Thursday, October 30, 2008

Ceritaku Hari ini...

Sekarang ni dah masuk fasl syitaa' (musim sejuk) di bumi Jordan ni, musim yang menakutkan bagiku. Sejuk kat sini memang hebat la jugak. Kalau tahun lepas cuaca mencecah ke -4 darjah c. Tapi ada jugak bebudak Malaysia yang seronok dengan musim sejuk ni. Katanya boleh main salji, kulit tak terbakar, jadi halus dan mulus...macam-macam. Tapi aku biasa je. tak turun main pun, tengok melalui tingkap je. Aku memikirkan macam mana la orang sini boleh hidup dalam salji, cuacanya pun aku tak tahan. Namun, tetap ku fikirkan keagungan Tuhan yang mampu mencipta apa saja yang Dia kehendaki. Oh..semakin banyak ku berjalan semakin banyak ku kaji kehebatan Tuhan. Terima kasih, Tuhanku.

Hari ini sebelumku turun untuk ke kelas hujan 'datang' lebat sekali. Buntu jugak dibuatnya. Payung pun tak ada. Nak tahan teksi pun hujan lebat sangat. Tahun ni hujan turun awal. Kalau tahun lepas, hujan tak turun lagi bulan Oktober ni. Macam mana ni? Cuaca sejuk ditambahi pulak hujan. Lalu aku pergi tanya jiran sebelah rumahku, orang Mesir, nak mintak payung. Ku sebut 'mizollah' dia tak faham. Kena cakap 'syamsiyyah' baru dia faham. Dua-dua pun betul. Tapi dia pun takde payung gak. Dengan jiranku ni kena banyak cakap 'ammiyyah'. Maklumlah dia belajar sampai tahap persekolahan je.

Ku langkahkan kakiku turun ke bawah nak pergi kelas jugak, sambil memikirkan macam mana nak sampai ke jamiah ni. Tanya kedai sebelah rumah pun tak jual payung. Buntu...tiba-tiba ada hamba Allah menegurku, awak nak apa? Nak payung, nak gi muhadharah, jawabku. Oh..mai saya hantarkan awak. Awak belajar kat Jamiah Urduniyyah kan? Ya, jawabku tersenyum. Leganya, aku boleh pergi jugak akhirnya.

Bila sampai ke jalan utama, terkejut aku...'fayadhan'! Banjir dah melimpah. Jalan penuh sesak, satu jalan ditutup. Alamak...muhadharah dah start dah. Kul 3.30pm dah lepas. Malunya aku nak masuk kelas, mesti sampai lewat ni. Ku terpaksa pusing-pusing ikut jalan alternatif. Pi ikut jalan lain pun 'zahmah' jugak. Bila kenderaan penuh di jalan, mulalah kedengaran bunyi hon. Budaya orang sini memang gitu. Hon tu sentiasa ada di mana-mana. Pong pang pong pang. Tahun lepas aku bengang gak ngan depe ni. Pelik bin ajaib, tak kira masa hon sentiasa ada. Tapi tahun ni dah biasa da, so dok nak tergelak ada la dengan perangai depe. Hamba Allah yang hantar aku pun gitu la, tapi depan aku dia 'cool' skit, sebab aku buat tak reti, lagipun dia tahu budaya orang Malaysia bukan macam diorang.

Kat Jordan ni kira ok la sikit. Ku pernah berada di Mesir bebrapa bulan yang lepas, oh..lain macam. Lagi nak tergelak. Depe 'tak main' lampu-lampu isyarat ni. Lagipun lampu isyarat ada di beberapa tempat je. Aku tanya kawan kat sana, apasal keluar warna merah depe jalan jugak? Kawanku tu jawab selamba je: orang sini tak guna lampu isyarat, pakai hentam je. Tengok boleh jalan go on la. Ya Allah...lawaknya! Satu lagi yang aku terkejut jugak, hari tu naik bas ngan kengkawan nak gi Masjid Azhar, alahai penuhnya...sampai je di satu tempat, sorang pakcik yang dah berusia nak turun bas, bas tak berhenti, dia terus terjun..haah!! biasa je dia, tak pengsan pun. Gitulah kehidupan di sebahagian negara Arab. Lain betul berbanding ngan bumi Malaysia.

Berbalik kepada ceritaku tadi, ku sampai ke jamiah kul 4.15pm. Lalu terus ku solat Asar dulu, sebab kelas akan habis sampai waktu maghrib kul 6pm. Hari ni muhadharah dibuat di ofis Dr. Bila ku ketuk pintu, Dr. terus tanya: kaifa najauti? (macam mana awak terselamat?), al-hamdulillah Dr. dah tau kat Sweileh banjir. Aku senyum lalu ku bagitau semua, tempat saya ada banjir kilat. So, kelewatan dimaafkan la.

Setelah muhadharah tamat, ku bercakap beberapa perkara dengan Dr., kemudian terus melangkah seribu untuk mendapatkan bas agar tak terlepas solat maghribku. Ku nak solat di rumah. Solat di rumahku lebih ku rasa bahagia dan selesa berbanding solat di luar rumah. Biasalah kan, rumah kita lebih bersih, lebih wangi, lebih cantik. Bila sampai di luar jamiah, ku lihat ramainya manusia menunggu bas. Bas-bas dah penuh. Macam mana ni? Solat aku bagaimana? Kalau dok tunggu sini, habislah. Ahh..aku takkan gadaikan solatku hanya kerana menunggu bas. Biarlah aku sampai rumah lewat sikit, asalkan aku lega bila laksanakan perintah Tuhan. Aku tahu ramai orang menggadaikan solatnya kerana menunggu bas, ramai orang menggadaikan solat kerana berada dalam kapal terbang, ramai orang menggadaikan solat kerana cuaca sejuk, ramai orang menggadaikan solat kerana muhadharah. Oh, sedihnya! Ya Allah jadikanlah kami orang-orang yang mendirikan solat.

Lalu ku berpatah balik masuk ke jamiah menuju ke musolla. Oh, Tuhan, sejuknya nak ambik wudhuk!. Kat musolla takder air panas, kat rumahku ada la. Menggigillah aku. Namun ku tahu, Tuhan tetap memerhatikanku. Sentiasa menghisab mujahadah ini. Bila selesai solat terasa lega lagi, sebab Tuhan masih memberi rahmat, memberi hidayah agarku tetap menyambut perintahnya. Ku sentiasa ingat kata-kata Tok Guru: orang yang solat bermakna dia mengikat dirinya seratus peratus dengan Allah Taala. Sungguh..Terima kasihlah Tuhan atas nikmat Iman yang kau berikan. Al-hamdulillah ku dapat sampai ke rumah dengan selamat. Airmata berguguran mengingatkan hidup ini perlu dengan mujahadah. Dengan mujahadah kita akan dinaikkan pangkat oleh Allah. Pangkat yang tak ternilai harganya. Moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang muttaqin. aamin...


Rabu, 29 Oktober 2008
10.21 pm


Wednesday, October 29, 2008

Tuesday, October 28, 2008

Banggalah Menjadi Pejuang Bahasa Arab!

Baru-baru ini ketika saya bercuti di Malaysia, saya banyak menghabiskan masa bersama warga UIAM, bumi yang bertuah dalam hidup saya. Walaupun kebanyakan orang balik bercuti bersama keluarga tersayang, atau di tempat-tempat peranginan yang menyeronokkan, namun bagi saya 'Garden of Knowledge and Virtue' itulah hala tuju saya.

Dalam masa bersama anak-anak di sana yang juga merupakan sahabat-sahabat seperjuangan, ramai yang memaklumkan kepada saya bahawa sebahagian pelajar pengkhususan Bahasa Arab telah berpaling tadah, meninggalkan Bahasa Arab dan menukar jurusan mereka ke medan pendidikan dan lain-lain. Saya salah seorang pejuang bahasa tersebut berasa sayu dengan keadaan sedemikian. Ini kerana kuota kemasukan pelajar-pelajar ke dalam bidang Bahasa Arab bagi sesebuah universiti amatlah terhad, ditambahi pula dengan penghijrahan sebahagian mereka ke bidang lain, makinlah mengurangkan bilangan mereka. Namun setiap orang ada pendirian masing-masing.


Saya tidak ada hak untuk menghalang pendirian seseorang asalkan ia tidak bercanggah dengan garisan Islam. Bahkan setiap ilmu yang dipelajari adalah ilmu Allah, yang mana masing-masing ada manfaatnya yang tersendiri.

Saya bertanya kepada beberapa pelajar sebab-sebab yang menjadikan mereka meninggalkan pengajian Bahasa Arab. Secara kesimpulannya kerana faktor-faktor berikut:

1) pasaran kurang mahukan Bahasa Arab, oleh itu peluang pekerjaan susah
2) pengkhususan pendidikan meyediakan peluang pekerjaan yang luas berbanding pengkhususan Bahasa Arab

3) pengkhususan pendidikan akan mendapat gaji yang lumayan berbanding Bahasa Arab.
4) pengkhususan pendidikan boleh mengajar di mana-mana sahaja samada di sekolah atau di universiti, manakala bidang Bahasa Arab hanya terhad di universiti sahaja.
5) Bahasa Arab amat susah untuk dipelajari berbanding pendidikan yang majoriti subjek-subjeknya dalam Bahasa Inggeris dan minoritinya dalam Bahasa Arab.

Ada betulnya juga apa yang dikatakan itu, namun tak semuanya betul. Bila saya bertanya kembali adakah anda pasti anda akan mudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti? Adakah anda pasti anda akan mendapat gaji yang lumayan berbanding pelajar Bahasa Arab? Adakah anda pasti jurusan Bahasa Arab hanya terhad di universiti sahaja? Mereka tersenyap dengan lontaran soalan-soalan tersebut.

Bagi mereka yang cintakan bahasa yang agung ini tidak sesekali meninggalkannya di belakang, bahkan akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperolehi ilmu kerana Allah. Mantapkan diri dengan ilmu Bahasa Arab, perkasakan diri dengan komunikasi dalam Bahasa Arab, dapatkan natijah yang baik dalam peperiksaaan, insya Allah pekerjaan dan perkara-perkara lain akan dipermudahkan.

Pengalaman saya dalam mempelajari Bahasa Arab bersama kawan-kawan yang lain, walaupun bahasa tersebut diakui susah, namun dengan adanya semangat yang berkobar-kobar untuk menguasai sesuatu, kesusahan itu dilimpahi kesenangan. Kemanisan amat dirasai setelah dianugerahi Tuhan jalan-jalan mudah untuk menerokainya. Kemanisan juga akan dirasai oleh mereka yang mempunyai cinta yang membara. Kerana cinta setia pasti ada, kerana cinta pengorbanan tetap bersama, kerana cinta sayang kan datang jua.

Kepada mereka yang setia dengan pengajian Bahasa Arab, dulu, kini dan selamanya, saya ucapkan syabas! Banggalah menjadi pejuang Bahasa Arab. Jangan lepaskan peluang anda untuk menguasai Bahasa Arab yang mulia ini dengan merujuk pakar-pakar di bumi anda itu. Sebelum noktah terakhir anda berada di situ, kejarlah semaksima mungkin ilmu yang hebat ini.

Bukankah al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab yang mampu mengalahkan ahli-ahli sastera Arab?! Kajilah al-Quran dari sudut bahasa dan uslub-uslubnya yang mungkin menjadikan anda setia bersamanya. Bukankah Bahasa Arab itu bahasa Nabi kita saw? Tak berbanggakah anda bila dapat berkomunikasi dalam bahasa Nabi kita? Bukankah Bahasa Arab (yang mereka tinggalkan itu) bahasa yang tepu dengan kalimah-kalimah yang tinggi? Bukankah ilmu-ilmu dalam al-Quran itu memerlukan kemantapan dalam Bahasa Arab untuk menerokainya?

Fikirlah sedalam-dalamnya! Genggamlah ilmu Bahasa Arab ini dengan sekuat-kuatnya. Moga-moga anda memperolehi rahmat Allah dalam perjuangan ini.


28 Oktober 2008




Sunday, October 26, 2008

Linangan Airmata Buatnya


Linangan airmataku

Bila mengingati insan sepertinya

Insan yang tak pernah ku bersua muka

Insan yang tak pernah ku gelak tawa

Namun tetap sentiasa di jiwa

untuk
selama-lamanya

Linangan airmata buatnya

Bukan kerana sedih

Bukan kerana duka

Bukan kerana hiba

Bahkan kerana cinta

Cinta yang membara

pada insan yang bergelar hamba

yang sentiasa melutut pada yang Maha Esa


Ku cintakannya bukan kerana batang tubuhnya
Bukan kerana pangkatnya
Bukan kerana ketampanannya
Bukan kerana hartanya
Namun...demi Allah
akhlaknya yang terpuji lagi tinggi
menyentuh hati tersemat di sanubari

Ku kenalinya insan pejuang
Belum pun cecah usia belasan
Insan sederhana dihiasi senyuman
Lembut tetapi tegas
dalam menegakkan kalimah Tuhan
menyambung perjuangan Nabi akhir zaman

Wasiat dan nasihatnya tetap kan ku pahat
Tazkirah serta khutbah pasti kan ku ingat
Sebagai modal untukku bergiat
mengharungi dunia yang penuh maksiat
cabaran, dugaan dan cubaan
yang tak henti-henti datang melayang

Oh Tuhan...Ku harapkan padaMu
akan ada insan di masa kan datang
Yang mampu merempuh dunia fana
Yang sanggup merentasi lautan bergelora
Yang berupaya merealisasi Islam hendaknya
Yang mungkin menjadikan aku
berlinangan airmata untuk musim kedua

Oh Tuhan...Doaku padamu
Kurniakan aku hidup yang berkat
Hidup yang penuh dengan rahmat
Moga-moga kan ku dapat
bersatu, berjiran bersamanya di akhirat


Siti Hasliza Mat Yusoff
26 Oktober 2008




Cukuplah...


26 Oktober 2008



Saturday, October 25, 2008