Showing posts with label Amiza Khusyri. Show all posts
Showing posts with label Amiza Khusyri. Show all posts

Mimbar

Oleh Amiza Khusyri Yusof

ANGIN Subuh yang berpuput masuk melalui jendela masjid seperti bahang bara menerpa batang tubuhku. Bunyi kicauan burung semacam memerli-merli dan damai pagiku seperti dihempap gelisah yang berbongkah-bongkah.

Aku tidak tahu kenapa. Sejak naik ke mimbar tempoh hari, aku seperti tidak dihiraukan oleh Haji Salleh dan dia sentiasa mengelak daripada bertembung mata. Bukan tidak pernah dia tersenyum menyalamiku sebelum ini, malah dia selalu bertanya khabar dan memandangku dengan tunak mata kasih.

Puas aku mengesyaki diri. Acap kali melihat tampang di hadapan cermin, takut-takut ada yang tidak bagus pada penglihatannya. Kadang-kadang asyik menghidu sana sini, bimbang sekiranya ada bau kurang menyenangkan. Ataupun, meneliti susuk tubuh dan bahasa badan, risau sekiranya ada perilaku yang menyinggung.

Namun, aku bukanlah manusia sempurna, yang lengkap serba-serbi. Tuhan juga telah menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian walaupun senget rupanya, panjang sebelah tangannya, besar sebelah kakinya. Dan aku kekal meyakini, bahawa semua orang yang mempunyai kelemahan, pasti ada kelebihan. Apakah kesalahan yang telah aku lakukan?

Aku sebenarnya sudah terdengar kasak-kisik yang Haji Salleh ingin meletakkan jawatan sebagai imam masjid. Aku juga ada mendengar cakap-cakap atas angin yang ahli jawatankuasa masjid sedang menimbang-nimbang untuk memilih imam baharu. Dan baru saja dua hari lalu, pihak masjid mengumumkan Haji Salleh tidak sihat. Dek sebab itulah beliau tidak dapat mengimami solat beberapa hari ini.

Barangkali kerumitan tentang imam masjid sudah terungkai, tapi bagaimana pula masalahku dengan Haji Salleh?

"Barangkali dia terasa hati dengan kau." Komen Bidin, kawan sekolahku yang sejak dulu buncit perutnya.

"Mungkin dia ada masalah." Kata Ngah Leman, penoreh getah yang matanya selalu terkedip-kedip bila bercakap.

"Agaknya imam tak sihat." Tebak Hashim, guru bahasa Inggeris berhidung mancung yang selalu menang pertandingan puisi Melayu.

Dan sesungguhnya hatiku kini begitu dilambung walang. Ada gempa dalam jiwa yang tidak mahu surut. Apakah kehadiranku kembali ke kampung beberapa bulan ini mengganggu Haji Salleh, guru mengaji Quran yang begitu kuhormati dan segani itu? Apakah dia merasakan kehadiranku ini menggugat kedudukannya sebagai imam masjid?

Tidak. Tidak sama sekali. Tiada meski sebesar zarah dalam hatiku untuk memegang jawatan yang maha berat itu. Menjadi imam bukan sahaja memimpin jemaah dalam sembahyang, tapi memimpin masyarakat supaya mengenali Islam sebagai manhaj kehidupan melalui akidah yang sahih, ibadah yang betul dan muamalah yang sebenar.

Aku mula memuhasabah diri. Apakah aku ada melakukan kesalahan yang meski sebesar biji sawi kepadanya sejak pulang ke kampung? Apakah terdapat kekhilafan ketika aku berkhutbah tempoh hari?

Rasanya peluang berkhutbah itu telah aku gunakan sebaik mungkin. Lima rukun khutbah seperti memuji Allah, membaca selawat ke atas nabi, wasiat bertakwa, membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran dan membaca doa untuk kaum Muslimin telah aku laksanakan dengan baik. Sekiranya tidak, pasti ada jemaah yang telah datang menegur kesalahan itu dan ini. Aku meyakini itu.

Bezanya barangkali ialah aku bukan membaca khutbah, tetapi berkhutbah. Aku tidak menggunakan teks, hanya mencatat beberapa isi penting sebagai panduan untuk mencapai objektif khutbah pada hari itu.

"Bagus ustaz, berkhutbah tanpa teks. Pembaharuan yang baik. Dan cara ustaz menyampaikan pun kena nada turun rendahnya." Komen Sulaiman, cikgu bahasa Melayu yang hidungnya tercatuk itu.

"Berkhutbah tanpa teks bukan pembaharuan cikgu, Rasulullah dan para sahabat dah lama buat, malah di negara-negara Arab pun kebanyakan khatibnya tidak menggunakan teks." Aku melempar senyum kepadanya.

"Seronok dengar khutbah ustaz, semua orang boleh tumpu dan dapat maklumat-maklumat baru." Kata Midun, pengembala lembu yang memiliki banglo besar dua tingkat itu.

"Alhamdulillah. Itulah yang kita harapkan daripada perkumpulan seminggu sekali seluruh kaum Muslimin." Nada suaraku lembut dalam harap.

Dan orang yang bernama Haji Salleh itulah yang sedang berada di hadapanku kini. Dia sedang duduk bersila di saf pertama mengadap mimbar berzikir dan memetik tasbih. Tidak lama kemudian aku perasan dia bangun dan kelihatan ingin keluar masjid. Aku yang sedang duduk di saf keempat segera bingkas dan terus menuju kepadanya dan bertembung di pintu sambil memberi salam dan menghulurkan tangan ingin berjabat. Haji Salleh kelihatan seperti rusa masuk kampung dan aku lekas-lekas menggenggam tangannya. Dia tidak mengangkat pandangannya menatap wajahku seperti dulu, bahkan kemudian menarik tangannya daripada genggaman sambil buat-buat tersenyum dan terus berlalu menuruni tangga masjid.

Aku di ambang pintu bagai kucing kehilangan anak sejeda dan kembali duduk beriktikaf lalu memandang mimbar. Mimbar itulah yang menjadi permulaan segalanya ini. Mimbar yang diperbuat daripada kayu jati dan kelihatan seperti gapura berkaligrafi itu barangkali menjadi sebab utama Haji Salleh menjauhkan diri.

"Imam tak sihat hari ni. Boleh ustaz naik jadi khatib?" Wajah Haji Muluk bersinar harap di hadapanku.

Pagi Jumaat. Kipas berputar laju di ruang tamu. Ayam itik bising-bising di luar.

"Tak apakah saya jadi khatib? Apa kata Haji Salleh?" Wajah Haji Muluk kutatap tunak.

"Haji Salleh ke hospital. Kami tak sempat berjumpanya untuk bertanya. Tapi nazir masjid dan semua jawatankuasa dah setuju. Lagipun bila lagi kita nak beri peluang kepada orang muda." Haji Muluk tersenyum manis di hadapanku, lalu mengurut-urut janggutnya yang santak ke pangkal dada.

Dan pada waktu itu perasaanku begitu berbelah bagi dan dalam masa yang sama berat rasa ingin menolak.

Aku menggunakan peluang itu sebaik mungkin menyampaikan khutbah. Sebelum Jumaat, sempat aku melakar beberapa isi penting untuk disampaikan, dan rukun-rukun khutbah kusemat kemas dalam kepala. Aku memilih untuk mengajak jemaah jumaat bermuhasabah dengan mengenal diri sendiri sebagai khalifah di atas muka bumi. Agar mereka mengetahui bahawa semua manusia adalah sama, tidak kira tua atau muda, berpangkat atau tidak, yang dinilai di sisi Allah hanya takwa dan amal soleh. Bagiku, perkumpulan seminggu sekali inilah peluang dan ruang untuk mengajak seluruh kaum Muslimin membuat koreksi terhadap Islam, tentang diri dan amalan masing-masing.

Pagi itu juga selepas dhuha, dengan dipacu semangat yang menjulang-julang, aku terus menonong ke rumah Haji Salleh. Salam sekali dua tidak berjawab. Masuk kali ketiga memberi salam, dan ketika aku sudah mula berpaling ingin pulang, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka. Namun, tidak kedengaran apa-apa pula daripada Haji Salleh yang terus masuk membiarkan pintu terbuka luas. Jawapan salam pun tidak kedengaran, menjemput masuk pun tidak.

Aku yang terpinga-pinga berjalan perlahan dan memberanikan diri melangkah masuk ke dalam rumah itu. Di depan pintu rumah aku berdiri seperti tiang telefon, tegak dan hilang punca. Kemudian aku terdengar suara berdengung dari dalam rumah. Entah dari jihat mana, aku pun tak pasti.

"Duduklah."

Dada yang sudah mula berombak, terasa semakin kencang. Kaki melangkah dan punggung dihenyak di sofa. Mata memandang meja. Ada timbunan akhbar di atasnya. Hati semakin tidak selesa. Juga, sudah mula mengutuk keberanian yang datang entah dari mana selepas Subuh tadi.

Ada bunyi sudu berlaga dengan kaca. Dan tidak lama selepas itu, Haji Salleh keluar dari dapur menatang dulang dengan jag kaca dan dua cawan beralas.

Haji Salleh duduk di posisi hadapanku. Dia menuang teh. Kemudian bersandar dan tidak memandang langsung tampangku. Tidak lama selepas itu dia menjemput kuminum.

Aku agak terkejut juga dengan layanannya yang sebegitu. Hatiku kini dilanda taufan persoalan. Kencang.

"Pak cik, saya cuma nak tahu, pak cik marah dengan saya?" Akhirnya aku bertanya setelah melalui tempoh jeda yang agak lama. Taufan di hati sedikit reda.

Haji Salleh tidak menjawab. Hanya bunyi kipas berpusing perlahan. Angin menderu masuk melalui jendela yang terbuka.

"Adakah sebab saya berkhutbah? Pak cik tak setuju dengan cara saya itu?"

Bungkam.

"Khilaf itu rahmah pak cik. Bukankah bila berlaku khilaf kita kena elakkan dikuasai hawa nafsu dan berlapang dada dengan kritikan?"

Aku memanggung kepala memandang wajahnya yang putih bersih. Ada janggut putih melebat di dagu. Dan aku ketika itu begitu gentar, tapi menguatkan hati demi menjulang kebenaran. Pantang datuk nenek aku berkata-kata di belakang. Apatah mengutuk-ngutuk dan mencerca tanpa hujah, itu bukan sifat seorang Muslim.

"Jika tak sependapat, kita mesti memilih diksi terbaik apabila berkata-kata dan tidak boleh menuduh-nuduh apatah menyakiti orang. Kita juga tidak boleh memaksa orang menerima pendapat kita dan hendaklah kita menghormati pandangan orang lain. Kita perlu menghargai usaha yang dilakukan oleh ulama terdahulu, pak cik." Saya bersuara penuh yakin.

Tiba-tiba aku melihat Haji Salleh mengangguk. Sungguh, reaksinya itu membuatkan hatiku kini kembali dihempuk pertanyaan.

"Aku menghormati pandanganmu, ustaz muda. Sebenarnya ...." Tiba-tiba aku terlihat tenggoroknya turun naik menelan liur.

"Aku malu denganmu. Aku rasakan, sudah tiba masanya untuk aku memberi ruang kepada orang muda sepertimu. Masjid perlukan tenaga orang muda dan pembaharuan yang baik." Dan terungkaplah nada sebak dalam kata-katanya itu.

Ya Tuhan, hatiku diserkup haru yang bukan kepalang. Sungguh, aku belum cukup mengenali orang tua ini. Dan sesungguhnya kini aku mengetahui, betapa mulia hatinya, begitu lapang jiwanya.

Aku bingkas dan mencapai tangan Haji Salleh. Kukucup tangan guru Quranku itu lalu memeluknya erat. Betapa hatiku kini terasa amat akrab dengannya.

"Pak cik, ayuh, kita lakukan tugas ini bersama-sama!" Kataku rapat di telinganya dalam keharuan dan manik-manik air mata yang sukar dibendung.

Biodata:

AMIZA Khusyri Yusof, dilahirkan di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan, pada 30 Ogos 1981, mula berkarya secara serius pada 2003 ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dan pernah mengemudi Kem Latihan Penulis (Kelap) di sana. Pernah memenangi kategori karya eceran melalui cerpen Salju Jabal Musa pada Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 (ASNS) dan dua karya eceran ASNS 2007 melalui cerpen, Ibtisam Syawal dan Salehuddin 21. Terkini memenangi hadiah ketiga kategori cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui cerpen, Kasad. Cerpennya dipilih sebagai judul antologi Salju Jabal Musa yang turut memuatkan karya Ghafirah Idris, Nimoiz TY, Ida Munira Abu Bakar dan Fahd Razy yang dilancarkan di Kelantan Darul Naim dengan kerjasama DBP dan e-Sastera, pada 10 Jun 2005 . Novel sulungnya, Menjadi Bintang, diterbitkan DBP pada 2008. Graduan Universiti al-Azhar, Mesir, yang mendapat ijazah kepujian dalam Jurusan Tafsir al-Quran, kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh. Aktif mengadakan motivasi remaja dan ibu bapa dengan Imtiyaz Training dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen). Ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) boleh dicapai di http://amizakhusyri.blogspot.com.

Berita Harian, Sabtu 9.1.10

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.