Saturday, August 28, 2010

Sudah fikir raya???

بسم الله الرحمن الرحيم

Tinggal beberapa hari je tinggal Ramadhan, sedih pun ada. Aku suka sangat bulan Ramadhan, sebab apa ek? sebab banyak sebab,antaranya bulan ini bulan dimana bulan manusia kembali kepada fitrah. Asal fitrahnya manusia ini sukakan kebaikan dan ketenangan, bulan ini ramai manusia yang berlari-berlari membuat kebaikan, kalau sebelum bulan ini, anak-anak yatim dilupai, tak tahu wujudnya persatuan atau pertubuhan anak yatim di tempat sendiri, bulan ini mencatat sejarah anak-anak yatim diingati, disumbangnya pelbagai hadiah, dijemput makan ke hotel-hotel lima bintang dan dilayan seperti anak sendiri...Sepatutntnya bukan pada bulan ini sahaja pon, kita wajib menghargai dan meraikan mereka. Teringat firman Allah mengenai anak yatim dalam Surah Al-Baqarah:22

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakalah: "Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerusakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Sekiranya ada kekawan kita yang statusnya anak yatim, layan la mereka dengan sebaiknya, jagalah hatinya. Malam sepuluh Ramadhan yang masih tinggal ini,sepatutnya masjid-masjid menjadi tempat untutk bertaqqarub pada yang Esa, tapi pelik masa ni la tengok kat masjid semakin berkurang orang solat tarawikh. Lagu raya dah pasang, hiba rasanya...adakah ramadhan kali ini aku sudah buat sehabis baik dalam mengejar kebaikan dan kebajikan.

Bulan ini bulan orang ramai bersedekah, kalau minta sumbangan untuk program selalunya dapat banyak, kalau bulan lain berkira sikit la orang nak bagi sumbangan..hihihi. Kita ambik teladan dan ikutan dengan akhlak Nabi Muhammad S.A.W, walaupun baginda pun tidak berharta baginda tetap bersedekah. Dalam satu peristiwa, pernah Nabi memberikan baju yang baru dibeli dan dipakainya apabila didatangi oleh seorang lelaki Arab yang meminta baju itu daripada baginda.

Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: "Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya." (Sahih Muslim).

Aku juz huraikan sedikit pasal bulan Ramadhan,kalau nak dihuraikan terlalu panjang. Raya ni, ada kelainan sebelum dari tahun-tahun sebelum ini..raya ketiga sahabat serumate masa first year nak kahwin kat Bagan Serai, so dengan itu, aku bersama rombongan sahabat yang lain akan pergi ke rumah beliau...huhuh...rasanya dah lama sangat tak balik Perak. Last balik masa form 4, itupun sebab ada sepupu kahwin, rindunya pada kampung halaman, walaupun tak dapat balik Kuala, dapat jejak Perak pun rasa sangat teruja...
PERAK wait for me...

Monday, August 9, 2010

3 tahun yang berlalu


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah tamat juga akhirnya 3 tahun perjuangan sahabat-sahabat aku di UKM.
Perjuangan dalam menuntut ilmu dan membentuk identiti untuk digunakan ke masyarakat luar nanti berdasarkan acuan islam.

Terasa baru semalam kenal mereka,sedar tak sedar dah masuk 3 tahun. Banyak benda aku belajar dari mereka,erti ukhwah pengorbanan,adab dalam bersahabat dan banyak lagi kenangan manis tak dapat diungkapkan lagi. Tahun depan aku pulak grad,walaupun agak sedih tak dapat grad sama-sama dengan mereka semua,tapi apa kan daya takdir Allah dan tentukan.Jodoh, pertemuan,perpiasahan semua Allah tentukan.Aku kena banyak bersabar dan redha.

Sahabat-sahabat perjuangan Muslimat sekalian kak tikah,k.fiz,k.aisyah yusof,k.fatimah, k.jamilah,nisa',k.zan,k.kiah,k.rabunah dan k.bi..terima kasih sudi bersahabat dengan insan kerdil ini.Sahabat-sahabat fst nana,noriah,syida,izawati,k.ain,k.tasneem,mardhiah,huda,rahizah,hakim,aiman,arif dan zul...terima kasih kerana memahami perangai saya.huhuh.Tak lupa gak pada semua sahabat-sahabat perjuang ISUKM yang telah bergraduasi

Esok 1 Ramadhan,sudahkah aku bersedia dengan kedatangan ramadhan.Banyak sungguh peristiwa pada zaman nabi di bulan ramadhan termasuklah perang Badar,nuzul Al-Quran dan lain-lain.Semoga aku dapat mendapat ibrah dengan sirah yang berlaku.

Dah lama tak update blog,idea ngan ayat pun tunggang langgang,post ni aku tulis sebagai ucapan tahniah dan terima kasih aku kat sahabat-sahabat.biarlah gambar berkata-kata


Tuesday, May 18, 2010

Dulu comel sekarang Hensem


بسم الله الرحمن الرحيم


Sapu sikit,berhabuk sungguh blog ni,siap ada sarang labah-labah,ish 3x.
Bersedia mencoretkan kalam...

Entry kali ni nak citer pasal my family,about my 2 little brother,Mohd Amirruddin dan Abdul Qodir Jalaini.Adik beradik aku ramai sebenarnya,adalah 12 orang,so kena citer peringkat demi peringkat,baru ada thrill. Umur Amir sekarang 18 tahun manakala Qodir 16 tahun.Sorang lahir kat Perak sorang lagi lahir kat N.Sembilan.Qodir the only one was born at Nine State(N.9).
Sebab apa saya sayang diorang ni,sebab diorang ni best(try ikut gaya cakap dalam iklan Petronas) hahah.

Kisahnya bermula begini,nak cerita tentang pendidikan sebenarnya,dulu masa sekolah rendah kami semua disekolahkan di sekolah biasa,hanya sekolah menengah membezakan kami.
Masa tu adik aku Amir dapat 4A 1B UPSR,dengan keputusan yang dia dapat dia layak pergi ke sekolah asrama penuh atau separuh penuh memandangkan quato lelaki masuk sekolah asrama penuh dilonggarkan. Suatu petang yang damai,cikgu dan guru besar sekolah rendah adik aku datang kat rumah, hajat mereka besar,diorang bawa surat tawaran MRSM untuk adik aku, mereka memujuk adikku untuk masuk sekolah itu. Mak menyerahkan segala keptusan pada adik. Sehari dua juga la dia fikir,kakak aku suruh dia masuk MRSM,alhamdulillah dia keputusan hasil pengaruh dua pihak kakak= MRSM, abang = sekolah agama. Dia pilih sekolah agama,Sekolah Agama Pedas kat N.9. Kat sekolah dia pegang pengawas sekolah dengan badar,sejuk telinga dengar. Kalau balik rumah je,mesti dia citer pasal pergerakkan Badar dan masalah kawan-kawan kat aku,ala-ala usrah pula.

Adik aku Qodir plak dapat result best nyer UPSR 5A..tanpa was-was terus dia masuk sekolah asrama penuh SMKAP Labu...Banyak benda yang aku dapat dari adik aku yang dua orang ni.
Sorang suka nasyid,Amir.Sorang lagi Qodir suka silat.Adik-adik aku ni macam bodyguard aku lebih kurang.Kalau nak pergi mana-mana selalunya diorang teman,walaupun pegi pekan jalan kaki.Paling aku sayang sangat dengan diorang ni,selalu kongsi ilmu agama yang diorang dapat.
Result Amir SPM gempak juga,boleh masuk matrik dan universit jadi jurutera tapi tekad dia kuat,cita-cita nak mendalami tafsir al-quran dan hadis kat Mesir..kesian tengok dia,kawan-kawan yang sebelum ni masuk kelas untuk STAM keluar bila dapat masuk matrik.Aku sokong 100% dengan keputusan dia, bagi aku,nak atau tidak dalam satu keluarga mesti ada sorang yang mendalami ilmu agama dengan mendalam,supaya keluarga boleh rujuk pada dia.

Tak tahu nak cerita apa lagi,tapi apa yang penting ilmu je yang boleh mengubah nasib seseorang.
Kedudukan orang yang berilmu berbeza dengan orang tidak berilmu di sisi Allah sebagaimana dalam firman Allah

"Allah akan mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan diberikan ilmu di antara kalian beberapa darjat. Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan."
(Al-Mujadilah 58:11)




Monday, April 5, 2010

Yes I Can !!!

بسم الله الرحمن الرحيم


Memecahkan rekod tidak mengupdate blog hampir sebulan,apa yang menyibukkan diri saya selama 3 minggu lebih ni, saya pun tak tahu..huhu.Sebenarnya dalam masa 3 minggu lebih ini saya disibukkan dengan presentation yang banyak dan assaiment berkumpulan yang memerlukan komitmen.Semua itu hanya alasan.hehe.

Bila petang tiba,hujan rahmat mula turun,katak-katak membunyikan iramanya,tidak lupa juga aku melihat katak-katak ini bukan sahaja menyanyi tetapi "melompat-melompat" keriangan,seakan-akan memahami situasi negara.Slogan-slogan satu atau One semakin rancak kedengaran di corong-corong radio dan paparan televisyen.

Keris kesultanan Melayu kembali dijulang sehingga lupa adab dan budaya sebagai seorang beragama.
Suasana Malaysia yang penuh dengan dengan corak warna-warni membuatkan aku banyak berfikir,suatu masa nanti aku pula yang mecorakkan negara ini.

Sebelum aku mencorakkan negara ini dengan warna yang cantik, perkara asas atau pembentukkan seorang muslim perlulah dilatih sejak sekarang. Yakin, ini lah tajuk entry sebenar yang aku mahu sampaikan."You is what You Think".."Yakin la pada diri,semua benda boleh terjadi".Slogan ini seringkali didengari, lebih-lebih lagi nak dekat exam. Betul tak?..

Sebelum aku menghuraikan lebih panjang, ingin aku bawakan sebuah kisah teladan yang dibawakan dalam sebuah hadith sebelum kelahiran nabi Muhammad S.A.W.Kisah ghulam dakwah,ahli sihir dan seorang abid.ceritanya lebih lanjut boleh baca di sini. Aku mengetahui kisah ini melalui buku yang diberikan oleh ustazah ku di sekolah menengah sebagai bekalan masuk ke menara gading. Aku masih simpan buku itu "Antara Iman dan Harakah" . Begitu banyak ibrah dan pengajaran yang aku dapat dari kisah ini. Paling menyentuh hati seorang muslim iaitu sifat yakin pada Allah itu penting. Ghulam itu yakin hanya Allah sahaja boleh mematikannya walaupun begitu banyak cara hukuman yang diberikan oleh pemerintah yang zalim itu.

Teringat usrah beberapa minggu lepas yang menghuraikan tingkat yakin oleh tokoh terkenal ibnu Taimiyah.Ada 3 peringkat. Pertama : ilmu yakin, kedua : ainul yakin dan ketiga : hakkul yakin.Ibnu Taimiyah berkata :ilmu yakin itu adalah ilmu yang kita dapat melalui pengkhabaran, pemerhatian dan dan perbandingan.Yang kedua ainul yakin iaitu apa yang kita lihat dengan mata kita dan ketiga hakkul yakin iaitu merasainya sendiri. Sebagai contoh madu. Kita mendengar dari kawan-kawan kita madu ini manis (ilmu yakin). Kita melihat sendiri madu itu dikerumuni dengan semut (ainul yakin) dan akhir sekali dengan merasainya, madu memang manis (hakkul yakin).
Keyakinan diri itu hadir apabila kita yakin dengan Allah. Sebab apa aku cakap macam ini. Apabila kita yakin Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa, maka sesuatu perkara yang kita ingin kita lakukan kita pulangkan pada Allah setelah berusah kerana kita yakin Allah lah yang menjadikan sesuatu perkara, memberikan kekuatan dan mennghilangkan rasa takut kita.

Bagaimana mendidik diri supaya yakin pada Allah. Hanya menyucikan diri dengan membuat perkara-perkara wajib dan sunat. Apabila bersangka baik dengan Allah, maka Allah akan memberikan apa yang kita sangkakan. Seperti mana dalam firman Allah dalam Hadith Qudsi : "Aku adalah apa yang hambaku sangkakan, dan Aku akan selalu bersamanya selama ia mengingatku". Ayat ini seringkali menujah dikepalaku apabila sedih menimpa diri, hilang keyakinan diri dan iman ku berkurang.. Buku Dr. Abdullah Aidh Al-Qarni dengan tajuk "Rahsia dan Keajaiban Cinta Allah s.w.t" yang aku sedang baca ini membawa makna sebenar keyakinan seorang hamba kepada penciptanya. Beliau menerangkan bagaimana cara mencapai kejayaan yang sebenar sebagai seorang muslim katanya " qiamulail merupakan kunci utama kejayaan hidup. Dengan qiamualail, seseorang akan berhati lapang sehingga semua masalah yang dihadapi dengan sikap positif . Sebab orang yang sentiasa Qiamualail adalah orang bersyukur kerana hati telah jernih serta dalam suasana keheningan malam maka orang yang berqiamulail akan mudah berfikir, baik untuk memperolehi tambahan ilmu mahupun memikirkan jalan keluar terhadap pelbagai masalah." Beliau juga penulis bagi buku yang terkenal iaitu "La Tahzan".

Tidak mahu memanjangkan kalam atau bicara. Satu pesanan yang diberikan oleh sifu kepada anak muridnya panda dalam filem kartun Kungfu Panda yang boleh kata peransang pada kawan-kawan

"There is no secret ingredient, you just have to believe"

Slogan saya "Yakin la Pada Allah, Kita akan yakin pada diri"




Wednesday, March 10, 2010

Syurga Cinta vs Ketika Cinta Bertasbih

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya kerana diberi nikmat untuk bernafas di bumi yang semakin tua ini dan nikmat yang paling besar iaitu iman dan islam. Kalau sesiapa yang add facebook saya, saya pernah tulis dalam post wall saya "Saya mengimpikan novel Kombat Faizal Tehrani difilemkan,boleh jadi filem box office Avatar arahan James Cameroon kalah,tapi sapela yang nak jadi pengarah"..tak ramai yang respon dekat post tu, tapi saya tetap berterima kasih sesiapa yang sudi respon. Mungkin salah satu sebabnya tak ramai yang tahu novel Kombat tu.huhu.

Didikan dalam rumah itu penting. Kenapa saya cakap macam ni tetiba? Bila abang saya yang keempat balik kampung, dia selalu pesan kitorang, "abang Min tak suka kamu tengok tv drama melayu dan hindustan". Oleh kerana pesanan itu adalah tegas, kami terpaksa lah ikut.hiihiihi.Sebab apa ye abang Min tak bagi tgk drama melayu? kalau filem hindustan saya faham la,ada adegan-adengan yang tak elok untuk dilihat.Dari sekolah menengah lagi kitorang satu keluarga memang jarang tgk drama melayu except Cerekarama TV3 pukul 10 ari Sabtu. "Kalau drama melayu tak boleh tengok kami boleh tgk apa jer bang?". "Kamu tengoklah citer Inggeris kan ada"


Boleh tak saya katakan drama atau filem Melayu sekarang tak berkualiti?..hehehh ayat kontroversi.Sabtu lepas saya terbaca artikel dalam suratkhabar,tajuk " Filem tidak manfaatkan sastera"..pandangan ahli-ahli sastera lebih kurang macam pandangan saya..(perasan la plak)..Antara pandangan mereka yang memberi kesan pada fikiran saya; terlalu banyak anugerah yang diterima oleh para sasterawan negara tetapi tidak semua yang tahu, hanya golongan penyelidik sastera je yang tahu.Sebagai contoh sasterawan negara A.Samad Said karya sastera yang mendapat pengiktirafan "Hujan Pagi".Shahnon Ahmad dengan karyanya yang mengungkapkan kemanusiaan dan kemiskinan zaman kanak-kanak dalam "Ranjau Sepanjang Jalan" dan banyak lagi. Adakah karya-karya yang dihasilkan oleh sasterawan negara terlalu ketinggalan zaman sekiranya diadaptasi kepada filem?. Saya rasa anggapan begini salah,sebagai contoh filem Laskar Pelangi diadaptasi oleh novelnya, filem ini sangat mudah menceritakan kehidupan kanak-kanak miskin yang tinggal di kawasan pedalaman yang mempunyai begitu banyak impian dan mimpi untuk dikecapi, perjuangan guru-gurunya dalam mempertahankan sekolahnya untuk melihat anak-anak muridnya bersama harus dipuji.Filem ini mendapat sambutan ramai tidak kira di Indonesia mahupun dari luar negara.

Terbaru hangat diperkatakan dalam facebook di kalangan kawan-kawan fb saya mengenai Ketika Cinta Bertasbih,filem ini saya beri lima bintang."Terbaikla Pak Habib". Filem islamik yang meletup sehingga menjadi topik perbincangan manusia.Apa yang ingin ditonjolkan dalam filem ini bukanlah semata-mata kisah cinta Khairul Azam dan Althafunnisa tetapi sebuah cerita motivasi kepada manusia, selagi ada usaha selagi itu ada kejayaan.

Saya ingat lagi David Teo penerbit filem "Syurga Cinta" ingin bawakan dalam filemnya "cerita ini khas kepada wanita-wanita yang bertudung untuk mengenal "cinta""..wah wah pandai dia nak ajar cinta islamik pada kita. Motif dan objektif yang tidak jelas...nampak sangat nak kaut keuntungan semata-mata.Kalau anda semua tonton citer tu for sure bezanya lain dengan KCB,dari segi pergaulan lelaki dan perempuan, aksi di dalam disko yang memalukan, pakaian yang tidak menutup aurat, cinta kepada manusia semata-mata dan banyak lagi la.fuhh

Kalau nak bicarakan pasal filem barat, terlalu banyak karya novel mereka diadaptasikan menjadi filem contohnya "Lord of The Ring" dan "Harry Potter". Saya suka tengok citer Lord of the Ring,satunya sebab filem ini guna teknologi tinggi tapi tak lupa dasar sejarah yang ingin ditonjolkan. Kisah pengembaraan, best!.

Sebenarnya produser2 filem negara kita ini boleh berjaya tapi kena buang sikap "copy dan ikut membuta tuli". Kurangkanlah citer ikutan barat yang ntah kurang bagi pengajaran pada orang "Cicak Man,Bohsia, Rempit dan citer2 tahyul" tu belum masuk drama-drama melayu lagi. Buatla filem-filem yang mendidik bangsa, klu susah sangat nak cari idea, pegi bincang dengan sasterawan negara dan terbitla filem,bukan susah sangat.

Filem yang berkualiti bagi pandangan saya mestilah mempunyai ciri-ciri mendidik jiwa bangsa, penyelidikan yang terperinci sekirnya mengenai sains dan teknologi, unsur kerohanian juga tidak dilupakan dan paling penting letakkan islam pada atasya kerana "Islam untuk semua"..sesuai untuk semua.Oklah setakat di sini sahaja. Slogan saya kali ini
"Sokonglah filem-filem Islam"

Tuesday, March 2, 2010

Sayang tak terucap

بسم الله الرحمن الرحيم


Sibuk sangat 2 minggu ni,sampai nak tengok blog pun tak larat.Tajuk entry di atas adalah tajuk satu novel motivasi bagi aku.Sayang Tak Terucap karya penulis novel yang tak asing di dunia penulisan Malaysia Nurhayati Ibrahim.Di sini aku tuliskan sedikit sinopsis novelnya.

Delilah adalah seorang anak yang ditinggalkan oleh ayahnya dan dibesarkan oleh ibu,nenek dan datuknya yang buta.Masa kecilnya dihabiskan masa menemani ibunya berniaga untuk menampung kehidupan hariannya.Datuknya walaupun buta tetapi ayat-ayat Al-Quran ada di dalam ingatannya,seringkali menceritakan sirah-sirah anbiya kepada Delilah.Perwatakan Delilah berbeza dengan rakan-rakannya,hatinya cekal dengan dugaan yang datang.

Akhirnya dia berjaya menjadi doktor gigi dan mampu membuka kliniknya sendiri.Dipendekkan cerita ayah kandungnya berjaya menjejaki keluarga yang ditinggalkan.Dengan rasa sedih,kecewa dan rajuk yang berpanjangan, Delilah menolak kehadiran lelaki itu. Baginya sekali hati terguris,lukanya berparut lama. Apa maknanya ayah apabila lelaki itu cuma muncul ketika dia sudah berjaya. Di mana tanggungjawab lelaki itu ketika dia mengharungi saat getir bersama ibu,nenek dan datuknya yang buta.

Sekaya mana pun lelaki itu,masih tidak membuka pintu hatinya.Lelaki itu tidak sama pekerti dengan datuknya.Datuknya yang buta,tapi tidak buta hatinya. Datuknya buta tapi tinggi nilai kasih sayangnya.

Pun begitu,mestikah dia membiarkan rasa benci itu terus membelenggu hidupnya? Apalah guna akal fikiran jika tidak guna sewajarnya. Perlahan-lahan dia mengerti rahsia kehidupan,menginsafi kelemahan dan kekurangan setiap insan. Di bawa dirinya ke Mekah menunaikan umrah,di situ satu kisah pengorbanan dan kemaafan mengusik hatinya.Kisah Siti Hajar ditinggalkan bersama anaknya yang masih kecil,Nabi Ismail.

Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah.

Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:

"Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"

Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini."

Nabi Ibrahim menjawab: "Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..."

Siti Hajar bertanya lagi: "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"

Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah."

Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.

Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.

Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami," kata Siti Hajar.

Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: "Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."

Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar.

Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku.

Delilah mual tersedar,kisah yang pernah diceritakan oleh datuknya.Dia menginsafi diri,"mampukah aku menjadi sperti Siti Hajar".Pulangnya dari umrah membawa sinar kemaafan pada ayahnya.Syarikat besar milik ayahnya diserahkan kepada anak kandungnya,Delilah.

Tatkala habis novel ini dibaca,ketika itu juga air mataku berlinang laju."Ya Allah Ya Tuhanku,lembutkanlah hati hambamu ini dan jadikanlah aku setabah Siti Hajar"



Wednesday, February 17, 2010

Masih ada masa untukmu


بسم الله الرحمن الرحيم


Begitu sukar untuk aku mulakan bicaraku pada kali ini,mengorek semula kenangan yang berada kotak minda untuk dikongsikan pada para pembaca.
Kisahnya bermula di sini...

"Aku datang sekolah ini pun sebab mak ayah aku yang suruh,kalau diikutkan hati aku tak nak belajar dah"kata-kata seorang teman aku selepas beberapa bulan berkenalan.Dia mula tidak segan untuk bercerita lebih dalam kisah peribadinya padaku.Aku mendengar dengar teliti..."aku kesian sebenarnya kat mak ayah aku,banyak sangat aku susahkan diorang.Selalu je sebelum ni,aku lari rumah,agaknya diorang tak tahan diorang hantar aku kat sini" kalau kau lari rumah kau duduk umah sape?.."rumah boyfriend aku"dia menjawab..dalam hatiku cuma beristighfar panjang."Kau nak tahu satu perkara tak?"."Apa dia?Kalau kau nak tahu aku pernah gugurkan anak 2 kali.Sakit memang sakit tapi macamana nak buat aku tak ready lagi nak jaga anak."Ya Allah,betul ke yang aku dengar ni,mak ayah kau tahu tak ni?dia pun jawab macamni,mak ayah aku tahu je,pernah je diorang cari aku kat umah boyfriend aku pujuk balik,mak aku menangis ayah aku tak tahu nak buat macamana dah,diorang dah tak larat marah aku."Ya Allah bukakan pintu kawanku ini untuk kembali semula di jalanMu"

Aku hanya mengeleng,terkejut,sedih dan takut dengan apa yang aku dengar.Aku tak pernah jumpa mak ayah dia ni,tapi aku dengar mak ayah dia memang baik sangat.Mak ayah member aku ni tak abis belajar,mungkin salah satu faktor menyebabkan anak dia jadi macam ni.Sebab apa aku cakap macam ni,faktor utama perkara ni boleh berlaku sebab mak ayah kurang tahu atau jahiliyah bab-bab agama ni.Didikan agama yang diberikan kat anak-anak kurang.

Aku nampak perubahan pada diri dia,rajin dia membaca al-quran sebelum tunggu azan maghrib semasa berkumpul di surau blok asrama.Walaupun bacaan merangkak-rangkak.Dia aliran vokasional,boleh dikatakan cepat pick up dalam bab pelajaran,selalu juga dia minta aku ajar matematik moden,salah satu subjek sama dengan aku.Walaupun kadang-kadang ada solat yang ditinggalkan tapi aku cuba sedaya upaya mengingatkan dia perkara-perkara wajib yang perlu dibuat.Alhamdulillah dia dengar nasihat aku,dia bukannya macam sesetengah member dalam dorm aku yang susah ditegur bila bab-bab fardhu ni.

Pada suatu petang yang damai...aku terdengar kecoh-kecoh dari blok asrama aku.."wei korang nak tahu "....." lari pegi landasan kereta api nak bunuh diri." Aku mula mencari kesahihah berita,aku sibuk bertanya kepada member-member yang melihat perkara ini.Ada sorang kakak pengawas dia mengiakan kejadian tersebut "kalaula akak tahu cikgu hensem yang selamatkan "......" akak pun nak g bunuh dirila..hahha" main-main pulak akak ni,aku tengah risau apa yang berlaku dia ni plak gatal pasal cikgu muda yang selamatkan member aku ni dari bunuh diri...Fuhh memang dashyat.Aku berasa sangat bersalah,aku kurang mendampingi dia kerana terlalu sibuk dengan pelajaranku,aku hanya boleh memerhati dan berbual sesekali dengannya kerana kami bukan dari kelas yang sama.

Esoknya,mak ayah dia datang jumpa pengetua.Dia kena kaunseling sikit.Akhirnya keluarga dia buat keputusan untuk berhentikan dia dari sekolah.Sedih hati hanya Allah yang tahu.Aku tak tahu apa akan jadi kat member aku lepas ni.
Kebanyakkan member-member aku yang dihantar ke sekolah ada masalah keluarga,contohnya family broken,sehinggakan dia larut dengan boyfriend dia,tapi dia ni untung sikit sebab family dia kaya.Aku rasa bersyukur dan beruntung sebab Allah tempatkan aku kat sekolah ni supaya aku mendapat pengajaran dan ibrah apa yang terjadi.Hikmahnya terlalu besar.Realiti yang sukar untuk diterima.



Adakah pintu taubat tertutup bagi mereka?tidak kerana Allah Maha Pengampun asalkan mereka bersungguh-sungguh bertaubat kepadaNya.Aku pernah berbincang dengan sahabat-sahabat aku ini tentang pembuangan bayi.Satu statement yang aku suka sangat dengar dan menjadi muhasabah bagi aku "saya pernah melihat orang melakukan dosa besar,diakhir hayatnya dia bertaubat dan menjadi orang yang soleh..tapi kita tak tahu akhir hayat kita sama ada baik atau buruk,semoga Allah tetapkan kita dalam islam"

Di sini dapat kita simpulkan keluarga bahagia yang cukup dengan didikan agama amat penting untuk lahirkan anak yang soleh dan solehah dengan izin Allah.Keluarga yang berpecah boleh menyebabkan bermacam-macam kemungkinan yang negatif tetapi kita pulangkan semula pada setiap iman individu.Jalan taubat masih terbuka untuk semua orang kerana Allah Maha Penyayang.Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 53


"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),janganla kamu berputus asa dari rahmat Allah,kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani"