Tinggal 5 hari je lagi sebelum aku selesai berkhidmat di Rumah Sakit Budhi Asih sebagai pencacai. Kadang-kadang je orang panggil aku 'doc', tapi selalunya orang ramai panggil aku 'sus' iaitu kependekan dari 'suster'. Bunyi macam dalam filem angker kan?
Jadi bermakna tinggal 5 hari lagi la aku bolak-balik naik bas PATAS no. 46 yang hampir roboh yang habis tidak mengira perasaan dan keselamatan penumpang. Tinggal 5 hari je lagi aku boleh beraksi ala-ala peserta Survivor melompat turun dari bas dengan kecepatan purata 25km/j. Bahaya tu. Silap-silap haribulan boleh berguling. Tinggal 5 hari je la aku boleh menikmati pemandangan asap.
Emo la pulak.
Penat woo naik bas hari-hari, lebih-lebih lagi kat Jakarta ni. Tapi best, sebab macam-macam benda kita boleh tengok, dengar dan rasakan. Kalau korang nak membeli belah sambil berjalan berkeliling kota, naik bas la jawapannya. Kadang-kadang rasa macam dalam rancangan 'Semak Shop' sebab macam-macam jenis orang turun naik bas berjualan dan mendemo pelbagai jenis produk. Tadi masa dalam perjalanan balik ada orang jual slicer dengan 14 jenis mata pisau. Bas korang ada ke macam tu?
Cool kan?
Lepas tu korang boleh lihat dan dengar pelbagai jenis pesembahan dan performing arts atas bas. Yang menyanyi lah, yang bersajak lah, yang berpuisi lah. Dengan modal 500 perak untuk disedekahkan ( kira-kira 20sen ) korang boleh terhibur. Macam tadi, ada seorang pengamen ( penyanyi jalanan ) layan lagu dalam bas. Dari lagu Glenn ke lagu Dewa sehingga lagu pujaan 10 carta semua dia sapu. Sebab dia nyanyi sedap, aku kasi 1ribu rupiah sebagai bonus. Selesai menyanyi, dia turun.
Aku memandang ke luar tingkap bas sambil menikmati debu Jakarta. Tak lama lepas tu ada satu bas lain sudah potong aku punya bas. Aku nampak pengamen tadi sudah ada dalam bas tu, pulun menyanyi. Gila cepat. Wah, ni bebetul konsert bergerak.
Amacam? Siti pun tak aktif bergerak macam tu. Ada yang berani lawan?