Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum
sahabat semua. Apa khabar kalian? Semoga sihat dan sejahtera hendaknya. Malam
ini cuaca sangat tenang. Langit mungkin disimbahi cahaya purnama. Lampu-lampu
alam berkerlipan memenuhi seluruh alam semesta.
Hari ini saya meluangkan masa dengan membaca sebuah buku terbitan PTS Millenia
bertajuk ‘Misteri Bahtera Nuh a. s, Fenomena Banjir Besar Dalam Sejarah’. Buku ini menceritakan sedetail-detailnya
tentang peristiwa tersebut. Dikarang oleh Ahmad Iqram Mohamad Noor yang
menyertakan beberapa rujukan daripada al-Quran, kitab Bible, kitab Veda dan
beberapa rujukan lain. Saya agak tertarik dengan kaedah rujukan penulisnya.
Kalau sebelum ini saya banyak mendapati sumber rujukan yang mana al-Quran lebih
dominan sebagai rujukan utama dalam setiap penulisan tetapi buku ini pula
menjadikan sumber lain juga adalah rujukan utamanya.
Jujur
saya katakan, inilah pertama kali saya membaca buku yang bersumberkan kitab
agama lain sebagai bahan rujukan selepas al-Quran. Buku ini saya beli di kedai
buku MPH. Mungkin tidak dijual di kedai buku lain. Sewaktu menulis entri ini, saya sebenarnya dalam proses
mengkhatam buku ini. Jadi saya belum mengetahui keseluruhan isi kandungannya.
Cukuplah saya katakan, buku ini sangat baik dari segi penulisan dan isi
kandungannya. Nak tahu juga jawaban kepada pertanyaan yang dibincangkannya
iaitu:
- Mengapakah
berlaku perbuatan syirik yang pertama di dunia?
- Adakah
Nabi Nuh a.s rasul yang pertama?
- Siapakah
rasul dan orang soleh yang hidup sebelum Nabi Nuh a.s?
- Mengapakah
Nabi Nuh a. s dikenali sebagai “ Adam kedua”?
- Benarkah
Nabi Nuh a.s membuat bubur Asyura?
- Sejauh
manakah perkembangan teknologi pada zaman Nabi Nuh a.s ?
- Adakah
semua haiwan di dunia ini berada di dalam bahtera?
- Adakah
banjir berlaku di seluruh dunia ataupun berlaku di sebahagian tempat sahaja?
- Di
manakah letaknya Bukit Judi yang diceritakan dalam al-Quran dan di manakah pula letaknya Gunung Ararat yang diceritakan dalam Bible?
Selain
buku ini, buku bertajuk ‘Himpunan Kisah Para Wali’ yang dikarang oleh penulis
Raihanah dan diterbitkan oleh Hijjaz Record (HR) Publishing juga berada dalam
simpanan saya. Dibeli bersama buku Nabi Nuh a.s, saya seperti berada di zaman
ketika para wali Allah SWT masih ramai menghiasi dunia ini. Pada ketika para
ulama-ulama terkenal masih banyak hidup di mana-mana tempat di muka bumi ini.
Satu demi satu saya selami kehidupan mereka. Sesungguhnya kisah hidup
segelintir daripada mereka pada mulanya adalah biasa-biasa sahaja. Ada di
antara mereka yang hidup bergelumang dosa sebelum menjadikan Allah SWT adalah
segala-galanya. Ada juga yang menjadi pengemis, perompak dan sebagainya sebelum
dianugerahkan Allah SWT hidayah dan akhirnya pergi menemui-Nya dalam keadaan
Allah SWT meredhainya dan merahmatinya.
Saya
tertarik dengan kata-kata Hassan al-Basri, katanya: “ Aku tahu rezekiku tidak
akan diambil oleh orang lain, maka hatiku tenang. Aku tahu amalanku tidak akan
dilaksanakan oleh orang lain, maka aku sibukkan diri untuk melakukannya. Aku
tahu Allah SWT sentiasa memerhatikanku, maka aku malu untuk melakukan maksiat
terhadap-Nya. Aku tahu kematian sentiasa menungguku, maka aku akan sentiasa
menambah amalanku untuk menghadapi pertemuan dengan-Nya.” dan “ Setiap saat
manusia wajib bertaubat tanpa mengira dia seorang yang patuh atau ingkar kepada
perintah Allah.” Oleh Sahl Bin Abdullah At-Tustari. Sesungguhnya buku ini
sangat memberi inspirasi malah saya kekadang mengkoreksi diri dan merenung jauh
tujuan saya hidup di dunia ini. Merenung jauh tentang impian untuk hidup di
sana nanti.
“
Andaikata engkau beribadah kepada Allah
sebanyak
ibadah penghuni langit dan bumi,
maka
tidak akan diterima ibadahmu sebelum
engkau
percaya kepada Allah dan jaminan-Nya.”
Sampai
jumpa lagi sahabat semua, salam…
#Gambar di atas bukan hak milik saya