Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Monday, November 3, 2014

Puting beliung di Kedah, amaran keras dari langit?

ALOR SETAR - Tiga cedera, manakala lebih 35 rumah rosak selepas angin kuat melanda tiga kawasan di daerah Kota Setar, petang tadi.

Dua daripada tiga mangsa yang cedera adalah dari Taman Inang terkena serpihan kaca daripada pintu dan seorang kanak-kanak difahamkan cedera ketika memancing di tengah sawah di kawasan berkenaan.

Seorang lagi mangsa tercedera di bahagian badan dan tangan akibat terkena serpihan atap zink rumah yang di bawa angin di Kampung Sungai Baru.

Berikutan kejadian angin kuat pokok-pokok landskap berhampiran rumah penduduk dan di tepi jalan utama juga tumbang. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Batin, Taman Mergong Jaya Fasa Satu, Taman Inang dan Kampung Sungai Baru.

Fenomena pusaran angin bersaiz sederhana seakan ‘puting beliung’ itu jelas kelihatan daripada beberapa kawasan, dipercayai bermula dari kawasan Sungai Baru menghala ke Mergong.

Fenomena alam yang berlaku buat kali kedua itu, selepas Pendang pada 14 Oktober lalu menyebabkan orang ramai merakamkan kejadian dan menjadi viral di laman Facebook. -SH

Wednesday, September 17, 2014

Asmara janda di sebalik tirai besi

Umpama berada di sebalik tirai besi! Begitulah gambaran tepat keadaan antara salah satu dari 26 bilik hotel bajet di Simpang Kuala, dekat sini, apabila dipasang geriji besi, malah dikunci dari luar.

Tinjauan mendapati keadaan bilik seolah-olah dalam penjara kerana mangganya dikunci di luar dan memberi peluang pasangan kekasih melampiaskan nafsu serakah mereka.

Malah, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) perlu membuka kunci dari luar bilik ketika melakukan operasi bersempena Hari Malaysia di kediaman tersebut.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, taktik mengunci bilik dari luar sedemikian seolah-olah ingin mengaburi mata penguat kuasa.

“Apabila bilik dikunci dari luar, manakala motosikal disembunyikan dalam bilik motel seolah-olah kelihatan tiada orang, sedangkan pasangan berkenaan sedang seronok bermadu kasih dalam hotel diubah suai itu.

“Dalam serbuan terbabit, pihak kami mendapati seorang janda berusia 22 tahun ditahan bersama pasangannya, mekanik yang juga suami orang berumur 24 tahun,” katanya.

Menurutnya, pasangan kekasih dari Pendang ini memberi alasan bertemu hanya kerana ingin membincangkan mengenai perkahwinan mereka memandangkan hasrat tidak dipersetujui si isteri .

"Tetapi ketika serbuan, lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berbaju, manakala pasangan wanita lengkap pakaian menyembunyikan diri dalam bilik air.

“Turut ditahan, dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) wanita bersama pasangan masing-masing, kontraktor dan kerani dalam operasi jam 11 malam hingga 3 pagi itu,” katanya.

Katanya, antara alasan dicipta mereka adalah menemani pasangannya belajar dan membincangkan hal perkahwinan mereka dalam bilik hotel terlibat.

"Ada pasangan didapati hanya berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook, WeChat ataupun WhatsApp sebelum mengambil keputusan bertemu.

Oleh itu, katanya, dia meminta ibu bapa sentiasa memantau pergaulan dan pergerakan anak mereka.

"Pihak kami akan menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa di hotel terlibat demi memastikan kes sedemikian berkurangan," katanya.

-sinar harian

Monday, September 1, 2014

Aksi tumbuk & baling kerusi di mesyuarat UMNO?

Jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat kekecohan ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung kelmarin.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Datuk Ariffin Man berkata, jawatankuasa dianggotai kira-kira 10 ahli akan menyiapkan laporan mengenai kejadian itu sebelum dihantar kepada Umno negeri dan Pusat.

Menurutnya, tindakan yang akan dikenakan terhadap individu terlibat bergantung kepada Umno Pusat.

"Dari segi peraturan, persidangan mematuhi prosedur ditetapkan dalam tempoh notis 14 hari manakala semua senarai nama perwakilan calon G7 adalah sah berdasarkan undian majoriti.

"Namun kita yakin masalah berpunca dari kesilapan teknikal hingga berlaku provokasi yang mencetuskan tindakan mengikut perasaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena dicemari insiden baling kerusi ketika persidangan bermula. Ia tercetus selepas perasminya, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal meninggalkan majlis.

Ariffin berkata, sepatutnya tidak berlaku masalah kerana mengikut senarai nama asal terdapat 16 calon perwakilan yang menawarkan diri untuk bertanding.

"Namun semasa hari mesyuarat, sebahagian nama itu tercicir kerana tidak dimasukkan ke dalam beg. Bagaimanapun semua ahli Umno mengenali semua nama calon.

"Daripada 16 calon, hanya tujuh terpilih untuk menjadi wakil ke perhimpunan agung di Kuala Lumpur. Pemilihan dibuat secara undian oleh kira-kira 700 perwakilan," katanya. -SH

Tuesday, February 18, 2014

Guru Terima Ugutan Rogol Dari Murid Tahun 3

Seorang guru di Kedah mendakwa menerima ugutan rogol daripada seorang murid Tahun Tiga.

Murid lelaki dari SK Lanai menghubungi guru wanita itu dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi: "Cikgu, tunggu saya akan rogol anda, tidak lama lagi."

Rakan kepada guru tersebut yang menghubungi pejabat The Star di sini berkata, ugutan dari murid tersebut amat mengejutkan sekolah di Kupang yang terletak kira-kira 6km dari bandar Baling dan seluruh negeri itu.

"Dia (guru) trauma kerana anak muridnya berani membuat ugutan seperti itu," kata rakan mangsa, guru berusia 29 tahun dari Alor Gajah di sini yang kini mengajar di sekolah terbabit.

Murid lelaki itu didakwa bertindak mengancam guru tersebut kerana ingin mempertahankan seorang rakannya yang tidak dilantik sebagai ketua kelas.

Guru berusia 39 tahun itu berada di rumahnya di Bandar Putri Jaya, Sungai Petani, ketika menerima ugutan tersebut kira-kira pukul 10.30 malam, 13 Februari lalu.

Beliau yang dalam keadaan ketakutan meminta suaminya untuk memeriksa siapa yang menghubunginya dan mendapati panggilan itu dibuat oleh seorang kanak-kanak lelaki.

Suaminya turut menghubungi nombor tersebut semula dengan menggunakan telefon awam dan seorang lelaki dipercayai berusia sekitar 30-an menjawab panggilan itu.

Lelaki itu kemudiannya mengaku anak saudaranya telah menggunakan telefon bimbit miliknya.

Dia turut memberitahu akan menghukum kanak-kanak lelaki itu dan melaporkan perkara tersebut kepada ibu bapanya.

Guru itu membuat laporan polis di ibu pejabat polis Kuala Muda pada 14 Februari lalu.

Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai kanan polis.

Ketika dihubungi, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pembantu kanan di sekolah rendah itu berkata, mereka telah meminta ibu bapa kanak-kanak lelaki itu datang ke sekolah tersebut hari ini (Isnin).

"Kita ingin mengenal pasti apa yang mendorong kanak-kanak itu untuk membuat ancaman tersebut kepada gurunya dan sama ada kanak-kanak itu memerlukan bantuan psikiatri," katanya.

Kanak-kanak lelaki itu turut diberitahu tidak hadir ke sekolah pada Ahad. -mstar

Tuesday, December 3, 2013

Tiga Beradik Ditemui Mati, Teman Lelaki Dicari

Polis Kedah sedang mencari teman lelaki kepada salah seorang daripada tiga kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di sini, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata teman lelaki mangsa, Norsyafika Nadia Rosdi, 14, dipercayai berada di Perlis dan polis akan menjejaki lelaki berkenaan bagi membantu siasatan menyelesaikan kes berkenaan.

"Setakat ini kita sedang mendapatkan maklumat mengenai teman lelaki mangsa," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, sehingga kini polis belum membuat sebarang tangkapan, namun sudah berjaya mengumpul saksi bagi membantu siasatan.

Katanya, polis juga sedang mencari dan mengumpul beberapa bukti lain bagi mengaitkannya dengan kes pembunuhan itu.

Pada masa sama, katanya proses bedah siasat terhadap dua lagi mangsa Nurul Izati Rusdi, 12, dan Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, sudah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9 pagi tadi.

"Kita akan mendapat tahu keadaan sebenar mayat selepas bedah siasat selesai dan kita akan maklumkan kelak," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.




Saturday, November 16, 2013

Calon BN Sendiri Dedahkan FAMA Disalahguna

Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau lalu mendakwa keputusan pilihan raya itu menggambarkan betapa sukar memenangi hati rakyat walaupun pelbagai pemberian oleh BN sepanjang berkempen.

Beliau yang tampil berkongsi pengalaman berkempen pada pilihan raya itu bersama Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) semalam berkata, pengundi sebenarnya tidak mudah terpengaruh dengan pemberian itu kerana mereka sudah mempunyai calon pilihan sendiri.

“Memang diakui kerajaan menggunakan jenteranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan memberikan bantuan.

"Adakah kita boleh pastikan dengan bantuan seumpama itu boleh meraih undi? Jawapannya belum tentu.

“Saya lihat satu kawasan itu Fama memberikan pokok pelam dan berlori anak ayam. Saya pasti jumlah undi yang diterima dengan bilangan anak ayam yang diberi tidak sama. Ia seperti memberi bola tanggung dalam bola sepak,” katanya dipetik TMI.

Ahmad Sohaimi turut mengakui peningkatan undi Cina kepada BN tidak berlaku kerana menurutnya jika 1,000 pengundi Cina mengundinya semasa PRK lepas maka beliau mampu memenangi pilihan raya itu.

Katanya, dalam tiga acara pertemuan bersama masyarikat Cina di Sungai Limau, terdapat majlis dihadiri seramai 400 orang tetapi pengundi sebenar di kawasan tersebut hanya kira-kira 100 pengundi Cina sahaja.

“Saya dan pemimpin MCA pada malam itu menyampaikan ceramah kepada bukan pengundi. Hadirin yang datang memberikan tepukan gemuruh sehingga ada yang berkata berdasarkan sokongan, BN mampu memenangi pilihan raya itu.

“Itulah yang dikatakan kerana tepuk kampung tergadai. Pengundi di sana beranggapan jika BN kalah sekalipun tidak memberi apa-apa makna kerana Kedah masih bersama BN," katanya. -HD