Memaparkan catatan dengan label Selcuk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selcuk. Papar semua catatan

Isnin, 5 Julai 2010

Di Sebalik Kisah Pengambaraan


Di Sebalik Kisah Pengembaraan

 
Laut Marmara

Istanbul Suatu Realiti

    Pada hari rabu ini maka genaplah sebulan telah berlalu kembara aku di Bumi Turki, aku telah berkelana ke sana sejauh dua ribu kilometer dengan niat kerana Allah s.w.t dan aku berharap agar aku mendapat sesuatu yang sangat beharga dan sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang. Tibanya aku di bumi Istanbul disambut dengan hujan yang renyai-renyai kemudian bertukar menjadi lebat. Semasa aku berada di Istanbul di sebelah benua Eropah, aku teringatkan kisah Ibnu Batutta seorang pengembara terkenal, yang pada ketika itu tiba di Istanbul dalam keadaan hujan lebat, beliau juga berasa jengkel dengan bunyi-bunyian loceng gereja. Tetapi kini, laungan azan yang mengisi segenap ruang angkasa bumi Istanbul.

   Semasa aku menaiki feri untuk ke Eminonu, aku dapat melihat dua bangunan penuh bersejarah iaitu Hagia Sofia dan Masjid Biru. Hamparan permaidani biru Bosphorus seolah-olah meraikan kedatangan aku ke Istanbul. Angin laut yang bertiup seolah-olah mengkhabarkan aku kisah gemilang kota itu. Dahulunya Constantine kemudiannya Islambol, aku terbayang akan kisah ketika Sultan Fatih mengarahkan tenteranya mengangkat kapal-kapal ke atas bukit untuk melepasi rantaian besi yang dipasang merentasi Golden Horn. Perasaan aku ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, sebelum ini aku hanya mendengar kisah-kisah kota Istanbul dari mulut rakan-rakan yang pernah ke sini, tetapi kini aku telah melihatnya dengan mata aku sendiri.


 Teh dihidang pengubat dahaga.


Aku Seorang Musafir

   Sepanjang aku di Turki, aku dan rakan-rakan dilayan dengan baik oleh penduduk tempatan. Setiap kali selesai solat mereka akan datang ke arah aku dan bersalam-salaman di antara kami. Walaupun mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, mereka tetap mendekati musafir seperti aku dan mengajak aku dan rakan-rakan untuk minum teh bersama mereka. Teh yang dihidangkan manis rasanya dan manis itu datangnya dari senyuman mereka yang Ikhlas. Begitulah ajaran mulia Muhammad s.a.w yang ditinggalkan yang mereka amalkan dan untuk kita jadikan pedoman. Pada suatu petang, aku dan rakan berjalan menuju ke sebuah kedai menjual barangan kaca akibat keletihan, seluruh badanku terasa lemah sangat, akibatnya terlanggar sebuah cawan, bukan sekali aku memecahkan barang tetapi dua kali, kali kedua aku terlepas beg plastik yang berisi cawan dan piring yang aku beli. Aku memberi wang kepadanya dan aku tidak mahu duit baki, dia menolak dengan senyuman dan berkata kepadaku "mevsafir, mevsafir". Aku berdoa moga Allah merahmati pemilik kedai tersebut.


 Imam di Eyub Sultan menyambut kedatangan kami.

   Tercatit dalam kisah pengembaraan Ibnu Batutta, beliau mendapat layanan baik ketika bermusafir. Panduduk tempatan meraikan kedatangan musafir sepertinya ke tempat mereka. Aku merasai pekara yang sama seperti yang dilalui pengembara terkemuka itu. Pernah di Cappadocia, ketika kami menemui jalan buntu untuk mencari restoran yang tidak menjual arak,kami membuat keputusan untuk bertanya kepada jemaah yang berada di masjid. Selepas selesai solat isyak, kami bertanya kepada imam masjid itu dan bila ditanya beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.Aku berkata "Food no Alcohol". Dia membalas dalam bahasa Turki, aku dapat mengagak yang dia faham apa yang aku katakan, lalu dia terus masuk semula ke dalam masjid. Beberapa minit kemudian dia keluar memegang sekeping kad lalu diberikan kepada salah seorang rakanku sambil sebelah tangannya lagi memegang telefon bimbit menelefon seseorang. Kami menunggu tanpa memahami apa yang dikatakan imam tersebut, lebih kurang 10 minit datanglah seorang pemuda yang berambut kerinting menjemput dan membawa kami ke restoran tempat dia bekerja.


Bersama pemilik restoran di Cappadocia

Serupa Walaupun Berbeza


   Sewaktu di Konya aku melihat ada seorang lelaki berusia lewat 50-an sedang menulis sesuatu, tulisanya seperti jawi. Sampuk saudara Hassan yang boleh berbahasa Inggeris " It is Ottoman writing sistem". Ianya sama seperti tulisan jawi, saudara Hassan berkata, tulisan ini sangat penting, jika seseorang atau sesebuah negara menggunakan tulisan ini, kita boleh tahu mereka Islam, tulisan ini penting untuk kesatuan umat Islam, katanya. Aku juga sempat menunjukkan beberapa perkataan bahasa Melayu dalam ejaan jawi kepada mereka dan mereka boleh membaca tulisan jawi. 

Tulisan Ottman dalam Bahasa Turki dan Tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu menggunakan tulisan Arab, iaitu tulisan yang digunakan dalam al-Quran. Walaupun berbeza budaya dan bangsa, sistem tulisan ini melambangkan perpaduan.

 Rakan aku di Istanbul

   Kiranya musafir menjadi ibadah, terdapat keberkatan sepanjang perjalanan, aku membetulkan niat aku sebelum aku melangkah keluar dari rumah. Kata-kata itu menjadi pedoman bagiku ketika aku hendak bermusafir. Ketika bermusafir, aku ingin melihat diriku di tempat asing, adakah aku masih aku? Aku dapat merasakan betapa utuhnya tali persahabatan sesama Islam dan Islam itulah yang menyatukan umat manusia pelbagai bangsa. 

Aku dapat rasakan bahawa,
manisnya persahabatan lebih dari madu,
 eratnya persahabatan lebih dari simpulan tali,
kukuhnya persahabatan lebih dari dinding-dinding kota,
indahnya persahabatan lebih dari emas dan permata.



Muhammad Safuan Bin Jaffar
Sungai Nibong, Bayan Lepas,
Pulau Pinang



  

Sabtu, 19 Jun 2010

Bercuti di Turki (Kembara di Kota Purba) Part 8


Panasnya Selcuk 

Pintu Masuk St Jean 

   Pada pagi ini cuaca sangat baik, kemungkinan kami akan berpanas. Sebaik sahaja sarapan, kami mengemas barang - barang dan  kami perlu mengosongkan hostel pada jam 11.00 pagi. Kami bergerak ke Muzium Ephesus dengan berbekalkan air, keadaan cuaca di sini sungguh berbeza, sangat panas dan udaranya yang kering membuatkan aku cepat rasa dahaga. Selepas melawat Muzium Ephesus kami melawat ke St Jean iaitu tempat yang dicadangkan oleh pengurus hostel kepada kami. St Jean merupakan sebuah gereja lama yang terletak di sebuah bukit, dan dari St Jean kami dapat melihat Masjid Isabey yang binaanya lain dari masjid - masjid yang terdapat di Turki.

Di Muzium Ephesus.

   Selepas melawat St Jean kami terus ke Masjid Isabey yang mengambil masa 10 minit berjalan kaki. Jejak rasul pernah membuat pengambaran di Masjid Isabey, dan kami sempat bertemu dengan Imam masjid tersebut. Beliau menceritakan kepada kami keadaan sebelum masjid tersebut dilanda gempa bumi. 

 Masjid Isabey yang binaannya unik dari binaan masjid yang lain.

Imam Masjid Isyabey menunjukkan gambarnya ketika muda dahulu.


Imam Masjid Isaybey menyanyikan sebuah lagu kepada kami

  Kami kemudiannya solat di Masjid tersebut dan selepas itu kami makan tengah hari di sebuah restoran berdekatan. Perut diisi bekalan air dibawa sebagai penghilang dahaga diwaktu memerlukan.

Jejak Ke Ephesus

   Perjalanan ke Ephesus mengambil masa 10 minit dengan menaiki bas kecil, dengan tambang 2 Lira seorang. Semasa menyusur jalan ke Ephesus aku dapat melihat papan tanda rumah Maryam dan Yedi Uyuyanlar ( 7 Pemuda Ehabul Kehfi).
Theater yang terbesar di Ephesus.




   Cuaca panas tidak mematahkan semangat kami untuk menjelajah bandar tinggalan purba yang unik ini. Kami melawat ke Gereja Maryam yang terletak di sebelah kanan dari pintu masuk. Dari pintu masuk aku sudah dapat melihat Theater yang sangat besar, sungguh menakjubkan kerana ia dibina di lereng bukit dan bentuknya sekata. Kami kemudiannya ke Theater tersebut, aku terpesona melihatnya dan aku asyik terfikir bagaimana orang-orang zaman dahulu membinanya. 

 Semasa kunjungan kami, kerja pemeliharaan dan pemuliharaan sedang dijalankan.

   Kemudian kami menuju ke Library of Celsus iaitu diantara binaan yang menjadi tumpuan pengunjung ke Ephesus.

 Binaan ini sungguh unik, ianya pernah menempatkan beribu-ribu scroll dan ianya digelar sebagai Gerbang Ilmu. Kini fungsinya sebagai tarikan pelancongan dan bukan lagi perpustakaan seperti dahulu.


Jumpa Lagi Selcuk


   Kami meluangkan masa hampir 3 jam di Ephesus dalam keaadan yang penat dan dahaga kami meninggalkan Ephesus menuju ke Stesen bas untuk membeli tiket bas ke Istanbul. Rehat pun sudah, solat pun sudah dan pada malam itu kami bersolat di Masjid Kubz. 



     Selesai solat kami terus ke stesen bas, perjalanan dari Selcuk ke Istanbul mengambil masa 10 jam dan bas akan melalui Izmir iaitu salah satu bandar terbesar di Turki.

Ahad, 6 Jun 2010

Kembara Turki 2010 (Sebelum Ke Turki)

   Kembara Turki 2010
Siri Pertama

 


 Isnin 26 April 2010

Perancangan Awal


    Sudah lama tidak mengemaskini blog yang makin banyak sawang, sibuk dengan persiapan untuk peperiksaan. InsyaAllah 17-26 Mei, 3-4 Jun merupakan tarikh bertempur di Medan Perjuang Ilmu. Diizinkan Allah s.w.t aku dan rakan-rakan akan melawat Bumi Turki pada 7 - 17 Jun 2010 ini, InsyaAllah. Baru semalam kami mengadakan perjumpaan yang rasmi untuk kali kedua, agendanya untuk membincangkan mengenai tempat yang hendak dilawati nanti. Pada Perangcang awal terdapat 9 Bandar yang hendak dilawati, iaitu Istanbul, Nevsehir (Cappadocia), Konya, Alanya, Antalya, Denizli (Pamukkale), Izmir (Selcuk) dan Bursa. Namun setelah dibincangkan mungkin kami tidak akan ke Konya, Antalya atau Alanya dan Bursa. 


Peta perancangan Perjalanan 






   Jadi kepada sesiapa yang pernah ke Turki dan melawat ke bandar-bandar yang menarik boleh berkongsi pengalaman dan cadangan kepada saya yang tengah buntu. Bagi saya setiap bandar ada tarikannya tetapi kekangan masa menyebabkan kami terpaksa membatalkan ekspedisi ke Konya, Antalya atau Alanya dan Bursa, dalam perancangan aku dan rakan-rakan hendak meluangkan masa sebanyak 5 hari di Istanbul. Jadi sesiapa yang pernah sampai di Turki boleh kongsi pengalaman dengan saya.


   Alhamdulillah, sekarang ini aku telah mendapat kenalan di Turki yang akan membantu kami untuk menguruskan hal-hal berkaitan pengangkutan dan penginapan. Menurut kiriman e-mail yang dikirimkan kepada saya, walaupun kita bijak merangcang perjalanan, mungkin menjadi masalah kerana hampir 90% orang Turki tidak tahu berbahasa Inggeris. "Ingilizce biliyor musunuz?". Namun itu bukanlah penghalang segala niat di hati untuk mendekati bumi yang menyimpan pelbagai Khazanah tidak ternilai, bukan sahaja dari segi tinggalan monumen-monumen lama bahkan lebih dari itu.


  Kenapa Turki menjadi pilihan aku? Sepanjang jejakku di bumi asing, aku belum melangkah keluar dari bumi yang pernah menjajah negara kita, passport aku masih lagi sedikit Suci dan Luhur, ibarat kertas putih yang namun tercoret dengan dakwat hitam akibat dicop oleh pegawai Imegresen di Heathrow. Niat aku memang dari aku di Matrikulasi, hendak ke Turki, kerana perjalanan sejarahnya yang sangat penjang dan aku ingin meyusur di sepanjang lalulan itu. Aku tidak menafikan, aku baru tahu sejarah mengenai Turki yang pernah gemilang suatu kektika dahulu apabila Sultan Muhamad Fateh menguasai Constantinople, malah sebelum ini ada sahabat-sahabat nabi yang ingin menguasai bandar yang gah itu namun gagal, tapi ternyata apa yang disabdakan oleh junjungan besar Baginda Rasulullah s.a.w menjadi kenyataan. Kegemilangan terukir disepanjang laluan bersejarah sehingga terbit mendung hitam meyelubungi di akhir jalan kegemilangan apabila Kerajaan Turki Uthamaniyyah yang ketika itu dipayungi oleh Sultan Abdul Hamid dijatuhkan, maka saat itu kita kehilangan pemimpin, kita kehilangan naungan daulah Islamiyyah. Aku berharap mendung ini tidak lama kerana ia akan bergerak ditiup angin perjuangan dan insyaAllah nanti mentari akan tiba.


   Kembara kami merangkumi percutian sambil belajar, mengenali sejarah kegemilangan Islam yang banyaknya tertumpu di Istanbul dan di bandar-bandar lain. Selain itu kami ingin melawat ke tempat-tempat yang menarik seperti Cappadocia dan Pamukkale yang mempunyai struktur geografinya yang sangat menarik, serta kami ingin ke Alanya atau Antalya untuk menikmati keindahan pantai beriklim Mediterranean dan disitu juga terdapat kesan tinggalan sejarah zaman Rom dan juga zaman kegemilangan Islam. Segala-galanya masih dalam perjalanan dan InsyaAllah, pada Jumaat ini akan diadakan pembentangan mengenai tempat-tempat yang akan dilawati, seterusnya menyiapkan tentatif lawatan. Aku berharap, aku akan mendapat sesuatu pengalaman berharga nanti insyaAllah.Bersambung.



Kembara Turki 2010
Siri Kedua

Rabu 26 Mei 2010

Kemaskini Kembara Turki

     Setelah melalui proses perbincangan yang agak panjang, ke lima-lima ahli bersepakat untuk melawat bandar-bandar tersebut :

  1. Istanbul
  2. Cappadocia
  3. Konya
  4. Pamukkale
  5. Selcuk
  6. Izmir (transit untuk ke Istanbul)
  7. Bursa (Jika sempat) 
      Dan di bawah pula adalah peta kembara kami, dan perjalanan kami berdasarkan peta dibawah:


 
    Perancangan kami adalah untuk melawat Istanbul terlebih dahulu, tujuannya ialah, untuk mendapatkan sim card telefon di Turki bagi memudahkan perhubungan. Seterusnya kami akan bertemu dengan saudara Faiz Ali iaitu sahabat kami yang menetap di Turki, dengan itu kami boleh menguruskan hal-hal berkaitan pengangkutan serta hal-hal berkaitan sebelum bertolak ke bandar-bandar lain. Kami merancang untuk menghabiskan masa di Istanbul lebih lama iaitu 5 hari, 2 hari sebelum ke Cappadocia dan 3 hari berbaki selepas pulang dari Selcuk. Tujuan mengambil masa lebih lama untuk melawat sekitar Istanbul, kerana di Istanbul terdapat banyak tarikan berbanding di bandar-bandar lain. 

    Setakat ini semua ahli telah menjalankan tugas dan tempahan penginapan di kesemua bandar telah pun selesai. Alhamdulillah, di Istanbul kami menginap di rumah saudara Faiz Ali dan di Konya kami akan menginap di sebuah Madrasah, saya tidak pasti nama madrasah tersebut. Sekarang ini kami menghitung hari kerana tidak berapa hari saja lagi ( 11 Hari lagi ), ada persiapan lagi yang belum diselesaikan seperti nak tukar mata wang dan macam-macam lagi. Saya ada mengirimkan email kepada mak saya secara ringkas mengenai negara Turki, jadi bagi anda yang masih tertanya-tanya "Mengapa Turki menjadi pilihan?" silalah baca email di bawah, jika anda kenal dan tahu sejarah di Turki, saya pasti anda mahu melawat negara ini.

Email
****************************************************************************
Mengapa Turki?


    Dalam e-mail ini saya akan menceritakan kisah, "Mengapa saya memilih Turki untuk berjalan-jalan" Jawapannya, ialah kerana "Sejarahnya". Apa yang ada dengan sejarah Turki? Ini yang saya akan ceritakan, bukanlah dengan mendalam. Sejarah negara Turki ini sudah lama, malah lebih lama dari Kewujudan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Adakah anda tahu mengenai Istanbul (Klik di sini)? Istanbul mempunyai populasi penduduk yang lebih pada dari Bandaraya Kuala Lumpur, iaitu kira-kira 20 Juta penduduk. Lebih Menarik lagi 90% rakyat Turki tidak mampu berbahasa Inggeris jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang lain.


 Adakah anda kenal dengan seorang sahabat Nabi yang mati syahid kerana hendak menakhluk Kota Konstantine (Istanbul)? Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam suatu hadis sahih yang bermaksud :


Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Mengapa Baginda Rasulullah s.a.w menyebut nama kota ini? Sudah tentu Kota ini sangat istimewa kerana baginda menyebutnya dengan jelas. Siapa yang menakhluk Kota ini? Jawapannya Sultan Muhammad Al-Fateh (Klik di sini). Setelah dari peristiwa penakhlukan kota Konstantine oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 29 Mei 1453 (Klik di sini) Empayar Islam berkembang luas sehinggakan Kerajaan Islam Melayu Nusantara bernaung di bawah Kerajaan Turki Uthmaniyyah.


Namun, terik mentari tidak sampai ke petang, pada zaman pemenrintahan Sultan Abdul Hamid II, Turki jatuh ke tangan si Laknatullah Mustapa Kamal Attaturk (Klik di sini). Sultan Abdul Hamid II (Klik di sini)yang mempertahankan Palestin dari jatuh ke tangan Israel Zionis, namun kejatuhan kerajaannya menyebabkan Palestin kini terjajah oleh bangsa Yahudi Zionis Laknat. Banyak sejarah menulis bahawa Kamal Attaturk adalah wira, bapa pembebasan negara Turki, tetapi dia adalah manusia yang memusnahkan Kerajaan Islam. Kenapa? Dia mengharamkan tudung untuk dipakai, dia mengaharamkan azan dalam bahasa arab, dia menghapuskan sistem tulisan arab, dia menjadikan masjid sebagai kandang kuda, dia menutup pengajian madrasah. Negara Islam Turki menjadi Republik Sekular, dan negara - negara di bawah naungan Kerajaan Turki Uthmaniyyah (Turki sebelum merdeka) dijajah dan sempadannya dikerat-kerat, sebab itu di negara-negara Arab sempadanya lurus-lurus.




Secara kesimpulannya itulah jawapan bagi "Mengapa Turki?". Turki yang sekian lama membisu, rupa-rupanya mempunyai kisah kegemilangannya tersendiri, namun kini dia sedih kerana sinar Islam padanya telah pudar sekian lama, jiwanya sakit, tetapi tetap terubat kerana di dadanya bersemadi jiwa insan-insan yang pernah membebaskan dirinya dari belenggu kemusyrikan iaitu Sultan Muhammad al-Fateh (Penakhluk Kota Konstantin yang kini Istanbul) dan Sultan Abdul Hamid II yang mempertahankan Palestin dari jatuh ke tangan Yahudi (Namun jatuh ke tangan Israel setelah kemangkatan baginda). Sejarah Turki, Sejarah kita Umat Islam.




Sekian
Muhammad Saffuan bin Jaffar


********************************************************************************
Saya harap anda sudah mengetahui sedikit sebanyak mengenai negara, sejarah bumi Turki.Mudah-mudahan perjalanan kami akan dipermudahkan Allah s.w.t 

   .
 Kembara Turki 2010 
Siri Ketiga 

Sabtu 5 Jun 2010

Lebih Kurang 24 Jam lagi

    Selepas tamat peperiksaan, kami memulakan persiapan terakhir sebelum ke Bumi Turki, setelah selesai solat Jumaat kami bergerak ke bandar untuk membeli makanan sebagai bekal dan menukar sejumlah kecil wang (Turkish Lira). Semasa di Nottingham City Centre dengan cuaca yang panas, kebetulan ada perarakan anti Israel. Ini mengingatkan saya terhadap hubungan Turki dan Israel yang tegang kerana tindakan pasukan tentera Israel menawan Mavi Marmara dan membunuh beberapa sukarelawan termasuklah sukarelawan dari Turki.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...