Haruman Body Shop itu menjentik pergi lamunanku yang tadinya asyik membelek-belek novel yang tersusun kemas pada rak gedung buku itu. Haruman itu pernah kutunggu-tunggu. Haruman itu jugalah yang dulu menjadikan aku seorang perindu. Maka, spontan aku menoleh ke belakang. Di situ satu wajah yang cukup kukenal sedang terpaku memandangku...
Terasa bagai denyut jantungku terhenti. Kusebut namanya. Namun ternyata suara itu terapung di benakku. Matanya mengikat ke mataku. Pandangannya mampu melumpuhkan, sedang aku pula persis pahlawan yang tidak punya perisai lagi. Agak lama begitu sehinggakan aku terlupa di mana sedang aku berada. Kemudian kujatuhkan pandangan mata pada anak kecil - ya.. masih sangat kecil - yang lena dalam dukungannya. Di situ aku mendapatkan tongkat untuk terus berdiri. Nafas halus kulepaskan. Senyuman mulai mampu kugaris pada wajahku.
"Apa khabar..?". Kulihat kelopak matanya basah. Sedikit berkaca. Tiada jawapan. Hanya bibirnya seakan bergetar.
"Tentunya ini yang pertama.. kan ? Tahniah.. Comel seperti ibunya..". Aku cuba mesra. Pipi halus anak kecil itu kusentuh dengan belakang jari telunjukku. Dan saat itulah air matanya terjatuh lalu menimpa lenganku. Hangat. Hangat yang membikin dada kuterasa sendat. Hakikat ini mesti kuterima. Wajib !.
"Mana suami..? Dia tak bersama ye..". Aku masih mengawal rasa. Dan dia tetap terus diam. Sengaja aku tidak memandang ke wajahnya. Itu kerana aku tidak sanggup melihat air matanya.
"Maafkan ... maafkan aku, Arm.. 4 tahun aku mencari dan menunggumu.. Aku..."
"Kamu tidak punya sebarang kesalahan padaku. Akulah yang patut memohon keampunan atas kesilapan aku dulu.. Sudahlah.. Janganlah menangis.. Kita patut malu pada si comel ini.. Usah bimbang akan aku.. Aku lelaki yang kuat kan?.." Aku berikan senyum yang paling manis seperti yang pernah aku berikan padanya dahulu.
Aku harus segera pergi. Dua keping not RM50 kulipat dan kuselit di celah baju anak kecil itu. Aku mohon keizinan untuk beredar atas alasan kerja yang perlu aku beresi. Pada tiga langkah yang pertama aku terhenti...
"Arm.. masihkan kau ingat mesej terakhir yang kuhantar padamu ? Percayalah.. segalanya kekal begitu.."
Lantai konkrit yang kupijak bagaikan bertukar menjadi tanah selut yang dalam. Wajahnya kutatap dengan sepenuh kasihku. Senyumku menjadi lukisan air mataku. Ingin sekali kugenggam tangannya dan mengesat airmatanya yang sedang tumpah kaju. Namun, apalah dayaku.. Di saat mata ini mulai terasa pedih.. perlahan-lahan kuayunkan kaki. Dalam hati bergema.. Biarlah.. biarlah aku tetap begini.. terus bertelanjang, dalam selimut menyalak bulan..