petikan tulisan www.suaramalaysia.net
Adakah dominasi UMNO dalam Barisan Nasional dijadikan alasan untuk bertindak memperjuangkan semua kaum lalu mengetepikan atau secara relatif mencairkan sedikit perjuangan Melayu dalam UMNO. Adakah dominasi dalam BN dan kerajaan menjadikan UMNO – kena melipatkan ganda usaha untuk 1 Malaysia – serta mengikut ragam serta retak dan tari Parti Keadilan Rakyat yang konon-kononnya menolak isu rasis – mengutamakan perjuangan semua kaum – menjadi parti bagi semua kaum. UMNO terpaksa – dipaksa dan perlu – kerana desakan kekuatan kaum lain yang dilihat jadi penentu kuasa – penentu undi, akibat undi Melayu yang berpecah.
Maka adakah kita harus biarkan sahaja peruntukan Perlembagaan 153 – menjadi benteng untuk mempertahankan Melayu – tanpa disokong – tanpa di junjung – tanpa di pertahankan. Adakah dengan membiarkan peruntukan perlembagaan 153 itu maka orang Melayu akan terselamat – hak terbela dan martabat orang Melayu dapat dipertahankan? Adakah kita lupa keutuhan, kekuatan, kekentalan sesebuah empayar mampu runtuh hancur dan tamadun bangsa itu akan hilang tanpa perjuangan mempertahankan dan mendaulatkan bangsa dan negara itu. Kita perlu sedar – tuntutan Parti Keadilan Rakyat, memecahkan tembok perkauman – tanpa wujud demarkasi antara kaum, seumpama mencairkan keistimewaan dan hak orang Melayu dan ini hanya agenda politik tanpa kesedaran dan tanpa tanggungjawab dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu. Adakah itu perlu kita turutkan? Adakah demi memastikan undi kaum lain – khususnya Cina dan India maka sekali lagi Melayu perlu berkompromi dan hari ini UMNO juga harus mencairkan – menggantikan laungan hidup Melayu kepada 1 Malaysia.
Bertepuk bersorak kita dalam Perhimpunan Agung UMNO 2009 – berusaha merealisasikan 1 Malaysia. Kita seakan sudah sedar – mengetahui bahawa formula kemenangan Pakatan Rakyat adalah meruntuhkan perjuangan Melayu – mengurangkan makna Islamisasi dengan mempertontonkan Islam Liberal dan moden oleh PAS, lantas kita bangga – mengetahui formula kejayaan Pakatan Rakyat dan ini akan dapat memulangkan sokongan kepada BN sekiranya tari dan rentak ini di gunakan oleh UMNO. Bangga sehingga ada yang mengatakan bahawa perjuangan Ketuanan Melayu – memfokuskan agenda kepada Melayu adalah perjuangan ortodoks. UMNO kena keluar dari hanya menjadi jaguh Melayu kepada jaguh semua rakyat. Kedudukan Melayu tidak perlu di risaukan – semua terpelihara dalam perlembagaan dan kita perlu yakin bahawa perlembagaan seakan tidak boleh tergugat – kental dan kebal. Adakah ini dapat membantu – menjaga martabat Melayu? Adakah ini akan memastikan kedaulatan Melayu, hak Melayu terpelihara?
Kita perlu sedar bahawa kedudukan kita bukan tercabar baru-baru ini sahaja tetapi kedudukan kita dipersoalkan sejak tahun 1930an lagi. Hari ini adalah bunga-bunga kejayaan dalam usaha mencabar dan meruntuhkan ketuanan, mencairkan dan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu khususnya bila ada Melayu sendiri yang menyilamkan dan mengusangkan perjuangan Melayu itu sendiri.
Mungkin kita terlepas pandang kenyataan berikut :
Se awal tahun 1931 lagi kaum Cina pernah mendesak bukan sahaja hak malah berani mengatakan bahawa Tanah Melayu dan Negara - Negara Selat adalah milik orang Cina kerana mereka yang telah membangunkan Tanah Melayu.
Warta Malaysa 11/3/1931
Maka adakah UMNO – perlu turut mengusangkan perjuangan Melayu semata-mata kerana mengetahui dan melihat formula kejayaan Pakatan Rakyat pada PRU 12. Kita pernah juga dihadapkan kepada satu kenyataan Dato Onn Jaafar – Melayu perlu kuat pada teras dan bukan kulit – maka perjuangan Melayu oleh UMNO perlu – menguatkan Melayu dan ini perlu berterusan dengan tidak mengalih dan melecehkan perjuangan memartabatkan bangsa itu sendiri.
Kita perlu sekali lagi tegas dengan kekuatan penjelasan dalam membicarakan isu Melayu – tidak berkompromi – tetapi memperkuatkan justifikasi dan penyatuan Melayu khususnya dalam UMNO dalam meningkatkan martabat dan kedaulatan Melayu. Ini penting agar Melayu sedar keperluan perjuangan – tidak membiarkan bangsa lain bertepuk khususnya pejuang egois kaum lain seperti dalam DAP – bergendang untuk melihat kita dalam UMNO menari mengikut rentak.
Kita perlu mengingatkan sekali lagi, malah berkali-kali pengorbanan orang Melayu seperti digambarkan oleh Tunku Abdul Rahman :
Perbezaan kaum berlaku tahun 1956 lagi. Orang - orang Melayu sedia memberikan hak - hak yang munasabah dan patut kepada orang - orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak - hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa - bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah di perbuat oleh orang - orang Melayu. Sungguh pun ada jaminan hak - hak keistimewaan Melayu dan Perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali mencegah atau menyekat bangsa lain yang bukan Melayu daripada mencari kekayaan dan kesenangan dan lagi sehingga sekarang hak - hak keistimewaan itu masih belum lagi menghasilkan keadaan setaraf Melayu dengan bangsa - bangsa lain
Tuanku Abdul Rahman ( Malaya Merdeka 26/04/1956)
UMNO perlu terus tidak malu – tidak khuatir dan tidak berkompromi dalam mengatakan dan memperjuangkan mengenai hak orang Melayu – memperjuangkan martabat dan mempertahankan maruah orang Melayu. Sekiranya tidak maka UMNO akan hilang arah – Melayu akan lebih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan yang begitu mencabar khususnya dalam kekuatan ekonomi yang dikatakan Melayu masih terpinggir.
UMNO tidak perlu terikut-ikut, gusar dengan kebangkitan perjuangan yang palsu – kononnya menolak rasis, kononnya berbangsakan Malaysia dan kononnya tanpa demarkasi perkauman. UMNO perlu lihat propaganda politik pihak lawan yang menipu diri sendiri – mengaburi dan keliru dalam perjuangan yang dikatakan tidak berunsur perkauman. Hakikat kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, berlainan agama dan berlainan budaya perlu kita terima. Toleransi perlu, kompromi adalah dari semua pihak dan bukan malu menegakkan keadilan yang menyeluruh dan bukan keadilan bermusim.
UMNO perlu sedar kemelesetan mereka sewaktu dalam pilihan raya 12 bukan kerana penolakan rasis UMNO tetapi kesalahan lain yang jelas mengganggu imej UMNO dari sudut integriti, moral dan pencemaran budaya rasuah. UMNO kena sedar – di sebalik perjuangan pihak lawan yang kononnya tidak rasis – tetapi sebenarnya cukup rasis. Penolakan kaum lain terhadap UMNO perlu di lihat – mempunyai unsur-unsur rasis – menolak MCA parti Cina yang menyokong UMNO dan tidak nampak cauvinis dalam memperjuangkan agenda Cina serta menolak MIC yang gagal memperjuangkan agenda India adalah punca BN di tolak. Ini juga kerana pengaruh kekuatan media mereka yang memecahkan undi Melayu terhadap UMNO. Apakah ini semua tidak mempunyai unsur-unsur rasis. Relatifnya – perjuangan rasis pihak lawan adalah juga punca kenapa BN di tolak oleh kaum lain khususnya Cina dan India.
Meninggalkan agenda perjuangan Melayu akan terus menjarakkan UMNO dari Melayu dan tidak mungkin dapat merapatkan kaum lain dalam menyokong UMNO. Peranan ahli komponen lain dalam BN adalah di tuntut.
UMNO kena konsisten dalam perjuangan Melayu. Kalau sebelum ini kita sering terdengar – Datuk Hishammuddin Tun Hussein – sewaktu itu Ketua Pemuda amat berapi-api memperkatakan bahawa Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dalam mempertahankan Melayu – akhirnya hari ini semua retorik belaka.
Petikan – Dato Hishmmuddin sewaktu menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dari laman web pemudaumno.com.my :
Kuala Lumpur –- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal mempertahankan kedudukan dan hak Melayu selain menolak tanggapan pergerakan itu bergerak ke belakang.
Beliau menyatakannya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir petang tadi ekoran reaksi sinis daripada akhbar-akhbar berbahasa Cina serta pemimpin mereka terhadap pendirian Pemuda dalam mempertahankan semangat, roh dan kembali melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Menjelaskan lebih lanjut, beliau seterusnya menambah pergerakan itu tidak akan bersikap apologetik apabila mendesak agar prinsip pertumbuhan dengan ekuiti, soal pengagihan kekayaan, soal pembasmian kemiskinan bangsa dan penyusuan semula masyarakat.
"Adalah sesuatu yang amat malang apabila sesetengah pihak mendakwa isu DEB ini merupakan isu lapuk. Selain itu mereka turut mengatakan pandangan saya bertentangan dengan kehendak Presiden Parti dan menuduh saya beretorik sempit yang berpaksikan nasionalisme Melayu.
"Sebenarnya Pemuda bukan berfikiran sempit, tetapi segelintir mereka inilah yang sebenarnya berfikiran sempit. Sesungguhnya kami ingin menjelaskan bahawa DEB bukanlah agenda perkauman sempit", katanya.
DEB jelas beliau ialah agenda nasional kerana pelaksanaan, semangat dan kebijaksanaan DEB inilah yang membolehkan rakyat berbilang bangsa, berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam suasana harmoni, aman, makmur dan sejahtera.
Namun hari ini – UMNO kelihatan setelah perhimpunan Agung 2009, khususnya Pemuda seolah-olah sudah mengikut kehendak dan arah yang di tentukan oleh pihak lawan.
UMNO perlu melihat semula – punca kekurangan sokongan. UMNO perlu menganalisis semua aspek kekurangan. Perubahan perlembagaan UMNO adalah langkah baik tetapi adakah mampu perubahan itu menjadikan UMNO kembali di terima seperti zaman kegemilangan UMNO dahulu. UMNO perlu lihat dari perseptif yang lebih luas. Adakah dengan mengambil ketetapan bahawa perjuangan UMNO yang ala pro Melayu menjadikan UMNO tersisih dan kalah atau sikap kepimpinan dan budaya negatif lama menjadi penyebab utama kekalahan. Adakah tuduhan UMNO rasis itu menjadi punca UMNO dan Barisan Nasional berada dalam keadaan tidak selesa atau sebenarnya UMNO di tolak atas sebab lain – sikap dan sifat elitis dan tidak menampakkan kepimpinan yang bersih. Banyak kemungkinan yang ada. Mustahil persepsi UMNO tempat buat duit, UMNO pengamal budaya rasuah dan UMNO parti orang kaya hadir kerana sikap rasis UMNO yang dikatakan memperjuangkan Melayu. Soal penolakan UMNO dan melesetnya sokongan Melayu terhadap UMNO bukan soal UMNO wadah perjuangan orang Melayu lantas Melayu perjuangan Melayu dijadikan penyebab kekalahan, itu tidak konklusif. Banyak sebab lain yang perlu di selesaikan – masalah partisipasi ahli – komitmen perjuangan – kepimpinan yang bersih – penghapusan ruang-ruang untuk rasuah berkembang dan peranan kepimpinan UMNO dalam setelah menjawat jawatan menteri dan jawatan lain dalam kerajaan.
UMNO harus terus dengan agenda Melayu. UMNO harus tidak menolak perjuangan bagi memartabatkan bangsa dan jangan pula dilihat sebagai mencairkan perjuangan terhadap bangsa semata-mata mahu merebut sokongan Cina dan India. UMNO tidak sepatutnya terikut dengan lagu yang didendangkan oleh mereka yang turut memainkan isu rasis untuk kejayaan dan agenda peribadi. style="font-Jangan sampai kita menari – dan DAP serta sekutu mereka yang sedang bermain politik bertepuk melekakan kita.