Seorang gadis berkongsi, dia meninggalkan/ditinggalkan teman lelakinya kerana ANTARA sebabnya, lelaki itu masih tidak mempunyai perkerjaan tetap walaupun mereka telah merancang untuk berkahwin. Tempoh setahun lebih baginya sudah cukup lama untuk memberi peluang lelaki itu berusaha membina kerjaya. Jadi mereka putus di samping cabaran yang lain menghalang meneruskan ke alam pernikahan.
Kini gadis itu telah menemui pengganti, dan diuji pula dengan cabaran lain dengan calon suami yang baru.
Saya katakan kepadanya, '..itulah realiti. Dia ada kelebihan kat sini, kurang kat tempat lain.. Ukhti sekarang dah jumpa lelaki yang ada kerjaya dan sangat komited dengan kerjanya..tapi masalah lain pun ada hingga mencabar untuk bernikah.. berapa lama nak tunggu? Setahun? dua tahun?.."'
Dunia ini bukanlah semudah yang kita mahu. Saya menceritakan bahawa di luar sana, ada sebahagian wanita yang suami berkerja tetap namun lain pula ujian kesakitan yang dilalui.
Contohnya- suami bekerja, tetapi sibuk sangat selalu tak ada masa bersama isteri. Isteri sedih memendam rasa. Suami berkerja tapi isteri yang banyak keluar duit untuk perbelanjaan rumahtangga. Isteri kecewa tak bahagia. Suami kerja ok, tak ada masalah kewangan tetapi adalah masalah orang ketiga, masalah berkonflik dengan mertua ipar duai dan sebagainya..,isteri bermuram durja juga. Suami tak romantik pun jadi masalah besar untuk sebahagian isteri.., walaupun kerjaya suami bagus dipandang berwibawa.
Kita akan sentiasa diuji selagi hidup, walau siapapun calon suami atau suami yang berada di sisi.
Tak, saya tak bermaksud suruh memilih calon suami yang tidak berkerja, tetapi saya mengingatkan dirinya bahawa pasangan kita akan sentiada ada kekurangan di sebalik kebaikan. (Sepertimana kita isteri punya banyak kekurangan yang suami bersabar)
Saya berpesan bahawa suami punya kerjaya tetap, bukan jaminan untuk rumahtangga tak goyah kerana kita isteri akan nampak dan tak puas hati isu lain pula..
Sebelum 'lari' dan meninggalkan hubungan dan berharap bertemu orang yang lebih baik, apakah kita telah menjadi wanita yang membantu dan mendorong suami untuk berubah dan apakah kita sendiri telah mengubah diri kita untuk menjadi kuat saat dihadapkan dengan insan yang menguji perasaan..?
Kebahagiaan kita sebagai wanita, sungguh adalah pada kekuatan hati dan perilaku yang berlandas ilmu. Yang dengannya kita mampu membantu diri sendiri dan suami untuk menjadi lebih baik dan lebih baik di sisi Tuhan.
Berusahalah semampu nya memperbaiki keadaan, menjauhi perpisahan hingga ketetapan Tuhan mengatasi perancangan insan.