Teruja, Kak Fauziah dalam Utusan Malaysia...!!!!!

 

pagi2 belek suratkhabar, tiba2 terjumpa gambor n citer nostalgia pinggan mangkuk lama...

terus semangat baca n serta merta daku wat n3 nie....

 (Utusan Malaysia:03/06/2011)

Nostalgia pinggan mangkuk lama

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar RIDUAN RIZAL





FAUZIAH Omar menunjukkan salah satu koleksi teko lama kesayangannya.
MEMANG sukar untuk menemukan lagi set pinggan mangkuk lama yang bermotifkan bunga kangkung, ros, sakura mahupun buluh.
Melihat set pinggang mangkuk atau teko lama dengan bunga berwarna hitam, hijau atau merah, pastinya membangkitkan kenangan dulu-dulu ketika menikmati minum waktu petang atas serambi rumah bersama emak dan ayah di kampung.
Nostalgia set pinggang mangkuk dan set teh yang sering digunakan nenek satu ketika dahulu menjadi pilihan Fauziah Omar, 40, sebagai koleksi peribadinya.
Bermula dengan mengumpul set milik keluarganya sendiri di kampung yang terletak di Batu Pahat, Johor, Fauziah kini berpuas hati kerana dapat mengumpul kembali pinggan mangkuk yang pernah dimiliki oleh kebanyakan keluarga berbangsa Melayu dan Cina pada era 50-an hingga 60-an dahulu.
"Ini mungkin belum boleh disebut antik kerana usianya belum melebihi 100 tahun. Tapi ia merupakan satu koleksi tradisional lama yang digunakan secara meluas sejak setengah abad lalu," katanya yang ditemui di kediamannya di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Mula mengumpul sejak setahun lalu, Fauziah tidak menyangka bahawa hobinya juga dikongsi oleh ramai lagi peminat apabila melayari laman sesawang berkaitan di Internet.
"Dari situ saya mula mengumpul koleksi sendiri yang dibeli secara online. Saya juga sering ke pasar lambak (flea market) untuk mencari dan melengkapkan set tersebut," jelas pengarah syarikat jualan e-Halal2u.com ini.
Menurut Fauziah, ramai yang mungkin tidak tahu bahawa sesetengah set pinggan mangkuk tradisional tersebut masih dijual dalam keadaan baru.
Ia masih boleh diperolehi di kedai-kedai Cina lama di daerah pedalaman.
"Tapi jangan haraplah ia dalam keadaan bersih kerana biasanya pinggan mangkuk ini akan dilitupi debu tebal dan habuk dek tidak dipedulikan orang.
"Seronok juga apabila dapat set baru kerana ia dijual dengan harga yang murah berbanding yang dijual di Internet. Set pinggan mangkuk memang masih senang dicari namun set teko memang payah," katanya yang kini memiliki lebih 30 set lengkap.
Fauziah turut berkongsi minat bersama pengumpul lain dalam satu laman sosial Facebook yang dinamakan Antique Porcelain Collector.
Jelasnya, di situ mereka boleh bertukar pendapat, membida harga barang dan melengkapkan koleksi satu sama lain dengan mudah, cepat dan efektif.
"Ada sekali tu saya dapat set teko Cina dalam keadaan berlumpur. Teko tersebut saya rendam semalaman dalam peluntur dan sedikit soda.
"Saya juga akan menyamak set yang diperoleh dari mereka yang bukan Islam bagi memastikan kesuciannya terpelihara," ujar Fauziah yang turut memiliki set mangkuk tingkat lama dan lampu pelita Cina.
Ujar Fauziah, cabaran mengumpul set ini apabila penjual tidak menetapkan harga untuk set mereka dan jika tidak membelinya dengan cepat pasti orang lain akan membelinya dulu.
"Bayangkan kalau ada iklan di Internet tentang jualan pinggan mangkuk atau set teh tradisional ini, tak sampai sejam ia habis dijual.
"Mengumpul barangan lama ini sebenarnya umpama memancing, bila duit ada, barangnya tiada, bila barang ada, duit pula tak ada," katanya yang paling menyayangi set teko teh lima ros yang dibeli melalui Internet.
Antara koleksi Fauziah ialah set teko Maharani, teko Aladin, teko telur dan banyak lagi.
Kepuasan Fauziah apabila dapat melengkapkan set yang sedia ada di rumahnya.
"Kadang bila kita dah kumpul banyak, kita ingat set kita sudah lengkap tapi bila tengok blog orang lain baru kita tahu set tersebut kurang lagi. Jadi selagi koleksi itu tidak lengkap selagi itu tidak puas hati
"Saya kini sedang mencari set pinggan mangkuk lama yang bermotifkan bunga berwarna jingga. Bagi sesiapa yang berminat berkongsi pengalaman atau mahu tahu lebih lanjut sila layari laman web hobbymummy.blogspot.com," katanya.



p/s:   Maaf yer, kalau tak salah rasanya blog kak fauziah
        Hobimummy (betulkan kalau saya silap..terima kasih)

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Berkelah di Janda Baik

DESSERT PILIHAN SKALICIOUS