GURU saya pernah berpesan, ujian atau dugaan yang paling getir dalam kehidupan ini ada tiga “TA”, harta, takhta dan wanita. Saya hanya ingin menyentuh dua “TA” pertama, iaitu harta dan takhta.
Tidak perlu saya bahaskan wanita, kerana dengan adanya harta dan takhta, mudahlah mendapatkan wanita.
Dahulu, ketika menjadi pembangkang, memang sedap mengata orang lain mengenai harta dan takhta.
Perompaklah…penyamunlah….Bila tiba giliran mendapat takhta dan harta, sama sahaja. Cuma yang membezakan daripada berapa banyak dirompak dan disamun.
Seorang demi seorang ahli politik kini yang kononnya dikatakan berpegang kepada nilai-nilai Islam, mula tersungkur.
Mulanya saya agak kurang mahu percaya, tetapi melihat semua ahli Lembaga pengarah dan orang kuat yang dilantik, semua terdiri dalam ahli politik, maka saya mula menjadi ragu. Sudah ketandusankah negara ini dengan ahli professional dan mereka yang non partisan?
Badan agama yang berkaitan dengan dakwah pun dipolitikkan. Begitu juga institusi yang lain. Semua orang mereka.
Paku dulang, paku serpih, mengata orang, sendiri pun lebih. Dahulu, sebelum berkuasa, pernah berjanji, tidak akan kacau, semua badan dan institusi berkaitan kerajaan.
Bila dapat kuasa, pusing 360 darjah. Semua mahu dicampur tangan dan meletakkan orang politik yang tidak kena pada tempatnya.
Benar kata Lord Action, power tends to corrupt, absolute power, corrupt absolutely.
Semua tahu, bahawa tiada satu benda atau makhluk yang akan terus kekal di alam maya ini. Semua akan lenyap, tetapi biasalah manusia kan. Takhta dan harta tetap jadi buruan. Bila dapat takhta dan harta. Lupa Tuhan. Inilah kehidupan orang politik yang semakin jauh daripada Tuhan.
Takhta yang dimaksudkan adalah membolot dan mengekalkan kuasa, manakala harta itu maknanya mengumpul wang berjuta-juta.
Kehidupan moden manusia hari ini hampir semua sama. Tidak kiralah apa asal usulnya. Sanggup berlakon, meniru gaya hidup palsu yang telah ditonton di kaca televisyen dan di pawagam.
Akhirnya, Nafas pun tidak dapat bernafas lagi apabila amanah hanya tinggal pada nama. Apabila sudah tidak dapat bernafas lagi, tunggulah saat kematiannya.
Tanpa segan silu, matlamat hidup individu tertentu pelbagai peringkat lapisan umur, tertumpu kepada mengejar pangkat, rumah besar, gaji yang lumayan, pengawal peribadi, pejabat besar, dan sebagainya.
Setelah mendapat jawatan yang difikirkan adalah untuk terus mempertahankan jawatan, kuasa, pendapatan, dan kenderaan, seolah-olah ibu bapa, rumahtangga, keluarga, lebih-lebih lagi rakyat bukan lagi menjadi tanggungjawab asasnya.
Dalam kata lain, manusia memanglah bukan berasal daripada beruk, malangnya ramai berperangai macam beruk. Dahulu, kita nampak aib orang, hari ini Allah SWT buka pula aib kita.
Benarlah apa yang disabdakan oleh Baginda Rasulullahﷺ.
Hampir sahaja bangsa-bangsa mengepung kalian, sebagaimana orang lapar mengepung tempat makanan. Berkata seorang sahabat, “apakah kerana kita sedikit pada saat itu? Rasulullah s.a.w. menjawab, “bahkan kalian pada saat itu banyak, tetapi kalian seperti buih, seperti buih lautan. Allah akan mencabut dari hati musuh kalian rasa takut pada kalian. Dan Allah memasukkan ke dalam hati kalian Wahn. Berkata seorang sahabat,”apakah Wahn itu wahai Rasulullah? Rasulullah ﷺ menjawab, “cintakan dunia dan takut mati” (hadis riwayat Abu Daud)
Nasihat saya, sebelum nasi merjadi bubur, sebelum kita hilang semuanya. Eloklah kembali semula ke jalan yang benar. Buatlah muhasabah diri.
Berpada-pada dalam berpolitik. Jika amanah itulah yang menjadi paksi, berpegang teguhlah kepada paksi itu. Jangan biarlah amanah itu hanya lekat pada nama, hakikatnya, kita terlampau rakus.
Ingat amaran Allah SWT,
Hai orang yang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan juga jangalah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui (Surah al-Anfaal: 27)
Ingat juga, seseorang yang memegang amanah, jika melalaikannya, ia termasuk dalam golongan munafik. Cakap lain, buat lain.
Seseorang yang tidak amanah, boleh tergolong dalam kalangan yang kufur kerana tidak menjalankan amanah itu mengikut syariat Islam
Namun, seseorang yang amanah dan menunaikannya dengan rasa takut kepada Tuhan, ia dalam kalangan yang beruntung kerana akan dicintai Allah dan mendapat rahmatNya.
Justeru, biarkan NAFAS untuk terus bernafas, jangan biarkan nafas hilang nafas, kerana buruk padahnya.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment