Kepompong

Oleh Fudzail

2010/03/08

HUJUNG minggu kembali. Hanya sedikit lagi kerja rumah yang perlu disiapkan. Seperti biasa, Najwa akan sedaya mungkin, menangguhkan. Tabiat sejak kecil yang sukar dilupuskan. Sudah menjadi sebati dengan dirinya. Menangguhkan apa sahaja yang berkaitan dengan pelajaran.

Projek Biologi masih pada peringkat mukadimah. Masih mencari idea lagi untuk meneruskan. Proses Fotosintesis? Membosankan. Masih belum pada tahap mengenal organ manusia.
Matanya memandang jauh ke kerlipan neon. Pemandangan dari tingkat dua puluh apartmen menghala ke creek. Kota Dubai kencang berdenyut. Kesesakan jalan di mana-mana. Itupun dalam dunia kegawatan, mengingatkan Najwa pada ayahnya yang bertangguh untuk membeli komputer riba baru. Yang ada sudah mencecah lima tahun, sudah tidak canggih lagi.
Alasan ayah, ekonomi merudum dan perlu bersabar, perlu menyimpan duit, kalau-kalau ayahnya juga akan dibuang kerja seperti beberapa pak cik kawan-kawan ayah yang dikenalnya. Najwa menerima alasan itu dengan berat hati kerana ramai-ramai kawannya sudah memiliki komputer riba baru yang canggih.

Tiba-tiba ada kerlipan dari kotak e-mel. Najwa melompat kembali ke katilnya. Gangguan pertama dalam mencari idea projek Biologi sejak SMS yang diterima, tidak sampai dua minit sebelum itu. Gangguan seperti ini memang dinantikan. Malam minggu bersendirian adalah membosankan.

Ya, Facebook!

Terpampang mesej. “Kamu ada permintaan kawan baru. Klik di sini untuk melihatnya.”
Najwa teruja. Jumlah kawan Facebook akan bertambah lagi. Sudah mencecah seratus orang.

Mungkin permintaan ini dari seseorang yang dikenalinya. Lantas diklik alamat URL.

Berdebar Najwa dalam mengharapkan imej seorang remaja yang kacak di skrin. Remaja lelaki berpotongan rambut yang rapi dengan senyuman mengancam. Imaginasi terus membawa bayangan manis.

Foto pun dimuat turun.

Namanya, Bishrun.

Najwa terkejut. Melucukan juga. Dia tidak kenal sesiapa bernama Bishrun yang mahu menjadi rakan itu. Namanya juga bukan nama biasa. Dari foto, lelaki bernama Bishrun itu mungkin sama usia dengan ayahnya sendiri.

Najwa klik pada profil. Keliru. Melihat dengan lebih teliti.

Rambutnya juga sudah ada uban. Alamak! Buku kegemaran ialah autobiografi Nelson Mandela dan The Confession of the Economic Hitman.

Wau! Status, berkahwin. Apa dia?

Najwa berfikir pantas dalam mencari petunjuk. Mungkin ada penjelasan. Ada sesuatu yang tidak kenal. Najwa tidak kenal lelaki bernama Bishrun yang nampak sebaya dengan ayahnya. Kenapa dia mahu jadi rakan Facebook?

Tahun graduan dari universiti. 1988. Sama dengan tahun ayahnya menjadi graduan.

Mungkinkah ayahnya menyamar sebagai Bishrun yang mengaku seorang pengarah sumber manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan? Atau mungkin salah seorang kawan ayahnya menyamar sebagai pengarah sumber manusia yang mahu mengintip pergerakan serta aktivitinya secara online?

Najwa bergegas ke ruang tamu. Ayahnya sedang asyik menaip di komputer riba. Manakala ibunya sedang menonton siri ‘Desperate Housewife’ yang diulang tayang berkali-kali dan tetap ibunya setia menonton. Sudah menghafal skrip dan babak adegan. Sudah menjadi sebahagian daripada karektor siri popular yang tidak digemari Najwa. Siri itu terlalu lucah bagi Najwa yang masih menggemari Disney dan Nickolodeon.

Ayahnya memang sentiasa bekerja dengan penuh kusyuk. Najwa merasakan ayahnya tidak perasan yang Najwa sedang memerangkap skim licik ayahnya sendiri. Tidak sangka ayahnya meragui kejujuran anak perempuan tunggalnya sendiri.

“Pak cik Bishrun. Ayah kenal siapa dia?”

Najwa bertanya dengan manja.

Ayahnya mengalihkan pandangan dari skrin. Nampak terkejut dan terkeliru. Bukan sahaja Najwa mengganggu penyiapan kertas kerja, tetapi juga bertanya sesuatu yang mengejutkan.

“Apa dia Najwa? Pak cik Bishrun?”

“Ya, Pak cik Bishrun yang ayah menyamar dalam Facebook!”

“Facebook? Apa dia Facebook?” Suara ayahnya agak tinggi, sehingga ibunya sama berpaling dari skrin TV.

Ternyata ayahnya memang tidak tahu menahu langsung mengenai Facebook. Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana kesibukan ayah dengan kerja dan aktiviti persatuan menjadikan dia ignoran tentang banyak perkara dalam trend teknologi. Ayahnya hanya kenal emel, blog sosio-politik dan laman web akhbar harian serta yang berkaitan dunia kerjayanya.

Dalam rasa bersalah kerana bersangka buruk terhadap ayahnya sendiri, ada sesuatu yang disyukuri Najwa. Biarlah ayahnya buta Facebook. Juga ibunya, Kehidupan onlinenya belum dieksplorasi sepenuhnya. Najwa tidak mahu gangguan. Selain Facebook, Najwa sibuk dengan friendsters, myspace, twitter, selain blog peribadi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup remajanya. Blog yang membongkar banyak perkara mengenai perjalanan remaja yang dipenuhi kekeliruan.

“Maaf! Sahaja menduga ayah!”

Najwa kegirangan dan terus berlari masuk ke dalam bilik. Kedua ayah dan ibunya terpinga-pinga. Berpandangan sebelum kembali kusyuk kepada skrin masing-masing.

Sebaik kembali menatap profil Bishrun di Facebook, Najwa terasa lega. Bishrun bukan ayahnya. Ayahnya tidak menyamar sebagai Bishrun.

Tetapi persoalan lebih besar menerojah. Siapakah sebenarnya Bishrun? Bagaimana dia kenal dirinya. Mengapakah dia mahu menjadi rakan? Apakah ada udang di sebalik batu? Ramai orang jahat dalam dunia siber yang mahu mengambil kesempatan, begitu kata ayahnya.

“Berhati-hati! Tiada privasi dalam dunia Internet. Jangan terlalu mendedahkan butiran peribadi. Berbahaya. Lebih baik menyamar daripada berterus-terang!”

Kata-kata ayahnya masih segar. Najwa tidak menyamar dalam facebook. Hanya dalam blog.

Najwa menghela nafas yang ayahnya bukan Bishrun dan tidak tahu mengenai Facebook. Jaringan Facebook sudah dianggotai lebih 150 juta manusia. Bishrun mungkin daripada golongan empat puluhan yang sama menjadi penagih fenomena jaringan sosial siber bernama Facebook.

“Mereka ini kadang-kala sekadar pengacau. Facebook adalah jaringan buat anak-anak muda. Golongan yang masih banyak masa untuk di sia-siakan. Golongan yang tidak mempunyai banyak tanggungjawab. Bujang. Ceria!”

Begitu kata Dina, kawan baik yang mempunyai lebih ramai rakan Facebook kerana memang Dina seorang yang glamor. Memang ada persaingan antara mereka, penagih Facebook mengenai jumlah rakan-rakan. Kalau lebih ramai bermakna lebih popular.

Begitulah juga perspektif Najwa yang baru mencecah usia 17 tahun. Dia hanya menerima kawan-kawan yang sebaya dan dikenalnya. Bukan pak cik dan mak cik. Apalagi cikgu-cikgu. Bukan orang dewasa yang mungkin berniat serong.

Kerana itu jumlah rakannya juga terhad dikalangan rakan-rakan sekolah dan saudara mara. Najwa cukup berhati-hati. Dengan pelbagai cerita jenayah dan gangguan seksual melalui siber, Najwa mengambil berat semua berkaitan privasi.

“Kenapa Najwa?”

Tiba-tiba suara lembut ibunya mengejutkan Najwa. Cepat-cepat menutup skrin komputer bimbit. Cuba mencari jawapan yang tidak membongkar sesuatu yang ingin dirahsiakan. Kehidupan online melalui Facebook.

“Tiada apa-apa!”

Ibunya tersenyum sinis. Mendekati Najwa. Duduk di birai katil.

“Ibu terdengar pasal Facebook!”

Najwa memandang ibunya dengan kejutan. Berkerut muka yang sedikit berjerawat. Memang sesuatu yang tidak disangka. Ibunya menjadi suri rumah sepenuh masa. Setelah mengikut ayah untuk bekerja di Dubai. Bukan tidak mahu bekerja seperti di Malaysia, sekadar mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga. Tidak perlu bersusah payah mengejar masa dan berdepan dengan politik pejabat, selain pelbagai cabaran lain dalam dunia kerjaya.

“Ibu tahu tentang Facebook?”

Ibunya terus tersenyum. Menatap wajah anak kesayangan yang membesar dalam kehidupan kosmopolitan. Dalam dunia siber. Dalam dunia moden sebuah negara Arab yang masih berpegang pada tradisi dan Islam. Bersyukur berhijrah di Dubai yang masih membuka ruang untuk belajar agama daripada masyarakat majmuk.

“Tentu! Ibu tidak sekadar tahu tentang siri Desperate Housewife, Oprah atau Dr Phils!”

Najwa terdiam. Ibunya tidak mempunyai komputer. Sekadar telefon mudah alih. Rakan-rakannya juga terhad di kalangan ekspatriat Malaysia. Tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang agak tertutup.

“Kawan-kawan ibu memperkenalkan ibu pada Facebook, kami guna komputer di kafe Internet kat tingkat bawah ... memang seronok, bukan sekadar berkomunikasi untuk sesama kawan di Dubai, malah melalui Facebook, ibu dapat menjejak kawan-kawan lama ... merata dunia, berkongsi cerita, permainan dan foto keluarga!”

Najwa makin berdebar mendengar lantunan suara ibunya yang teruja. Selama ini dia memandang rendah keupayaan ibunya terhadap teknologi. Sekali lagi, dia mempunyai persepsi salah terhadap ibu bapanya sendiri.

Tiba-tiba ada lintasan menyambar minda. Prasangka bertalu.

Apakah ibunya menyamar sebagai Bishrun? Apakah ibunya termasuk golongan berusia empat puluhan yang mengacau ketenteraman Facebook? Mahu menjejak aktiviti dirinya secara online?

Tetapi Najwa tidak berani untuk meluahkan prasangka yang menyelimuti minda.

“Wow! Ibu pun sudah jadi ahli Facebook?”

Ibunya membuka skrin komputer riba Najwa.

“Sekarang ibu tahu akaun Facebook Najwa. Nanti ibu akan buat permintaan untuk menjadi rakan Najwa, rakan kepompong Facebook ibu yang ke-200!”

INFO

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.