BAGI mereka yang mengikuti laporan langsung oleh
Al-Jazeera dan BBC mengenai kematian Muammar Gaddafi Selasa lalu, tentu
dapat mendengar bunyi latar paparan dari Tripoli itu.
Ini kerana laungan yang terdengar itu adalah takbir hari raya
berulang- ulang berkumandang menggunakan pembesar suara ketika anak-anak
muda Libya bersorak kegembiraan apabila mendapat tahu Gaddafi telah
mati.
Bagi orang Malaysia laungan takbir hari raya pada waktu ini adalah suatu yang pelik.
Dalam laporan langsung di BBC, pemberitanya ialah seorang bukan Islam
dan apabila ditanya oleh pembaca berita dari London, apakah laungan
yang didengar dari masjid itu, dia menjawab, tidak tahu tetapi
menurutnya laungan itu berulang-ulang berkumandang sejak diumumkan
kematian Gaddafi.
Di Al-Jazeera pula pemberitanya mengatakan bahawa laungan takbir itu
adalah sebagai tanda kegembiraan rakyat Libya atas kematian Gaddafi.
Sememangnya dalam sejarah Islam, takbir yang dilaungkan semasa hari
raya itu berupa zikir memuji kebesaran Ilahi ekoran kemenangan tentera
Islam dalam Perang Badar melawan Musyrikin. Dalam laungan itu dinyatakan
kejayaan orang Islam mengalahkan orang kafir.
Adalah jelas rakyat Libya amat marah pada Gaddafi.
Amarah mereka ini menjadi tanda tanya bagi umat Islam di luar Libya.
Ini kerana semasa hidupnya, Gaddafi dipandang tinggi oleh umat Islam.
Bermula dengan rampasan kuasa ke atas Raja Idris pada tahun 1969,
Gaddafi muncul sebagai seorang pemimpin Islam yang berjuang membela hak
kebangsaan Arab, iaitu termasuk Palestin, kepentingan rakyat, sebab
itulah gagasan Buku Hijaunya menampilkan kaedah kesaksamaan pengagihan
harta negara dan tidak kurang penting ialah usaha pembebasan rakyat
terjajah di seluruh dunia, dari Ireland Utara di barat hinggalah rakyat
Moro di timur.
Orang Islam Malaysia sendiri menghormatinya. Berapa ramai anak-anak
Melayu yang bernama Gaddafi kerana bapa masing-masing mengkaguminya.
Penulis ingat pada tahun 1972, apabila sebagai kanak-kanak,
kawan-kawan sekolah agama bersorak apabila dari radio dilaporkan bahawa
Gaddafi menghantar tentera ke Mesir untuk menyertai Perang Ramadan yang
menyaksikan pertama kali tentera Israel terpaksa berundur dari SInai.
Ketika Yasser Arafat dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diusir
dari Beirut atas tekanan Barat, maka ke Libyalah tempat mereka mencari
perlindungan. Tripoli menggantikan Beirut sebagai pangkalan PLO.
Maka sepanjang pemerintahannya, kehadiran Libya di Malaysia
dirasakan. Kerajaan Gaddafi menubuhkan Pusat Kebudayaan Arab Libya di
Kuala Lumpur yang peranannya setanding dengan agensi-agensi penerangan
kuasa besar lainnya seperti Lincoln Cultural Center (Amerika Syarikat) ,
British Council, Goethe Institut (Jerman) dan Alliance Francaise
(Perancis).
Libya menjadi wakil negara dunia ketiga yang bersuara mencabar pihak
Barat. Gaddafi membantu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)
untuk memiliki bangunannya sendiri serta meningkatkan usaha minoriti
Islam di Asia Pasifik. Sokongannya kepada Pertubuhan Pembebasan
Kebangsaan Moro (MNLF) adalah jelas.
Sebelum kemunculan Iran sebagai pusat politik yang menjadi perhatian
umat Islam, Libya di bawah Gaddafi yang merintis persidangan-persidangan
antarabangsa untuk pertubuhan-pertubuhan Islam di seluruh dunia.
Akhir
Namun dari tahun ke tahun hingga di akhir pemerintahannya,
terdengarlah betapa kuasa yang dimilikinya bertukar kepada bentuk kuku
besi. Layanannya kepada pihak penentang dilaporkan kejam. Turut menjadi
mangsanya ialah dari kalangan aktivis Islam.
Tetapi apa yang hendak dihairankan tentang perkara ini di dunia Arab.
Mesir, Syria, Sudan, Yaman, Iraq, Tunisia, Algeria dan negara-negara
Arab lain juga melayan pembangkang mereka secara keras dan kejam.
Tidak ada satupun negara Arab yang mengamalkan sistem demokrasi
berparlimen dengan mengadakan pilihan raya umum seperti mana amalan
piawai dunia.
Hanya pada tahun ini apabila berlaku kebangkitan rakyat dunia Arab,
bermula dari Tunisia, bersambung ke Mesir dan melarat ke Libya, maka
kekejaman Gaddafi semakin kuat dilaporkan.
Tidak seperti Hosni Mubarak di Mesir, Gaddafi enggan berundur sebaliknya menjerumuskan negaranya ke dalam perang saudara.
Maka dalam tempoh beberapa bulan dilaporkan pembunuhan dahsyat dilakukan oleh pihak penyokong Gaddafi.
Ternyata seperti di negara-negara Arab yang lain, sebahagian besar rakyat Libya membenci Gaddafi.
Hakikat bahawa kuasa-kuasa Barat telah memasuki Libya dan membantu
penentang-penentang Gaddafi secara aktif adalah suatu yang tidak
menghairankan.
Dari dulu, Gaddafi merupakan musuh Barat dan apabila rakyatnya
sendiri bangkit, tentulah AS dan Eropah dengan senang hati campur
tangan. Libya amat strategik dengan kekayaan minyaknya yang tidak dapat
ditolak oleh negara-negara Barat.
Melalui sistem demokrasi, bukan saja mereka dapat menunjukkan
pembelaan kepada rakyat Libya tetapi pada waktu yang sama, Barat
mengharapkan penguasaan ekonomi dan sumber negara itu.
Bendera merah, hitam dan hijau yang dikibarkan oleh para penentang
Gaddafi, dan kini menguasai Libya adalah panji-panji lama ketika negara
itu di bawah pemerintahan Raja Idris. Pada masa itu Libya dikuasai oleh
Barat.
Adakah dengan berakhirnya Gaddafi ini, Libya kembali dikuasai Barat? Adakah demokrasi mesti membawa kepada keadaan begitu?
Kalau begitu, sudah tentu ia merupakan suatu yang malang bagi rakyat
Libya. Demokrasi diharapkan menjadi sistem yang dapat memberikan
kebebasan dan kehidupan bermutu serta bermaruah kepada rakyat.
Tetapi jika demokrasi menjadi sistem yang boleh dimanipulasi oleh
Washington dan Tel Aviv, maka ia adalah malang bagi rakyat Libya, dan
dunia Arab umumnya.
Sekali lalu, nasib Gaddafi adalah seperti Saddam yang juga dibenci oleh rakyatnya.
Tetapi sekurang-kurangnya terdapat dua perbezaan iaitu pertama,
saddam tidak dibunuh oleh tentera AS, tetapi ditangkap dan kemudian
dibicarakan.
Sementara Gaddafi yang merayu supaya nyaeanya diselamatkan telah
dibunuh oleh pihak penentangnya, yang terdiri daripada rakyat Arab Libya
juga.
Kedua, kejatuhan Saddam adalah ekoran daripada penaklukan tentera
Barat ke atas Iraq. Tetapi di Libya, ia dilakukan oleh rakyatnya
sendiri, Namun, senjata dan bantuan lain disalurkan oleh pihak barat.
Ternyata perbezaannya kecil saja.
Dunia terutama orang Islam mengharapkan supaya Libya dan Iraq
memandang ke depan dan tinggalkan dendam masa lalu. Tumpuan wajar kepada
membangunkan negara untuk kesenangan hidup rakyat.
Malangnya keadaan itu masih sukar di Iraq. Di Libya pula, bimbang
keamanan tidak dapat diwujudkan kerana pembunuhan Gaddafi merupakan
permulaan yang tidak baik bagi kerajaan baru Libya.
Sekurang-kurangnya ketika Afghanistan tumbang, Mujahidin tidak
membunuh presiden komunis terakhir Babrak Karmal. Dia dipenjarakan.
Keadaan Afghanistan menjadi buruk apabila Taliban mengalahkan
Mujahidin dan terus menggantung Babrak Karmal tanpa proses perbicaraan.
Akhirnya negara itu sehingga ke hari ini tidak berjaya mengecapi
perdamaian. Perang Saudara dengan penglibatan kuasa luar
terus-meneruskan menyebabkan rakyat mereka menderita berpanjangan.
Pembunuhan Gaddafi tentu menimbulkan rasa ngeri di kalangan
negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyatnya
khususnya Yaman dan Syria.
Kuasa sememangnya indah, tetapi apabila ia melangkaui tempoh yang sewajarnya, pemilik kuasa pula akan menjadi mangsa.
Siapa menabur angin, mereka akan menuai badai.
Lebih-lebih lagi pada negara yang telah tertumpah darah rakyatnya.
Itulah seperti yang berlaku di Libya. Apabila rakyat Libya terkorban
kerana Gaddafi, maka lebih keras balasan yang akan diterimanya.
Keadaan ini telah pun berlaku di Syria. Presiden Bashar Al-Assad akan
mengalami keadaan yang sama dengan Gaddafi jika dia tidak menangani
perubahan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Begitu juga dengan Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh. Kedua-dua
negara ini adalah strategik bagi AS. Syria kerana ia berdepan dengan
Israel. Sementara Yaman dilihat sebagai pangkalan Al-Qaeda.
Dunia Arab menanti perubahan