Wednesday, July 13, 2011

Berapa banyak susu ibu perahan yang perlu ditinggalkan di rumah pengasuh?

Salam.

Hari ini saya mendapat satu informasi yang ingin dikongsikan bersama-sama ibu-ibu bekerja di luar sana yang mempraktikkan penyusuan susu ibu secara eksklusif. Soalan yang sering bermain di minda saya sebagai ibu apabila ingin meninggalkan susu perahan di rumah pengasuh. Moga informasi ini berguna untuk semua.

Seringkali kita berada dalam kekeliruan sama ada bayi kita tidak mendapat cukup susu atau tidak, terutama apabila pengasuh meminta lebih stok susu perahan dihantar. Kita tidak perlu terlalu menurut kata pengasuh sebaliknya kita boleh membuat anggaran berapa banyak yang sepatutnya amaun susu perahan yang patut diambil oleh bayi kita sepanjang kita berada di tempat kerja. Tak nak nanti bayi kita terlebih minum pulak kan.

Secara amnya, bayi jumlah oz yang bayi akan minum dalam sehari (24 jam) adalah bergantung kepada berat badan bayi tersebut (dalam pounds(lbs)) x 3 oz. Ini bermakna, sebagai contoh anak saya mempunyai berat sebanyak 7kg, bersamaan lebih kurang 15.5lbs. Cara pengiraan adalah seperti berikut:


= 15.5lbsx3oz x 9hr(jumlah jam sepanjang berada di rumah pengasuh)
                           24 hr
Nota:
1kg berat bayi bersamaan lebih kurang 2.3lbs.

Jadi, jumlah pengambilan susu perahan anak saya sepanjang berada di rumah pengasuh dalam sehari adalah sebanyak lebih kurang 15-18oz.

Namun, apabila bayi sudah mula makan, jumlah pengambilan biasanya akan berkurang sebanyak 1-3oz dari kebiasaan.






Monday, July 11, 2011

Modu Breastpump

Salam.
Bagi menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif, ibu-ibu terutama yang bekerjaya akan mencari pam penyusuan (breastpump) yang menjimatkan masa,  selesa, tidak menyakitkan, dan mudah dibawa ke tempat kerja. Tidak lupa juga pembelian pam penyusuan tersebut sesuai dengan bajet seseorang ibu itu.

Terbaru di pasaran, Pam Penyusuan Modu (Modu Breastpump) yang diilhamkan dari seorang ibu muda yang juga merupakan Kaunselor Laktasi. Pam ini merupakan pam bergred hospital untuk kegunaan persendirian. Keistimewaan pam ini yang ringan dan kecil, mudah untuk dibawa ke mana-mana.  Ciri-cirinya yang unik, mempunyai sedutan lebih kurang sedutan seorang bayi (mimic baby suction), didatangkan dengan fungsi double-pumping.
Ekstra:
Sedutan (Suction) bagi pam ini boleh dilaraskan sehingga level 6. Level 1 dan 2 adalah untuk proses stimulasi. Level 3 hingga 6 adalah level untuk mengepam. Fungsi soft-fit memberikan keselesaan kepada pengguna. Mempunyai butang untuk mencuci mesin sekiranya berlaku backflow.  Parts untuk tukar ganti juga mudah didapati.
Satu set pam ini berharga RM559.00. Tetapi untuk 2 orang pembeli pertama akan mendapat harga istimewa RM509.00. Untuk setiap pembelian pam penyusuan modu ini juga, pembeli akan menerima 2 membrane+1 kotak beg penyimpan susu ibu, hanya di Simple Mom And Kids.
Set pam ini juga boleh didapati dalam satu pakej lengkap.  Di antara pakej-pakej yang disediakan termasuklah:
Modu AIO Cooler Set (RM552.00)



Modu Shield Bag AIO Set (RM578.00)
1 set of Modu Breastpump
1 SD Shield Bag (Pilihan warna Putih, Kelabu, atau Hitam)

1 Bag For Mom Cooler Bag (Pilihan warna Kuning, Merah, Pink, Ungu, Biru atau Hijau)
1 Thermafreeze
10 PP Storage Bottles

Wednesday, July 6, 2011

Adakah Saya Kekurangan Susu?

Masalah kekurangan susu atau low milk supply adalah masalah yang sering menghantui ibu-ibu yang menyusu bayi. Kebanyakan ibu mempunyai tanggapan yang salah di dalam menilai penghasilan susu badan. Sebenarnya cara yang terbaik untuk menilai sama ada bayi mendapat cukup susu atau tidak adalah melalui:
  1. peningkatan berat badan
  2. pembuangan najis bayi yang kerap sebanyak 3-4 kali sehari. Atau, ada juga bayi yang menyusui susu ibu tidak membuang najis setiap hari. Ianya adalah normal sekiranya berlaku dalam masa 10 hari dan bayi tidak mengalami sembelit. Namun, sekiranya lebih dari 10 hari, ibu-ibu hendaklah membawa bayi berjumpa pakar kanak-kanak.

Thursday, June 30, 2011

Iman

Salam.

Semalam semasa dalam perjalanan balik ke rumah, saya dengar radio memutarkan lagu 'Iman Adalah Mutiara' nyanyian kumpulan nasyid Raihan. Ia mengingatkan saya tentang tahap keimanan saya, suami, dan anak-anak.

Di sini saya sertakan lirik bagi renungan dan peringatan kita bersama.

Iman adalah mutiara,
Di dalam hati manusia,
Yang menyakini Allah,
Maha Esa, Maha Kuasa.

Tanpamu Iman bagaimanalah,
Merasa diri hamba pada-Nya,
Tanpamu Iman bagaimanalah,
Menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Iman tak dapat diwarisi,
Dari seorang ayah yang bertaqwa,
Ia tak dapat dijual beli,
Ia tiada di tepian pantai.

Walau apapun caranya jua,
Engkau mendaki gunung yang tinggi,
Engkau merentas lautan api,
Namun tak dapat jua dimiliki,
Jika tidak kembali pada Allah.

Tuesday, June 28, 2011

Mitos vs Fakta

Mitos 1
Wanita hamil tidak boleh mengambil minuman berkafein.

Fakta 1
Sebenarnya ianya adalah selamat bagi wanita hamil untuk minum minuman berkafein sebanyak 200mg/12oz sehari, tetapi tidak digalakkan untuk mengambil lebih daripada jumlah tersebut kerana dikhuatiri berlaku keguguran.

Mitos 2
Tiada risiko bagi ibu dan bayi sekiranya mengambil epidural.

Fakta 2
Terdapat beberapa risiko yang mungkin dialami setelah pengambilan epidural seperti menggeletar, sakit belakang, dan pernafasan tersumbat, juga boleh menyebabkan proses kelahiran semulajadi lebih sukar.

Mitos 3
Ibu baru melahirkan mudah lupa.

Fakta 3
Walaupun ibu-ibu yang baru melahirkan mudah lupa perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan bayi, namun data penyelidikan menunjukkan peningkatan di  beberapa bahagian otak/minda yang menjadikan ibu-ibu lebih pantas dan bijak selepas melahirkan.

Mitos 4 
Bayi yang besar/ berat semasa berada di dalam kandungan akan menyebabkan proses kelahiran lebih sukar.

Fakta 4
Sebenarnya banyak faktor yang akan membawa kepada proses kelahiran menjadi lebih sukar, salah satu penyebab utama ialah kedudukan bayi semasa di dalam kandungan.

Mitos 5
Sekiranya seseorang ibu itu tidak mengamalkan diet/ pemakanan yang sihat, lebih baik memberi bayi susu formula.

Fakta 5
Kecuali seseorang ibu itu mengambil dadah atau ubat-ubatan yang mengandungi dos yang tinggi, penyusuan susu ibu (breastfeeding) itu sentiasa merupakan opsyen terbaik bagi bayi berbanding susu formula

Thursday, April 14, 2011

Kehamilan: Pengalaman dan Tips

Setelah tiga tahun menempuh alam rumah tangga, kini saya telah memiliki sepasang cahaya mata. Seorang puteri yang comel yang bijak, petah berkata-kata pada usia 1 tahun 7 bulan diberi nama Zara Damia. Namun, hanya bertahan lebih kurang 2 bulan setengah sahaja breastfeed (itupun mix up dgn susu formula). Dan seorang putera yang tinggi dan comel, juga menampakkan tumbesaran fizikal yang lebih cepat berbanding kakaknya, tidak lupa, tersangat manja dgn mak nya (that's me), diberi nama Muhammad Izz Irfan (dah nak masuk 4 bulan breastfeed, Alhamdulillah).

Teringat kembali pengalaman mengandung kedua-dua anak. Memang ada perbezaan antara kedua-duanya. Semasa mengandung anak yang sulung, saya terlalu teruk mengalami alahan. Semua makanan akan keluar balik sejurus selesai makan. Badan saya rasa terlalu lembik pada 4 bulan pertama. Masuk trimester kedua, saya mula sihat, sudah tiada lagi muntah-muntah selepas makan. Apabila sampai ke trimester ketiga, saya mula melalui pengalaman seperti di trimester pertama tetapi kali ini tidak terlalu teruk. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah saya melahirkan.

Berbeza dengan pengalaman semasa mengandung anak kedua, tiada alahan pada waktu siang, hanya alah pada waktu malam sepanjang 3 bulan pertama. Selepas itu, semuanya ok. Lebih aktif dan tidak duduk diam.

Dari segi kesihatan diri semasa mengandung, mengandung anak sulung, saya tiada masalah kesihatan. Tetapi mengandung anak kedua, saya kerap mengalami 'urinary infection'. Kurang minum air masak, doktor kata. Memang benar seperti yang diberitahu doktor, kekadang saya terlupa untuk minum air.

Dari segi persediaan rohani dan pendidikan semasa di dalam kandungan, mengandung yang sulung, saya kerap berzikir, solat sunat, membaca al-quran. Di samping itu, kerap bersembang dan memberi nasihat kepada anak sambil mengusap perut. Tetapi bagi anak kedua, saya kurang melakukan perkara-perkara tersebut kerana lebih sibuk, konon! (Hmm, mak minta maaf Irfan. Bukan sengaja tapi berusaha juga mencuri masa untuk membaca al-quran untuk anak tersayang. Cuma tidak berulang kali seperti mengandung kakak Damia).

Puan-puan, ingatlah, curi masa sebanyak mungkin untuk persediaan rohani dan kerapkan berkomunikasi dengan anak semasa di dalam kandungan. Saya boleh lihat perbezaan di mana anak yang sulung lebih mudah menurut kata berbanding yang kedua. Anak yang sulung apabila lahir, sudah biasa mendengar nasihat saya sejak dari dlm kandungan. Tetapi putera saya, dia mudah faham apa yang saya cakap cuma mungkin dia perlu sedikit masa untuk memproses data yang kita beri. Namun, Alhamdulillah, semakin dia membesar, hari ke hari Irfan makin pantas memahami dan mendengar nasihat. Saya mengingatkan diri saya supaya sekiranya ada rezeki, dapat melalui pengalaman mengandung sekali lagi, saya berharap dapat membuat persediaan rohani dan pendidikan awal semasa bayi masih di dalam kandungan.

Di sini adalah antara surah-surah yang digalakkan untuk dibaca oleh bakal-bakal ibu (Baca berulang kali, jika boleh):
  • Al-Fatihah
  • Surah Maryam
  • Surah Luqman
  • Surah Yusuf
  • Surah Hujurat
  • Surah Yaasin
  • Surah An-Nahl
Selepas selesai membaca al-quran, berdoalah dengan penuh yakin dan insaf, untuk Allah permudahkan segala urusan; sepanjang mengandung, bersalin, dalam pantang, dan sepanjang membesarkan anak-anak. Jangan lupa juga mohon ampun daripada suami kerana syurga seorang isteri terletak pada suami.