Pages

Thursday, October 21

Universiti Di Negara Islam Tidak Perlu Kejar Ranking

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Universiti di negara Islam disaran supaya tidak terlalu mengejar kedudukan ranking sebaliknya perlu lebih memfokus kepada matlamat sebenar penubuhan sesebuah universiti itu. “Kalau misalnya Universiti Al-Azhar terlibat dengan ranking, ia akan lebih kepada ukuran yang dibuat antara lain seperti soal pensyarah asing, pelajar asing, keupayaan pelajarnya diambil bekerja dan sebagainya.
“Maka dengan sendirinya kewujudan universiti ini tidak dapat memenuhi kehendak pembangunan negara itu (Mesir) ataupun Al-Azhar sendiri tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan agama Islam,” katanya kepada pemberita.
Al-Azhar merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi tertua dan terunggul di kalangan dunia Islam.
Beliau menerima kunjungan hormat Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Republik Guinea, Georges Gandhi Faraguet Tounkara dan Menteri Pendidikan Tinggi, Menengah dan Penyelidikan Saintifik Yaman, Prof Dr Saleh Ali Ba-Surah.
Menteri-menteri berkenaan berada di sini sempena Persidangan Menteri-Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam (ICMHESR) yang bermula Selasa lalu dan berakhir hari ini.
Mohamed Khaled berkata kedudukan ranking adalah bertujuan komersial dan pemasaran semata-mata.
“Negara Islam memerlukan satu kerangka kualiti dan meletakkan perkara asas terlebih dahulu sebelum meletakkan sesebuah universiti itu dalam sistem ranking.
“Oleh sebab itu, Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan negara Islam lain yang bersetuju supaya ditubuhkan persatuan agensi-agensi kelayakan semua negara Islam dengan Malaysia menjadi pengerusinya,” katanya.
Beliau berkata persatuan tersebut akan membantu membangunkan kerangka kualiti pengajian tinggi di setiap negara Islam serta memberikan pandangan kepada negara Islam dalam menentukan elemen membudayakan kualiti melalui kerangka kelayakan.
“Maaysia juga akan memperluaskan hubungan di peringkat dua hala dalam sektor pengajian tinggi dengan negara Islam lain bagi membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta teknologi bagi meningkatkan kualiti pengajian tinggi dalam kalangan negara-negara Islam,” kata Mohamed Khaled.

Wednesday, October 20

LATIHAN INDUSTRI PASTIKAN GRADUAN MILIKI KEBOLEHPASARAN

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) amat berharap satu hari nanti, dasar mewajibkan pelajar mengikuti latihan industri seperti yang ada sekarang diiringi dengan dasar mewajibkan industri menyediakan tempat latihan untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seperti di negara maju. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) misalnya boleh menerajui usaha ini sebelum diperluas kepada industri lain.
Seiring dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dasar mahupun penganjuran program kebolehdapatan dan kebolehpasaran graduan adalah selari dengan pendekatan kerajaan untuk mendahulukan rakyat.
Bagi 2009 saja, seramai 30,290 orang atau 43.3 peratus daripada graduan IPT menyertai sektor swasta, sekali gus menjadikan sektor terbabit sebagai penerima terbesar bakat IPT dalam negara. Perkembangan ini pastinya seiring dengan harapan Perdana Menteri melihat sektor swasta menjadi peneraju utama ekonomi negara selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE).
Isu kebolehdapatan pekerjaan (graduate employment) di kalangan graduan adalah satu cabaran yang diberi perhatian berat oleh kerajaan dan kementerian khususnya. Setiap tahun dianggarkan 200,000 daripada keseluruhan 923,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian dan bidang dari IPT seluruh negara akan menamatkan pengajian mereka.
Daripada jumlah itu, 72,000 atau 36 peratus adalah graduan lelaki dan 128,000 pula atau 64 peratus, graduan perempuan. Kita juga memiliki statistik bahawa 418,000 rakyat Malaysia yang menganggur pada 2009 dan daripada jumlah itu, seramai 41,514 atau 9.93 peratus adalah graduan baru dan 22,640 atau 5.14 peratus terdiri daripada graduan yang memiliki ijazah pertama.
Perkembangan ini juga memperkukuhkan iltizam kementerian untuk meneruskan penganjuran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan atau K3G kelima baru-baru ini. Karnival yang dilaksanakan sejak 2006 itu adalah antara usaha kementerian membantu graduan mendapat maklumat mengenai kerjaya dan keusahawanan di bawah satu bumbung.
Untuk Karnival K3G tahun ini, sebanyak hampir 500 syarikat daripada pelbagai agensi kerajaan, GLC, MNC, dan PKS turut terbabit dengan lebih 15,800 jawatan kosong ditawarkan. Apa yang menarik, ada empat syarikat mengeluarkan surat tawaran kerja serta-merta kepada seramai 23 graduan pada majlis pelancaran 15 Mei lalu.
Tidak dapat dinafikan bahawa persaingan untuk mendapat pekerjaan di kalangan graduan hari ini semakin sengit dan kompetitif. Maka untuk berdepan dengan soal ini, kementerian mengambil langkah memastikan setiap graduan memiliki kebolehpasaran (graduate employability) yang tinggi.
Matlamat kebolehpasaran ini meliputi usaha bagi membina upaya graduan agar berjaya untuk mendapat pekerjaan, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kerjaya mereka, sekali gus memiliki nilai dan ciri-ciri yang dikehendaki industri, sejajar dengan keperluan abad ke-21.
Bagi memantap dan meningkatkan keberkesanan usaha ini secara strategik, kementerian melancarkan Dasar Latihan Industri dan Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT baru-baru ini. Melalui Dasar Latihan Industri IPT, ia mewajibkan pelajar menghadiri latihan industri sebelum mereka menamatkan pengajian bagi memberi pendedahan dan membiasakan diri mereka ke alam pekerjaan.
Selain itu, Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT pula bertujuan melahirkan usahawan atau graduan yang bekerja sendiri. Kewujudan usahawan di kalangan graduan yang berilmu dan berkemahiran tinggi ini pastinya menyumbang kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui Unit Keusahawanan di kementerian dan di IPT sendiri, sistem pengajian tinggi kini dinilai semula bagi menggalakkan kewujudan usahawan daripada kalangan graduan. Di sini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan peruntukan RM20 juta bagi pembangunan keusahawanan di IPT.
KPT mengakui, cabaran melahirkan usahawan graduan ini adalah tinggi. Pada 2009, misalnya hanya 1.5 peratus graduan mengambil laluan kerjaya sebagai usahawan berbanding dengan United Kingdom yang mencatatkan seramai 13 peratus.
Dasar keusahawanan ini juga meliputi usaha untuk menerap nilai, budaya dan pemikiran usahawan seperti inovatif, kemampuan menyelesaikan masalah, berdaya maju, berdaya tahan, berdaya saing dan semangat kerja berpasukan di kalangan graduan. Dengan memiliki ciri-ciri ini, diharapkan graduan walaupun sebagai pekerja, akan mampu menjayakan syarikat untuk berdepan sebarang cabaran dan persaingan, seterusnya membolehkan syarikat terus kekal dan maju.
Saya percaya bahawa KPT sudah menyediakan landasan tepat untuk menguruskan isu kebolehdapatan dan kebolehpasaran graduan. Malah dalam hal ini, pihak kementerian menetapkan masa selama setahun sebagai tempoh penyerapan bagi graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar.
Dengan mengambil kira tempoh penyerapan ini, Kajian Pengesanan Graduan yang dibuat kementerian pada 2009 menunjukkan dalam tempoh tiga bulan selepas menamatkan pengajian, seramai 81,744 atau 52.7 peratus graduan mendapat pekerjaan berbanding 41,514 atau 26.7 peratus graduan baru yang masih belum bekerja.
Daripada kajian itu juga, menunjukkan berlakunya penurunan jumlah pengangguran dalam masa setahun selepas menamatkan pengajian bagi graduan di negara kita. Di negara lain seperti Australia, tempoh penyerapan kerja graduan mereka memakan masa sehingga dua tahun.
Saya percaya, melalui program seumpama ini, rata-rata graduan akan mendapat manfaat terutama dalam situasi persaingan mendapatkan pekerjaan yang semakin sengit dan kompetitif masa kini. Ia juga sekali gus akan menerus dan mengekalkan peranan IPT untuk membekalkan bakat terbaik bagi kepentingan strategik negara terutama untuk mencapai matlamat ekonomi negara berstatus maju berteraskan MBE.

TINGKAT IMEJ ISLAM MELALUI PENDIDIKAN

  MUHYIDDIN   bersama Ketua Pengarah ISESCO, Abdulaziz Othman Altwaijri (empat kiri) dan Mohamed Khaled  (empat kanan) bergambar bersama penerima anugerah selepas majlis perasmian ICMHESR Kelima, semalam.
MUHYIDDIN bersama Ketua Pengarah ISESCO, Abdulaziz Othman Altwaijri (empat kiri) dan Mohamed Khaled (empat kanan) bergambar bersama penerima anugerah selepas majlis perasmian ICMHESR Kelima, semalam.
Tindakan bersepadu mewujudkan persepsi terhadap Muslim sebagai umat berintegriti
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah tiba masanya negara Islam bekerjasama mengambil tindakan bersepadu untuk menaikkan imej Islam sebagai agama yang aman melalui sistem pendidikan berkualiti.
Timbalan Perdana Menteri berkata pembudayaan kualiti dalam sistem pendidikan bukan hanya kepada aspek meningkatkan peruntukkan semata-mata, sebaliknya ia adalah usaha ke arah meningkatkan persepsi terhadap Muslim sebagai umat yang berintegriti.
Selain itu, ia juga bagi memperbaiki persepsi terhadap peranan wanita Islam dalam pembinaan negara dan pembangunan sumber manusia, di samping meningkatkan peranan serta sumbangan belia dalam pembangunan sosial dan ekonomi.
“Diharapkan melalui semua usaha ini, kita boleh mempertingkat kualiti kehidupan untuk semua, sekali gus menjadikan dunia tempat yang lebih selamat bagi setiap orang,” katanya berucap merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Pengajian Tinggi Dan Penyelidikan Saintifik Islam (ICMHESR) Kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Persidangan tiga hari itu bertemakan `Pembudayaan Kualiti Dalam Akademia, Penyelidikan dan Inovasi Ke Arah Kemakmuran Ummah’.
Persidangan yang julung kali diadakan di sini, dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dihadiri peserta dari 48 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk 25 Menteri Pengajian Tinggi.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pendidikan berkualiti mencakupi pembangunan minda dan personaliti serta peningkatan potensi individu bagi membangunkan masyarakat yang mengenali kepelbagaian budaya, demokrasi, hak asasi manusia, nilai moral, ekuiti akses kepada pengetahuan serta pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam konteks ini, beliau berkata, pendidikan tidak menekankan pembentukan karakter positif secara praktikalnya tiada nilai dalam Islam.
“Justeru, pembudayaan kualiti sistem pendidikan adalah lebih daripada sekadar melaksanakan sistem dan prosedur atau membina sekolah dan universiti semata-mata.
“Kita mesti menggalakkan penyelidikan dan inovasi secara beretika sebagai sebahagian daripada budaya institusi pengajian tinggi,” katanya.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Hadiah Sains ISESCO 2010 kepada enam pemenang iaitu Prof Dr Mohamed Amin Embi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang teknologi; Prof Madya Dr Hossein Baharvand (Iran – biologi), Prof Dr Mirsaidov Ulmas (Tajikistan – kimia), Prof Dr Muhammad Qasim Jan (Pakistan - geologi), Prof Madya Dr Odibat Zaid (Jordan – matematik) dan Prof Dr Shabat Mohammed (Palestin – Fizik).
SUMBER : BERITA HARIAN

INOVASI DAN ILMU SAINS TANGGANI ISLAMOFOBIA

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perkembangan inovasi serta ilmu sains dan teknologi mampu menjadi medium untuk menghubungkan dunia Islam dan bukan Islam seterusnya menangani masalah Islamofobia.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan ilmu sains dan teknologi juga akan membantu membentuk jalinan kerjasama lebih erat antara dunia Islam dan bukan Islam.
"Usaha menggembeling kepakaran dan kemampuan negara-negara Islam bukannya bertujuan bersaing dengan dunia bukan Islam sebaliknya sebagai persediaan untuk kedua-dua pihak saling bekerjasama.
"Bagaimanapun, negara-negara Islam juga perlu bekerjasama untuk mampu berdiri sama tinggi dan menyertai cabaran pembangunan ilmu sains dan teknologi seperti teknologi nano di peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Perasmian Persidangan Menteri-menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam Kelima (ICMHESR) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC), di sini hari ini.
Hadir sama Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Abdul Moiz Bokhari; Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco), Dr. Abdul Aziz Othman Altwaujiri dan Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Sudan, Dr. Peter Adwok Nyaba.
Persidangan kali kelima itu diadakan buat pertama kali di Malaysia serta rantau Asia dan disertai 48 negara Islam dengan kehadiran 25 Menteri Pengajian Tinggi dan wakil 20 pertubuhan antarabangsa.
Tambah Mohamed Khaled, dunia Islam perlu bekerjasama, berbincang dan mengatur strategi agar sumber dan kemajuan sains dan teknologi yang dimiliki negara OIC dapat digunakan untuk memajukan seluruh umat Islam.
"Kita berharap ICMHESR kali ini dapat membentuk asas kukuh untuk memudahkan kerjasama antara negara OIC serta dunia Islam dan bukan Islam kelak," katanya.
Menurutnya lagi, selain fokus kepada perkembangan teknologi baru, indeks prestasi utama negara Islam, promosi teknologi nano, inovasi dan projek Atlas Inovasi Dunia Islam, persidangan tersebut juga bakal menjadi tapak membentuk jaringan dan membincangkan peranan saintis wanita Islam.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan Isesco mahu membetulkan pandangan serong terhadap umat Islam yang rata-rata dilihat sebagai mundur, agresif dan bencikan pemodenan.
"Ada juga pihak yang menganggap orang Islam suka melakukan jenayah, keganasan dan penindasan wanita yang nyata sekali tidak benar. Kita perlu membuktikan kita mampu menyumbang kepada kemajuan tamadun manusia di dunia serba moden kini," tegasnya.
Sementara itu, Abdul Moiz mengharapkan persidangan tersebut dapat membantu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan pengajian tinggi.

ISU KESELAMATAN DI KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

Pada hari ini iaitu 19/10/2010 penulis yang juga selaku Presiden SPKUM(Sekretariat Presiden Kolej-Kolej Kediaman) telah menyertai mesyuarat keselamatan bersama MPMUM(Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya) berkaitan dengan isu-isu keselamatan yang melibatkan kampus Universiti Malaya.Pelbagai isu dan agenda yang telah disuarakan oleh kami pimpinan presiden kolej-kolej kediaman berkaitan isu keselamatan yang berlaku di kolej kediaman universiti Malaya termasuk Isu-isu keselamatan yang melibatkan warga kampus Universiti Malaya.

Perkara pertama yang telah disuarakan oleh pimpinan mahasiswa kepada pihak keselamatan adalah berkaitan CCTV yang terdapat dalam kampus Universiti Malaya ini dan sejauh manakah fungsi dan peranan CCTV ini dari sudt keberkesananya.Jawapan yang telah diberikan oleh wakil Pengarah Keselamatan Universiti Malaya iaitu En Izhar berkaitan isu CCTV ini adalah pertamanua tujuan pemasangan CCTV di Universiti Malaya ini adalah untuk tujuan mencegah dan penyiasatan.Pihak keselamatan hanya bertanggungjawab kepada CCTV yang tiada penghuni(no mans land) ataupun pihak ptj,fakulti ataupun kolej yang bertanggungjawab terhadap CCTV masing-masing.Menurut beliau CCTV mula dipasang di sekitar kampus Universiti Malaya ini pada tahun 2004 dengan kos berjumlah RM 1.5 MILION.Terdapat 28 kamera CCTV di kawasan sekitar Universiti Malaya yang dikawal oleh pihak keselamatan manakala selebihnya adalah dipertanggungjawabkan kepada PTJ,FAKULTI dan KOLEJ-KOLEJ KEDIAMAN.Beliau sendiri mengakui kelemahan CCTV yang berada di Universiti Malaya ini yang mana kurang sesuai dan tidak banyak membantu.Sekarang pihak keselamatan masih dalam usaha meminta peruntukan daripada Naib Canselor Univerisiti Malaya untuk menggantikan CCTV yang sedia ada kepada yang baru dan lebih canggih.Pihak keselamatan menyatakan sebelum ini CCTV ini dikawal selia oleh Pusat Teknologi Maklumat(PTM) tetapi telah diambil alih oleh pihak keselamatan kerana memang bukan tanggungjawab PTM untuk mengawal selia CCTV ini.

Perkara yang telah dibangkitkan oleh Penulis yang juga presiden SPKUM,menyatakan bahawa CCTV yang terdapat di Universiti Malaya tidak diletakkan di tempat yang strategik,malahan berada di kawasan yang sememangnya tidak sesuai sekali.Justeru,kebanyakan kes-kes yang berlaku di Universiti Malaya ini tidak dapat diselesaikan melalui CCTV kerana kelemahan ini.Pegawai keselamatan turut mengakui perkara yang telah dinyatakan ini,dan akan cuba memperbaiki keadaan ini,kerana menurut beliau pihak Kolej atau fakulti tidak berbincang dengan pihak keselamatan terlebih dahulu sebelum memasang CCTV ini.Selain itu,penulis memohon supaya di letakkan CCTV ini di kawasan-kawasan panas terutama di parking-parking motosikal yang sentiasa mengalami kes kecurian.

Perkara kedua yang dibincangkan adalah isu pelekat kenderaan,sejauh manakah keberkesanan pelekat kenderaan ini?.Perkara ini disuarakan kerana pihak keselamatan boleh mengenal pasti pelajar yang benar-benar berdaftar sebagai pelajar UM dan mengurangkan kebarangkalian orang luar untuk mengambil kesempatan melakukan jenayah di dalam Universiti ini.Tetapi masalah yang dihadapi oleh pihak keselamatan adalah masih ramai daripada pelajar Universiti Malaya yang tidak mempunyai pelekat kenderaan malahan terdapat pelajar yang menggunakan pelekat kenderaan yang tidak sah.Walaupun sesetengah pelajar mempunyai pelekat kenderaan tetapi mereka tidak membawa kad matriks.Perkara ini menyukarkan pihak keselamatan untuk mengenal pasti adakah pelajar itu adalah benar-benar pelajar yang berdaftar di Universiti Malaya.Cadangan yang di bawa dalam mesyuarat pada hari ini adalah menwartakan kembali pemakaian kad matriks kepada pelajar universiti Malaya dan mengadakan minggu keselamatan untuk semua mahasiswa di Universiti Malaya.


Perkara ketiga adalah isu kecurian motosikal yang sedang berleluasa sekarang ini di dalam kampus Universiti Malaya.Menurut statistik yang telah dikeluarkan oleh pihak keselamatan motor yang sentiasa menjadi sasaran pencuri adalah motor baru(HONDA EX5,YAMAHA LC 135) dan modus operandi yang dijalankan adalah pada waktu-waktu puncak.Perkara ini terjadi kerana sikap cuai pelajar itu sendiri yang mana tidak meletakkan kenderaan mereka di tempat yang sesuai dan tertinggal kunci di motosikal.Kwasan yang dikatakan panas dan menjadi sasaran kecurian motor adalah di kawasan berhampiran perpustakaan,fakulti sains dan fakulti pendidikan.Manakala kolej 12 mencatatkan keks kecurian motosikal yang tertinggi iaitu sebanyak 12 kes.sepanjang tahun ini sebanyak 32 kes kecurian motosikal yang telah dilaporkan kepada pihak keselamatan.Pihak keselamatan menyatakan pihak mereka sentiasa melakukan pemantauan dan agak sukar untuk mengenal pasti kenderaan yang keluar masuk di Univerisiti Malaya ini kerana terdapat 5 pintu masuk dan keluar di kampus ini.Pihak keselamatan menyatakan bahawa kemungkinan kes kecurian yang berlaku ini melibatkan bekas pelajar ataupun mereka yang sememangnya tahu tentang lokasi di kawasan kampus ini.menurut kajian yang telah dijalankan oleh pihak keselamatan sebanyak 1300 kenderaan yang masuk kedalam universiti malaya pada jam 8.00-9.00 pagi.Jumlah yang besar ini sememangnya menyukarkan pihak keselamatan untuk mengawal selia kenderaan yang masuk kerana akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.


Perkara yang keempat adalah isu kadar bayaran clamp kenderaan di kampus Universiti Malaya.menurut pihak keselamatan kadar maksimum untuk clamp kenderaan adalah sebanyak RM 50 .Namun jumlah ini adalah mengikut belas ihsan daripada pegawai keselamatan sendiri.Tindakan clamp kenderaan ini akan diambil sekiranya terdapat aduan daripada pihak fakulti yang mana kenderaan pelajar itu menghalang lalu lintas.Menurut apa yang telah di nyatakan oleh pihak keselamatan mereka dalam proses cadangan untuk mengurangkan kadar bayaran clamp ini kepada RM 30.Pihak keselamatan menasihatkan pelajar supaya parking ditempat yang telah disediakan.Namun pihak kami telah menyatakan bahawa ketiadaan tempat parking yang mengcukupi akan menyebabkan para pelajar terpaksa parking di kawasan yang tertentu.Justeru penambahan kawasan parking terutama di kawasan-kawasan fakulti adalah sangat diperlukan.

Perkara yang kelima adalah berkaitan keselamatan di kolej-kolej kediaman terutama di kawasan kolej kediaman ke sembilan yang mana terdapat kes ragut dan keselamatan untuk para pelajar kolej kediaman ini pulang ke kolej masing-masing.Selain itu,kedudukan kolej kediaman ini yang terletak di luar kampus memang menyukarkan pegawai keselamatan untuk melakukan pemantauan.Menurut pihak keselamatan masalah pencahayaan di jalan untuk ke kolej kediaman ke sembilan ini menjadi faktor utama walaupun pihak keselamatan telah beberapa kali menyatakan kepada pihak JPPHB UM untuk memasang lampu di kawasan berkenaan namun sehingga sekarang masih belum ada tindakan yang di lakukan.Selain itu,seksyen 17 merupakan antara kawasan panas yang sering kali berlaku kes ragut dan samun,namun setelah dipasang penghadang jalan di bebrapa tempat telah mengurangkan aktiviti itu menurut pihak keselamatan.


Perkara yang seterusnya adalah isu keselamatan yang melibatkan pekerja asing.Pegawai keselamatan akan melakukan operasi untuk memastikan pekerja asing ini tidak keluar daripada kawasan pekerjaan mereka sewenang-wenangnya.pihak keselamatan akan mengenakan tindakan kepada mereka.Perkara ini dinyatakan kerana terdapat mahasiswa yang telah membuat laporan diganggu oleh pekerja asing ini.Isu-isu lain yang dibincangkan adalah berkaitan kewujudan pegawai keselamatan yang bertindak sebagai penjaga kolej.Perkara ini masih lagi dalam peringkat kajian kerana sebelum ini memang sudah ada pegawai keselamtan yang bertanggungjawab untuk setiap kolej-kolej kediaman.Kes kecurian yang banyak berlaku di kolej kediaman ibnu sina(ke-6) telah tiada kerana aspek keselamatan telah dittik beratkan.Selain itu,isu yang diketengahkan adalah kawasan parking kolej kediaman 3,4 dan 7 yang sering berlaku kecurian dan pihak keselamatan di minta untuk kerap membuat pemantaun di kawasan itu.


Penulis juga meminta pihak keselamatan agar lebih cepat dan tangkas dalam menangani beberapa isu jenayah yang berlaku di dalam kampus ini.Sememangnya aspek keselamatan ini menjadi satu faktor dan aset yang paling utama di mana sahaja kita berada.Tanggungjawab keselamatan ini bukan sahaja terletak kepada pihak keselamatan dan mereka yang bertanggungjawab tetapi aspek keselamatan ini perlulah dicegah secara bersama di dalam asyarakat terutama golongan mahasiswa.Kerjasama yang erat antara pihak keselamatan dan mahasiswa adalah kunci yang sangat bermakna untuk kita sama-sama membanteras jenayah di kampus.Semoga kes keselamatan di kampus Universiti Malaya ini akan berkurangan untuk keselesaan seluruh mahasiswa.Namun,segalanya terletak dalam diri mahasiswa itu sendiri iaitu mereka perlulah berhati-hati dan berwaspada dalam setiap keadaan dan jangan sesekali cuai dan mendedahkan diri kepada bahaya.

Pihak keselamatan mengucapkan terima kasih kepada pimpinan pelajar yang telah menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.Mereka berharap semoga pertemuan ini akan berterusan kerana kerjasama yang akan terjalin ini lebih memudahkan pihak keselamatan untuk mengetahui dan memantau kes-kes keselamatan yang berlaku di dalam kampus Universiti Malaya ini.


``KESELAMATAN ADALAH TANGGUNGJAWAB SEMUA DAN BERSAMA``

MOHD ASRI B ZULKIFLI
PRESIDEN KOLEJ-KOLEJ KEDIAMAN UNIVERSITI MALAYA(SPKUM)
PRESIDEN KOLEJ KEDIAMAN UNGKU AZIZ UM.

Saturday, October 9

Mahasiswa disaran suburkan semangat sukarelawan

KUANTAN: Golongan mahasiswa disaran menyuburkan semangat kesukarelawan sebagai satu pengupayaan kekentalan diri, kelasakan minda dan ketahanan peribadi sebagai benteng yang memagari kelangsungan agama, nusa dan bangsa.
Saranan itu diutarakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang turut bertitah bahawa semangat kesukarelawan adalah satu agenda yang perlu dijurai mahasiswa dan pihak universiti, kerana di situlah aplikasi ilmu pengetahuan serta sentuhan kemanusiaan bergabung.
Baginda bertitah kajian yang dilakukan pusat kaunseling Universiti Maryland, Amerika Syarikat pada 1992, menunjukkan jumlah mahasiswa yang berminat melakukan aktiviti kesukarelawan semakin merosot.
Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu juga bertitah, pelbagai alasan telah diberikan oleh mahasiswa yang kurang melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan iaitu tidak ada masa dan sibuk dengan pelajaran.
"Kini setelah 18 tahun kajian tersebut dijalankan, kita harus menyoal adakah situasinya terus merosot, atau menunjukkan kemajuan. Pada hemat saya, rendahnya minat, kurangnya kesedaran untuk menyertai aktiviti kesularelawan di kalangan mahasiswa, perlu ditekuni penyelesaiannya dengan bijaksana,” titahnya pada majlis Konvokesyen Kelima UMP hari ini. - Bernama

UM Bakal Tubuh Galeri Seni

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan mewujudkan galeri seni untuk mempamer lukisan dan arca bernilai tinggi yang dirancang ditempatkan di Dewan Tuanku Canselor (DTC) tahun depan, kata Naib Canselor UM, Datuk Dr Ghauth Jasmon.
"Saya harap di masa hadapan, galeri seni ini akan turut menjadi tempat persinggahan pelancong dari luar negara," katanya yang berpendapat lukisan dan arca mempunyai nilai yang tinggi dan berbaloi untuk dikumpul.
Sehubungan itu, beliau berkata, UM akan mula mengumpul koleksi lukisan dan arca untuk dipamerkan di galeri itu, katanya ketika merasmikan Pameran Media Seni ke-9 UM hari ini.
Dr Ghauth berkata, bagi menambah tarikan ke galeri seni itu, UM juga akan memindahkan Muzium Seni Asia yang kini terletak di Fakulti Undang-Undang serta Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran ke DTC.
Muzium itu yang dibuka pada tahun 1980 menyimpan lebih 2,000 kepingan seramik yang dikumpul dari pelbagai negara termasuk China, Jepun, India dan Iran.
Beliau berkata, UM akan turut menubuhkan pusat penyelidikan bagi mengkaji artifak negara yang masih belum dikaji.
Pengarah Pusat Kebudayaan UM, Prof Dr Mohd Nasir Hashim pula berkata, bermula tahun depan, universiti itu berhasrat melantik kalangan artis yang terdiri daripada pelukis, pereka arca dan karyawan lain sebagai penasihat kepada pelajar jurusan seni UM.
"Antara pelukis yang akan dijemput termasuk Bayu Utomo Radjikin dan Ahmad Shukri Mohamed," katanya. - BERNAMA

Monday, October 4

Pelajar tidak dihalang sepenuhnya terlibat politik

GEORGETOWN 4 Okt. - Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tidak dihalang sepenuhnya untuk terlibat dalam politik terutama ketika pilihan raya sekiranya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mahasiswa boleh mendengar ceramah atau bercakap tentang politik tetapi mereka tidak dibenarkan terlibat secara langsung dalam kempen politik.
"Jika pelajar sekadar mahu mendengar atau memantau pilihan raya, kementerian tidak akan menghalang tetapi jika mereka membabitkan diri secara langsung seperti berkempen atau menjadi ejen parti politik, itu tidak dibenarkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan penglibatan pelajar IPT dalam politik terutamanya menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Mohamed Khaled berkata, sebelum ini terdapat pelajar yang terlibat secara langsung dalam politik walaupun menyedari tindakan itu salah. - Bernama