Hati-hati yang berdetik..
14 Dis 2011
20 Mac 2011
Diari Hatiku..
Telah lama tidak menulis diari. Seingat saya sewaktu sekolah dahulu, bermula tingkatan satu sy sudah mempunyai diari. Isi Diari itu hanya dirahsia dari BONDA, tapi tidak kepada rakan-rakan. Setiap malam menulis Diari, esoknya dibawa ke sekolah dan saling bertukar Diari dengan teman-teman. Semua tahu kisah dan rahsia hati masing-masing..hehee...
itulah istilah Diari sewaktu sekolah dahulu.
Namun bukan sy ingin berkisah tentang Diari. Cuma entry kali ini, bentuknya mungkin lebih kepada Diari. Hanya catatan peribadi tentang cuti sekolah seminggu ini. Tidak hebat sehingga ke benua atau negara lain, hanya satu kebiasaan dan rutin, dan sy terjemahkan kesini untuk dokumentasi peribadi sahaja.
Cuti tidak seperti cuti.
2 minggu cuti terasa pantas berlari. Sedar-sedar hari ini sudah hujung minggu. Esok Isnin, bermakna esok kembali ke sekolah meneruskan amanah dan tanggungjawab.
Seawal cuti, saya dan abg bergerak ke kampung d TM. memang telah ada dalam rancangan. Kami harus bijak mengatur dan membahagikan masa cuti yang terhad ini. Segalanya telah sedia dijadualkan, bagaimana, bila, dimana kami harus berada pada tarikh-tarikh sepanjang cuti ini.
Alhamdulillah.
Segalanya berjalan lancar.
Kepulangan ke kampung walau hanya 5 hari(3 hari sebenarnya tolak 2 hari perjalanan pergi balik) cukup bermakna. Terima kasih abg kerana memahami situasi ini, dan kami meneruskan rutin kami sperti 11 tahun yang lalu. Apabila cuti yang amat singkat begini, kami berbagi rumah.
Malam pertama di rumah sy, malam kedua di rumah mertua, malam ketiga dan seterusnya..kami di rumah masing2...bersama BONDA dan family masing2. Sesekali pulang ke kampung, tentu sekali BONDA dan BONDA MERTUA ingin berlama-lama dengan anakanda nya. Bercerita, berkisah, meluah rasa, bermanja dan mengadu. Ini lah masa nya.
Alhamdulillah..inilah yang kami praktikkan sejak 11 tahun yang lalu..dan semua pihak berpuas hati. Tiada rungutan, tiada kesalan berbekas di hati.
Kedua BONDA mendapat sepenuh perhatian dari buahati mereka. Jika cuti panjang, kami memang akan berarak 2 malam di rumah BONDA, 2 malam di rumah BONDA MERTUA bergilir-gilir. Rutin kami telah menjadi kebiasaan bagi ipar duai dan adik beradik. Mereka tidak lagi hairan, walaupun awal-awal dulu agak kekok mereka lihat. Abg dan sy memang telah sediakan jawapan sejak 11 tahun yang lalu. Alhamdulillah..kini semua insan yang dekat dihati telah faham dan mengerti jika pasangan ini sendirian di rumah BONDA masing2. Kita hidup tidak lama bukan..inilah masa nya utk menghabiskan sebanyak mana masa yang diberi dengan insan-insan tersayang.
Mereka (BONDA dan KELUARGA) tidak mengharapkan duit ringgit kita. Tidak mengharapkan ditabur kemewahan dengan harta benda. Jauh disudut hati, apa yang diharap adalah kasih sayang dan masa berharga.
Anak-anak yang dibela sedari kecil..riuh rendah rumah, berebut makanan, tidur bergelimpangan di ruang tamu...kini rumah BONDA sunyi sepi. Tiada lagi anak kecil yang dulunya dibelai, dijaga, disuap makan. Dinasihat dan diturunkan segala ajaran untuk menjadi manusia sempurna. Diberi didikan agar menjadi sebenar-benar 'insan'.
Tentu sekali hati kecil BONDA sentiasa berdoa dan berbisik...alangkah bahagia jika anak-anak ini tetap anak yang kecil..pasti kan tetap nyata wujud disisi, dilihat dengan matakasar susuk tubuhnya, dipeluk dan dibelai seperti dulu. Erm..entah kenapa saya percaya hati BONDA pasti merindui saat-saat anaknya sewaktu kecil dahulu. Cuma hati seorang BONDA..takkan meluah, takkan meminta, takkan mengadu..biarpun hati kecil sentiasa mengharap dapat menghabiskan usia tua dengan hadir yang nyata anak-anak disisi..menemani tiap saat sepertimana beliau menatang kita sewaktu kecil dahulu.
5 hari mengayam rindu di kampung, terpaksa kembali ke Pulau Mutiara kerana tugas menanti. Sebaik sampai, abg terus berkemas-kemas kerana akan bertolak ke Kota Kinabalu malam itu. Abg membawa sekumpulan rakan JU untuk menawan Puncak Kinabalu.. puncak yang sy tawan pada Ogos 2010. Entrynya ada dimasukkan disini. Dan secara peribadinya, memang saya kagumi kerja keras abg yang tidak mengenal erti penat. Jika puncak berjaya ditawannya, ini adalah kejayaan nya kali ke 5. Saya iringi dengan doa, agar kejayaan dan tiada kemaslahatan sepanjang usahanya. Dan saya...
Disini..mengadap ini..sepanjang abg tiada sehingga ke saat entry ini ditaip. Kepala mula berat, mata berpinar-pinar. Semuanya gara-gara e-operasi dalam e_GTukar yang perlu dihantar pada Isnin 21 Mac sebaik sekolah dibuka. 5 hari bertapa dirumah, tidak menjejak tanah. Dan 5 hari ini juga sy berazam utk kembali diet (heheh). Alhamdulillah sehingga ke entry ini ditulis, telah 5 hari sy tidak menjamah nasi walaupun sebutir. Hanya oat, buah dan Kopi Kacip Fatimah berselang seli. Hasilnya...alhamdulillah..telah turun 1 kg ! Harap apabila abg pulang malam ini sy tidak tergoda dengan makanan-makanan yang dijanjikan lewat panggilan telefon tadi..hehe..
Terlupa..ini catatan peribadi..Diari.
Tentu sekali ada yang melibatkan perasaan dan emosi. Walau hanya seminggu cuti, namun emosi yang ada dalam diri sy sarat, penuh, melimpah ruah dan meledak. Dari gembira, sedih, bangga, geram, marah, kebetulan, ralat, kosong, penuh terisi...sehingga kepada bahagia dan teruja melimpah ruah.
Banyak yang tidak terduga terjadi tiba-tiba, membuatkan sy yang biasa-biasa...wahhhh..menguntum senyum tidak putus. Teruja dan bahagia. Indah nya hidup ..
Namun ada juga emosi mengusik hati..sehingga tidak dapat diselindung lagi rasa ini, menitis airmata berkongsi kesedihan dan kedukaan seorang teman maya tatkala melewati bait-bait kata pada sesuatu yang langsung tidak diduga.
Sedih berbaur penuh emosi tatkala terlintas ujian yang telah diturunkan buat dua teman blogger, Lemang dan Mawar. Buat Lemang..moga semakin kuat ..dan semakin kuat..insyaAllah..kebahagiaan milikmu akhirnya.
Buat Mawar..
Alfatihah dari kejauhan..di atas pemergian suaminya, juga seorang teman blogger yang sy ikuti tiap bait katanya dalam diam sejak akhir 2007.. arwah Nafastari..yang kembali ke Rahmatullah pada awal Mac 2011 sekembalinya dari Pakistan. Moga Mawar(isteri arwah) , Embun(anak sulung) dan Kekwa(anak ke 2) yang baru berusia beberapa bulan tabah dan terus tabah.
Entry Catatan Buat Anakanda Kedua, mampu menitiskan airmata bagi sesiapa yang mengikuti perjalanan hidup arwah...pasti menjadi satu dokumen yang sangat berharga dan bermakna sy kira buat Kekwa tatkala dia mula mengerti apa itu erti hidup kelak.
Jodoh pertemuan dan hidup mati ketentuanNya, namun pemergian tanpa pesan ..Subhanallah..jangan lah saya diuji sebegini..
Semua nya perjalanan hidup.
Semua nya telah diatur sebaiknya. Jika dikurnia kebahagiaan dan kegembiraan yang tak tersangka, pasti alam akan berlagu irama indah..rerama berterbangan dengan girang dan syukur tak putus...alhamdulillah. Itulah bahagian dan rezeki yang Allah memang telah janjikan utk kita.
Namun jika berduka, ditimpa musibah dan wujud kekangan sehingga kita rasa benar-benar lemah, panjatkan lah doa, serahkan lah hati kepada yang ESA, nescaya Dia tahu apa yang terbaik untukmu..Dia tahu rezekimu bukan disitu dan untuk itu..mungkin ada cuma belum tiba masanya.
Siapalah kita utk menidakkan takdir yang telah tertulis di jalan Allah..?
Sesungguhnya...
cuti singkat ini satu perjalanan..
cuti singkat ini satu kehidupan..
Cuti singkat ini satu hamparan alam yang maha luas utk dimengertikan.
Terima kasih Ya Tuhan..kerana masih diberi peluang utk mengenal diri ..
dari pengalaman, dari perkongsian, dari pemerhatian...
Sesungguhnya..perjalanan himpunan pengalaman..
aku bukan terbaik cuma mencuba utk menjadi yang baik.
walau masih sgt banyak khilafnya...
12 Mac 2011
Tsunami : HAYMM..
Allah berfirman: “Barangsiapa yang berdo’a kepada-ku, pasti akan ku-kabulkan, dan siapa yang memohon kepada-ku, pasti akan ku-beri,dan siapa yang mohon ampun kepada-ku pasti akan ku ampuni”. (HR.Bukhari, Muslim, Maliki, Tirmidzi )
HAYMM : Hanya Allah Yang Maha Mengetahui..
..muhasabah...betapa kerdil diri ini..
LIVE update tsunami di Jepun boleh ditonton di BBC. Klik sini..
..tenang dan damai di kampung bersama BONDA..
3 Mac 2011
Kelopak Sakura di Sepanjang Jalan Kenangan..
merona wajah lirikan mata
hamparan nan indah bak sutera
berselang samar putih yang suci
taburan kelopak harum semerbak
menyalur sendu sekian lama
bertamu rindu melangkau jiwa
Sakura itu tiba lagi
mengetuk hati penuh rindu
mercik seri jalur pelangi
mengimbau jalan permainan kita dulu
Sakura itu tiba lagi
menguntum senyum ditiup angin
kelopakmu gugur menyapu pipi
ahhh...sungguh lembut sentuhan itu..
Sakura itu tiba lagi
ada bening jernih di tubir mata
jangan...jangan mengalir lagi
biarkan sakura ini menyembuh luka..
ukir lah senyum mu sayang..
dalam suci dan harum.. kelopak sakura..
pasti..
caturan Ilahi penenang rasa..
dengan tajuk Biduk Lalu..
Semuanya meninggalkan kenangan yang indah..walau tersela jua garis-garis luka..
hidup memang begitu kan...perlu kan sesuatu utk sesekali mencabar hati..
Info gambar :
Gambar di atas adalah laluan ke lorong teratak kediaman sy.
dan hati sy memang kembang berbunga setiap kali deretan pokok-pokok ini mula berbunga indah di sepanjang jalan..
Sy menggelarkannya Kelopak Sakura di Sepanjang Jalan Kenangan....
kelopaknya gugur memenuhi jalan dan hamparan rumput...seperti hamparan sutera..
alangkah indah nya...jika hidup kita sentiasa begitu..
16 Feb 2011
Tira Mis U..
Kembali panas dan hangat..diselangi dengan warna-warna pelangi yang menceriakan hati sy.
Terasa kembali berbaloi sy memilikinya 7 tahun lepas dengan hasil jualan sesuatu berwarna ungu sewaktu bulan Ramadhan 2003.
inilah hasilnya..
hati kembali berbunga.. ~tira mis u~...
Moralnya : kita mampu berubah jika kita mahu berubah.
Haiku:
Pelangi hati
membakar dasar loyang
panasnya api
patutkah aku sirami..
atau biarkan titis hujan menghangati..
29 Jan 2011
..sedetikhati dihargai..~Pendidik Januari'11~
Salam..
Alhamdulillah..
bukan untuk berbangga jauh sekali meninggi diri..namun inilah anugerah Ilahi tidak kita duga..
Sapaan seorang teman pemilik blog Kembara Hidup di facebook, membuatkan sy terkedu..Anugerah itu datang dalam pelbagai bentuk yang langsung tidak terjangka.
Seperti ungkapan yang seakan sengaja dipetik pengarang tertera di kertas putih majalah itu…itulah yang sebenarnya putaran hidup ini. Hidup kita direncah asam garam juga gula agar sebati pelbagai rasa yang mematangkan lagi diri. Setapak kaki melangkah, itulah detiknya cabaran bermula ..
Petikan dari sedetikhati ke majalah ..dan kini kembali ke laman hati ini ini..
“ Biarlah gambar berbicara. Rasanya itu lebih elok daripada kita terlalu banyak berkata. Risau disalahtafsir, niat disalahanggap. Kadangkala apabila melihat sendiri dengan mata kasar dan mata hati lebih baik daripada berbicara tanpa henti. Di situ kita kan serap dengan hatibudi, memandang dengan penuh erti bahawa setiap sesuatu punya nilai yang sangat tinggi. “
Haiku:
Sedetikhati
Laman hati yang rindu
Merah hatiku
..semangat kembali kini..
27 Jan 2011
13 januari mengusik hati..
..mengimbau entry Ah Fat episod ii...entry 15 Januari 2009..
13 januari 2009...
dua kisah di hari sama berlainan situasi. Jua mengundang dua rasa yang cukup menyentuh hati..
- Gaya seorang aiman…
Keletahnya mencuit hati. Gerak lakunya membuatkan sesiapa saja pasti tersenyum. Sy menganggap kehadiran Amir Aiman sebagai murid baru di kelas kami adalah satu anugerah, menggantikan Fairos (Sindrom Down) yang telah melangkah ke sekolah menengah. Agak seiras dan gerak laku yang hampir sama. Sepanjang jamuan pada hari lahir sy, memang kami asyik bergelak ketawa. Aiman pantang melihat hp, pasti akan ada saja aksi yang tak disangka2. Paling disukai ialah meletakkan jari di dagu dengan muka blur seolah2 sedang berfikir. sangat2 manja…tapi kuat merajuk..larang sikit..mulalah muka masam, tak smpai seminit dia pulak yang cak cak kat kita…
Sewaktu jambangan bunga dari abg smpai, Aiman yang bersungguh nak pegang. Sy baru nak capai hp…dia yang menonong amik bunga tu minta sy snap…adehhh aiman… detik demi detik yang kami lalui..sesungguhnya mengundang rs sayang yang semakin menebal di jiwa..
- Pedihnya Ah Fat..
Susah nak diungkap sebenarnya. Hati rasa tersayat. Dua cerita yang berbeza, hari yang sama dengan dua situasi yang berlainan. Selesai jamuan, bising2 kedengaran. Rupanya Ah Fat yang meraung. Ingatkan tangisannya seperti biasa, namun apabila didekati, darah dah bertitisan dari jarinya yang dah sedia lebam dan luka.
Paip PVC yang dimasukkan ke lengan Ah Fat (sendi-utk menghalang dia bengkokkan lengan) longgar dan menggelungsur turun menyebabkan Ah Fat berjaya menggigit jarinya sendiri sehingga berdarah! Meraung dia menahan sakit dan pedih. Erm..sepedih hati kami yang menyaksikannya. Beberapa orang guru berundur kerana tak tertahan melihat sakitnya dia, airmata bergenang. Luka akibat gigitan mengalirkan darah, mulut tak berhenti menyebut mummy…
Kematangan dan ketenangan Cek Wan (PK Khas) terserlah. Mungkin kerana beliau pernah memiliki anak istimewa yang telah dijemput pulang ke Rahmatullah. Didukungnya ah fat…dibelai dan digosok2 belakangnya. Beberapa minit ah fat kembali tenang, mgkin dapat merasai kehangatan kasih seorang ayah…
Hati siapa yang tidak pilu, hati siapa yg tidak terluka. Siapa yang memandang pasti kan berkaca mata. Ada duka yg pedih jauh di jiwa Ah Fat. Nak menyuarakan dia tidak mampu, hanya menangis meminta simpati. Sy pernah masukkan kisah Ah Fat disini dalam entry 'sebutir pasir kasih yang terluka.." Dua tahun ditinggalkan ibu, bibirnya masih setia menyebut mummy tanpa sedetik melupakan..
Jika tadi kami bergelak gembira dengan telatah aiman, wei kang, rui wen dan beberapa orang lagi murid, kali ini rs simpati dan sayu benar2 membuatkan hati menjadi hiba. Hati sy yang berbunga kerana hari ini hari lahir sy, benar2 terasa pedih.
Hati yang gembira…menerima hadiah dari abg, menerima hadiah dari teman2, ucapan2 yang tak putus2…menyambut hari lahir bersama anak2 istimewa ini..namun situasi Ah Fat buat sy terpana seketika..situasi Ah Fat yang realiti di mata benar2 menjadikan sy dan rakan2 lain terpaku. Mengenangkan Ah Fat, mengenangkan dukanya hidup seorang Ah Fat, terasa diri begitu kerdil. Terasa diri alpa seketika walaupun hari2 berhadapan dengan mereka. Mudahnya kita lupa ..sedangkan ada insan lain yang begitu menderita. Bagaimana agaknya nasib Ah Fat kelak..tuk dan neneknya sudah tua dan uzur..bagaimana nanti..
dan hari ini...15 januari 2009..
Sekali lagi Aiman menunjukkan reaksi manja dan bersahajanya yang semakin membuatkan hati sy dan guru2 lain bertambah selesa dan tercuit.
Dan sedetik dalam masa yang sama juga…Ah Fat mengulangi apa yang terjadi pada 13 januari 2 hari yang lalu. Bahunya digigit…berdarah…merah membasahi baju sekolah yang putih..
Merenung ke dalam mata Ah Fat..sekali lagi hati tersayat…kami terkedu…
tak terselam hati ah fat...tak terduga kasih aiman..
disini sy menumpang ..mencari kasih dan kekuatan mereka..
15 Nov 2010
Perjalanan Himpunan Pengalaman : Kinabalu Cinta Kita..
Salam..
Hati teruja.
Perasaan melonjak jauh tinggi di awangan. Alhamdulillah. Selama ini hanya anganan indah dalam mimpi...akhirnya bertukar menjadi realiti. Usaha selama ini berbaloi. Dia Maha Pemurah. Memudahkan jalan hambaNya yang berusaha.
Sy terpaku, dan lebih tepat sy terkedu.
Seakan tidak percaya kaki ini menjejak puncak igauan para pendaki.
Sungguh indah ciptaan Tuhan, sungguh agung lagi mengagumkan. Bagaimana harus disusun bait bicara...tidak terluah dengan kata-kata, tidak tergambar dengan rakaman mahupun dokumentasi. Ianya jauh meresap di sanubari..meniup perlahan semangat di jiwa.
Sayup mata memandang hamparan batu maha indah. Kesejukan tahap beku dan keletihan teramat hilang semerta apabila disajikan dengan kehebatan fajar yang mula mengintai. Merah menyerak fajar subuh mengundang sendu yang teramat di hati. Terasa ingin sy hentikan masa...sangat-sangat indah. Perlahan-lahan merah bertukar sirna...alam menjadi cerah berkabus...makin kelihatan saujana hamparan batuan, bergumpalan awan yang berada lebih rendah dari diri. Erm..inilah pengalaman...inilah sebahagian dari hidup...inilah kebenaran hakikat alam...subhanallah..
Tentu sahaja solat subuh sujud kepada yang Satu di hamparan ini menjadi satu kenangan yang cukup indah. Kebekuan air di lopak2 batu benar2 mengujakan. Berhenti sejenak menginsafi diri dalam kegembiraan mengejar kepuasan diri..terasa betapa kerdilnya diri dalam alam ciptaanNya. Siapalah kita untuk menongkat langit...
Kaki sudah sangat lemah sebenarnya, melangkah setapak demi setapak. Namun sokongan moral meniup semangat daripada abang dan rakan-rakan sekumpulan, begitu jua para guide terus memberi keyakinan kepada sy. Sesungguhnya kekuatan mental sangat penting.
Melangkah dalam kebekuan menahan gigil...sayup kedengaran sorakan kegembiraan di telinga. Hati semakin berdebar. Bercampur baur keletihan dalam keterujaan. Makin teruja bila nama dilaung dari puncak oleh rakan-rakan yang telah sampai. Melawan kelesuan, langkah dipercepat.
Berbalam di depan...
hanya 2 patah yang terdengar seakan diri berbisik sendiri di saat itu..
Ya Rabbi...
alhamdulillah..
airmata gugur..
Terdengar esakan disebelah, sy menoleh..seseorang yang sama2 berusaha dan bersemangat spt sy sedang menyeka airmatanya yang mula menitis. Sungguh sy terharu. Besar sungguh kuasa Mu Ya Tuhan..
Akhirnya kami (20 orang) berjaya menjejakkan kaki ke puncak tertinggi di Asia Tenggara. Bukan untuk merasa bangga tetapi ini adalah untuk diri. Teruja, memang sangat2 teruja. Dapat sy lihat kegembiraan di wajah setiap seorang dari kami. Malah ramai antara kami yang menitiskan airmata, terutamanya bagi yang pertama kali menjejak kaki ke sana..
Abang tersenyum melihat sy. Ucapan tahniah dari beliau di puncak sy terima dengan syukur. Beliau tahu yang kegembiraan sy tidak terucap sebenarnya kerana berjaya ke puncak tanpa sedikit pun 'ditolak' dan 'dibantu' oleh beliau (beliau dan beberapa org teman sekumpulan sudah berkali smpai ke puncak ini dan jika diizinkan akan sampai lagi dalam Mac tahun depan) Bak kata seorang teman..Khairul takpe lah..sijil Kinabalu leh buat koleksi dah..hehe..
Terima kasih Ya Allah kerana memberikan peluang ini sementara masih terdaya. Sememangnya kejayaan ini kejayaan bersama, kejayaan berkumpulan hasil dari sepakat dan kerjasama yang sangat utuh.
Keriangan dan kepuasan kami tergambar melalui foto-foto dibawah. Terakam detik indah yang mungkin hanya hadir sekali seumur hidup. Benar kata orang..saat indah jangan diabai..peluang jangan dipandang lewa...kelak bila ia berlalu, jiwa anda akan kosong dan lesu. Sekurang2nya, saat2 ceria ini terabadi disini...impian indah yang kini dalam genggaman..
(foto2 lain juga boleh dilihat di FB sy..)
~perjalanan turun..airmata dah menitis kerana kuku kaki sangat sakit..
Setiap seorang dari kami membawa pulang pengalaman yang sangat hebat. Masing-masing punya kisah tersendiri yang bakal dikenang sepanjang hayat. Yang pasti akan kekal di jiwa. Gambar hanya satu dokumentasi, bukti kita berada di lokasi, tetapi mengalami sendiri...tidak semua orang bertuah dan 'mampu'. Menguji diri, menguji hati. Setiap dari kami merasai kesannya. Jika diizinkan Ilahi..insyaAllah ingin lagi kaki ini menjejak ke sana. Moga termakbul impian di hati..
Perjalanan Himpunan Pengalaman...disini..Kinabalu Cinta Kita ku semai..berlangit maha tinggi, berpasak bumi maha utuh..sesungguhnya..inilah pengalaman terindah..dikenang sepanjang hayat..seusia zaman..
..apa yang ada pada hari esok...15 November...
...sekadar membilang hari..
..Aidiladha di Penang atau Kelantan...?...~dilema...
30 Okt 2010
Aku Anak Kelate...
Salam..
..tetap bangga lahir sebagai anak kelate..
walau tak sampai suku umurku berada di kelate..
(..makin terasa nak transfer balik mengajar di kelate..)
25 Okt 2010
Gema Bersatu di Bujang Melaka..
Salam..
Pintu akal kan terbuka bila anda mendekatkan jiwa dengan alam. Berdetik hati siapalah diri kita sekadar sebesar batang lidi jika dibandingkan dengan pohon umpama gergasi di hutan rimba. Besarnya kuasa Ilahi...
Alhamdulillah, sangat bersyukur masih diberi peluang mengenal diri dan belajar menghargai tatkala diri berada di tengah belantara...terasa sangat kerdil di bawah naungan pepohon merimbun. Diserak dedaun masih sukar untuk nampak berbalam cebisan cahaya...
Ya Rabbi..indah ciptaanMu mengatasi segala..
Melangkah tenang terasa amat kedamaian mendakap jiwa. melepasi denai mengharung jeram nan dingin , menjadikan diri begitu bersyukur...alam ini masih menyebelahi kita..masih menitip damai, masih menyanyi merdu alunan rimba...masih membisikkan perjalanan ini tidak kosong....perjalanan ini penuh liku dan duri, hanya yang benar-benar tabah sahaja akan smpi ke penghujung yang bercahaya...
Gemersik geseran dedaun, juga bertingkah suara unggas rimba seakan mencipta satu irama indah nan syahdu. Penat lelah dikuatkan jua melangkah, kerana tahu di puncak sana keajaiban Ilahi sangat istimewa utk dihadap...
Amat malang bagi insan yang hanya tahu berkata, namun pabila ditingkah.. berundur menyorok, berselindung di sebalik zon selesa..tidak berani berjuang demi sebuah cita..
sewajarnya, selagi mampu dan berkudrat..takkan terlerai genggaman mimpi..selagi puncak tidak dapat ditawan..
Biarlah gambar berbicara..rasanya itu lebih elok dari kita terlalu banyak berkata, risau disalah tafsir, niat disalahanggap. Kadangkala bila melihat sendiri dengan mata kasar dan matahati lebih baik dari bicara tanpa henti...
disitu kita kan serap dengan hati budi, memandang dengan penuh erti...bahawa setiap sesuatu itu punya nilai yang sangat tinggi...
Gunung Bujang Melaka, Kampar, Perak..
10-11 april 2010..
17 orang..12 group Penang, 5 group Manjung.
Group Penang~Kayrol, Ust Din, Ust Azan, Rozaimi, Haizul, Salahudin, Azza, Izan, Eilah, Liana, Laili, Zura.
Group Manjung~Kodin, Hafizudin, Lah, Omm, Adik Kodin.
Anda boeh melawat mytripadventure utk mengetahui dengan terperinci kisah perjalanan kami.
..juga dapat menyaksikan panorama indah sepanjang pendakian kami di myxpdtion.multiply juga di facebook sy.
Satu yang pasti..
kerdilnya kita bila berdiri di tengah-tengah ciptaanNya yang lain..
Sedikit Info Gunung Bujang Melaka
Gunung Bujang Melaka yang terletak di Tapah Perak, mempunyai ketinggian setinggi 1233 meter (4,048 kaki). Gunung Bujang Melaka mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, dan hutan Montane. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Terletak di Hutan Simpan Sahum Kampar. Ianya bermula dari Kawasan Perkelahan Air Terjun Batu Berangkai Kampar. Ketinggian yang mencecah 4048 kaki menyebabkan suasana sejuk dan dingin pada pengunjung yang bermalam dipuncaknya mahupun diCamp Lebah. DiCamp Lebah para pendaki yang tiba dinasihatkan agar berhati-hati semasa tiba dengan tidak membiarkan baju basah diletakkan merata-rata kerana lebah yang ada disana memang gemar menghurungnya.
Untuk kesana anda perlu menaiki bas dan turun di Stesen Bas Kampar. Kemudian anda mempunyai pilihan samaada untuk berjalan kaki (30minit) ke Air Terjun Batu Berangkai ataupun mengambil teksi terus kesana. (sumber : pelbagai website)
kembalikan temanku, kasihku, syurgaku..
bulan..jangan biar siang..
biar malam menjadi kelam
menyanyi sepi sepertiku..
bukan menjadi insan yang membaling batu
tetapi sembunyi tangan..
..andai rindu ini milikmu..rinduilah ..
22 Okt 2010
Indah Bersamamu..
Salam..
Sy sekadar menegur nya tatkala melihat beliau terbelek-belek kertas di meja seorang teman..
Sejurus sy bangun dari kerusi, beliau melarikan diri ke stesen nya dan terus menyorok. Aiksss...apa ke hal..
jenuh dipujuk, jenuh dirayu..
beliau tetap malu pada sy.
makin dipujuk makin jauh ke bawah meja beliau mengensotkan badan.
sebab geram beliau taknak juga keluar...sy dan kawan2 mula menggiat...
Ni Cikgu Irah lah....
ckgu bukan nak menggoda Rafi tauu...
ckgu cuma nak mengorat Rafi je..
hahaaaa...
hahaaaaa....makin beliau menyorok ke bawah meja dengan tertonggeng begitu...aduhhh...
Rafi nak kawen ngn ckgu eh...
brapa hantaran..arini tarikh comei tau...20102010...
hahaaa..
Rafi jangan malu laaa...
Pecah gelak kami di kelas memandang gelagatnya..
Ternyata...Rafi dan anak-anak istimewa ini tidak pandai menipu. Rasa malu, sayang, sedih, sakit, cinta dan kasih dipamer dengan tulus tanpa perlu berselindung dan berhelah. Seiringan yang wujud dihati dengan tindakan dan perbuatan. Akal seiring langkah..
Sungguh mereka sangat istimewa. Sungguh mereka dekat di hati. Keletah mencuit rasa, tingkah membuai jiwa. Sy sgt tenang, sgt senang. Segala kekusutan dan gelodak di jiwa terasa melayang. Segala yang sangat berbaur akhir-akhir ini terasa dapat dipendam seketika bila airmata hampir keluar menyaksikan gelagat anak-anak ini.
Memang telah terdetik hati sekian lama sebenarnya, sy telah mengabaikan anak-anak ini. Lantaran kekangan dan amanah lain yang telah dipertanggungjawabkan ke atas sy, membuatkan tumpuan, fokus dan komitmen sy sendiri pada anak-anak ini agak terjejas. Tambahan pula masa mengajar sy juga dikurangkan lantaran amanah yang dipegang, menjadikan masa sy bersama mereka sangat terhad tahun ini.
Bukan niat, bukan tujuan..tetapi menggalas kepercayaan dan keyakinan orang pada kita, adalah satu tugas yang cukup berat. Kita cuma manusia biasa yang kadangkala leka dan alpa sehingga terlepas pandang. Khilafnya di pihak sy..masih tidak bijak membahagikan masa yang telah dikurniai Allah,
Namun alhamdulillah..Dia sentiasa sayangkan hambaNya. Waktu minda kita terasa sangat letih, keseorangan dan terabai, anak-anak ini hadir mengukir senyum mengubat hati. Disaat kita rasa dikhianati, anak-anak ini menghulur tangan menggenggam jemari. Terasa terbang dan lapang segala resah yang bersarang. Siapalah kita untuk memungkiri janji Allah dan menidakkan kehadiran mereka yang sememangnya sangat mengusik hati dengan cara tersendiri anugerah Ilahi..?
Dia telah aturkan yang terbaik untuk hambaNya. Kurang dan lebih rezeki kita telah disusun dengan penuh bijaksana. Lemah dan kuat kita Dia uji mengikut kemampuan.
Benar..kita diuji saat ini kerana kita sangat kuat ..dan Dia tahu kita mampu..
..utk 'kamu'..kehadiran anda memerhati tidak diperlukan disini..dengan hormat..sila PERGI..
21 Okt 2010
Kita Comei & Kiut...
Jatuh cinta pandang pertama melihat kain ini. Dan lumrah sifat manusia...tamak dan tidak tahu membuat pilihan.
Sy berkenan pada ketiga2 pasang kain yang bercorak sama tetapi berlainan warna.
Pink, ungu juga oren. Jenuh menghitung yang mana patut sy beli..akhirnya sy membayar untuk ketiga2 pasang!!
Akhirnya...inilah hasil ....sedondon kami berdua..hehee...
Sesekali berduet..sesekali merasakan diri comei..
Sememangnya sy sedikit cerewet pasal baju. Fitrah pun seorang wanita..setiap saat mahu dipandang comei dan kiut..
Walau rutin mengenai baju dan mengenai segala sudah hilang sejak akhir-akhir ini, tidak mengapa. Kita lakukan utk diri kita sendiri. Jum kita comei untuk diri dan untuk yang tahu menghargai...
Ungu milik seorang teman..Faizah..
Oren..? masih lagi berada didalam almari baju sy. Di sekolah siang tadi sedang asyik mengambil gambar, 2 orang teman berebutkan yang berwarna oren. Rohana dan Hashila...
esok sy akan bawa kain tersebut ke sekolah...siapakah bakal pemilik myOren..?..kita tungguuu...
malah anggur juga berwarna merah..
Dunia akan menjadi indah jika daun berwarna hijau, langit kebiruan, lautan hijau berbalam dan
anggur berwarna ungu kehitaman..
Inilah dinamakan warna hidup..
sesuatu yang indah hadir pada waktu dan ketika nya..
sesuatu yang indah bertamu kala tidak terduga..
Warna-warna menjadikan dunia kita luarbiasa indah..