ANALISISOleh
M FAQIHMENGAPA tiba-tiba Timbalan Presiden Umno meminta Badan Perhubungan Umno Kelantan mencapai sifar masalah dalaman. Dato’ Seri Najib Razak meluahkan isi hatinya itu ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah, 20 Julai lalu.
Kata orang, kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang.
Sayangnya apa yang diluahkan Najib tidak berlaku di depan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Annuar Musa. Pemimpin Umno Kelantan yang ada ketika itu hanya timbalan ketua, Dato’ Dr Awang Adek Hussin dan ahli Majlis Tertinggi, Dato’ Mustapa Mohamed.
Ke mana menghilangnya Annuar. Khabarnya beliau bercuti di Eropah sejak 8 Julai lalu. Dan difahamkan hanya kembali ke Kelantan pada 21 Julai. Tentunya agak tidak manis kedatangan seorang Timbalan Perdana Menteri tidak disambut ketua Umno negeri.
Ada andaian yang menyebut kedatangan Najib pada Jun lalu juga tidak disenangi Annuar. Mengikut maklumat dari Jeli, Najib cuba mempopularkan setiausaha politiknya, Dato’ Mohd Fatmi Che Salleh yang kini memangku jawatan Ketua Bahagian Kota Bharu.
Sehingga kini kehadiran Fatmi telah berjaya menyingkirkan Dato’ Zaid Ibrahim yang masih digantung tidak bertali sebagai ketua bahagian. Biar pun Zaid pernah diberi tempat sebagai Timbalan Ketua Perhubungan, namun kelantangannya menyebabkan pemimpin di Kuala Lumpur merasakan tidak selesa.
Malah, kedudukan Zaid hanya berubah selepas Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil kedudukan nombor satu di Pusat. Alasan bagi menukar mana-mana pemimpin yang pernah rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilakukan melalui pelantikan penaja selepas berlaku persempadanan kawasan pilihan raya menjelang pilihan raya umum 2004.
Ketika itulah tokoh-tokoh politik seperti Dato’ Ibrahim Ali dan Dato’ Wan Zaid Wan Abdullah turut disingkirkan.
Lalu diberinya kerusi nombor dua di Kelantan kepada Dato’ Dr Awang Adek Hussin yang ketika itu nampak bersih.
Namun, kekeliruan baru pula berlaku apabila dikatakan Annuar sekarang difahamkan cuba ‘berjinak’ semula Zaid yang sudah berpatah arang dengan Umno Pusat. Gambarnya bersama Zaid terpampang pada banner di Kampung Paloh, Pintu Geng. Ini seakan membuka satu dimensi baru politik Umno Kelantan.
Annuar dilihat meletakkan dirinya dalam kem kedua, seakan-akan menjarakkan dirinya dengan Awang Adek dan Mustapa.
Dan kekeliruan tambah jelas lagi apabila Annuar tiada semasa Najib datang ke Tumpat dan Pasir Mas. Sekali pun masih melancong atau mengurus bisnes yang belum selesai di United Kingdom, kehadirannya amat perlu.
Sebab itulah Najib seperti sudah merasai bahang dalaman Umno Kelantan sekarang. Sebagai Timbalan Presiden beliau amat mengharap Umno Kelantan sifar masalah dalaman, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.
Mesej yang dibawa Najib mungkin pesanan dari Presiden parti sendiri. Ini kerana sudah banyak peruntukan dilaburkan ke Kelantan dalam agenda merampas negeri dari tangan PAS.
Bisnes Besar
Nampaknya, habuan peruntukan yang diharapkan, membuatkan Umno Kelantan semakin berkecamuk. Mengikut sumber, Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Alwi Che Ahmad pada satu perjumpaan dengan kontraktor di sebuah hotel di Kota Bharu baru-baru ini mengakui semua pemimpin Umno Kelantan mempunyai bisnes besar.
Malah, ada kontraktor mendakwa Alwi mempunyai projek ratusan juta di luar Kelantan. Dan dia seperti mengakui menghadapi kekangan masa untuk memikul tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan Umno parti kerana hambatan projek di tempat jauh.
Dan kontraktor yang hadir itu dibisik-bisikkan, Adun Kok Lanas juga dikatakan mempunyai bisnes besar termasuk di Indonesia dan United Kingdom . Ada kontraktor yang nakal membisikkan ‘Annuar Musa bercuti di UK kerana sedang mengurus perniagaan.’
Bukan setakat bisnes sahaja, agak nakal diberitahu pemimpin terbabit mengarahkan kontraktor yang diberi anugerah projek di Ketereh menampal gambarnya pada signboard.
Inilah isu yang berligar dalam rumah tangga Umno Kelantan. Secara jelas digambarkan agenda pemimpin Umno yang ada sekarang bukan lagi kerana ketuanan Melayu sebaliknya membina empayar peribadi.
Seorang bekas pemimpin Umno Gua Musang mengakui hakikat itu. Tiga projek besar yang akan diumumkan sempena lawatan Perdana Menteri 2 Ogos depan, kesemuanya sudah berada di dalam genggaman pemimpin Umno. Bukannya kumpulan kontraktor Melayu yang siang malam merayu mendapatkan projek bagi membeli keperluan anak isteri.
Projek pembinaan Kolej Matrikulasi di Kok Lanas, kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra kedua semuanya milik pemimpin Umno.
Projek itu dikatakan memberi keuntungan berganda kepada mereka, bukan lagi sekadar membeli keperluan anak isteri. Isunya apa pula yang mampu dilakukan 3,411 kontraktor berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan CIDB.
Ini kerana semua projek mega dikaut pemimpin Umno.
Harapan yang ada mereka hanya menunggu tempiasnya untuk mendapatkan subkontrak, setidak-tidaknya boleh membayar ansuran Mercedes. Masalah seperti inilah yang menyebabkan tiga jambatan kecil di Tendong, Bukit Panau serta Ketereh yang dianugerah kepada kontraktor politik gagal disiapkan selepas bertahun.
Mungkinkah ekoran kecelaruan itu menyebabkan semakin ramai bekas pemimpin Umno yang ada jati diri mengisytihar meninggalkan parti. Sehingga kini empat bekas anggota jawatankuasa Umno di Ketereh mengucap selamat tinggal kepada Annuar.
Namun, bagi pendokong Umno yang mengharap rezeki dengan anugerah projek kerajaan masih mendambakan harapan kepada Awang Adek. Ini kerana jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Sebab itulah beliau dijemput merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Kelantan, baru-baru ini. Namun, di sebaliknya kehebatan ikon baru itu, rupa-rupa wibawanya juga semakin merosot.
Umno Bachok
Umno Bachok juga dikatakan bergolak sekarang. Krisis di antara Awang Adek dan timbalan ketua bahagian, Dato’ Dr Ilias Husain tidak mampu disembunyikan lagi. Puncanya dikatakan berlaku pada 8 Julai lalu apabila Awang berkenan sangat kepada Pengerusi Eksekutif Kobena, Dato’ Ibrahim Mat Din untuk dijulang di Tawang.
“Ini menimbulkan kemarahan bekas calon lalu, Zulkifli Zakaria” kata seorang ketua cawangan Umno di Jelawat. Begitu juga tarik tali mengenai tapak pembinaan Hospital Bachok. Ilias mahu kekal di Jelawat, Awang Adek mengheret ke Tangok.
Awang sekarang dikatakan cuba mempengaruhi Annuar bagi membolehkan calon tajaanya diketengahkan. Dan kehadiran Ibrahim tentunya akan mencabar kedudukan Ilias di Bachok pada pemilihan parti tahun depan.
Mungkinkah dalam situasi sekarang Annuar boleh percayakan Awang Adek yang sebelum ini diuar-uarkan bakal menggantinya di perhubungan negeri. Sebaliknya Annuar dikatakan lebih senang dengan Ilias.
Bagaimana pula suasana di Tumpat. Ketua Bahagian Dato’ Noor Zahidi Omar difahamkan tidak senang dengan gaya baru timbalannya, Mohd Nor Yaakub. Mohd Nor kini dikatakan telah berubah gaya hidup.
Tanah Merah
Tidak kurang juga di Tanah Merah. Ketua Bahagian, Dato’ Hashim Saffin dikatakan mahu beralih angin. Beliau disebut cuba mengintai kerusi Parlimen yang kini dipegang Ir Shaari Hassan.
Kedudukannya di kerusi Dun Gual Ipoh semakin tercabar sekarang. Bekas Ketua Pemuda Umno Tanah Merah, Ikmal Hisyam Aziz pula cuba dijinakkan di tempat Hashim sekarang.
Di Pasir Puteh pula sehingga kini 12 nama disebut-sebut untuk mengintai lima kerusi calon di situ. Dato’ Fahami Rejab sering kelihatan di Limbongan setiap hujung minggu. Beliau dikatakan mengintai kerusi Limbungan. Begitu juga bekas wartawan, Dato’ Yazid Othman difahamkan cuba berjinak di Selising.
Kecamuk isu calon Umno begitu ketara sekali. Keadaan yang berlaku sekarang menyebab Umno terpaksa melakukan sesuatu bagi membendung konflik yang semakin terdedah. Maka strategi yang dirancang iaitu membeli ruang iklan dalam sebuah akhbar tempatan.
Sejak beberapa minggu lalu, iklan pelbagai berita, analisis dan rencana dimuatkan setiap hari bagi menggambarkan moleknya wajah Umno Kelantan.
Akhbar terbabit yang mana permitnya dikatakan dimiliki bekas wartwan yang dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Umno seperti sedia diperalatkan. Umno tidak mampu menggunakan akhbarnya sendiri, al Haq bagi menyampaikan mesej tersebut.
Biar pun diletak di masjid dan gerai-gerai akhbar secara percuma, tidak ramai yang berminat dengan al Haq. Lalu jalan pintas digunakan dengan menaja iklan akhbar harian itu. Strategi awal itu rupa-rupanya berjaya dikesan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengisytihar memboikot akhbar terbabit.
Bukan kerana sentimen kepartian, sebaliknya disebabkan akhbar itu seperti menjadi tali barut parti politik. Dan lihatkan sedikit masa lagi, akhbar itu mungkin mengambil alih peranan al Haq.
Seperti pernah diakui pengarang kan an akhbar itu kepada seorang pemimpin PAS sebelum ini. Katanya, dia tidak jamin akhbar terbabit mampu mengekalkan identiti asal menjelang pilihan raya.
Jelas di sini Umno Kelantan seperti dalam kekalutan. Bilion ringgit yang dilaburkan ke Kelantan, akhirnya PAS pula semakin dekat di hati rakyat.