Monday, December 26, 2011

Poligami: Tips Penting Untuk Suami


:: Moga keimanan dan kesabaran menjadi perhiasan di hati-hati para suami dan para isteri yang berada di alam perkahwinan, samaada poligami atau monogami ::


Bismillah, saya kongsikan di bawah sedikit dari buku "202 Pelajaran Berkenaan Poligami" tulisan Hafiz Firdaus Abdullah. Moga bermanfaat untuk sahabat-sahabat yang bergelar suami dan isteri.

                                                   *                              *                          *

Poligami adalah satu perkara yang besar. Ia melibatkan amanah menjaga maruah ahli-ahli keluarga, tanggungjawab mengurusi mereka, ilmu memimpin mereka dan keadilan memenuhi hak-hak mereka. 

Poligami memerlukan keberanian, kekuatan diri, kesabaran dan kematangan seorang suami. Justeru usah berpoligami jika ia sekadar berseronok-seronok, mengikut jejak langkah kawan, menerima pujian hebat daripada rakan-rakan atau kerana jatuh hati kepada seseorang wanita.

Poligami bukanlah sesuatu yang mudah. Jika anda yakin mampu menceburinya, maka janganlah menceburinya secara berseorangan.

Sebaliknya mintalah pertolongan.

Pertama sekali, mintalah pertolongan Allah Subhanahu waTa’ala dengan berdoa kepada-Nya, agar diberikan pimpinan, kemudahan dan keberkatan. Baik monogami atau poligami, jangan kita lupa berdoa kepada Allah demi kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga kita.

Seterusnya mintalah pertolongan daripada orang-orang yang berilmu, matang lagi dipercayai keperibadiannya, agar dapat ditimba nasihat dan teguran. Berilah prioriti kepada orang-orang yang telah berpoligami kerana mereka mampu menolong anda berdasarkan pengalaman sendiri.

Justeru usah berpoligami jika ia sekadar berseronok-seronok, mengikut jejak langkah kawan, menerima pujian hebat daripada rakan-rakan atau kerana jatuh hati kepada seseorang wanita.

Kehidupan di alam perkahwinan memerlukan ilmu yang luas. Apatah lagi di alam poligami, ilmu yang diperlukan lebih luas dan mendalam. Oleh itu jangan melangkah ke alam poligami sebelum anda mendapat ilmu yang secukupnya, yang dapat memberikan anda keyakinan dan ketenangan untuk mengorak langkah.

Satu hakikat yang perlu diperhatikan, tidak banyak sumber ilmu yang sahih lagi bermanfaat tentang poligami di Malaysia. Amat sedikit buku atau kuliah agama yang dapat dijadikan rujukan. Jika ada sekalipun, kebanyakannya disampaikan oleh orang yang tidak menceburi alam poligami. Maka mereka hanya berbicara secara teori tanpa pengalaman praktikal.

Lebih memburukkan suasana, wujud pula penulis atau penceramah yang menyampaikan pandangan-pandangan yang salah tentang poligami, atau anti-poligami. Justeru anda perlu berusaha lebih keras bagi mendapatkan ilmu poligami serta berhati-hati terhadap sumber yang menyelisihinya.

Bukan merupakan syarat agama untuk meminta izin atau memaklumkan isteri anda rancangan untuk berpoligami. Jika dirujuk kepada sirah Rasulullah shallallahu‘alaihi wasallam, baginda bernikah lagi tanpa memberitahu isteri-isteri yang sedia ada.

Pun begitu, memandangkan poligami adalah sesuatu yang janggal pada masa kini, dianjurkan untuk memaklumkan isteri anda rancangan untuk berpoligami. Tindakan ini dapat mengurangkan kejutan emosi ke
atas isteri dan membolehkan beliau menyiapkan diri untuk dimadu. Bahkan mungkin saja beliau mempersetujui rancangan ini dan membantu anda sekadar yang mampu.


Islam tidak memberi sebab khusus untuk seorang suami berpoligami. Ayat ketiga surah al-Nisa’ menganjurkan poligami tanpa menyebut sebabnya sementara Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga berpoligami tanpa menerangkan sebab-sebabnya. Pada waktu yang sama, al-Qur’an dan al-Sunnah memang menganjurkan perkahwinan dan anjuran ini meliputi semua bentuk perkahwinan, baik monogami atau poligami.

Oleh itu anda sebagai suami boleh melaksanakan hak anda untuk berpoligami tanpa perlu memberikan apa-apa sebab kepada isteri bagi menjustifikasikannya. Ini kerana apa jua sebab yang anda berikan, ia akan ditolak atau dipandang remeh oleh isteri anda.

Sebaliknya apa yang patut anda lakukan ialah berjanji kepada isteri bahawa anda akan tetap menyayanginya, menjaganya dan memberikan nafkah secara adil kepadanya. Sama ada janji ini diterima oleh
isteri atau tidak, ia terpulang kepada beliau. Apa yang penting ialah anda tetap melaksanakan peranan anda
sebaik mungkin sebagai suami apabila berpoligami kelak.






Saturday, December 24, 2011

Memilih jalan kehidupan...


:: Memilih jalan yang baik, mudah-mudahan menyampaikan kita ke tempat yang terbaik  ::


Jalan menuju ke kawasan perumahan saya semakin hari semakin menguji perasaan dan mendera kenderaan. Pada teman-teman yang mengandung, tidak digalakkan melalui jalan ini (Jalan Haji Abdul Manan, Meru - selepas trafic light kedua). Namun di sebalik jalan rosak yang hanya lebih kurang satu kilometer ini, pastinya terlalu banyak kesyukuran atas laluan dan jalan lain yang ALLAH pelihara keadaannya.

Hidup di Malaysia sangat besar nikmatnya. Nikmat jalan yang cantik dan baik, sangat jauh berbeza dengan negara Kemboja yang pernah dilawati.  Tidak ada highway yang luas seperti highway PLUS kita, jalan-jalan biasa pula begitu berdebu, angin menerbangkan pepasir kasar yang pedih hinggap di mata. Saya takkan lupakan pengalaman pedih mata menunggang motosikal di bandar Phnom Penh menuju ke kampung-kampung lebih kurang sepuluh km di luar bandar itu.

Bila tidak ada pilihan, maka jalan yang ada itulah ditempuh saban waktu, setiap hari. Menempuhnya dengan kesabaran dan berhati-hati. Bersabar juga berdoa moga jalan baru cepat dibina. Berhati-hati kerana tidak sedikit kenderaan yang ‘ter’ accident atau pecah tayar di laluan itu.

Memandu di jalan lekuk-lekak ini membawa saya merenung jalan kehidupan yang dilalui saat ini. Kita adalah hambaNYA. Bernama manusia, kita sering dihadapkan dua jalan, dua pilihan. Jalan kebaikan dan jalan kejahatan. Maka jiwa perlu memilih, jalan ketaqwaan atau jalan kemaksiatan.

Oh tuhan, bantulah kami memilih jalan yang ENGKAU redhai. Sungguh tidak mudah. Jalan menujuMU kelihatannya sukar dan payah. Perlu perjuangan iman yang tak sudah. Perlu penggalian ilmu buat peneman dalam kesukaran.

Sedangkan jalan kesesatan itu begitu menarik mata dan sanubari kami. Godaan dan ujian melambai-lambai memanggil kami untuk termasuk dalam golongan syaitan……………….. mahu merosakkan roh yang dibawa jasad kami.Syahadah kami hanya kalimah kosong tanpa pengertian, tidak sebati dibawa dalam urusan kehidupan.

Hati telah menangis. Tidak mudah menjadi wanita di atas jalan kemuliaan. Pemikiran kami penuh dengan kisah cinta romantis lelaki perempuan, bukan kisah wanita yang memperjuangkan ketuhanan. Perasaan kami sering menjadi tuhan, tidak lagi kami benar bertuhankan Allah Ar-Rahman. Segalanya kami lakukan kerana menurut perasaan.

Jasad kami, penampilan kami dimanipulasikan manusia-manusia yang bertuhan nafsu. Menjadi mangsa kehambaan fesyen. Menjadi alat murahan atas nama pengiklanan. Menjadi hiasan yang ditelanjangkan - dan kami senang memanggilnya kebebasan. Jiwa tulus seorang perempuan digilap arus moden untuk hanya menarik perhatian lelaki di jalanan. Tidak membesarkan iman dan ketaqwaan, namun sering berbangga dengan perhiasan, anak-anak dan kekayaan…..

Wahai diri ini…jua teman-teman yang disayang, hidup hanya sekali. Jadikan ia beerti dengan memilih jalan kebenaran. Kebenaran itu hanyalah milik tuhan. Maka teruslah kita mengenali tuhan. Teruslah mendekati dan mencintai ALLAH. Agar jalan yang kita pilih dan susuri ini membawa kita selamat ke dalam redha tuhan……

Wahai tuhan, tunjukilah kami cahaya kudus buat menerangi hati yang kesepian dan kegelapan. Harus bagaimanakan diri ini menjadi perempuan mulia di sisiMU. Harus bagaimanakah diri ini mencapai tujuan  hidup yang ENGKAU redhai... 

Jalan yang rosak menuju rumah saya, hanya akan merosakkan kenderaan. Namun jalan rosak kehidupan yang terus kita ikuti, bakal merosakkan kehidupan kita di dunia dan di akhirat sana. Ayuh kita terus saling mengingatkan...




Wednesday, December 21, 2011

Bersediakah isteri dididik...?




Saya membaca beberapa komen di forum online tentang kisah rumhatangga dan isu-isu yang berkaitan. 

Antara yang diutarakan ialah isu peranan suami mendidik isteri dan anak-anak, betapa segelintir [atau sebahagian besar..?] lelaki sebagai pemimpin keluarga kelihatan jarang sekali mendidik ahli keluarga dengan nilai-nilai agama dan aspek lainnya.

Saya pastinya tidak bersetuju dengan pandangan yang hanya menyalahkan pihak suami, sedangkan berjaya atau gagalnya budaya tarbiyyah [pendidikan] dalam rumahtangga itu bergantung pada kedua-dua suami dan isteri. Kaum isteri menyalahkan suami yang tak mendidik, namun adakah kita para isteri sebenarnya berkeperibadian seorang insan yang bersedia dididik dan dibentuk..?

Saya banyak merenung hal ini ke dalam diri saya sendiri yang bertatih tidak sampai setahun bergelar isteri. Saya bersyukur memiliki suami yang asertif, banyak mendidik, serta sering memerhati ruang-ruang perbaikan saya sebagai seorang isteri. Di masa dan kesempatan yang terbatas, beliau sebagai suami berusaha membina keperibadian saya sebagai isteri yang disenanginya dengan perkataan dan teladan.

Namun di manakah keperibadian saya dan kita para isteri sebagai orang yang didik..?

Bila ditegur merajuk lama-lama
Bila dikritik tidak lapang hati menerima
Bila dimarah tetap kesalahan tak diubah
Bila diingatkan bersifat defensif menutup kesalahan

Saya rasa sinonim sekali dengan isteri yang sangat suka mengambil pendekatan merajuk dalam konflik-konflik yang dilalui. Tahukah kita para isteri bahawa para suami tidak suka dengan isteri yang asyik merajuk dan tahukah kita bahawa merajuk adalah cara efektif untuk memanjangkan perbalahan suami isteri. Bila merajuk beerti  kita tidak mahu berbaik-baik dan menamatkan konflik, kita hanya mahu memenangkan perasaan dan memuaskan nafsu sendiri yang cenderung hanyut dengan emosi.

“Abang, terima kasih banyak-banyak mendidik nurul secara intensif..” Ujar saya di ruang chatting YM di satu hari sewaktu suami saya berada nun jauh di seberang lautan. Saya spontan berkata demikian sebaik habis membaca nukilan-nukilan online tentang isu suami yang tidak mendidik isteri dan anak-anak. Rasa bersyukur hinggap di hati kerana punya suami yang sering berusaha mendidik.

“Abang minta maaf, dalam mendidik kadang-kadang abang terlebih tegas dan garang.” Balas suami saya.

Suami saya sedar kadang-kadang terlebih garang dan tegas pada seorang isteri yang hati rapuh seperti saya.

Saya tak kisah dengan ketegasan itu. Kerana saya sangat perlu diperingatkan. Jangan sampai peringatan-peringatan semakin kurang sampai kepada hati kita lantaran kita merasa telah cukup. Cukup ilmu. Cukup dewasa. Cukup baik.

Jangan sesekali memandang remeh pada setiap teguran suami. Sesuatu yang kita nampak kecil, mungkin sebenarnya besar di mata suami.

Suami menegur tentang aurat dan cara berpenampilan yang tidak kena.
Suami menegur tentang aktiviti keluar masuk rumah dan aktiviti luar.
Suami menegur tentang bau badan, kebersihan diri, penjagaan badan, tentang makan minum.
Suami menegur tentang pengurusan rumahtangga dan anak-anak.
Suami menegur cara berbelanja.
Dan lain-lain.

Jika kita tidak mengambil berat tegurannya, kita seolah tak berusaha memahami dan menghormati perasaannya. Malah mungkin kita sedang tidak mentaatinya sedangkan ia kewajipan. Namun masihkah kita memandang berat tentang wajibnya ketaatan kepada suami, atau kita rasa ia hanya pilihan? Atau kita rasa, layakkah suami kita diberi ketaatan?

Tidak, ketaatan adalah wajib selagi bukan yang melanggar perintah ALLAH.

Jangan kita membuat kesimpulan sendiri, teruskan ilmu diperdalamkan. Di sebalik kelemahan dan kekurangan suami, hak sebagai pemimpin perlu ditaati. Namun banyaknya antara suami yang memilih mengunci mulut dari menegur lantaran kita sebagai isteri menyambut teguran itu dengan silent treatment dan kedinginan perasaan yang berpanjangan. Malangnya kita kehilangan penasihat nombor satu jika suami berhenti menasihati dan menegur.

Kadang ada rasa tak suka kan diperingatkan dengan ketaatan kepada suami… namun moga peringatan ini membetulkan orientasi kehidupan yang sementara ini.

Isteri wajib mentaati suami kerana hak qawwamah (kepimpinan) yang telah diberi oleh Allah kepada suami seperti yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 34. Tidak ada maknanya hak qawwamah ini jika tidak disertai dengan hak ketaatan. 

Terdapat beberapa cabang perkara yang perlu diberi  ketaatan oleh isteri; antaranya ketaatan dalam memenuhi hajat suami, ketaatan dalam urusan taharah, ketaatan dalam urusan kebersihan tubuh badan dan perhiasan, ketaatan untuk tetap di rumah, ketaatan untuk memelihara harta suami dan lain-lain lagi dalam semua hal.

(Ilidalila.wordpress.com)

Saya juga ada masa sedih dan rasa nak merajuk. Namun dalam sedih dan rajuk saya dengan didikan dan teguran suami kadang-kadang, saya berusaha tidak memanjang-manjangkan isu, kritikan, teguran atau ketegasan suami. Saya berusaha mempelajari dan mempraktik ilmu dan teguran yang diberi. Saya berusaha berubah di mana yang boleh. 

Menjadi pendidik sebagai suami sungguh tidak mudah. Perlu kemahiran menyampaikan. Perlu bijak membetulkan. Perlu ada kesabaran tahap luar biasa dengan saya yang kadangkala bersikap sambil lewa dan tidak cerdas mengambil pelajaran.

Menjadi orang yang dididik juga tidak mudah. Perlu hati yang luas dan lapang supaya bersedia menerima apa jua teguran, peringatan, pembelajaran dalam ketenangan suami atau waktu tekanannya hingga ungkapannya mungkin keras menyinggung perasaan.

Untuk apa suami mendidik…?  

Suami mendidik kerana kita para isteri adalah amanah dan tanggungjawabnya. Suami mendidik kerana mahu kita menjadi isteri yang makin dicintainya, jua dicintai ALLAH dan RAsulNYA.

Untuk apa isteri dididik..? 

Isteri dididik kerana isteri adalah aset rumahtangga yang akan mendidik seluruh zuriat yang dikurnia Tuhan. Isteri dididik untuk terus memperbaiki diri sebagai insan mulia, menjadi sumber kebahagian dan ketenangan. Isteri dididik untuk menjadi sosok peribadi yang membantu suami dalam keimanan dan amal soleh. Menjadi teman yang tangkas memudahkan urusan pasangan. Menjadi orang yang berilmu, berkemahiran dan penuh keimanan hingga rumahtangga menjadi medan pentarbiyyah an yang melahirkan generasi  rabbani menggalas perjuangan mentauhidkan tuhan.. Rumahtangga menjadi syurga dunia yang harmoni dengan isteri yang terdidik dan mendidik.





 *artikel lama 

Friday, December 16, 2011

Diari Suri Muslimah - Raya Deepavali




Bismillah, saya kongsikan sedikit catatan harian yang dicatit beberapa bulan lalu :D moga bermanfaat.

Bangun pagi ini, saya menyediakan masa untuk membaca beberapa muka al quran dan tafsirnya selepas solat subuh. Saya sedang berusaha untuk istiqamah dengan Al quran setiap hari... Jom kawan kawan, kita sama-sama merenung ayat Allah kerana inilah sumber utama petunjuk, motivasi, kekuatan,dan kebahagiaan dalam menempuh perjalanan hidup yang beraneka ujian. ( dan tidak boleh tidak, andai kita tidak intim dengan Al Quran, hampir pasti tidak akan merasa intim dalam persahabatan, persaudaraan dan pernikahan.)

Ada baca tak buku ukhti Fatimah Syarha bertajuk Pemilik Cintaku Selepas Allah & Rasul...? Beliau berkongsi tentang bagaimana untuk istiqamah membaca Al Quran (dan seterusnya berusaha memahami dan mempraktikkan). Jika anda teruja dengan keindahan cinta halal dalam buku itu, maka sama-samalah kita mempraktikkan nasihat yang diberi, insyaAllah mampu menghadirkan keindahan cinta yang mendalam antara suami isteri. Jika kita tidak merasa manis dalam hubungan pernikahan, sebelum salahkan sesiapa, renung-renunglah apakah sudah terasa manis hubungan kita dengan tuhan...

Setelah itu saya menulis satu entri blog.. saya suka menulis di pagi hari. Tapi kalau hari yang suami ada di rumah, waktu ini saya sedang bersarapan dengan suami. Dan tak tulis blog melainkan bila ada masa lapang.

Pukul 9 pagi saya bertolak ke pasar besar Klang di Jalan Meru. Saya plan keluar sekejap sahaja membeli ikan dan buah-buahan untuk seminggu, tapi saya terperangkap traffic jam yang teruk di depan pasar...ohh saya lupa rabu esok ada perayaan jiran kita yang berbangsa India. Saya mahu membeli daging lembu dan ikan, alhamdulillah tak ramai di bahagian itu. Tapi gerai-gerai yang menjual daging kambing dan buah-buahan ramai sekali terutamanya teman-teman makcik pakcik yang berbangsa India.

Saya menyelit nyelit mencari jalan pintas untuk keluar dari bangunan pasar, mahu pulang awal tapi kereta terlalu banyak. Abdullah tinggal di rumah bersama Tok Nani. Maka saya pun sms sahabat saya yang mendalami bidang childbirth, saya minta izin terlewat, sedangkan berjanji untuk sampai di rumahnya pada pukul 10.30 pagi.

Alhamdulillah pukul 11.30 saya sampai di rumahnya, niat saya adalah untuk menziarahnya di rumah sewa baru dan membawa Abdullah bermain dengan dua orang anaknya iaitu Musa dan Zainab. Syukur rumahnya luas sekali untuk anak anak itu. Seronok bergaul sesama mereka walau kedengaran tangisan berselang seli juga. Saya dan Najwa bertukar cerita dan kisah kehidupan, hmm bila sembang ilmiah dengan teman teman perempuan, masa terasa sangat pantas berlalu.

Saya nak balik rumah, abdullah pun dah tidur tapi saya menukar haluan ke The Store Shah Alam.. Saya nak beli baju..boleh tak..? Saya rasa baju saya pakai di ofis (di rumah) dah agak lusuh sebahagiaanya. Mestilah kita suka nampak kemas dan menarik kan depan suami? Saya pun membeli empat helai t shirt/blouse..yang harga sederhana saja, lagipun sedang sale deepavali. Oopss tapi untuk jadi isteri yang menarik bukan dengan pakaian saja, ada gabungan kebersihan, kecergasan, kekemasan, kematangan, keimanan, masakan yang dimasak dengan kesungguhan dan kasih sayang, tapi isteri yang paling menarik adalah isteri yang selalu mempamer keceriaan, kesabaran dan kesyukuran.. Betul tak suami..?

Hormon perempuan yang berselera shopping merembes dengan banyaknya waktu nampak sale. Sabar ya hati.. Lihatlah mereka yang bersabar kerana belum punya rezeki untuk membeli dan memiliki...

Pulang dari The Store, saya solat asar dan selepas itu mengajak nana (ibu saudara saya yang berusia 80an) keluar berjalan-jalan di sekitar Meru. Kasihan pada orang-orang tua, kehidupan mereka agak terbatas, jadi kita anak- anak yang muda, carilah masa untuk membawa mereka berhubung dan melihat dunia luar. Itulah yang saya mampu setakat ni.

Malamnya...saya kepenatan, jadi hanya beristirehat di rumah dengan Abdullah. Sambil membaca bahan bacaan yang ringan sebelum tidur...

Demikianlah kisah sehari seorang suri muslimah yang biasa-biasa. Menjaga anak kecil - warga belian - dan seorang ibu saudara - warga emas- yang sudah uzur namun kuat pun ya juga :D

Bila ada kesempatan, saya akan membaca dan menjawab emel dan komen-komen di blog. Buat adik-adik dan kakak kakak serta para teman pembaca yang dihargai, saya hargai perkongsian dan pertanyaan anda. Tapi saya memilih tidak menjawab untuk cerita / persoalan yang sukar... Dna kadang tak punya kelapangan hati untuk menulis.Maafkan saya ya. Saya perlu tambah ilmu dan pengalaman. Saya perlu selalu hidupakn hati dengan keimanan...

Published with Blogger-droid v1.7.4







Monday, December 12, 2011

Membantu diri & suami berakhlak mulia...




Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH jika suami kalian berakhlak baik, bertanggungjawab, berlemah lembut dan mempunyai sikap yang membuat kalian sayang kepadanya. Mudah-mudahan kalian mensyukuri kebaikannya, dan seterusnya mampu menerima hasratnya untuk berpoligami jika disuarakan...what..???!! :P

Namun bagaimana untuk membenarkan suami berkahwin lagi jika suami tak berakhlak mulia? Alasannya, kita tak mahu suami memberi mudarat pula kepada isteri yang lain. Kita tak mahu suami masuk neraka kerana tak layak jadi pemimpin kepada dua keluarga. Ini antara persoalan yang banyak dikongsi isteri dalam menghadapi dilema poligami. Sebelum kita mendakwa suami tidak berakhlak mulia - maka dia tak layak berpoligami - pastikan kita dapat membuat dakwaan bahawa kita adalah isteri berakhlak mulia. 

Jika kita tak mampu merasa diri berakhlak mulia dengan ALLAH dan sesama manusia, maka ketepikan isu suami tak berakhlak mulia, sama-sama kita terus fokus membangunkan akhlak mulia dalam diri dan keluarga, samaada berpoligami atau monogami.

Persoalan pertama, bagaimana kita isteri sedia ada ini mampu terus hidup dengan suami yang dikatakan ‘tidak berakhlak mulia’ itu? Maka kongsikan tips bertahan dalam rumahtangga itu dengan bakal isteri seterusnya.

Persoalan kedua, apa yang kita telah lakukan sebagai isteri untuk membantu suami kita meninggalkan akhlak keji dan menggilap akhlak mulia? Maka kongsikan usaha mengubah suami itu dengan bakal isteri kedua.

Persoalan seterusnya, kita sebagai isteri ‘yang berakhlak mulia’, sudikah untuk terus mengaurakan akhlak mulia kita kepada suami? Maka akhlak mulia kita itu, kita sebarkan juga kepada bakal isteri kedua. Moga bakal isteri itu bermotivasi untuk terus bersama suami dan isteri sedia ada menjadi hamba ALLAH yang lebih baik.

Maka ayuh kita sama bermuhasabah,  telah berapa banyak usaha kita sebagai ‘isteri berakhlak mulia’ untuk mendakwah dan mendoakan agar suami dikurniakan akhlak yang baik sebagai pemimpin? Berapa banyak kita telah memberi contoh teladan yang baik sebagai isteri yang penyayang dan cemerlang ?

Selama bertahun-tahun kita berkahwin, berapa banyak telah kita menggalakkan, berterima kasih, memuji, memberi sokongan, memberi respon positif atas sekecil-kecil kebaikan suami? Pesan juga pada bakal isteri  seterusnya agar menjadi isteri yang memotivasi dan menghargai seperti kita.

Adakah sujud yang panjang dan tahajjud di hening malam telah menjadi wasilah ampuh selama bertahun-tahun ini untuk kita menempa kesabaran menghadapi kelemahan suami? Adakah ALLAH telah mendengar rayuan dan tangisan kita memohon hidayah dan panduan agar suami menunaikan kewajipan?

Atau kita hanya ke sana ke mari  bercerita keburukan suami kepada orang, memohon simpati agar orang lain juga menafikan hasrat suami untuk berpoligami. Atau kita banyak menyebut keburukan suami kepada keluarga sendiri dan keluarga mertua agar akhirnya suami terhalang untuk bernikah lagi. Tanpa menyedari bahawa kita adalah isteri yang sangat jarang berdoa pada tuhan, sangat lemah sandaran dan pergantungan kepada tuhan. Sehingga poligami merentap jantung hati kita yang paling dalam. Yes, tak kira isteri ke berapa sekalipun, ujian perkahwinan boleh merentap ruang hati yang paling dalam.

Wahai isteri berakhlak mulia, nah jika benar telah kita lakukan segala usaha dan penyerahan jiwa pada tuhan dalam membawa perubahan kepada suami,  kita masih tak mampu – ayuh kita mengajak bakal isteri kedua atau ketiga atau keempat itu sama-sama membantu membangun  keperibadian mulia seorang suami.

Dengan hadirnya bukan seorang isteri malah dua atau tiga isteri berpekerti mulia, mudah-mudahan isteri menjadi teman rapat yang penyayang yang selalu menjadi kekuatan dan peringatan untuk suami memperbaiki hubungannya dengan ALLAH dan sesama manusia.

Moga kitalah isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat yang berakhlak mulia itu.

Ini adalah peringatan penting untuk saya dan kita agar merenung dan memuliakan akhlak diri sebelum hanya berharap memiliki suami yang berakhlak mulia. Mudah-mudahan setelah bertahun-tahun kita mencari ilmu dan bermujahadah mencantikkan akhlak, ALLAH memperkenankan hadirnya seorang suami yang melayan kita dengan baik kerana keindahan pekerti yang kita miliki.

Di luar sana ada sebahagian isteri yang punya suami sangat baik meskipun jauh dari sempurna, maka suami mereka itulah yang sebenarnya saya seru untuk mencantikkan poligami.  Mereka para isteri itu telah kenal dan fahami kelemahan dan kelebihan suami, maka itu lebih memudahkan membantu suami berkahwin lagi. Dan keperibadian isteri yang baik itu juga insyaALLAH akan mencantikkan poligami yang terpalit banyak  kelemahan.

Namun andai suami kita tak sebaik macam 'suami mereka', tak mengapa...teruskan membantu suami berpoligami, jangan berhenti berusaha dan berdoa. Sedangkan mereka pula fikir, 'suami mereka' tak sebaik 'suami kita'... Macam mana tu :D

Hurm...saya asyik nasihatkan para isteri je? Siapa nak nasihat para suami...? :P

Sebenarnya suami tak perlu dinasihat banyak, isteri yang baik secara senyap memberi pengaruh besar untuk suami berubah. Mungkin hanya perlahan, dan bertahap-tahap. Hargailah. Bersabarlah.




Sunday, December 11, 2011

Sehelai daun itu...





Sedang ku berjalan menuju ke makmal computer, sehelai daun itu telah jatuh melayang-layang ke atas bahuku...

Terus terlintas dalam fikiranku bahawa walaupun cuma sehelai daun, pastinya ALLAH swt mengetahui perihal daun yang usang berwarna coklat itu. Hanya dengan kuasa ALLAH ditakdirkan 'dia' gugur dari rantingnya menandakan telah tamat tempohnya hidup di bumi ALLAH ini. ALLAH itu MAHA DEKAT dan MAHA MENGETAHUI.

Ku ambil, ku belek dan ku renung sehelai daun yang masih jelas urat-urat jejala tapi ada satu lubang pada daun yang telah koyak mungkin dimakan ulat... daun yang dulunya segar menghijau hijau kini berwarna kusam dan tidak lagi mendamaikan mata memandang.

Daun itu mengingatkan diriku bahawa masa yang beredar akan menukar yang muda kepada tua..yang cantik kepada hodoh...yang gagah kepada lemah..dan yang paling pasti...yang hidup kepada mati.

Sesungguhnya daun itu memberi penuh makna padaku. Dengan statusnya 'dilahirkan' ke bumi sebagai daun, tugas menghasilkan oksigen seperti yang dipertanggungjawabkan telah dilaksanakan sebaik mungkin. Tak mungkin sehelai daun itu mendurhakai perintah ALLAH..., mogok tidak mahu menjalankan tugas fotosintesis.

Bayangkan apa yang terjadi jika ia memberontak tidak mahu menjalankan suruhan ALLAH untuk membina molekul-molekul udara yang segar..? Akan huru-hara dunia dan ramai manusia yang mati lantaran tiada kecukupan udara untuk bernafas.

Daun itu bukti nyata di hadapanku bahawa seluruh tumbuh-tumbuhan dan alam sejagat ini sentiasa tunduk dan akur pada sunnatullah dan perintah ALLAH... dan 'mati'nya daun, ranting, dahan, serta kawan-kawan sejenisnya yang lain tak akan dibangkitkan lagi untuk melalui hari pembalasan... Mereka gugur, jatuh ke tanah, reput lalu menyebatikan diri semula dengan tanah dan mikrob yang lain.

Namun, kitaran itu tidak sama sekali berlaku pada kita yang bergelar manusia. Kita hidup, mati dan pasti dibangkitkan semula, untuk ALLAH menyoal apakah yang telah kita lakukan dengan jawatan kita sebagai:

1) hambaNYA

2) khalifah NYA

???

Renung ke dalam diri...

Apakah yang telah ku lakukan dengan 2 jawatan penting itu...?

Sehelai daun itu telah kembali pada ALLAH...

Kita akan turut kembali padaNya...sebagai manusia.

Bersediakah kita....?








Coretan Hati,
Nurul Adni Adnan
Ketika Bergelar Pelajar Fakulti Pendidikan UiTM
6 tahun yang lalu.........






Monday, December 5, 2011

Poligami yang benar berhikmah




Apabila membicarakan tentang isu poligami, sebahagian dari antara kita bersetuju bahawa poligami yang terkandung di dalam Al Quran mempunyai pelbagai hikmah kebaikan yang tersembunyi. Namun pada pandangan saya, setelah melalui proses pernikahan poligami dan melalui alam rumahtangga, sesungguhnya hikmah poligami itu benar-benar murni namun cara kita mengaturnya di dalam masyarakat hari ini agak tidak berhikmah.

Hikmah poligami yang banyak hanya akan dirasai apabila suami dan isteri-isteri telah berada di dalam keluarga poligami. Akan tetapi sebahagian hikmah ini telah dijadikan syarat untuk berpoligami, maka itu menyusahkan dan mampu memberi kesan buruk kepada keluarga.

Undang-undang mahkamah kita dalam hal poligami mempunyai objektif yang baik untuk menjaga maslahat isteri-isteri, namun bagi saya adalah tidak berhikmah bilamana seorang suami perlu mengungkap kekurangan isteri di dalam borang/mahkamah dalam melalui prosedur berpoligami.

Adakah perlu membuat pengakuan dan kenyataan secara terbuka sedangkan hal rumahtangga adalah sesuatu yang sangat rahsia lagi terpelihara di dalam agama.

“Ya, saya ingin berkahwin lagi kerana isteri saya tidak boleh melahirkan anak”

“Saya ingin berkahwin lagi kerana isteri pertama saya sakit, tidak dapat melayan saya dengan baik”

“Saya ingin berkahwin lagi kerana nafsu seks saya tidak mampu dipenuhi oleh isteri”

“Saya ingin berkahwin lagi kerana isteri saya gila”

“Saya ingin berkahwin lagi kerana saya mampu memberi nafkah yang mencukupi untuk para isteri”

Apakah perasaan isteri pertama, atau kedua, atau ketiga setiap kali suami akan berkahwin lagi? Perlu mengungkap segala kekurangan dan keburukan seperti di atas?

Ya, pada yang ingin berpoligami, bersedialah anda untuk mengungkap kelemahan rumahtangga anda, kerana poligami hanya dizinkan bilamana ia dinilai patut dan perlu. Mahkamah akan mempertimbangkan jika isteri anda mempunyai masalah kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.

Cukuplah sebahagian masyarakat melabel isteri pertama macam-macam – bila suami bernikah lagi – tidak perlu lagi perasaan isteri dijatuhkan di perbicaraan mahkamah secara terbuka.

Saya bukan ingin meremeh-remehkan undang-undang mahkamah, namun perlu ada revolusi baru dalam hal ini, apatah lagi dengan jumlah angka yang agak besar telah beratur di sempadan untuk bernikah poligami, seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Prof Dr Wahbah Az Zuhaili di dalam bukunya Fiqih Islam Wa Adillatuhu, berpoligami dengan mendapat keizinan hakim adalah sesuatu yang tertolak atas beberapa sebab, antaranya kerana perkahwinan adalah sesuatu yang amat peribadi. Perkahwinan adalah kesepakatan antara suami dan isteri bersama wali pihak perempuan. Sesungguhnya rahsia rumahtangga tertutup dan hanya diketahui oleh suami dan isteri.

Saya juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa poligami itu sangat baik dari segi prinsipnya, namun perlaksanaan yang tidak betul dari pihak suami menyebabkan hak-hak isteri terabai.

Saya juga ingin menambah, bahawa kita para isteri yang akan atau telah berada di alam poligami juga perlu sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama untuk mencipta keharmonian rumahtangga poligami. Jatuh bangun sebuah rumahtangga tidak hanya terletak di tangan suami.

Yang lebih tepat, adalah pihak yang berkaitan perlu mendidik generasi dengan lebih padu dan terancang berkaitan kekeluargaan – agar mampu membina keluarga yang punya sakinah, rahmah dan mawaddah, samaada poligami dan monogami. Pihak suami dididik untuk memberi nafkah dan bergaul dengan baik, para isteri dididik untuk menjadi pendorong dan pembantu suami dalam keimanan.

Sesungguhnya poligami adalah syariat yang sangat berhikmah untuk menampung kelemahan suami dan isteri-isteri. Apabila mempunyai isteri lebih dari satu, ia membantu lelaki yang beriman untuk menyalurkan fitrah di jalan halal lagi diredhai, kerana fitrah lelaki itu sebahagian besarnya ada pada poligami. Ia juga membantu wanita-wanita yang beriman untuk menyalurkan fitrah di jalan yang halal lagi diredhai.

Seandainya salah seorang isteri sakit, isteri yang lain boleh menjaga suami dan rumahtangga – hal ini memberi kekuatan kepada suami untuk terus membantu dan menjaga kebajikan isteri yang sakit. Seorang isteri yang tidak melahirkan anak, boleh menumpang kasih pada anak dari isteri yang lain. Suami berasa seronok punya anak, isteri pun berasa seronok dengan keluarga besar.

Jadi kebaikan itu terlihat dan lahir apabila poligami telah berlaku, bukan sebaliknya. Poligami memberi kebaikan peribadi kepada suami dan isteri, juga kebaikan kepada umum.

Adalah menjadi fitnah dan tekanan yang besar pada isteri jika diwar-warkan, “suaminya berkahwin kerana mahukan anak”.

“Ohh kesian dia, tak boleh bagi anak pada suami”.

“Dia sakit, patutlah suami kahwin lagi”.

“Anak dah ada ramai, tapi suami kuat seks gamaknya, patut ler menambah isteri”

“Sibuk menjaga anak ramai, patutlah suami cari lain”

“Dia tu macam tak betul sangat, sebab tu suami kahwin lagi”

“Patutlah kahwin lagi, sebab dah jumpa yang muda jelita”

“Sibuk sangat dengan kerja/bisnes, mana suami tak cari lain”

Mudah-mudahan kita bukan di kalangan orang yang mengungkapkan kata-kata negatif lagi tidak berhikmah berkaitan poligami seperti di atas. Usah menilai rumahtangga orang lain, biarlah rahsia mereka tertutup rapi, kecuali dalam keadaan tertentu yang membolehkan bercerita.

Maka, jika ingin bernikah lagi, bernikahlah ketika isteri masih sihat.

Pada yang sudah punya anak-anak, bernikahlah satu lagi untuk maslahat lain. Agar tidak terfitnah mereka yang tidak punya anak.

Pada isteri yang masih cantik dan seksi, benarkanlah suami bernikah lagi, kerana sesungguhnya poligami tidak hanya untuk mencari wanita seksi dan cantik.

Pada isteri yang masih muda, tak salah benarkan suami yang juga masih muda bernikah lagi.

Pada isteri yang belum sibuk dengan bisnes dan kerja, cadangkanlah pada suami untuk berkahwin lagi sebagai persediaan untuk menghadapi hari sibuk.

Wah…lepas ni blog saya kena bakar dengan kerana menyokong suami berpoligami secara besar-besaran :D

Ini hanya perkongsian yang tercetus di minda, saya tidak menggalakkan bernikah semberono.

Pada suami, teruslah menjadi suami dan ayah yang baik, dan suarakan hasrat poligami.

Pada isteri, teruskan menjadi isteri yang hebat, dan permudahkan suami berpoligami. Kita berada dalam suasana yang memanggil semua untuk menjayakan poligami.

Saat ini, samaada suami atau isteri, mungkin ada yang merasa berat, tidak mahu, tidak boleh menerima, tidak sanggup, tidak berhajat, tidak perlu dan sebagainya.

Moga bila tiba saatnya, lima tahun atau sepuluh tahun lagi, kita suami isteri bersedia mencantikkan poligami. Moga poligami tidak lagi menghairankan atau menakutkan.





Bahagia Pernikahan Tidak Segera



Hanya kerana saya telah menulis nasihat dan perkongsian berkaitan dunia perkahwinan, maka beberapa teman pembaca yang saya kasihi menyangka saya adalah isteri yang baik, dan rumahtangga saya adalah rumahtangga yang bebas masalah dan cabaran :D

Bahagia forever ya?

Tentulah tidak, saya juga adalah seorang isteri yang masih belajar dan berusaha memperbaiki diri. Saya juga melalui tempoh mujahadah yang tak pernah sudah. Malu untuk saya merasa diri ini dianggap baik. Jadi andai ada perkongsian yang bagus di blog ini, moga sama-sama dapat kita terjemahkan ke realiti kehidupan. Andai penulisan itu tidak bagus, maafkanlah tulisan saya yang bernada ‘perasan bagus’ :P 

Tentang bahagia, bahagia itu bukanlah dari perkara luaran yang kita nampak – bukan pada majlis perkahwinan yang hebat, kereta yang mahal bergaya, pakaian yang latest fashion dengan fabrik berkualiti, rumah besar berlandskap indah, makan minum di tempat-tempat famous di dalam dan luar kota, bukan pada gambar kaku posing sakan dengan suami dan anak-anak memakai baju sedondon…

Bahagia sebenarnya-benarnya di hati. Hanya di hati. Hati yang bukan sebarangan – namun bahagia milik hati yang erat berpaut pada tuhan di segenap penjuru kehidupan. Dalam sedih dan tawa. Dalam berjaya dan kecewa. Perkahwinan, harta, anak-anak etc adalah wasilah menuju bahagia bagi hati yang memahami hakikat kehidupan sementara.

Yang paling penting, tiada bahagia hakiki di dunia. Bahagia di dunia boleh datang dan pergi, silih berganti... namun bahagia sebenar yang kekal selamanya hanya di syurga.

Dan bahagia tidak datang dengan mudah, bahagia adalah milik orang yang berjuang. Jika menyelak lembaran kehidupan insan yang kelihatan bahagia, pasti ditemui siri-siri perjalanan yang payah dan menyakitkan. Hingga menghantarnya ke kemuncak bahagia yang dilihat kita.

Begitu juga dengan bahagia di alam perkahwinan. Tidak datang dengan mudah dan segera.

Ambil contoh belajar bidang perubatan. Form 4 dan Form Five belajar Biologi. Dengan segala subjek sains tulen yang lain, yang sangat mencabar. Kemudian ke Matrikulasi. Atau Kolej Persediaan. Kemudian 6 tahun untuk mendapat Ijazah Perubatan. Kemudian tahun-tahun housemanship yang merentap jiwa.… betul ke?

Angkat tangan, mana doktor yang cakap ia mudah untuk melalui semua ini…?  Untuk melalui perjalanan bergelar doktor saja terasa susah, apatah lagi bila benar-benar bergelar doktor (dan bersuamikan/beristerikan doktor juga amat mencabar). Kelihatan berjaya dan kaya.

Namun orang kebanyakan tidak nampak kesusahan itu, mereka hanya bilang, “Wah bagusnya anak Pak Mat, dah kerja doktor ya….!”

Mereka tidak nampak beberapa kali anak Pak Mat itu nak quit medical course. Mereka tidak nampak anak Pak Mat berendam air mata dan air peluh untuk catch up dengan ribuan topik medical yang menekan minda secara halus. Tanpa ketabahan dan jiwa kerdil yang tak jemu berdoa, kecundang di tengah jalan.

Bolehkah kita kaitkan dengan rumahtangga? Bahawa untuk menjadi seorang isteri dan suami yang bahagia, juga panjang lagi sukar perjalanannya… Bahagia perkahwinan tidak datang segera walau kita hidup di zaman mee segera. Restoran makanan segera. Tudung segera (instant). Ketupat segera. Pau segera. Masuk microwave, tekan butang – siap.

Menjadi seorang isteri sangat-sangat tidak mudah. Pilih suami soleh, confirm bahagia – tak. Perkahwinan bahagia terbina oleh suami dan isteri (isteri-isteri) yang selalu berusaha mensolehkan diri. Hingga mati mendatangi.

Apatah lagi dengan peringatan-peringatan dari Rasul SAW akan betapa besarnya hak seorang suami yang ditaklifkan ALLAH ke atas kita sebagai isteri.

Seorang isteri harus mempunyai ilmu tentang topik-topik besar ini:

Belajar untuk taat (bukan asyik membangkang, bukan pula taat semberono/ blind obedience).

Belajar untuk menghiburkan dan menenangkan (bukan sekadar menunggu dihiburkan).

Belajar untuk menjaga keharmonian rumahtangga.

Belajar mengurus perasaan.

Belajar berkonflik dan berkrisis.

Belajar berhias dan menghias.

Menjaga kehormatan diri dan suami.

Menjaga harta benda suami.

Membantu mengurus ekonomi rumahtangga.

Menjadikan orang asing sebagai keluarga sendiri ( keluarga mertua dan ipar duai).

Belajar mengasuh anak-anak.

Belajar mendidik anak-anak.

Belajar bahawa hanya taqwa yang mampu menghadirkan bahagia dalam jiwa dan rumahtangga.

Di sebalik sebahagian topik besar yang disebutkan, ada banyak lagi subtopik di bawahnya yang perlu didalami.

Ia bukan sekadar sukar, malah tempoh pengajian bukan sekejap seperti setahun di kolej matrikulasi. Bukan seperti mengambil diploma selama tiga tahun. Bukan seperti mengambil ijazah perubatan selama enam tahun, tetapi pengajian bermula ketika akil baligh dan berlanjutan sepanjang alam rumahtangga itu berlangsung. Mengaku kalah beerti meletak noktah pada perjalanan rumahtangga. (Namun tidak salah meletak noktah, jika usaha mencari redha tuhan melalui perkahwinan menemui jalan buntu).

Willing to learn. Willing to change.

Itulah dua perkara yang saya seronok menulisnya di resume, kononnya itulah karakteristik saya. Tapi bila saya diangkat ALLAH menjadi seorang isteri, jawatan yang mempunyai kunci untuk masuk syurga – fuhhhh….baru tahu langit tinggi rendah. Jawatan isteri ini, perlu rendahkan ego serendahnya kerana ALLAH. Perlu meninggikan akhlak mulia setingginya, kerana itulah yang ditunjukkan Rasulullah SAW untuk mengukir bahagia di dunia dan di syurga.

Dulu antara impian perkahwinan, ‘saya mahukan suami yang dapat menerima diri ini seadanya’… Terima seadanya? Tak mungkin. Jangan mimpi lagi sebegitu.

Hidup ini adalah perjuangan untuk menjadi lebih baik. Dengan bersedia untuk belajar. Bersedia untuk berubah. Selagi ada nyawa. Andai selesa dengan sikap dan cara berfikir yang lama, hidup kita tidak akan pernah berubah. Rumahtangga juga akan hilang arah.

Merenung kembali sewaktu saya mula menyimpan hasrat untuk bernikah. Saya kononnya banyak menelaah bahan-bahan tentang pernikahan, artikel, buku, majalah etc sampai rasa mual :P Mendengar video berkaitan pernikahan berbahasa melayu dan inggeris di youtube malah video ustaz ustazah indonesia, untuk meluaskan wawasan tentang pernikahan…dengan cita-cita yang tinggi untuk jadi isteri terbaik, untuk bina famili terbaik…

Tapi rupanya bab selesaikan perasaan sendiri pun tak sudah-sudah :D terkial-kial lagi saya ni mencipta diri menjadi isteri yang suami sayangi … belum bab menjadi ibu mithali.

Teruknya saya… Jangan jadi macam saya ya isteri-isteri yang dikasihi semua.. Jadilah isteri seperti mana yang diidamkan suami kalian. Tak apa mengalah mengikut semua keinginan dan harapan suami, kerana hasilnya sangat best! Berusaha menyesuaikan diri dengan karakter suami selagi dalam lingkungan syariat, anda akan dibayar..! Berusaha memateri pada diri akhlak seorangisteri yang dicintai Rasulullah, anda akan dapat pulangan yang indah! Bayaran yang bukan calang-calang…

Kesimpulannya, perjalanan pernikahan setakat tiga tahun ini masih mampu diteruskan kerana saya masih mahu menuntut ilmu, masih studi, terlebih lagi suami yang memang berusaha sentiasa menambah ilmu. Inilah kunci teratas keluarga bahagia. ILMU. Moga ALLAH menambah ilmu kita semua dan memberi manfaat dengannya.

Pada yang telah berlaku perceraian, itu bukan noktah. Banyak hikmah kebaikan untuk diselam. Terus menggillap ilmu, moga ilmu itu membawa kebaikan dan kebahagiaan dalam keluarga baru suatu hari kelak, ameen. InsyaALLAH.

Ok, saya nak teruskan studi.. Studi memasak,.. Studi cara nak mengemas lebih efektif.. Study time management supaya dapat respon pada perkongsian tulus kalian di sebalik sibuk menguruskan rumahtangga…

Studi macam mana nak jadi isteri cerdik yang solehah... Study macam mana nak tabah dalam alam poligami. Study macam mana nak jadi lebih serasi dengan suami, lebih cekap serba serbi, macam mana nak balance perhatian pada suami, pada anak, pada insan lain yang memerlukan… penatnya… penat kan??

Nak quit???

Tak nak!

Bantulah kami Ya ALLAH.........



Sunday, December 4, 2011

Warkah Muhasabah Muslimah Baru




Bismillah, kali ini saya kongsikan sebuah emel yang pernah saya terima dari seorang teman yang kembali kepada islam, setelah dilahirkan dalam keluarga yang bukan islam. Lebih lima tahun telah berlalu sejak dia mengucap syahadah, namun sehingga saat ini keluarganya masih tidak tahu mengenai keislamannya.

Emel ini ditulis ketika setahun dua usia keislamannya. Moga perkongsian ini memberi tazkirah pada kita semua agar menghargai nilai islam dan iman yang ditunjukki ALLAH... Ayuh kita saling membantu dalam menuju kebenaran, kebaikan dan ketaqwaan.


                               *                                    *                                *

Assalamu'alaikum semua,

Apa khabar? Insyaallah semuanya dalam lindungan dan rahmah Allah ..

Antum (kamu) sekalian,

Dalam email kali ini, ana (saya) ingin berkongsi pengalaman atau dikatakan perubahan yang ana alami sejak memeluk islam . Becoming a muslim has changed the way i view things and people in my everyday life ..

Dulu ...

Ana memandang tinggi, kagum dengan bangunan pencakar langit, binaan bangunan-bangunan yang indah dan mempunyai ukiran-ukiran tradisi.. indahnya, sungguh hebat penciptanya , arkitek itu tentu mahir orangnya.. Antara contoh - Bangunan kembar petronas ,menara KL , muzium etc.

Sekarang ..

Bulan lepas ana berkunjung ke Sydney melihat Opera House, bangunannya jauh lebih sophistikated bentuknya dari bangunan di Malaysia namun tiada rasa apa-apa di hati. Malah, merasa kesian melihat mereka yang berkunjung ke opera house, hanya melihat pementasan "boneka" dalam bentuk manusia .. Bangunan itu memang besar tetapi bagi ana rohnya kosong.

Ana terfikir, dan semakin tinggi azam di hati untuk melihat masjid-masjid di Makkah dan Madinah, tentunya lebih indah dan tenang melihat rumah Allah daripada bangunan Opra house ini.

Ana lebih tenang melihat tasik yang mengelilingi Opera House.. Subhanallah ciptaan Allah, jika tanpa tasik ini, dan Opera House itu dibina di tanah yang kering, tandus mesti akan tidak secantik yang kelihatan sekarang.

Dulu…

Ana melihat terpegun kepada mereka yang mengetahui fesyen-fesyen pakaian, perhiasan yang terbaru. Tahu cara jalan catwalk, menari, bermain muzik.. Malah ana ingat ana sendiri berjam-jam praktis piano di rumah kerana taksub dengan muziknya yang agung. Ana rasa terpinggir bila rakan-rakan menunjukkan pakaian yang terbaru, fesyen yang terbaru...

Sekarang..

Ana kesian melihat manusia-manusia di jalan menyibukkan diri mereka dengan memperagakan fesyen-fesyen pakaian terbaru yang semakin hari semakin singkat. Ana kesian melihat mereka tiada wang untuk membeli kain lebih meternya sedikit dan berpakaian sopan. Wanita terutamanya senang melihatkan bentuk tubuh mereka dengan pakaian yang ketat, supaya lelaki yang lalu tertarik dengannya.

Ana terfikir .. murahnya hargamu wahai ukhti.. dan alangkah sedihnya jika bakal suamimu memilihmu kerana kecantikkan tubuhmu sedangkan itu tidak kekal lama.

Wahai ukhti, ana tidak dapat menggambarkan rasa gembira, tenang  dan disayangi Allah ta'ala ketika memakai pakaian yang menutup aurat. Ana merasakan kasih sayang yang tidak terhingga dari Allah setiap kali menutup aurat sebelum melangkah keluar rumah.. seolah-olah Allah memandang dan tersenyum pada ana, gembira melihat hambaNYA melaksanakan perintahnya dengan senang hati.

Ana terasa kosong tatkala duduk di dalam kumpulan manusia yang berbincang tentang fesyen-fesyen baju, perhiasan, beg tangan ... Hati kecil ana berkata, alangkah ruginya masa berbual itu jika dipenuhi dengan bualan sedemikian..

Alangkah indahnya, dan tentu sekali malaikat turun mengelilingi kita jika kita berbincang tentang agama Allah - agama Islam.

Daripada kita bertanya sesama kita apakah dibelanja di pasar raya kelmarin, apa barang baru yang dibeli, mengapa tidak kita bertanya rakan, saudara kita:

"Kaifa imanuki? (apa khabar imanmu hari ini?)"

"Sudah tilawah uhkti ? Menatap kata-kata Allah ?"

"Sudah bangun malam uhkti?  Menangis, mengadu masalahmu pada yang Esa?"

"Sudah menyampaikan agamamu pada insan yang lain ?"

"Apakah kelmarin ana ada meminjam sesuatu dan belum dipulangkan?"

Semoga Allah mengampuniku jika aku terlupa..

Sekarang...

Alangkah risau, tidak senang duduk bila seharian tidak mendengar kalimah Allah dimainkan di laptop, tidak mendengar alunan Qur'an yang menusuk hati .

Sungguhpun hambaMu yang jahil ini belum mengerti maksudnya, namun hamba akan usaha mempelajari bahasa Arab, hamba AKAN USAHA!

Muzik piano yang dimainkan di bilik bawah surau sangat menyakitkan telinga terutama ketika solah...

Kenapa ana boleh suka dengan muzik sedemikian dahulu?

Sesungguhnya ramai composer muzik, Mozart, Bethoven itu semuanya akhirnya gila, mati sia-sia dengan muziknya yang dibawa ke kubur. Allah memandang kejayaan mereka mencipta lagu dan perform di konsert itu suatu yang sia-sia.

Allah menilai bacaan qur'anmu, bukan lagu hafalan bahasa inggeris mu...

Allah menilai usahamu mendalami agamamu, Allah melihat dan mendengar...

Dulu ..

Ana cepat berputus asa.. Bila mendapat keputusan yang kurang elok dalam exam, ana menangis, ana meraung kerana sudah berusaha bermalam-malam study tetapi keputusannya masih tidak memuaskan hati ana...

Sekarang...

Ana lebih bimbang bila tidak lulus ujian Allah...

"Sudahkah ana ber'amal jariah hari ini? Minggu ini?"

"Sudahkah ana menyampaikan kata-kata Allah pada orang lain hari ini?"

"Sudahkah ana belajar sesuatu yang baru hari ini tentang agamaku?"

"Atau masih hanya mengamalkan solat 5 waktu yang hanya merupakan suatu pergerakan jasmani tanpa penghayatan?"

"Sudahkah ana bermuamalah dengan baik dengan Allah? Manusia ? Binatang ?"

"Tahun lepas adakah janji pada rakan yang ana belum tunaikan?"

"Bagaimana saudaraku yang sedang bermandi darah di Palestin? Iraq?"

"Apakah Allah akan mengambil nyawaku saat ini sebelum sempat habis menulis email ini?"

Hamba takut ya Allah, namun hamba telah berusaha, hamba telah berusaha menuju kepadaMu hari ini...

YaAllah .. terimalah istigfar hambaMu hari ini ..




Sekian,

HambaMu yang diberi kasih oleh Allah Ta'ala dan diberi hidayah.








Thursday, December 1, 2011

Rumahtangga: Kenali Musibah Terbesar


Kita menangis kepenatan. Penat rupanya alam rumahtangga ni - ke sana ke mari menjaga kebajikan suami & anak. Bekerja di luar penat. Bekerja di rumah juga penat.

Kita menangis berjauhan. Setelah halal dalam pernikahan, berjauhan pula. Kerana tuntutan kerja. Atau belajar.

Kita menangis tak cukup wang. Terpaksa berhutang. Tak mampu bergembira macam pasangan lain. Makan minum malah bercatu. Terpaksa duduk rumah saja tak cukup duit untuk petrol..

Kita menangis kerana ujian mertua dan ipar duai yang menarik banyak privasi rumahtangga. Kita menangis tersepit antara keluarga sendiri dan keluarga pasangan.

Kita menangis kerana pasangan atau anak-anak diuji sakit kronik yang menuntut seribu satu pengorbanan.

Antara banyak-banyak ujian ini, jangan lupa berhati-hati dengan ujian keimanan.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila pasangan semakin jauh dari hubungan dengan tuhan. Solat diabaikan. Akhlak dengan Allah tidak dititikberatkan.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila islam hanya pada nama dan kad pengenalan. Bukan pada rutin dan tujuan hidup seharian. Sedangkan islam is a way of life.

Musibah terbesar sebuah perkahwinanan adalah apabila amalan-amalan syirik dan khurafat menjadi pilihan. Percaya pada tangkal untuk memujuk anak menangis, atau ramuan bomoh menundukkan suami.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan adalah apabila pasangan tahu akan kewajipan menuruti Sunnah dan Quran, tapi terus selesa dalam kejahilan dan kelalaian. Solat dilalaikan, pergaulan tanpa batasan, tiada peruntukan masa dan kewangan untuk mencari ilmu agama, aurat didedahkan besar-besaran, tidak amanah dalam pekerjaan.

Musibah terbesar sebuah perkahwinan ialah apabila suami isteri fokus membeli rumah besar & kereta besar namun rumah itu seperti kuburan kerana jauh dari tilawah & tadabbur Al Quran.

Bila rumahtangga diberi ujian kesenangan, adakah rasa bersyukur? Adakah kesenangan menambah ketaatan?

Bila seorang isteri dan ibu kurang ilmu kurang iman, nescaya akan mencipta musibah yang besar untuk generasi mendatang... Menyiapkan pakaian dan makan minum anak-anak, mengambil menghantar anak ke alam persekolahan...apakah pemberian kita untuk menyiapkan jiwa anak itu melalui kehidupan dengan bertuhan? Anak-anak amat bijak mengukur kehebatan dirinya dengan peperiksaan, adakah mereka tahu mengukur nilai diri menurut Al Quran...?

Musibah besar jika anak-anak kita tidak tahu hubungannya dengan tuhan, tidak tahu apakah ertinya hakikat kehidupan..

Ada suami dan anak-anak yang baik, adakah makin kenal dan cinta pada Allah? Atau sekadar kenal kemahuan suami dan anak-anak.. Atau sekadar mengingati tanggungjawab kepada suami dan anak tanpa mengetahui tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Sesungguhnya islam bukan sekadar adat kebiasaan. AL Quran bukan sekadar menjadi pelengkap dulang hantaran. Bukan sekadar tersimpan tinggi di almari perhiasan.

Ayuh selamatkan diri dari musibah. Jalinkan hubungan dengan tuhan yang semakin ditinggalkan. Bina keutuhan diri dan famili dengan Al Quran dan As Sunnah. Kenalkan diri kepada petunjuk Allah dan Rasul yang membawa kebahagiaan...



* Peringatan buat hati yang tidak hangat dengan iman... Hati sayakah itu.... :-(



Published with Blogger-droid v1.7.4

Wednesday, November 30, 2011

Poligami: Ayuh 'Upgrade' Diri



Kita memohon perlindungan ALLAH dari syaitan yang direjam.

Baru-baru ini berlaku insiden yang tidak diingini yang menyebabkan hati-hati insan tersakitkan, terluka dan tercalar. Insiden yang berawal dari perdebatan di sebuah forum maya itu menjadi hangat hingga akhirnya membangkitkan kemarahan dan merenggangkan persaudaraan.

Salah seorang panel telah memprovokasi dengan isu poligami hingga mengutarakan isu-isu peribadi yang sepatutnya dijauhkan dari forum umum seperti itu. Mungkin panel yang tidak berpoligami itu terlupa akan adanya kehadiran isteri-isteri yang berpoligami membaca forum umum itu, termasuk saya sebagai isteri kedua, yang berasa tidak senang dengan hujahnya yang seolah meremehkan dan menghina kedudukan isteri-isteri bernombor.

Tapi saya awal-awal bersangka baik dan sedia memaafkan kerana kita manusia sering saja tidak sensitif dengan keadaan dan cara hidup kebanyakan orang. Seperti mana blog saya yang menceritakan tentang poligami, saya akui saya tidak sensitif dengan semua pembaca, hingga ada para isteri pertama yang terusik tak senang dengan lambakan entri saya yang seolah mendokong poligami secara berleluasa.

Berbalik kepada perdebatan di forum, kemuncaknya adalah apabila seorang lagi panel turut membalas dengan nada yang sama. Dan akhirnya semua itu mengundang konflik yang menyedihkan banyak pihak.

Saat ini saya benar-benar menghayati janji Rasulullah SAW, “..bahawa ada rumah-rumah terbina di pinggir syurga buat mereka yang meninggalkan perdebatan sekalipun di pihak yang benar.”

Apapun, sama-samalah kita meminta maaf. Dan, kalau nak berkonflik hebat itu, tak perlu tunggu bila dah berpoligami :) Di mana-mana saja akan ada ruang dan potensi untuk berkonflik - sesama teman, sesama adik beradik, sesama teman sekerja..

Pada teman-teman yang tak dapat menerima poligami di lakukan oleh suami, atas apa alasan sekalipun, moga ALLAH memberi kekuatan untuk melalui apapun ujian kehidupan dalam keredhaan tuhan.

Pada teman-teman yang akan dan telah terlibat dengan poligami, moga ALLAH jua memberi kekuatan untuk melaluinya dengan kesabaran.

Pada teman-teman yang mengakui menerima poligami, but ‘not my husband’, sebab dia tak layak, ada kupasan panjang untuk isu ini :) Ini antara soalan paling banyak yang diterima tentang isu poligami. Belum mampu diutarakan di sini lagi :)

Di blog ini saya tidak akan menyentuh secara ilmiah hukum-hukum poligami, kerana kebanyakan kita sedia maklum akan kepelbagaian pendapat ulama tentang isu ini. Yang pasti, ia tidak wajib. Dan ia tidak haram.

Saya, dengan kapasiti seorang isteri yang telibat alam poligami, berkongsi tentang alam poligami khususnya, alam pernikahan umumnya - hanyalah sekadar yang dilalui. Saya akur akan sisi-sisi kehidupan yang berbeza yang kita semua tempuh - hingga sukar untuk kita bersetuju atas banyak perkara. Tidak mengapa... Saya sangat hargai respon anda dan perkongsian apa saja.

Pada saya, dengan jumlah poligami yang semakin meningkat di negara ini - yang terang atau sembunyi, adalah lebih wajar setiap suami dan isteri bersedia untuk memikul amanah ini. Mengelak atau mengabaikan persediaan untuk berpoligami hanya akan memburukkan keadaan. Rumahtangga yang bermasalah meruncing – samaada poligami atau tidak – adalah kerana kita tidak bersedia dengan pakej cabaran yang datang bersama perkahwinan.

Dan sebenarnya bagi saya sebagai isteri kedua, tidaklah banyak perkara berkaitan poligami yang berbeza dari rumahtangga biasa, yang ketara bagi saya adalah ujian cemburu untuk para isteri. Yang seterusnya, adalah bagaimana suami dan isteri-isteri bertoleransi dalam giliran hari dan pembahagian masa. Tapi bagi suami, ya – poligami memberi beza yang banyak. Amanah dan tugas makin bertambah. Pada isteri, poligami memberi keringanan kewajipan… (bab perasaan, ya, tidak ada yang ringan..semua suami dan isteri-isteri menempuh cabaran perasaan masing-masing).

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan poligami is distruptive in nature, poligami menyebabkan anak-anak membesar dalam konflik yang buruk, sedangkan antara kita pasti lebih ramai ibu ayah yang tak berpoligami tapi membesar dalam keadaan mengharukan dan tertekan juga. Isteri yang tidak terlibat poligami saja tidak kurang yang mengalami kemurungan berpanjangan.

Hadis-hadis yang menceritakan kecemburuan isteri-isteri Rasulullah bukan menjadi dalil yang menyokong bahawa poligami tidak wajar. Tetapi iktibar bersama untuk para suami - adalah mustahil isteri anda tidak cemburu, maka layani saja kecemburuan isteri semampunya. Untuk para isteri, hadis-hadis kecemburuan isteri ini menjadi teladan agar kita berhati-hati menjaga perasaan dari cemburu berlebihan yang membebankan suami.

Dan setakat pengkajian juga pembacaan saya, mungkin dalam sepuluh atau kurang hadis-hadis tentang konflik cemburu. Yang lainnya, sirah menceritakan kebahagiaan isteri-isteri nabi ini – kerana keperibadian suami yang soleh dan juga kerana isteri-isteri mulia itu turut membina keimanan dan ketaqwaan yang mendalam.

Dalam rumahtangga biasa yang tidak berpoligami, sudah terlalu banyak isu-isu yang perlu diselesaikan dan diadaptasi dengan kehidupan berkeluarga. Janganlah poligami itu dikambinghitamkan. Masalah poligami dan masalah rumahtangga biasa jangan dicampuradukkan.

Adalah hampir pasti dan ‘normal’ setiap pasangan yang berkahwin dan duduk serumah akan berkonflik tentang kewangan, tentang kualiti masa, tentang pembahagian kerja-kerja rumah, tentang anak-anak, tentang kemesraan dan hubungan intim, tentang mertua juga ipar duai, perbezaan karakter dan psikologi lelaki perempuan, perbezaan budaya hidup dan adat resam…

Terlalu panjang isu rumahtangga – kerana perkahwinan adalah antara hubungan yang sangat komplex. Rumit dan mencabar. Namun jika insan menjalani ajaran ALLAH dan petunjuk Rasul, insyaALLAH menjemput sakinah, mawadah dan rahmah ke dalam rumahtangga yang dibina - sekalipun di mata orang kelihatan tidak cukup dan payah.

Perkara seterusnya yang perlu difahami ialah, perkahwinan ini ada fasa-fasa yang akan ditempuh dan berlaku - sama saja di alam monogami atau poligami. Fasa penyesuaian, fasa berseronok, fasa cabaran, fasa keteguhan hubungan dan yang menjadi berita baiknya ialah setiap fasa ini mampu berakhir dan silih berganti seperti yang saya kongsi di sini. Malangnya ramai yang memilih keluar dari pernikahan sewaktu di fasa gelombang ujian menghempas rumahtangga.

Pada isteri kedua, kesedihan dan ketidakbahagiaan bukan sebab anda menjadi isteri kedua. Keluar dan dengarlah kesakitan yang dilalui para isteri sekalipun tidak berpoligami.

Apatah lagi pada isteri pertama, yang hebat juga gelodak perasaan namun mungkin sudah lebih masak dengan alam perkahwinan – perkahwinan yang gembira itu adalah hasil kesabaran dan kefahaman yang dibina pada pasangan masing-masing. Lagi banyak cabaran rumahtangga, lagi teguh berpimpin tangan melaluinya, pasti akan lebih bahagia. Poligami, adalah salah satu ujian yang datang semakin bertambah dekatnya perjalanan kita bertemu tuhan.

Namun ketika melalui ribut taufan masalah, seolah-olah itulah pengakhirannya. Seolah-olah kita selamanya tak akan keluar dari masalah itu.

Pada suami, pada isteri-isteri – jika tidak bahagia – jangan poligami disalahkan. Lihatlah ke dalam diri kita masing-masing, apa yang boleh kita sendiri berubah agar keadaan rumahtangga juga berubah.

Ya ALLAH, apakah ENGKAU mendatangkan syariat poligami ini untuk menyakitkan hati isteri pertama dengan kelukaan yang paling dalam? Apakah ENGKAU menghadirkan syariat poligami ini untuk isteri kedua dan ketiga merasa sengsara berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri? Apakah ENGKAU meletakkan syariat poligami untuk menambahserabutkan kehidupan dan perasaan lelaki sebagai pemimpin keluarga?

Maha Suci ENGKAU Ya ALLAH.. Maha Suci ALLAH dari menzalimi hamba-hamba lelaki dan wanita...




Tuesday, November 29, 2011

Pernikahan: Belajar Merajuk



Dulu sebelum bernikah, mak abah dan adik-adik adalah tempat untuk saya merajuk. Apa-apa yang tak kena – saya merajuk dengan mereka. Merajuk saya ertinya tak bercakap dengan mereka, tak pandang muka, buat tak tahu, muka ketat hehee, tak keluar bilik, tak keluar makan… tapi bila dah lapar sangat pergi juga mencari rezeki di dapur :P Macam-macam isu yang ada untuk dimerajukkan… aik..betul ke perkataan ni?

Malangnya saya… selepas bertahun-tahun baru saya menyedari tingkah merajuk saya itu mengguris hati mak dan abah. Memang keanak-anakkan, tak fikir langsung perasaan hati ibu dan ayah yang diperintahkan ALLAH untuk saya berbuat baik. Mak abah, maafkan saya sangat-sangat. Sekarang ni saya dah tak merajuk apa-apa kan…? Anak yang baik kan..heee..

Bila masuk U, duduk belajar bersama kawan-kawan - tak ada sangat isu merajuk ni. Saya ni rupanya jenis orang yang suka menghindar konflik, jadi play safe. Saya berjauh diri dari ketegangan dalam perbincangan, saya abaikan apa-apa yang saya tersinggung dan saya (perasan!) saya seorang yang cepat meminta maaf dan memberi maaf.

Tetapi selepas bernikah…………… bermulalah episod baru tentang merajuk. Sama saja macam kalian, macam-macam isu boleh datangkan rasa nak merajuk dan berjauh hati :D

Saya belajar untuk merajuk secara professional. Saya belajar untuk merajuk dengan cara yang diredhai ALLAH. Kerana merajuk adalah bahagian penting dalam rumahtangga yang perlu diuruskan... betul tak? Tetapi sangat susah rupanya sesi merajuk dengan suami ini... beberapa kali saya gagal merajuk dengan cara yang baik... Sebab apa ya??

Pertama, sebab suami saya  adalah lelaki yang punya hormon T dan saya pula perempuan yang kaya hormon E & P (refer buku bio ya), perbezaan psikologi membawa konflik yang kerap. Kedua, saya rasa ada orang dah curi lah sifat pemaaf dan rendah hati dari saya, hingga saya rasa dah berkurangan rasa nak memberi maaf dan meminta maaf… teruknya kan… :P

(Ketiga, syaitan mengambil kesempatan mencucuk dan memanaskan hati yang tak mengingat ALLAH. Bacalah auzubillah ketika sedang marah atau merajuk..)

Ok tapi sekarang dah mencecah tiga tahun kehidupan suami isteri, saya rasa dah matang sikit...Alhamdulillah terima kasih ALLAH kurniakan suami yang matang supaya saya jadi cepat matang...  Sikit saja dah improve, insyaALLAH boleh improve lagi :P

Saya tak boleh buat cara merajuk dengan mak abah dan adik beradik macam dulu. Dulu mereka tak layan, dan saya pujuk diri sendiri. Akhirnya baik.

Sekarang, kalau saya merajuk, perlu ada tempoh yang boleh diterima suami. Saya perlu merajuk dengan meluahkan perasaan secara hikmah dan bertenang. Saya merajuk, tapi saya tetap kena layan dan tak boleh buat tak tahu dengan keperluan suami. Saya rasa merajuk, saya perlu memujuk hati sendiri cepat-cepat, dan mula menyapa suami dengan senyum ceria.

Kalau saya rasa nak merajuk waktu suami balik kerja, saya pause dulu rasa merajuk. Saya pakai elok-elok, berus gigi, cuci muka, wangi-wangi sikit, keluar sambut suami dengan senyuman. Ikhlaskan kerana ALLAH. Moga ALLAh bagi pahala mujahadah melawan merajuk. Moga dapat juga pahala bagi senyuman manis yang menyejukkan jiwa maskulin seorang suami :D

Betul isteri-isteri, anda semua sangat cantik.. kalau senyum lagi cantik dan mendamaikan jiwa suami. Rasa macam hilang separuh penat suami, suami lupa cabaran kerja dan cabaran kewangan bila ada isteri yang tetap mesra tersenyum bila bertemu di rumah atau bila masuk kereta sama-sama balik kerja.

Takpelah suami buat muka ketat, mungkin dia stress atau jadi apa-apa yang tak seronok di ofis tadi, kita senyum je dulu, salam cium tangan, buatkan jus atau air mineral sejuk pun boleh… ada kek coklat beli kat ofis pun boleh. insyaALLAH hati suami rasa terpujuk dan malam nanti tak adalah suami macam dingin saja dengan isteri.

Bila waktu lewat petang itu isteri telah set environment yang menenangkan, insyaALLAH ia akan mempengaruhi hingga malam. Suami rasa seronok nak duduk dekat-dekat, nak bermesra bermanja dengan isteri dan anak… suami akan rasa rumah adalah syurga kecil yang membahagiakan.

“Tapi cik nurul adni, kami ni berkerja ofis. Pukul 7 dah gelap sampai rumah. Kami pun stress dengan kerja ofis. Kami pun tak larat nak senyum bila sampai rumah. Anak-anak pun dah menerkam. Suami pandai-pandailah bawak diri...”

Hmm macam mana ni ya, nak jadi isteri dicintai Rasul SAW yang yang sentiasa menyejukkan hati suami, yang melayan suami sebaiknya kalau hati isteri pun tak sejuk dan selalu stress.. takpe kita sama-sama fikir nanti. Tak boleh biarkan isteri tertekan dengan arahan majikan, kerana menyebabkan suami dan rumahtangga berada dalam ancaman.

Bab merajuk tu, bila tadi petangnyanya dah pause, bila nak sambung merajuk? Tak meluahkan, merajuk saya tak selesai. Biasanya setelah beberapa bulan berkahwin, kita boleh baca air muka dan mood suami, jadi manfaatkan waktu tenang suami untuk luahkan apa-apa ketidak puasan hati. Dengan tenang dan berhikmah. Dengan menggunakan perkataan ‘saya’, bukan ‘abang’.

“Abang dah buat saya sedih.” (Ni ayat yang salah – jangan menyalahkan orang lain atas perasaan kita.)

“Abang selalu sakitkan hati saya.” (Ni juga ayat yang sangat salah – jangan guna ‘selalu’ untuk benda yang negatif, itu exaggerate – melebih-lebih dalam memburukkan)

“Saya sedih sebab…” (Ni ayat yang betul, bermaksud kita bertanggungjawab atas perasaan kita…)

“Saya kecik hati sebab…” (Ni juga ayat yang betul…pastikan perkataan dan nada seterusnya pun tersusun baik. Jadi betul-betul fikir sebelum berbicara.)

Maka, luahkan secara spesifik kepada suami apa perkara yang buat kita sedih, terasa hati, tak seronok atau tersinggung. Suami terima atau tak, itu lain kira. Suami ada sebab untuk tak terima luahan kita. Jadi di situlah datangnya kompromi dan rendah hati. Cuba kita faham apa yang suami fikir dan rasa dengan kata-kata dan tindakan kita. Akui kesilapan sendiri.

Ishh susah bab merajuk dan berkonflik ni, sebab tersalah cakap boleh jadi gaduh besar, dan akhirnya apabila makin banyak siri merajuk yang tak selesai dengan baik – maka perceraian menjadi pilihan popular yang amat berbahaya – bak kata pakar perkahwinan dan pengasas laman smartmarriages.com.

Kalau amat sibuk, badan dah penat, tak ada masa untuk duduk tenang meluah perasaan – maka menulis. Manfaatkan teknologi di tangan, handfon, ipad, galaxy tab, blackberry etc untuk menulis mesej kepad suami meluahkan segala ketidakpuasan dan jangan lupa kesyukuran juga. Walaupun rasa tak puas hati, tuliskan juga perkara yang kita suka dan puas hati tentang suami - itu erti bersyukur kepada suami seperti yang ditunjuk Rasul SAW. Berlaku adillah, jangan lupakan kebaikan suami walaupun rasa suami telah menyinggung hati.

Komunikasi melalui muka masam, nada tegang dan aksi merajuk macam saya dulu-dulu sangat berpotensi membunuh perkahwinan. Beberapa isteri berkongsi bahawa suami tak suka mereka berdiam diri jika ada sesuatu. Belajarlah meluahkan. Nyalakan asap anda. Supaya suami boleh fikirkan dan muhasabah. Supaya suami juga boleh memperbaiki keadaan. Maka suami juga perlu belajar merespon supaya isteri rasa tenang dapat meluahkan. Isteri juga harus mengkedepankan perasaan suami, supaya dalam merajuk - masih ada penghormatan dan ketaatan.

Dan saya memang rasa tenang selepas meluahkan, apatah lagi suami merespon dengan cara yang saya suka dan rasa difahami. Terima kasih memujuk… Saya juga dah biasa dengar yang orang lelaki fed up isteri merajuk lama-lama, jadi sekali suami datang pujuk dan mendekati – saya pun terus rasa nak berbaik-baik. Ruginya buat syaitan happy…

Dan lebih membimbangkan, time isteri merajuk lama-lama inilah hati suami terbuka besar buat wanita di luar sana yang bermanis muka dan melayannya dengan baik…ngeee takutnya…mendedahkan suami pada fitnah lantaran rajuk kita yang tak terarah... Kalau suami ada isteri lain yang nak melayannya, alhamdulillah. Bukan teman wanita lain.

Bila suami dah minta maaf, hati pun berbunga ceria (teruknya kan…saya yang bersalah, tapi nak suami pula yang minta maaf) . Ya ALLAH bantu kami menjadi insan pemaaf dan meminta maaf walau kepada sesiapapun yang telah kami sakiti. Mudah-mudahan kata maaf suami dan lembut hatinya memujuk isteri menjadi amal soleh yang bernilai di sisi ALLAH, demi keharmonian jangka panjang sebuah perkahwinan.

Jadi para suami soleh di luar sana, sama-sama kita belajar kitab komunikasi agar isteri berasa difahami, agar isteri rasa puas dirinya didengari, difahami, rasa dihargai dan dicintai.. Wajib membaca dan menelaah buku tentang relationship dan perkahwinan supaya tidak bercerai… seperti seorang pakcik yang saya temui bercerai selepas usia separuh abad dengan alasan –bercerai kerana salah memahami karakter wanita. Perceraian adalah harga yang perlu dibayar untuk ilmu yang tidak diusahakan. Selepas bercerai baru pakcik itu lebih memahami kerana telah mengikuti kelas yang berkaitan perkahwinan dan psikologi lelaki perempuan..

Apapun, para isteri jangan hanya fikir merajuk diri sendiri yang tak berkesudahan. Lihatlah ke hati dan minda suami, apa pula yang suami merajuk dan berjauh hati dengan sikap kita sebagai isteri. Pujuklah suami dengan perbuatan, sentuhan dan kata-kata yang menenangkan – bila suami merajuk dan berjauh hati. Berusahalah memasukkan kegembiraan ke dalam hati suami dengan usaha dan doa.

Bila ALLAH menjanjikan syurga buat isteri yang taat kepada ALLAH dan suami, ia bukannya semudah ABC. Ia adalah amal ketaatan yang berterusan, mujahadah yang tinggi dan segala akhlak mulia kepada ALLAH dan sesama manusia (terutama kepada pasangan). Jika kita merasakan diri ini adalah seorang wanita yang baik, maka kebaikan itu biarlah teratas dinikmati dan dirasai suami. Janganlah hanya orang luar yang menilai kita baik, namun di mata suami kita adalah sembilu yang menusuk pedih ke ruang paling dalam...

Moga rumahtangga kita dipelihara dan diberkati Allah selamanya…

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...