Pemilihan UMNO Bahagian akan bermula selepas cawangan-cawangan dan sayap-sayap UMNO bersidang. Kesempatan ini ahli-ahli UMNO atau para perwakilan perlu memilih AJK Bahagian yang sihat mental dan fizikal.
Kita mahu UMNO Bahagian lebih bersinergi, berdaya saing, berwawasan dan lagi dihormati oleh rakan-rakan komponen apatah lagi parti-parti pembangkang. Bagi mencapai hasrat itu, AJK UMNO Bahagian mestilah yang sentiasa taat kepada perintah Allah SWT. Inilah yang membezakan antara PAS dengan UMNO. Bukanlah nak kata ahli-ahli UMNO tak taat kepada perintah Allah SWT tapi 'kelihatan' seperti itu. Ahli-ahli dan pemimpin UMNO perlu berubah sebelum kita dapat mengubah orang lain.
Sebenarnya ramai ahli dan pemimpin UMNO yang boleh digelar ustaz dan ulamak. Tapi berapa kerat berbanding dengan ahli-ahli UMNO yang sudah melebihi 2.5 juta orang. Golongan ulama dan ustaz dalam UMNO perlu diketengahkan. Golongan profesional juga perlu diberi peluang untuk bersama dalam AJK Bahagian.
Jika diperhatikan golongan ustaz dan juga profesional tidak begitu menonjol dalam UMNO jika dibandingkan dalam PAS dan PKR. Mengapa begitu? Golongan ulama dan ustaz sebenarnya bukanlah individu yang sesuai berada dalam dunia politik persaingan merebut jawatan. Sifat
tawadduk adalah sifat rendah diri. Lawan kepada sifat tawadduk ini ialah sombong, takbur serta membanggakan diri seperti firman Allah SWT dalam surah
Luqman ayat 18 iaitu...
“Dan
janganlah kau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada
manusia, dan janganlah kau berjalan di bumi dengan berlagak sombong,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi
membangga diri.” (Surah Luqman, ayat 18).
Secara jujur, selaku ahli UMNO bukan bertaraf ustaz malahan lebai pun bukan, turut merasa malu dengan politik kepartian yang menuntut diri kadang-kadang terpaksa jadi hipokrit untuk berjaya. Terpaksa mencipta dan memainkan isu untuk mengalahkan lawan. Inilah antara sebab golongan ulama, ustaz serta golongan profesional Melayu tidak berminat dalam politik UMNO. Jika ada pun golongan ini dalam bahagian, yang masih kuat menjaga identititinya sebagai ulama dan ustaz, biasanya tidak kekal lama.
Secara jujur, jika PAS meninggalkan Pakatan Rakyat suatu hari nanti jika benar berlaku, UMNO akan berhadapan dengan masalah besar. Golongan pertengahan dan atas pagar tidak ragu-ragu lagi akan sebahagiannya memilih PAS. Persaingan sengit akan berlaku antara PAS dan UMNO jika usaha penyatuan PAS-UMNO tidak berlaku. Jika UMNO masih tidak berubah sebaliknya PAS kembali kepada perjuangan asalnya, pemimpin pro-Anwarinas ditolak, kita rasa PAS akan lebih mendapat tempat dihati umat Islam di Malaysia.
Itu sebabnya, setiap UMNO Bahagian perlu memberi pertimbangan sewajarnya golongan ulama dan ustaz serta golongan profesional berada dalam UMNO. Kehadiran golongan ini akan kelihatan UMNO lebih dihormati dan disegani sekurang-kurangnya dapat menolak pandangan rakyat bahawa UMNO hanya dikuasai oleh golongan korporat dan 'full time politicians' semata-mata. Tidak rugi kepada UMNO Bahagian kerana tokoh-tokoh ini juga mempunyai pengaruh yang besar dalam komuniti, pengikut-pengikut golongan ini melampaui sempadan politik kepartian.
Masalahnya apa? Kebanyakan Ketua UMNO Bahagian sebaik menang dalam pemilihan UMNO Bahagian lebih menjaga kepentingan politik peribadinya. Ketua UMNO Bahagian lebih cenderung melantik kroni untuk berada dalam AJK Bahagian. Berlakulah perlantikan Ketua-ketua cawangan yang kalah dalam pemilihan dan ketua-ketua UMNO yang tidak bertanding sebagai AJK Bahagian. Inilah yang berlaku dan akan terus berlaku.
Sewajarnya UMNO Bahagian perlu berubah dari dalam. Kepimpinan UMNO Bahagian perlu memikirkan tentang kelebihan dan kekuatan parti lawan terutamanya PAS. Jika kepimpinan UMNO Bahagian masih meneruskan tradisi memilih dan melantik AJK Bahagian dari kroni masing-masing tanpa memikirkan kepentingan golongan ulama, ustaz dan profesional, kita bimbang UMNO Bahagian akan berada di takuk lama. UMNO akan lemah dan seterusnya akan kalah dalam PRU14 nanti jika calon PAS (jika meninggalkan PR) menjadi saingan calon UMNO. Jika ini berlaku, umat Melayu/Islam tidak akan kemana-mana ibarat kata pepatah Melayu, " Menang jadi arang, kalah jadi abu".
Kita ahli-ahli UMNO terutama golongan ulama, ustaz dan profesional sedang memerhati dari luar perkembangan UMNO era selepas PRU13.