http://www.ismaweb.net/2018/01/29/menyembelih-babi-dengan-bismillah/
YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad,
maafkan saya jika artikel ini menyinggung Tun. Saya sangat menghormati Tun,
apatah lagi Tun adalah ketua saya dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(Perkim), selaku Yang Di-Pertua (YDP), manakala saya adalah salah seorang Naib
YDP.
Paling kurang, kita akan
bertemu lima kali dalam setahun untuk bermesyuarat. Saya akan duduk
bersebelahan dengan Tun. Saya sedar, saya bukan siapa-siapa berbanding Tun.
Tetapi izinkan saya bercakap sedikit pandangan mengenai artikel berkaitan sembelihan
babi dengan nama Tahun.
Memang tidak akan berlaku atau
tidak pernah berlaku, ada orang Islam akan menyembelih babi, apatah lagi
menggunakan nama Tuhan atau membaca Bismillah. Usahkan sembelih, pegang pun
tidak tergamak, apatah lagi menternak.
Ketika Tun mempengerusikan
mesyuarat Perkim, sudah menjadi kebiasaan Tun akan memulakannya dengan ucapan
aluan. Ada kalanya kami sebagai ahli mesyuarat ingin menegurkan beberapa
perkara berkaitan dengan Islam yang dilontarkan, tetapi kami diamkan sahaja kerana
kami amat menghormati Tun.
Misalnya, dalam mesyuarat
Perkim yang lalu Tun ada berkata, kenapa Tun tidak benarkan isteri (Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali) tidak memakai tudung. Tun merujuk kepada surah An-Nisa bahawa
wanita yang berumur (tua) tidak perlu memakai tudung atau menutup aurat.
Sebagai mualaf, jawapan yang
Tun lontarkan itu menimbulkan tanda tanya, tetapi kami diamkan sahaja.
Tertanya-tanya pula, kenapa ketika Tun Dr Siti Hasmah masih muda, tidak
ditudungkan? Tun mungkin boleh bertanya kepada mufti yang agak terbuka seperti
Mufti Perlis atau bekas Mufti Perlis untuk bertanyakan mengenai perkara
tersebut. Mungkin saya sebagai mualaf tidak layak untuk menjawab.
Jika begitu keadaannya, tidak
perlu orang tua menutup aurat (memakai telekung atau tudung) ketika solat atau
mengerjakan umrah dan haji, atas alasan sudah tua. Saya tidak tahu bagaimana
Tun menafsirkan ayat ini. Mungkin Tun boleh bertanya kepada Wan Azizah, ketua
PKR, bertanya kenapa beliau masih bertudung sedangkan beliau sudah tua. Mungkin
suami Wan Azizah, saudara Anwar Ibrahim ada jawapannya.
Perbandingan menyembelih babi
dengan bacaan bismillah, dan membandingkan duit haram yang dicuri (1MDB), bagi
mengerjakan umrah dan haji, saya fikir agak keterlaluan dan ekstrem atau tidak
sepatutnya dilakukan kerana melibatkan dua isu berlainan.
Kes 1MDB sehingga kini tiada
negara yang berani membawa ke Mahkamah Antarabangsa. Kerajaan Amerika Syarikat
(AS) sendiri menafikan. Begitu juga kerajaan Arab Saudi. Saya tidak menafikan
ada yang tidak kena dengan 1MDB dan diakui oleh YAB Perdana Menteri. Tetapi
janganlah melebih-lebihkan cerita.
Kebimbangan saya jika kes 1MDB
ada unsur tokok tambah sehingga menjadi fitnah dan rekayasa cerita semata-mata
untuk menjatuhkan kepimpinan negara sedia ada. Maka dosanya lebih berat
daripada memakan daging babi yang disembelih. Dalam dunia hari ini pelbagai
cara mampu dilakukan untuk membenarkan rekayasa cerita seperti 1MDB.
Kalau dilihat fakta kes 1MDB
sama seperti kes tuduhan kerajaan pimpinan Saddam Hussin menyembunyikan senjata
pemusnah besar-besaran (WMD) bagi membenarkan kerajaan pimpinan AS melakukan
penjajahan ke atas negara tersebut. Mungkin Tun sudah lupa kisah tersebut yang
berlaku tahun 1990-an. Lihat apa yang berlaku ke atas Iraq hari ini.
Kita tidak mahu negara yang
pernah dibina Tun suatu masa dulu dimusnahkan angkara kes 1MDB yang sudah
diakui sebagai satu kesilapan dan saya sendiri tidak pasti kesahihan
penghujungnya. Insya-Allah, jika ada kesedaran yang tinggi, tidak mustahil
berakhir dengan baik. Justeru, muhasabahlah Tun. Lihatlah masa akan datang
dengan hati yang terbuka.
Jasa yang Tun tinggalkan memang
tidak dapat dilupakan oleh generasi saya yang pada waktu itu masih belajar di
universiti.
Tidak ada masalah untuk Tun
memberi pandangan dan mengkritik kerana negara kita mengamalkan sistem
demokrasi. Orang seperti Tun perlu ada supaya berlakunya ‘check and balance’.
Tidak semua yang dilakukan oleh pimpinan hari ini semuanya baik.
Saya mohon, jangan dibuat
perbandingan babi sembelih menggunakan kalimah Allah dengan duit curi. Cukuplah
babi dengan duit curi. Tidak perlulah ditambah dengan sembelihan babi dengan
kalimah Bismillah. Hodoh sangat rupanya.
Sama juga isu jika orang bukan
Islam memberi sedekah kepada fakir miskin untuk menunaikan umrah atau haji.
Boleh atau tidak? Perlukah kita bertanya kepada bukan Islam tersebut, wang
diberikan itu haram ke tidak. Wang hasil jual beli babi atau bukan?
Babi tersebut disembelih guna
nama Tuhan ke tidak? Tidak perlulah dikaitkan dengan nama Tuhan, semua orang
tahu, babi tidak disembelih kerana sifatnya sedemikian. Apatah nak dikaitkan
dengan sembelihan dengan nama Tuhan dan orang Islam.
Pada saya, penerima itu tidak
bersalah dalam menerima wang tersebut berbanding dengan pemberi atau mereka
yang bersedekah. Sepatutnya pemberi yang berasa bersalah atau berdosa sama ada
wajar atau tidak tindakan tersebut dilakukan.
Saya fikir perbandingan ini
agak keterlaluan. Pertama, babi adalah binatang yang haram dimakan dan diternak
oleh umat Islam, meskipun kita perlu menghormati babi sebagai makhluk ciptaan
AllahSWT. Jadi, membaca nama Tuhan ketika sembelih babi sukar untuk diterima.
Kedua, babi adalah binatang
yang sukar disembelih kerana tidak mempunyai tengkuk. Jika adapun tengkuk, ia
terlalu pendek. Sebab itu penyembelihan babi dilakukan oleh penternak dengan
cara menyucuk lehernya. Mungkin sebab itu juga babi diharamkan makan.
Ketiga, saya memang tidak
nafikan haramnya babi. Jika dibanding dengan haramnya rasuah, rasuah lebih
berat haramnya. Dalam maksud, makan rasuah lebih hina daripada makan babi.
Begitu juga perbuatan mencuri wang rakyat lebih haram daripada makan babi.
Jika tidak ada pilihan antara
keduanya, saya lebih rela makan babi. Apapun, saya tidak pernah mendengar
mereka yang menyembelih babi, makan rasuah, mencuri wang rakyat, dan bermain
judi memulakan dengan kalimah Bismillah.
Keempat, saya tidak fikir ada
halangan untuk orang bukan aliran agama bercakap soal agama. Saya pun bukan
aliran agama. Tetapi saya masih boleh bercakap. Tiada siapa menghalang selagi
apa yang saya cakapkan masih dalam ruang lingkup kefahaman agama.
Tetapi perlu diingat, ilmu ini
sangat luas. Perlukan kepada pengkhususan. Berbanding dengan orang agama, sudah
tentu kefahaman mereka lebih lagi daripada kita sebab mereka mengkhusus. Sama
juga seperti Tun, seorang yang berilmu dalam bidang perubatan.
Saya sangat menghormatinya
kerana itu adalah kepakaran Tun. Dalam maksud, bidang ilmu ini ada kepakaran.
Selaku ahli akademik, saya amat menghormati.
Begitu juga bidang agama Islam.
Keperluan kepada pengkhususan amat diperlukan, seperti ilmu tauhid, akidah,
syariah, usuludin, termasuk juga ilmu-ilmu moden seperti kenderaan bermotor.
Semua perlukan kepada kepakaran, hormati lah kepakaran tersebut.
Keempat, soal berserban dan
berjubah hari ini orang bukan agama pun juga ada memakainya. Tidak kurang juga
orang agama yang tidak berserban dan berjubah. Ikut cita rasa masing-masing.
Pokoknya kita jangan memandang rendah atau mempunyai persepsi buruk terhadap
cita rasa mereka. Biarkanlah selagi tidak menghalang kualiti dan produktiviti.
Saya tidak fikir kita dinasihat
supaya dengar sahajalah ajaran dan syarahan yang disampaikan oleh orang yang
layak, iaitu orang agama yang terlatih dan berpelajaran agama walaupun setakat
pondok di kampung. Orang agama pun pada masa kini tidak mahu memandai-mandai
dalam perkara di luar bidangnya, terutama dalam bidang teknikal.
Masyarakat hari ini jauh lebih
baik kefahaman Islamnya, pemahaman fundamental mereka tinggi.
Saya tidak tahu apa yang
berlaku sewaktu proses pemakaman jenazah Almarhum Tunku Ibrahim ibni Almarhum
Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang telah mangkat pada 30 April 1934, ketika
ayahandanya masih lagi bergelar Sultan, yang dimakamkan di Makam Diraja
Langgar.
Menurut Tun, jenazah dimuat di
atas sebuah kereta yang ditarik dengan dua tali oleh beberapa orang atas alasan
haram memuat jenazah di atas kereta bermotor. Sebabnya ialah kerana motor
adalah buatan orang kafir.
Saya tidak pasti sama ada benar
atau tidak pemahaman seperti itu. Mungkin kerabat diraja tersebut boleh tampil
menjelaskan akan kesahihannya. Jika pun berlaku, mungkin pada zaman dan ketika
itu. Tetapi saya yakin, tidak ada lagi pemahaman seperti itu pada masa kini.
Setelah saya kira, maknanya
ketika itu Tun masih berusia 9 tahun, darjah tiga lah kalau ikut masa kini.
Apakah ketika itu, Tun benar-benar dapat memahami situasi pemakaman yang
berlaku atau sekadar mendengar cerita orang. Cerita seperti ini amat
menggusarkan saya akan tujuan cerita ini dibangkitkan.
Jika Tun masih ragu, sila rujuk
Mufti Perlis, bolehkah kanak-kanak usia 9 tahun diterima kata-katanya. Mereka
yang berkata ketika itu yang mungkin didengari Tun ketika usia 9 tahun bolehkah
dipercayai autoriti ilmunya.
Jika berlaku pun, saya tidak
fikir kefahaman sedemikian masih wujud lagi pada hari ini. Jika ada mungkin
jenazah selepas ini perlu menggunakan kereta Proton yang Tun sediakan dahulu.
Itupun enjinnya menggunakan teknologi dari Jepun.
Akhirnya, saya mungkin celupar
dan melanggari adat menegur budaya Melayu tetapi sudah sampai masanya kita
bersangka baik kepada semua pakar yang ada. Saling memberi sumbangan antara
satu sama lain. Saya merayu dan memohon kepada Tun, supaya elakkanlah membuat
perbandingan yang sedemikian ekstrem.
Rakyat marhaen termasuk saya
amat menghormati Tun sebagai negarawan dan juga sebagai pemimpin PERKIM. Saya
bimbang sekiranya Tun terus memberikan pandangan sedemikian, kepercayaan dan
keyakinan mereka semakin pudar.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)