Thursday, December 27, 2012

Boleh Pinjam Mata Pengarah JPN?

"BOLEHKAH saya pinjam mata Pengarah Pendaftaran supaya saya dapat bikin IC?," tanya Yusof Apalal, 53, seorang penghuni Rumah Orang Buta di Taman Cahaya Sandakan, yang tidak mendapat sebarang bantuan kerana beliau dan enam anaknya tidak memiliki kad pengenalan.

Yusof adalah antara penghuni awal Rumah Orang Buta di Taman Cahaya yang diabaikan oleh Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia kerana 'Buta' dan Sindrom 'Orang Buta' tidak perlukan kad pengenalan; jika tidak, sudah tentu lebih 20 orang buta berketurunan Dusun di Taman Cahaya sudah mendapat kad pengenalan.

Memang amat malang bagi Yusof dan enam anaknya kerana Jabatan Pendaftaran sering menggunakan Dasar 'Telur dan Ayam'; sedangkan hakikatnya tidak mungkin bagi seorang kanak-kanak buta mengheret ibu bapanya ke Jabatan pendaftaran Negara; sedangkan JPN merupakan penyimpanan data peribadi rakyat Malaysia.

Jika JPN boleh memberikan kad pengenalan melalui jalan songsang kepada lebih 3.2 juta Warga Asing Indonesia, Filipina, Pakistan, India, China dan sebagainya; kenapa tidak dapat meluluskan kad pengenalan bagi seorang buta demi kejayaan enam orang anaknya yang digantung tidak bertali, 'Warganegara Belum Ditentukan'.

Mungkin Yusof sudah putus asa dan terlalu geram dengan penghinaan masyarakat dan sindiran tajam Pegawai Pendaftaran yang meminta 'dokumen' yang beliau tidak ada; apatah lagi setelah Akta DNA diluluskan Parlimen kini menjadi hiasan dan lelucon untuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.

Menurut Yusof kedua ibubapanya memiliki kad pengenalan dan merupakan anak jati Sabah daripada keturunan Suluk, tetapi akibat buta beliau disisih di Taman Cahaya ketika berusia 19 tahun sehingga kini.

Di Taman Cahaya beliau bertemu jodoh dengan gadis buta berketurunan Bajau, Rugayah Bte Nujan sehingga mendapat enam cahaya mata yang kesemuanya di lahirkan di Hospital Duchess of Kent.

Nasib malang Yusof dan isterinya diwarisi anak-anaknya kerana walaupun kesemuanya mempunyai Sijil Kelahiran, namun masih menjadi 'Warga Kayangan' kerana kerakyatan yang 'Belum Ditentukan' menyebabkan hidup mereka diambang kemiskinan yang merantai; bukan sahaja tidak dapat melanjutkan pelajaran, malah tidak dapat mencari pekerjaan.

Kematian isteri Yusof menyebabkan bebannya membesarkan anak semakin sukar kerana beliau tidak layak menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) dan terpaksa mengharap ehsan Taman Cahaya untuk menghulurkan makanan dan barang keperluan.

"Mujur juga anak sulung saya, Zaki dan adiknya King Birthday mendapat kerja sebagai buruh kontrak untuk menampung kehidupan kami sekeluarga," ujar Yusof yang kesal kerana dua anaknya, Mohd Noor dan Gabie ditamatkan persekolahan disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan.

Kata Yusof, beliau semakin bimbang kerana masa hadapan anaknya akan terumbang ambing jika beliau sudah meninggal dunia kerana selama ini hanya mengharap ehsan Taman Cahaya; yang bukan sahaja tidak mempunyai dana, malah turut mengharapkan ehsan orang ramai.

"Saya pernah diberi resit kad pengenalan ini (menunjukkan satu resit laporan kehilangan kad pengenalan bernombor H0597226 bertarikh 13 Ogos 1990) tetapi dia orang bilang ini tidak benar," kata Yusof tidak dapat mengingat nombor kad pengenalannya.

Sepanjang hayatnya, kata Yusof, beliau hanya memiliki resit report kehilangan kad pengenalan mengikut Peraturan Pendaftaran Negara 972; tetapi tidak menggunakannya kerana Pegawai Pendaftaran memberitahunya sebagai palsu, namun mereka tidak berusaha untuk membantu Yusof dan keluarganya.

Sejak daripada itu, saban tahun Yusof mengunjungi Jabatan pendaftaran Sandakan tetapi tidak pernah berhasil melepasi saringan kerana kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dan beliau telah terputus hubungan dengan saudara masa sejak dimasukkan ke Rumah Orang Buta (Taman Cahaya) di Rancangan Sungai Manila, Sandakan.

Dalam pada itu, anak sulungnya, Zaki Bin Yusof yang dilahirkan pada 26 November 1991 dan diberi nombor pendaftaran 10213/91 di Hospital Duchess of Kent turut melahirkan rasa kesal kerana beliau dan keluarganya adalah Anak Jati Sabah berketurunan Suluk, sama seperti Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, tetapi dilayan sebagai warga kelas kambing kerana diberikan kerakyatan 'Belum Ditentukan'.

"Trauma dengan keadaan ini sejak kecil, saya dan adik-adik saya tidak mahu belajar atau mewarisi bahasa Suluk kerana kami dianggap sebagai pendatang. Tapi bolehkah Pendatang jadi TYT?" tanya Zaki yang memberikan satu sindiran tajam.

Disebabkan kerakyatannya 'Belum Ditentukan', maka Zaki terpaksa bekerja sementara dengan beberapa sub-kontraktor untuk meringankan beban bapanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Zaki dan adik-adiknya, King Birthday, Muhammad Abdullah, Mohammad Ilham, Gabie dan Mohd Noor turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Penyelia Taman Cahaya, Haji Ibrahim Haji Hamid kerana begitu prihatin terhadap nasib keluarga mereka dan tidak jemu-jemu menghantar mereka sekeluarga saban tahun ke Jabatan Pendaftaran Negara Sandakan untuk memohon kad pengenalan sekalipun ditolak.

Dalam pada itu, Haji Ibrahim yang telah bertugas dengan Taman Cahaya sejak 1978, kenal benar dengan ibu bapa Yusof, tetapi kurangnya kerjasama mereka menyebabkan usaha untuk mendapatkan kad pengenalan bagi Yusof dan anak-anaknya gagal sehinggalah kedua ibu bapa Yusof meninggal dunia.

"Saya harap Pengarah JPN Sabah, atas nama kemanusiaan, berilah kelonggaran kepada Yusof dan keluarganya mengikut peruntukan Perlembagaan dan hak mereka sebagai warganegara," kata Haji Ibrahim lagi.

Tegas Haji Ibrahim, polisi JPN tidak pernah mengecualikan orang buta kerana mereka juga memerlukan kad pengenalan untuk berurusan; malah ramai orang buta di Taman Cahaya tidak memiliki kad pengenalan.

"Taman Cahaya adalah 'Syurga' bagi Orang Buta yang selama ini disisihkan masyarakat. Kita ambil mereka dari segenap pelusuk kampung, kita latih mereka sehingga boleh berdikari dan bukan meminta-minta," kata Haji Ibrahim yang mengakui dua pertiga daripada penghuni Taman Cahaya menghadapi masalah identiti.

Kata Haji Ibrahim, pihaknya hanya mengambil pelatih daripada kalangan rakyat Malaysia dan bukannya PATI. Ketiadaan dokumen peribadi katanya, bukanlah penentu mutlak kerakyatan kerana sikap keluarga yang menganggap orang buta tidak perlu MyKad sudah begitu lama bersemadi di Malaysia.

"Persoalannya, sampai bilakah kita akan membiarkan kezaliman ini berlaku," tanya Haji Ibrahim yang menyifatkan birokrasi JPN telah menyebabkan masa hadapan penghuni Taman Cahaya terus gelap kerana tidak ada sebarang cahaya di hujung terowong JPN.

Oleh : MUTALIB M.D (sabahkini)

Orang Asli dilatih untuk 'undi BN'

pkr accuse tapah orang asli vote for bnPakatan Rakyat Perak hari ini mendakwa bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Tapah telah mengadakan sesi untuk "melatih" Orang Asli mengundi BN.

Ia mendakwa sesi latihan itu, yang didakwa dianjurkan dengan kerjasama seorang wakil rakyat, diadakan secara bersiri sejak bulan lepas di semua perkampungan Orang Asli di sepanjang Jalan Pahang, Tapah.

pkr accuse tapah orang asli vote for bnMenurutnya, peserta program itu diberi dua keping kertas undi, mirip
kertas undi sebenar, untuk kawasan parlimen Tapah dan DUN Chenderiang.

Orang Asli kemudian "dipaksa" memangkah BN pada kertas undi tersebut di hadapan seorang pegawai JAKOA dan ADUN BN, dakwanya.

"Mereka yang mengundi BN dalam kedua-dua kertas undi itu kemudiannya diberi 5kg beras sebagai ganjaran," kata Pakatan Perak dalam satu kenyataan, yang dipetik oleh PAS organ Harakahdaily.

Pakatan berkata, ini melanggar Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan dengan kebebasan hak seseorang untuk mengundi.

Ia juga berhujah bahawa percetakan kertas undi olok-olok itu, melanggar Seksyen 3(j) Akta yang sama.

Kedua-dua pegawai JAKOA dan ADUN hadir juga digesa supaya memberi penjelasan.

Malaysiakini telah menghubungi JAKOA Tapah tetapi pegawai yang menjaga program tersebut tidak ada dan hanya kembali esok.

Identiti wakil rakyat tersebut juga tidak disiarkan sementara menunggu respons mengenainya. -MK

Wednesday, December 26, 2012

Peruntukan Katil Hospital Pun Kena Kebas

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri bakal membongkar penyelewengan dan penipuan Umno BN terhadap projek hospital kerajaan, khususnya mengenai peruntukan katil buat pesakit dan hospital baru yang gagal dibina untuk setiap negeri. Gambar hiasan

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan peruntukan 60,000 katil hospital untuk lebih 28 juta rakyat, tetapi perjanjian itu dilanggar apabila jumlah yang disediakan tidak mencukupi.

“Apa yang berlaku sekarang, hanya ada 30,000 katil di setiap hospital seluruh negara, iaitu separuh daripada yang diperuntukkan,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

Bagaimanapun, kata Yahya, butiran lanjut mengenai penyelewengan tersebut akan didedahkan beliau pada sidang media 2 Januari.

Ketua Cabang Tanjung Karang itu turut mempertikai pengumuman kerajaan untuk membina hospital di setiap negeri, tetapi hingga sekarang proses pembinaan masih tidak berjalan.

“Konon beriya-beriya umum, buat acara pecah tanah dan sebagainya. Tapi pembinaan tak ada.

Itu yang saya nak persoalkan nanti, dan saya ada jawapan untuk kedua-dua isu ini,” katanya.

“Ia juga bagi menunjukkan janji kerajaan untuk menyediakan khidmat kesihatan yang cemerlang kepada rakyat tidak ditunaikan,” sambung beliau.

Sebelum ini, Yahya mendedahkan seorang bekas pegawai tertinggi polis memiliki aset berupa 10 unit rumah persendirian di sekitar Kuala Lumpur.

Kemudian, beliau mempersoal isu pemberhentian 37 pekerja kilang kelapa sawit (KKS) Bukit Talang, yang dimiliki anak syarikat perladangan konglomerat Sime Darby berusia 60 tahun.

Yahya turut membongkar isu air mineral yang diedar BN Selangor dalam kempen politik dikesan melanggar pelbagai peraturan, malah status halalnya diragui.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap minggu akan ada penyelewengan Umno BN yang akan saya dedahkan sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Pelacuran salahguna facebook cari pelanggan

Sindiket pelacuran kini menyalahgunakan laman sosial Facebook bagi menawarkan khidmat haram mereka dengan menyiarkan gambar wanita yang tidak terbabit dalam kegiatan itu menggunakan teknik pertindihan gambar, bagi menarik pelanggan.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata sehingga kini pihaknya menerima lima laporan daripada mangsa terbabit.

Kes terbaharu membabitkan seorang pegawai pentadbiran di sebuah syarikat swasta yang terpaksa menanggung malu setelah gambar wajahnya dipaparkan dalam Facebook sebagai gadis yang menawarkan perkhidmatan seks, sejak empat bulan lalu, katanya dalam sidang akhbar semalam.

Wanita berusia 20 tahun tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, gambarnya telah digunakan dalam dua akaun Facebook iaitu 'Jessy Serikembangan' dan 'Lisa Carino' kononnya beliau menawarkan khidmat seks dengan caj RM200 untuk sekali perkhidmatan dan RM500 untuk tempoh semalaman.

Tan dari Shah Alam berkata beliau mendapati wajahnya telah dipotong dan disambungkan kepada gambar badan wanita lain yang berpakaian seksi dan berbikini.

"Saya mendapat tahu apabila rakan saya memberitahu wajah saya disiarkan di laman itu. Saudara dan rakan saya menganggap saya terpaksa menjual tubuh saya kerana masalah kewangan. Ini amat memalukan saya," katanya.

Tan berkata sehingga kini wajahnya masih terpampang di laman sosial
berkenaan.

Beliau berkata beliau telah menyamar sebagai pelanggan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sindiket itu telah meminta beliau terlebih dahulu memasukkan RM300 ke dalam akaun sebuah bank milik individu lain.

Tan berkata beliau telah membuat laporan polis Ogos lepas dan kepada pengurusan Facebook yang sehingga kini belum mendapat sebarang tindak balas.

- Bernama

Ketua Penerangan ANAK Ditahan & Diikat Tangan

Kembara Oren Selamatkan Felda peringkat Pahang, kelmarin kecoh apabila Ketua Penerangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Noraza Muda yang mengetuai konvoi ditahan dan diikat tangannya.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menghalang Noraza dan peserta konvoi memasuki kawasan Felda Kampung Awah, Chenor.

Pengarah Pilihan Raya Pas Maran, Shamsuri Hussin yang turut menyertai program berkenaan berkata, pada awalnya konvoi berjalan dengan lancar dari Felda Bukit Kepayang, Bera.

"Suasana bermula apabila konvoi tiba di Felda Kampung Awah. Noraza ditahan dan diikat kedua belah tangannya.

Katanya, tindakan tersebut menimbulkan kemarahan peserta konvoi dan berlaku ketegangan di kawasan tersebut.

Menurutnya, keadaan kembali reda apabila Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan, Sulaiman A. Hamid campur tangan dan mengarahkan Noraza yang ditahan selama 15 minit di sebuah pondok dilepaskan.

Katanya, hasil rundingan dengan penduduk, konvoi dibenarkan memasuki kawasan Felda dan meneruskan program penerangan jelajah di Markas Pas di dalam kawasan Felda itu.

Shamsuri berkata, insiden berkenaan cukup mengecewakan dan pihaknya mengutuk tindakan tidak bermoral pihak yang menghalang jelajah berkenaan.

Menurutnya, peserta konvoi juga terkilan dengan tindakan pihak yang mencetuskan provokasi.

“Perbuatan ini melanggar Perlembagaan dan undang-undang yang memberi hak kepada semua rakyat negara ini untuk ke mana sahaja dan berhimpun dengan aman.

“Pemuda Pas Maran yakin bahawa sebahagian besar peneroka dan penduduk Felda kini matang dalam berpolitik, mereka tahu untuk memilih pimpinan dan wakil dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.

Kelmarin, Kembara Oren di Negeri Sembilan kecoh apabila ratusan penduduk menghalang laluan konvoi berkenaan.

Sebelum ini pada 3 November insiden yang sama berlaku di Felda Lawin Selatan, Gerik Perak. -SH

Tuesday, December 25, 2012

Rampas 20 Kerusi, Mimpi Atau Realiti?

Barisan Nasional (BN) mampu merampas 20 kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang, sekali gus meraih kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata beliau yakin BN dapat mempertahankan 140 kerusi Parlimen yang dimenangi sekarang serta merampas lima daripada 23 kerusi PAS, lima daripada 29 kerusi DAP dan 10 daripada 31 kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan pelbagai faktor termasuk masalah yang dihadapi pembangkang di beberapa kawasan yang dimenangi mereka sebelum ini.

“Semua perkara ini logik kerana sebagai contoh, tujuh kerusi PKR sudah bermasalah di mana enam daripadanya telah cabut masuk bebas sementara satu lagi kalah di Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemukiman Pemantapan Profesionalisme Kelab Kebajikan dan Rekreasi Penerangan (KKRP) yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga bakal menjadi faktor utama kemenangan BN.

“Rakyat telah menikmati pelbagai insentif dan keistimewaan yang diperkenalkan Perdana Menteri termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia serta program transformasi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata faktor calon boleh menang yang dimiliki BN akan turut membantu merampas kembali kerusi pembangkang.

Bagaimanapun, katanya kemenangan tersebut hanya akan dicapai sekiranya anggota BN tidak melakukan sabotaj atau 'cah keting' terhadap parti. — Bernama

Air Mineral BN Selangor Tidak Patuh Piawaian

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri mendedahkan, air mineral yang diedar BN Selangor semasa program-programnya menyalahi peraturan air mineral, malah logo halal yang dilekat di botol itu diragui kesahihannya.

Beliau berkata, pembekalan air mineral percuma berjenama ‘Nurani Rakyat’ dalam kempen Sayangi Selangor itu tidak pernah disahkan kualitinya mengikut piawaian yang ditentukan kerajaan.

Katanya, ia melanggari Akta Makanan 1983, Akta Perihal Dagangan 2011, dan Sijil Perakuan Halal Jakim.

“Sebab itu kita minta Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) siasat dan ambil tindakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Yahya membandingkan air mineral berbotol yang dikeluarkan syarikat komersil mematuhi sepenuhnya piawaian, sedangkan pembekalan produk yang dibuat syarikat BN langsung tidak tertera dibiar melanggari undang-undang.

“Sepatutnya pada botol ini tertulis jenis punca air dan lokasi diperolehi, kandungannya dan nama syarikat yang membotolkan, tapi langsung tak dinyatakan,” kata Yahya.

Beliau turut mempersoal kesahihan logo halal Jakim yang dipapar pada produk berkenaan.

Manakala jenis penutup botol air mineral itu berwarna biru, tanda kepada jenis air galian bawah tanah, namun diragui sumbernya.

“Bagaimana kalau saya katakan air ini berpunca dari air paip Syabas? (Syarikat Bekalan Air Selangor)” soal Yahya.

“Sendiri jadi menteri sendiri buat peraturan, sendiri yang langgar. BN tipu rakyat di program anjurannya. Ini penyalahgunaan logo yang jelas. Kita yakin dalam masa kempen pilihan raya, air ini akan dibekalkan secara meluas di program anjuran mereka,” katanya.

Menurut Yahya, melalui pemerhatiannya, pengeluaran produk tersebut menyalahi semua peraturan berkenaan.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, syarikat atau institusi yang melakukan kesalahan boleh didenda sebanyak RM10 juta, manakala RM2 juta bagi kesalahan individu,” kata Yahya.

Manakala penyalahgunaan sijil dan logo halal Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri boleh didenda maksimum RM5 juta kerana kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna. -KD

Masalah air rakyat Sabah yang dipinggirkan media

Kami tak tahu kenapa ianya terjadi. Air merupakan keperluan asas tetapi sering berlaku dan amat mengecewakan. Sebelum ini kita sering dihidangkan dengan isu air di Selangor tetapi tempat kami bagaikan diabaikan.

Masalah air di Kg Maraba, Beaufort dalam DUN Lumadan dan Parlimen Sipitang amat membimbangkan.

Kami hanya menerima air pada jam 2.00 pagi (itu pun kadang-kadang) dan akan ditutup sebelum jam 6.00 pagi.

Masalah air ini berpunca apabila dibinanya water pam di Kg Inuman bertujuan untuk menarik air ke Kg Lingkungan, Kg Lubok dan Kg Weston.

Sebelum ini jurutera daerah telah menyatakan masalah air akan diselesaikan jika loji air baharu di Beaufort telah siap. Hal ini umpama menanam tebu dibibir sahaja.

Acapkali kali melaporkan masalah kami ini tetapi tidak diendahkan. Diharap pihak berwajib mengambil tindakan dengan segera.

Apa guna ungkapan janji ditepati jika ianya tidak dikota. By: rasa terkilan

Aduanrakyat.com 24 Dis 2012.


Sumber; aduanrakyat.com.my"

DAP gesa BN benar perkataan ‘Allah’

Kerajaan Persekutuan digesa untuk membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible berbahasa Melayu sepertimana yang dibenarkan di Malaysia Timur sejak 50 tahun lalu.

Dalam perutusan Krismas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini, gesaan itu dibuat berikutan kerajaan Barisan Nasional (BN) jelasnya sering melaungkan bahawa mereka mesra rakyat yang membawa keamanan, kemakmuran berlandaskan prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi termasuk juga integriti.

“Selain membenarkan perkataan Allah seperti yang digunakan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan ribuan tahun di negara Timur Tengah, BN juga harus menghentikan taktik menakutkan pengundi Melayu dengan mendakwa negara Kristian akan tertubuh di negara ini.

“Penganut Kristian tidak pernah mahu menubuhkan sebuah negara Kristian di negara ini ... mereka taat kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia,” katanya dalam perutusan tersebut.

Akhbar The Herald menerima masalah apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghalamg penerbitan bahasa Melayu Bible - Al Kitab - daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Mahkamah bagaimanapun pada 2009 memutuskan tindakan KDN itu bercanggah dengan sistem perundangan, dan penghakiman tersebut menyebabkan siri serangan ke atas beberapa gereja di negara ini.

Kerajaan Persekutuan berhujah penggunaan perkataan Allah adalah eksklusif untuk komuniti Islam sahaja. -TMI

Bekas Pengerusi SPR Gesa Suruhanjaya Diraja Kaji Sistem Pilihanraya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah gagal dalam mengemukakan tuntutan-tuntutan menyeluruh untuk membawa pembaharuan signifikan ke atas sistem pilihan raya, kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Sehubungan itu kata beliau, satu suruhanjaya diraja perlu dibentuk jika rakyat mahukan sistem yang sedia ada dikaji semula dan kemudian diadakan satu referendum bagi mendapatkan pendirian rakyat.

Katanya, sistem pilihan raya yang ada sekarang memerlukan perubahan struktur, bukannya pembaharuan yang disifatkan sebagai "quick fix."

"Saya lebih hendak setuju dengan Bersih dalam satu hal iaitu tubuh satu suruhanjaya diraja untuk mengkaji (sistem pilihan raya), yang terdiri daripada orang-orang tertinggi.

"Sekarang PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) sudah selesai, jadi suruhanjaya masih perlu? Perlu!

"PSC ini hanya sementara. Dia punya terma dan syarat pun kecil. Ia tidak boleh bergerak di luar terma dan syaratnya. PSC selesai tugasnya. Bagus! Tapi ini orang Parlimen, mereka ahli politik.

"Mereka tahu apa yang berlaku, tetapi mereka tidak sentuh. Enjin, mereka tukar, plug mereka tukar, minyak hitam ditukar. Itu sahaja," kata beliau dalam satu temu bual bersama Sinar Harian Online minggu lalu.

Abdul Rashid yang menjadi Pengerusi SPR selama 10 tahun berkata, "kalau negara mahu, kalau negara setuju, kalau tuntutan-tuntutan ini hendak dilayan, tubuhkan suruhanjaya untuk mengkaji semula dan mengadakan sistem (baru), kalau negara bersetuju."

Beliau bersara daripada jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum 2008. Sambil melihat Bersih 2.0 bukan sebagai pertubuhan pembangkang, kata Abdul Rashid, ia satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menuntut supaya ditingkatkan sistem demokrasi di negara ini, bukan sahaja dalam pilihan raya tetapi perkara lain.

"Tetapi Bersih (2.0) ini khusus untuk kita buat perubahan pada sistem pilihan raya dan mereka tidak berapa mengerti agaknya, tuntutan-tuntutan itu nampaknya tidak menyeluruh.

"Saya kaji juga tuntutan-tuntutan ini dan mereka tidak mendesak dilakukan suatu perubahan yang menyentuh struktur," kata beliau.

Tambah beliau, "maknanya seluruh undang-undang itu dikaji. Bukan satu dua tempat. Ini macam kita tukar bateri, tukar ‘spark plug’, tukar minyak hitam, 'quick fix’ ini (sebenarnya) boleh mendatangkan masalah yang lebih besar. Yang dasarnya tidak berubah."

Bersih 2.0 mengemukakan lapan tuntutan pada awal tahun lalu. Ia kemudian mengadakan perhimpunan pada awal Julai 2011 dan sebulan kemudian kerajaan menubuhkan PSC bagi mengkaji pembaharuan sistem pilihan raya.

Menjawab soalan sama ada tuntutan Bersih itu lebih kepada ‘quick fix’ semata-mata?, Abdul Rashid yang pernah menjadi Setiausaha SPR berkata, "saya pun terkejut juga Bersih ini, yang terdiri daripada peguam yang besar-besar (ternama).

" "Tuntutan-tuntutan itu nampaknya.... apabila anda buat tuntutan itu, kerajaan respons, itulah yang dibuat menerusi PSC, itu yang dibuat. Jadi tuntutan mereka telah dipenuhi.

"Tapi kita tahu, Bersih hendak lebih daripada itu. Mereka tidak mahu PSC. Mereka mahu suruhanjaya yang betul-betul bebas dan adil," katanya.

Jelas Abdul Rashid, bagi beliau Bersih 2.0 telah gagal mengetengahkan isu yang sebenar walaupun mereka tahu apa yang mereka mahu.

".... sebab mereka tidak kemukakan apa yang mereka mahu. Mereka hendak undi pos dikaji, ini semua kecil.

"Bagi saya, ia tidak membantu untuk memperkuatkan amalan demokrasi.

Ia hanya merubah sedikit tatacara atau pun prosedur," katanya lagi.

Selepas PSC mengemukakan laporan penuh 22 perkara kepada Parlimen awal tahun, Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan akhir April lalu. -SH