yang kemudiannya bersatu menjadi 
seuntai kata untuk dirasa
buat dia yang selalu ada di dalam qalbu.

Kekadang, 
ingin rasanya kupergi jauh
membawa luka di hati
namun ya, aku menundanya 
hingga sampai waktunya
kapan? aku tidak tahu
kerna aku menunggu  
biarlah bila tiba saat itu nanti
aku pergi dalam rela dan bahagia
tiada duka, tiada luka.

Ya Tuhan,
hari ini dan hari-hari mendatang
kujalani lorong hidupku seperti biasa
mengecapi sisa-sisa bahagia
berlandaskan iman dan takwa
percaya pada ketentuan-Mu
moga di hujung sana
ada bahagia yang menanti.

Doaku, agar dia bahagia
bersama orang yang dia cintai dan sayangi
sesungguhnya. Moga, kuharap
Insya Allah, aminn

# Cinta haikiki cinta sejati
# Redha pada ketentuan-Nya
# Moga ada bahagia yang menanti
# Pada akhirnya. Insya Allah, aminn

Monday, July 17, 2017

Cerita Di Balik Gambar



Bismillahirahmanirrahim

Jumaat lalu jumpa makhluk ciptaan Allah SWT ini ketika sedang beriadah di sebuah taman. Melihatnya membuatkan bayangan sewaktu masih kanak-kanak rebina dan semasa arwah ibu masih ada bermain di fikiran. Suatu ketika dulu inilah sebahagian daripada haiwan ternakan keluarga besar saya. Sang Angsa dan Si Itik yang comel. Pagi-pagi lagi riuh-rendah alam dengan bunyian merdu mereka di kolam ikan. Begitu juga ketika menjelang senja. 


Hmmm, teringat kenangan ketika dikejar angsa. Bersungguh-sungguh lari masa itu. Sekarang, semua itu tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kolam ikan yang tidak nampak seperti kolam lagi. Ya, waktu telah membunuh segalanya. Walau peristiwa-peristiwa itu kekadang terusik di laman nurani, namun yang pastinya masa telah mengubah semua nostalgia silam. Yang tinggal hanyalah kenangan-kenangan yang terus tersimpul erat dan bersemadi di kalbu. Moga memori-memori ini tidak luput dari bayang ingatan. Insya Allah, Aminn


# memori zaman rebina
# keindahan yang fana
# segalanya sudah tertulis dalam siratan takdir
# dan kita hanyalah penenangnya


Wednesday, July 12, 2017

Sepatah Kata Buat Teman


Bismillahirahmanirrahim


Teman,
Pertemuan kita di suatu hari ada hikmahnya. Perpisahan kita pada akhirnya juga punya hikmah atasnya. Dugaan yang meniti dalam tiap liku kita juga punya hikmah yang Dia berikan.

Teman, 
Akan kuutus doa untukmu dalam tiap sujudku. Semoga Allah SWT sentiasa memberkatimu. Ya Allah, Tuhan yang esa, ampunilah dosa kami. Pimpinlah kami dalam menghadapi mehnah-Mu. Insya Allah, aminn 

# Cinta hakiki cinta sejati
# Bila terbit mentari maka terpancarlah cahaya suria
# semoga cahaya iman kita tetap cerlang bersinar. Insya Allah, aminn

Tubuh Seharum Kasturi


Bismillahirahmanirrahim

Dalam kitab Al-Akhlaq Al-Islamiyyah lin Nasyi’in ada sebuah kisah yang indah menggetarkan jiwa. Kisah ini terjadi di tanah Syam. Kisah yang banyak disebut dari mulut ke mulut sampai abad ini.

Ini adalah kisah ketakwaan seorang pemuda. Seorang pemuda yang berkerja sebagai penjual kain keliling. Ia berkeliling dari satu daerah ke daerah. Dari satu kawasan ke kawasan lain. dari lorong ke lorong. Dari rumah ke rumah. Ia berkeliling sambil memikul dagangannya. Akhirnya masyarakatnya mengenalinya sebagai Si penjual Kain Keliling.

Di antara kelebihan pemuda ini adalah bentuk tubuhnya yang gagah. Kulitnya yang putih. Wajahnya yang mempesona. Dan keramahannya yang luar biasa. Sehingga siapapun yang melihatnya akan terpesona kerananya. Itulah kurnia Allah yang dianugerahkan kepadanya.

Suatu hari, ketika ia sedang berkeliling mejajakan dagangannya, tiba-tiba ada seorang wanita memanggilnya. Ia pun menghampiri. Wanita itu menyuruhnya masuk ke dalam rumah. Rumah itu sangan mewah. Agaknya wanita itu termasuk golongan bangsawan. Sebaik saja masuk ke rumah dengan kepantasannya wanita itu boleh mengunci pintu. Wanita itu sangat terpesona dengan ketampanannya. Wanita itu telah lama tergila-gila padanya. Sudah berkali-kali dalam diam-diam wanita itu memandangi ketampanannya ketika pemuda itu lalu di depan rumahnya.

Wanita itu berkata: “Duhai pemuda tampan. Sebenarnya aku memanggilmu bukan untuk membeli barang daganganmu, tapi semata-mata kerana aku sangat mencintaimu. Selama ini aku tergila-gila pada ketampananmu.”

Pada saat itu tiada seorang pun di dalam rumah selain mereka berdua. Wanita bangsawan itu dengan penuh mengharap merayunya untuk berzina. Sang pemuda pun mengingatkannya dan menakutinya akan pedihnya seksa Allah. Namun, semua usahanya sia-sia belaka. Setiap perkataan yang diucapkan pemuda itu justeru membuat wanita itu semakin menggila dan nekad. Wanita itu justeru semakin terangsang untuk menaklukkan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berganjak dengan keimanannya. Ia menolak dengan tegas. Kerana sang pemuda tetap saja menolak, wanita itu mengancam:

“ Jika kamu tidak menurut apa yang kuperintahkan, aku akan menjerit sekuat-kuatnya dan mengatakan kepada orang-orang bahawa ada orang yang masuk ke rumahku dan ingin memperkosaku. Mereka pasti mempercayai ucapanku kerana kedudukanku dan kerana kamu telah memasuki rumahku. Akibatnya kamu akan binasa. Kau akan dianggap penjahat paling nista. Dan orang-orang itu boleh marah dan menggantungmu hidup-hidup!”

Wanita itu mengancam dengan serius. Pemuda itu terus berfikir bagaimana mencari jalan keluar. Ia tidak mahu maksiat tapi juga tidak mahu mengalami hal yang tidak baik. Diserapahi orang ramai sebagai penjahat lalu digantung tanpa ampun, sungguh hal yang sangat menyakitkan. Beberapa detik kemudian seknyong-konyong terbitlah idea nekadnya. Terkadang tindakan nekad harus dilawan dengan nekad juga. Sambil tersenyum ia berkata:

“ Baiklah. Bolehkah aku ke bilik mandi untuk bersih-bersih dahulu? Lihatlah tubuhku penuh dengan peluh yang baunya tidak sedap!”

Sebaik mendengar ucapannya, wanita tersebut sangat gembira kerana menyangka ia akan menuruti keinginannya dan berkata dengan hati meluapkan kegembiraan:

“ Ooo, tentu saja boleh aduhai kekasihku dan belahan jiwaku? Sungguh ini adalah kesempatan luar biasa.”

Sang pemuda pun segera masuk ke bilik mandi. Ia mengatakan itu tadi sekadar untuk menyelamatkan diri sesaat. Mencari tempat yang tenang untuk berfikir. Sampai di dalam bilik mandi, tubuhnya gementar kerana takut terjatuh pada kemaksiatan. Wanita adalah perangkap syaitan. Tidak ada seorang lelaki dan wanita yang berduaan, kecuali yang ketiga adalah syaitan. Demikianlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam.

Ia pasrah kepada Allah. Ya Allah, apa yang mesti aku lakukan?! Berilah hamba-Mu petunjuk ya Allah. Tiba-tiba tercetus sesuatu dalam fikirannya, ia bergumam:

“ Aku tahu pasti, di antara golongan yang akan mendapatkan naungan pada hari tidak ada naungan lagi di hari kiamat adalah seorang pemuda yang diajak berzina oleh seorang wanita cantik dan berkedudukan, lalu ia mengatakan: “ Sungguh aku takut pada Allah!” Aku juga tahu bahawa orang yang meninggalkan sesuatu kerana takut pada Allah, maka Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak sedikit orang yang menurutkan hawa nafsunya, maka ia akan membawa penyesalan sampai akhir hayatnya. Jika aku lakukan kemaksiataan ini, Allah akan menghilangkan cahaya dan kenikmatan dari hatiku. Duhai Tuhan, tidak, tidak! Sekali-kali aku tidak akan melakukannya! Tapi apa yang boleh kuperbuat?

Apakah aku harus loncat dari tingkap? Hal itu tidaklah mungkin kerana tingkap ini terkunci sangat kuat dan sukar sekali membukanya. Kalau begitu aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Ya, aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Semoga jika ia melihatku seperti itu, ia akan merasa jijik lalu mengusirku.”

Benar saja, ia lalu berak dan melumuri seluruh tubuhnya dengan kotoran beraknya. Seluruh rambutnya. Mukanya. Dada. Tangan. Dan semuanya. Ia sendiri sebenarnya merasa jijik. Bahkan ia sempat mual dan sempat muntah. Sambil menangis, ia berkata: Ya Allah, ya Rabbi, kerana rasa takutku pada-Mu aku melakukan ini! Maka gantikanlah untukku yang lebih baik.”

Lalu ia pun keluar dari bilik mandi. Dan sebaik saja wanita tersebut melihatnya, ia terkejut bukan main. Ia merasa jijik. Ia menjerit dan berteriak dengan keras: “ Keluarlah, hai orang gila! Dasar pemuda gila, keluar kau jangan kotori rumahku.”

Ia berjalan keluar dan berpura-pura bertingkah laku seperti orang gila. Sebaik sampai di luar, ia cepat-cepat cari tempat yang aman. Ia takut dilihat orang dan takut mereka akan memfitnahnya. Jika itu terjadi barang dagangannya boleh tidak laku, kerana ia akan dianggap benar-benar gila. Beberapa orang yang melihatnya merasa hairan dan mentertawakannya. Ia terus berjalan  menuju rumahnya melalui jalan yang sepi. Ia merasa sangat lega ketika sampai di rumahnya. Ia terus membuka pakaiannya dan segera masuk ke bilik mandi untuk membersihkan seluruh tubuhnya.

Ketika ia keluar dari bilik mandi, Allah Subhanahu wa Ta’ala menunjukkan kekuasaan-Nya. Allah menjadikan bau harum yang luar biasa memancar dari seluruh pori-pori tubuhnya hingga menjemputnya. Bau itu tercium dari jarak beberapa meter. Akhirnya ia dikenali dengan sebutan “ Al-Miski” atau Orang Yang Seharum Kasturi.

Kisah ini menjadi bukti keagungan Allah. Kisah nyata ini masih boleh dilihat bekasnya. Di tanah Syam, ada sebuah makam yang tertuliskan “ Al-Miski”. Itulah kubur orang mulia yang menjaga kesuciannya ini.

# Kisah nyata yang indah ini terdapat di dalam buku ini:


# Membacanya membuatkan saya berasa bahawa Allah Maha Rahman dan Maha Rahim. Membacanya membuatkan saya berasa bahawa Islam ini sungguh indah. Ya, Sangat indah. Subhanallah.

# Betapa kasih sayang Allah Swt lebih mendahului daripada kemurkaan-Nya.

# Semoga kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang mendapat rahmat-Nya sahabat semua. Insya Allah, aminn

Tuesday, July 11, 2017

Dari Hati Seorang Insan


Bismillahirahanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Moga kita sentiasa sihat dan mendapat rahmat dari-Nya. Insya Allah, aminn. 

Sahabat, begitu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Tidak terkecuali saya. Setap hari rutin yang kita jalani seakan sama dan serupa. Setiap saat Allah menguji kita dengan kasih sayang-Nya, menduga iman dan takwa, apakah kita beriman ataupun berpura-pura mencintai-Nya.

Sahabat, jikalau kita berada dalam keadaan tertekan, berdoalah pada-Nya. Yang pastinya Allah SWt pasti akan memberi kita jalan keluar. Pasti Dia akan memberi kita tiga perkara yang sangat bererti iaitu doa, air mata dan ketenangan. Jika tidak mampu menahan air mata, maka menangislah sepuasnya. Jangan pernah menahannya. Andai kita tidak mampu mengeluarkan air mata, maka berusahalah menangis walaupun berpura-pura kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: Menangislah walaupun kalian berpura-pura menangis, kerana itu maksudnya iman kita masih ada berbanding orang yang tidak menangis langsung.

Sahabat, cinta merupakan lumrah kehidupan. Cinta terhadap seorang insan sama ada lelaki mahupun wanita. Andai cinta kita putus di tengah jalan, percayalah, waktu adalah pengubatnya. Menangislah jika kita ingin menangis, jangan pernah menahannya kerana itu memang lumrah hati seorang insan yang kecewa. Jalanilah hidupmu seperti biasa. Jika kita ingin mengingatinya, maka biarkan fikiran kita mengenang setiap lembar kisah kita dengannya. Teruskan hidup, jangan pernah musnahkan dengan perkara yang memusnahkan hidup sendiri.

Baiklah, Moga kata-kata ku ini mampu memberi nasihat dan manfaat yang baik untuk kita semua. Insya Allah, aminn

# Gambar di atas bukan milik saya

Saturday, July 8, 2017

Seuntai Kata Untuk Dirasa

SMK Kangkar Pulai

Bismillahirahmanirrahim

Momen-momen indah pernah terpatri di sini. Namun ia beransur pergi saat aku ingin mengubahnya menjadi cinta yang paling dalam di relung jiwa. Aduhaiii

~  Kasih yang selalu terpatri di sini. Begitu banyak kisah yang tersimpan. Moga ia akan selalu bersemi walau aku jauh darinya suatu hari nanti. Insya Allah, aminn ~

Friday, July 7, 2017

Apa Yang Terucap Di Hati 4


Bismillahirahmanirrahim

" Jika kita diberi dua pilihan, antara gelap dan cahaya maka pilihlah cahaya. Jika kita berada dalam kegelapan maka carilah sinar cahaya. Jika kita melalui lorong kegelapan maka pergilah ke lorong yang bercahaya tapi jika kita tidak menemui cahaya itu, maka berdoalah pada-Nya supaya kita diberi petunjuk dan panduan dalam menempuhi kegelapan."

" Ramai di luar sana yang mahu menyendiri tanpa melakukan apa-apa, padahal menyendiri dengan mengingati-Nya, itu lebih afdhal daripada menyendiri tanpa mengingati-Nya."

" Jangan berhenti berfikir, berfikirlah! sebelum semua anugerah itu ditarik kembali oleh-Nya. Berfikirlah sebanyak mana yang kamu suka dan terdaya. Kerana dengan berfikir, kita akan menguasai kehidupan."

Monday, July 3, 2017

Kebesaran-Nya

Panorama indah di atas langit dari Kota Kinabalu ke Johor






Bismillahirahmanirrahim

Allah SWT mempersembahkan kebesaran-Nya. Sesuatu yang indah untuk dinikmati oleh kita semua. Subhanallah, suasana senja di ufuk barat dari udara berketinggian 35000 kaki. Moga kita tidak pernah lelah menikmati ciptaan-Nya sahabat semua. Insya Allah, aminn

Sunday, July 2, 2017

Alam ini Indah, sahabat

Kota Kinabalu, Sabah

Bismillahirahmanirrahim

Aku ingin mencintai alam
mencintainya segenap qalbu
moga ia sentiasa indah di mata
dan indah di hati juga.

Alam ini indah sahabat semua. Sungguh indah. Alam sangat mencintai kita tapi kita jarang menghargainya. Kalaulah....kalaulah semua keindahan ini kita hargai dan kita renungi, pastinya tidak akan ada makhluk yang merana di dunia ini. Aduhaiiii, berdoalah kita agar kita menjadi hamba-Nya yang mencintai alam. Insya Allah, aminn



Kata Dari Hati

Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah

Bismillahirahmanirrahim

Aku ingin terbang mengapai mimpi
merubah mimpi menjadi realiti
aku ingin terbang mengejar pelangi
mencintainya segenap rasa
merubah pelangi menjadi mata air
menyerakkan sinar mentari pada pohon kehidupan
duhai, terangi hatiku dengan suluh pelita
agar aku menjadi rerama yang mengindahkan dunia

# bahasa alam bahasa qalbi
# moga selamanya indah dalam kenangan

Thursday, June 22, 2017

Bicara Sekeping Hati


Bismillahirahmanirrahim

Apa khabar sahabat semua? Moga kita semua sentiasa dalam rahmat-Nya. Insya Allah, aminn. Sahabat, tidak lama lagi raya akan menziarahi kita. Yang berkerja akan balik kampung, bertemu dengan keluarga. Ya menunggu pula pasti teruja untuk menerima kepulangan keluarga tersayang. Saya? Ya siapa yang tak teruja sahabat sekalian. Tahun ini, 29 Jun 2017 abang saya akan kahwin jadi kami sekeluarga akan balik kampung. Sekarang ini tengah menunggu detik 26 Jun 2017, kerana keluarga saya yang ada di semenanjung akan balik bersama-sama di tanah kelahiran. Saya pun tidak terkecuali. Moga Allah SWT permudahkan perjalanan kami, Insya Allah, aminn.

Sahabat, Saya doakan agar kalian baik-baik sahaja, bahagia bertemu keluarga. Hati-hati balik kampung. Berhati-hati di jalan raya. Kita tidak tahu ajal kita tapi ajal pasti akan menjemput kita suatu masa nanti yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Jadi, jangan lupa berdoa sebelum pulang ya.

Baiklah sampai di sini sahaja, Moga berjumpa lagi di lain waktu sahabat semua...salam, 

Novel Igauan






Bismillahirahmanirrahim

Naahhh, akhirnya setelah bertahun - tahun mencari, maka baru sekarang saya berjaya mendapatkan dua novel ini. Rasa teruja yang amat sangat. Moga novel ini memberi manfaat kepada saya. Insya Allah, aminn.  Saya beli novel-novel ini semasa balik kampung dua minggu yang lalu. Di dalam pasar buku ini dijual bersama buku-buku lain. Mengingatkan ini adalah hari yang mungkin hari pertama dan terakhir saya melihat buku ini maka saya membelinya walau berada dalam kegawatan ekonomi masa itu. "Tutup mata sajalah" bak kata sahabat saya selalu. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkannya Ya Allah. Ya Allah moga buku ini ada kebaikannya untuk saya. Engkau sempurnakanlah ya Rabb. Insya Allah, aminn

Saturday, June 17, 2017

Diksi Cinta Kepada Desa



Bismillahirahmanirrahim

Aku kembali menganyam impian di sebuah desa kecil yang permai, masih kaya dengan flora dan faunanya. Memugar cinta lewat dinihari hinggalah langit kirmizi berubah kelam dan bulan pun mulai jaga bersama sinaran berjuta-juta mutiara alam di balik sana. Saat pawana membisikkan aura kasihnya, aku menyelimuti diriku dengan cinta hakiki yang maha dalam pada Dia Yang Maha kaya.

Seiring waktu berdetak dan dunia mulai terang seusai bahana bahang sang suria, aku kembali patrikan diri dengan persekitaran lantas menyatu dalam dua makna terhebat iaitu cinta dan penghayatan bersama seribu mimpi yang bersemadi di relung jiwa paling indah. Saat aku terjaga dari tiduran aku cuma berharap agar impianku ini menjadi realiti bukan dongengan semata.

Teman, aku selalu berharap dan bermohon agar impianku untuk melihat kedamaian dan keindahan desaku ini kekal selamanya dan tidak akan tercemar oleh tangan-tangan raksasa yang rakus membantai alam. Pernah juga kekhuatiranku terakam jelas di wajah saat membayangkan bahawa bagaimana andai suatu masa nanti semua keindahan ini akan sirna dan mungkin akan hilang terus dari kaca mata generasi berikutnya. Jika itu terjadi, maka akulah insan terpilih yang paling malang di bumi merdeka ini.

Teman, andai takdir memungkinkan kita untuk tidak bersama dalam mencipta impian, maka bantulah aku untuk bersama-sama berjuang mencintainya lantas menjadikannya nyata bukan fantasi belaka. Seiring peredaran zaman, maka ku mohon moga kau dan aku terus tabah menggapai mimpi dan memugar impian agar apa yang kita mahukan akan dimakbulkan-Nya. Insya Allah, aminn

S. Hana AK
4 Jun 2017
Johor Bahru

Tuhan, Jaga Dia


Bismillahirahmanirrahim


Tuhan
jaga dia untuk orang lain
kerna kami tak akan bersama
membina mahligai
di bawah redha-Mu.

Tuhan,
aku terpaksa tinggalkannya
kerna itu yang dia mahu
kerna itu hakikatnya
walau luka kubawa bersama
namun aku percaya
masa adalah penawarnya.

Tuhan,
aku ingin mencintainya
kerana-Mu
maka aku mencintai dia
seadanya.

S. Hana AK
Johor Bahru


Friday, June 16, 2017

Mencintaimu


Bismillahirahmanirrahim

Mencintaimu
adalah anugerah Dia buatku
mencintaimu dalam diam
takkan sesekali ku luahkannya
cukuplah ia bersemi sentiasa di qalbu.

Mencintaimu
seperti bunga yang mekar mewangi
menjadi impian si rama-rama
menghisap nektar pada madunya.

Cukuplah aku mencintaimu dalam diam
diamku tidak bermakna
aku adalah wanita lemah
namun itulah kekuatanku
mencintaimu dalam keadaan
aku jaga maruahku sebagai wanita terindah.

Pernah kutekadkan pada diri
cinta tanpa kata-kata
adalah cinta yang indah
cukuplah doa menjadi pemudah bicara
cinta tanpa kata-kata
adalah cinta yang indah
hanya redha-Nya menjadi destinasi abadi.

Mencintaimu dalam diam
adalah prinsip yang kupegang teguh
takkan sesekali kugoyahkannya
sudah ku tetapkan pada diri
aku ingin menjadi seperti mereka
wanita-wanita mulia
pendamping hidup Rasulullah saw
mulia di dunia, mulia di akhirat.

Bukan tidak pernah kulanggar tekadku ini
mengenangnya membuatku tersipu malu
alangkah jahilnya diri ini
alangkah berdosanya aku kepadamu
pada Allah Yang Maha Pencinta
mengingatinya membuatku seringkali
menangis kerananya
rasa bersalah yang amat
mana maruahku, mana prinsip cintaku
kepada yang bergelar manusia.

Sekarang, aku ingin memuliakannya kembali
mencintaimu dalam diam
itu lebih baik untukku dan untukmu juga
biarlah Allah yang menentukannya
jika benar kita ditakdirkan bersatu, alhamdulillah
namun jika tidak, alhamdulillah
sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui.



S. Hana AK
Johor Bahru

Friday, May 19, 2017

Gunung Pulai, Pendakian Yang tidak Dirancang

Bismillahirahmanirrahim

19. 05. 2017 (Jumaat}

Menawan Puncak Gunung Pulai adalah satu pendakian yang tidak dirancang oleh kami bertiga. Awalnya kami hanya ingin menikmati keseronokan dan keindahan air terjun di kaki gunung sahaja tetapi tidak sangka boleh memulakan pendakian sampai ke atas sekaligus menawannya dengan bertemankan sebotol air mineral, setin 100 plus dan keropok manis. Namun kepuasan jelas terpancar di wajah masing-masing setelah turun dari puncak. Mungkin akan naik lagi suatu hari nanti dengan perancangan yang rapi ataupun hanya akan melihat puncak gunung ini dari jauh sahaja. 

# Salah satu traning untuk pendakian puncak gunung yang seterusnya. Insya Allah, aminn
# Melihat keindahan alam di puncak gunung, Subhanallah